Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-139
وَقَالُواْ مَا فِى بُطُونِ هَـٰذِهِ ٱلأَنعَـٰمِ خَالِصَةٌ لِّذُڪُورِنَا وَمُحَرَّمٌ عَلَىٰٓ أَزوٰجِنَاۖ وَإِن يَكُن مَّيتَةً فَهُم فِيهِ شُرَڪَآءُۚ سَيَجزِيهِم وَصفَهُم إِنَّهُ ۥ حَڪِيمٌ عَلِيمٌ
Dan mereka berkata lagi: “Apa yang ada dalam perut binatang-binatang ternak itu (jika ia lahirkan hidup) adalah halal bagi lelaki-lelaki kami dan haram bagi perempuan-perempuan kami”. Dan jika ia (dilahirkan) mati, maka mereka (lelaki perempuan) bersekutu padanya (bersama-sama memakannya). Allah akan membalas mereka tentang apa yang mereka tetapkan (mengenai halal dan haram) itu. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
وَقَالُوا مَا فِي بُطُونِ هَٰذِهِ الْأَنْعَامِ
Dan mereka mengatakan: “Apa yang ada dalam perut binatang ternak ini
Ini adalah kalau dalam perut binatang itu ada anak. Binatang yang dimaksudkan itu adalah al-Bahiirah. Ini satu lagi rekaan fahaman karut mereka. Ini sama juga dengan fahaman karut dalam kalangan masyarakat kita yang mengatakan bahawa lembu yang berbintik tidak boleh dijual.
خَالِصَةٌ لِّذُكُورِنَا
adalah khusus untuk kaum lelaki kami
Musyrikin Mekah berkata hanya orang lelaki sahaja yang boleh memakannya dan orang wanita diharamkan untuk memakannya.
Memang masih ada lagi fahaman karut di negara kita yang mengkhususkan sesuatu makanan untuk lelaki sahaja dan ada makanan lain pula yang khusus untuk perempuan sahaja. Mereka kata perempuan tidak boleh makan sebab akan jadi begini dan begitu.
وَمُحَرَّمٌ عَلَىٰ أَزْوَاجِنَا
dan diharamkan atas wanita kami
Ada juga sesetengah makanan yang hanya boleh dimakan oleh orang tua sahaja dan budak-budak tidak boleh makan. Ini pun adalah fahaman yang karut juga.
Ini adalah permulaan diskriminasi antara lelaki dan perempuan. Ini adalah satu diskriminasi yang tidak elok hingga dibezakan manakah makanan yang hanya lelaki sahaja boleh makan. Memang ini telah berlaku zaman berzaman. Islamlah yang memberikan hak wanita seperti yang sepatutnya.
Pada hal Allah ﷻ tidak pernah membezakan makanan untuk lelaki dan makanan untuk perempuan. Oleh itu jikalau zaman sekarang pun kita ada membeza-bezakan mana makanan yang elok dimakan untuk lelaki dan tidak elok dimakan oleh perempuan itu pun adalah satu perbuatan yang haram.
وَإِن يَكُن مَّيْتَةً
dan jika yang dalam perut itu dilahirkan mati,
Dia ini pula jika ada anak yang di dalam perut itu mati di dalam kandungan. Ataupun semasa hidupnya binatang itu, wanita tidak boleh menikmati apa-apa hasil daripadanya – hendak minum susu tidak boleh. Tetapi apabila sudah mati, baru boleh makan dagingnya.
فَهُمْ فِيهِ شُرَكَاءُ
maka lelaki dan wanita sama-sama boleh memakannya.
Kalau anak yang lahir daripada binatang itu mati maka lelaki atau pun perempuan boleh kongsi memakannya. Tetapi jikalau anak yang lahir itu hidup, maka lelaki saja yang dibenarkan untuk memakan binatang itu.
Memang tidak berapa jelas tentang hukum yang ditetapkan oleh Musyrikin Mekah itu. Ada beberapa pendapat tentang apakah yang dimaksudkan dengan Bahiirah, Hamm dan sebagainya. Ini adalah kerana ia telah lama berlaku. Allah ﷻ cuma menyebut tentang fahaman salah mereka sahaja. Yang penting adalah pengajaran yang kita boleh ambil daripadanya di mana tidak boleh membuat hukum sendiri-sendiri dan tidak boleh ada fahaman yang karut marut.
سَيَجْزِيهِمْ وَصْفَهُمْ
Kelak Allah akan membalas mereka terhadap ketetapan mereka.
Kalimah وَصْفَهُمْ berasal daripada perkataan و ص ف yang bermaksud penentuan atau cara-cara. Mereka pandai-pandai menentukan sesuatu yang tidak benar tentang Allah ﷻ. Dalam masyarakat kita pun ada: mereka kata ini golongan Syed tidak boleh makan, golongan Nik tidak boleh makan. Maka sama sahaja akidah mereka. Ketahuilah yang Allah ﷻ akan membalas perbuatan mereka menyifatkan sesuatu yang salah. Mereka pandai-pandai reka dan kemudian mereka katakan ia adalah sebahagian daripada agama.
Apa yang mereka buat itu adalah syirik kerana mereka mengharamkan apa yang halal untuk dimakan. Hukumnya adalah syirik kerana hal mengharamkan dan menghalalkan adalah keputusan Allah ﷻ semata-mata tetapi mereka telah pandai-pandai membuat hukum sendiri dan mengambil alih tugas Allah ﷻ.
إِنَّهُ حَكِيمٌ عَلِيمٌ
Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.
Allah ﷻ Maha Bijaksana dalam menentukan mana yang haram dan manakah makanan yang halal untuk dimakan. Apa yang haram itu tidak elok dimakan dan apa yang halal itu adalah elok untuk dimakan. Maka, kita yang tidak tahu apakah hikmat yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ itu, hendaklah kita mengikut sahaja apa yang Allah ﷻ telah tetapkan.
Allah ﷻ juga maha tahu tentang keperluan kita di dalam hidup dan kerana itu Allah ﷻ telah menentukan makanan yang sesuai untuk kita.
Tafsir Ayat Ke-140
Hasil daripada hasutan syaitan, mulanya tentang pantang makanan sahaja. Namun lama kelamaan, syaitan mula mempengaruhi mereka untuk membunuh anak-anak mereka. Itulah bahayanya kalau sentiasa mengikut bisikan syaitan. Mereka akan merosakkan agama kita sedikit demi sedikit.
Mulanya nampak macam tidak ada apa yang kita buat. Tetapi lama kelamaan, apabila kita sudah selalu sangat ikut kata syaitan, maka kita akan terus ikut tanpa soal segala arahan dan pujukan mereka. Kita selalu dengar ada orang yang tahu sesuatu perkara itu salah, tetapi dia tidak dapat tahan diri daripada membuat perkara itu. Ini kerana syaitan sudah dapat mengawal dirinya.
قَد خَسِرَ ٱلَّذِينَ قَتَلُوٓاْ أَولَـٰدَهُم سَفَهَۢا بِغَيرِ عِلمٍ وَحَرَّمُواْ مَا رَزَقَهُمُ ٱللَّهُ ٱفتِرَآءً عَلَى ٱللَّهِۚ قَد ضَلُّواْ وَمَا ڪَانُواْ مُهتَدِينَ
Sesungguhnya rugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan, lagi tidak berpengetahuan (sedang Allah yang memberi rezeki kepada sekalian makhluknya), dan juga (rugilah orang-orang yang) mengharamkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka, dengan berdusta terhadap Allah. Sesungguhnya sesatlah mereka, dan tiadalah mereka mendapat petunjuk.
قَدْ خَسِرَ الَّذِينَ قَتَلُوا أَوْلٰدَهُمْ
Sesungguhnya rugilah orang yang membunuh anak-anak mereka,
Kita mungkin sudah biasa dengar Arab Jahiliyah membunuh anak-anak perempuan mereka. Akan tetapi kena tahu yang bukan semua daripada puak bangsa Arab yang membunuh anak-anak mereka. Dikatakan bahawa hanya beberapa puak sahaja yang berbuat begitu. Termasuk yang dikatakan mengamalkan pembunuhan anak-anak adalah puak Rabi’ dan Mudhar.
Bangsa Quraisy tidak melakukan perkara ini. Maka, kisah Sayidina Umar رضي الله عنه membunuh anak perempuannya tidak benar sama sekali. Itu hanyalah tohmahan daripada puak Syiah sahaja.
Amat bodoh sekali mereka kerana dengan membunuh anak akan merugikan diri mereka. Mereka rugi di dunia kerana mereka kekurangan anak; ini kerana anak boleh membantu kerja-kerja dan sebagai penenang hati dan sebagainya; dan mereka akan rugi di akhirat kelak kerana mereka akan dihukum dengan amat teruk sekali.
سَفَهًا بِغَيْرِ عِلْمٍ
kerana kebodohan lagi tidak mengetahui
Semua yang mereka lakukan itu adalah kerana kebodohan mereka. Ibn Abbas رضي الله عنهما pernah berkata: “Jikalau kamu hendak tahu betapa bodohnya mereka di zaman Jahiliah, maka bacalah perbuatan-perbuatan mereka di dalam surah al-An’am ini bermula daripada ayat ke-136 dan seterusnya.”
Apabila membaca bagaimanakah perbuatan mereka, kita boleh nampak bagaimana bodohnya perkara-perkara yang mereka lakukan. Maka, ini menjadi pengajaran kepada kita supaya tidak ikut kaedah mereka dalam membuat hukum (iaitu ikut nafsu).
وَحَرَّمُوا مَا رَزَقَهُمُ اللَّهُ
dan mereka mengharamkan apa yang Allah telah rezekikan pada mereka
Allah ﷻ telah memberi kita dan mereka dengan berbagai-bagai rezeki, antaranya termasuklah makanan dan juga anak-anak. Tetapi mereka telah mengharamkan makanan yang boleh dimakan dan mereka juga telah membunuh anak-anak mereka. Itulah sebabnya mereka dikatakan amat rugi.
Mereka rugi di dunia kerana tidak dapat menikmati rezeki itu dan mereka akan rugi di akhirat kerana mereka akan dibalas atas perbuatan mereka mereka-reka hukum yang baru.
افْتِرَاءً عَلَى اللَّهِ
dengan semata-mata mengada-adakan pembohongan terhadap Allah.
Perbuatan mereka itu adalah mengadakan dusta terhadap Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak pernah mengharamkan makanan yang mereka haramkan tetapi mereka yang memandai mengharamkannya. Mereka kata Allah ﷻ suka pula dengan hukum itu. Samalah juga dengan mereka yang mencipta ibadah-ibadah bid’ah dalam agama. Mereka yang reka amalan, kemudian mereka kata amalan itu Allah ﷻ suka.
Mereka sangka mereka buat perkara yang baik dan akan mendapat pahala, tetapi rupanya nanti mereka akan dihukum kerana dosa mengamalkan benda baru yang Allah ﷻ tidak ajar pun.
Sebagai contoh, ada ulama’ yang reka zikir baru, dan mereka ‘beri’ pahala kepada amalan zikir itu. Mereka kata kalau mengamalkan zikir itu, pahalanya sebanyak langit dan bumi.
Sebagai contoh, amalan tarekat Ahmadiyah adalah:
لاَاِلَهَ اِلاّ اللهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللهِ فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ اللهِ
Bahawasanya tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah pada setiap kerlipan mata dan nafas sebanyak bilangan ilmu Allah.
Ini adalah satu amalan rekaan yang timbul lama selepas Nabi ﷺ wafat. Mereka yang mengamalkan amalan ini mengatakan sekali baca zikir ini, pahalanya sebanyak langit dan bumi. Tentu tidak ada dalil kerana zikir ini tidak pernah ada pada zaman Nabi ﷺ tetapi ia diamalkan kerana golongan tarekat tidak prihatin tentang dalil dan bukti amalan.
Dan ketahuilah zikir ini adalah zikir yang kufur kerana ia berzikir kepada Allah ﷻ dan dalam masa yang sama berzikir kepada Nabi Muhammad ﷺ juga. Kita tidak boleh berzikir kepada selain Allah ﷻ.
قَدْ ضَلُّوا
Sesungguhnya mereka telah sesat
Mereka sangka mereka terpimpin, tetapi sebenarnya tidak. Mereka sangka apa yang diberitahu oleh pemimpin-pemimpin mereka itu, mestilah benar. Pemuka-pemuka Quraisylah yang mengatakan bahawa makanan ini boleh dimakan atau tidak, sembelihan ini boleh dimakan atau tidak. Mereka yang masyarakat awam hanya mengikut sahaja.
Begitulah juga yang terjadi di dalam kebanyakan masyarakat kita. Apabila sesuatu hukum itu diberitahu oleh ustaz mereka, ramai dalam kalangan masyarakat awam terus terima walaupun ustaz mereka itu tidak beri dalil pun. Mereka sangka para asatizah itu sudah terpimpin tetapi sebenarnya tidak. Amalan itu adalah amalan yang sesat. Kita kena tahu bahawa amalan bid’ah adalah amalan yang sesat. Kerana inilah hadith yang Nabi ﷺ telah beritahu kepada kita. Nabi ﷺ melarang daripada membuat bid’ah kerana ia bahaya kepada agama.
وَمَا كَانُوا مُهْتَدِينَ
dan tidaklah mereka mendapat petunjuk.
Mereka yang membuat amalan yang salah telah menyangka bahawa mereka telah membuat perkara baik, dapat pahala, akan tetapi tidak sebenarnya. Petunjuk dalam dunia ini adalah daripada Al-Qur’an dan Hadith sahih. Semua Muslim sepatutnya tahu dan menjadikan dua sumber itu sebagai rujukan yang utama. Namun malangnya, mereka masih lagi menerima pendapat daripada manusia – daripada ulama’, ustaz, tok nenek keturunan mereka dan sebagainya.
Mereka amat jahil dengan nas yang sah. Apabila mereka bercakap, kita tahu yang mereka langsung tidak tahu dalil daripada Al-Qur’an dan sunnah. Tetapi nada bahasa yang digunakan oleh mereka, macamlah mereka itu pandai sangat. Padahal, hujah mereka adalah hujah akal sahaja. Ini amat menyedihkan. Lebih sedih lagi, apabila kita tegur mereka, kita pula yang kena marah dan dituduh sebagai sesat pula.
Tafsir Ayat Ke-141
Dalam ayat ini Allah ﷻ menceritakan kepada kita nikmat-nikmat yang telah diberikan-Nya kepada kita. Dengan kita mengetahui segala nikmat-nikmat, itu maka kita lebih mengenali Allah ﷻ dan lebih menghargai Allah ﷻ.
Dalam masa yang sama, Allah ﷻ menceritakan tentang alam ini kepada kita. Dunia ini telah dijadikan dengan berbagai-bagai keindahan yang perlu kita amati dan kita perlu hargai kerana ia telah diberikan kepada kita oleh Allah ﷻ. Maka, dalam ayat ini Allah ﷻ menceritakan tentang tumbuh-tumbuhan yang telah Allah ﷻ ciptakan untuk kita.
وَهُوَ ٱلَّذِىٓ أَنشَأَ جَنَّـٰتٍ مَّعرُوشَـٰتٍ وَغَيرَ مَعرُوشَـٰتٍ وَٱلنَّخلَ وَٱلزَّرعَ مُختَلِفًا أُڪُلُهُ ۥ وَٱلزَّيتُونَ وَٱلرُّمَّانَ مُتَشَـٰبِہًا وَغَيرَ مُتَشَـٰبِهٍ۬ۚ ڪُلُواْ مِن ثَمَرِهِۦۤ إِذَآ أَثمَرَ وَءَاتُواْ حَقَّهُ ۥ يَومَ حَصَادِهِۦۖ وَلَا تُسرِفُوٓاْۚ إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلمُسرِفِينَ
Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaitun dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.
وَهُوَ الَّذِي أَنشَأَ جَنَّٰتٍ مَّعْرُوشٰتٍ
Dan Dialah yang menaikkan kebun-kebun yang berjunjung
Perkataan أَنشَأَ bermaksud mencipta sesuatu dan menyebabkan ia tumbuh dan hidup. Allah ﷻ mengingatkan kita dalam ayat ini bahawa Dialah yang telah menjadikan kebun-kebun dan menyebabkan kebun-kebun itu hidup subur dan berkembang biak. Kita sangka kita yang tanam pokok tu, tetapi Allah ﷻ beritahu yang Dia sebenarnya yang menjadikan kebun-kebun itu kerana segalanya daripada Allah ﷻ. Tanah daripada Allah ﷻ, benih daripada Allah ﷻ dan cara tanam pun Allah ﷻ yang ajarkan.
Maka, Allah ﷻlah yang menumbuhkan dan menyuburkan tanaman. Dan tanaman itu telah berkembang biak itu sedikit demi sedikit. Sebab kalau dengan tumbuhan, tidaklah kita tanam hari ini, esok sudah naik besar menjadi banyak. Ia akan mengambil masa. Itu semua dalam perancangan Allah ﷻ.
Perkataan جَنَّاتٍ adalah jamak kepada جَنَّة yang bermaksud ‘taman’. Syurga juga dipanggil جَنَّة dalam bahasa Arab kerana ia juga adalah taman yang amat indah. Maka, perkataan جَنَّة bermaksud ‘tanaman yang lebat’ iaitu apabila bumi dipenuhi dengan tanaman yang menghijau sehingga susah untuk nampak tanah apabila tanaman menghijau memenuhi kawasan itu.
Perkataan مَّعْرُوشَاتٍ berasal daripada عرش yang bermaksud ‘singgahsana’ (yang kita pun biasa dengan Arasy). Sifat singgahsana ialah ditinggikan daripada benda-benda lain yang di sekelilingnya. Oleh itu, مَّعْرُوشَاتٍ adalah tanaman jenis berpara seperti buah anggur, kacang panjang dan sebagainya kerana jenis-jenis tanaman seperti itu naik meninggi. Dan ia memerlukan para untuk ia memanjat kerana ia tidak cukup kuat kalau tidak ada para.
Ada juga pendapat yang mengatakan kalimah مَّعْرُوشَاتٍ bermaksud pokok yang ‘tinggi’ seperti pokok Tamar. Allahu a’lam.
وَغَيْرَ مَعْرُوشٰتٍ
dan yang tidak berjunjung
Selain daripada pokok yang memerlukan junjung/para, terdapat juga pokok yang melata di tanah yang tidak berpara. Tanaman itu tidak boleh menggunakan junjung atau para kerana berat seperti labu dan tembikai.
وَالنَّخْلَ وَالزَّرْعَ مُخْتَلِفًا أُكُلُهُ
pohon kurma dan tanam-tanaman yang bermacam-macam jenis pengeluarannya
Buah-buahan dan biji-bijian yang dikeluarkan oleh tanaman itu berbagai-bagai jenis dari segi warna, rasa, rupa dan sebagainya. Itu adalah salah satu daripada maksud أُكُلُهُ – pengeluarannya, atau hasilnya.
Begitu banyak sekali jenis-jenis tanaman, sampaikan kadang-kadang kita tidak tahu apakah jenis biji-bijian dan buah-buahan yang ada di pasaraya apabila kita pergi membeli belah. Ada yang kita tahu, tetapi ada juga yang kita bagaikan tidak pernah lihat pun. Kita pun tidak tahu di mana ia ditanam, dari negeri manakah ia datang dan bagaimanakah cara untuk memakannya.
Cara tanam tanaman itu dimakan juga berbeza-beza. Ini adalah makna kedua daripada perkataan أُكُلُهُ – cara pemakanannya. Ada yang kena kupas kulitnya terlebih dahulu sebelum dimakan dan ada yang boleh dimakan dengan kulit-kulitnya sekali. Ada yang dimakan terus dan ada yang kena masak dahulu baru boleh dimakan.
Ada pula hasil tanaman yang boleh dibuat sup dan ada pula tumbuhan yang dimakan begitu sahaja. Ada juga yang perlu dihancurkan untuk dimakan dan ada juga yang dijadikan dalam bentuk roti. Berbagai-bagai cara memakannya. Begitulah Allah ﷻ telah memberikan pilihan kepada kita sebagai nikmat untuk kita.
Maka, makanlah dengan apa cara yang sesuai. Janganlah pula kita mengharamkan memakan sesuatu tanaman yang Allah ﷻ telah berikan sebagai rezeki untuk kita. Rezeki daripada Allah ﷻ hendaklah kita hargai dengan menikmatinya; asalkan kita ingat untuk bersyukur di atas nikmat itu.
وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ مُتَشٰبِهًا
dan zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya)
Zaitun dan delima adalah dua jenis buahan yang ada banyak kebaikan dan boleh menjaga kesihatan kita. Ada buah-buahan yang nampak sama sahaja jenisnya, tetapi tidak semestinya sama dari segi sifatnya.
وَغَيْرَ مُتَشٰبِهٍ
dan tidak sama (rasanya).
Daun pokok zaitun dan delima itu hampir serupa, tetapi buahnya berlainan rasa. Ada banyak jenis lagi tanaman yang nampak ada persamaan tetapi berbeza. Hebat betul Allah ﷻ menjadikan alam ini dan segala tumbuhan dengan segala misteri. Tanah yang sama, air yang sama, tetapi berjenis-jenis tanaman boleh tumbuh. Memang akal kita tidak mampu untuk memahaminya.
Ada buah yang memang sama jenis, tetapi ada yang warna berlainan dan ada yang rasa berlainan. Sebagai contoh, buah epal ada banyak jenis Allah ﷻ keluarkan untuk kita. Ada lebih daripada 7,500 jenis epal sebenarnya dalam dunia ini.
Begitulah juga, Allah ﷻ boleh menjadikan dua biji daripada buah yang sama tetapi tidak sama dari segi sifatnya. Mungkin ada persamaan dari segi saiz dan warna buah itu tetapi rasa tidak sama. Ada buah yang rasa manis tetapi ada yang masam. Seperti kalau kita makan durian, ada yang rasa lain dan ada yang rasa sama walaupun daripada pokok yang sama.
Kenanglah segala nikmat yang Allah ﷻ telah berikan itu, maka kenapa hendak melawan hukum Allah ﷻ? Kenapa hendak reka-reka hukum dan kata Allah ﷻ suka sedangkan Dia tidak beri dalil pun?
كُلُوا مِن ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ
Makanlah daripada buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah,
Allah ﷻ mengajar kepada kita hukum untuk memakan buah-buahan daripada tanam-tanaman yang Allah ﷻ telah jadikan untuk kita. Allah ﷻ buat semua itu bukan untuk Dia, tetapi untuk kita. Secara dasarnya, semua buah-buahan dan semua biji-bijian boleh dimakan oleh kita. Bila sudah berbuah sahaja boleh makan, tidak perlu tunggu masak. Buah yang masih putik lagi pun sudah boleh dimakan, kalau berselera.
Kecuali jikalau buah-buahan ataupun biji-bijian itu tidak boleh dimakan kerana akan memberi kesan tidak baik kepada kita – sebagai contoh, kita boleh terkena racun dan sebagainya. Kalau dalam keadaan itu, ia telah menjadi haram untuk dimakan.
Ada juga yang asalnya halal, tetapi boleh menjadi haram kalau disalahgunakan. Sebagai contoh, buah anggur itu halal dimakan tetapi apabila ia dijadikan arak maka ia sudah menjadi haram. Begitu juga barli boleh dimakan tetapi kalau diproses menjadi tuak kita tidak boleh minum kerana akan memabukkan.
وَءآتُوا حَقَّهُ يَوْمَ حَصَادِهِ
dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya;
Iaitu, berilah zakat bila telah sampai masa menuai. Perkataan حَصَادِهِ diertikan sebagai ‘masa menuai’. Masa menuai adalah masa yang sesuai untuk menuai hasil tanaman itu, tidak terlalu awal kerana buah masih muda dan tidak terlalu lewat kerana buah sudah terlalu masak dan mungkin sudah busuk.
Selalunya zakat lain dikeluarkan apabila telah cukup setahun. Tetapi zakat tanam-tanaman dikeluarkan apabila selesai menuai. Dikeluarkan sebanyak satu persepuluh daripada hasil tanaman itu atau separuh daripadanya. Perbezaan ini perlu dipelajari dalam hukum fekah.
Ada juga yang mengatakan perkataan حَقَّهُ bermaksud hak-Nya – hak Allah ﷻ. Bermaksud ayat ini adalah suruhan untuk mengeluarkan ‘sedekah’. Ini kerana, seperti yang kita tahu, surah al-An’am ini adalah surah Makkiyah di mana belum lagi difardhukan hukum zakat. Arahan zakat difardhukan hanya apabila Nabi ﷺ telah berhijrah ke Madinah. Oleh sebab itu, semasa ayat ini diturunkan di Mekah, ia mungkin bermaksud ‘sedekah’ tetapi bila kita membacanya sekarang ia sudah bermaksud mengeluarkan zakat pada hari menuai.
Ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk mengatakan yang zakat pertanian hendaklah dikeluarkan pada hari yang sama tanaman itu dituai. Tetapi ada juga ulama’ yang mengatakan tidak semestinya dikeluarkan pada hari menuai itu tetapi boleh dilakukan kemudian. Asalkan jangan terlalu lambat kerana takut digunakan pula untuk perkara lain.
Seeloknya zakat itu dikeluarkan pada hari yang sama kerana apabila tanaman telah berbuah, maka mereka yang layak mendapat zakat itu mungkin telah melihatnya dan mereka telah mengharap untuk mendapatkannya pada hari itu juga. Kalau kita melengah-lengahkan mengeluarkan zakat pada hari itu, ditakuti barakah berzakat itu akan berkurangan. Allahu a’lam.
Adakah menunaikan haq itu bermaksud sedekah sunat atau zakat? Ulama’ khilaf tentang hal ini. Ada yang kata ayat ini jenis Makkiyah maka yang dimaksudkan adalah sedekah sunat sahaja. Ada juga yang berpendapat ia bermaksud zakat kerana ayat ini adalah ayat Madaniyyah. Ada pula yang berpendapat zakat memang sudah diwajibkan di Mekah cuma berapa banyak yang perlu diberi hanya ditetapkan di Madinah.
وَلَا تُسْرِفُوا
dan janganlah kamu berlebih-lebihan.
Iaitu janganlah kamu melampau melawan hukum Allah ﷻ tidak mengeluarkan zakat bila telah sampai masanya.
Juga jangan berlebihan melawan hukum Allah ﷻ dengan memberikan kepada berhala-berhala selain diberikan kepada Allah ﷻ. Jangan berlebihan dengan merekacipta amalan-amalan baru pula dalam agama.
Ataupun ayat ini memberi peringatan kepada para petani yang menuai hasil tanaman mereka. Para petani mendapat hasil mereka mungkin setahun sekali. Tidak sama dengan kita yang bekerja makan gaji kerana kita dapat gaji selalunya sebulan sekali. Apabila kita dapat gaji sebulan sekali, maka senanglah untuk kita mengatur keperluan hidup kita. Ini kerana kita bayar bil dan membeli makanan mengikut keperluan bulan itu.
Namun bayangkan keadaan para petani yang mendapat ‘gaji’ mereka setahun sekali. Mereka kena pandai untuk mengatur kewangan mereka supaya mereka dapat bertahan sehingga ke masa menuai tahun hadapan. Kalau mereka boros, berlebih-lebihan, maka mereka akan mempunyai masalah untuk menjalani hidup mereka sehingga sampai ke masa menuai yang seterusnya. Jangan gunakan terlalu awal sampai habis, nanti tidak ada bekalan pula.
Dan janganlah kita melampau-lampau dalam agama dengan mengharamkan makanan yang halal untuk dimakan. Dan jangan pandai-pandai menetapkan manakah makanan yang boleh dimakan oleh lelaki dan mana yang boleh dimakan untuk perempuan. Itu pun dikira berlebih-lebih dalam agama.
Boleh juga bermaksud, jangan berlebih-lebihan dalam memakan hasil tanaman itu sampaikan tidak dapat mengeluarkan zakat yang perlu dikeluarkan. Jangan kita dapat hasil, kita makan sampai habis, sampai termakan bahagian yang sepatutnya kita keluarkan untuk zakat. Atau jual semuanya sampai tidak ditinggalkan untuk dikeluarkan zakat.
Ia juga bermaksud jangan berlebih-lebihan dalam berbelanja iaitu yang lebih daripada kemampuan. Katakanlah gaji seseorang iaitu RM3,000 sebulan maka janganlah dikeluarkan belanja sampai habis RM3,000. Kalau seseorang melakukan begitu, bermakna dia telah menyusahkan dirinya dan juga diri orang orang yang di bawah tanggungannya.
Termasuklah dalam hal ini, jikalau seseorang itu mengeluarkan sedekah yang terlalu banyak sampaikan dia tidak dapat memberikan kepada mereka yang di bawah tanggungannya. Walaupun sedekah itu adalah satu perbuatan yang mulia dan dituntut, tetapi kita hendaklah mendahulukan keperluan mereka yang dalam tanggungan kita.
Potongan ayat ini juga bermaksud: jangan membazir. Katakanlah tanam-tanaman kita mengeluarkan buah-buahan yang banyak melebihi daripada apa yang kita boleh makan. Dalam keadaan begitu, janganlah kita membazir dengan membuang buah-buahan yang berlebih itu tetapi berilah kepada mereka yang memerlukannya. Ini banyak dilakukan di negara Barat di mana mereka akan buang hasil tanaman mereka kerana tidak mahu harga tanaman mereka jatuh di pasaran. Mereka sanggup buang dari harga turun.
Begitu juga jikalau kita membeli makanan terlalu banyak sampaikan kita tidak mampu menghabiskannya. Janganlah kita menyimpannya di dalam peti ais di rumah kita sahaja sampai tidak boleh dimakan lagi dan kemudian kita terpaksa membuangnya. Ataupun, kita ada pakaian yang banyak yang kita sudah tidak mahu pakai lagi. Bila kita tidak mahu pakai lagi, berikanlah kepada mereka yang memerlukannya.
Jangan juga berlebih-lebihan di dalam membeli pakaian yang cantik-cantik dan mahal-mahal sampaikan dikira israf. Ada orang yang membeli pakaian terlalu banyak sampaikan tidak ada masa pun untuk pakai pakaian itu. Sebagai contoh, apabila berkahwin, orang kita selalu beli pakaian yang mahal, tetapi pakai hanya sekali itu sahaja. Apa salahnya beli pakaian yang boleh dipakai di kemudian hari?
Bayangkan orang-orang miskin yang tidak dapat membeli pakaian walaupun mereka amat memerlukan pakaian itu. Mereka mungkin ada sehelai sahaja pakaian atau beberapa pakaian yang mereka terpaksa pakai sampai lusuh. Jangan lupakan keperluan mereka. Tidakkah kita malu dengan Allah ﷻ kerana kita membazir dengan pakaian, tetapi dalam masa yang sama entah berapa ramai orang miskin yang tidak mampu membeli pakaian.
Juga bermaksud jangan berbelanja untuk perkara-perkara ke arah dosa. Dalam surah ini diceritakan bagaimana Musyrikin Mekah akan memberikan sebahagian daripada tanaman mereka kepada berhala-berhala mereka. Itu adalah perbuatan yang amat berdosa. Maka kita pun janganlah berbelanja untuk perkara-perkara yang haram.
Sebagai contoh, jangan beri makanan kepada orang kerana disuruh tok bomoh kononnya untuk menyembuhkan penyakit kita. Ini selalu dilakukan oleh orang-orang kita (yang masih percaya dengan bomoh). Apabila mereka sakit, tok bomoh akan kata kena sembelih ayam, kambing atau lembu untuk jamu ‘penunggu’. Perbuatan tersebut sebenarnya adalah memberi makan kepada jin. Nauzubillah, itu pun sudah sama macam memberi makanan kepada berhala! Tetapi begitulah orang-orang kita yang jahil.
إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.
Dalam ayat ini ada tiga arahan Allah ﷻ kepada kita:
Pertama, makanlah daripada hasil tanam-tanaman itu. Janganlah kita kononnya zuhud sangat sampaikan apabila ada makanan yang sedap, kita tidak memakannya. Ada mereka yang kononnya zuhud sangat, sampaikan tidak boleh memakan makanan yang sedap-sedap – kononnya kerana itu semua adalah nikmat dunia dan nanti takut akan terlalu sayang sangat dunia.
Tiada siapa yang ajar untuk buat begitu melainkan mereka yang sesat sahaja. Ingatlah bahawa segala makanan yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita ini adalah sebagai nikmat yang diberikan kepada kita. Allah ﷻ sudah suruh kita makan makanan itu, bermakna kalau kita makan, itu pun adalah satu ibadah juga kepada diri kita kerana kita taat kepada Allah ﷻ. Bila kita mengikut arahan Allah ﷻ maka ia adalah satu ibadah. Allah ﷻ mahu kita menikmati nikmat yang diberikan-Nya, maka itulah sebabnya Allah ﷻ telah menjadikan berbagai-bagai jenis tanaman dan buah-buahan dan biji-bijian untuk kita.
Allah ﷻ pun tidak mengharamkan mana-mana buah-buahan atau biji-bijian. Semuanya kita boleh makan. Apabila kita menggunakan nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita, itu adalah satu perbuatan bersyukur sebenarnya.
Kedua, tunaikanlah zakat apabila sampai masanya, atau keluarkan sedekah kepada mereka yang memerlukannya.
Ketiga, jangan berlebih-lebihan. Dalam kehidupan, dan juga dalam beragama.
Allahu a’lam
#Ilmu#Amal#Prihatin