Utama Uncategorized Tafsir Surah Al-A’am: Bahagian 1 – Tafsir Ayat Ke-18 hingga Ke-20

Tafsir Surah Al-A’am: Bahagian 1 – Tafsir Ayat Ke-18 hingga Ke-20

273
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-18

Sekarang kita belajar sesuatu tentang Qudrat Allah ‎ﷻ.

وَهُوَ القاهِرُ فَوقَ عِبادِهِ ۚ وَهُوَ الحَكيمُ الخَبيرُ

Dan Dia lah yang Berkuasa atas sekalian hambaNya (dengan tadbir dan takdir); dan Dia lah Yang Maha Bijaksana serta Amat Mendalam Pengetahuan-Nya.


وَهُوَ الْقَاهِرُ

Dan Dia lah yang Berkuasa

Kalimah الْقَاهِرُ bermaksud ‘boleh mengalahkan seseorang’. Iaitu kuasa yang dominan dan tidak ada yang lebih dominan daripadanya. Oleh kerana ada ال dalam perkataan الْقَاهِرُ itu menunjukkan Allah ‎ﷻ yang paling dominan sekali. Tidak ada yang dapat mengalahkan kehendak-Nya.

فَوْقَ عِبَادِهِ

mengatasi sekalian hamba-Nya;

Semua makhluk adalah di bawah kawalan-Nya. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu Musyrikin Mekah: mungkin kamu boleh mengalahkan Rasul-Nya. Namun bagaimana kamu hendak mengalahkan Allah ‎ﷻ? Tentu tidak boleh.

وَهُوَ الْحَكِيمُ

dan Dia lah Yang Maha Bijaksana

Ini pula tentang Ilmu Allah ‎ﷻ kerana apabila disebut Qudrat Allah ‎ﷻ, ada bersamanya disebut tentang ilmu-Nya. Allah ‎ﷻ tahu apa yang baik untuk kita. Ada perkara-perkara yang kita tidak suka terjadi dengan kita, tetapi Allah ‎ﷻ lebih tahu sama ada ia lebih baik untuk kita kerana Dia Maha Bijaksana.

الْخَبِيرُ

serta Amat Mendalam Pengetahuan-Nya.

Allah ‎ﷻ amat tahu tentang kita luar dan dalam. Allah ‎ﷻ tahu kemampuan diri kita yang bermakna Dia tahu apa yang kita mampu buat atau tidak. Kadang-kadang kita diberi dengan tanggungjawab dan kita rasa kita tidak mampu menanggungnya. Waktu itu, ingatlah bahawa tanggungjawab itu diberi oleh Allah ‎ﷻ dan Dia Maha Tahu yang kita mampu menanggungnya. Maka teruskan bersabar menghadapinya.

Nama-nama dan sifat Allah ‎ﷻ amat banyak disebut dalam Al-Qur’an di mana Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya. Selalunya diletakkan di hujung ayat-ayat al-Qur’an dan oleh kerana itu tidak dipandang dengan saksama oleh pembaca Al-Qur’an sedangkan ia mempunyai nilai yang amat tinggi di dalamnya untuk mengenal Allah ‎ﷻ.


Tafsir Ayat Ke-19

قُل أَيُّ شَيءٍ أَكبَرُ شَهٰدَةً ۖ قُلِ اللهُ ۖ شَهيدٌ بَيني وَبَينَكُم ۚ وَأوحِيَ إِلَيَّ هٰذَا القُرءآنُ لِأُنذِرَكُم بِهِ وَمَن بَلَغَ ۚ أَئِنَّكُم لَتَشهَدونَ أَنَّ مَعَ اللهِ ءآلِهَةً أُخرىٰ ۚ قُل لّا أَشهَدُ ۚ قُل إِنَّما هُوَ إِلٰهٌ وٰحِدٌ وَإِنَّني بَريءٌ مِّمّا تُشرِكونَ

Bertanyalah (wahai Muhammad): “Apakah yang lebih besar persaksiannya?” (Bagi menjawabnya) katakanlah: “Allah menjadi Saksi antaraku dengan kamu, dan diwahyukan kepadaku Al-Qur’an ini, supaya aku memberi amaran dengannya kepada kamu dan juga (kepada) sesiapa yang telah sampai kepadanya seruan Al-Qur’an itu. Adakah kamu sungguh-sungguh mengakui bahawa ada beberapa tuhan yang lain bersama-sama Allah?” Katakanlah: “Aku tidak mengakuinya”. Katakanlah lagi: “Hanyasanya Dia lah sahaja Tuhan Yang Maha Esa, dan sesungguhnya aku adalah berlepas diri apa yang kamu sekutukan (dengan Allah Azza Wa Jalla)”.


قُلْ أَيُّ شَيْءٍ أَكْبَرُ شَهٰدَةً

Katakanlah: “Siapakah yang lebih besar persaksiannya?”

Kenapa ayat ini dimulakan begini? Ini adalah kerana Musyrikin Mekah menyuruh Nabi ﷺ bawakan saksi yang baginda benar-benar seorang Nabi. Sebab itulah mereka minta malaikat diturunkan sekali bersama baginda supaya malaikat itu boleh menjadi saksi yang Nabi Muhammad ﷺ itu benar-benar Nabi.

Maka, Nabi ﷺ disuruh oleh Allah ‎ﷻ untuk tanya mereka siapakah saksi yang paling besar?


قُلِ اللهُ

Katakanlah: “Allah”.

Tentunya Allah ‎ﷻ adalah saksi yang paling besar sekali. Tidak cukupkah Allah ‎ﷻ sendiri yang kata bahawa Muhammad ﷺ itu adalah seorang Nabi lagi rasul?

شَهِيدٌ بَيْنِي وَبَيْنَكُمْ

Dia menjadi saksi antara aku dan kamu.

Iaitu penyaksian siapakah yang benar antara Nabi ﷺ dan Musyrikin Mekah itu. Maka, Allah ‎ﷻ adalah saksi yang memberitahu kepada mereka. Jika yang lain tidak mahu menjadi saksi, cukup dengan Allah ‎ﷻ sahaja. Itu memang sudah cukup sangat-sangat.

Begitu juga kepada kita, Allah‎ ﷻ akan jadi saksi kepada kita. Sebagai contoh, ada orang tuduh kita buat sesuatu tetapi kita tidak buat, dan tidak ada orang lain yang boleh sokong bantu kita waktu itu, maka waktu itu Allah ‎ﷻ sahaja yang menjadi saksi kepada kita. Kena sabar dengan tuduhan itu dan yakinlah yang di akhirat nanti ada pengadilan, dan kita yang dizalimi akan mendapat balasan kelebihan dari kesusahan kita itu.

Antara saksi daripada Allah ﷻ adalah sebagai bukti-bukti kenabian Nabi Muhammad ﷺ yang telah diberikan dalam bentuk tanda-tanda. Ini ada berbagai-bagai. Antaranya baginda boleh melakukan mukjizat dengan izin Allah.

وَأُوحِيَ إِلَيَّ هَٰذَا الْقُرْءآنُ

Dan Al Qur’an ini telah diwahyukan kepadaku

Wahyu ini telah diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ dengan benar. Tetapi apakah tujuan wahyu itu diturunkan? Ia bukanlah bertujuan untuk dibaca sahaja. Ramai dalam kalangan masyarakat kita setakat belajar baca Al-Qur’an sahaja. Kalau dikatakan pergi ‘kelas agama’, rupanya kelas baca Al-Qur’an belajar tajwid sahaja. Memanglah bagus, tetapi itu tidaklah sepenting belajar memahami maksud-maksud dalam Al-Qur’an.

لِأُنذِرَكُم بِهِ

supaya dengannya aku memberi amaran kepadamu

Inilah objektif Al-Qur’an diturunkan – untuk memberi amaran. Al-Qur’an diturunkan untuk dibaca dan dipelajari dan Nabi diturunkan untuk membacakannya dan mengajarnya kepada kita. Di dalamnya penuh dengan amaran dan peringatan kepada manusia. Ia untuk kita menjalani kehidupan kita di dunia ini yang membawa kepada akhirat.

Kita sebagai manusia akan sentiasa melakukan kesalahan. Maka, Al-Qur’an menarik kita kembali kepada kebenaran dengan memberikan peringatan dan amaran kepada kita. Tetapi, kalau kita tidak belajar maksudnya (setakat belajar baca sahaja), bagaimana kita boleh mengetahui tentang amaran ini? Maka ramailah yang langgar amaran daripada Allah.

Oleh kerana surah al-An’am ini adalah surah Makkiyah, maka banyak ayat-ayat amaran di dalamnya. Ini adalah kerana pendengar awal Al-Qur’an ini adalah Musyrikin Mekah dan mereka banyak melakukan kesyirikan kepada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, amat tepat sekali apabila amaran tentang larangan melakukan syirik yang diberikan kepada mereka.

Dibandingkan dengan surah-surah Madaniyah pula, banyak ayat-ayat hukum dimasukkan di dalamnya. Surah-surah Makkiyah mempunyai tujuan utama untuk memperbetulkan akidah manusia. Ia banyak mengandungi ayat-ayat yang mengajar mereka tentang Allah ‎ﷻ, tentang Tauhid dan menentang amalan syirik.

Lihatlah bagaimana Nabi disuruh memberi amaran kepada manusia dengan Al-Qur’an. Bukan dengan kata-katanya sendiri tetapi dengan menggunakan Al-Qur’an. Dengan Al-Qur’an sahaja sudah cukup sebenarnya. Tidak perlu hendak diturunkan azab seperti petir dari langit, gempa bumi dan sebagainya.

Hanya dengan Al-Qur’an sahaja sudah cukup sepatutnya. Ayat-ayat Al-Qur’an itu adalah kalam daripada Allah ‎ﷻ. Ia adalah tepat dan jelas kepada mereka yang mahu memahami. Ia terus menusuk ke dalam diri dan mengetuk pintu iman kita.

Akan tetapi untuk memahami Al-Qur’an, kita kena juga belajar hadith kerana penerangan tentang maksud ayat-ayat Al-Qur’an ada di dalam hadith. Maka dua perkara ini tidak boleh ditinggalkan.

وَمَن بَلَغَ

dan kepada orang-orang yang sampai Al-Qur’an (kepadanya).

Al-Qur’an bukan diturunkan kepada penduduk Mekah sahaja tetapi kepada seluruh dunia. Dari zaman dulu sampai sekarang kepada sesiapa sahaja yang boleh disampaikan.

Kita pun termasuk juga ke dalam golongan yang telah disampaikan Al-Qur’an. Al-Qur’an yang dibawa oleh Nabi ﷺ itu telah sampai kepada kita. Kita sekarang bukankah sedang membaca Al-Qur’an? Dari kecil lagi kita sudah kenal Al-Qur’an, kita sudah belajar baca Al-Qur’an.

Walaupun kita sudah berlalu lama dari zaman Nabi ﷺ dan jauh dari Mekah tempat lahir baginda, namun sampai juga Al-Qur’an ini kepada kita. Alhamdulillah. Oleh kerana itu, peringatan dan ancaman yang hendak disampaikan oleh Nabi ﷺ itu juga telah sampai kepada kita.

Maksud kedua ayat ini: Nabi ﷺ disuruh menyampaikan amaran kepada manusia dan begitu juga, sesiapa yang telah mendapat ilmu Al-Qur’an ini juga kena menyampaikan amaran kepada manusia juga, iaitu melakukan dakwah kepada manusia. Ayat ini memberi tanggungjawab itu kepada kita.

Oleh kerana itu, kepada mereka yang telah belajar, mereka juga kena ajar orang lain. Kalau mereka tidak dapat ajar, mereka kena ajak orang lain datang juga ke kelas tafsir. Kena cari guru yang boleh ajar.

Maknanya, wahyu ini kena diajar kepada mereka yang tidak pernah belajar tafsir Al-Qur’an ini. Malah yang sudah tahu pun kena teruskan belajar juga lagi kerana walaupun dia sudah belajar, masih ada lagi yang dia masih tidak tahu. Pembelajaran tafsir Al-Qur’an ini tidak pernah berhenti.

Akan sentiasa sahaja ada pencerahan baru yang kita akan dapat setiap kali kita tadabbur Al-Qur’an. Ini kerana ia adalah kalam Allah ‎ﷻ, bukan kalam manusia, maka terdapat amat banyak sekali perkara-perkara tersirat di dalamnya. Ia semakin dibuka kepada kita sekian lama kita mempelajarinya.

Justeru, memang akan mengambil masa untuk kita memahaminya. Tidak mungkin kita akan dapat memahami keseluruhan Al-Qur’an yang mulia ini. Kita cuma boleh berusaha setakat kemampuan kita sahaja.

أَئِنَّكُمْ لَتَشْهَدُونَ

Apakah sesungguhnya kamu betul-betul menyaksikan,

Betulkah kamu ingin berkata begini?

Apakah kata-kata mereka itu?

أَنَّ مَعَ اللهِ ءآلِهَةً أُخْرَىٰ

bahawa ada ilah-ilah lain bersama Allah?

Kamu sanggup kata ada ilah tempat sandaran hati kamu selain daripada Allah ‎ﷻ yang kamu kata boleh seru mereka? Berani kamu buat begitu?

قُل لَّا أَشْهَدُ

Katakanlah: “Aku tidak menyaksikan”.

Inilah yang disuruh Rasulullah jawab kepada mereka. Dan inilah jawapan kita kalau ada orang yang buat syirik di hadapan kita iaitu apabila ada antara manusia yang kata ada lagi tempat ibadat selain daripada Allah ‎ﷻ, apabila ada yang kata boleh bertawasul kepada Nabi, Wali dan Malaikat.

Mereka beri salam kepada wali, kepada Nabi dan kepada malaikat. Tujuan mereka melakukan itu adalah untuk menjadikan Nabi, wali dan malaikat itu sebagai wasilah (perantara) dalam doa mereka. Padahal itu adalah perbuatan yang amat salah sekali. Apabila ada yang kata begitu, kita menolak perbuatan mereka itu. Kita tidak akan bersetuju dengan iktikad salah mereka itu. Iktikad kita: terus berdoa kepada Allah ﷻ sahaja.

قُلْ إِنَّمَا هُوَ إِلَٰهٌ وٰحِدٌ

Katakanlah: “Sesungguhnya Dia adalah Ilah Yang Maha Esa

Kita kena tekankan bahawa Allah ‎ﷻ sahaja tempat sembahan kita. Allah ‎ﷻ sahaja tempat zikir kita. Allah ‎ﷻ sahaja yang kita boleh rendahkan diri kita, taat kepada-Nya sahaja. Allah ‎ﷻ sahaja tempat sandaran hati kita dalam doa. Tidak ada entiti lain, baik Nabi, malaikat atau wali.

Kena faham maksud ‘ilah’ baru akan faham dengan sebenarnya. Ilah itu adalah tempat sandaran hati, tempat kita berdoa kepadanya dan berharap kepadanya. Jadi hanya Allah ﷻ ilah, tidak ada yang lain. Musyrikin Mekah bukannya tidak kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan, mereka juga terima Allah ﷻ sebagai ilah. Cuma kesalahan fatal mereka adalah mengadakan dan mengatakan ada ilah-ilah lain selain Allah ﷻ.

وَإِنَّنِي بَرِيءٌ

dan sesungguhnya aku berlepas diri

Kita tidak mahu campur tangan dalam urusan mereka yang sedang melakukan syirik. Kita kena jauhkan diri daripada fahaman mereka itu. Kita kena tunjuk yang kita tidak suka dengan amalan dan perbuatan mereka.

Sebagai contoh, jika ada yang buat majlis nikah yang ada persandingan, kita jangan pergi kerana itu adalah daripada amalan agama Hindu, iaitu mereka menyembah dewa Sri Rama dan Sita Devi.

Itu adalah salah satu daripada syiar agama mereka. Dan kita pun tahu agama mereka adalah agama yang syirik. Jadi kenapa kita mahu terlibat dengan perbuatan itu? Allah ‎ﷻ murka dengan apa yang mereka lakukan, dan kalau kita pun ada sekali dalam majlis sebegitu, Allah‎ ﷻ pun murka dengan kita. Jangan sampai ada orang kata: “eh, sama sahaja lah agama Hindu dengan agama Islam tu… tak caya tengoklah cara mereka berkahwin?! Dua-dua ada sanding lah…”

مِّمَّا تُشْرِكُونَ

daripada apa yang kamu persekutukan”.

Perbuatan masyarakat kita banyak yang ada elemen syirik tetapi kerana ia telah lama diamalkan dan menjadi adat serta sebati dalam masyarakat; dan ada pula golongan ustaz yang membolehkan amalan tersebut, maka ramai yang rasa selesa sahaja dengan amalan yang mengandungi elemen-elemen syirik. Oleh kerana itu, masyarakat akan berterusan beramai-ramai membuat syirik tanpa sedar.

Tafsir Ayat Ke-20

Ada Musyrikin Mekah yang mendakwa, mereka telah bertanya kepada Ahli Kitab tentang Nabi Muhammad ﷺ. Mereka kata, Ahli Kitab tidak mengaku pun yang baginda adalah Rasul. Maka Allah ‎ﷻ jawab tuduhan mereka dalam ayat ini.

الَّذينَ ءآتَينٰهُمُ الكِتٰبَ يَعرِفونَهُ كَما يَعرِفونَ أَبناءَهُمُ ۘ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم فَهُم لا يُؤمِنونَ

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami berikan kitab kepada mereka, mereka mengenalinya (Nabi Muhammad), sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Orang-orang yang merugikan diri sendiri (dengan mensia-siakan pengurniaan Allah), maka mereka (dengan sebab yang tersebut) tidak beriman.


الَّذِينَ ءآتَيْنٰهُمُ الْكِتٰبَ

Orang-orang yang telah Kami berikan kitab kepadanya,

‘Kitab’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Kitab Taurat dan Injil. Jadi ayat ini merujuk kepada golongan Yahudi dan Kristian kerana merekalah yang telah diberi dengan kitab-kitab itu. Kenapa pula ada sebutan tentang mereka sedangkan ini surah Makkiyah?

Kerana di hujung-hujung waktu di Mekah, sudah ada interaksi dengan mereka. Waktu itu, selepas Musyrikin Mekah sudah habis modal untuk lawan Nabi ﷺ, mereka telah berjumpa dengan Yahudi di Madinah (waktu itu dikenali dengan nama Yathrib) untuk mendapat nasihat daripada mereka. Ini adalah kerana Musyrikin Mekah tahu yang orang-orang Yahudi itu ada kitab dan mereka telah lama ada agama.

Maka, mereka berharap semoga mereka mendapat idea cara untuk menentang Nabi Muhammad ﷺ. Orang Yahudi di Yathriblah yang memberi idea tambahan kepada Musyrikin Mekah. Mereka suruh bertanyakan itu dan ini.

Antaranya, mereka menyuruh Musyrikin Mekah tanya Nabi ﷺ tiga soalan yang Allah ‎ﷻ jawab dalam Surah Kahfi. Maka, telah ada hubungan dengan ahlil Kitab dan kerana itu dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ sudah mula menyentuh tentang mereka. Ini adalah satu fahaman/bacaan daripada ayat ini.

Satu lagi kefahaman yang kita boleh ambil adalah, ‘kitab’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Al-Qur’an. Bermaksud, orang Islam yang telah diberikan dengan Al-Qur’an. Yang memang menggelarkan diri mereka orang Islam. Seperti zaman sekarang, mereka ini adalah golongan ‘tok guru-tok guru agama’.

Merekalah yang mengamalkan dan mengajar tawasul kepada anak murid mereka. Merekalah yang mengajar amalan ‘tolak bala’, dengan bacaan-bacaan wirid-wirid yang salah, yang bid’ah, yang syirik dan sebagainya.

Ada ustaz yang terkenal yang mengajar manusia supaya jika beli kereta baru, mestilah diberikan kereta itu untuk digunakan oleh ustaz-ustaz dahulu supaya kereta itu tidak terkena bala. Subhanallah! Ingatlah bala itu bukannya boleh ditolak begitu. Bala itu datang daripada Allah ‎ﷻ kerana dosa kita atau sebagai ujian kita. Para ustaz tidak ada kuasa untuk membuang bala atau musibah.

Kalau kita terkena bala, maka mintalah ampun kepada Allah‎ ﷻ dan minta Allah‎ ﷻ selamatkan kita daripada musibah itu. Bukanlah dengan cara mencari ustaz dan meminta bantuannya untuk tolak bala itu. Berhentilah menjadi seperti amalan sami Hindu dan sami Buddha dalam masyarakat kita. Janganlah amalan kita sama dengan amalan agama lain yang syirik. Memang dari zaman berzaman, agama ini bukan dirosakkan oleh golongan petani dan tukang kasut, tetapi oleh agamawan itu sendiri. Ini kerana masyarakat tidaklah mendengar kata-kata daripada petani atau tukang kasut, tetapi ahli agama.

Oleh kerana golongan ini yang memegang kedudukan agama dalam masyarakat, maka masyarakat memandang benar belaka apa yang mereka buat. Padahal, semua amalan itu tidak ada dalil yang sahih dalam agama.

يَعْرِفُونَهُ

mereka mengenalnya

Perkataan يَعْرِفُونَهُ berasal daripada perkataan ع ر ف yang bermaksud ‘mengenali sesuatu daripada tandanya’. Sebagai contoh, semasa kita mencari anak kita dalam ramai-ramai budak, kita cari tanda-tandanya. Tentu kita tahu anak kita memakai baju merah pada hari itu, maka kita cari budak yang memakai baju berwarna merah. Atau anak kita seorang yang tinggi, jadi kita cari budak yang paling tinggi dalam ramai-ramai itu.

Ada dua kemungkinan yang dimaksudkan ‘kenal’ dalam ayat ini:

1. Kenal Nabi Muhammad ﷺ.
2. Kenal Allah ‎ﷻ atau kenal Tauhid. Mereka yang ada kitab sepatutnya kenal tauhid kerana tauhid ada disebut dalam kitab. Cuma mereka sahaja yang mengubahsuai kemudiannya.

Bagaimana kita tahu yang mereka kenal Nabi atau Allah ‎ﷻ? Kerana Allah ‎ﷻ tahu isi hati mereka dan Allah ‎ﷻ beritahu kita dalam ayat ini. Itu sudah cukup untuk meyakinkan kita. Maklumat tambahan kita dapat daripada kitab-kitab mereka sendiri. Memang kitab-kitab wahyu mereka menyebut tentang Tauhid.

Jika kita terima ‘kitab’ dalam ayat ini adalah Al-Qur’an, maka yang dikenal oleh mereka adalah Allah ‎ﷻ. Ini kerana jika ditanya siapakah yang menjadikan langit dan bumi, siapa beri rezeki, mereka akan kata: Allah. Mereka kenal Allah‎ ﷻ daripada kitab-kitab mereka.

Namun begitu, walaupun mereka sepatutnya kenal Allah ‎ﷻ, tetapi mereka beribadat kepada Allah‎ ﷻ bukan seperti yang Allah ‎ﷻ mahu. Mereka ikut amalan ibadat bukan seperti yang diajar oleh wahyu dan Nabi mereka tetapi mereka ambil daripada ajaran-ajaran manusia.

كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمُ

seperti mereka mengenal anak-anak mereka sendiri.

Kalau yang dimaksudkan kenal itu Ahli Kitab, maka mereka kenal Nabi Muhammad ﷺ daripada ciri-ciri yang telah disebut dalam kitab-kitab mereka. Kalau yang dimaksudkan itu adalah Musyrikin Mekah, mereka memang kenal sangat dengan Nabi ﷺ kerana mereka tinggal bersama baginda. Mereka boleh lihat sendiri bagaimana tingkahlaku dan peribadi baginda.

Mereka tahu bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah seorang Rasul kerana ada tanda-tanda kerasulan pada baginda. Atau sifat-sifat Nabi telah diberitahu kepada mereka oleh Nabi-Nabi mereka yang terdahulu yang telah terdapat dalam kitab-kitab suci mereka.

Dalam sirah, kita boleh belajar bagaimana seorang sahabat bernama Salman al Farisi رضي الله عنه yang mencari Nabi akhir zaman. Beliau telah merantau sehingga ke Madinah kerana beliau telah tahu bahawa di situlah nanti akan tiba Nabi akhir zaman. Salman رضي الله عنه tahu maklumat itu melalui pendita-pendita tempat beliau belajar semenjak kecil.

Oleh itu, apabila beliau menjumpai Nabi ﷺ, beliau telah membeli makanan dan sedekahkan kepada baginda. Beliau hendak lihat sama ada Nabi ﷺ makan atau tidak, kerana beliau tahu yang seorang Nabi ﷺ tidak boleh makan pemberian sedekah. Dan memang Nabi ﷺ tidak makan. Baginda telah menerimanya dan telah memberinya kepada sahabat yang lain.

Selain daripada Salman al-Farisi رضي الله عنه, terdapat juga kisah sahabat yang bernama Abdullah bin Salam رضي الله عنه dan juga Zayd ibn Sa’nah رضي الله عنه. Mereka juga memberitahu yang mereka telah kenal sifat Rasulullah daripada kitab-kitab mereka. Ia telah diberitahu dengan terperinci sekali. Malah, tentang para sahabat baginda pun ada disebut.

Oleh itu, apabila ahli Kitab yang telah diberikan dengan Taurat dan Injil melihat tanda-tanda yang ada pada Nabi Muhammad ﷺ, mereka kenal sangat. Sebagaimana mereka kenal anak mereka sendiri, bermaksud mereka 100% pasti. Takkan kita tidak kenal anak kita sendiri?

Kenapa dalam ayat ini hanya disebut ‘anak-anak lelaki’ dan tidak termasuk anak perempuan? Ini adalah kerana:

1. Nabi Muhammad ﷺ merupakan seorang lelaki maka digunakan perumpamaan anak lelaki dalam ayat ini.
2. Bangsa Arab mementingkan anak lelaki.
3. Anak lelaki lebih senang dikenali kerana perempuan selalunya berkelubung.

Namun walaupun mereka sudah kenal dan pasti, mereka masih lagi tidak mahu beriman. Ini kerana hati mereka degil.

الَّذِينَ خَسِرُوا أَنفُسَهُمْ

Orang-orang yang merugikan dirinya,

Mereka merugikan diri mereka kerana mereka tidak mahu beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ sedangkan mereka tahu yang Nabi Muhammad ﷺ itu memang seorang Rasul. Ini kerana mereka mahukan kedudukan dunia.

Mereka waktu itu dipandang tinggi dan mereka rasa jika mereka menerima kenabian Nabi Muhammad ﷺ, maka kedudukan mereka jatuh. Mereka tidak mahu ‘rugi’ di dunia, oleh sebab itu mereka akan ‘rugi’ di akhirat.

Mereka juga tidak boleh menerima Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda daripada keturunan Nabi Ismail عليه السلام manakala mereka pula daripada keturunan Nabi Ishak عليه السلام. Mereka sombong kerana merasakan yang mereka lebih mulia.

Mereka juga benci dan cemburu dengan Nabi Muhammad ﷺ kerana Allah ‎ﷻ memberikan pangkat kenabian itu kepada orang Arab. Selama ini, mereka pandang bangsa Arab sebagai satu bangsa yang hina kerana bangsa Arab tidak ada tamadun dan kerana mereka tidak ada agama yang ada kitab wahyu seperti mereka. Oleh kerana itu mereka tidak mahu menerima tauhid. Mereka tidak mahu meninggalkan amalan syirik mereka.

Ayat ini mengajar kita, jika kita telah nampak kebenaran, kita kena terima. Walaupun ia tidak sama dengan keinginan hati kita. Atau, kebenaran itu datang daripada mulut orang yang bukan daripada golongan kita. Kita jangan tolak kebenaran itu. Walaupun mungkin kadang-kadang kita tidak mampu lagi untuk menjalankan sepenuhnya.

Sebagai contoh, kita sudah tahu yang memakai tudung adalah wajib bagi perempuan. Ada yang tidak mampu lagi untuk memakainya. Itu memang berdosa. Tetapi adalah lebih teruk lagi jika bukan sahaja dia tidak mampu untuk memakainya, malah dia juga menolak terus hukum kewajipan bertudung itu.

Kita juga tahu daripada ayat ini bahawa kita kena terima kebenaran walau dari mana dan daripada siapa ia datang. Jangan kerana ia datang daripada seseorang yang kita tidak suka atau kita rasa rendah tarafnya daripada kita, maka kita tidak terima. Kebenaran tetap benar. Kita kena buka hati kita untuk menerima kebenaran.

Mereka yang tidak menerima kebenaran telah merugikan diri sendiri. Bukan Allah ‎ﷻ yang rugi. Bukan orang yang bawa kebenaran itu yang rugi. Mereka yang rugi sendiri.

فَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

mereka itu tidak beriman.

Mereka itu sebenarnya tidak beriman, walaupun mereka pendita Yahudi dan paderi Kristian yang kononnya kenal agama. Oleh kerana takut rugi dan sombong dengan kedudukan mereka, mereka tidak mahu beriman.

Dan kalau kita bandingkan dengan zaman sekarang, yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah golongan-golongan ahli bid’ah. Mereka itu tidak beriman dengan wahyu yang sebenarnya, walaupun mereka itu digelar ‘ustaz’, orang yang kononnya tahu agama dan sebagainya. Ini kerana mereka telah lama memegang tampuk kedudukan agama.

Jika ada kenduri selamatan, merekalah yang dijemput untuk jadi tekong baca doa. Jika hendak buat Salat Hajat, Kenduri Arwah, merekalah yang dijemput. Jika hendak buat Majlis Tahlil, merekalah tekongnya. Mereka tolak dan tidak beriman dengan jalan Sunnah, kerana jika ikut Sunnah, tidak ada lagi amalan-amalan bid’ah yang menguntungkan mereka itu.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan