Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-112
Ini kisah turunnya Maidah (makanan dari langit). Daripada nama inilah diambil nama surah ini.
إِذ قالَ الحَوارِيّونَ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ هَل يَستَطيعُ رَبُّكَ أَن يُنَزِّلَ عَلَينا مائِدَةً مِّنَ السَّماءِ ۖ قالَ اتَّقُوا اللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ
(Ingatlah), ketika pengikut-pengikut Isa berkata: “Hai Isa putera Maryam, bolehkah Tuhanmu menurunkan hidangan dari langit kepada kami?”. Isa menjawab: “Bertakwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang yang beriman”.
إِذ قالَ الحَوارِيّونَ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ
(Ingatlah), ketika pengikut-pengikut Isa berkata: “Hai Isa putera Maryam,
Ini adalah satu permintaan golongan Hawariyyuun kepada Nabi Isa عليه السلام. Sekarang kita akan belajar tentang maksud ‘maidah’. Sebahagian para imam ada yang menyebutkan bahawa kisah hidangan ini tidak disebutkan di dalam kitab Injil, dan orang-orang Nasrani tidak mengetahuinya kecuali melalui kaum Muslim.
هَل يَستَطيعُ رَبُّكَ أَن يُنَزِّلَ عَلَينا مائِدَةً مِّنَ السَّماءِ
bolehkah Tuhanmu menurunkan hidangan dari langit kepada kami?
Seolah-olah mereka berkata: “Bolehkah sekarang ini, Tuhan turunkan kepada kami hidangan yang lengkap dari langit? Kalau di akhirat, kami tahu yang ahli syurga memang akan dapat makanan yang lazat, tetapi kalau sekarang, bagaimana? Boleh tidak Allah turunkan untuk kami?”
Ini adalah satu permintaan yang pelik. Beberapa ayat sebelum ini, Allah ﷻ telah menegur tentang permintaan tidak berfaedah daripada umat kepada Rasul mereka. Sekarang ada permintaan seperti ini pula.
Tentu sahaja Allah ﷻ mampu menurunkan hidangan itu. Ini tidak dapat disangkal lagi. Kita pun tahu yang Maryam رضي الله عنها pernah diberi makan dengan makanan terus daripada Allah ﷻ seperti yang disebut dalam surah Ali Imran. Maka ada yang mentafsirkan ayat ini: “Sanggupkah engkau (Nabi Isa) minta kepada Allah?”.
قالَ اتَّقُوا اللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ
Isa menjawab: “Bertaqwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang yang beriman”.
Nabi Isa عليه السلام memberi jawapan balas kepada permintaan mereka begini: “Takutlah kepada Tuhan, kenapa nak minta begitu? Kamu pun tahu yang benda itu akan dapat di akhirat kelak, kenapa minta sekarang? Hendaklah kamu takut kepada Allah, hendak minta pun kena fikir-fikirlah. Kalau kamu minta taqwa, moleklah. Tetapi permintaan kamu ini tidak patut. Kalau kamu beriman dengan Allah, benda sebegini tidak patut kamu minta”.
Jika Allah ﷻ turunkan perkara seperti ini, ia adalah satu mukjizat. Dan amat bahaya kalau minta mukjizat daripada Allah ﷻ dan Allah ﷻ memberikannya, tetapi mereka menolak kebenaran juga selepas itu, dan ia akan menyebabkan azab diberikan terus kepada mereka.
Nabi Isa عليه السلام mengingatkan begitu kerana ramai yang sudah meminta mukjizat sebelum itu tetapi setelah diberi mukjizat mereka tetap tolak juga untuk beriman, maka azab yang amat berat telah diberikan kepada mereka. Nabi Isa عليه السلام adalah Nabi terakhir daripada Bani Israel dan telah banyak kisah-kisah tentang permintaan daripada umat-umat yang terdahulu yang telah menolak kebenaran walaupun mereka telah ditunjukkan dengan pelbagai mukjizat. Mereka pun tahu kisah itu semua, jadi kenapa minta lagi?
Tafsir Ayat Ke-113
Ini adalah jawapan mereka kenapa mereka mahukan hidangan dari langit itu. Ada tiga alasan yang diberikan.
قالوا نُريدُ أَن نَّأكُلَ مِنها وَتَطمَئِنَّ قُلوبُنا وَنَعلَمَ أَن قَد صَدَقتَنا وَنَكونَ عَلَيها مِنَ الشّٰهِدينَ
Mereka berkata: “Kami ingin memakan hidangan itu dan supaya tenteram hati kami dan supaya kami yakin bahawa kamu telah berkata benar kepada kami, dan kami menjadi orang-orang yang menyaksikan”.
قالوا نُريدُ أَن نَّأكُلَ مِنها
Mereka berkata: “Kami ingin memakan hidangan itu
Seolah-olah mereka berkata: “Kerana kami mahu makan hidangan dari langit sebelum ke syurga. Memanglah di syurga nanti kami akan dapat makanan itu, tetapi kami hendak rasa semasa kami di dunia ini lagi.”
Sebahagian ulama’ mengatakan, sesungguhnya mereka meminta hidangan ini kerana mereka sangat memerlukannya dan kerana kemiskinan mereka. Lalu mereka meminta kepada nabi mereka agar menurunkan hidangan dari langit setiap harinya untuk makanan mereka hingga mereka kuat menjalankan ibadahnya.
وَتَطمَئِنَّ قُلوبُنا
dan supaya tenteram hati kami
Yang kedua, mereka kata supaya hati mereka menjadi tenang. Maka tenang dan teguh iman mereka kerana setelah mendengar segala dakwah dan ajaran daripada Nabi Isa عليه السلام, mereka dapat melihat pula mukjizat di hadapan mata mereka, supaya bertambah keyakinan.
Ini sama seperti permintaan Nabi Ibrahim عليه السلام kepada Allah ﷻ untuk melihat bagaimana Allah ﷻ menghidupkan yang telah mati, seperti yang disebut dalam [ Baqarah: 260 ].
Jadi nampaknya tujuan mereka itu baik iaitu untuk mengukuhkan iman. Zaman sekarang, tidak adalah kelebihan sebegini. Iman kita hendaklah dikukuhkan dengan ilmu. Dan mungkin kadang-kadang Allah ﷻ menunjukkan kekuasaan-Nya kepada kita dengan perkara-perkara yang ajaib, tetapi tidak semua orang akan dapat. Maka kita jangan tunggu perkara sebegitu. Iman kita hendaklah dinaikkan dan diteguhkan dengan ilmu berlandaskan wahyu.
وَنَعلَمَ أَن قَد صَدَقتَنا
dan supaya kami yakin bahawa kamu telah berkata benar kepada kami,
Dan mereka meminta hidangan itu supaya mereka menjadi benar-benar yakin yang Nabi Isa عليه السلام itu benar dalam dakwaan baginda sebagai rasul dan benar yang baginda sampaikan adalah wahyu.
وَنَكونَ عَلَيها مِنَ الشّٰهِدينَ
dan kami menjadi orang-orang yang menyaksikan
Dan supaya mereka semua yang telah jadi pengikut Nabi Isa عليه السلام itu dapat menjadi saksi bagi orang lain, bahawa inilah Nabi Isa عليه السلام yang dapat menurunkan hidangan dari langit dengan doanya. Mereka yang akan menjadi saksi kepada orang lain. Mereka akan sampaikan kepada umat yang lain.
Tafsir Ayat Ke-114
Setelah mendengar alasan-alasan mereka, maka Nabi Isa عليه السلام telah berdoa juga kepada Allah ﷻ.
قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ اللَّهُمَّ رَبَّنا أَنزِل عَلَينا مائِدَةً مِّنَ السَّماءِ تَكونُ لَنا عيدًا لِّأَوَّلِنا وَءآخِرِنا وَءآيَةً مِّنكَ ۖ وَارزُقنا وَأَنتَ خَيرُ الرّٰزِقينَ
Isa putera Maryam berdoa: “Ya Tuhan kami, turunkanlah kepada kami suatu hidangan dari langit supaya menjadi hari raya bagi kami iaitu orang-orang yang bersama kami dan yang datang sesudah kami, dan menjadi tanda bagi kekuasaan Engkau; beri rezekilah kepada kami, dan Engkaulah pemberi rezeki Yang Paling Utama”.
قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ اللَّهُمَّ رَبَّنا أَنزِل عَلَينا مائِدَةً مِّنَ السَّماءِ
Isa putera Maryam berdoa: “Ya Tuhan kami, turunkanlah kepada kami suatu hidangan dari langit
Dalam ayat ini, antara lain, Allah ﷻ hendak sabitkan yang Nabi Isa عليه السلام itu bukan tuhan kerana jika baginda itu tuhan, kenapa baginda perlu berdoa kepada Allah ﷻ pula, kenapa tidak dibawa sendiri sahaja hidangan itu?
‘Maidah’ itu bermaksud hidangan yang lengkap dari langit.
تَكونُ لَنا عيدًا لِّأَوَّلِنا وَءآخِرِنا
akan menjadi hari raya bagi kami iaitu orang-orang yang bersama kami dan yang datang sesudah kami,
Supaya hidangan itu menjadi nikmat untuk mereka bergembira bagi orang pada zaman mereka dan nikmat untuk diketahui oleh orang-orang selepas mereka. Maka kerana ia peristiwa penting, maka boleh diperingati sebagai salah satu dari hari raya mereka (eid).
Inilah kisah yang selalu kita dengar dan lihat gambarnya dalam filem – The Last Supper.
وَءآيَةً مِّنكَ
dan menjadi tanda bagi kekuasaan Engkau;
Dan sebagai satu bukti daripada Allah ﷻ, iaitu Allah ﷻlah sahaja yang boleh memberikan hidangan seperti ini dan yang memintanya tentulah seorang Nabi yang benar. Ia juga bertujuan agar manusia percaya kepada Allah ﷻ dan kepada baginda.
وَارزُقنا وَأَنتَ خَيرُ الرّٰزِقينَ
dan beri rezekilah kepada kami, dan Engkaulah pemberi rezeki Yang Paling Utama
Dan akhir sekali doa Nabi Isa عليه السلام itu adalah memohon rezeki daripada Allah ﷻ. Kemudian baginda memuji Allah ﷻ kerana jika bukan Allah ﷻ yang berikan, tentu tidak ada rezeki langsung. Allah ﷻlah yang sebaik-baik pemberi rezeki. Tidak ada lagi selain Allah ﷻ yang boleh memberi rezeki. Maka ini adalah salah satu daripada adab dalam berdoa. Hendaklah memuji Allah ﷻ dalam doa kita.
Soalan: bolehkah amalkan doa ini? Ada juga yang bertanya sebegini.
Memang secara umum doa-doa di dalam Al-Qur’an adalah yang terbaik. Akan tetapi kena tengok juga konteks ayat itu. Setelah kita belajar maksud surah ini, tahulah kita kisah penurunan surah ini. Maka ini adalah permintaan khusus daripada Nabi Isa عليه السلام di atas permintaan umat baginda. Dan yang diminta adalah makanan yang turun terus dari langit. Terus siap boleh dimakan. Maka ia adalah mukjizat dan kita manusia biasa memang tidak akan dapat mukjizat seperti ini.
Tafsir Ayat Ke-115
Ini adalah jawapan daripada Allah ﷻ kepada doa Nabi Isa عليه السلام itu.
قالَ اللَّهُ إِنّي مُنَزِّلُها عَلَيكُم ۖ فَمَن يَكفُر بَعدُ مِنكُم فَإِنّي أُعَذِّبُهُ عَذابًا لّا أُعَذِّبُهُ أَحَدًا مِّنَ العٰلَمينَ
Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu kepadamu, barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah (turun hidangan itu), maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan seksaan yang tidak pernah Aku timpakan kepada seorang pun di antara umat manusia”.
قالَ اللَّهُ إِنّي مُنَزِّلُها عَلَيكُم
Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu kepadamu,
Lafaz مُنَزِّلُ bermaksud Allah ﷻ boleh bawa turun selalu hidangan dari langit, bukan sekali sahaja tetapi banyak kali pun boleh. Ia bukanlah susah untuk Allah ﷻ. Juga bermaksud: Allah ﷻ pasti akan turunkan hidangan itu.
فَمَن يَكفُر بَعدُ مِنكُم فَإِنّي أُعَذِّبُهُ عَذابًا لّا أُعَذِّبُهُ أَحَدًا مِّنَ العٰلَمينَ
barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah (turun hidangan itu), maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan seksaan yang tidak pernah Aku timpakan kepada seorang pun di antara umat manusia
Tetapi Allah ﷻ beri peringatan. Jangan main-main dan kena fikirkan balik. Jika Allah ﷻ sudah bawa turun makanan itu dan ada juga yang menolak agama selepas itu, mereka akan diberikan dengan azab yang amat berat. Akan diberikan seksaan dengan sejenis azab yang Allah ﷻ tidak pernah azab seperti itu terhadap penduduk alam yang lain.
Maknanya, azab yang amat-amat berat, bukan azab yang biasa. Azab yang biasa pun sudah teruk, tetapi Allah ﷻ menggunakan lafaz yang amat menakutkan sekali. Dia sendiri yang akan seksa! Maka ini azab yang lain daripada biasa, kerana selalunya yang akan beri seksaan itu adalah malaikat.
Jadi, ada peringatan dalam ayat ini supaya jangan minta perkara yang akan menyusahkan diri sendiri. Azab itu tidak disebut pun, tetapi Dia cuma kata Dia sendiri yang akan seksa. Dia boleh beri, tetapi ada ancaman dalam pemberian itu.
Para ulama’ tafsir khilaf tentang penurunan maidah ini. Ada yang kata memang Allah ﷻ bawa turun hidangan itu dan ada juga yang kata Allah ﷻ tidak bawa turun pun. Ini kerana mereka takut dengan syarat ketat yang Allah ﷻ telah berikan, maka tidak jadi diturunkan. Allahu a’lam. Pendapat jumhur mengatakan, memang bawa turun sungguh. Ada yang mengatakan ia diturunkan pada pagi atau petang hari Ahad, maka kerana itu Ahad menjadi hari yang mulia bagi Kristian.
Namun selepas itu ada yang menerima kebenaran dan ada juga yang ingkar. Dan sesiapa yang ingkar itu terus menjadi khinzir semasa di dunia lagi kerana mereka yang minta diturunkan makanan dari langit, tetapi kemudian mereka bertanya pelbagai perkara pula: dari mana datangnya dari langitkah atau dari dunia, betulkah Allah ﷻ yang menurunkannya dan sebagainya. Allahu a’lam.
Ibnu Jarir telah meriwayatkan melalui jalur Auf Al-A’rabi, daripada Abul Mugirah Al-Qawwas, daripada Abdullah ibnu Amr yang mengatakan bahawa manusia yang paling keras azabnya kelak di hari kiamat ada tiga jenis, iaitu orang-orang munafik, orang-orang yang kafir dalam kalangan mereka yang menerima hidangan dari langit, dan Fir’aun berserta para pendukungnya.
Ada banyak kisah tentang makanan ini tetapi kerana tidak dapat dipastikan kesahihannya lagi, maka tidak dimasukkan ke dalam penulisan ini. Ada menyebut mereka minta setelah mereka disuruh berpuasa, maka mereka minta ‘hadiah’ selepas 30 hari berpuasa; ada yang menyebut tentang jenis-jenis makanan; ada yang menyebut tentang kesan hebat selepas memakan makanan itu; ada yang menyebut berapa ramai yang makan sampai 4 ribu orang; ada yang menyebut hal-hal yang terjadi selepas makanan itu diturunkan.
Tafsir Ayat Ke-116
Ini adalah ayat jenis i’adah: pengulangan semula, kembali memperkatakan tajuk asal yang pernah disebut sebelum ini: kenapa ramai makhluk memuja Nabi Isa عليه السلام.
وَإِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ ءأَنتَ قُلتَ لِلنّاسِ اتَّخِذوني وَأُمِّيَ إِلٰهَينِ مِن دونِ اللَّهِ ۖ قالَ سُبحٰنَكَ ما يَكونُ لي أَن أَقولَ ما لَيسَ لي بِحَقٍّ ۚ إِن كُنتُ قُلتُهُ فَقَد عَلِمتَهُ ۚ تَعلَمُ ما في نَفسي وَلا أَعلَمُ ما في نَفسِكَ ۚ إِنَّكَ أَنتَ عَلّٰمُ الغُيوبِ
Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Hai Isa putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia: “Jadikanlah aku dan ibuku dua orang ilah selain Allah?”. Isa menjawab: “Maha Suci Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya). Jika aku pernah mengatakan, maka tentulah Engkau mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui perkara yang ghaib-ghaib”.
وَإِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ
Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Hai Isa putera Maryam,
Oleh kerana Nabi Isa عليه السلام adalah ilah (yang dilantik manusia) yang paling banyak dipuja kalau dibandingkan dengan nabi-nabi lain, maka Allah ﷻ menceritakan tentang Nabi Isa عليه السلام panjang sedikit. Allah ﷻ menceritakan soalan yang akan ditanyakan kepada baginda di akhirat kelak.
ءأَنتَ قُلتَ لِلنّاسِ اتَّخِذوني وَأُمِّيَ إِلٰهَينِ مِن دونِ اللَّهِ ۖ
adakah engkau mengatakan kepada manusia: “Jadikanlah aku dan ibuku dua ilah selain Allah?
Soalan Allah ﷻ: adakah kamu telah ajar kepada orang ramai untuk menjadikan dirimu dan ibumu sebagai ilah selain Allah ﷻ? Adakah kamu ajar begitu kerana ramai pengikut Kristian sekarang ini…. wahai penganut Kristian, bacalah ayat ini betul-betul. Kamu sekarang yang menjadikan Nabi Isa عليه السلام dan ibunya Maryam عليه السلام sebagai pujaan bukan?
Soalan ini akan Allah ﷻ tanyakan di hadapan mereka yang telah menjadikan Nabi Isa عليه السلام dan ibunya Maryam رضي الله عنها sebagai sembahan ilah.
قالَ سُبحٰنَكَ
Isa menjawab: “Maha Suci Engkau,
Jawapan Nabi Isa عليه السلام: Maha Suci Engkau daripada ada ilah selain Engkau. Kalimah tasbih adalah menolak syirik. Maka Nabi Isa عليه السلام sendiri membersihkan fahaman yang salah itu. Memang tidak ada dalam fahaman baginda adanya ilah yang lain selain Allah ﷻ.
Lihatlah bagaimana Nabi Isa عليه السلام sendiri tidak mengaku sebagai tuhan. Jadi kenapa umat Kristian senang sahaja mengaku baginda sebagai tuhan?
ما يَكونُ لي أَن أَقولَ ما لَيسَ لي بِحَقٍّ
tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku
Sambung Nabi Isa عليه السلام lagi dalam jawapan baginda: tidaklah layak untuk aku bercakap yang bukan hak aku. Aku tidak ada hak berkata begitu.
Nabi Isa عليه السلام tidak akan membuat benda yang salah dari segi agama. Baginda tidak pernah suruh dan tidak pernah kata sesiapa pun boleh puja baginda sebagai ilah. Yang menjadi masalah adalah umat manusia yang salah faham dan tidak menjauhkan diri daripada syirik.
إِن كُنتُ قُلتُهُ فَقَد عَلِمتَهُ
Jika aku pernah mengatakan, maka tentulah Engkau mengetahuinya.
Nabi Isa عليه السلام sambung: kalau aku pernah cakap begitu dahulu, tentu Kamu pun tahu. Kamu tahu setiap kalimah yang aku sebutkan.
Jadi ayat ini bukanlah bermakna Allah ﷻ tidak tahu. Allah ﷻ memang tahu apa yang terjadi. Tetapi kerana Allah ﷻ hendak mengajar dan menegur golongan yang menjadikan baginda sebagai ilah.
تَعلَمُ ما في نَفسي
Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku
Nabi Isa عليه السلام menyebut bahawa tentu Allah ﷻ mengetahui apa yang ada dalam hati baginda. Segala-galanya tentang baginda, Allah ﷻ tentu tahu.
وَلا أَعلَمُ ما في نَفسِكَ
dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau.
Dan baginda mengaku yang baginda tidak tahu apa yang ada pada Allah ﷻ. Dalam ayat ini, baginda membezakan diri baginda daripada Allah ﷻ. Tidaklah baginda satu daripada tiga – triniti. Amat sesat sekali apa yang difahami oleh orang Kristian sekarang.
إِنَّكَ أَنتَ عَلّٰمُ الغُيوبِ
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui perkara yang ghaib-ghaib
Sekarang diberikan satu penekanan yang amat penting: Allah ﷻ sahaja yang mengetahui segala perkara yang ghaib. Manusia lain, termasuk para Nabi, termasuk Nabi Isa عليه السلام, tidak tahu alam ghaib melainkan apa yang Allah ﷻ khabarkan sahaja.
Inilah akidah yang kita kena pegang. Yang tahu ilmu ghaib hanyalah Allah ﷻ sahaja. Tidak ada makhluk lain yang tahu. Maka jangan kita buat syirik dengan mengatakan ada makhluk yang tahu ilmu ghaib, sama ada jin, malaikat, manusia seperti Nabi, wali, guru, ustaz dan sesiapa sahaja. Memang ada salah faham begini dalam kalangan masyarakat Muslim, maka kena tolak fahaman yang sebegini.
Allahu a’lam.