Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Bahagian 1 – Tafsir Ayat Ke-7 hingga Ke-9

Tafsir Surah Al-An’am: Bahagian 1 – Tafsir Ayat Ke-7 hingga Ke-9

137
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-7

Ini adalah satu ayat yang penting. Ini adalah kesamaran manusia yang pertama yang disentuh dalam surah ini. Soalan mereka itu ada dalam [ Isra:23 ].

Apakah kekeliruan mereka? Ia adalah tentang ‘risalah’ yang disampaikan kepada manusia. Antara hujah utama Musyrikin Mekah adalah mereka kata jika mereka nampak dengan mata kepala mereka baru mereka akan percaya. Mereka kata mereka hendak lihat sendiri Al-Qur’an diturunkan barulah mereka hendak beriman.

Mereka kata mereka selalu dengar tentang kitab yang boleh dibaca tetapi sekarang Nabi Muhammad ﷺ hanya sebut di mulut sahaja (waktu itu Al-Quran belum dibukukan lagi). Jadi mereka hendak lihat kitab itu depan mata mereka.

Mereka juga hendak melihat Allah ‎ﷻ, hendak melihat malaikat dan macam-macam lagi. Akan tetapi ayat ini adalah tentang permintaan mereka hendak melihat Al-Qur’an diturunkan. Tetapi kalau mereka nampak pun dengan mata mereka dan boleh pegang Al-Qur’an itu, adakah mereka akan beriman?

وَلَو نَزَّلنا عَلَيكَ كِتٰبًا في قِرطاسٍ فَلَمَسوهُ بِأَيديهِم لَقالَ الَّذينَ كَفَروا إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّبينٌ

Dan kalau Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab (yang bertulis) pada kertas, lalu mereka memegangnya dengan tangan mereka, nescaya orang-orang yang kafir itu berkata: “Ini tidak lain, hanyalah sihir yang terang nyata”.

وَلَوْ نَزَّلْنَا عَلَيْكَ كِتٰبًا

Dan kalau Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab

Perkataan كِتَابًا bermaksud sesuatu yang ‘bertulis’. Seperti yang kita tahu, Al-Qur’an tidak diturunkan siap bertulis. Ia disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ terus melalui perantaraan Jibril عليه السلام. Nabi ﷺ kemudiannya akan menyampaikannya kepada sahabat dengan lafaz mulut. Ada kalangan sahabat yang dilantik sebagai penulis wahyu, maka mereka akan menulis ayat-ayat yang baru turun itu. Namun pada waktu itu, ia tidaklah dikumpulkan lagi.

Jadi, golongan Musyrikin Mekah yang tidak mahu menerima Al-Qur’an sebagai ayat-ayat daripada Allah ‎ﷻ telah datang dengan satu lagi permintaan mengarut mereka – mereka hendak lihat Al-Qur’an itu diturunkan siap bertulis. Kononnya kalau begitu, baru mereka akan percaya.

فِي قِرْطَاسٍ

dalam bentuk kertas,

Seperti yang kita tahu, Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa عليه السلام siap bertulis. Tidak dapat dipastikan bagaimana rupa tulisan asal Kitab Taurat itu dan di atas apakah ia ditulis, entah kertas, entah batu, Allahu a’lam.

Maka Musyrikin Mekah minta kitab Al-Qur’an yang siap tertulis di atas kertas. Kalimah قِرْطَاسٍ bermaksud kertas yang seperti kertas yang telah ada di Mesir pada waktu itu. Kita pun pernah lihat kertas papyrus itu. Ada juga kertas sebegitu sampai ke Tanah Arab. Tetapi ia dianggap satu benda yang amat asing kepada mereka kerana rata-rata mereka bukanlah kaum yang pandai membaca.

فَلَمَسُوهُ بِأَيْدِيهِمْ

lalu mereka dapat memegangnya dengan tangan mereka,

Kalimah لمس bermaksud boleh dipegang, dirasa dengan tangan dan kalimah بِأَيْدِيهِمْ bermaksud mereka bukan setakat hendak sentuh sahaja tetapi mereka hendak membelek-belek dengan tangan mereka.

Kita pun sudah tahu yang masyarakat Arab kebanyakannya tidak boleh membaca. Tetapi masih lagi mereka meminta kitab yang siap bertulis. Bukan mereka boleh memanfaatkan pun jika Al-Qur’an diturunkan siap bertulis sebab mereka memang bangsa yang tidak boleh membaca. Itulah kebodohan mereka – minta sesuatu yang tidak berguna untuk mereka.

Namun begitu, mereka hendak puaskan hati mereka kerana mereka menuduh yang Nabi Muhammad ﷺ reka sendiri Al-Qur’an itu. Maka itulah sebabnya mereka hendak pegang dan membelek kitab itu dengan tangan mereka sendiri.

Tidaklah salah jika kita hendak pastikan kebenaran sesuatu perkara itu. Memang jika kita dapat memegang dan melihat sendiri sesuatu benda itu, kita akan percaya sepenuhnya. Sebagaimana jika kita sudah pergi ke Mekah dan lihat sendiri Kaabah, boleh sentuh Kaabah, kita akan bertambah percaya.

Namun puak-puak Musyrikin Mekah ini memang hati mereka telah tertolak, maka walaupun jika mereka dapat pegang sendiri Kitab Al-Qur’an yang diturunkan dari langit, mereka tidak akan percaya.

Allah ‎ﷻ sudah tahu apa yang bermain dalam hati-hati mereka. Oleh itu Allah ‎ﷻ bongkar apa yang ada dalam hati mereka dalam bahagian yang seterusnya.

لَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا

nescaya orang-orang yang kafir itu berkata:

Allah ‎ﷻ hendak beritahu, walaupun jika diberikan mereka dengan kitab yang siap bertulis diturunkan dari langit dan mereka boleh pegang dan mereka boleh belek, mereka masih lagi tidak mahu beriman. Mereka akan beri alasan lain pula.

Kemudian apa yang mereka akan kata?

إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ مُّبِينٌ

“Ini tidak lain, hanyalah sihir yang terang nyata”.

Mereka akan kata Nabi ﷺ adalah ahli sihir pula dan Al-Qur’an yang siap bertulis itu adalah hasil daripada perbuatan sihir sahaja.

Perkataan سِحْرٌ asalnya bermaksud ‘sesuatu yang tidak boleh dilihat dengan mata’ iaitu sesuatu yang disorok daripada pandangan mata. Begitu jugalah kita guna perkataan ‘sahur’ yang bermaksud waktu gelap malam yang paling gelap sampai tidak nampak apa-apa dengan mata kasar.

Secara teknikalnya, سِحْرٌ adalah apabila ahli sihir menggunakan pelbagai cara untuk menipu penontonnya – mengelabui mata penonton, sampai mereka nampak benda yang lain iaitu benda yang tidak ada pun boleh nampak.

Sihir memang boleh memberi kesan kepada manusia. Ada manusia yang disihir sampai mereka akan rasa sakit. Kalau periksa dengan doktor, doktor pun tidak tahu kenapa dia boleh jatuh sakit begitu. Orang itu memang sakit, tetapi penyebabnya ‘tidak nampak’ – disorok daripada mata. Jika dilihat bawah mikroskop pun tidak nampak.

Begitu juga, boleh jadi satu pasangan suami isteri yang tiba-tiba tidak suka satu sama lain. Lihat wajah pun sudah menyampah. Ini adalah salah satu sihir yang diamalkan oleh manusia – untuk memisahkan antara suami dan isteri.

Sihir diajar oleh jin untuk menjadikannya dan membantu sihir itu. Dan jin pula bukankah ‘tidak boleh dilihat’?

Jadi kenapa mereka kata kitab itu satu sihir? kerana hati mereka memang tidak mahu percaya. Bila mereka tidak dapat jelaskan, maka mereka akan kata ia adalah sihir.

Maka, Allah ﷺ hendak kata buang masa sahaja untuk melayan permintaan mereka itu. Mereka tidak akan percaya walaupun diturunkan Al-Qur’an dalam bentuk fizikal. Allah ﷺ telah beritahu Nabi ﷺ awal-awal lagi. Mereka minta kitab bertulis itu bukannya mereka hendak ikut tetapi hendak bagi alasan sahaja.

Tafsir Ayat Ke-8

Ini pula adalah permintaan mereka yang lain. Jadi ini adalah tentang kesamaran kedua Musyrikin Mekah.

وَقالوا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ مَلَكٌ ۖ وَلَو أَنزَلنا مَلَكًا لَّقُضِيَ الأَمرُ ثُمَّ لا يُنظَرونَ

Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? ” padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara, kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut).

قَالُوا

Dan mereka berkata:

‘Mereka’ dalam ayat ini adalah Musyrikin Mekah. Ada sahaja permintaan dan hujah mereka kepada Nabi Muhammad ﷺ dan orang Islam. Apa pula hujah mereka kali ini?

لَوْلَا أُنزِلَ عَلَيْهِ مَلَكٌ

Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya?

Mereka kata: Jika betul Nabi Muhammad ﷺ itu seorang Rasul, Allah ‎ﷻ sudah melantik baginda sebagai Rasul, kenapa tidak ada malaikat mengiringi baginda? Kalau ada malaikat, adalah yang bantu Nabi Muhammad ﷺ. Tentulah malaikat itu akan memberitahu apa yang Nabi Muhammad ﷺ cakap itu benar. Dan malaikat itu boleh beritahu yang Al-Qur’an yang diturunkan kepada baginda itu memang benar daripada Allah‎ ﷻ.

Dan malaikat itu juga akan beri amaran kepada orang yang tidak mahu beriman itu. Senanglah mereka hendak beriman kalau begitu kerana memang nampak malaikat depan mata.

Itulah antara hujah mereka. Mereka mahu malaikat pula diturunkan dan mereka boleh nampak malaikat itu dengan jelas dengan mata mereka sendiri. Jika sebelum ini tentang Al-Qur’an yang mereka hendak lihat, sekarang mereka hendak lihat malaikat pula.

وَلَوْ أَنزَلْنَا مَلَكًا

padahal, kalau Kami turunkan malaikat,

Allah ‎ﷻ boleh sahaja turunkan sekali malaikat untuk bersama Nabi, tetapi Allah ‎ﷻ tidak buat begitu. Tetapi katakanlah Allah ‎ﷻ buat begitu, apa yang akan jadi?

لَّقُضِيَ الْأَمْرُ

nescaya mereka akan diberikan keputusan.

Ada beberapa fahaman untuk ayat ini:

1. Jika Allah ‎ﷻ turunkan sekali malaikat, maka tentulah mereka akan percaya sebab sudah ada malaikat depan mata tetapi, jika begitu, maka tidaklah ada ujian lagi kerana ujian adalah untuk percaya kepada benda yang ghaib iaitu mempercayai perkara yang kita tidak nampak; itulah iman.

Jika mereka sudah nampak dengan mata kepala sendiri, maka tidaklah ada ujian lagi. Ini adalah pendapat pertama bagi potongan ayat ini.

2. Pendapat kedua adalah mereka akan diberikan azab jika malaikat turun sekali, iaitu mereka akan dimatikan dengan azab sebagaimana kaum Aad dan Tsamud. Ini kerana malaikat datang untuk memusnahkan, bukan untuk suka-suka sahaja melawat dan untuk dipamerkan. Malaikat ada tujuan mereka diturunkan, bukan senang-senang sahaja hendak turun.

Itulah sebabnya golongan silat sesat dan mereka yang ikut-ikut berdoa: “Jibril di hadapan ku, Mikail di belakang ku…..” dengan kepercayaan bodoh mereka yang malaikat-malaikat itu akan beri keselamatan kepada mereka.

Subanallah! Siapalah agaknya yang mula membawa masuk ajaran sesat ini ke dalam negara kita? Kenapalah jahil sangat masyarakat kita sampai boleh percaya dengan ajaran sesat sebegini?

3. Jika malaikat turun sekalipun, mereka tidak akan percaya kerana keras sangat hati mereka. Mungkin mereka akan beri alasan lain pula. Dan apabila mereka tidak percaya, mereka akan diberikan azab, iaitu mereka akan dimusnahkan terus. Ini adalah kerana jika mereka minta ditunjukkan mukjizat dan Allah‎ ﷻ beri apa yang mereka minta tetapi mereka menolaknya selepas itu, maka azab akan diberikan kepada mereka terus. Maka, ‘selesailah’ hidup mereka, iaitu mereka akan dimusnahkan.

4. Jika mereka nampak malaikat, mereka akan mati terus hanya kerana melihat malaikat itu kerana rupa malaikat itu bukanlah seperti rupa manusia. Mereka memang akan terkejut dan jenis terkejut sampai boleh mati.

ثُمَّ لَا يُنظَرُونَ

kemudian mereka tidak diberi tangguh

Mereka akan dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut. Tidak ada masa lagi untuk bertaubat, untuk meminta maaf, atau hendak membuat amal, tidak sempat buat apa-apa langsung.

Ini kerana apabila malaikat turun, tentunya mereka akan mati terus kerana malaikat telah diberi arahan untuk azab golongan degil. Waktu itu tidak sempat untuk membuat apa-apa.

Tafsir Ayat Ke-9

Ini pula adalah kesamaran ketiga Musyrikin Mekah. Mereka kata, kenapa Nabi Muhammad ﷺ itu bukan seorang malaikat? Kenapa tidak diturunkan sahaja para malaikat sebagai Rasul?

وَلَو جَعَلنٰهُ مَلَكًا لَّجَعَلنٰهُ رَجُلًا وَلَلَبَسنا عَلَيهِم مّا يَلبِسونَ

Dan kalau (Rasul) itu Kami jadikan malaikat, tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki (supaya mereka dapat melihatnya), dan tentulah Kami (dengan yang demikian) menyebabkan mereka kesamaran sebagaimana mereka sengaja membuat-buat kesamaran (tentang kebenaran Nabi Muhammad ﷺ )

وَلَوْ جَعَلْنٰهُ مَلَكًا

Dan kalau Kami jadikan (Rasul) itu malaikat,

Nabi ﷺ tidak pernah kata baginda adalah malaikat tetapi mereka mengejek Nabi ﷺ dengan mengatakan: “Adakah kamu nak kata kamu malaikat?” Itu mereka sudah pusing cerita. Mereka sebut perkara yang Nabi ﷺ tidak pernah dakwa pun.

Tetapi, Allah ‎ﷻ katakan dalam ayat ini, kalaulah Allah ‎ﷻ hendak turunkan malaikat sebagai Rasul, Allah ‎ﷻ tidak akan turunkan malaikat itu dalam bentuk malaikat.

لَّجَعَلْنٰهُ رَجُلًا

tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki,

Jika Allah ‎ﷻ hendak turunkan malaikat kepada manusia sebagai Rasul, Allah ‎ﷻ tentu akan menjadikan malaikat itu dalam bentuk lelaki manusia juga. Manusia akan nampak malaikat itu seperti manusia biasa juga.

Ini kerana jika diturunkan dalam bentuk rupa asal malaikat, tentu manusia tidak boleh nampak, sedangkan malaikat di kiri kanannya setiap hari pun manusia tidak nampak. Maka Allah ‎ﷻ kena jadikan malaikat itu dalam bentuk manusia lelaki.

Dalam ayat sebelum ini, mereka tanya kenapa tidak diturunkan malaikat, maka Allah ‎ﷻ jawab dalam ayat ini. Allah‎ ﷻ tentu akan turunkan malaikat itu dalam bentuk manusia kerana manusia tidak boleh melihat malaikat dalam bentuk asalnya. Itulah sebabnya, selalunya Jibril عليه السلام akan menemui Nabi ﷺ dalam rupa manusia. Hanya dua kali sahaja Jibril عليه السلام menunjukkan rupanya yang asal kepada baginda.

Dan pernah Jibril عليه السلام menghadiri majlis Nabi ﷺ bersama sahabat untuk mengajar mereka tentang Iman, Islam dan Ihsan dan hadith itu adalah hadith terkenal yang dikenali sebagai ‘Hadith Jibril”. Dalam Surah Maryam juga, ada disebut bagaimana Jibril عليه السلام juga datang menemui Maryam رضي الله عنها dalam rupabentuk seorang lelaki.

Apabila malaikat datang kepada Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Luth عليه السلام, mereka pun datang dalam rupa manusia sehingga kaum Nabi Luth عليه السلام tergoda dengan kekacakan malaikat-malaikat itu.

Jika malaikat itu datang dalam rupa asalnya, tentulah manusia akan bertempiaran lari. Maka, itulah kebiasaan malaikat mempamerkan diri mereka kepada manusia.

وَلَلَبَسْنَا عَلَيْهِم

dan tentulah Kami menyebabkan mereka keliru

Perkataan لَلَبَسْنَا (Kami mengelirukan) diambil daripada kata dasar ل ب س yang bermaksud ‘mengelirukan’ juga bermaksud ‘bercampur baur’ dan bila sesuatu itu bercampur baur, ia akan menyebabkan kekeliruan. Juga digunakan untuk maksud ‘menutupi’ seperti ‘pakaian’.

Ini bermaksud, kalaulah malaikat itu dihantar dalam rupa manusia, masalah mereka yang tidak mahu beriman itu tidak selesai pun. Mereka akan terus keliru sama ada itu adalah Rasul atau tidak.

Nabi ﷺ yang mereka kenal dari kecil dulu pun mereka tidak terima, tambahan pula kalau yang datang kepada mereka itu adalah orang yang mereka tidak kenal, lagilah mereka tidak mahu terima. Entah datang dari mana pula, mereka kata.

Kalau Rasul itu datang dalam bentuk malaikat, tentu mereka kata kenapa pula dijadikan malaikat sebagai Rasul, sebab mereka itu jenis manusia. Malaikat tidak makan, tidak minum, tidak ada nafsu, jadi mereka akan kata mana sama mereka dan malaikat itu. Mereka akan kata mereka tidak boleh buat sama seperti malaikat itu. Oleh itu, malaikat tidak boleh dijadikan contoh kerana tidak sama kehidupan mereka dan kehidupan manusia.

Allah ‎ﷻ hantar Nabi ﷺ dalam bentuk manusia pun ada manusia boleh keliru lagi. Lihatlah apa puak tarekat kata tentang Nabi ﷺ: Mereka kata baginda bukan manusia, tetapi ‘Nur’ – cahaya (kepercayaan sesat tentang Nur Muhammad). Kalaulah kita terima Nabi ﷺ sebagai bukan manusia seperti kita, maka tentulah apa yang Nabi ﷺ buat itu tidak sama dengan kita, kita tidak boleh ikut Nabi ﷺ sebab Nabi itu manusia jenis lain.

Orang yang tidak mahu buat kebaikan akan kata: “Bolehlah Nabi buat apa yang dia buat itu, sebab dia bukan manusia macam kita – dia manusia jenis lain…”. Lihatlah betapa fahaman sesat mereka itu boleh mengelirukan manusia. Yang cakap sebegitu memang sudah keliru maka mereka akan mengelirukan manusia lain jadinya nanti.

مَّا يَلْبِسُونَ

sebagaimana mereka di dalam kekeliruan

Daripada ayat ini kita tahu betapa mereka itu memang tidak mahu beriman. Ada sahaja alasan yang mereka berikan. Jika orang itu mahu melakukan sesuatu, sekali cakap sahaja dia akan ikut. Namun, kalau memang hati tidak mahu, pelbagai alasan mereka akan beri untuk tidak melakukannya.

Pertama, kenapa manusia dimasukkan dalam kubur? Tentulah kerana seseorang itu sudah mati. Maka bukankah Nabi Muhammad ﷺ sudah dimasukkan dalam kubur? Dan jika Nabi Muhammad ﷺ itu tugasnya tidak habis lagi, kenapa baginda tidak bersama dengan kita sekarang? Itu adalah hujah-hujah yang logik.

Keduanya, kita dapat tahu bahawa musyrikin Mekah itu meminta pelbagai perkara daripada Nabi ﷺ, kononnya jika diberikan apa yang mereka minta itu, mereka akan beriman. Jika kita pun buat seperti itu, samalah kita seperti mereka juga.

Contohnya, jika ada bukti bahawa kalau dengan ajaran sunnah ini, kehidupan mereka berubah kepada kebaikan baru mereka hendak beriman, maka orang yang berfikir seperti itu adalah sama sahaja dengan Musyrikin Mekah.

Ingatlah bahawa kita belajar sifat-sifat Musyrikin Mekah itu supaya kita boleh menolak sifat-sifat itu. Kita kena perhatikan sama ada wujud atau tidak sifat mereka itu dengan kita. Jika ada, maka kita adalah musyrikin juga, bezanya mereka Musyrikin Mekah, kita Musyrikin Malaysia!

Ketiga, lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ menjawab hujah-hujah mereka dengan jawapan yang logik. Maka, ini mengajar kita apabila berhujah dengan manusia yang degil, kita gunakan hujah yang logik juga. Ini tidak salah kerana jika diberi mereka hujah ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith Nabi ﷺ , mereka masih tidak akan terima Al-Qur’an dan Hadith itu.

Sebagai contoh, jika ada yang kata Nabi Muhammad ﷺ hidup lagi, boleh mendengar permintaan kita, maka kita boleh juga gunakan logik untuk mematahkan pandangan sesat mereka.

Keempat, kita dapat tahu daripada ayat ini bahawa setiap rasul yang diutuskan kepada manusia adalah jenis manusia juga. Ini adalah satu rahmah yang besar daripada Allah ‎ﷻ. Ini kerana apa sahaja yang Nabi buat, kita boleh ikut. Tidaklah kita kata kita tidak boleh buat seperti mereka sebab Nabi ﷺ lain dengan kita. Oleh itu, ia merupakan satu rahmah daripada Allah‎ ﷻ. Allah ‎ﷻ memberi pengajaran kepada kita dengan diberikan-Nya contoh dalam kalangan kita sendiri.

Kelima, kalau kita fikirkan, kalaulah Allah ‎ﷻ memenuhi permintaan musyrikin Mekah itu, tidakkah ia lebih mudah? Tidakkah mereka semua akan beriman?

Jawapan pertama: jika orang tidak mahu beriman, tunjuk apa pun mereka tidak akan beriman. Sebagaimana juga Bani Israel telah ditunjukkan dengan berbagai-bagai keajaiban dan mukjizat, namun mereka masih lagi tidak mahu beriman. Mereka kata itu semua adalah sihir yang dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام.

Jawapan kedua kenapa Allah ‎ﷻ tidak turut permintaan mereka: tidaklah layak dengan kedudukan Allah‎ ﷻ untuk melayan permintaan makhluk yang sebegitu. Takkan Allah ‎ﷻ harus memberikan apa sahaja yang mereka minta pula, bukan?

Ingatlah bahawa bukan Allah ‎ﷻ tidak mampu hendak beri. Boleh sahaja Allah‎ ﷻ beri dengan senang. Tetapi kalau diberikan kepada mereka yang memang degil, tidaklah patut dengan kedudukan Allah‎ ﷻ yang Maha Tinggi.

Ketiga, bukankah Al-Qur’an itu sudah merupakan satu mukjizat? Mukjizat Al-Qur’an itu lebih hebat lagi daripada mukjizat-mukjizat yang boleh dilihat dengan mata. Ini kerana mukjizat yang boleh dilihat dengan mata itu hanya boleh dilihat semasa itu sahaja. Tetapi Al-Qur’an ini boleh dibaca zaman berzaman, tidak lapuk dek hujan. Sesiapa sahaja ada akses kepada Al-Qur’an. Di mana-mana sahaja boleh lihat.

Keempat, jika ditunjukkan mukjizat seperti yang mereka minta itu, tetapi selepas itu mereka masih berdegil tidak beriman, Allah ‎ﷻ akan berikan azab yang berat kepada mereka. Antaranya, mereka boleh dihapuskan terus dari mukabumi ini. Dan umat Islam ini adalah umat yang terakhir. Kalau diturunkan azab kepada kita sekarang sampai hancur semuanya, maka akan kiamatlah jadinya.

Kelima, Allah ‎ﷻ sudah tahu yang mereka minta itu bukan kerana hendak menguatkan iman mereka, atau untuk memberi ketenangan kepada mereka dalam agama. Bukan begitu. Tetapi mereka minta itu adalah untuk memperolok-olokkan Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Maka, sebab itulah Allah ‎ﷻ tidak melayan kehendak mereka.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan