Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’Am: Tafsir Ayat Ke-121 hingga Ke-124

Tafsir Surah Al-An’Am: Tafsir Ayat Ke-121 hingga Ke-124

127
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’Am
Tafsir Ayat Ke-121

وَلَا تَأڪُلُواْ مِمَّا لَم يُذكَرِ ٱسمُ ٱللَّهِ عَلَيهِ وَإِنَّهُ ۥ لَفِسقٌ وَإِنَّ ٱلشَّيَـٰطِينَ لَيُوحُونَ إِلَىٰٓ أَولِيَآٮِٕهِم لِيُجَـٰدِلُوكُم وَإِن أَطَعتُمُوهُم إِنَّكُم لَمُشرِكُونَ

Dan janganlah kamu makan daripada (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa); dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu; dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik.

وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ

Dan janganlah kamu memakan binatang-binatang yang tidak disebut nama Allah ke atasnya.

Ini merujuk kepada binatang yang mati sendiri kerana ia adalah bangkai dan kita dilarang daripada memakan bangkai. Apabila  mati dengan sendiri, tidak disembelih dengan menyebut nama Allah ‎ﷻ, maka binatang tersebut kotor kerana mungkin sudah busuk. Dan tidaklah baik untuk kesihatan kerana darah yang kotor tidak dibuang daripada tubuhnya.

Juga bermaksud binatang yang semasa disembelih, disebut nama tuhan selain daripada Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, semasa zaman jahiliah, puak Musyrikin Mekah semasa menyembelih binatang, akan menyebut nama tuhan dan berhala mereka seperti Latta dan Uzza. Pada zaman sekarang pula, agama-agama lain semasa menyembelih, mungkin mereka menyebut nama tuhan-tuhan mereka.

Syarat untuk kita boleh makan sembelihan itu ada dua:

1. Semasa sembelih itu, nama Allah ‎ﷻ disebut dan bukan disebut nama selain Allah ‎ﷻ ketika penyembelihan, seperti nama al-Masih dan seumpamanya.

2. Penyembelihan dilakukan seperti sembelihan Muslim, diputuskan urat halqum dan mari’ sehingga menumpahkan darah. Jika binatang tersebut mati kerana dijerut atau dikenakan kejutan elektrik, dibenam ke dalam air atau seumpamanya, maka binatang tersebut tidak halal dimakan.

Apabila disembelih dengan cara yang betul, maka darah binatang tersebut akan keluar. Dan bersama darah itu akan keluar sekali bahan yang kotor yang boleh membahayakan kesihatan. Ini telah dibuktikan secara saintifik. Maka binatang yang disembelih cara halal adalah binatang yang bersih untuk dimakan.

Kita selalu dengar binatang sembelihan ahli kitab itu boleh dimakan. Ini kerana terdapat dalil dalam [ Maidah:5 ]:

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ ۖ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَهُمْ

Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka.

Namun begitu, walaupun kita boleh memakan sembelihan ahli Kitab, kita kena juga mengikuti dua syarat itu, iaitu hendaklah disebut nama Allah ‎ﷻ semasa menyembelih. Walaupun orang itu adalah Ahli Kitab.

Namun, persoalan yang banyak ditimbulkan adalah: “Tapi sekarang, orang Kristian dan Yahudi bukan boleh dikira sebagai Ahli Kitab lagi, sebab Kitab mereka telah banyak diubah”.

Jawapan kepada persoalan ini adalah: Semasa zaman Nabi Muhammad ﷺ lagi Kitab-kitab mereka telah diubah. Bukan hanya sekarang baru Kitab mereka diubah. Namun walaupun kitab mereka telah diubah semasa zaman Nabi ﷺ, Allah ‎ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ masih lagi memanggil mereka ‘Ahli Kitab’.

Persoalan yang kedua yang ditimbulkan: “Macam mana kita nak tahu yang mereka ada menyebut nama Allah semasa mereka menyembelih itu?”

Jawapan kepada persoalan ini adalah: Kita tidak perlu selidiki secara mendalam bagaimana cara mereka sembelih dan sama ada mereka baca bismillah ataupun tidak. Nabi ﷺ hanya suruh membaca bismillah semasa kita memakan sembelihan itu. Ini terdapat dalam sebuah hadith dalam Sahih Bukhari:

‘Aisyah رضي الله عنها berkata: “Pernah sekumpulan orang berkata kepada Nabi ﷺ:

يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنَّ قَوْمًا يَأْتُونَنَا بِاللَّحْمِ ، لَا نَدْرِي أَذَكَرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ أَمْ لَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: سَمُّوا اللَّهَ عَلَيْهِ وَكُلُوهُ

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya satu kaum memberi daging kepada kami. Tetapi kami tidak tahu, apakah mereka membaca bismillah ketika menyembelih atau tidak. Sabda Nabi ﷺ: Bacalah bismillah dan makanlah.” (HR al-Bukhari)

Daripada hadith ini, kita tidak perlu selidiki apa yang mereka buat, dan kalau kita bertanya, itu sudah termasuk perkara melampau dalam agama. Sedangkan Nabi ﷺ pernah memakan sembelihan Yahudi dan baginda tidak bertanya apa-apa kepada mereka.

Berdasarkan penjelasan di atas, maka sesiapa yang berada di negara bukan Islam, kebanyakan yang melakukan penyembelihan pula adalah orang Kristian atau Yahudi, maka halal memakan sembelihan mereka. Melainkan jika diketahui mereka melakukan perkara yang menjadikan sembelihan itu haram seperti menyebut nama selain Allah ‎ﷻ ketika melakukan sembelihan seperti yang telah dijelaskan di atas.

Sekiranya yang menyembelih itu kita tahu sebagai penyembah berhala, maka HARAM memakan sembelihan mereka. Atau kalau kita nampak sendiri Ahli Kitab itu menyembelih bukan dengan cara yang betul, pun kita tidak boleh memakan makanan sembelihan itu. Tetapi, kalau kita tidak nampak, tidak mengapa. Allahu a’lam.

Kita memang telah tahu bahawa kita boleh memakan binatang yang telah disembelih dengan menyebut nama Allah ‎ﷻ tetapi ada satu keadaan di mana walaupun binatang itu telah disembelih dengan nama Allah ‎ﷻ, kita masih tidak boleh memakannya.

Sebagai contoh, orang-orang kita selalu memanggil bomoh untuk menghalau hantu, atau untuk mengubat orang kerasukan atau jenis-jenis sakit seperti itu. Bomoh itu awal-awal lagi sudah memberitahu kepada kita bahawa perlu disembelih binatang-binatang tertentu seperti ayam, kambing dan sebagainya. Sebenarnya yang meminta sembelihan binatang itu adalah jin yang bomoh itu panggil.

Maka, sewaktu sembelih ayam itu ataupun kambing itu, tukang sembelih akan menyebut nama Allah ‎ﷻ tetapi oleh kerana penyembelihan itu disebabkan oleh kerana pemujaan, dengan tujuan ingin menjamu jin, maka kita tidak boleh memakan sembelihan tersebut.

وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ

Sesungguhnya perbuatan yang semacam itu adalah suatu kefasikan.

Fasiq itu terkeluar daripada mentaati Allah ‎ﷻ, melanggar perintah-Nya. Ia adalah fasiq kerana memakan makanan yang haram. Allah ‎ﷻ sudah larang, tetapi hendak makan juga. Binatang itu adalah makhluk Allah ‎ﷻ dan kerana itu kenalah ikut arahan Allah ‎ﷻ: hendak makan dan sembelih, kena sebut nama Dia.

وَإِنَّ الشَّيٰطِينَ لَيُوحُونَ إِلَىٰ أَوْلِيَائِهِمْ

Sesungguhnya syaitan itu membisikkan kepada kawan-kawannya

Kenapa ada yang sembelih sebut nama selain Allah ‎ﷻ? Syaitanlah yang membisikkan kepada manusia untuk berbuat fasiq dengan memakan makanan yang haram. Maka, jangan kita terikut-ikut dengan perkara itu. Aulia’ adalah teman rapat, geng kepada syaitan itu. Kalau syaitan manusia pula, ini adalah sesama kumpulan yang ada fahaman sesat yang sama.

Satu lagi kesalahan adalah mengharamkan memakan makanan yang halal. Perbuatan inilah yang diamalkan oleh mereka yang mengamalkan pantang, yang mengamalkan wirid-wirid keramat dan ilmu persilatan yang salah. Syaitanlah yang membisikkan kepada tok guru itu. Dan kemudian tok guru itu pula mengajar kepada anak muridnya. Anak muridnya pula bisikkan kepada orang lain. Mereka semuanya ada akidah syirik, sebab itulah mereka boleh menerima ajaran tersebut dan senang ditipu oleh syaitan.

لِيُجٰدِلُوكُمْ

agar mereka membantah kamu;

Bila kita kata tidak boleh makan makanan yang haram, mereka akan tolak dan mereka akan bantah. Mereka akan kata kita pula yang pelik. Mereka kata kita yang pandai-pandai kata perbuatan mereka itu haram dan syirik. Mereka bantah kita, sedangkan kita ada dalil daripada wahyu, mereka pula tidak ada.

Bila kita kata tidak boleh berpantang, mereka pun akan tolak. Mereka tolak dengan menggunakan hujah akal sahaja. Mereka akan kata tidak salah amalan berpantang itu. Mereka akan kata, apa salahnya kalau tidak makan. Mereka tidak sedar bahawa mereka telah ambil kerja Tuhan, iaitu mengharamkan yang halal.

وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ

dan jika kamu menuruti mereka,

Kalau kita terikut-ikut dengan hujah akal mereka, kita akan binasa. Kadang-kadang hujah mereka kuat juga, lebih-lebih lagi kalau kita tidak berilmu. Sebagai contoh, Musyrikin Mekah berhujah: ‘Kenapa tak boleh makan bangkai binatang pula, sedangkan binatang itu mati sebab Allah yang menyebabkan dia mati. Takkan kita lebih baik daripada Allah pula?’

Namun itu adalah hujah akal sahaja. Kita telah beri jawapannya sebelum ini iaitu hujah akal bukanlah dalil dalam agama.

إِنَّكُمْ لَمُشْرِكُونَ

sesungguhnya kamu tentulah menjadi orang-orang yang musyrik.

Berat sekali status mereka yang ikut hujah orang-orang musyrik yang jahil itu. Allah ‎ﷻ kata kalau kita ikut mereka, maka kita pula yang jadi musyrik iaitu syirik dalam perkara menghalal dan mengharamkan.

Sebagaimana orang Islam, yang mengaku diri mereka Muslim, tetapi mereka melakukan perbuatan syirik, maka, mereka juga dipanggil ‘musyrik’. Mereka kekal dalam neraka bersama dengan orang yang sembah berhala. Oleh itu, ingatlah bahawa amalan berpantang adalah salah satu amalan syirik.

Kenapa kita dikatakan syirik kalau mengamalkan ‘pantang’? Kita dikatakan buat syirik kerana kita mengambil kerja Allah ‎ﷻ mengharamkan dan menghalalkan. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang layak untuk menentukan halal dan haramnya sesuatu makanan itu.

Tafsir Ayat Ke-122

Ayat tabshir dan takhwif sekaligus.

أَوَمَن كَانَ مَيتًا فَأَحيَينَـٰهُ وَجَعَلنَا لَهُ ۥ نُورًا يَمشِى بِهِۦ فِى ٱلنَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُ ۥ فِى ٱلظُّلُمَـٰتِ لَيسَ بِخَارِجٍ مِّنہَا‌ۚ كَذٰلِكَ زُيِّنَ لِلكَـٰفِرِينَ مَا كَانُواْ يَعمَلُونَ

Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah dia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis

أَوَمَن كَانَ مَيْتًا

Dan apakah orang yang sudah mati

‘Mati’ yang dimaksudkan dalam potongan ayat ini adalah hati yang ‘mati’, iaitu hati yang tidak beriman. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ menyifatkan hati yang tidak beriman sebagai hati yang mati.

Kalau kita lihat orang yang mati, orang itu sudah tidak berguna, tidak boleh buat apa-apa, tidak dapat memberi manfaat kepada sesiapa pun lagi. Begitulah juga orang yang hatinya mati tanpa iman, mereka tidak menambah kepada iman orang lain. Mereka hanya menjalani kehidupan untuk bergembira, untuk makan dan akhirnya mati. Adakah kita hendak menjadi orang yang sebegini?

Mereka ini dikira mati kerana mereka tidak memenuhi objektif hidup mereka. Allah ‎ﷻ telah menjadikan semua benda dalam alam ini ada tugasnya, ada objektif kehidupan mereka. Sekiranya mereka tidak memenuhi tugas mereka, maka mereka tidak ada nilai lagi. Jika air tidak berfungsi untuk membersihkan, maka ia tidak dikira sebagai air lagi; jika api tidak membakar, maka tidaklah ia bernilai lagi.

Dan tujuan hidup kita sebagai manusia adalah untuk menjadi hamba Allah ‎ﷻ. Maka, kalau kehidupan kita ini bukan untuk mentaati Allah ‎ﷻ dan beriman sepenuhnya dengan-Nya, maka kita dikira sebagai orang yang mati sahaja.

Ayat ini dalam bentuk soalan. Allah ‎ﷻ memberikan kepada kita sebuah perbandingan tentang dua jenis manusia. Jenis yang pertama adalah mereka yang hatinya mati, tanpa iman di dalamnya. Asalnya, dia tidak beriman, tetapi kemudian apa yang Allah ‎ﷻ lakukan kepadanya?

فَأَحْيَيْنٰهُ

kemudian dia Kami hidupkan

Kemudian Allah ‎ﷻ menghidupkan hati orang itu dengan iman. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menghidupkan ‘hatinya’, bukanlah menghidupkannya setelah dia mati. Allah ‎ﷻ menghidupkan hatinya dengan memberikan iman dan hidayah. Allah ‎ﷻ akan berikan hadiah yang maha hebat ini apabila ada kehendak dalam hati manusia itu kepada kebenaran.

Begitulah ada orang yang lahir dalam keluarga yang kufur tetapi akhirnya dia mati dalam Islam. Sebagaimana sesetengah Musyrikin Mekah yang asalnya musyrik tetapi diberikan iman. Ini kerana mereka membuka hati mereka kepada iman. Hati kecil mereka mahukan kebenaran. Mereka mencari-cari kebenaran, maka Allah ‎ﷻ berikan hidayah kepada mereka.

Kenapa ada yang Allah ‎ﷻ hidupkan hatinya dan kenapa ada yang Allah ‎ﷻ biarkan sahaja hatinya mati? Apakah salah mereka sampai Allah ‎ﷻ biarkan mereka begitu sahaja? Allah ‎ﷻ biarkan hati mereka mati kerana mereka memang tidak mahu kepada kebenaran. Berkali-kali mereka telah diajak untuk menerima kebenaran tetapi setiap kali itu mereka degil dan menolak kebenaran yang sampai kepada mereka. Ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ hanya memberi hidayah kepada mereka yang mahu sahaja.

وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا

dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang,

Nur yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah cahaya keimanan. Dan juga cahaya Al-Qur’an. Mereka beriman dengan Al-Qur’an dan dengan Nabi Muhammad ﷺ. Dengan cahaya itu, manusia boleh tahu mana benar dan salah.

Cahaya itu amat penting. Dalam kehidupan kita pun, kita memerlukan cahaya untuk melihat alam. Bayangkan, kalau mata elok namun suasana gelap sahaja, maka kita tidak boleh nampak apa yang ada di hadapan kita, walaupun dekat. Hati yang hidup memerlukan cahaya. Cahayanya adalah iman dan Al-Qur’an.

Mereka yang diberikan iman dan pemahaman Al-Qur’an adalah seperti diberi kehidupan yang baru. Ia adalah satu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Kita tidak lagi melihat Al-Qur’an seperti satu objek yang biasa sahaja. Kita sudah tahu bahawa di dalamnya terdapat pengajaran yang tidak ternilai lagi. Ini kita ada dapat jika belajar tafsir. Kalau setakat baca hari-hari, tetapi tidak faham, kita tidak akan dapat merasai nikmat cahaya itu.

يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ

yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia,

Ini merujuk kepada mereka yang telah beriman tetapi mereka berada di tengah-tengah masyarakat yang musyrik. Orang-orang Islam zaman Nabi ﷺ tidak ramai, lebih-lebih lagi semasa di Mekah, iaitu semasa surah al-An’am ini diturunkan. Yang ramainya adalah mereka yang tidak beriman.

Oleh itu, mereka walaupun telah beriman, tetapi di sekeliling mereka adalah orang-orang yang Musyrik. Ke mana sahaja mereka pergi, mereka akan melihat kesyirikan yang dilakukan oleh kaum mereka.

Sepertimana keadaan kita pada zaman sekarang yang tinggal di Malaysia ini. Walaupun ramai yang mengaku Muslim, namun dalam masa yang sama, ramai yang mengamalkan syirik atau mempunyai fahaman yang syirik. Itulah realitinya yang terpaksa kita sebutkan di sini. Kita yang telah terima ajaran tauhid ini akan melihat bagaimana ramai manusia Muslim melakukan syirik saban hari.

Merekalah yang mengamalkan ajaran tarekat, terpesona dengan nyanyian para Habib, golongan penjaga kubur, mengamalkan ilmu persilatan yang syirik dan sebagainya. Terlalu ramai dan tidak terkira. Kita hanya dapat melihat tanpa dapat menegur mereka, kerana mereka lebih ramai daripada kita. Kita mencari-cari peluang untuk mengajak mereka ke jalan yang benar. Sementara itu, kita hanya boleh berdoa sahaja semoga Allah ‎ﷻ buka pintu hati mereka.

Ayat ini mengajar kita bahawa kita boleh berjalan di tengah-tengah kaum yang mengamalkan syirik tanpa terkesan dengan perbuatan mereka. Walaupun ramai kenalan kita dan ahli keluarga kita sendiri yang mengamalkan syirik tanpa mereka sedari, namun kita masih boleh hidup bersama mereka. Ini kerana kita sudah ada cahaya iman dan cahaya wahyu.

Kita masih lagi boleh bermasyarakat bersama mereka tanpa terikut-ikut dengan amalan mereka. Kalau mereka sedang berbuat syirik, seperti mengadakan Majlis Persandingan, kita tidak campur. Kalau mereka ajak kita ke Majlis Tahlil mereka, kita tidak ikut.

Ayat ini mengajar kita supaya tidak boikot orang, tidak mencemuh orang, kerana kita tidak boleh hidup sendiri. Kita kena hidup bermasyarakat kerana di situlah juga peluang kita untuk berdakwah kepada mereka. Kalau kita tinggalkan mereka dan tidak bercampur dengan mereka, kerja-kerja dakwah tidak dapat dijalankan.

Ya, memang kita tinggalkan mereka semasa mereka melakukan amalan syirik mereka, tetapi apabila mereka sedang tidak melakukannya, kita boleh bercampur dengan mereka. Ketika kita sedang makan dan minum bersama mereka, kita boleh gunakan waktu itu untuk menyampaikan dakwah kita. Kita ajak mereka untuk berfikir tentang agama Islam ini.

Perkataan بِهِ (dengannya) dalam potongan ayat ini bermaksud dia bawa ‘cahaya’ itu ke mana-mana, dalam semua keadaan. Dia tidak tinggalkan ‘cahaya’ iman dan cahaya Al-Qur’an itu di rumah. Tidaklah hanya dalam keadaan tertentu sahaja baru dia beriman. Tidaklah dia masa di masjid, kelas pengajian, dia menjadi baik; tetapi bila di tempat kerja, dengan ahli keluarga, dia tinggalkan iman dan Al-Qur’an.

Atau tidaklah dia lupa iman sewaktu berkelahi dengan manusia lain. Kadang-kadang ada manusia yang baik, tetapi apabila berkelahi, bertegang urat dengan orang lain, dia sudah tidak ingat iman lagi. Kita jangan jadi begitu. Kita kena sentiasa bawa bersama kita iman dan Al-Qur’an.

Juga bermaksud dia bawa cahaya kepada masyarakat. Inilah yang dimaksudkan dengan dakwah. Tidaklah dia simpan sendiri sahaja. Manusia memang memerlukan cahaya kebenaran, cahaya Al-Qur’an. Oleh itu, wajib bagi kita untuk menyampaikannya. Inilah sifat cahaya, bukan? Iaitu ia menerangi sekelilingnya. Lagi kuat cahaya itu, lagi jauh cahaya itu merebak dan beri kebaikan kepada orang lain. Orang lain boleh mengambil manfaat daripada cahaya itu, bukan dia sahaja.

كَمَن مَّثَلُهُ فِي الظُّلُمٰتِ

serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gelita

Sekarang Allah ‎ﷻ bawakan perbandingan kedua. Sebentar tadi Allah ‎ﷻ suruh kita lihat orang yang asalnya dalam kufur tetapi mendapat iman dan sekarang Allah ‎ﷻ suruh bandingkan dengan orang yang tetap duduk dalam kegelapan, iaitu gelap hatinya. Orang itu terus hidup dalam kufur, dalam syirik.

Allah ‎ﷻ tanya kita, adakah sama dua jenis orang itu? Tentulah tidak.

لَيْسَ بِخَارِجٍ مِّنْهَا

yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya

Mereka bukan sahaja duduk dalam kekufuran dan kesyirikan, malah mereka tidak dapat keluar daripada keadaan itu kerana mereka tidak diberikan cahaya. Kalau kita ajak pun nampak mereka seperti tidak mahu terima ajakan dakwah kita.

Golongan pertama tadi, walaupun mereka asalnya kufur, tetapi Allah ‎ﷻ beri mereka hidayah dan mereka keluar daripada kekufuran itu. Namun golongan yang kedua ini, mereka langsung tidak akan keluar. Mereka mati dalam kekufuran mereka itu. Alangkah malangnya, alangkah ruginya.

كَذٰلِكَ زُيِّنَ لِلكَـٰفِرِينَ مَا كَانُواْ يَعمَلُونَ

Demikianlah Kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik apa yang telah mereka kerjakan.

Kalimah كَذَٰلِكَ dalam ayat ini bermaksud: sebagaimana iman itu manis kepada orang beriman, begitu juga dinampakkan cantik sahaja amalan salah kepada orang-orang yang berdosa itu.

Ramai yang mengamalkan amalan sesat dan kufur dan mereka rasa apa yang mereka lakukan itu baik. Begitulah yang kita lihat penganut agama Hindu. Mereka sanggup memuja patung, sanggup mandi dan malah minum air Sungai Klang (atau Gombak) yang kotor itu kerana mereka anggap ia adalah mulia. Padahal, mereka itu ada yang berpelajaran tinggi tetapi mereka buat benda-benda bodoh. Itu adalah kerana mereka nampak perbuatan mereka itu sebagai elok. Mereka telah dikelabui oleh syaitan.

Begitulah juga fenomena Habib di Malaysia sekarang. Mereka itu menyembah kubur, mengamalkan amalan bid’ah dan syirik. Namun masyarakat kita lihat mereka itu sebagai orang mulia pula. Masyarakat kita terikut-ikut dengan amalan mereka. Mereka nampak puak Habib itulah yang akan membawa mereka ke syurga. Mereka sangka dengan nyanyian Qasidah sesat puak Habib itu, mereka akan dapat syafaat daripada Nabi ﷺ.

Kita lihat yang pergi ke majlis mereka adalah orang yang berpelajaran tinggi, kemas dan segak sahaja pakaian mereka. Namun, terkinja-kinja pula di stadium, terlambai-lambai tangan mereka yang mereka sangka mereka lambai kepada Nabi ﷺ. Perbuatan itu tidak masuk akal, tetapi mereka nampak itu adalah perbuatan yang baik. Tenang hati mereka semasa melakukannya dan selepas majlis itu. Mereka rasa iman mereka semakin bertambah.

Namun itu semua adalah amalan yang bodoh. Yang jahil sahaja yang buat begitu iaitu mereka yang jahil dalam agama. Dalam kehidupan, mereka mungkin pandai dan terpelajar. Mereka mungkin golongan pelajar universiti, peniaga berjaya, pemimpin masyarakat, jurutera, doktor dan sebagainya. Tetapi mereka jahil dalam hal agama. Mereka ini bertepatan dengan pepatah Arab:

أذكياء لكن أغبياء

“Pandai-pandai, tapi bodoh-bodoh”

Mereka nampak baik apa yang mereka lakukan itu kerana mereka hanya pandai hal dunia tetapi tidak dalam hal agama. Mereka mungkin berguru, pergi kelas agama, selalu tengok ceramah di tv, dengar ceramah di radio, beli VCD ceramah, tetapi selagi mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan Sunnah, mereka belum lagi dikira sebagai pandai dalam agama.

Tafsir Ayat Ke-123

وَكَذٰلِكَ جَعَلنَا فِى كُلِّ قَريَةٍ أَڪَـٰبِرَ مُجرِمِيهَا لِيَمڪُرُواْ فِيهَا‌ۖ وَمَا يَمڪُرُونَ إِلَّا بِأَنفُسِہِم وَمَا يَشعُرُونَ

Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri (kerana merekalah yang akan menerima akibatnya yang buruk), sedang mereka tidak menyedarinya.

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا فِي كُلِّ قَرْيَةٍ

Dan demikianlah Kami adakan pada tiap-tiap negeri

Maknanya Allah ‎ﷻ meletakkan di setiap negara, di setiap negeri, di setiap pekan dan bandar. Ini adalah kebiasaan zaman berzaman. Apakah yang Allah ‎ﷻ letakkan itu?

أَكٰبِرَ مُجْرِمِيهَا

penjahat-penjahat yang terbesar

Inilah pembesar-pembesar sesuatu tempat itu. Merekalah pembesar dan merekalah penjahat. Mereka melakukan kesalahan dalam agama. Allah ‎ﷻ takdirkan ini berlaku (sebagai ujian) dengan menaikkan orang-orang yang jahat ke kedudukan yang tinggi dan berkuasa. Bagaimana boleh terjadi begitu?

Pemimpin yang jahat sebenarnya berasal daripada rakyat yang jahat. Maka, kalau kita lihat pemimpin kita jahat, zalim, teruk, kita kena lihat diri kita. Sebab perangai kita yang buruk itulah yang menyebabkan mereka yang jahat boleh naik. Ini kerana orang jahatlah yang menaikkan pemimpin yang jahat itu. Kalau semua penduduk negeri itu orang yang baik, tidak akan dapat naik pemimpin yang jahat.

Mereka yang jahat itu berada pada kedudukan yang tinggi, sama ada mereka itu orang yang tinggi di dalam masyarakat kerana kedudukan pangkat mereka ataupun kerana kekayaan mereka. Kadang-kadang orang yang kaya tidak ada kuasa kepimpinan, tetapi oleh kerana mereka orang yang paling kaya, maka mereka dipandang sebagai orang yang tinggi kedudukan juga. Selalunya, merekalah yang mengawal pemimpin dengan wang mereka.

Apakah masalah dengan mereka ini? Kalau mereka orang yang baik tidak mengapa. Namun, selalunya yang menentang kebenaran dan menentang jalan Sunnah adalah mereka yang mempunyai kedudukan elit dalam masyarakat. Sebagai contohnya, Firaun, Abu Lahab dan Abu Jahal memegang kedudukan yang tinggi. Maka, dalam zaman sekarang pun begitu juga. Mereka yang kaya dan berada di kedudukan tinggilah yang menghalang kebenaran. Mereka tidak suka agama berkembang kerana kalau agama berkembang, kedudukan mereka akan tergugat.

Bukanlah semua pemimpin itu jahat belaka. Kita boleh lihat contoh Dzulkarnain dan Nabi Sulaiman, Nabi Yusuf عليه السلام dan sebagainya yang berada di kedudukan yang tinggi, tetapi mereka itu orang yang beriman dan memimpin dengan baik. Yang kita sebut dalam tulisan ini adalah kebanyakan pemimpin yang ada selalunya berperangai begitu. Maka, kalau anda seorang pemimpin masyarakat, tidak perlulah anda terasa. Saya bukan berkata tentang anda. Anda nilailah diri anda berada di mana.

لِيَمْكُرُوا فِيهَا

agar mereka melakukan tipu daya dalam negeri itu.

Orang yang jahat ramai di dalam sesuatu masyarakat itu, tetapi ada di antara mereka yang paling jahat. Mereka itu adalah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab di zaman Nabi ﷺ. Mereka inilah yang dengan terang-terang menentang Nabi ﷺ, dan kalau zaman sekarang, merekalah yang menentang pendakwah tauhid dan menentang jalan sunnah.

Oleh kerana kedudukan tinggi serta kekayaan mereka, maka mereka telah berjaya mempengaruhi masyarakat yang jahil dan hanya tahu mengikut sahaja.

Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah يَمْكُرُوا yang diambil daripada katadasar م ك ر yang bermaksud ‘melakukan tipu daya’, ‘yang merancang rancangan jahat’. Perkataan ini digunakan apabila seseorang itu bersungguh-sungguh di dalam melakukan rancangan jahat mereka. Bukanlah mereka setakat tidak suka dan benci sahaja, tetapi mereka merancang untuk menjatuhkan seseorang dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana ada orang yang benci tetapi mereka tidak membuat apa-apa perancangan untuk menjatuhkan.

Mereka yang ada kuasa itu tidak senang hati bila jalan agama yang benar disebarkan kepada masyarakat. Mereka takut apabila masyarakat menjadi bijak dan pandai di dalam agama, maka mereka tidak dapat mengawal masyarakat lagi. Mereka takut mereka sudah tidak dapat menipu untuk mengaut keuntungan lagi.

وَمَا يَمْكُرُونَ إِلَّا بِأَنفُسِهِمْ

Dan mereka tidak memperdayakan melainkan dirinya sendiri,

Mereka sangka mereka sedang memperdaya orang-orang beriman dan masyarakat umum, namun sebenarnya mereka memperdayakan diri mereka sahaja. Mereka nanti akhirnya akan masuk ke dalam perangkap yang mereka sendiri buat. Akhirnya, mereka akan masuk ke dalam Neraka Jahannam atas usaha jahat mereka itu. Mereka sendiri yang rugi.

وَمَا يَشْعُرُونَ

sedang mereka tidak menyedarinya.

Inilah yang menakutkan sekali. Mereka tidak sedar yang mereka mengheret diri ke dalam neraka. Mereka lakukan segala itu tanpa sedar. Mereka sangka mereka benar, sebab itu mereka yakin sungguh dengan pandangan dan kata-kata mereka. Mereka tidak sedar yang perbuatan mereka itu akan memakan diri mereka sendiri.

Tafsir Ayat Ke-124

Tentang kedegilan manusia. Oleh kerana mereka jahil wahyu, maka mereka jadi sombong.

وَإِذَا جَآءَتهُم ءَايَةٌ قَالُواْ لَن نُّؤمِنَ حَتَّىٰ نُؤتَىٰ مِثلَ مَآ أُوتِىَ رُسُلُ ٱللَّهِ‌ۘ ٱللَّهُ أَعلَمُ حَيثُ يَجعَلُ رِسَالَتَهُ ۥ‌ۗ سَيُصِيبُ ٱلَّذِينَ أَجرَمُواْ صَغَارٌ عِندَ ٱللَّهِ وَعَذَابٌ شَدِيدُۢ بِمَا كَانُواْ يَمكُرُونَ

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu keterangan, mereka berkata: “Kami tidak akan beriman sehingga kami juga diberi (wahyu) sama seperti yang telah diberikan kepada pesuruh-pesuruh Allah”. Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Dia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikanNya itu. Orang-orang yang melakukan perbuatan yang salah itu akan ditimpa kehinaan di sisi Allah, dan azab seksa yang amat berat, disebabkan perbuatan tipu daya yang mereka lakukan.

وَإِذَا جَاءَتْهُمْ ءآيَةٌ

Apabila datang sesuatu ayat kepada mereka,

Perkataan ءآيَةٌ itu boleh menjadi beberapa makna. Asal maknanya dari segi bahasa adalah ‘tanda’. Yang kita sudah biasa dengar adalah ayat-ayat Al-Qur’an. Ia boleh juga difahami sebagai dalil yang benar. Dan dalil-dalil itu telah diberikan kepada mereka. Atau ia juga boleh bermaksud ‘mukjizat‘ kerana semua itu menjadi ‘tanda’ bagi kebenaran.

قَالُوا لَن نُّؤْمِنَ

mereka berkata: “Kami tidak akan beriman

Setelah diberikan dengan dalil daripada ayat-ayat Al-Qur’an, atau ditunjukkan mukjizat, atau telah diberikan dalil-dalil hujah kepada mereka, mereka masih lagi tidak beriman. Itulah degilnya sesetengah manusia.

حَتَّىٰ نُؤْتَىٰ مِثْلَ مَا أُوتِيَ رُسُلُ اللَّهِ

sehingga diberikan kepada kami yang serupa dengan apa yang telah diberikan kepada utusan-utusan Allah”.

Mereka kata mereka tidak mahu beriman sehinggalah mereka terima wahyu yang diturunkan khas untuk mereka sendiri. Ataupun mereka mahu mereka diberikan dengan mukjizat juga sepertimana yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ dan Nabi-Nabi yang lain. Mereka kata kenapa kena belajar dengan para Rasul itu? Kenapa mereka tidak dapat sendiri wahyu yang dikatakan itu?

Itu hanyalah kata-kata helah mereka sahaja. Ia terbit daripada kesan jahilnya mereka. Mereka tidak mahu beriman dan kerana itu macam-macam alasan mereka berikan dan macam-macam benda yang mereka minta.

Ada tafsir yang mengatakan ini adalah kata-kata daripada Abu Jahal. Dia tidak suka apabila puak Abdul Manaf (puak Nabi Muhammad ﷺ) sahaja yang menerima wahyu. Ini kerana dia tidak mahu puaknya kalah. Maka dia pun kata dia hendak dapat wahyu juga, barulah dia mahu beriman.

اللَّهُ أَعْلَمُ حَيْثُ يَجْعَلُ رِسَالَتَهُ

Allah lebih mengetahui di mana Dia patut meletakkan risalah-Nya.

Musyrikin Mekah tidak puas hati kerana Nabi Muhammad ﷺ yang diberikan dengan wahyu sedangkan mereka rasa bahawa ada lagi orang lain yang lebih layak untuk mendapat wahyu itu. Oleh itu, Allah ‎ﷻ jawab dalam ayat ini bahawa Allah ‎ﷻ lebih tahu dengan siapa yang patut mendapat pangkat rasul dan Nabi dan siapa yang patut membawa risalah-Nya. Allah ‎ﷻ tidak perlu ikut selera manusia yang jahil. Siapa mereka yang hendak tentukan kerja Allah ‎ﷻ?

Ada kisah bagaimana seorang Musyrikin Mekah yang bernama Walid al Mughirah, yang datang bertemu Nabi Muhammad ﷺ dan berkata bahawa dia lebih layak untuk menjadi Nabi kerana dia lebih tua dan lebih kaya daripada baginda. Begitulah Musyrikin Mekah memandang rendah kedudukan Nabi Muhammad ﷺ di sisi masyarakat.

Ayat ini mengajar kita untuk tidak mempersoalkan keputusan Allah ‎ﷻ untuk memilih sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Bukan dalam hal pemilihan rasul dan kenabian sahaja. Sebagai contoh, kalau kita lihat ada orang yang mendapat sesuatu kelebihan dan kita tidak dapat sebegitu, ingatlah yang kita tidak ada hak untuk mempersoalkan kenapa dia dapat dan kita tidak dapat. Allah ‎ﷻ boleh memilih sesiapa sahaja yang hendak diberi-Nya dengan kekayaan, kedudukan, kecantikan dan kepandaian atau apa sahaja. Siapakah kita untuk mempersoalkan keputusan Allah ‎ﷻ? Allah ‎ﷻ Maha Tahu siapakah yang layak.

Allah ‎ﷻ juga tahu siapakah yang layak mendapat hidayah. Kadang-kadang ada orang yang dulunya nakal, tidak kisah hal agama, tetapi sekarang sudah menjadi baik, sudah mula jaga salat, sudah mula tahu hal agama. Maka, dia pun ajak orang lain pun berubah juga.

Namun kadang-kadang ada juga yang tidak suka. Mereka kutuk orang yang sudah beriman itu dengan berkata: “Aku kenal kau dulu, nakal sangat. Sekarang kamu nak dakwah aku pula? Apa kau ingat kau dah baik sangat? Siapa engkau nak nasihat aku ha?!”

Jangan kita jadi orang sebegitu. Allah ‎ﷻ telah pilih dia untuk diberikan dengan hidayah. Bukan kita yang pilih, tetapi Allah ‎ﷻ yang pilih dan bawa dia ke arah kebaikan. Kalau kita yang buat pilihan, mungkin ada salah pilih, tetapi takkan kita kata Allah ‎ﷻ salah pilih pula?

سَيُصِيبُ ٱلَّذِينَ أَجرَمُواْ صَغَارٌ عِندَ ٱللَّهِ

Orang-orang yang berdosa, nanti akan ditimpa kehinaan di sisi Allah

Allah ‎ﷻ tidak membiarkan orang yang berdosa begitu sahaja. Lebih-lebih lagi mereka yang menentang Rasul dan penyebar tauhid. Mereka sangka mereka boleh terlepas dengan apa yang mereka telah lakukan? Tidak sama sekali. Apakah yang mereka akan dapat nanti?

Mereka akan mendapat kehinaan. Di dunia lagi mereka akan dikenakan dengan bala. Mungkin Allah ‎ﷻ timpakan mereka dengan sakit, kedudukan mereka diambil atau perniagaan mereka jatuh. Mereka yang dulu tinggi di kayangan, sudah jatuh ke bumi pula.

Namun masalahnya, mereka bukan berubah menjadi orang yang beriman, sebaliknya kejatuhan itu akan menyesatkan mereka lagi. Apabila mereka kena bala, maka mereka mulalah cari bomoh, cari tok guru, cari ‘ustaz’ yang boleh pulihkan mereka balik, yang boleh ubah nasib mereka. Yang dicari itu pula bukanlah orang yang beriman, maka mereka akan menggunakan cara yang syirik untuk berdoa untuk mengubat orang itu.

Maka, di situ mereka akan buat syirik pula lagi. Mereka akan mengamalkan tawasul dalam doa mereka yang tentunya satu amalan kufur kepada Allah ‎ﷻ. Kemudian, kalau Allah ‎ﷻ takdirkan mereka berjaya keluar daripada bala mereka, maka mereka kata kata: “Bomoh/ustaz/tok guru itulah yang menyebabkan aku baik semula sekarang”.

Kata-kata itu adalah kata-kata syirik kerana meletakkan kuasa mengubah nasib kepada makhluk, bukan kepada Allah ‎ﷻ. Maka, orang itu tidak keluar-keluar daripada kehinaan.

Dalam ayat sebelum ini telah digunakan perkataan أَكَابِرَ yang membawa maksud ‘orang besar’. Dalam ayat ini pula digunakan perkataan صَغَارٌ yang bermaksud ‘kecil’. Lihatlah bagaimana perkataan yang berlawanan digunakan. Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan keterbalikan daripada perkataan itu. Mereka sangka mereka besar, tetapi sebenarnya mereka kecil sahaja. Dan mereka akan dihina dengan dijadikan ‘orang kecil’ nanti (tidak ada apa-apa kebesaran)

Kalimah صَغَارٌ berasal daripada katadasar ص غ ر yang bermaksud ‘kecil’. Dalam ayat ini ia membawa maksud ‘kehinaan’ kerana mereka yang dikecil-kecilkan akan merasa hina. Bayangkan kalau kita pergi ke sesuatu tempat, dan kepentingan kita dikecil-kecilkan, tentu kita terasa hina, bukan?

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan orang yang sangka mereka besar di mata masyarakat. tetapi sebenarnya mereka itu kecil dan hina di sisi Allah ‎ﷻ. Atau, mereka memang besar di mata masyarakat, tetapi Allah ‎ﷻ akan kecilkan mereka dengan menghinakan mereka.

Contoh ini telah berlaku semasa zaman Nabi ﷺ lagi. Lihatlah bagaimana pembesar-pembesar Quraisy yang amat kuat menentang Nabi ﷺ. Namun akhirnya mereka telah dihinakan dengan kekalahan dalam Perang Badr. Dan kematian mereka adalah kematian yang penuh kehinaan.

Maka benarlah firman Allah ‎ﷻ. Namun ingatlah bahawa ayat ini diturunkan di Mekah semasa mereka masih lagi besar dan berkuasa. Maknanya, Allah ‎ﷻ telah awal-awal lagi memberitahu mereka apakah yang mereka akan rasa kalau mereka berterusan menentang Nabi ﷺ. Pada waktu itu, semasa dibacakan ayat ini kepada mereka, mungkin mereka gelak sahaja kerana mereka tidak percaya.

Namun begitu, orang Islam di zaman Nabi ﷺ, beriman dengan ayat ini dan mereka menunggu-nunggu masa bilamana ayat ini menjadi kenyataan. Dan akhirnya mereka nampak sendiri dengan mata mereka yang dijanjikan dizahirkan depan mata mereka.

وَعَذَابٌ شَدِيدٌ

dan seksa yang keras

Bukan di dunia sahaja mereka akan mendapat bala, tetapi di akhirat kelak, mereka akan mendapat seksa yang keras, yang tidak akan berkurangan. Dan mereka akan kekal di dalam Neraka itu sampai bila-bila. Ini lebih teruk daripada azab dunia kerana kalau azab di dunia, sekejap sahaja. Sedangkan azab di akhirat, boleh jadi selama-lamanya.

بِمَا كَانُوا يَمْكُرُونَ

disebabkan mereka selalu membuat tipu daya.

Allah ‎ﷻ berikan segala bala dan balasan yang teruk itu bukan kerana Allah ‎ﷻ zalim. Tetapi atas balasan apa yang mereka lakukan semasa di dunia. Mereka telah berbuat zalim di dunia, maka Allah ‎ﷻ akan balas perbuatan mereka itu sama ada di dunia dan akhirat, atau kalau mereka tidak dikenakan bala di dunia, mereka akan dikenakan dengan azab di akhirat kelak.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan