Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Bahagian 1 – Tafsir Ayat Ke-13 hingga Ke-17

Tafsir Surah Al-An’am: Bahagian 1 – Tafsir Ayat Ke-13 hingga Ke-17

334
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am

Tafsir Ayat Ke-13

Dalil aqli kenapa kita kena puja Allah ‎ﷻ sahaja dan tidak boleh puja selain Allah ‎ﷻ.

وَلَهُ ما سَكَنَ فِي اللَّيلِ وَالنَّهارِ ۚ وَهُوَ السَّميعُ العَليمُ

Dan bagi Allah jualah apa yang ada pada waktu malam dan siang; dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

وَلَهُ مَا سَكَنَ

Dan kepunyaan Allah jualah apa yang tidak bergerak

Kalimah سَكَنَ bermaksud sesuatu yang tidak bergerak atau dalam keadaan ‘rehat’. Ini merujuk kepada makhluk-makhluk Allah ‎ﷻ yang tidak bergerak, iaitu jenis yang tinggal duduk diam di sesuatu tempat. Ini kerana ada binatang yang “nocturnal” (hanya keluar pada waktu malam) dan ada yang hanya keluar pada waktu siang.

فِي اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ

pada waktu malam dan siang;

Ayat ini bermaksud, kepunyaan Allah ‎ﷻlah apa sahaja yang tidak bergerak pada malam hari, dan yang bergerak pada siang hari. Tidak disebut apa yang bergerak pada siang hari itu, tetapi ia tersirat (mahzuf – dihilangkan).

Ada hidupan dalam alam ini yang hidup waktu siang dan tidur malam. Ada pula yang terbalik iaitu aktif pada malam hari iaitu kehidupan yang nocturnal. Semua kehidupan itu adalah di bawah takluk Allah ‎ﷻ. Tidak kira apapun jenis mereka.

Jangan pula baca ayat ini secara literal pula. Tentulah tidak ada yang ‘tidak bergerak dan bergerak pada waktu siang dan malam’. Maka ada hazaf (dihilangkan) di dalam ayat ini, iaitu ada yang tidak bergerak pada waktu malam; dan ada yang tidak bergerak pada waktu siang. Allah ‎ﷻ ringkaskan sahaja dan ini adalah salah satu daripada keindahan Al-Qur’an. Ia juga membawa maksud milik Allah ‎ﷻ apa sahaja yang bergerak dan apa sahaja yang diam tidak bergerak (pegun).

وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

dan Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Allah ‎ﷻ mendengar dan tahu apa sahaja yang kita lakukan sama ada di malam hari mahupun di siang hari. Allah ‎ﷻ mendengar apa yang kita minta kepada-Nya.

Allah ‎ﷻ mengetahui apa yang kita perlukan, maka Allah ‎ﷻ akan beri ikut keperluan kita. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu apa yang kita perlukan. Kadang-kadang ada benda yang kita hendak, tetapi ia tidak sesuai untuk kita. Kita tidak tahu, tetapi Allah ‎ﷻ tahu.

Oleh kerana itu, sepatutnya kita hanya berdoa dan meminta kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Tidak layak untuk kita meminta kepada selain daripada-Nya kerana yang selain daripada Allah ‎ﷻ tidak mempunyai kuasa. Yang lain tidak tahu pun apa yang kita minta dan mereka pun tidak tahu apa yang kita perlukan. Mereka tidak tahu apa yang baik bagi kita. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu.

Tafsir Ayat Ke-14

Allah ‎ﷻ mengajar cara tabligh (dakwah) kepada manusia iaitu dengan cara soal jawab.

قُل أَغَيرَ اللهِ أَتَّخِذُ وَلِيًّا فاطِرِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَهُوَ يُطعِمُ وَلا يُطعَمُ ۗ قُل إِنّي أُمِرتُ أَن أَكونَ أَوَّلَ مَن أَسلَمَ ۖ وَلا تَكونَنَّ مِنَ المُشرِكينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah aku mengambil (memilih) pelindung yang lain daripada Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan Dia pula yang memberi makan dan bukan Dia diberi makan?” Katakanlah: “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menjadi orang yang pertama sekali menyerah diri kepada Allah (Islam), dan (aku diperintahkan dengan firmanNya): `Jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan orang-orang musyrik itu. ‘ ”

قُلْ

Katakanlah (wahai Muhammad)

Nabi ﷺ disuruh cakap begini. Allah ‎ﷻ mengajar cara bertanya dalam dakwah.

أَغَيْرَ اللهِ أَتَّخِذُ وَلِيًّا

Patutkah aku mengambil yang selain daripada Allah sebagai pelindung?

Jawapannya tentulah tidak patut kita mengambil makhluk lain sebagai wali (pelindung) kita. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja wali kita. Tetapi cara soalan ini adalah soalan retorik yang bukannya memerlukan jawapan.

Siapakah ‘wali’? Itulah tempat perlindungan dan pengharapan kita. Tempat kita berharap dan tempat kita berdoa.

Jadi kalau kita terjemahkan ayat ini: “Adakah kamu nak suruh aku minta perlindungan dan pertolongan selain daripada Allah?” Ini tidak patut sama sekali.

فَاطِرِ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

yang menciptakan langit dan bumi,

Tidaklah patut kita mengambil selain Allah‎ ﷻ sebagai pelindung kita, kerana Dialah yang telah menjadikan langit dan bumi.

Perkataan فَاطِرِ lain daripada perkataan khaaliq. Khaaliq bermaksud ‘menjadikan’, tetapi فَاطِرِ bermaksud ‘menyempurnakan penciptaan’. Umpama seorang pengukur yang menjadikan bentuk pada sesuatu ukiran dan selepas itu, dia akan terus mencantikkannya sehingga ia menjadi sempurna. Itulah maksud فَاطِرِ. Maka kalimah فَاطِرِ adalah tambahan kepada kalimah خالق. Maknanya, selepas Allah ‎ﷻ mencipta sesuatu, Allah ‎ﷻ sempurnakan sesuatu itu.

وَهُوَ يُطْعِمُ

dan Dia yang memberi makan

Kita semuanya memerlukan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻlah yang memberi makan dan rezeki kepada kita untuk meneruskan kehidupan. Makhluk lain tidak dapat memberi makan kepada kita.

وَلَا يُطْعَمُ

dan bukan Dia diberi makan?

Allah ‎ﷻ sendiri tidak makan. Maka, Allah ‎ﷻ tidak memerlukan sesiapa untuk beri makan kepada-Nya. Allah ‎ﷻ sentiasa bersedia untuk menolong kita, untuk mendengar permintaan kita. Kalau kita hendak meminta tolong kepada makhluk, mereka ada masa  hendak makan, hendak buat itu dan ini. Tidak boleh ganggu mereka waktu itu. Mereka pun sibuk mencari makan kerana mereka memerlukan makanan. Namun ini semua tidak berlaku dengan Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ berdiri sendiri tidak memerlukan sesiapa. Sebaliknya, semuanya memerlukan Allah ‎ﷻ.

Wali lain yang mana yang tidak makan? Tok guru mana yang tidak makan? Jadi, kenapa puja mereka pula? Kenapa jadikan mereka tempat pergantungan kita, sedangkan mereka sendiri pun bergantung dengan Allah ‎ﷻ?

قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ

“Katakanlah: “Sesungguhnya aku diperintahkan

Ini adalah cara tabligh yang kedua. Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ beritahu yang baginda pun ikut perintah Allah ‎ﷻ. Lalu kenapa kita ingkar dengan arahan Allah ‎ﷻ sedangkan baginda sendiri ikut perintah Allah ‎ﷻ?

أَنْ أَكُونَ أَوَّلَ مَنْ أَسْلَمَ

supaya menjadi orang yang pertama sekali menyerah diri kepada Allah (Islam),

Nabi ﷺ disuruh menjadi yang pertama menjadi Muslim. Namun, bukankah ada Nabi-Nabi lain sebelum baginda? Sebagai contoh, Nabi Ibrahim عليه السلام sudah menjadi seorang Muslim lebih dulu lama lagi daripada baginda. Maka kalimat ini bermaksud, baginda yang mula-mula menjadi Muslim dalam zamannya.

Menjadi Muslim bermaksud menyerah diri sepenuhnya untuk terima Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan. Apabila kita mengaku Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan, maka kita adalah hamba-Nya. Untuk menjadi hamba, maka hendaklah kita taat kepada segala perintah-Nya.

وَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

“dan jangan sekali-kali engkau menjadi daripada golongan orang-orang musyrik itu”.

Ada muqaddar (penambahan maksud) dalam ayat ini: “dan dikatakan kepada aku.”

Yang paling penting sebagai seorang Muslim hendaklah meninggalkan syirik. Inilah perkara yang paling penting sekali. Malangnya, dalam pengajaran agama di negara ini, tidak banyak guru-guru agama yang menyentuh tentang tauhid dan syirik ini. Ini adalah kerana mereka sangka anak-anak murid mereka tidak melakukan syirik. Namun realitinya, amat ramai yang melakukan syirik tanpa mereka sedar.

Atau, ada yang ajar tauhid, tetapi tidak ajar apakah yang dimaksudkan dengan syirik. Oleh kerana itu anak murid tidak tahu yang mereka ada mengamalkan syirik dalam amalan mereka dan dalam fahaman mereka. Maka kena ajar juga apakah fahaman dan amalan syirik kerana jika hanya diajar perkara yang ‘perlu dibuat’ tetapi tidak diajar perkara yang ‘tidak boleh dibuat’, maka ilmu itu tidak lengkap.

Oleh itu, sepatutnya ajaran tentang tauhid dan bahaya syiriklah yang penting sekali diajar kepada anak murid. Apabila sudah mantap tauhid, barulah diajar tentang Fiqh, hukum-hakam agama dan sebagainya.

Tafsir Ayat Ke-15

قُل إِنّي أَخافُ إِن عَصَيتُ رَبّي عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

Katakanlah: “Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab hari

yang besar (hari kiamat)”.

قُلْ

Katakanlah:

Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ cakap kepada Musyrikin Mekah supaya mereka pun terkesan juga. Cakap apa?

إِنِّي أَخَافُ
“Sesungguhnya aku takut

Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun takut jika baginda ada membuat salah. Dari sini, kita boleh tahu yang Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun takut apabila bertemu Allah ‎ﷻ nanti. Ini kerana baginda juga akan diletak di hadapan Tuhan dan baginda juga akan diadili sama ada baginda telah melakukan tugas baginda atau tidak.

Maknanya baginda juga akan diadili kerana baginda juga adalah Hamba Allah. Maka jangan kita angkat kedudukan baginda lebih daripada itu.

Begitu jugalah kita kena ada perasaan takut juga. Jangan kita rasa kita sudah selamat. Selagi belum dibicarakan di hadapan Allah ‎ﷻ, belum tentu kita selamat lagi. Maka, janganlah kita perasan kita ahli syurga lagi. Orang yang sangka mereka selamat itulah yang tidak selamat.

إِنْ عَصَيْتُ رَبِّي

jika aku derhaka kepada Tuhanku,

Derhaka di sini bermaksud syirik kepada Allah ‎ﷻ. Bukan hanya syirik sahaja, tetapi termasuk juga kalau tidak mengikut perintah Allah ‎ﷻ.

Memang kadang-kadang kita buat silap selama kita hidup di dunia. Itu perkara biasa kerana itu adalah sifat manusia. Namun kalau kita kadang-kadang buat silap, pastikan kita terus meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ dan jangan berterusan dalam berbuat dosa itu. Jangan rasa ringan dengan dosa itu.

Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad ﷺ jika derhaka pun boleh dikenakan dengan azab. Kalau Nabi pun boleh kena azab kerana menderhaka, apatah lagi kita, bukan?

عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ

(aku akan dikenakan) azab hari yang besar (hari kiamat)

Azab adalah sesuatu yang perlu ditakuti. Jangan kita sangka kita sudah Muslim, maknanya kita sudah selamat. Lihatlah, sedangkan Nabi ﷺ pun disuruh takut untuk menghadapi Hari Pembalasan.

Ini penting kerana apabila kita takut, maka kita akan taat kepada Allah ‎ﷻ. Ketakutan itu akan memberi peringatan kepada kita kerana kita tahu yang kita tidak akan mampu untuk menahan azab yang dikenakan nanti. Maka kita akan cuba halang diri kita daripada membuat dosa.

Akan tetapi kita pun tahu bahawa baginda adalah maksum (tidak melakukan dosa). Maka baginda tentulah terselamat daripada dikenakan dengan azab. Akan tetapi baginda tetap juga disuruh untuk menyampaikan perkara ini kepada manusia.

Tafsir Ayat Ke-16

Semoga kita diselamatkan daripada buruknya azab neraka.

مَّن يُصرَف عَنهُ يَومَئِذٍ فَقَد رَحِمَهُ ۚ وَذٰلِكَ الفَوزُ المُبينُ

Sesiapa yang dijauhkan azab daripadanya pada hari itu, maka sesungguhnya Allah telah memberi rahmat kepadanya; dan itulah kejayaan yang jelas nyata.

مَّن يُصْرَفْ عَنْهُ

Sesiapa yang dilencongkan azab daripadanya

Kalimah يُصْرَفْ bermaksud dilencongkan, iaitu diselamatkan daripada dikenakan azab.

يَوْمَئِذٍ

pada hari itu,

Iaitu pada Hari Mahsyar dan Hari apabila pengadilan dijalankan.

فَقَدْ رَحِمَهُ

maka sesungguhnya Allah telah memberi rahmat kepadanya;

Kalau diselamatkan daripada azab Allah ‎ﷻ, ini adalah rahmat yang amat besar. Dengan rahmat Allah ‎ﷻ‎ﷻlah sahaja kita diselamatkan daripada azab. Ini kerana kita ini tentunya banyak dosa dan kita berharap Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa kita itu semuanya sekali. Oleh itu, kenalah kita mengharapkan rahmat Allah ‎ﷻ dengan melakukan ketaatan kepada-Nya.

وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْمُبِينُ

dan itulah kejayaan yang jelas nyata.

Inilah kejayaan yang sebenar – iaitu selamat daripada neraka dan dapat masuk syurga. Dalam dunia, ada banyak jenis kejayaan yang manusia mahukan – kejayaan dengan adanya keluarga yang besar, dengan kekayaan yang banyak, dapat pangkat dan kedudukan yang tinggi, menjadi pemimpin yang besar, menjadi pujaan orang dan sebagainya.

Itu semua adalah kejayaan yang bukan kejayaan yang sebenar. Kejayaan yang sebenar yang kita kena kejar adalah kejayaan selamat daripada neraka dan dapat masuk syurga.

Tafsir Ayat Ke-17

Dalil Aqli yang seterusnya.

وَإِن يَمسَسكَ اللهُ بِضُرٍّ فَلا كاشِفَ لَهُ إِلّا هُوَ ۖ وَإِن يَمسَسكَ بِخَيرٍ فَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Dia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Dia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

وَإِن يَمْسَسْكَ اللهُ بِضُرٍّ

Dan jika Allah mengenakan engkau dengan bala bencana,

Kalimah ضُرٍّ bermaksud apa sahaja kesusahan – sakit, miskin, kesusahan dalam perhubungan dan sebagainya, iaitu apa sahaja yang kita rasa susah dan resah dengannya. Perkara yang kita tidak suka dengannya.

فَلَا كَاشِفَ لَهُ

maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya

Kalimah كَاشِفَ bermaksud membuka hijab, hijab diangkat. Dalam ayat ini bermaksud tidak ada sesiapa yang dapat menyingkap masalah itu atau menghapuskan kesusahan itu.

إِلَّا هُوَ

melainkan Dia (Allah) sendiri;

Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh melepaskan bala itu kerana bala itu datang daripada Allah ‎ﷻ. Walaupun satu dunia berkumpul untuk menghilangkan masalah itu, tentu tidak boleh jika Allah ‎ﷻ tidak mengizinkannya. Oleh itu, apabila ada masalah, maka hadapkan wajah kita ini kepada Allah ‎ﷻ dan berdoalah kepada-Nya supaya kita diselamatkan daripada azab itu.

Oleh itu, berharaplah kepada Allah ‎ﷻ sahaja kerana jika kita berharap kepada selain daripada Allah ‎ﷻ, kita akan sesal kerana bukan mereka yang boleh menyelesaikan masalah itu.

Kadang-kadang jika ada masalah, kita naik marah dan kita salahkan orang lain. Itu adalah perbuatan yang sia-sia kerana ia tidak menghilangkan pun masalah itu. Kalau kita maki dan marah orang masalah selesai, maka buatlah. Tetapi selalunya ia tidak mengubah apa-apa, bukan? Maka sepatutnya kita redha dan berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya mengangkat masalah itu daripada kita.

وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ

dan jika Dia ingin mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan,

Kalimah خَيْرٍ adalah apa sahaja yang memberi kebaikan dan kelebihan kepada makhluk. Contohnya kekayaan, kebijaksanaan, kecantikan, kepandaian dan sebagainya.

فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

maka Dia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah ‎ﷻ boleh beri apa sahaja خَيْرٍ kepada kita, dan Dia juga boleh tarik balik kerana Dia Maha Kuasa. Oleh itu, apabila kita dapat خَيْرٍ, maka ingatlah Allah ‎ﷻ yang telah memberikannya kepada kita. Ini kerana Allah ‎ﷻ boleh sahaja menarik balik daripada kita kalau kita tidak bersyukur dengan-Nya.

Oleh itu, hendaklah kita bersyukur kepada Allah ‎ﷻ. Namun kebiasaannya yang berlaku, kalau dapat خَيْرٍ, kita lupa Allah ‎ﷻ. Kita lupa Allah ‎ﷻlah yang beri kepada kita. Ini kerana kita lupa yang Allah‎ﷻ lah yang memberikan segalanya kepada kita.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan