Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Bahagian 1 – Tafsir Ayat Ke-21 hingga Ke-23

Tafsir Surah Al-An’am: Bahagian 1 – Tafsir Ayat Ke-21 hingga Ke-23

252
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-21

Ayat Zajrun (ayat teguran).

وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا أَو كَذَّبَ بِئآيٰتِهِ ۗ إِنَّهُ لا يُفلِحُ الظّٰلِمونَ

Dan siapakah lagi yang lebih aniaya dari orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayat keteranganNya? Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.

وَمَنْ أَظْلَمُ

Dan siapakah yang lebih zalim

Siapakah lagi yang lebih zalim? Apabila ditanya sebegini, ia bermaksud tidak ada yang lebih zalim daripada mereka yang sifat mereka akan disebut di bahagian seterusnya dalam ayat ini. Maknanya, mereka ini adalah jenis yang paling zalim. Allah ‎ﷻ yang kata sendiri, bukan kita yang kata. Maknanya, memang mereka itu zalim.

Zalim itu ada pelbagai bentuk. Ada kezaliman yang dikenakan kepada diri kita, kepada orang lain dan kepada Allah ‎ﷻ juga. Tingkatan kezaliman pun banyak. Ayat ini memperkatakan tentang kezaliman yang paling tinggi sekali, iaitu berbuat kezaliman terhadap Allah ‎ﷻ.

Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang dimulai dengan وَمَنْ أَظْلَمُ ini. Ia diulang-ulang kerana ia adalah perkara besar. Semoga kita memberi perhatian terhadap ayat-ayat yang dimulakan dengan perkataan ini.

مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا

daripada orang yang membuat-buat suatu kedustaan terhadap Allah,

Mereka itu mencipta dusta tentang Allah ‎ﷻ seperti ahli Kitab yang kata Allah‎ ﷻ ada anak lelaki. Yahudi kata Nabi Uzair عليه السلام adalah anak lelaki Allah ‎ﷻ; manakala Kristian pula mengatakan yang Nabi Isa عليه السلام adalah anak lelaki Allah ‎ﷻ.

Musyrikin Mekah pula kata Allah ‎ﷻ ada anak perempuan – iaitu mereka mengambil malaikat-malaikat sebagai anak perempuan Allah ‎ﷻ. Ada pula yang berkata Allah ‎ﷻ ada pasangan dan sebagainya. Itu semua adalah satu pendustaan yang amat besar sekali.

Bukan itu sahaja. Zaman sekarang pun ada ramai manusia yang berdusta atas nama Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, mereka mencipta sesuatu amalan baru dan mereka kata ia datang daripada Allah ‎ﷻ. Atau mereka kata ia adalah baik dalam agama. Padahal Allah ‎ﷻ tidak pernah kata begitu. Begitu juga amalan yang berleluasa di negara kita ini antaranya salat Hajat berjama’ah, Talqin, majlis Tahlil, Kenduri Arwah dan lain-lain lagi.

Inilah amalan dalam agama yang dinamakan ‘bid’ah’. Mereka yang kata ia adalah molek, tidak dapat pula memberikan dalil yang pernah Nabi atau sahabat buat, melainkan dalil yang batil sahaja – ramai orang buat, ulama’ kata boleh, ada dalam Kitab itu dan ini dan sebagainya. Perbuatan itu adalah menzalimi Allah ‎ﷻ kerana agama ini adalah hak Allah ‎ﷻ, dan kalau kita pandai-pandai reka amalan baru, kita sudah ambil alih kerja Allah ‎ﷻ.

Mereka akan ditanya tentang apakah amalan yang mereka cipta itu nanti. Lalu bagaimana pula dengan kita yang buat juga amalan itu tanpa usul periksa? Juga akan ada masalah nanti. Maka, tinggalkanlah amalan-amalan bid’ah yang salah itu.

Kalau kita kata manusia lain cakap sesuatu tetapi sebenarnya mereka tidak pernah cakap, pun adalah satu kesalahan besar. Itu baru dengan manusia. Apatah lagi kalau kita mereka-reka tentang Allah‎ ﷻ?

Sebagai contoh, mereka mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Ingatlah bahawa yang layak berbuat begitu hanya Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan kita ambil alih kerja Allah‎ ﷻ.

Ramai juga ‘guru agama’ yang kata bermacam-macam perkara tanpa usul periksa. Antaranya, mereka kata kita ‘kena’ buang bala dengan amalan tolak bala mereka. Oleh itu, mereka buat amalan mandi tolak bala, mandi bunga, bacaan zikir-zikir tertentu yang direka manusia dan macam-macam lagi.

Perkataan افْتَرَىٰ bermaksud mereka-reka sesuatu perkara dengan mudah, tanpa rasa bersalah pun. Seolah-olah kecil sahaja perkara itu. Padahal, ia perkara yang besar. Mereka akan ditanya tentang perkara itu di hadapan Allah ‎ﷻ nanti. Mereka tidak perasan bahawa apa yang mereka lakukan adalah perkara yang besar.

Sebagai contoh, kenduri arwah. Ia nampak mudah sahaja kerana sudah ramai orang buat. Tetapi, mereka tidak sedar bagaimana ia telah menyusahkan keluarga yang kena susah payah memberi orang makan. Padahal mereka baru sahaja kehilangan ahli keluarga.

أَوْ كَذَّبَ بِئآيٰتِهِ

atau mendustakan ayat-ayat-Nya?

Mendustakan itu bermaksud mereka kata ayat-ayat Al-Qur’an yang dibaca itu adalah dusta belaka. Musyrikin Mekah tidak terima ayat-ayat Al-Qur’an. Pelbagai tohmahan mereka berikan. Antaranya mereka kata Nabi ﷺ reka sendiri, atau baginda cedok daripada kitab-kitab lama, dengan lama, dan sebagainya lagi.

‘Mendustakan’ itu juga bermaksud menolak ayat-ayat Al-Qur’an. Apabila diberitahu kepada mereka dalil daripada ayat-ayat Al-Qur’an, mereka tidak mahu terima. Sebab kalau mereka terima ayat-ayat itu benar, tentulah mereka mesti mengikutinya.

Oleh itu, kalau kita kata sesuatu perkara itu salah dan kita beri dalil daripada ayat Al-Qur’an, tetapi mereka buat tidak tahu sahaja, bermakna mereka juga mendustakan. Ini kerana jika mereka terima ia adalah benar, maka tentulah mereka akan terima. Kalau yang ini, orang kita sekarang pun ada buat juga, bukan?

إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الظّٰلِمُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang aniaya itu tidak mendapat kejayaan

Perkataan يُفْلِحُ diambil daripada perkataan ف ل ح yang bermaksud ‘kejayaan’. Itu bermaksud seseorang itu:

1. Mencapai apa yang dikehendakinya
2. Selamat daripada apa yang tidak disukainya

Kena ada dua-dua perkara itu barulah dikatakan ف ل ح. Jika ada salah satu sahaja, maka ia tidak lengkap. Katakanlah seseorang itu dapat apa yang dia kehendaki, tetapi dia tidak selamat daripada apa yang tidak disukainya, itu bukanlah berjaya namanya.

Begitu juga jika dia selamat daripada apa yang tidak disukainya, tetapi dia tidak mendapat apa yang dia kehendaki, itu pun bukan kejayaan yang penuh.

Oleh itu, bukanlah kejayaan kalau seseorang itu hanya masuk syurga setelah masuk sekian lama dalam neraka. Kita tidak mahu langsung masuk neraka. Lihat pun tidak mahu, dengar pun tidak, cium bau neraka pun kita tidak mahu.

Ini ada satu masalah orang Islam kita: Mereka kata kalau orang Islam masuk neraka, ia hanya sementara sahaja – akhirnya akan masuk syurga juga. Itu adalah satu pemahaman yang amat bodoh sekali, itulah mereka yang tidak belajar apakah neraka sebenarnya, sampaikan mereka tidak takut neraka. Mereka sangka masuk neraka itu perkara kecil sahaja sampaikan mereka tidak takut.

Oleh itu, sesiapa yang mereka-reka tentang Allah ‎ﷻ dan tidak beriman dengan ayat-ayat Allah ‎ﷻ, maka dia tidak akan berjaya.

Namun begitu kadang-kadang kita lihat orang yang buat syirik pun berjaya juga dalam hidup mereka – mereka kaya dan mendapat sanjungan masyarakat. Tidakkah mereka berjaya? Tidak kerana kejayaan itu banyak jenis dan kejayaan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kejayaan yang sebenar-benarnya iaitu dapat masuk syurga.

Kalau setakat kejayaan di dunia yang tidak kekal ini, ia tidak bermakna jika tidak berjaya di akhirat. Yang kita hendak adalah kejayaan di dunia dan akhirat.

Tafsir Ayat Ke-22

Takhwif Ukhrawi. Sebelum ini telah disebut tentang kesalahan mereka yang menolak wahyu. Sekarang Allah ‎ﷻ cerita keadaan mereka di akhirat pula.

وَيَومَ نَحشُرُهُم جَميعًا ثُمَّ نَقولُ لِلَّذينَ أَشرَكوا أَينَ شُرَكاؤُكُمُ الَّذينَ كُنتُم تَزعُمونَ

Dan (ingatlah), hari (kiamat yang padanya) Kami himpunkan mereka semua, kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik: “Manakah orang-orang dan benda-benda yang dahulu kamu sifatkan (menjadi sekutu Allah):?”

وَيَوْمَ نَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا

Dan (ingatlah), hari yang di waktu itu Kami menghimpun mereka semuanya

Kalimah نَحْشُرُهُمْ bermaksud mereka akan dikumpulkan sebagaimana mengumpul binatang iaitu yang dikumpul adalah yang memuja dan yang dipuja. Apabila dikumpulkan, mereka akan dimasukkan ke dalam kumpulan-kumpulan masing-masing. Semua makhluk akan dikumpulkan di Mahsyar nanti.

Namun begitu, layanan kepada mereka yang baik dan zalim tidak sama kerana ada yang dipuja seperti Nabi dan malaikat itu tidak salah.

Semua makhluk akan hadir. Tidak ada yang dapat lari. Kalau di dunia, kita boleh sahaja lari jika ada perkumpulan yang wajib, contohnya seperti dipanggil dengan mahkamah, masih ada lagi yang boleh lari tidak hadir ke mahkamah. Tetapi tidak dengan perhimpunan Allah ‎ﷻ nanti. Perhimpunan ini tidak boleh kita elakkan.

Begitu juga kalau perhimpunan di dunia kita susah hendak buat, maka kita akan susah dalam perhimpunan di Mahsyar nanti. ; iaitu kalau susah hendak salat berjama’ah (bagi lelaki) di masjid, kita akan susah dalam perhimpunan di akhirat nanti.

ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشْرَكُوا

kemudian Kami berkata kepada orang-orang musyrik:

Perkataan ثُمَّ dalam ayat ini merujuk kepada satu masa yang lama berlalu. Bukanlah selepas sahaja makhluk dibangkitkan di hari Kiamat, mereka terus dibicarakan. Namun ia adalah sebaliknya iaitu, ia merupakan satu jangka masa yang amat lama akan berlalu barulah perbicaraan akan dijalankan.

Semua kena menunggu dalam masa yang lama. Masanya amat lama sampaikan mereka akan minta tolong kepada Nabi satu persatu untuk mempercepatkan hisab. Ini kerana keadaan pada waktu itu amat hiruk pikuk sekali dengan segala kegelisahan kerana sudah lama sangat menunggu di Mahsyar.

Di dalam hadith, ada disebut yang jangkamasa itu adalah selama 50 ribu tahun! Ada juga riwayat yang sebut seribu tahun. Perbezaan ini adalah kerana masa itu adalah subjektif. Ada orang akan rasa ia selama 50 ribu tahun dan ada yang rasa ia adalah selama seribu tahun.

Mereka akan mula minta pertolongan kepada Adam عليه السلام. Namun begitu, daripada Nabi Adam عليه السلام sehinggalah kepada Nabi-Nabi yang lain tidak berani untuk berdoa kepada Allah‎ ﷻ untuk mempercepatkan hisab sehinggalah mereka sampai kepada Nabi Muhammad ﷺ. Barulah Nabi Muhammad ﷺ akan sujud berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Kisah ini disebut dengan panjang lebar dalam hadith.

Setelah sekian lama, Allah ‎ﷻ akan bercakap kepada puak-puak Musyrik. Kita tidak tahulah bagaimana cara Allah ‎ﷻ bercakap itu. Tentunya dalam keadaan marah dan murka kepada mereka. Tentunya bukan dalam keadaan lemah lembut dengan mereka. Ini kerana mereka telah melakukan syirik semasa mereka di dunia dulu.

أَيْنَ شُرَكَاؤُكُمُ

Di manakah sembahan-sembahan kamu?

Manakah entiti-entiti yang kamu jadikan sama kedudukan dengan Allah ‎ﷻ dulu? Mana dia pujaan bathil kamu yang kamu kata boleh beri bantuan kepada kamu?

Sepatutnya mereka sembah Allah ‎ﷻ sahaja, puja Allah‎ ﷻ sahaja, zikir kepada Allah ‎ﷻ sahaja, berharap kepada Allah‎ ﷻ sahaja – tetapi mereka buat perkara yang sama kepada makhluk yang lain. Itu adalah perbuatan syirik. Mana mereka? Kenapa mereka tidak ada di sini dan menolong kamu?

Allah ‎ﷻ gunakan perkataan شُرَكَاؤُكُمُ yang dalam bentuk jamak kerana ada banyak jenis syirik yang manusia lakukan. Banyak jenis tuhan-tuhan sembahan mereka. Ada yang puja berhala, ada yang puja Nabi, ada yang pula malaikat dan ada yang puja wali. Berjenis-jenis sampaikan tidak mungkin kita boleh senaraikan di sini.

الَّذِينَ كُنتُمْ تَزْعُمُونَ

yang dulu kamu yakin dengan mereka?

Kalimah تَزْعُمُونَ bermaksud ‘agak-agak yang yakin’ iaitu yakin tanpa ilmu. Percaya sahaja tanpa ada dalil yang sah. Perkara itu tidak ada ilmu, tetapi mereka yakin. Yakin dengan cara yang bodoh.

Dahulu mereka yakin yang wali, malaikat dan Nabi itu boleh jadi sebagai ‘kabel’ antara mereka dan Allah ‎ﷻ. Mereka sangka, Nabi, wali dan malaikat itulah yang akan jadi peguam untuk membela mereka. Dulu mereka yakin begitu. Sebab mereka yakinlah mereka telah mengamalkan tawasul (mengambil perantaraan dalam berdoa kepada Allah ‎ﷻ) dan berharap berkat dan bantuan.

Ayat ini menjelaskan bahawa mereka itu tidak dapat tolong langsung. Mereka tidak ada pun di Mahsyar untuk menolong mereka. Tentu mereka kelam kabut bila lihat yang mereka sangka akan bantu mereka, tidak ada.

Maka jangan berharap kepada selain Allah ‎ﷻ. Sama seperti benda dalam dunia – telefon, kereta, apa sahaja. Semua perkara selain Allah ‎ﷻ tidak boleh diharap. Boleh kita gunakan tetapi tidak boleh harap dan bergantung 100%. Dengan orang pun begitu juga. Jangan kita mengharap yang seseorang akan bantu kita sentiasa.

Sebagai contoh, kita ada pasangan hidup – dengan pasangan hidup kita pun kita tidak boleh yakin 100% yang dia akan tetap sayang kepada kita. Itu perkara yang jelas depan kita pun sudah tidak boleh diharap. Maka kalau tawasul kepada benda ghaib, tentulah tidak boleh sama sekali kerana tidak ada dalil amalan ini.

Ayat ini adalah tentang kejadian pada Hari Mahsyar nanti. Ini adalah satu contoh di mana Allah ‎ﷻ akan bertanya kepada ramai orang pada satu masa. Dalam keadaan lain pula, ada yang akan mengadap Allah ‎ﷻ seorang demi seorang. Dua-dua keadaan ini akan berlaku.

Ini mengingatkan kita bahawa kita akan dihadapkan ke hadapan Allah ‎ﷻ dan akan ditanya tentang apakah yang kita telah lakukan semasa di dunia. Apakah yang akan ditanya kepada kita agaknya?

Apakah jawapan kita nanti? Adakah kita akan jawab dengan yakin dan benar, atau kita akan cuba menipu Allah ‎ﷻ? Memang ayat ini tentang soalan kepada musyrikin. Namun kita ingatlah bahawa kita pun akan ditanya juga. Ma sha Allah!

Tafsir Ayat Ke-23

ثُمَّ لَم تَكُن فِتنَتُهُم إِلّا أَن قالوا وَاللهِ رَبِّنا ما كُنّا مُشرِكينَ

Kemudian tidaklah ada akidah kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta: “Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)

ثُمَّ لَمْ تَكُن فِتْنَتُهُمْ

Kemudian tiadalah jawapan alasan daripada mereka,

Kalimah ثُمَّ digunakan untuk merujuk jawapan mereka selepas mereka ditanya: “Mana dia entiti-entiti yang mereka syirikkan dengan Allah itu?” Apabila digunakan kalimah ثُمَّ di dalam ayat ini, ia memberi maksud sengkang masa yang lama. Maka ini memberi maksud yang mereka ada masa lama untuk berfikir memberikan jawapan mereka.

Perkataan فِتْنَتُهُمْ itu daripada katadasar ف ت ن yang kita biasa faham sebagai fitan yang bermaksud ‘dugaan’, ‘ujian’. Ia juga bermaksud ‘alasan’ sepertimana yang digunakan dalam ayat ini. Selepas kita dituduh dengan sesuatu, kita beri alasan. Ini adalah kerana setiap soalan dan jawapan adalah dugaan sebenarnya kerana entah jawapan dan alasan kita itu diterima atau tidak.

إِلَّا أَن قَالُوا

kecuali mereka mengatakan

Mereka tidak ada hujah. Mereka cuma boleh cakap sahaja. Ini adalah dakwaan kosong mereka sahaja. Mereka tentunya tidak ada jawapan yang baik kepada pertanyaan Allah ‎ﷻ itu. Yang mereka ada hanyalah alasan-alasan lemah sahaja.

وَاللهِ رَبِّنَا

Demi Allah, Tuhan kami,

Tidak ada jawapan lain yang mereka boleh beri melainkan waktu itu mereka akan mengaku yang Allah ‎ﷻ adalah Tuhan mereka. Mereka sudah nampak azab, maka mereka terpaksa berbohong untuk melepaskan diri. Di dunia mereka telah berbohong, di akhirat pun hendak bohong juga.

مَا كُنَّا مُشْرِكِينَ

tiadalah kami mempersekutukan Allah

Ini sahaja jawapan yang mereka boleh berikan. Mereka tidak mengaku yang mereka telah membuat syirik semasa di dunia dulu. Mereka akan kata mereka sembah dan buat ibadat kepada sembahan-sembahan mereka itu kerana hendak ‘mendekatkan’ diri mereka dengan Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka berhujah tujuan mereka sebenarnya baik.

Mereka waktu itu sebenarnya sedang berdusta di hadapan Tuhan kerana mereka tidak menyangka yang amalan tawasul mereka itu adalah syirik. Mereka lalai dalam mempelajari agama sehinggakan mereka tidak tahu yang apa yang mereka buat dulu di dunia adalah salah.

Ataupun mereka tahu, trtapi mereka buat juga amalan syirik mereka itu. Oleh itu, apabila Allah ‎ﷻ tanya mereka, mereka terpaksa menipu kerana mereka tidak ada jawapan lain. Mereka yang menipu di dunia akan menipu di akhirat juga nanti. Hujah semasa di dunia pun mereka hendak bawa di akhirat kelak. Sebab sudah selalu sangat menipu, ia sudah menjadi sebati dalam diri mereka. Mereka menipu secara automatik. Semoga kita tidak jadi begitu.

Dari sini juga kita tahu yang di akhirat nanti, ada manusia yang akan cuba menipu untuk melepaskan diri mereka. Namun penipuan mereka tidak akan berjaya. Mungkin di dunia mereka boleh tipu manusia. Mereka akan beri pelbagai dalil dan hujah untuk menghalalkan syirik dan tawasul yang mereka lakukan. Tetapi bolehkah mereka menipu di akhirat kelak? Tentu tidak.

وقال ابن أبي حاتم : حدثنا أبو سعيد الأشج ، حدثنا أبو يحيى الرازي ، عن عمرو بن أبي قيس ، عن مطرف ، عن المنهال ، عن سعيد بن جبير عن ابن عباس قال : أتاه رجل فقال يا أبا عباس . سمعت الله يقول : ( والله ربنا ما كنا مشركين ) قال : أما قوله : ( والله ربنا ما كنا مشركين ) فإنهم رأوا أنه لا يدخل الجنة إلا أهل الصلاة ، فقالوا : تعالوا فلنجحد ، فيجحدون ، فيختم الله على أفواههم ، وتشهد أيديهم وأرجلهم ولا يكتمون الله حديثا ، فهل في قلبك الآن شيء ؟ إنه ليس من القرآن شيء إلا قد نزل فيه شيء ، ولكن لا تعلمون وجهه

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Sa’id Al-Asyaj, telah menceritakan kepada kami Abu Yahya Ar-Razi’ daripada Amr ibnu Abu Qais, daripada Mutarrif, daripada Al-Minhal, daripada Sa’id ibnu Jubair, daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang menceritakan bahawa seorang lelaki pernah datang dan bertanya kepadanya mengenai makna firman-Nya: Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah. (Al-An’am: 23)
Ibnu Abbas رضي الله عنهما menjawab, adapun mengenai firman-Nya: Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah. (Al-An’am: 23) Maka sesungguhnya mereka ketika melihat bahawa tidak akan masuk syurga kecuali orang-orang yang salat, maka mereka mengatakan, Marilah kita ingkari.” Ketika mereka hendak mengingkarinya, maka Allah ‎ﷻ mengunci mulut mereka sehingga tidak dapat berbicara, dan tangan serta kaki merekalah yang bersaksi; mereka tidak dapat menyembunyikan suatu peristiwa pun daripada Allah ‎ﷻ. Maka apakah di dalam kalbumu sekarang masih terdapat sesuatu? Sesungguhnya tiada sesuatu pun daripada Al-Qur’an melainkan diturunkan suatu keterangan mengenainya, tetapi kalian tidak mengerti takwilnya.

Matan yang sahih. Boleh rujuk di dalam Kitab Takhrij bagi kitab al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil – Ibnu Jazi al-Kalbi

Mereka akan kata itu dan ini bukan syirik tetapi benda yang elok. Ini kerana mungkin mereka sendiri merasakan bahawa apa yang mereka lakukan itu tidaklah syirik. Perkara ini terjadi kerana mereka tidak belajar. Antaranya ada sahaja yang selamba minta tolong dengan jin, beramal dengan amalan-amalan yang jin ajar. Ada yang selamba minta tolong dengan bomoh. Pada mereka, ini semua adalah ‘usaha’ sahaja.

Dan ada yang berpegang dengan pendapat yang ringan tentang syirik. Antanya yang bertawasul dengan orang yang sudah mati. Mereka akan kata bahawa tawasul itu bagus, dituntut dalam agama. Mereka akan beri dalil-dalil batil – iaitu dalil daripada kitab, dalil akal, dalil ulama’ itu dan ini buat – dan pelbagai bentuk lagi. Itu semua adalah bohongan belaka. Pada mereka itu bukan syirik, jadi mereka kata “Eh, mereka tak buat syirik lah.”

Maka, mereka telah berhujah di dunia tentang bolehnya berbuat itu dan ini dan ia tidak syirik. Dan di akhirat juga mereka hendak berhujah untuk mengatakan mereka tidak melakukan syirik semasa di dunia. Akan tetapi di akhirat nanti, mereka tidak akan selamat. Lihatlah ayat seterusnya.

Tentulah ini terjadi sebelum mulut mereka ditutup. Akan sampai masanya nanti mulut mereka ditutup dan anggota tubuh mereka yang akan bercakap dan menjadi saksi atas mereka. Waktu itu sudah tidak boleh tipu lagi. Sekarang Allah ‎ﷻ beri peluang mereka bercakap lagi, untuk menunjukkan kepada semua bahawa mereka ini bukan di dunia sahaja menipu dan berdusta, tetapi di akhirat juga!

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan