Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Bahagian 1 – Tafsir Ayat Ke-26 hingga Ke-29

Tafsir Surah Al-An’am: Bahagian 1 – Tafsir Ayat Ke-26 hingga Ke-29

162
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-26

Bukan sahaja mereka tidak mahu terima, tetapi mereka halang orang lain juga. Ini sangat teruk, kerana bukan sahaja menyesatkan diri sendiri malah menyesatkan orang lain juga.

وَهُم يَنهَونَ عَنهُ وَيَنأَونَ عَنهُ ۖ وَإِن يُهلِكونَ إِلّا أَنفُسَهُم وَما يَشعُرونَ

Dan mereka pula melarang orang ramai dari mendengar Al-Qur’an dan mereka juga menjauhkan diri daripadanya, padahal mereka (dengan perbuatan yang demikian) hanyalah membinasakan diri sendiri (dengan bala bencana dan azab yang disediakan untuk mereka di dunia dan di akhirat kelak), sedang mereka tidak menyedarinya.

وَهُمْ يَنْهَوْنَ عَنْهُ

Dan mereka melarang (orang lain) daripada Al-Qur’an

Pemuka-pemuka Musyrikin Mekah itu menghalang orang lain daripada pergi kepada Nabi ﷺ dan mendengar bacaan Al-Qur’an baginda. Dhomir ه dalam ayat ini boleh merujuk kepada Nabi ﷺ dan juga boleh juga merujuk kepada Al-Qur’an. Ini kerana Rasulullah ﷺ dan Al-Qur’an itu sama sahaja, maksudnya Nabi ﷺ akan ajar berlandaskan Al-Qur’an dan akhlak baginda adalah akhlak Al-Qur’an. Ada yang mengatakan baginda adalah ‘Al-Qur’an bergerak’.

Mereka halang manusia daripada mendekati Rasulullah ﷺ kerana mereka tahu, jika orang pergi mendengarnya, ada kemungkinan yang mendengar itu akan masuk Islam. Jadi mereka akan sedaya upaya halang manusia daripada mendekati baginda. Mereka kata tidak perlu dengar sebab ia hanyalah kisah-kisah dongeng sahaja, bukan boleh digunakan untuk zaman sekarang. Mereka juga kata jangan dengar Muhammad ﷺ itu kerana dia orang gila!

Pada zaman sekarang, mereka ini adalah golongan yang melarang orang lain belajar tafsir dengan ustaz yang mengajar tafsir Al-Qur’an dengan ajaran tauhid. Mereka tuduh itu adalah ajaran salah. Mereka kata itu adalah tafsiran ‘Wahabi’. Mereka halang daripada mendengar ajaran-ajaran sunnah kerana kadangkala kalau sudah mula dengar, akan ikut. Ini memang menjadi kebiasaan kerana ajaran sunnah memang ajaran yang mesra akal dan mesra wahyu. Jadi kalau mula belajar sunnah, memang akan sayang dan akan pegang sampai bila-bila.

Berbagai-bagai cara digunakan oleh manusia yang ingkar untuk menghalang manusia daripada mendengar kebenaran. Antaranya mereka akan mengeluarkan penipuan, beri hujah yang batil dan sebagainya.

وَيَنْأَوْنَ عَنْهُ

dan mereka sendiri menjauhkan diri daripadanya,

Inilah yang dilakukan oleh golongan penentang, tidak kiralah Musyrikin Mekah atau penentang kepada ajaran berlandaskan wahyu (ajaran sunnah). Sudahlah mereka halang anak murid mereka daripada belajar tafsir Al-Qur’an, malah mereka sendiri pun tidak mahu belajar. Kalimah وَيَنْأَوْنَ dari perkataan bermaksud ‘menjauhkan diri kerana sombong’. Mereka rasa mereka lagi pandai, mereka lagi benar.

Begitulah juga golongan bid’ah di negara ini. Mereka telah lama belajar seperti belajar di pondok-pondok, maka mereka sangka mereka telah faham agama dan tidak perlu lagi ajaran daripada yang lain. Maka walaupun ada ajaran yang mengajak kepada Al-Qur’an dan sunnah, mereka halang diri mereka daripada mendengarnya.

وَإِن يُهْلِكُونَ إِلَّا أَنفُسَهُمْ

dan mereka tidaklah membinasakan sesiapa melainkan diri mereka sendiri,

Mereka membinasakan diri mereka kerana mereka tidak tahu tentang tauhid. Mereka buat benda yang syirik kerana mereka tidak tahu. Maka, amalan mereka dalam salat, puasa dan sebagainya tidak diterima. Tidak ada pahala langsung. Ia hilang lenyap begitu sahaja.

Kalau mereka tidak mahu kepada Al-Qur’an, mereka tidak merosakkan sesiapa pun melainkan dirinya sendiri. Dia sendiri yang rugi. Dirinya sendiri yang akan binasa.

وَمَا يَشْعُرُونَ

sedang mereka tidak menyedari.

Inilah yang menyedihkan. Mereka tidak sedar pun yang mereka sebenarnya telah sesat. Mereka tidak sedar mereka sedang memasukkan diri mereka ke dalam neraka.

Begitulah dengan Musyrikin Mekah, mereka sangka mereka benar kerana mereka penjaga Kaabah. Untuk golongan yang tidak mesra kepada wahyu, mereka sangka mereka sudah betul dan benar kerana mereka telah lama belajar agama. Akan tetapi jika sudah jauh daripada ajaran wahyu, maka tidak akan selamat.

Tafsir Ayat Ke-27

Ayat jenis Takhwif Ukhrawi (amaran keras tentang azab di akhirat). Ini adalah apa yang akan terjadi di akhirat kelak. Allah ‎ﷻ beritahu supaya kita menjadi takut dan kita perbaiki keadaan diri kita semasa di dunia. Allah ‎ﷻ sentiasa mengingatkan kita tentang akhirat di dalam Al-Qur’an ini supaya kita beringat-ingat, jangan kita menyesal nanti di akhirat seperti mereka akan disebut ini.

وَلَو تَرىٰ إِذ وُقِفوا عَلَى النّارِ فَقالوا يٰلَيتَنا نُرَدُّ وَلا نُكَذِّبَ بِئآيٰتِ رَبِّنا وَنَكونَ مِنَ المُؤمِنينَ

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman

وَلَوْ تَرَىٰ

Dan jika kamu (Muhammad) melihat

Kalaulah kamu boleh melihat keadaan mereka yang menentang wahyu nanti di akhirat kelak. Ia adalah sesuatu yang amat menakutkan sekali. Allah ‎ﷻ suruh Rasulullah ﷺ dan kita cuba membayangkannya.

إِذْ وُقِفُوا عَلَى النَّارِ

ketika mereka diberhentikan di neraka,

Kalimah وُقِفُوا bermaksud berdiri di satu tempat seperti ‘wuquf’ di Arafah. Lebih tepat lagi, وُقِفُوا bermaksud mereka ‘diberhentikan’ oleh malaikat di situ. Bukanlah mereka suka-suka hendak duduk di hadapan neraka pula. Tetapi mereka akan dipaksa untuk berhenti. Inilah yang akan dikenakan kepada penentang-penentang ajaran Tauhid dari dulu sampai sekarang.

Iaitu mereka yang melarang orang belajar tafsir dan mereka sendiri tidak mahu belajar. Oleh kerana itu, mereka telah membuat kesalahan dalam agama. Mereka tidak tahu tentang agama Islam dengan sebenar dan sepatutnya. Maka, apabila ada orang Syiah datang, mereka tidak boleh melawan kerana akidah mereka dan Syiah itu sama sahaja. Contohnya, amalan Nisfu Syaaban itu sebenarnya adalah ajaran daripada fahaman Syiah. Begitu juga sambutan Mawlid Nabi pertama kali dilakukan oleh Kerajaan Syiah Fathimiyah. Jadi jika perkara ini masih kita amalkannya, kita sebenarnya mengamalkan Sunnah Syiah!

Mereka sahaja yang tidak tahu mana yang benar dan mana yang salah. Apabila mereka diajar dengan amalan yang salah, mereka tidak tahu pun yang amalan itu adalah amalan yang salah kerana mereka tidak ada neraca wahyu untuk membezakan mana yang benar dan mana yang batil.

فَقَالُوا يٰلَيْتَنَا

lalu mereka berkata: alangkah sesalnya kami, alangkah celakanya kami,

Allah ‎ﷻ ulang kata-kata penyesalan mereka iaitu pada waktu itu mereka menyesal dan berharap supaya diberikan peluang untuk memperbaiki kesilapan mereka. Malangnya mereka berharap kepada sesuatu yang mereka tidak akan dapat.

Apakah yang mereka harapkan? Apakah yang mereka mahu?

نُرَدُّ

Kiranya kami dikembalikan (ke dunia)

Banyak sekali ayat sebegini disebut dalam Al-Qur’an iaitu mereka semua akan berharap semoga mereka dikembalikan ke dunia. Tidak ada disebut dalam Al-Qur’an yang mereka itu minta ampun di akhirat kelak kerana mereka tahu yang istighfar mereka tidak akan diterima.

Maka, yang mereka minta adalah dikembalikan ke dunia semula supaya mereka boleh memperbetulkan kesalahan mereka dahulu semasa mereka di dunia. Namun malangnya tidak mungkin mereka akan dikembalikan kerana dunia waktu itu pun sudah dihancurkan jadi mahu dikembalikan ke mana?

وَلَا نُكَذِّبَ بِئآيٰتِ رَبِّنَا

dan tidak mendustakan ayat-ayat Tuhan kami,

Mereka berhasrat kalaulah mereka dikembalikan, mereka akan memperbaiki kesalahan mereka. Baru mereka hendak terima ajaran dalam ayat-ayat Al-Qur’an, barulah mereka hendak buat kebaikan ikut arahan daripada Allah ‎ﷻ. Semasa di dunia, mereka tidak mahu beriman, sekarang sudah masuk neraka baru hendak beriman.

Maknanya, baru sekarang mereka mengaku yang dahulu mereka telah mendustakan ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Hanya apabila sudah berada di Mahsyar baru mereka akan kata yang mereka tidak akan buat lagi kesilapan mendustakan dan menolak ajaran wahyu.

وَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

serta menjadi orang-orang yang beriman

Barulah mereka hendak beriman dengan sebenar-benar iman. Barulah mereka akan menolak syirik. Iman yang sebenarnya adalah menolak syirik. Ramai yang boleh beriman dengan apa yang perlu diimani, akan tetapi ramai yang susah untuk menolak syirik.

Maka sekarang mereka hendak benar-benar beriman. Mereka sudah tidak mahu mengamalkan syirik lagi, asalkan mereka dipulangkan ke dunia. Bolehkah begitu? Akan dijawab dalam ayat seterusnya.

Tafsir Ayat Ke-28

Ayat sebelum ini disebut bagaimana golongan musyrik yang telah dihadapkan ke neraka akan berharap supaya mereka dikembalikan ke dunia. Mereka hendak kembali kerana mereka hendak buat amalan kebaikan, tidak mahu membuat syirik lagi.

Adakah mereka berjaya dikembalikan? Allah ‎ﷻ jawab dalam ayat ini:

بَل بَدا لَهُم مّا كانوا يُخفونَ مِن قَبلُ ۖ وَلَو رُدّوا لَعادوا لِما نُهوا عَنهُ وَإِنَّهُم لَكٰذِبونَ

(Mereka mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu; dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya; dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta.

بَلْ بَدَا لَهُم

bahkan nyata kepada mereka

Perkataan بَلْ digunakan untuk menidakkan pernyataan dalam ayat sebelum ini, iaitu mereka mengharap semoga mereka dikembalikan ke dunia. Perkataan بَلْ menyatakan mereka tidak akan ada peluang itu.

Sebaliknya akan dinyatakan kepada mereka, akan dikeluarkan untuk ditunjukkan kepada mereka. Apakah yang akan dikeluarkan?

مَّا كَانُوا يُخْفُونَ مِن قَبْلُ

apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu;

Apa yang sembunyikan? Dalam kes Musyrikin Mekah dan Ahli Kitab, pada hari Kiamat akan jelas terkeluar bahawa mereka dulu semasa di dunia, tahu yang Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang Rasul dan membawa ajaran yang benar tetapi mereka sembunyikan dalam hati mereka.

Keduanya, akan terbongkar kekufuran orang-orang munafik. Mereka hidup di hadapan Nabi ﷺ dan manusia lainnya, sambil mereka mengaku beragama Islam dan menyembunyikan kekufuran mereka. Tetapi di hari Kiamat nanti, ia akan terkeluar, terbongkar. Maka, ada yang kita nampak seperti Muslim tetapi mereka dalam masa yang sama membuat syirik juga. Mereka tidak menerima ajakan tauhid.

Bukan orang munafik zaman Nabi ﷺ sahaja, yang munafik zaman kita pun akan terbongkar juga apa yang mereka sembunyikan dalam hati mereka. Mereka menyembunyikan kemunafikan mereka semasa mereka di dunia, tetapi mereka tidak dapat menyembunyikannya lagi di akhirat.

Apa yang di dalam hati kita akan dinyatakan, dibongkar dan dinampakkan. Ini mengingatkan kita bahawa ada perkara yang kita lakukan tidak ikhlas. Kita sembunyikan niat kita dalam melakukannya. Sebagai contoh, kita mungkin buat amal kerana hendak menunjuk-nunjuk dan sebagainya. Tetapi di akhirat nanti, ia akan dikeluarkan.

Semua akan nampak apakah niat kita semasa melakukan amal itu. Oleh itu, hendaklah kita memperbetulkan niat kita. Hendaklah kita melakukan sesuatu amal ibadat itu kerana Allah ‎ﷻ semata-mata. Kena perbaiki niat kita dalam melakukan apa jua ibadah.

Begitu juga ada orang yang buat kesalahan dan menyorokkannya daripada orang lain. Ia juga akan dibongkarkan pada hari itu. Tidak ada yang dapat disembunyikan pada hari itu. Segala kezaliman akan ditunjukkan dan akan diadili.

Kesimpulannya, apa sahaja yang kita sembunyikan semasa di dunia akan dibongkar. Semasa di dunia, bolehlah kita tipu orang, namun di akhirat ia akan jelas kepada semua orang. Oleh itu, berhati-hatilah dengan apa yang kita lakukan.

وَلَوْ رُدُّوا

dan kalau pun mereka dikembalikan ke dunia,

Sebelum ini telah disebut mereka minta dikembalikan ke dunia semula. Memang mereka tidak akan dikembalikan, tetapi kalaulah mereka dikembalikan, apa yang mereka akan buat?

لَعَادُوا لِمَا نُهُوا عَنْهُ

tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang daripada melakukannya;

Allah ‎ﷻ beritahu kita dalam ayat ini, bahawa kalau pun mereka dikembalikan ke dunia, mereka akan kembali membuat perkara syirik yang mereka lakukan dulu semasa di dunia. Kenapa mereka akan buat juga? kerana ia sudah menjadi sebati dengan perangai mereka. Walaupun mereka diberi peluang kedua, mereka akan buat juga apa yang dilarang. Ia sudah menjadi sifat mereka yang telah menebal dalam diri mereka seperti seseorang yang biasa sangat menipu, dia akan sentiasa menipu setiap hari. Ini kerana Allah ‎ﷻ tahu dalam takdir-Nya.

وَإِنَّهُمْ لَكٰذِبُونَ

dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta.

Apakah dusta mereka? Iaitu mereka kata kalau mereka dikembalikan ke dunia, mereka akan berubah perangai. Semua itu adalah dusta sahaja kerana mereka itu memang kaki dusta. Kalau mereka kembali ke dunia, mereka pasti akan membuat syirik semula, buat zalim semula.

Mungkin timbul persoalan kenapa jika sudah nampak akhirat, (dan kalau mereka dikembalikan ke dunia), mereka masih lagi akan tolak kebenaran? Kenapa kedegilan yang amat sangat dalam diri mereka. Ini sama seperti golongan Yahudi di Madinah yang kenal Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul, akan tetapi mereka tetap juga menolak.

Tafsir Ayat Ke-29

Ayat jenis Syikayah (rungutan). Allah ‎ﷻ ulang apa kata-kata sesat mereka. Dari sini kita boleh faham betapa mereka tidak terima akhirat langsung.

وَقالوا إِن هِيَ إِلّا حَياتُنَا الدُّنيا وَما نَحنُ بِمَبعوثينَ

Dan tentulah mereka akan berkata pula: “Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati

وَقالوا إِن هِيَ إِلّا حَياتُنَا الدُّنيا

Dan tentulah mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini,

Mereka mendakwa tidak ada kehidupan selepas mati. Mereka tidak mahu percaya kepada kebangkitan di akhirat kelak kerana mereka sayang sangat dunia ini.

Kalimah الدُّنْيَا merujuk kepada kehidupan dunia ini. Kata dasarnya adalah: د ن و yang bermaksud ‘dekat’ kerana dunia ini dekat dengan kita. Ia juga bermaksud ‘rendah’ kerana kehidupan dunia adalah rendah kalau dibandingkan dengan kehidupan di akhirat.

Manusia memang kebanyakannya hanya memandang keindahan dunia sahaja kerana akal mereka hanya nampak yang boleh dilihat dengan mata sahaja. Mata hati mereka tidak dapat terima ada kehidupan yang lain. Oleh itu, mereka pegang betul dengan dunia ini.

Mereka akan buat segalanya yang mereka boleh supaya mereka boleh ambil hal dunia. Mereka tidak fikirkan lagi kesan di akhirat sebab mereka tidak nampak akhirat itu. Mereka hendak menikmati kehidupan dunia ini sepuas-puasnya kerana mereka fikir mereka ‘hidup hanya sekali’.

Kenapakah manusia hendak melebihkan kehidupan dunia yang lemah dan rendah ini? Ia adalah kehidupan yang amat menyesakkan. Tidak sunyi daripada kekurangan dan keresahan sahaja. Ia tidak kekal kerana sama ada ia rosak atau kita yang mati adan akan meninggalkannya nanti. Kalau ada kegembiraan pun sekejap dan sementara sahaja.

Padahal kehidupan akhiratlah yang lebih kekal. Ia adalah kekal abadi. Kehidupan yang baik di akhiratlah yang sepatutnya kita kejar. Bukan kehidupan dunia ini. Akan tetapi manusia yang pendek akal hanya mementingkan perkara yang dia boleh nampak sahaja (dunia) dan tolak ke tepi apa yang dia tidak nampak dengan pancainderanya (akhirat).

Maka mereka tidak buat persediaan untuk akhirat. Mereka merugikan masa sahaja yang mereka ada di dunia ini. Padahal, dunia ini sepatutnya menjadi tempat mereka bercucuk tanam menambah pahala supaya mereka dapat menuai hasilnya di akhirat kelak.

وَمَا نَحْنُ بِمَبْعُوثِينَ

dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula

Mereka tidak percaya yang akan ada kebangkitan semula. Ia nampak mustahil sangat bagi mereka. Pada mereka, bila sudah mati nanti, akan terus kekal matilah sahaja. Maka mereka akan tolak dengan kuat sekali konsep kebangkitan semula. Kenapa mereka tidak mahu terima adanya akhirat?

Ini adalah kerana mereka hendak buat apa yang mereka hendak buat semasa di dunia. Mereka tidak mahu ada kekangan. Jika mereka terima adanya akhirat, maka mereka kena menjaga hukum. Tidak boleh buat itu, tidak boleh buat ini. Mereka tidak mahu begitu. Mereka hendak buat apa sahaja yang nafsu mereka inginkan.

Ada juga terdapat orang Islam yang tidak kisah tentang kehidupan akhirat. Maka walaupun mereka mengaku Muslim, mereka tidak membuat persiapan untuk hari akhirat. Mereka lalai dan leka dengan kehidupan dunia. Kalau begitu keadaannya, maka, tidak banyak beza pun mereka itu dengan orang-orang kafir.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan