Tafsir Surah An’am
Tafsir Ayat Ke-70
وَذَرِ الَّذينَ اتَّخَذوا دينَهُم لَعِبًا وَلَهوًا وَغَرَّتهُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا ۚ وَذَكِّر بِهِ أَن تُبسَلَ نَفسٌ بِما كَسَبَت لَيسَ لَها مِن دونِ اللَّهِ وَلِيٌّ وَلا شَفيعٌ وَإِن تَعدِل كُلَّ عَدلٍ لّا يُؤخَذ مِنها ۗ أُولٰئِكَ الَّذينَ أُبسِلوا بِما كَسَبوا ۖ لَهُم شَرابٌ مِّن حَميمٍ وَعَذابٌ أَليمٌ بِما كانوا يَكفُرونَ
Dan jauhkanlah diri daripada orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Qur’an itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang dia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain daripada Allah. Dan jika dia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).
وَذَرِ الَّذِينَ
Dan tinggalkanlah mereka
Ada masanya kita kena menjauhkan diri kita daripada orang lain. Ini kerana jika kita tidak tinggalkan mereka, kita mungkin akan terpengaruh dan jadi seperti mereka pula. Memang ada kemungkinan kita akan terpengaruh dengan perangai dan cara fikir mereka. Takut kita pula akan ambil mudah tentang agama seperti mereka. Takut kita rasa tidak kisah kalau main-main dengan agama, buat lawak tentang agama.
Takut kita akan jadi seperti penceramah yang bercakap tentang agama, tetapi buat cerita lawak dan jenaka sepanjang ceramah. Padahal perkara agama ini adalah hal yang serius, kerana kita sedang memperkatakan tentang syurga neraka, tentang syirik, dan semua itu bukan barang permainan dan senda gurau.
Daripada siapakah yang kita kena jauhkan diri kita? Siapakah yang kita harus tinggalkan?
اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا
yang mengambil agama mereka sebagai main-main dan senda gurau,
Iaitu menjauhkan diri daripada mereka yang mempermainkan hal agama. Ramai yang buat begini kerana mereka tidak mementingkan agama. Namun, yang menyedihkan, ramai sangat ustaz-ustaz yang mengajar sekarang buat lawak sahaja tentang hal agama ini. Kalau berceramah, mereka akan selitkan kisah-kisah lawak. Alasannya adalah untuk menarik minat manusia.
Itu belum masuk mereka yang menyanyi sambil berceramah. Dalam ayat ini, Allah ﷻ suruh kita biarkanlah sahaja mereka. Kalau sikit-sikit kita boleh faham, tetapi kalau banyak sangat kita pun risau adakah mereka hendak mengajar agama atau mereka ingin menyertai program ‘Maharaja Lawak’ pula?
Perkataan دِينَهُمْ bermaksud ‘agama mereka’. Kalau mereka agama kafir, seperti Kristian, Yahudi, Hindu, bermaksud mereka memang menjadikan agama mereka sebagai bahan jenaka. Lihatlah apa orang Kristian buat dengan agama mereka. Mereka boleh kutuk-kutuk paderi mereka, mereka boleh buat kartun pasal syurga, pasal neraka dan sebagainya.
Kalau دِينَهُمْ itu bermaksud agama mereka yang beragama Islam, itu pun ramai juga. Seperti kita telah sebut sebelum ini ramai yang tidak kisah buat lawak dalam hal agama. Betapa sedihnya kita lihat sekarang asalkan berceramah sahaja, mesti mereka akan selitkan lawak jenaka. Mereka rasa mereka kena buat lelucon barulah orang ramai akan dengar apa yang mereka sampaikan.
Sekarang sudah menjadi ‘trend’ pula di mana ada pihak tertentu berlumba-lumba mengadakan pertandingan penceramah dakwah berformatkan program hiburan Akademi Fantasia. Dalam rancangan itu, penceramah agama mesti pandai membuat lawak, pandai bersajak, pandai menyanyi. Penceramah yang mendapat markah terendah akan disingkirkan daripada rancangan tersebut. Maka berlakulah drama tangisan air mata yang menyentuh hati penonton. Sedih sungguh kita menyaksikan fenomena sebegini bagaimana agama Islam ini telah dimain-mainkan sampai sebegitu rupa. Dakwah telah dijadikan sebagai rancangan hiburan sekadar untuk menghiburkan masyarakat di mana terdapat pihak tertentu sanggup berlumba-lumba untuk menaikkan ‘rating’ demi mengaut keuntungan wang ringgit.
Kalimah لَعِبًا merujuk kepada ‘permainan’ yang berbentuk fizikal. Mereka melakukan perkara yang mereka suka yang melibatkan perbuatan fizikal. Ada yang pergi ke masjid hanya kalau ada majlis yang mereka suka: iaitu apabila ada makanan, nyanyian, permainan dan sebagainya.
Kalimah وَلَهْوًا pula merujuk kepada permainan yang di dalam hati iaitu perkara-perkara yang melibatkan emosi. Sebagai contoh, mereka buat lawak apabila memperkatakan tentang agama.
Selain daripada itu, kita boleh lihat bagaimana ramai sangat sekarang yang tidak mengambil serius tentang agama mereka. Mereka tidak merasa ralat pun kalau tidak tahu tentang agama. Bila ajak pergi kelas tafsir pun mereka tidak mahu ikut. Kalau menonton wayang tiga jam pula tidak mengapa. Tetapi kalau kelas tafsir setengah jam pun sudah panas punggung.
Allah ﷻ beritahu kita supaya jangan campur sangat dengan orang yang sebegini. Takut-takut kita pula yang terpengaruh dengan mereka. Mereka hanya memikirkan hal dan kesenangan dunia sahaja. Mereka hanya memikirkan kejayaan di dunia sahaja, langsung tidak memikirkan tentang kejayaan di akhirat. Atau, kalau mereka fikirkan pun hanya sekejap sahaja. Takut kalau kita berkawan rapat dengan mereka, kita akan terpengaruh dengan sikap mereka ini.
وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَوٰةُ الدُّنْيَا
dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia.
Mereka menjadi begitu kerana tertipu dengan kehidupan dan kesenangan dunia yang sementara. Mereka rasa akhirat itu jauh sahaja. Inilah masalah besar bagi orang yang ingkar, sejak zaman berzaman. Mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia yang melalaikan mereka.
Ada ramai yang kata mereka suka dengar ceramah agama yang ada jenaka di dalamnya. Masalahnya, yang hadir ke majlis ceramah bukan hendak belajar tetapi sekadar hanya mahu mendengar lawak jenaka sahaja. Dua jam mengajar, namun lima minit sahaja ilmu yang disampaikan. Allah ﷻ melarang kita ambil peduli dengan mereka. Perkara agama ini adalah hal serius, bukan boleh dibuat lawak jenaka.
Mereka ‘tertipu’ kerana mereka sangka dengan buat lawak itu akan menarik budak-budak muda datang belajar. Begitu juga mereka buat konsert nyanyian untuk menarik minat anak-anak muda, sampai kadang kala mereka buat sekali nasyid dengan kumpulan rock. Itu dilakukan dengan tujuan amal dan kerana itu mereka sangka mereka buat perkara baik. Mereka tertipu sebenarnya. Mereka sangka anak-anak muda itu hendak belajar agama, tetapi sebenarnya mereka hendak bergembira sahaja.
Mereka juga tertipu dengan dunia kerana dunia ini begitu indah dan menarik kepada mereka yang lupa tentang agama dan tentang Hari Akhirat. Mereka sangka dunia ini tempat bergembira sahaja. Sampai dalam agama pun mereka buat mudah sahaja. Mereka sangka apa yang mereka belajar semasa di sekolah rendah itu berguna sampai bila-bila.
Mereka langsung tidak terfikir untuk belajar agama dengan lebih mendalam. Yang mereka sibuk adalah tentang hal-hal dunia. Hal bergembira, hal bekerja, hal keluarga dan sebagainya yang sentiasa bermain di fikiran mereka. Mereka suka banyak perkara, asalkan bukan hal agama kerana hal agama amat membosankan kepada mereka.
وَذَكِّرْ بِهِ
Peringatkanlah (mereka) dengannya (Al-Qur’an) itu
Ayat ini memerlukan penerangan kerana dalam satu bahagian ayat, Allah ﷻ suruh tinggalkan mereka. Tetapi dalam bahagian ini, Allah ﷻ suruh kita mengingatkan mereka pula. Kalau hendak mengingatkan mereka, tentulah kena duduk bersama dengan mereka, bukan? Bagaimana pula ada suruhan yang berbeza begini?
Ini bermakna, walaupun kita disuruh tinggalkan mereka, tetapi tidaklah sampai boikot mereka terus. Kalau kita tinggalkan mereka, mereka akan terus hanyut dengan dunia.
Maknanya, jangan sentiasa sahaja bersama mereka pagi dan petang. Sekali sekala boleh duduk dengan mereka kerana kita hendak mencari peluang untuk berdakwah kepada mereka. Jika kita tidak ingatkan mereka, mereka akan diheret ke neraka.
Dan kita kena gunakan Al-Qur’an untuk memberi peringatan kepada mereka. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan بِهِ (dengannya) dalam ayat ini. ‘Nya’ yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Usaha dakwah perlu dijalankan dengan menyampaikan ajaran daripada Al-Qur’an. Banyak sekali ayat-ayat Al-Qur’an yang mengingatkan kita untuk memperingatkan manusia dengan Al-Qur’an. Bukannya dengan nyanyian, sajak, lawak jenaka dan sebagainya.
أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ
agar masing-masing diri tidak dijerumuskan ke dalam neraka,
Kalimah تُبْسَلَ berasal daripada kata dasar ب س ل yang antara lain bermaksud ‘menangkap seseorang dengan paksa’. Sebagai contoh, apabila seseorang ditangkap untuk dimasukkan ke dalam penjara. Tentunya orang yang dimasukkan itu tidak rela dimasukkan ke dalam penjara.
Ia juga bermaksud meletakkan seseorang sebagai tebusan. Sebagai contoh, meletakkan anak kita dengan seseorang apabila meminjam wang. Selagi kita tidak membayar hutang kita, kita tidak boleh ambil anak itu. Anak itu dijadikan seperti hamba sepanjang tempoh itu. Ini masih lagi diamalkan di sesetengah tempat di dunia yang mundur lagi. Ada yang terpaksa menjadi hamba sampai mereka telah dewasa baru ibubapa mereka boleh kumpul wang untuk membayar tebusan itu.
Dalam ayat ini, kita diingatkan untuk memberi peringatan kepada manusia agar mereka tidak dimasukkan secara paksa ke dalam neraka. Tidak ada yang akan menebus mereka nanti kalau mereka dimasukkan ke dalam neraka.
بِمَا كَسَبَتْ
kerana perbuatannya sendiri
Mereka dimasukkan ke dalam neraka kerana kesalahan mereka sendiri dan bukan sebab lain. Mereka akan kekal di dalamnya selagi mana dosa mereka tidak dibersihkan. Seperti juga duduk dalam penjara, kena tunggu sudah habis tempoh hukuman barulah boleh keluar.
Maka kita beri peringatan kepada manusia supaya mudah-mudahan mereka tidak diseret ke dalam neraka kerana kesalahan dosa yang mereka lakukan semasa di dunia.
Selepas ini akan disebut tiga perkara yang selalunya manusia gunakan untuk menyelamatkan diri mereka semasa di dunia: Pertama, mereka akan menggunakan penolong-penolong mereka; kalau itu tidak menjadi, mereka akan menggunakan rekomendasi daripada orang lain; kalau itu juga tidak berjaya, mereka akan menggunakan rasuah. Semua ini Allah ﷻ jelaskan tidak akan berjaya di akhirat.
لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّهِ وَلِيٌّ
Tidak akan ada baginya selain daripada Allah, sebarang pelindung
Apabila sudah dimasukkan ke dalam neraka, tidak ada sesiapa yang dapat menolong. ‘Wali’ adalah sesiapa yang mahu menghilangkan kesusahan. Kalau dalam dunia, kita ada wali-wali yang boleh membantu kita. Wali itu adalah orang yang rapat dengan kita.
Sebagaimana juga seorang wali untuk wanita adalah bapanya, pakciknya, abangnya atau datuknya – iaitu orang yang rapat dengannya. Mereka itu kerana rapatnya dengan seseorang, akan menolong apabila ada masalah. Namun Allah ﷻ mengingatkan di sini yang di akhirat kelak, tidak ada wali yang dapat menolong selain daripada Dia.
وَلَا شَفِيعٌ
dan tidak pula pemberi syafa’at
Pemberi syafaat adalah mereka yang menolong kita dengan meminta supaya dibuangkan kesusahan. Kalau wali, dia boleh buangkan kesusahan itu dengan tangannya sendiri. Tetapi pemberi syafaat itu kena meminta tolong orang lain.
Sebagai contoh, kalau ada anak saudara kita yang dimasukkan lokap, maka kita akan meminta tolong daripada ketua balai polis untuk memberikan kelonggaran mengeluarkannya.
Sedangkan orang yang sudah masuk neraka, tidak ada wali dan tidak ada pemberi syafaat. Bab Syafaat ini memang ada banyak kekeliruan dalam kalangan masyarakat kita. Mereka terlalu berharap kepada syafaat anak-anak, orang alim, wali, Nabi dan lain-lain lagi. Sebenarnya pemberi syafaat yang sebenar adalah Allah ﷻ dan disebut dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an.
وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ
Dan jika dia ingin menebus dengan segala macam tebusan pun
Jikalau dia cuba hendak memberi tebusan pun tidak diterima. Walau dengan apa sahaja yang dia ada. Waktu di akhirat kelak, seseorang yang hendak dimasukkan ke dalam neraka, mereka sudah tidak kisah lagi berapa banyak mereka akan belanjakan untuk menebus diri mereka.
Kalau mereka di dunia, mereka amat sayangkan harta mereka, sampaikan hendak beri sedekah pun liat, namun di akhirat kelak, mereka sanggup berhabis kalau mereka ada, untuk menyelamatkan diri mereka.
Tetapi tentunya di akhirat kelak tidak ada apa yang mereka boleh gunakan sebagai tebusan. Jadi di sini Allah ﷻ hendak beri perumpamaan sahaja, kalaulah mereka ada apa-apa pun yang boleh diberi, ia tidak akan diterima.
Namun begitu, golongan yang malang itu tetap juga akan cuba merasuah Allah ﷻ. Mereka sanggup menebus diri mereka dengan beri anak, isteri atau sesiapa sahaja asalkan mereka selamat. Mereka akan kata: “Jangan hukum aku! Tapi hukum isteri aku… dia ada buat kesalahan begini dan begitu!” Tetapi itu pun tidak akan diterima.
لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَا
tidak akan diterima itu daripadanya.
Biarlah apa sahaja yang mereka hendak jadikan tebusan, tidak akan diterima. Oleh kerana mereka tidak ada harta di akhirat kelak, mereka akan jadikan orang-orang yang rapat dengan mereka sebagai tebusan.
Seorang suami akan menyerahkan isterinya sebagai tebusan, seorang bapa akan memberikan anaknya sebagai tebusan. Begitulah mereka sanggup beri apa sahaja sebagai tebusan, namun tidak akan diterima. Maka kita sebenarnya kena bergantung kepada iman dan amal kita. Maka, kena jaga iman dan amal semasa kita masih di dunia ini.
أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا
Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan dengan sebab perbuatan mereka
Mereka dijerumuskan ke dalam neraka itu adalah disebabkan kesalahan yang mereka buat. Antaranya buat lawak jenaka dalam hal agama, memperolokkan hal-hal agama, tidak belajar agama sampaikan mereka buat dosa amalan bid’ah dan amalan syirik dan macam-macam lagi.
Maknanya, bukanlah Allah ﷻ zalim untuk memasukkan mereka ke dalam neraka tanpa salah apa-apa. Semuanya bersebab dan mereka memang layak masuk dalam neraka.
لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ
Bagi mereka (disediakan) minuman daripada air yang sedang mendidih
Mereka akan berasa amat dahaga di dalam neraka. Penghuni neraka akan berasa dahaga yang amat sangat dari saat mereka masuk ke dalam neraka sampailah bila-bila, selagi mana mereka berada dalam neraka. Dan apabila mereka meminta untuk minum, mereka akan diberikan dengan air yang mendidih.
Air itu amat panas sampaikan akan merosakkan muka mereka. Apabila diberikan air itu kepada mereka, tentulah mereka tidak mahu minum air itu (yang mereka mahu adalah air untuk menghilangkan dahaga), tetapi air panas itu akan dimasukkan secara paksa ke dalam mulut mereka. Apabila air itu turun ke perut mereka, perut mereka akan pecah kerana kepanasan air itu.
وَعَذَابٌ أَلِيمٌ
dan azab yang pedih
Dan bermacam-macam lagi azab yang mereka akan terima. Azab itu semuanya amat pedih. Apabila digunakan perkataan أَلِيمٌ, ia bermaksud azab itu amat pedih sampai bila-bila, tidak berkurangan. Kalau selalu kena pukul, lama kelamaan, sakit tidak dirasakan lagi sama seperti pertama kali dipukul – sebab sudah menjadi lali.
Tetapi ia berbeza di dalam neraka, kesakitan itu sama sahaja dirasai semenjak kali pertama dikenakan azab itu. Kesakitan itu tidak pernah berkurang sedikit pun malah ia akan bertambah. Mereka tidak akan rasa lali dengan azab neraka itu.
بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ
disebabkan kekafiran mereka dahulu
Mereka dikenakan dengan azab yang bermacam-macam itu adalah kerana mereka kufur.
Jangan kita sangka kufur ini hanya dikenakan kepada orang yang kafir sahaja. Ini kerana kalau kita pun kufur dengan perintah Allah ﷻ, walaupun kita mengaku Muslim, kita pun dikira sebagai kafir juga di mata Allah ﷻ. Kita pun boleh dikenakan azab yang sama dikenakan kepada orang kafir yang tidak pernah mengaku Allah ﷻ sebagai Tuhan mereka.
Alangkah malangnya, kita mengaku Allah ﷻ sebagai Tuhan, tetapi kita tidak mengikut peringatan-Nya, kita ingkar perintah-Nya. Maka, kita pun sama seperti orang-orang kafir juga.
Tafsir Ayat Ke-71
Setelah dalil-dalil disebut dalam ayat-ayat sebelum ini, ini adalah natijahnya. Inilah yang kita kena lakukan setelah kita faham bab tauhid.
قُل أَنَدعو مِن دونِ اللَّهِ ما لا يَنفَعُنا وَلا يَضُرُّنا وَنُرَدُّ عَلىٰ أَعقابِنا بَعدَ إِذ هَدٰنَا اللَّهُ كَالَّذِي استَهوَتهُ الشَّيیٰطينُ فِي الأَرضِ حَيرانَ لَهُ أَصحٰبٌ يَدعونَهُ إِلَى الهُدَى ائتِنا ۗ قُل إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الهُدىٰ ۖ وَأُمِرنا لِنُسلِمَ لِرَبِّ العٰلَمينَ
Katakanlah: “Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain daripada Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita; dan (patutkah) kita dikembalikan undur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan agama Islam), seperti orang yang telah disesatkan oleh Syaitan-syaitan di bumi (di tempat yang lengang) dalam keadaan bingung, sedang dia pula mempunyai sahabat-sahabat yang mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan berkata kepadanya): “Marilah bersama-sama kami. “Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.
قُل أَنَدعو مِن دونِ اللَّهِ
Katakanlah: “Apakah kita akan menyeru selain daripada Allah,
Ramai manusia yang jahil wahyu dan sesat yang menyeru selain daripada Allah ﷻ. Mereka seru kepada wali, kepada malaikat dan kepada Nabi-nabi. Sebagai contoh, puak-puak Habib buat majlis ‘menyeru’ Nabi Muhammad ﷺ. Ramai yang tertipu sampaikan penuh satu stadium ‘memuja’ Nabi Muhammad ﷺ yang sudah wafat.
Jika ditanya mengapa mereka membuat begitu; mereka akan jawab tujuan mereka membuat amalan tersebut adalah untuk ‘mendekatkan diri dengan Allah’. Namun malang sekali, mereka telah membuatnya dengan cara yang tidak benar dan tidak mengikut panduan yang Islam telah gariskan. Agama bukan perkara main-main, boleh sesuka hati sahaja membuat sebarang amalan dengan niat mahu ‘mendekatkan diri dengan Allah’. Tidak boleh mengada-adakan perkara ibadah yang tidak ada dan tidak diajar oleh baginda Rasulullah ﷺ.
Sama ada secara sedar atau tidak, mereka telah menggunakan ‘perantaraan’ sama ada dengan Nabi, wali atau malaikat. Perbuatan inilah yang dinamakan ‘tawasul‘. Amat ramai yang salah faham dengan tawasul ini. Telah banyak dibincangkan dalam penulisan tafsir ini. Harap boleh dibaca bahagian-bahagian tersebut dan dibuat pemahaman yang lebih jitu.
مَا لَا يَنفَعُنَا
sesuatu yang tidak dapat mendatangkan apa-apa kemanfaatan kepada kita
Adakah dengan kita menyeru Nabi, wali atau malaikat itu akan memberi manfaat kepada kita? Tidak sama sekali kerana yang diseru itu tidak tahu pun mereka diseru. Mereka sudah lama wafat dan mereka tidak dapat mendengar apa yang diserukan kepada mereka.
Dan malaikat yang diseru itu walaupun mereka mungkin dapat mendengar, mereka tidak dapat melayan kehendak kita pun. Mereka hanya menurut arahan daripada Allah ﷻ sahaja. Maka kita ingatkan di sini bahawa perbuatan menyeru selain daripada Allah ﷻ itu adalah perbuatan yang mungkar.
وَلَا يَضُرُّنَا
dan tidak (pula) mendatangkan kemudaratan kepada kita
Kalau buat tidak dapat apa, kalau tidak buat pun tidak menjadi apa-apa. Adakah membahayakan kita jika kita tidak menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai perantara kita? Tentu tidak ada apa-apa mudarat pun, bukan?
Maka jangan kita menjadi seperti puak musyrik yang sembah berhala. Mereka diajar kalau tidak disembah berhala-berhala itu, mudarat akan datang kepada mereka.
وَنُرَدُّ عَلَىٰ أَعْقَابِنَا
dan (apakah) kita akan kembali ke belakang,
Adakah patut kita kembali ke belakang? Kembali ke belakang itu maksudnya menjadi kafir semula, apabila kita telah beriman. Setelah masyarakat Melayu kita ini menerima Islam beratus-ratus dahulu, adakah patut kita mengambil semula fahaman agama Hindu tok nenek kita dahulu? Tentu tidak patut sama sekali.
بَعْدَ إِذْ هَدٰنَا اللَّهُ
sesudah Allah memberi petunjuk kepada kita,
Adakah kita mahu menjadi murtad selepas kita telah mendapat iman? Hidayah telah lama Allah ﷻ berikan namun kita tidak ambil peduli. Kita tidak mahu belajar wahyu Allah ﷻ yang ada dalam Al-Qur’an ini? Maka alangkah rugi sekali.
كَالَّذِي اسْتَهْوَتْهُ الشَّيٰطِينُ فِي الْأَرْضِ
seperti orang yang telah disesatkan oleh syaitan di dunia
Kalimah اسْتَهْوَتْهُ berasal daripada katadasar ه و ي (hawa) yang bermaksud ‘keinginan’. Atau kita selalu gunakan dengan perkataan ‘hawa nafsu’. Apabila kita berfikir tidak menggunakan akal lagi tetapi menggunakan emosi kita, nafsu kita.
Ia juga bermaksud ‘jatuh dari atas’. Apabila kita terjatuh dari atas, kita tidak tahu ke mana kita akan jatuh lebih-lebih lagi jika kita jatuh dari kedudukan yang tinggi.
Maka, اسْتَهْوَتْهُ bermaksud perbuatan yang menyebabkan seseorang hilang arah setelah akalnya tidak berfungsi lagi. Akal tidak berfungsi setelah hawa nafsunya mengambil alih keputusan yang sepatutnya dilakukan oleh akal.
Perkataan ini juga digunakan untuk menerangkan ‘orang gila’ kerana bangsa Arab percaya yang orang yang gila itu adalah mereka yang telah dirasuk oleh jin. Dan sememangnya dalam zaman moden ini pun ada mangsa yang hilang akal sampai jadi gila kerana dirasuk oleh jin.
Maka dalam ayat ini, orang yang melakukan syirik diibaratkan oleh Allah ﷻ sebagai orang yang telah hilang akal sepenuhnya. Mereka telah dikawal oleh syaitan sehingga syaitan boleh mengarahkan mereka membuat apa-apa sahaja. Sampai begitu sekali mereka itu diibaratkan oleh Allah ﷻ. Kalau akal ada, tetapi tidak digunakan, orang jenis apakah itu?
حَيْرَانَ
dalam keadaan bingung,
Perkataan ini berasal daripada katadasar ح ي ر yang bermaksud ‘bingung tidak tahu ke mana hendak pergi’. Tidak ada arah tujuan dan kerana itu mereka akan bergerak berpusing-pusing. Bayangkan kalau kita berjumpa dengan orang gila yang berseorangan di pekan, bagaimanakah keadaannya? Tentulah dia dalam keadaan kebingungan dan kalau kita tanya dia apa-apa pun dia tidak tahu.
Begitu jugalah dengan orang yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Kalau kita beritahu kepada mereka bahawa tawasul itu tidak boleh, mereka kehairanan dan kebingungan. Mereka telah diajar dari dulu lagi untuk buat sebegitu dalam berdoa. Mereka telah diajar oleh guru-guru yang sesat bahawa tawasul itu bagus dan amat digalakkan.
Apabila kita kata kepada mereka, bahawa kebanyakan amalan mereka selama hari ini adalah amalan bid’ah, lagilah mereka terkejut. Kita boleh lihat mereka kehairanan dan kebingungan.
لَهُ أَصْحٰبٌ يَدْعُونَهُ إِلَى الْهُدَى
dia mempunyai kawan-kawan yang memanggilnya kepada jalan yang lurus
Dalam masa yang sama, mereka itu masih ada lagi kawan-kawan seperti kita yang mengajak mereka untuk menyelamatkan mereka daripada syirik. Maka, kitalah yang mesti menasihatkan mereka untuk berhenti daripada buat amalan-amalan syirik dan bid’ah itu.
Ayat ini mengingatkan kita supaya jangan tinggalkan kawan-kawan kita walaupun mereka sudah lama tinggalkan agama. Walaupun sudah lama tidak kisah tentang agama dan wahyu. Kita kena cari mereka dan ingatkan mereka.
ائْتِنَا
(dengan mengatakan): “Marilah ikuti kami”.
Untuk kita yang telah jumpa jalan yang benar, maka kita hendaklah mengajak mereka untuk mengikut kita. Ajaklah mereka dengan cara yang paling baik. Cari peluang bagaimana hendak mengajak mereka. Fikirkan bagaimana cara terbaik untuk kita ajak mereka. Oleh itu, ilmu-ilmu untuk berdakwah pun kena ada juga.
Allah ﷻ telah ajar apakah yang perlu diberitahu kepada mereka.
قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ
Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah (yang sebenarnya) petunjuk;
Hidayah itu mestilah dalam bentuk wahyu daripada Allah ﷻ dan daripada Rasulullah ﷺ. Kena ajak mereka ke jalan menerima wahyu dalam kehidupan ini. Allah ﷻ boleh beri petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Semoga kita termasuk dalam golongan yang diberikan petunjuk oleh Allah ﷻ.
Hidayah adalah hak Allah ﷻ. Kita boleh berdakwah, tetapi sama ada dia terima atau tidak, bukanlah kuasa kita untuk menentukannya. Kita hanya boleh berdakwah dan doakan untuk mereka.
وَأُمِرْنَا لِنُسْلِمَ لِرَبِّ الْعٰلَمِينَ
dan kita disuruh agar menyerahkan diri kepada Tuhan semesta alam,
Ajak mereka untuk menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah ﷻ, iaitu beritahu mereka yang kita telah disuruh untuk serah diri 100% kepada Allah ﷻ kerana Dialah Tuhan sekalian alam.
‘Serah diri’ itu bermakna mengikut segala arahan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Yang paling penting kita mulakan adalah dengan belajar tafsir Al-Qur’an kerana Al-Qur’an ini mengandungi ajaran tentang akidah dan tauhid. Itulah sepenting-penting ilmu.
Dengan belajar tafsir Al-Qur’an, maka kita akan faham apakah kehendak Allah ﷻ kerana Allah ﷻ telah terangkan dalam Al-Qur’an bagaimana menjadi seorang Muslim.
Tafsir Ayat Ke-72
Apa lagi yang kita perlu dakwahkan?
وَأَن أَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَاتَّقوهُ ۚ وَهُوَ الَّذي إِلَيهِ تُحشَرونَ
Dan (diperintahkan): Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang dan bertaqwa kepada-Nya, dan Dia lah Tuhan yang kepada-Nya kamu akan dihimpunkan (pada hari akhirat kelak).
وَأَنْ أَقِيمُوا الصَّلَوٰةَ
dan agar mendirikan sembahyang
Telah dititahkan kepada kita: Kenalah buat amalan ibadah selain daripada mengakui telah beriman. Iman mestilah dibuktikan dengan amalan. Dan amalan yang paling penting adalah ‘mendirikan’ salat. Maksud ‘mendirikan’ sembahyang bermaksud, salat itu bukan hanya perbuatan takbiratul ihram sehingga kepada salam sahaja.
Ia mempunyai perbuatan yang lebih lagi daripada itu; iaitu hendaklah dimulakan daripada mandi junub dengan betul dan mengambil wudhu’ dengan betul. Kemudian memakai pula pakaian yang bersih. Salat sepertimana yang Nabi ﷺ ajar. Bukan setakat amalan salat itu sahaja. Bermakna, kita kena jaga ‘institusi’ salat itu. Ada benda-benda lain lagi yang perlu dipenuhi.
‘Mendirikan’ juga bermaksud kita hendaklah mementingkan salat itu daripada segala perbuatan lain. Bayangkan jika salat itu ‘tiang rumah’ kita. Kita pun selalu dengar yang salat itu adalah seumpama ‘tiang agama’.
Untuk membina sebah rumah, tiang rumah adalah perkara pertama dan asas yang perlu dibina sebelum memasukkan peralatan lain selepas itu seperti perabot contohnya. Jika kita beli perabot, kita kena susun perabot itu dengan mengambil kira kedudukan tiang rumah itu. Ini kerana kita tidak boleh mengubah kedudukan tiang. Kedudukan perabot haruslah disusun mengikut ketetapan tiang tersebut.
Maka, begitu juga dengan salat. Salat itu telah ditetapkan waktunya. Perkara lain dalam kehidupan kita yang kena ubah dan beralah dengan salat. Tidak boleh salat pula yang diubah-ubah semata-mata mahu menjalankan keperluan hidup kita. Segala kegiatan kita seharian seperti pekerjaan, temu-janji kita, makan minum, bersukan dan sebagainya mestilah berlandaskan dengan waktu salat itu.
Semua itu boleh dibuat, namun salat yang perlu diberikan keutamaan. Islam telah memberikan kelapangan dalam banyak hal berkenaan dengan waktu salat itu, maka hendaklah kita menggunakan kemudahan yang telah diberikan dalam agama itu.
وَاتَّقُوهُ
serta bertaqwa kepada-Nya
Bertaqwa bermaksud menjaga hukum Allah ﷻﷻ. Benar-benar menjaganya daripada membuat syirik dan dosa-dosa yang lain. Dalam setiap pekerjaan kita, kita kena tahu, apakah hukum Allah ﷻ dalam perkara itu supaya kita berhati-hati dan tidaklah kita menjalani kehidupan kita mengikut kehendak nafsu kita sahaja. Kena fikirkan hukum agama dalam setiap hal.
وَهُوَ الَّذِي إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ
Dan Dialah Tuhan yang kepada-Nya-lah kamu akan dihimpunkan
Sentiasa kita diingatkan dalam ayat-ayat Al-Qur’an yang kita akan dihimpunkan dan akan dibicarakan di hadapan Allah ﷻ agar kita sentiasa beringat yang kita akan mati dan kita akan melalui perbicaraan Mahsyar yang amat menggerunkan.
Kalau kita dapat yakin dengan perkara ini, maka tentulah kita tidak berani untuk membuat perkara-perkara yang salah. Maka, tentu kita akan sentiasa berhati-hati dalam apa sahaja yang kita lakukan. Tidakkah kita takut untuk ditanya di hadapan Allah ﷻ nanti? Apakah alasan kita ketika melakukan dosa-dosa tersebut?
Allahu a’lam.
#Ilmu#Prihatin#Amal