Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-152 hingga Ke-153 (Ayat Muhkamat – 10...

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-152 hingga Ke-153 (Ayat Muhkamat – 10 Arahan daripada Allah) ‎ﷻ daripada Allah

45
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am

Tafsir Ayat Ke-152

وَلَا تَقرَبُواْ مَالَ ٱليَتِيمِ إِلَّا بِٱلَّتِى هِىَ أَحسَنُ حَتَّىٰ يَبلُغَ أَشُدَّهُ ۥ‌ۖ وَأَوفُواْ ٱلڪَيلَ وَٱلمِيزَانَ بِٱلقِسطِ‌ۖ لَا نُكَلِّفُ نَفسًا إِلَّا وُسعَهَا‌ۖ وَإِذَا قُلتُم فَٱعدِلُواْ وَلَو ڪَانَ ذَا قُربَىٰ‌ۖ وَبِعَهدِ ٱللَّهِ أَوفُواْ‌ۚ ذَٲلِڪُم وَصَّٮٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُم تَذَكَّرُونَ

“Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil”. – Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya – “dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhi-Nya)”.

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ

Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim,

Ini adalah ayat tentang larangan memakan harta anak yatim. Perkataan yang digunakan adalah ‘janganlah kamu dekati’. Ini bermaksud jangan dekati untuk menguruskan pun harta itu. Ini jikalau kita rasa kita tidak dapat beramanah dengan harta itu, atau tidak rasa berkemampuan untuk menguruskan harta itu, maka jangan kita cuba-cuba untuk menguruskan harta itu. Allah ‎ﷻ mengajar kita untuk menganggap harta anak yatim itu sebagai ‘api’ seperti yang disebut di dalam [ Nisa’: 10 ].

Sebagai contoh, kalau kita ini jenis orang yang memang sibuk dengan kerja lain, maka tentunya kita tidak mampu untuk menjadi pengurus untuk harta itu. Maka lebih baik untuk kita berikan kepada orang lain yang dapat menguruskannya.

Allah ‎ﷻ melarang kita daripada mendekati harta anak yatim kerana bila kita hampir dengan harta itu akan jadi mudah untuk kita mencurinya, atau termakan harta itu. Islam amat berhati-hati dalam hal ini.

Ini mengajar kita, ada perkara dalam agama ini jangan dekati pun. Dekati pun jangan, apatah lagi kalau melakukannya. Ini dipanggil saddudz dzari’ah, iaitu menutup pintu daripada melakukan dosa kerana syaitan akan menarik kita sedikit demi sedikit ke arah dosa itu. Maka kita kena elak daripada mendekatinya.

Anak yatim adalah anak yang kematian ayah sebelum dia baligh. Dia dalam keadaan yang lemah. Seorang anak yang kecil dan belum baligh tidak diberikan untuk memegang harta peninggalan ayahnya. Kalau dia yang pegang, nanti mungkin senang orang hendak curi, menipu dia dan sebagainya. Maka, sepatutnya ada orang yang dewasa yang menjaga hartanya bagi pihaknya.

إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat,

Bukanlah tidak boleh langsung untuk menjaga harta anak yatim. Kalau kita diberikan tanggungjawab untuk menjaga harta anak yatim, maka kita kenalah menguruskan harta itu dengan baik.

Antara cara yang ‘lebih baik’ adalah dengan melaburkan harta itu sampai harta itu boleh menjadi semakin banyak. Maknanya kena suburkan harta itu. Namun hendaklah dilaburkan dalam perniagaan yang menguntungkan. Jangan laburkan dalam perniagaan yang belum tentu halal haramnya atau yang ada kemungkinan senang rugi. Walaupun anak itu bersetuju dengan nasihat kita untuk memperniagakan harta itu dalam perniagaan yang belum tentu menguntungkan itu. Ini kerana anak yang belum baligh tentunya tidak dapat memberikan keputusan yang bijak lagi.

Salah satu pelaburan yang menguntungkan adalah pembelian rumah, kerana rumah harganya sentiasa naik sahaja.

أَلَا مَنْ وَلِيَ يَتِيمًا لَهُ مَالٌ فَلْيَتَّجِرْ فِيهِ، وَلَا يَتْرُكْهُ حَتَّى تَأْكُلَهُ الصَّدَقَةُ

Hendaklah bagi sesiapa yang menjadi penjaga harta anak yatim memperniagakan harta tersebut, supaya ia tidak ditinggal dimakan zakat. ( Hadith Riwayat Al-Tirmidzi (641))

Galakan untuk melaburkan itu penting kerana kalau dibiarkan sahaja, tentulah harta anak yatim itu akan berkurangan kerana sentiasa kena membayar zakat sahaja.

Ada sahabat yang takut sangat memakan harta anak yatim yang di dalam jagaan mereka sampaikan makanan yang dibeli dengan harta anak yatim untuk anak yatim itu langsung tidak disentuh oleh mereka kerana takut. Sampaikan kalau anak yatim itu makan tidak habis, mereka tidak berani untuk memberinya kepada anaknya yang lain. Sampaikan kadang kala makanan itu rosak tidak dimakan.

Itu sudah membazir namanya. Maka dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ kata ‘dengan cara yang lebih baik’. Bermaksud harta anak yatim itu boleh digunakan juga untuk dikongsi bersama untuk dimakan bersama.

Juga bermaksud, kalau seorang penjaga itu mengenakan bayaran sebagai balasan menjaga harta itu, jangan ambil dengan terlalu banyak tetapi ambillah dengan kadar yang patut sahaja.

Tetapi jikalau penjaga anak yatim itu seorang yang kaya, dia perlulah menggunakan hartanya sendiri untuk menyara anak yatim itu dan tidak menyentuh harta anak yatim itu. Ini ada tersebut dalam [ Nisa: 6 ]:

وَمَنْ كَانَ غَنِيًّا فَلْيَسْتَعْفِفْ ۖ وَمَنْ كَانَ فَقِيرًا فَلْيَأْكُلْ بِالْمَعْرُوفِ

Barang siapa (di antara pemelihara itu) mampu, maka hendaklah dia menahan diri (daripada memakan harta anak yatim itu) dan barangsiapa yang miskin, maka bolehlah dia makan harta itu menurut yang patut.

حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ

hingga sampai dia dewasa

Penjaga harta itu hanya perlu menjaga harta anak yatim itu semasa anak yatim itu kecil sahaja iaitu semasa ia tidak mampu menjaganya sendirinya. Apabila anak itu telah dewasa dan mampu menjaga sendiri, maka harta itu perlu dikembalikan kepada anak yatim itu.

Kalimah أَشُدَّ bermaksud dewasa dari segi fizikal; juga akalnya kerana ada yang badan dan besar, tetapi masih keanak-anakan; maka mereka kena maiyyiz – tahu bagaimana berurusan.

Ada ulama’ yang mengatakan umur itu ditetapkan 25 tahun kerana pada mereka, itulah umur أَشُدَّ. Jika dilihat kepada zaman sekarangpun, jarang orang lelaki berkahwin sebelum umur mereka 25 tahun.

Dalam [ Nisa: 6 ] juga ada disebut bagaimana kita perlu menilai sama ada anak itu sudah pandai menjaga harta atau tidak:

وَابْتَلُوا الْيَتَامَىٰ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغُوا النِّكَاحَ فَإِنْ آنَسْتُمْ مِنْهُمْ رُشْدًا فَادْفَعُوا إِلَيْهِمْ أَمْوَالَهُمْ

Dan ujilah anak yatim itu sampai mereka cukup umur untuk kahwin. Kemudian jika menurut pendapatmu mereka telah cerdas (pandai memelihara harta), maka serahkanlah kepada mereka harta-hartanya.

وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ

Dan sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil.

Rujuk surah [ Mutaffifin: 1-3 ] berkenaan perkara ini.

وَيْلٌ لِلْمُطَفِّفِينَ

Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang

الَّذِينَ إِذَا اكْتَالُوا عَلَى النَّاسِ يَسْتَوْفُون

(iaitu) orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain mereka minta dipenuhi,

وَإِذَا كَالُوهُمْ أَوْ وَزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ

dan apabila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.

Ayat-ayat dari Surah Mutaffifin ini menjelaskan lagi bagaimana jenis orang yang celaka dalam perniagaan mereka iaitu apabila orang lain menyukat untuk mereka, mereka hendak cukup timbangan itu. Namun apabila mereka pula menyukat untuk orang lain, mereka kurangkan. Amat buruk sekali perangai itu. Perbuatan ini dinamakan tatfif.

Apabila digunakan perkataan الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ bermaksud setiap cara timbangan dan sukatan dimasukkan ke dalamnya kerana mungkin pada zaman sekarang, cara ukuran sudah semakin canggih, maka apapun cara timbangan, kita perlu memastikan timbangan itu tepat.

Ini adalah peringatan kepada peniaga-peniaga kita yang ada dalam kalangan mereka yang mengurangkan timbangan yang diberikan kepada pelanggan-pelanggan mereka. Macam-macam cara mereka gunakan untuk mengurangkan timbangan itu. Mungkin mereka kurangkan sedikit sahaja setiap kali, tetapi kalau dicampur semua, maka lama kelamaan banyak juga habuan untuk mereka. Dengan keuntungan lebihan mereka yang sedikit itulah yang akan memasukkan mereka ke dalam neraka.

Inilah masalah masyarakat yang dialami oleh umat Nabi Syuaib عليه السلام, selain daripada masalah syirik yang mereka amalkan. Oleh kerana kesalahan mereka itu, seluruh bangsa mereka telah dihapuskan oleh Allah ‎ﷻ.

Kadang-kadang kita tidak berniat pun hendak menipu dalam timbangan itu. Kadang-kadang pengurangan itu disebabkan kecuaian kita. Ataupun kita tidak perasan. Sebagai contoh, peniaga makan dan minum mungkin terlupa memasukkan gula dalam minuman untuk pelanggannya. Pelanggan itu tidak minum tetapi dia bayar juga harga minuman itu. Pendapatan begini dinamakan ‘Harta syubhah’. Dia tidak layak mendapat harta itu. Dia tidak perasan pun yang dia tidak layak dapat. Harta sebegini boleh dibersihkan dengan mengeluarkan zakat.

Jika hal ini diluaskan lagi, ia bukan hanya bermaksud takaran dalam perniagaan jual beli sahaja, tetapi dalam semua perkara. Pernah sekali Saidina Umar رضي الله عنه melihat seorang lelaki tidak melakukan salat dengan sempurna dan menegur lelaki itu: “Engkau telah melakukan tatfif!”. Ini disebut di dalam Muwatta’ Imam Malik. Imam Malik رحمه الله menambah dengan mengatakan ini menunjukkan yang tatfif itu boleh berlaku dalam semua keadaan.

Sebagai contoh, pekerja yang ‘mengular’ di tempat kerjanya, pekerja yang tidak menunaikan tanggungjawabnya, begitu jugalah sampai ke tahap menteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya, semua ini boleh termasuk dalam tatfif.

لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Kami tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar kesanggupannya.

Allah ‎ﷻ tidak membebankan makhluk-Nya dengan perkara-perkara yang mahkluk-Nya tidak boleh lakukan. Dalam konteks ayat ini, segala hukum-hukum dan suruhan yang telah disebut sebelum ini bukanlah sesuatu yang manusia tidak boleh penuhi. Manusia sebenarnya berkemampuan untuk menjalankan segala hukum-hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan itu.

Sebagai contoh bagi orang yang berniaga, jikalau ditimbang ada kurang butiran gula sebutir dua, ini dimaafkan. Ini kerana kita tidak mampu hendak periksa sampai ke butiran gula begitu. Salah satu cara yang boleh diamalkan seperti diajar oleh Rasulullah ﷺ adalah dengan memberi lebih. Bila beri lebih, maka sudah pasti tidak ada isu terkurang, bukan?

Dan ayat ini juga mengajar kita yang agama ini memang boleh diamalkan oleh semua manusia. Sebagai contoh, tidaklah susah untuk tidak melakukan syirik. Tidaklah mustahil untuk kita tidak membunuh anak-anak kita. Tidaklah juga sukar untuk berbuat baik kepada ibubapa dan juga untuk berlaku adil dalam sukatan kita semasa melakukan perniagaan. Kita cuma perlu buat sungguh-sungguh dalam menjalankan hukum Allah ‎ﷻ itu.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ tidak membebankan kita melainkan kesanggupan kita. Maka, daripada ayat ini juga mengajar kita supaya jangan kita bebankan orang lain terutama sekali orang bawahan kita. Dan jangan kita marah kepada pekerja kita yang tidak mampu menjalankan tugas yang terlalu berat yang kita berikan kepada mereka.

Sebagai contoh, mungkin kita suruh despatch kita hantar surat ke sepuluh tempat. Tetapi oleh kerana banyak sangat tempat yang perlu dihantar, dia hanya sempat hantar tujuh tempat sahaja. Janganlah pula kita marah dia kerana kita pun telah berikan tugas yang memang dia tidak mampu hendak sempurnakan.

Ini juga mengajar kita yang apa sahaja bebanan tanggungjawab yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita, kita sebenarnya mampu untuk menanggungnya. Maka, jangan kita mengeluh kerana kalau Allah ‎ﷻ sudah bebankan kepada kita, maknanya memang kita mampulah untuk melakukannya.

وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا

Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil,

Setiap kali kita membuka mulut kita untuk berkata-kata, sama ada dalam memberi hukum ataupun memberi nasihat ataupun apa sahaja, hendaklah kita berlaku adil. Jangan berlaku zalim kerana ia adalah haram. Maknanya kita hendaklah berlaku adil bukan sahaja di dalam perbuatan kita tetapi di dalam percakapan kita juga.

Ayat ini tidak khususkan untuk situasi di mana. Oleh sebab itulah, yang senang kita kaitkan adalah dengan para qadi (hakim). Akan tetapi boleh diluaskan dalam semua keadaan. Semua orang kena berlaku adil dan jangan berbuat zalim.

Ini bermaksud kita tidaklah boleh pilih kasih antara manusia. Kadang-kadang dengan orang yang kita suka, kita akan bercakap baik dengan mereka tetapi malangnya dengan orang yang kita benci, kita pandang rendah, kita bercakap kasar dengan mereka. Ini tidak bertepatan dengan apa yang Allah ‎ﷻ kehendaki.

Begitu juga, kadang-kadang berkenaan orang yang kita rapat, kita puji mereka di hadapan orang lain tetapi tidak pula kita lakukan perkara yang sama dengan orang yang tidak rapat dengan kita. Ini bermaksud kita telah pilih kasih, tidak berlaku adil dan ini adalah salah.

Selalunya kita dengan pekerja pun pilih kasih. Ada yang kita layan dengan baik dan bercakap dengan mereka dengan baik, namun ada yang sebaliknya. Maka, ingatlah tentang suruhan Allah ‎ﷻ dalam ayat ini.

وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ

walaupun ia adalah kerabat(mu),

Lihatlah juga [ Nisa: 135 ]

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ

Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu.

Kita kena berlaku adil dengan semua orang. Jangan pilih kasih. Jangan kerana orang yang buat salah itu daripada keluarga kita, kawan rapat kita, kita biarkan mereka lepas. Kadang-kadang dengan orang yang baik dengan kita, kita tidak tegur mereka.

Ini terutama sekali berlaku dalam negara kita yang kuat berpolitik. Selalunya, kalau ahli dalam parti mereka, mereka biarkan mereka membuat salah pun tidak mengapa, tetapi kalau parti lawan yang buat salah, mereka kecam dan kutuk tanpa henti. Sampaikan dalam hal agama pun boleh dibiarkan.

Sebagai contoh, kalau ada orang dalam parti sendiri, sampai buat syirik pun ada pemimpin yang tidak tegur, kerana takut hilang sokongan. Sampaikan ada ahli yang sudah masuk Syiah pun, disenyapkan sahaja. Ini adalah satu kesalahan yang berat.

Lihat juga [ Maidah: 8 ]

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

ذَٰلِكُمْ وَصّٰكُم بِهِ

Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu

Itulah kewajipan-kewajipan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita. Ini adalah sebagai penekanan daripada Allah ‎ﷻ untuk kita taat kepada apa yang telah disebut sebelum ini. Mari kita senaraikan balik apakah wasiat-wasiat daripada Allah‎ ﷻ itu:

1. Beribadah hanya kepada Allah ‎ﷻ.
2. Berbuat baik dengan Ibu Bapa
3. Jangan bunuh anak
4. Jangan dekati dosa keji
5. Jangan bunuh orang
6. Jangan dekati harta anak yatim
7. Penuhi sukatan dalam timbangan
8. Berlaku adil dalam percakapan
9. Penuhi janji dengan Allah

Dan janji ini juga boleh didapati di dalam dua kalimah Syahadah yang setiap hari kita lafazkan. Kita telah berjanji untuk hanya sembah, puja, buat ibadat, berdoa dan berharap hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kita juga telah berjanji untuk taat kepada Allah ‎ﷻ. Dan kita juga telah berjanji di dalam Syahadah itu untuk mengikut ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ. Kita semua telah berjanji kepada Allah ‎ﷻ tetapi malangnya kita selalu terlupa dengan kita itu.

Yang terlebih malangnya, oleh kerana ramai tidak faham syahadah yang mereka lafazkan itu, maka ramai orang Islam pada hari ini yang telah berdoa, berharap, dan menghambakan diri kepada selain Allah ‎ﷻ.

Mereka juga mengambil ajaran-ajaran dan amalan-amalan selain daripada apa yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Mereka ambil ajaran dan amalan daripada manusia, kitab-kitab karangan manusia, guru-guru mereka, dan ustaz-ustaz mereka. Mereka telah memungkiri janji yang mereka buat dengan Allah ‎ﷻ, tanpa mereka sedari.

Oleh itu, fahamilah janji yang selalu kita sebutkan setiap hari itu. Dan kembalilah memenuhi janji itu. Dan janji itu kalau diluaskan lagi, ia bermaksud janji untuk taat kepada Allah ‎ﷻ dalam semua perkara yang Dia suruh dan tinggalkan segala apa yang Dia larang kita lakukan.

وَبِعَهْدِ اللَّهِ أَوْفُوا

dan penuhilah janji dengan Allah.

Apakah sebenarnya janji kita kepada Allah ‎ﷻ? Itulah janji kita di alam arwah semasa kita mengaku yang Allah ‎ﷻ adalah Tuhan kita. Ini disebut di dalam [ A’raf: 172 ]

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُواْ بَلَى شَهِدْنَا

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”.

Sepatutnya terdapat sepuluh wasiat daripada Allah ‎ﷻ. Namun setakat ini, kita hanya mendapat sebanyak sembilan sahaja. Yang ke sepuluh akan disebut dalam ayat seterusnya.

لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

agar kamu ambil pengajaran.

Allah ‎ﷻ mengingatkan balik janji-janji itu kepada kita. Dan kalau kita amalkan selalu membaca Al-Qur’an, maka kita akan bertemu dengan peringatan-peringatan ini banyak terdapat dalam Al-Qur’an. Kita akan selalu diingatkan dengannya.

Tafsir Ayat Ke-153

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرٰطِى مُستَقِيمًا فَٱتَّبِعُوهُ‌ۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُم عَن سَبِيلِهِۦ‌ۚ ذٰلِكُم وَصَّٮٰكُم بِهِۦ لَعَلَّڪُم تَتَّقُونَ

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

وَأَنَّ هَٰذَا صِرٰطِي مُسْتَقِيمًا

dan (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus,

Inilah maksud tafsir daripada ayat ihdina siratal mustaqim. Setiap hari kita minta kepada Allah ‎ﷻ untuk tunjukkan kepada kita jalan yang lurus. Dan dalam ayat ini, terdapat penjelasan apakah jalan yang lurus itu. Maknanya, untuk mendapatkan jalan yang lurus, kena rujuk Al-Qur’an kerana ia dijelaskan dengan panjang lebar di dalamnya.

Maka kalimah هذا (ini) merujuk kepada agama Islam dan juga Al-Qur’an. Atau secara khusus merujuk kepada ayat-ayat di dalam Surah Al-An’am ini kerana terdapat di dalamnya berbagai arahan yang kita kena ikuti.

فَاتَّبِعُوهُ

maka ikutilah dia,

Maka apabila jalan itu lurus dan jelas, ikutlah sahaja. Inilah wasiat ke sepuluh daripada Allah ‎ﷻ, iaitu, hendaklah kita mengikuti jalan yang lurus itu. Pertama, kita kena tahu apakah jalan yang lurus itu dan selepas kita tahu, maka hendaklah kita mengikutinya. Inilah jalan yang membawa kita ke syurga. Diingatkan sekali lagi, untuk tahu jalan yang lurus, kena rujuk Al-Qur’an.

Di dalam Kitab Tafsir Mazhari disebut yang tujuan Allah‎ ﷻ menurunkan Al-Qur’an dan para Rasul adalah supaya manusia mengikut acuan yang diberi di dalam wahyu. Malangnya ramai manusia yang mengambil wahyu dan mereka pusing ke arah fahaman mereka. Kerana itulah kita banyak melihat ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith disalahgunakan oleh ramai manusia dan golongan agamawan untuk dijadikan sebagai penguat kepada fahaman terpesong mereka. Mereka pesongkan maksud wahyu supaya ikut kehendak mereka. Sepatutnya kita ikut wahyu, tetapi ramai yang menjadikan wahyu ikut mereka pula.

وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ

dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain),

Selain dari jalan Islam yang sebenar, ada banyak lagi jalan-jalan lain yang tidak betul. Nabi Muhammad ﷺ telah memberitahu kepada kita bahawa terdapat 72 lagi jalan yang tidak membawa terus ke syurga, maka hendaklah kita tinggalkan jalan-jalan itu.

Jalan yang lurus hanya ada satu. Di tepi jalan itu, ada banyak lagi jalan-jalan lain yang diduduki oleh syaitan yang akan mengajak kita untuk keluar dari jalan yang lurus itu. Maka, hendaklah kita tetap di atas jalan yang lurus dan tinggalkan jalan yang lain.

Maka, apakah jalan yang lurus itu? Itulah jalan sunnah: mengikut Al-Qur’an dan hadith. Ayat ini menekankan kepada kita kewajipan untuk mengikut jalan yang Nabi ﷺ bawa. Bukan jalan ulama’-ulama’ besar dan terkenal dan bukan jalan ustaz-ustaz dan bukan juga ideologi-idealogi baru yang dibawa oleh manusia. Jika ulama’ dan ustaz itu mengajar kita berdasarkan Al-Qur’an dan hadith, maka boleh lah kita ikuti mereka.

Namun kalau ajarannya bukan mengikut Al-Qur’an sunnah, maka tinggalkan mereka. Walaupun gelaran mereka itu orang panggil ‘tok guru’. Ini kerana tok guru pun banyak ajar ajaran salah sekarang. Walaupun ramai orang panggil ‘tok guru’, tidak semestinya ia berilmu yang benar. Ada yang ulang balik sahaja ajaran yang dia dapat daripada guru tanpa diperiksa benar atau tidak. Jangan jadi orang yang hanya percaya sahaja apa yang keluar dari mulut ‘tok guru’ dan ustaz. Semua kita akan dipertanggungjawabkan daripada fahaman dan amalan kita nanti. Kita tidak boleh jawab: “Ya Allah, aku tak tahu, sebab tok guru aku ajar begini, jadi aku ikut jer….”

فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ

maka jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya.

Jalan-jalan selain dari satu jalan yang lurus itu akan membawa kita ke neraka.

Sekarang ini entah berapa banyak perpecahan dalam kalangan kita. Bayangkan berapa banyak jalan-jalan silat, jalan-jalan tarekat yang berlainan jenis dan sebagainya. Berhati-hatilah dengan berbagai-bagai fahaman itu dan jika tidak selaras dengan Al-Qur’an dan hadith Nabi, maka semua jalan itu akan membawa ke neraka.

Kita selalu mengeluh, terdapat banyak perpecahan umat Islam zaman ini. Namun jarang kita dengar orang yang mencari jalan penyelesaian kepada perpecahan itu. Perpecahan itu terjadi kerana berbezanya pendapat daripada satu puak ke puak yang lain. Ini adalah kerana sumber ambilan hukum mereka yang berlainan.

Namun begitu, jika kita semua kembali kepada ajaran Al-Qur’an dan sunnah, maka semua kita akan bersatu kerana sumber hukum yang sama akan menyebabkan pertalian yang kuat antara kita. Ini kerana Al-Qur’an itu sama sahaja di tangan kita semua. Dan hadith-hadith yang sahih telah pun dibukukan untuk memudahkan kita merujuk hadith-hadith itu. Maka, semua akan ada sumber ambilan hukum yang sama. Oleh itu, kalau hendak bersatu, kenalah kembali kepada Al-Qur’an dan Sunnah.

Malangnya, golongan yang tidak peka perkara ini menuduh kita yang mengajar kepada Al-Qur’an dan Sunnah pula yang hendak memecahbelahkan umat dan masyarakat. Sedangkan kita hendak ajak bersatu. Walau bagaimanapun tuduhan ini biasa sahaja kerana Rasulullah ﷺ pun pernah dituduh begitu. Sebagaimana zaman Nabi ada Jahiliah Mekah, kita pun ada juga Jahiliah Malaysia.

ذَٰلِكُمْ وَصّٰكُم بِهِ

Yang demikian itu diperintahkan Allah

Ini penutup kepada tiga ayat yang panjang ini sebagai menerangkan agama kepada kita secara ringkas. Apa yang diperintahkan Allah ‎ﷻ, kenalah kita ikut. Tidak boleh ditolak walaupun satu. Yang penting kita perlu tahu apakah itu yang Allah ‎ﷻ perintahkan. Dan ini kena belajar. Jika arahan Allah ‎ﷻ pun tidak tahu, bagaimana kita hendak mengaku yang kita ini sudah taat? Ramai yang mengaku taat, taat, tetapi belum tahu pun apa benda yang perlu ditaati.

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

agar kamu bertaqwa

Supaya kita takut kepada Allah ‎ﷻ dan kita menjaga hukum seperti yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ kepada kita. Taqwa juga bermaksud kita sentiasa peka dengan Allah ‎ﷻ yang sentiasa mengawasi gerak geri kita sampaikan kita tidak berani hendak melakukan sesuatu yang dimurkai-Nya.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Amal#Prihatin

Komen dan Soalan