Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Bahagian 1 – Tafsir Ayat Pertama dan Ke-2

Tafsir Surah Al-An’am: Bahagian 1 – Tafsir Ayat Pertama dan Ke-2

222
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am 
Tafsir Ayat Pertama

Dalil Aqli pertama. Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya kepada kita dalam ayat ini:

الحَمدُ ِللهِ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَجَعَلَ الظُّلُمٰتِ وَالنّورَ ۖ ثُمَّ الَّذينَ كَفَروا بِرَبِّهِم يَعدِلونَ

Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.

الْحَمْدُ ِللهِ

Segala puji bagi Allah

Ini adalah salah satu surah dalam Al-Qur’an yang dimulakan dengan kalimah الْحَمْدُ لِلَّهِ. Ada 4 surah yang dimulakan dengan الْحَمْدُ لِلَّهِ dan disusun kedudukan 4 surah itu dengan membahagikan Al-Qur’an itu dalam 4 bahagian dan semuanya dimulai dengan الْحَمْدُ لِلَّهِ. Surah-surah itu adalah:

1. Surah Fatihah iaitu berada betul-betul di awal Al-Qur’an
2. Surah Al-An’am iaitu permulaan suku Al-Qur’an
3. Surah Al-Kahfi iaitu berada lebih kurang separuh Al-Qur’an
4. Surah Saba’ dan Faathir iaitu di tiga suku Al-Qur’an

Makna الْحَمْدُ لِلَّهِ telah ditafsir dengan panjang lebar dalam Surah Fatihah. Sila rujuk kelas yang lepas.

Surah ini dimulakan dengan الْحَمْدُ لِلَّهِ. Kenapa? Selalunya apabila kita mulakan sesuatu yang penting, kita akan mulakan dengan puji-pujian kepada Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, apabila kita mula berucap, sunat untuk kita memuji-muji Allah ‎ﷻ. Jadi, permulaan ayat ini untuk memuji-muji Allah ‎ﷻ.

Allah‎ ﷻ sahaja yang layak dipuji. Allah ‎ﷻ sendiri memuji Diri-Nya dalam ayat ini kerana itulah, tidak layak kalau seseorang memuji dirinya kerana Allah ‎ﷻ sahaja yang layak memuji Diri-Nya sendiri. Oleh itu riak adalah dosa besar.

Maka jangan kita mengharap orang puji kita. Malangnya kita selalunya mengharap orang lain memuji kita walaupun apa yang kita buat sedikit sahaja. Tidak ada apa sebenarnya untuk dipuji tentang diri kita kerana semuanya daripada Allah‎ ﷻ belaka.

Allah ‎ﷻ tidak memerlukan kita memuji-Nya kerana Dia memang telah terpuji, layak dipuji walaupun tidak ada yang memuji-Nya. Nanti selepas ini akan disebut antara sebab-sebab kenapa Dia layak dipuji.

الَّذِي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

yang menciptakan langit dan bumi,

Kenapa Allah ‎ﷻ sahaja yang layak dipuji? Kerana Dialah yang telah menjadikan alam ini. Maka kepada Dia sahaja kita boleh lakukan ibadat.

Kepada Dia sahaja kita sembah dan melakukan ibadat. Tidak ada yang layak disembah melainkan Allah ‎ﷻ sahaja tetapi berapa banyak sembahan kepada selain daripada Allah‎ ﷻ yang masyarakat kita buat?

Antaranya yang senang dilihat adalah orang awam menyembah Sultan dan Raja, seorang pesilat menyembah gurunya dan pelbagai bentuk lagi. Itu tidak termasuk sembahan dalam bentuk lain – beri salam kepada Nabi, Malaikat dan Wali yang dilakukan masyarakat kita kerana tidak faham hal akidah. Itu dibincangkan dengan panjang lebar dalam ayat-ayat yang lain.

Kenapa disebut Allah ‎ﷻ menciptakan langit dan bumi sahaja? Tidakkah ada ciptaan Allah ‎ﷻ yang lain? Tentu ada, tetapi hanya disebut dua ciptaan ini sahaja dalam banyak ayat Al-Qur’an kerana dua inilah yang manusia boleh nampak. Dua ciptaan inilah yang nampak agung kepada manusia. Makhluk Allah ‎ﷻ yang lebih agung adalah Arasy-Nya tetapi kita tidak nampak.

Ini dinamakan Tauhid Rububiyyah; iaitu kepercayaan bahawa Allah ‎ﷻlah pencipta alam ini. Tauhid Rububiyyah ini juga dipercayai oleh Musyrikin Mekah. Mungkin ada yang terkejut dengan kata-kata ini. Namun ketahuilah bahawa Musyrikin Mekah pun kenal Allah ‎ﷻ.

Mereka tahu yang Allah‎ ﷻ telah menjadikan alam ini. Mereka tahu Allah‎ ﷻ itu adalah Tuhan. Tetapi, masalahnya, dalam masa yang sama, mereka telah mengambil benda-benda lain sebagai ‘tuhan-tuhan mini’, yang mereka juga sembah.

Dalam ayat ini, digunakan sighah jamak (plural) bagi langit kerana langit ada 7 lapis. Sedangkan bagi bumi digunakan sighah mufrad (singular). Akan tetapi dalam ayat lain seperti [ Talaq:12 ], disebut yang bumi juga 7 lapis. Kenapa pula begitu? Ulama’ mengatakan yang walaupun bumi ada 7 lapis, tetapi sifatnya lebih kurang sama sahaja antara lapisan-lapisan itu, maka ia dikira sebagai satu sahaja selalunya. Berbeza dengan langit yang amat berbeza antara satu lapis dengan lapis yang lain.

وَجَعَلَ الظُّلُمٰتِ

dan Dia menjadikan kegelapan

Apabila disebut tentang penciptaan langit dan bumi, digunakan perkataan خَلَقَ tetapi bila disebut penciptaan ‘gelap’ dan ‘terang’, digunakan perkataan جَعَلَ.

Pertamanya, ini untuk mempelbagaikan perkataan dan ini adalah salah satu daripada keindahan Al-Qur’an. Jika perkataan yang sama sahaja digunakan, tentu amat membosankan. Dan Al-Qur’an bukanlah satu bacaan yang bosan. Ia cukup indah dan disusun dengan cantik dan molek sekali.

Kedua, ini juga adalah kerana جَعَلَ boleh digunakan untuk barang yang abstrak yang tidak boleh disentuh dan خَلَقَ hanya untuk benda yang boleh dilihat.

‘Kegelapan’ ada yang boleh dilihat seperti kegelapan malam, kegelapan dalam laut dalam, dalam gua dan sebagainya dan ada ‘kegelapan’ yang abstrak seperti kegelapan kekufuran, kemunafikan, kejahilan dan sebagainya. Dua-dua jenis kegelapan ini adalah ciptaan Allah ‎ﷻ juga.

Satu lagi pendapat mengatakan, digunakan جعل bagi kegelapan dan cahaya kerana gelap dan terang tidak berdiri sendiri. Ia adalah ‘sifat’ bagi sesuatu benda seperti langit dan bumi.

وَالنُّورَ

dan terang;

‘Cahaya’ juga ada dua jenis sepertimana ‘kegelapan’. Ada cahaya yang nampak seperti matahari, lampu, api dan sebagainya.

Dan ada cahaya yang abstrak seperti cahaya keimanan, hidayah, taqwa, ilmu dan lain-lain lagi. Allah ‎ﷻlah juga yang beri cahaya keimanan kepada manusia.

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dialah yang menjadikan alam ini dan Dia juga yang menjadikan kegelapan dan cahaya. Maka ini hendak menunjukkan kehebatannya. Oleh kerana Dia hebat, maka Dialah sahaja yang layak disembah.

Balaghah: Lihatlah bagaimana apabila Allah ‎ﷻ menyebut kegelapan, ia dalam sighah jamak tetapi apabila disebut cahaya, ia dalam sighah mufrad sahaja. Ini memberi isyarat bahawa kesesatan itu banyak jenis, tetapi kebenaran itu satu jenis sahaja, iaitu ikut wahyu sahaja.

Disebut kegelapan dahulu kerana gelap itu adalah yang asal. Hanya apabila ada cahaya baru kegelapan itu hilang. Maknanya, keadaan yang asal adalah gelap dan inilah yang biasa ada. Contohnya, siang terjadi apabila ada matahari; tenggelamnya matahari, maka gelaplah alam ini.

ثُمَّ الَّذِينَ كَفَرُوا

dalam pada itu, orang-orang kafir

Kalimah ثُمَّ digunakan sebagai penyambung perkataan dalam ayat ini untuk menunjukkan ‘ketakjuban’. Bayangkan betapa menghairankan sekali orang kafir itu: Allah ‎ﷻ telah menjadikan alam ini, tetapi mereka masih kufur juga – masih juga mahu menyembah selain Allah ‎ﷻ. Ini adalah sesuatu yang amat menghairankan. Tidakkah mereka menggunakan akal mereka untuk memikirkan?

Lihatlah betapa bodohnya mereka ini. Allah ‎ﷻ yang menjadikan langit dan bumi dan apa yang di antaranya tetapi mereka tidak menyembah-Nya? Mereka tidak meluangkan masa yang sedikit untuk melakukan ibadat kepada-Nya? Berapa minit sahaja dari masa kita yang banyak ini kalau kita gunakan untuk salat? Tidak banyak mana pun, tetapi itu pun manusia tidak boleh buat. Alangkah menghairankan sekali!

بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ

menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.

Mereka melakukan syirik kerana meletakkan Allah ‎ﷻ sama kedudukan dengan makhluk.

Asal kata يَعْدِلُونَ dari عدل yang bermaksud sesuatu yang ‘sama tinggi’. Jadi يَعْدِلُونَ bermaksud meletakkan dua perkara pada sama tinggi – seperti juga ‘keadilan’.

Musyrikin Mekah meletakkan makhluk sama kedudukan dengan Allah ‎ﷻ. Ini adalah satu perbuatan syirik. Sebagai contoh, mereka berdoa kepada Allah ‎ﷻ, namun berdoa juga kepada selain Allah ‎ﷻ. Ini adalah salah sama sekali. Inilah yang dinamakan syirik.

Sebagaimana orang kita juga yang meminta kepada makhluk, seperti golongan Syiah yang meminta kepada Saidina Ali, Husin dan Imam-Imam mereka yang lain; juga seperti Golongan Habib yang meminta kepada kuburan; seperti juga puak silat yang meminta kepada jin; seperti masyarakat kita yang jahil yang meminta kepada Nabi Muhammad; seperti bomoh, dukun, pawang yang meminta kepada jin syaitan dalam perubatan mereka – semua ini meminta kepada selain daripada Allah ‎ﷻ.

Mereka menyamakan kedudukan entiti-entiti itu dengan Allah ‎ﷻ. Sepatutnya tempat permintaan adalah Allah ‎ﷻ sahaja. Yang Maha Mendengar adalah Allah ‎ﷻ, tetapi apabila mereka beriktikad ada makhluk lain juga dapat mendengar seperti Allah ‎ﷻ, maka mereka melakukan syirik.

Masyarakat kita ramai yang kurang faham tentang syirik. Mereka sangka syirik itu adalah apabila ‘menyembah’ berhala, seperti orang Hindu menyembah patung berhala mereka. Tetapi, mereka tidak tahu, apabila menyamakan sifat Allah ‎ﷻ dengan makhluk juga adalah syirik.

Kita pun tahu, Allah ‎ﷻ ada 99 nama (mengikut satu pendapat). Oleh itu, sekurang-kurangnya ada 99 jenis syirik yang manusia lakukan untuk setiap nama sifat itu.

Tafsir Ayat Ke-2

Ayat Dalil lagi. Kalau ayat sebelum ini adalah mengenai alam semesta, sekarang Allah ‎ﷻ sentuh tentang alam diri kita pula.

هُوَ الَّذي خَلَقَكُم مِّن طينٍ ثُمَّ قَضىٰ أَجَلًا ۖ وَأَجَلٌ مُّسَمًّى عِندَهُ ۖ ثُمَّ أَنتُم تَمتَرونَ

Dia lah yang menciptakan kamu daripada tanah, kemudian Dia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan).

هُوَ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن طِينٍ

Dia lah yang menciptakan kamu daripada tanah liat,

Allah ‎ﷻ bukan sahaja menjadikan langit dan bumi, tetapi Allah ‎ﷻ jugalah yang telah menjadikan kita manusia. Selepas Allah ‎ﷻ menceritakan tentang penciptaan langit dan bumi, Allah ‎ﷻ menekankan dalam ayat ini, bahawa Dia lah yang telah menjadikan kita.

Dia telah menjadikan kita daripada tanah liat iaitu lumpur yang bercampur air. Yang dimaksudkan di sini adalah penciptaan Nabi Adam عليه السلام dahulu. Kita dikatakan diciptakan juga daripada tanah kerana kita anak cucu Nabi Adam عليه السلام. Cuma bezanya, kita dijadikan daripada air mani.

Walaupun begitu, kita pun sebenarnya ada elemen tanah juga, bukan? Makanan kita daripada sumber tanah juga sebenarnya seperti tumbuhan (dan kalau binatang pun, mereka makan tumbuhan yang ditanam di tanah juga). Dan daripada makanan diproses dalam badan menjadi air mani dan air mani itulah yang kita dijadikan dengan izin dan kuasa Allah ‎ﷻ.

Tanah liat adalah sesuatu yang tiada nyawa dan tidak boleh membuat apa-apa. Jika kita ambil tanah liat dan kita bentukkan menjadi sesuatu, ia juga tidak akan bernyawa dan bergerak. Jadi ini menunjukkan kuasa Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻlah memberi nyawa itu. Bukanlah kehebatan itu pada tanah liat itu tetapi pada Allah ‎ﷻ.

Ayat ini juga mengingatkan kita kepada asal kejadian kita – daripada tanah yang hina. Kadang-kadang kita sangka kita sudah berjaya, kita orang besar, maka kita jadi sombong. Padahal asal kita semuanya sama sahaja, daripada sesuatu yang kotor dan lemah yang tidak ada nilai apa-apa. Kejayaan yang kita dapat itu sebenarnya daripada Allah ‎ﷻ.

ثُمَّ قَضَىٰ أَجَلًا

kemudian Dia tentukan ajal (kematian kamu)

Kalimah قَضَىٰ bermaksud ‘penentuan yang terakhir’ di mana selepas itu akan dijalankan apa yang telah ditetapkan. Atas sebab itu hakim dalam bahasa Arab dipanggil qadhi kerana keputusan yang diberikannya adalah keputusan yang terakhir dan akan dijalankan berdasarkan apa yang dia telah tetapkan. Tiada yang boleh menolak keputusannya.

Kalimah أَجَلًا adalah satu tempoh masa dari sekarang sampai kepada masa yang telah ditetapkan. Jadi أَجَلًا adalah umur seseorang dari lahir sehingga matinya. Setiap orang telah ditentukan ajalnya, setiap orang telah ditentukan had umurnya. Apabila sampai masa, apabila sudah habis ajalnya, dia akan diambil nyawanya.

Ayat ini dimulakan dengan menceritakan kejadian kita daripada tanah. Kemudian disebut kita akan dimatikan apabila sudah habis ajal kita. Dia jadikan kita daripada tanah dan akan mengembalikan kita kepada tanah juga. Ini semua orang tahu yang mereka akan mati akhirnya.

Allah ‎ﷻ yang menentukan bila kita akan mati. Pelbagai jenis cara kita mati. Tidak sama umur seseorang dengan orang yang lain. Ada yang pendek umurnya dan ada yang panjang umurnya. Itu semua adalah dalam قَضَىٰ Nya. Tidak akan terjadi lebih awal atau terlambat. Maka kalau kita hendak mengambil nyawa kita sendiri, atau hendak ambil nyawa orang lain, namun jika Allah‎ ﷻ belum قَضَىٰ lagi masa untuk dia mati, maka tidak habis ajal orang itu.

Kadang-kadang kita dengar seseorang yang mengalami kemalangan yang amat teruk sekali tetapi dia tidak mati lagi. Ini kerana Allah ‎ﷻ belum قَضَىٰ matinya lagi. Ada orang pula melawat orang yang sakit tenat di hospital, tetapi dia pula yang mati dahulu.

Maka, kalau seseorang itu mati, tetapi ada yang kita kata dia ‘mati awal’, dia patut tidak mati lagi, atau kita kata doktor yang buat silap dalam pembedahan dan sebagainya, itu adalah salah faham kerana Allah ‎ﷻlah yang menetapkan yang seseorang itu akan mati waktu itu, jam itu dan saat itu.

وَأَجَلٌ مُّسَمًّى عِندَهُ

dan satu ajal lagi yang tertentu di sisi-Nya;

Ini pula adalah ‘ajal’ yang kedua. Sebagaimana diri kita ini akan mati akhirnya, maka alam semesta juga akan sampai masanya, mati juga. Allah‎ ﷻ telah tentukan bilakah alam ini akan dihancurkan.

Kalimah مُّسَمًّى bermaksud sesuatu ‘yang telah diberi banyak nama’. Yang ‘dikenali dengan banyak nama’. Yang dimaksudkan adalah hari kiamat. Kita pun tahu yang Kiamat itu ada banyak nama.

Telah ‘diketahui yang ia akan tiba’ tetapi tidak diketahui ‘bilakah’ ia akan terjadi. Tidak ada sesiapa pun yang tahu bilakah akan terjadinya Hari Kiamat itu, melainkan Allah ‎ﷻ sahaja. Tidak akan ada yang tahu sampai bila-bila. Oleh itu, buang masa sahaja mengagak bilakah hari Kiamat itu.

Para saintis ada yang suka sangat mengkaji bilakah alam ini akan hancur. Ada juga ahli-ahli agama yang buat andaian bilakah ia akan terjadi. Yang menyedihkan, ada juga orang Islam yang kononnya ustaz yang cuba beri agakan bilakah ia akan terjadi, alangkah bodohnya mereka.

Yang sepatutnya kita lakukan adalah taat kepada Allah ‎ﷻ dan melakukan ibadat untuk menyediakan diri kita untuk hari itu. Bukannya sibuk mencari bilakah ia akan terjadi.

Dikatakan ayat ini merujuk kepada ‘hari kiamat’ kerana ada perkataan عِندَهُ (di sisi-Nya) itu. Kerana pengetahuan tentang bila terjadinya kiamat itu hanya ada pada Allah ‎ﷻ. Seperti yang Allah‎ ﷻ firman dalam [ Al-Mulk: 26 ]:

قُلْ إِنَّمَا الْعِلْمُ عِندَ اللهِ وَإِنَّمَا أَنَا نَذِيرٌ مُّبِينٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata”.

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu bilakah terjadinya kiamat itu. Dalam Sahih Bukhari, ada dimasukkan satu hadith yang menyentuh perkara ini. Iaitu dalam satu hadith yang terkenal sebagai ‘Hadith Jibril’:

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ أَخْبَرَنَا أَبُو حَيَّانَ التَّيْمِيُّ عَنْ أَبِي زُرْعَةَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ {كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَارِزًا يَوْمًا لِلنَّاسِ فَأَتَاهُ جِبْرِيلُ فَقَالَ مَا الإِيمَانُ ؟ قَالَ الإِيمَانُ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَبِلِقَائِهِ وَرُسُلِهِ وَتُؤْمِنَ بِالْبَعْثِ . قَالَ مَا الإِسْلامُ ؟ قَالَ الإِسْلامُ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ وَلا تُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَتُقِيمَ الصَّلاةَ وَتُؤَدِّيَ الزَّكَاةَ الْمَفْرُوضَةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ. قَالَ مَا الإِحْسَانُ؟ قَالَ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ. قَالَ مَتَى السَّاعَةُ؟ قَالَ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ. وَسَأُخْبِرُكَ عَنْ أَشْرَاطِهَا إِذَا وَلَدَتِ الأَمَةُ رَبَّهَا , وَإِذَا تَطَاوَلَ رُعَاةُ الإِبِلِ الْبُهْمُ فِي الْبُنْيَانِ , فِي خَمْسٍ لا يَعْلَمُهُنَّ إِلاَّ اللَّهُ ثُمَّ تَلا النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ( إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ ) الآيَةَ ثُمَّ أَدْبَرَ. فَقَالَ رُدُّوهُ فَلَمْ يَرَوْا شَيْئًا فَقَالَ هَذَا جِبْرِيلُ جَاءَ يُعَلِّمُ النَّاسَ دِينَهُمْ} قَالَ أَبو عَبْد اللَّهِ جَعَلَ ذَلِك كُلَّهُ مِنَ الإِيمَانِ

Telah menceritakan kepada kami Musaddad berkata, Telah menceritakan kepada kami Isma’il bin Ibrahim telah mengkhabarkan kepada kami Abu Hayyan At Taimi daripada Abu Zur’ah daripada Abu Hurairah berkata; bahawa Nabi ﷺ pada suatu hari muncul kepada para sahabat, lalu datang Malaikat Jibril عليه السلام yang kemudian bertanya: “Apakah iman itu?” Nabi ﷺ menjawab: “Iman adalah kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, pertemuan dengan-Nya, Rasul-Rasul-Nya, dan kamu beriman kepada hari berbangkit”. (Jibril عليه السلام) berkata: “Apakah Islam itu?” Jawab Nabi ﷺ: “Islam adalah kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan suatu apapun, kamu dirikan salat, kamu tunaikan zakat yang diwajibkan, dan berpuasa di bulan Ramadhan”. (Jibril عليه السلام) berkata: “Apakah ihsan itu?” Nabi ﷺ menjawab: “Kamu menyembah Allah seolah-olah melihat-Nya dan bila kamu tidak melihat-Nya sesungguhnya Dia melihatmu”. (Jibril عليه السلام) berkata lagi: “Bilakah terjadinya hari kiamat?” Nabi ﷺ menjawab: “Yang ditanya tentang itu tidak lebih tahu daripada yang bertanya. Tetapi aku akan terangkan tanda-tandanya; (iaitu); jika seorang budak telah melahirkan tuannya, jika para penggembala unta yang berkulit hitam berlumba-lumba membangun gedung-gedung selama lima masa, yang tidak diketahui lamanya kecuali oleh Allah”. Kemudian Nabi ﷺ membaca: “Sesungguhnya hanya pada Allah pengetahuan tentang hari kiamat” (Luqman: 34). Setelah itu Jibril عليه السلام pergi, kemudian Nabi ﷺ berkata; “Hadapkan dia ke sini.” Tetapi para sahabat tidak melihat sesuatu pun, maka Nabi ﷺ bersabda; “Dia adalah Malaikat Jibril عليه السلام datang kepada manusia untuk mengajarkan agama mereka.” Abu Abdullah berkata: “Semua hal yang diterangkan Beliau ﷺ dijadikan sebagai iman.

Hadith ini diriwayatkan daripada sahabat Umar bin Al-Khathab رضي الله عنه. Hadith ini boleh didapati di kedua-dua kitab Shahihain, Sahih Bukhari dan Sahih Muslim

Daripada hadith ini, kita dapat tahu, Nabi Muhammad ﷺ sendiri tidak tahu bilakah terjadinya Kiamat, malah Malaikat Jibrail عليه السلام sendiri tidak tahu. Kalau Jibrail عليه السلام sendiri tidak tahu, apatah lagi malaikat-malaikat yang lain. Hanya Allah sahaja yang tahu.

ثُمَّ أَنتُمْ تَمْتَرُونَ

dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu

Ada banyak perkataan yang digunakan untuk membawa ‘ragu-ragu’ dalam Al-Qur’an. Dalam ayat ini, digunakan perkataan تَمْتَرُونَ.

Perkataan تَمْتَرُونَ ini adalah dari katadasar م ر ي yang bermaksud: ‘ragu-ragu tentang perkara yang jelas’. Seperti hari siang tetapi ada juga orang yang kata malam lagi. Kalau begitu, maknanya dia ragu-ragu sangat dan ia adalah keraguan yang tidak patut.

Hari kiamat adalah pasti. Banyak nama telah diberikan untuknya. Telah disebut terlalu banyak dalam Al-Qur’an. Secara logik pun, banyak hujah yang kuat boleh digunakan untuk menyatakan kepastian tentang hari kiamat itu.

Kita sendiri adalah dalil tentang adanya hari akhirat itu kerana dalam diri kita ada roh dan roh itu hanya akan keluar pada hari akhirat nanti.

Ragu dalam ayat ini juga bermaksud mereka ragu-ragu bahawa Allah‎ ﷻlah yang menciptakan semua sekali dalam alam ini. Orang yang buat syirik itu mereka sebenarnya ragu-ragu bahawa Allah ‎ﷻ berkuasa penuh menghidupkan dan mematikan. Mereka merasakan bahawa ada lagi entiti lain yang ada kuasa selain Allah‎ ﷻ.

Yang paling penting adalah mereka ragu-ragu tentang Hari Kebangkitan. Mereka tidak dapat terima yang apabila mereka mati dan menjadi debu, mereka akan dihidupkan kembali. Itulah sebabnya Allah ‎ﷻ telah katakan bahawa Dia telah menjadikan kita daripada tanah dalam ayat sebelum ini. Kalau Dia telah jadikan kita asalnya daripada tanah, takkan Dia tidak boleh menghidupkan kita kembali apabila kita sudah menjadi tanah?

Dalam surah Taha telah disebut tentang perkara ini, iaitu dalam [Taha:55 ]

مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَىٰ

Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.

Inilah yang menghairankan sekali kerana Musyrikin Mekah tahu dan terima bahawa Allah ‎ﷻlah yang menjadikan mereka. Tetapi apabila disebut tentang Kebangkitan Semula, mereka tidak boleh terima pula. Ini kerana mereka takut jika mereka terima Hari Kebangkitan, bermakna mereka kena jawab segala kesalahan yang telah mereka lakukan.

Perkataan م ري juga bermaksud ‘berbalah’. Mereka Musyrikin Mekah itu berbalah sesama mereka tentang kejadian Hari Kebangkitan. Ada yang kata ada Hari Kebangkitan dan ramai yang kata tidak ada Hari Kebangkitan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan