Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-106 hingga Ke-108

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-106 hingga Ke-108

82
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-106

Sekarang disebut lagi tugas kenabian. Dalam ayat ke-104 telah disebut tugas kenabian untuk menyampaikan. Sekarang disebut lagi tugas kenabian yang lain: untuk ikut ajaran wahyu.

اتَّبِع ما أوحِيَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ وَأَعرِض عَنِ المُشرِكينَ

Ikutlah apa yang telah diwahyukan kepadamu daripada Tuhanmu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, dan berpalinglah daripada orang-orang musyrik.

اتَّبِعْ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ

Ikutilah apa yang telah diwahyukan kepadamu daripada Tuhanmu;

Nabi Muhammad ﷺ disuruh dalam ayat ini untuk mengikut sahaja apa yang telah diwahyukan kepada baginda. Dan jangan ambil kisah dengan pandangan Musyrikin Mekah itu, yang pasti baginda kena ikut sahaja Al-Qur’an itu.

Begitu jugalah arahan diberikan kepada kita. Ikut sahaja ajaran demi arahan dalam Al-Qur’an dan jangan tambah ajaran agama, melainkan apa yang telah diberitahu di dalam Al-Qur’an dan Sunnah. Ini adalah wajib kerana inilah suruhan Allah ‎ﷻ dalam ayat ini. Malangnya, ramai yang bukan mengikut Al-Qur’an, tetapi mengikut kitab karangan manusia, ikut kata guru dan ustaz.

Kita bukanlah disuruh terus mengambil hukum daripada Al-Qur’an dan Hadith kerana kita memang tidak mampu. Kita memerlukan juga ulama’ dan agamawan untuk menjelaskan hukum dan pembelajaran daripada wahyu. Ini penting kerana ada golongan masyarakat sangka apabila kita suruh ambil daripada Al-Qur’an dan Hadith, mereka sangka kita terus ambil daripada Al-Qur’an dan Hadith pula.

Yang paling utama adalah jangan abaikan wahyu. Termasuk yang kita kena ikut adalah apa yang telah diwahyukan kepada Nabi ﷺ dan disampaikan melalui kata-kata baginda yang berupa hadith. Hadith juga adalah wahyu sebenarnya yang disampaikan kepada manusia melalui mulut Nabi ﷺ.

Malangnya pada zaman sekarang, ada golongan sesat yang mengatakan hanya Al-Qur’an sahaja yang boleh digunakan dan hadith tidak boleh diterima. Mereka kata hadith tidak dapat diterima kerana ia ditulis lama selepas Nabi ﷺ wafat. Padahal mereka sebenarnya tidak mengetahui bahawa hadith Nabi ﷺ telah pun ditulis semasa hayat Nabi ﷺ lagi.

Ada berbagai-bagai lagi alasan yang mereka gunakan untuk menolak hadith. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini dan tidak terjebak dengan kejahilan dan kesesatan mereka. Sepertimana Al-Qur’an perlu dipelajari dengan tafsir, begitu juga Hadith perlu dipelajari dengan cara berguru yang akan memberikan syarah maksud satu-satu hadith itu. Kalau kita baca sendiri, kita mungkin tidak faham.

Itulah masalahnya bila kita hendak beritahu kepada mereka yang tidak mahu belajar. Itulah mereka golongan yang sesat seperti ‘Golongan Anti-Hadith’. Mereka senang ditipu oleh syaitan kerana mereka tidak belajar agama dengan betul.

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

tidak ada Tuhan selain Dia;

Dalam banyak-banyak ajaran wahyu daripada Allah ‎ﷻ, yang paling penting adalah ajaran Tauhid. Kena puja Allah ‎ﷻ sahaja kerana Dia sahaja yang ada sifat-sifat sempurna sebagai Tuhan.

Tidak ada tuhan yang layak disembah, melainkan Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan buat perkara syirik yang akan merugikan kita. Belajarlah apa maksud Syahadah yang kita sebut setiap hari itu. Masyarakat kita senang sahaja sebut dua kalimah Syahadah itu tetapi berkemungkinan mereka tidak faham apa yang mereka sebut.

Sebab itulah walaupun mereka sebut Syahadah, tetapi dalam masa yang sama, mereka buat juga perkara syirik. Ini adalah kerana kejahilan wahyu yang menyebabkan manusia membuat kesalahan dalam agama.

وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ

dan berpalinglah daripada orang-orang musyrik.

Ayat ini bermaksud: Maafkan mereka, lupakan apa yang mereka lakukan dan katakan. Jangan peduli dan jangan fikirkan tentang mereka yang tidak mahu menerima ajaran tauhid itu. Tidak perlu ikut mereka walaupun mereka itu ramai kerana hujah mereka bukan hujah daripada wahyu.

Surah ini diturunkan di hujung-hujung waktu baginda di Mekah. Waktu itu Musyrikin Mekah sedang kuat menentang baginda. Abu Talib sudah tiada untuk membela baginda. Baginda telah cuba berdakwah di Taif dan di situ juga baginda tidak mendapat sokongan. Maka, ada banyak tentangan yang diberikan terhadap baginda. Tentunya ia amat menyusahkan Nabi ﷺ dan sahabat. Allah ‎ﷻ beri pujukan dan nasihat kepada mereka untuk melupakan tentangan mereka itu.

Ini mengajar kita untuk fokus dengan amalan kita dan mendalami agama. Jangan hiraukan sangat dengan mereka yang tidak mahu menerima Al-Qur’an dan Sunnah. Jangan fokus untuk melawan mereka dan terlalu memikirkan hal mereka kerana perkara itu mungkin perkara yang membuang masa sahaja.

Jangan juga terasa hati sangat dengan apa yang mereka katakan. Kalau kita simpan dalam hati, ia akan menyakitkan hati kita sahaja dan mengganggu emosi kita. Biarkan mereka, buat apa yang sepatutnya kita lakukan. Fokus atas kerja dakwah dan amal ibadah yang kita kena lakukan.

Keduanya, ia bermaksud, biarkan mereka sehinggalah Allah ‎ﷻ akan memberikan pertolongan. Allah ‎ﷻ tidak membiarkan Nabi ﷺ dan sahabat begitu sahaja. Pertolongan akan tiba tidak lama lagi.

Ayat ini juga bermaksud tinggalkan mereka dan jangan campur dengan perbuatan mereka. Jangan ikut mereka buat syirik. Jangan ikut memakan makanan haram mereka. Jangan kita pergi majlis sanding mereka kalau ada persandingan seperti yang orang Hindu buat itu kerana itu adalah syirik. Jangan pergi Majlis Tahlil mereka, jangan berada dalam Majlis Doa Selamat mereka.

Jangan campur dengan mereka ketika mereka buat amalan bid’ah dan syirik. Ini adalah masalah kepada mereka yang mula mengenal Sunnah. Ramai yang sudah tahu apa yang salah dan apa yang bid’ah. Sebagai contoh, mereka tahu Majlis Tahlil itu adalah bid’ah dan haram. Tetapi kerana takutkan pandangan masyarakat jika tidak menyertai majlis mereka, maka ada antara kita yang pergi juga ke majlis mereka.

Ingatlah, jangan takut kepada orang yang jahil. Jangan jadi pengecut dalam menegakkan agama ini. Beranikan diri anda atas nama Allah ‎ﷻ. Berani kerana benar. Biarkan apa yang mereka akan kata. Kita akan dibalas daripada usaha kita meninggalkan mereka (ini dinamakan Sunnah Tarkiyah). Meninggalkan majlis mereka itu sudah dikira sebagai satu ibadah dan kita akan mendapat balasan di atas perbuatan kita itu.

Akhir sekali, kerana sebelum ini ayat-ayat menyebut tentang permintaan mereka meminta tanda-tanda mukjizat, ayat ini menjelaskan kepada Nabi ﷺ untuk tidak mempedulikan permintaan mereka itu. Tugas Nabi ﷺ bukanlah untuk memuaskan kehendak mereka.

Tafsir Ayat Ke-107

وَلَو شَآءَ ٱللَّهُ مَآ أَشرَكُواْ‌ۗ وَمَا جَعَلنَـٰكَ عَلَيهِم حَفِيظًا‌ۖ وَمَآ أَنتَ عَلَيہِم بِوَكِيلٍ

Dan kalau Allah menghendaki, nescaya mereka tidak mempersekutukan-Nya; dan Kami tidak menjadikan engkau (wahai Muhammad) penjaga dan pengawal mereka, dan engkau pula bukanlah wakil yang menguruskan hal-hal mereka (kerana semuanya itu terserah kepada Allah semata-mata).

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ

Dan kalau Allah menghendaki,

Allah ‎ﷻ boleh sahaja melakukan apa yang Dia kehendaki. Bukannya Allah ‎ﷻ tidak mampu, tetapi kadangkala Allah ‎ﷻ tidak melakukannya kerana sebab yang Dia sendiri yang tahu.

Memang sepanjang zaman, yang berpegang kemas dengan tauhid tidak ramai. Yang ramainya di dalam dunia adalah mereka yang berpegang dengan fahaman syirik. Adakah ini menunjukkan Allah ‎ﷻ lemah kerana ramai yang tidak mentauhidkan-Nya? Tentu tidak!

مَا أَشْرَكُوا

nescaya mereka tidak memperkutukan(Nya).

Allah ‎ﷻ boleh sahaja menjadikan semua mahkluk-Nya beriman dan tidak melakukan syirik. Allah ‎ﷻ boleh menjadikan semua makhluk taat sahaja kepada-Nya. Tetapi Allah ‎ﷻ tidak mahu berbuat begitu. Bukan begitu cara yang Allah ‎ﷻ kehendaki. Allah ‎ﷻ memberikan kebebasan kepada makhluk-Nya memilih jalan mana yang mereka hendak. Tujuannya kenapa? Di dalam ayat lain diberitahu yang Allah ‎ﷻ hendak uji hamba Dia.

Orang Islam pada waktu zaman Nabiﷺ berfikir bahawa mungkin kerana orang-orang Musyrik itu tidak ditunjukkan dengan mukjizat yang mereka pinta, sebab itu mereka tidak beriman. Dan para sahabat rasa kalaulah ditunjukkan dengan mukjizat yang mereka pinta itu, mungkin mereka akan beriman. Allah ‎ﷻ hendak kata, bukan begitu caranya. Jika Allah ‎ﷻ mahukan mereka semuanya beriman, Allah ‎ﷻ boleh sahaja melakukannya. Allah ‎ﷻ boleh tunjukkan dengan segala mukjizat sampaikan mereka tidak berani untuk lawan lagi dan sampai mereka pun tidak ada pilihan lagi tetapi terpaksa beriman. Namun, Allah ‎ﷻ tidak mahu begitu.

Allah ‎ﷻ mahu mereka beriman dengan dalil-dalil yang sudah ada. Dan kalau mereka tetap mahu berbuat syirik, Allah ‎ﷻ biarkan sahaja. Ini bukanlah bermaksud Allah ‎ﷻ redha atau terima perbuatan syirik itu. Tetapi Allah ‎ﷻ telah memberikan manusia dengan kebebasan untuk memilih jalan mana yang mereka kehendaki.

Allah‎ ﷻ tidak memaksa manusia untuk beriman kepada-Nya. Jika mereka memilih jalan untuk melakukan syirik, mereka boleh buat, tetapi mereka akan dibalas dengan keburukan atas kesyirikan yang mereka lakukan. Mereka tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

Perumpamaan: Bayangkan ibu bapa yang memberikan duit belanja kepada anaknya. Duit itu sepatutnya digunakan untuk tambang bas ke sekolah, beli makanan, beli buku dan sebagainya. Ayahnya tidaklah paksa berapa banyak digunakan untuk tambang, untuk makan dan sebagainya. Anak itu kena pandai sendiri menggunakan duit yang diberi itu. Arahan sudah diberi, iaitu gunakan duit itu untuk sekolah.

Maknanya, ada kebebasan yang diberikan kepada anak itu. Tetapi, kalau anak itu gunakan duit itu untuk beli kasut, agak-agak apa ayah itu akan kata apabila anak itu balik nanti? Tidakkah ayah itu berhak untuk memarahi dan menghukum anaknya itu? Anaknya itu sepatutnya menggunakan duit itu untuk hal sekolah, tetapi dia telah menyalahgunakannya.

Begitulah juga dengan kita. Allah ‎ﷻ telah memberikan segala keperluan hidup kita, oksigen, makanan, pakaian, masa dan sebagainya. Tetapi Allah ‎ﷻ suruh kita gunakan segala nikmat itu untuk kebaikan. Allah ‎ﷻ suruh kita ikut suruhan-Nya dan tinggalkan larangan-Nya. Allah ‎ﷻ memberikan kebebasan untuk kita gunakan segala nikmat itu. Dan kalau kita salah gunakan segala nikmat itu, adakah salah kalau Allah ‎ﷻ hukum kita nanti?

وَمَا جَعَلْنَٰكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا

Dan Kami tidak menjadikan engkau pemelihara bagi mereka;

Kalimah حَفِيظًا bermaksud seseorang yang menjaga dan mengawasi. Bukanlah tugas Nabi Muhammad ﷺ dan bukanlah juga tugas kita untuk mengawasi apa yang orang-orang lain kata dan berbuat. Bukan tugas kita memastikan semua manusia berada di atas tauhid. Tugas Nabi Muhammad ﷺ dan tugas kita adalah hanya untuk menyampaikan dakwah sahaja kepada mereka. Bukan untuk awasi mereka.

Kalau kita mahu awasi pun, kita tidak akan mampu untuk menjaga dan memelihara manusia daripada melakukan perbuatan yang salah. Jika kita cuba buat begitu maka kita akan sentiasa gagal. Seperti juga anak kita, jika membuat kesalahan di hadapan kita, maka bolehlah kita marah mereka. Tetapi bagaimana jika mereka buat kesalahan di belakang kita?

Kita sebagai manusia tidak mampu untuk mengawasi perbuatan orang lain dan percakapan mereka. Tetapi Allah ‎ﷻ mampu untuk mengawasi dan ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ akan membalas daripada setiap perbuatan kita dan percakapan kita.

وَمَا أَنتَ عَلَيْهِم بِوَكِيلٍ

dan engkau sekali-kali bukanlah wakil bagi mereka.

Ini bermaksud kita tidak bertanggungjawab untuk memaksa orang lain beriman. Kita hanyalah sebagai pemberi ingatan sahaja. Tidak ada paksaan dalam Islam. Kita tidak boleh memaksa sesiapa pun untuk beriman, walaupun anak-anak kita sendiri pun kerana iman itu kena datang dari hati mereka sendiri.

Tafsir Ayat Ke-108

وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدوَۢا بِغَيرِ عِلمٍ كَذَٲلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُم ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّہِم مَّرجِعُهُم فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعمَلُونَ

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ

Dan janganlah kamu mencela sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah,

Kalimah تَسُبُّوا berasal daripada perkataan س ب ب yang bermaksud mengata-ngata dan mengejek-ngejek atau memberi nama yang buruk kepada seseorang atau sesuatu. Ia tidak sama dengan memberitahu kebenaran. Beritahu tidak sama dengan mencela. Cela itu apabila menggunakan perkataan kotor dan kesat.

Sebagai contoh, Rasulullah ﷺ tidak pernah menghina dan mencela sembahan berhala-berhala Musyrikin Mekah itu. Baginda hanya beritahu bahawa itu adalah satu kesalahan. Namun tidaklah baginda menggunakan bahasa yang kesat. Akan tetapi puak Musyrikin Mekah sahaja yang terasa.

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang Islam. Ini kita boleh lihat dalam penggunaan fi’il di dalam ayat ini (ayat-ayat sebelum ini ditujukan kepada Rasulullah ﷺ). Oleh itu mungkin adalah dalam kalangan para sahabat yang menggunakan kata-kata kesat terhadap sembahan Musyrikin Mekah itu dan mereka dilarang dalam ayat ini.

Mereka dahulunya juga orang-orang musyrik tetapi mereka telah beriman. Ini kerana mereka telah nampak kebenaran Islam. Mereka tentunya sakit hati melihat kawan-kawan dan ahli keluarga mereka yang masih lagi melakukan perbuatan syirik. Mereka tahu kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang musyrik itu kerana mereka sendiri sebelum itu pun berbuat benda yang sama juga.

Seperti kitalah juga. Kita dahulu walaupun memegang ajaran agama Islam tetapi kita pernah bergelumang dalam melakukan perkara syirik. Pernah masuk tarekat, pernah pergi Majlis Tahlil dan sebagainya. Namun sekarang kita sudah tahu yang semua itu adalah salah. Maka, kadang-kadang kita sakit hati dengan mereka yang masih lagi tidak faham bahawa apa yang mereka lakukan adalah perkara yang syirik dan bid’ah. Kita sudah faham manakah salah dan silapnya dalam perbuatan itu kerana kita juga pernah mengamalkannya.

Oleh itu kadang-kadang kita rasa kita tidak dapat mengawal perasaan dan mulut kita daripada mengatakan kata-kata yang kesat kepada mereka. Kita rasa selah-olah kita ada hak untuk berkata begitu. Tambahan pula kalau mereka-mereka itu juga pernah berkata kesat kepada kita.

Sebagai contoh, kadang-kadang mereka kata kita ‘Wahabi’ dan kadang-kadang mereka kata kita pula yang sesat. Mereka sakit hati dengan kita, dan kita pun sakit hati dengan mereka. Maka tentunya kita hendak membalas kata-kata mereka dengan balasan yang sama. Tetapi bolehkah kita berbuat begitu? Ayat ini kata tidak boleh.

Dalam ayat ini orang Islam dilarang untuk mengejek dan mengutuk sembahan-sembahan puak musyrik. Ia mungkin dalam bentuk berhala mereka, matahari, bulan, bintang, Nabi, malaikat, wali-wali dan sebagainya. Kita dilarang daripada berbuat begitu walaupun sembahan-sembahan mereka itu bukanlah tuhan yang sebenarnya.

Ini kerana yang disembah itu tidak bersalah. Sebagai contoh, tidaklah pernah Nabi Isa عليه السلام menyuruh orang sembah baginda. Begitu juga dengan mereka yang dikatakan Imam-imam Syiah itu, mereka itu orang-orang yang baik. Cuma orang Syiah sahaja yang memandai-mandai mencipta agama baru dan melantik Imam-imam itu sebagai sembahan mereka.

Ayat ini membawa dua larangan: Larangan pertama adalah jangan mengeji dan mengutuk ‘sembahan-sembahan’ orang musyrik; Larangan yang kedua adalah jangan mengutuk dan mengeji ‘orang-orang yang menyembah’ itu.

Dunia ini tidak pernah sunyi daripada pertentangan antara hak dan batil. Ada sahaja pertentangan antara pihak yang benar dengan pihak yang salah. Kedua-dua pihak ini ada ‘senjata’nya masing-masing. Puak yang di atas jalan haq akan menggunakan kebenaran dan hujah-hujah yang sahih untuk menyokong dakwaan mereka. Manakala pihak yang batil akan menggunakan hujah yang kosong dan juga kata-kata yang kasar.

Oleh itu kedua-dua pihak akan menggunakan senjata masing-masing. Selagi kita di pihak yang benar, kita hendaklah menggunakan dalil-dalil yang sah sebagai hujah kita. Yang menggunakan kata-kata kesat hanyalah mereka yang tidak mempunyai dalil. Apabila mereka kehabisan hujah, mereka akan mula menggunakan kata-kata keji kepada lawan mereka. Oleh itu, jikalau kita pun menggunakan kata-kata yang kesat, bermakna kita pun tidak ada dalil.

Kenapakah kita dilarang daripada berbuat begitu?

فَيَسُبُّوا اللَّهَ

kerana mereka nanti akan memaki Allah

Kita dilarang daripada mengeji sembahan mereka kerana kalau kita berbuat begitu, mereka akan balas dengan mengejek dan memaki-maki Allah ‎ﷻ. Lihatlah, disebabkan kita, Allah ‎ﷻ yang dikeji dan dimaki pula. Itulah yang terjadi kalau kita melakukan sesuatu tanpa memikirkan kesannya.

Itulah balasan yang akan terjadi jika kita mengeji sembahan agama lain. Ini sama dengan kesan kalau kita keji bapa orang lain. Hasil daripada kejian itu, bapa kita pula yang dikeji.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ أَكْبَرِ الْكَبَائِرِ أَنْ يَلْعَنَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ يَلْعَنُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالَ يَسُبُّ الرَّجُلُ أَبَا الرَّجُلِ فَيَسُبُّ أَبَاهُ وَيَسُبُّ أُمَّهُ

Daripada Abdullah bin ‘Amru رضي الله عنهما beliau berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya termasuk daripada dosa besar adalah seseorang melaknat kedua orang tuanya sendiri, ” Baginda ditanya, “Kenapa hal itu boleh terjadi wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Seseorang mencela (melaknat) ayah orang lain, kemudian orang tersebut membalas mencela ayah dan ibu orang yang pertama.” (Sahih Bukhari (No. 5516))

عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

dengan perasaan permusuhan tanpa pengetahuan.

Mereka akan keji Tuhan kita kerana mereka rasa kita bermusuh dengan mereka. Mereka akan maki Allah ‎ﷻ kerana mereka marah kepada kita. Yang mereka marah adalah kita, tetapi yang mereka akan keji adalah Allah ‎ﷻ.

Mereka buat begitu tanpa mereka kenal siapa Allah ‎ﷻ dan tanpa mereka mengetahui apakah balasan daripada perbuatan mereka itu. Mengeji Allah ‎ﷻ adalah satu dosa yang amat besar tetapi mereka tidak tahu kerana mereka tidak kenal Allah ‎ﷻ.

Mereka berkata begitu kerana mereka tidak ada ilmu pengetahuan. Apa yang mereka lakukan adalah akibat daripada emosi mereka sahaja. Bila kita kutuk mereka atau sembahan-sembahan mereka, selalunya mereka akan cuba mempertahankan sembahan-sembahan mereka itu.

Sebagai contoh lihatlah apa yang terjadi di dalam perlawanan sukan antara negara. Orang-orang yang dulunya tidak berapa sayang kepada negara tiba-tiba akan mengebarkan bendera negara mereka dan rasa amat sayang kepada negara. Itu adalah kerana mereka sedang berlawan dengan pasukan dari negara lain. Tiba-tiba sahaja naik semangat kenegaraan mereka.

Begitulah juga jikalau kita kutuk sembahan mereka. Tiba-tiba mereka akan rasa hendak mempertahankan sembahan mereka dan semakin sayang kepada sembahan mereka. Padahal, asalnya mereka bukan sayang sangat pun sembahan mereka itu.

Ini mengajar kita untuk mengelak daripada melakukan sesuatu yang akan mengakibatkan keburukan yang lebih besar. Memang apa yang musyrikin itu lakukan adalah satu kesalahan tetapi jikalau kita kutuk tuhan mereka, ia hanya akan menyebabkan keburukan yang lebih besar, iaitu mereka akan kutuk Allah ‎ﷻ. Seperti juga kalau kita kutuk ayah orang lain, maka akan menyebabkan mereka mencaci ayah kita.

Ini mengajar kita, kalau perbuatan kita itu akan lebih membawa kepada keburukan, maka jangan kita lakukan. Sebagai contoh, semasa puak Muslim ditindas di Mekah, mereka meminta supaya mereka dibenarkan untuk menentang balik segala kezaliman yang dikenakan ke atas mereka oleh puak Musyrikin Mekah. Tetapi mereka tidak dibenarkan berbuat begitu kerana kalau dibenarkan, itu akan hanya membawa kepada keburukan sahaja. Ini kerana jumlah mereka pada waktu itu adalah amat sedikit dan mereka pula lemah. Jika mereka menentang balas, maka Musyrikin Mekah akan mengambil peluang itu untuk menghapuskan terus umat Islam. Akhirnya ia boleh mengakibatkan kemusnahan umat Islam.

Sebagai contoh lagi, Rasulullah ﷺ ada bercita-cita untuk menjadikan bentuk Kaabah seperti keadaan zaman Nabi Ibrahim عليه السلام kerana ia telah diubah oleh Musyrikin Mekah pada zaman jahiliyyah. Apabila baginda sudah menakluk Mekah, tentulah baginda ada kuasa untuk mengubahnya. Akan tetapi baginda tidak melakukannya kerana khuatir umat waktu itu akan memberontak dan menolak Islam hanya kerana perkara itu.

Ayat ini juga mengajar kita supaya tidak menyakitkan hati orang lain. Mungkin apa yang mereka lakukan adalah satu kesalahan yang besar, tetapi janganlah kita berkata-kata kepada mereka dengan cara yang boleh menyakitkan hati mereka. Kita hendaklah menggunakan cara yang berhemah. Kita boleh sahaja menegur mereka untuk memperbaiki mereka, tetapi hendaklah dengan kata-kata yang lembut dan berhemah.

Namun begitu, ini bukanlah hujah untuk menghalang kita daripada berdakwah dan menyatakan kebenaran. Memang dalam kita berdakwah, akan menyebabkan orang marah, terasa hati dan sebagainya. Tetapi dakwah tetap dijalankan. Contohnya ada pada perbuatan Rasulullah ﷺ sendiri. Baginda tetap berdakwah walaupun baginda tahu yang masyarakat sekeliling baginda tidak suka dengan apa yang baginda sampaikan.

Sebagaimana keadaan sekarang, sudah banyak kumpulan yang benci dengan dakwah sunnah. Ini kerana kita banyak menegur kesalahan-kesalahan agama yang mereka lakukan. Tentulah mereka terasa hati dan bertindak menolak dakwah sunnah ini. Mereka ada yang berhujah: “kalau tidak bersetuju pun, janganlah hina ajaran-ajaran kami ini!”

Ini kita tidak boleh berhenti kerana menjalankan amar makruf adalah sebahagian daripada agama. Jika kita tidak tegur, maka kita telah meninggalkan salah satu elemen penting agama ini. Oleh itu, teruskan menegur dan membetulkan masyarakat, walaupun mungkin mereka akan terasa dan membenci kita.

كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ

Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka.

Setiap umat akan melakukan ibadah kepada tuhan-tuhan mereka kerana mereka sayang kepada tuhan mereka dan mereka sangka perbuatan mereka itu adalah perbuatan yang baik. Mereka nampak cantik dan rasa benar sahaja perbuatan mereka itu. Dalam ayat ini ia bermaksud Allah ‎ﷻ yang takdirkan mereka nampak cantik amalan salah mereka itu.

Begitulah yang terjadi kepada puak-puak tarekat yang nampak amalan zikir bid’ah dan syirik mereka seperti elok dan molek sahaja. Mereka rasa tenang sahaja apabila mengamalkan zikir-zikir mereka itu. Mereka sayang untuk tinggalkan amalan yang telah lama mereka amalkan itu. Mereka rasa iman mereka semakin naik apabila mengamalkan amalan mereka. Padahal, ia memudaratkan mereka sahaja. Mereka sahaja yang tidak sedar kerana kejahilan mereka.

Begitulah juga dengan penganut agama lain. Oleh kerana mereka nampak baik perbuatan mereka itu, maka mereka tidak dapat menerima kalau kita mengutuk tuhan-tuhan mereka. Sebab itu kalau kita kutuk, mereka akan membalas dengan mengutuk Tuhan kita iaitu Allah ‎ﷻ.

ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ

Kemudian kepada Tuhan merekalah kembalian mereka,

Sama ada kita mahu atau tidak, kita semua akan dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ. Semasa di dunia, orang musyrik itu nampak apa yang mereka lakukan itu adalah benar. Tetapi di akhirat nanti, mereka akan nampak apakah kebenaran itu dan bagaimana kesalahan yang mereka telah lakukan. Apabila di sana, barulah mereka akan menyesal atas amalan syirik mereka semasa di dunia. Namun malangnya, penyesalan waktu itu tidak berguna lagi.

فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.

Mereka mengadap Allah ‎ﷻ bukan atas tujuan suka-suka tetapi mereka semua akan ditunjukkan dengan kesalahan-kesalahan syirik yang mereka telah lakukan itu. Semua yang mereka kerjakan semasa di dunia akan dibentangkan dan mereka akan dibalas dengan kesalahan mereka itu.

Allahu ‘alam

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan