Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-109 hingga Ke-111

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-109 hingga Ke-111

320
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah

Tafsir Ayat Ke-109 hingga Ke-111

Tafsir Ayat Ke-109

Ini berkenaan dengan hal Nabi Isa عليه السلام . Surah ini sudah hampir sampai ke penghujung. Allah ‎ﷻ sebut tentang Nabi Isa عليه السلام  dan agama Kristian kerana ia adalah agama yang terbesar dalam dunia sekarang ini dan ia adalah agama yang paling popular.

Sebelum kepada bab itu, sekarang diceritakan soalan yang Allah tanya kepada semua Rasul. Allah ‎ﷻ keadaan di akhirat kelak. Ini adalah stail Al-Qur’an di mana setelah diberitahu bab-bab hukum, akan diberikan peringatan tentang akhirat kerana orang yang ingat tentang akhirat sahaja yang boleh taat dan ikut kepada hukum yang telah diberikan.

۞ يَومَ يَجمَعُ اللَّهُ الرُّسُلَ فَيَقولُ ماذا أُجِبتُم ۖ قالوا لا عِلمَ لَنا ۖ إِنَّكَ أَنتَ عَلّٰمُ الغُيوبِ

(Ingatlah), hari di waktu Allah mengumpulkan para Rasul lalu Allah bertanya (kepada mereka): “Apa jawapan kaummu terhadap (seruan)mu?”. Para Rasul menjawab: “Tidak ada pengetahuan kami (tentang itu); sesungguhnya Engkau-lah yang mengetahui perkara yang ghaib”.

يَومَ يَجمَعُ اللَّهُ الرُّسُلَ فَيَقولُ ماذا أُجِبتُم

(Ingatlah), hari di waktu Allah mengumpulkan para rasul lalu Allah bertanya (kepada mereka): “Apa jawapan kaummu terhadap (seruan)mu?”.

Allah ﷻ menceritakan kepada kita, kejadian di Mahsyar nanti. Waktu itu akan dikumpulkan semua Rasul yang telah dipilih. Hari Mahsyar itu nanti semua makhluk akan dikumpulkan. Akan tetapi dalam ayat ini Allah ﷻ menceritakan tentang Rasul yang dikumpulkan. Ini menakutkan kerana dalam perhimpunan itu, mereka yang ditanya dahulu.

Waktu itu akan ditanya mereka: apa yang disambut oleh kaum kamu? Apa sambutan mereka terhadap dakwah kamu? Kamu telah sampaikan kepada umat kamu, tetapi apa jawapan mereka? Apa yang mereka buat?

Dalam ini adalah soalan penting yang hendak ditanya: mereka terima atau tidak? Maka semua manusia tidak akan terlepas kerana mereka akan ditanya sama ada mereka taat atau tidak kepada ajaran Rasul mereka. Jadi walaupun yang ditanya adalah para Rasul, namun  sebenarnya soalan itu tentang umat mereka. Jadi ia adalah tentang ‘kita’ sebenarnya.

Ini adalah tempelak kepada manusia yang berharap sangat kepada syafaat daripada Rasul mereka. Syarat untuk dapat syafaat mestilah ikut apa yang diajar oleh Rasul mereka. Soalannya, adakah mereka ikut?

قالوا لا عِلمَ لَنا

Para rasul menjawab: “Tidak ada pengetahuan kami (tentang itu);

Para Rasul itu akan jawab lebih kurang maksudnya begini: [tidak ada ilmu kepada kami. Kami tidak tahu umat kami terima atau tidak selepas kami tiada.] Ini benar kerana selepas para Rasul wafat, mereka tidak ada hubungan lagi dengan dunia. Akidah yang kata Nabi masih ada di kalangan kita adalah tidak benar.

Selain itu, ada juga tafsiran kedua, dan ini adalah penjelasan daripada Imam Razi kerana timbul persoalan: takkan para Rasul itu tidak tahu siapa yang beriman di antara mereka dulu semasa mereka hidup? Imam Razi menjelaskan ilmu pengetahuan ada dua: ilm dan zann (agak sahaja). Mungkin ada yang duduk dalam kalangan para Rasul itu dan mengaku beriman, tetapi belum pasti lagi kerana mereka mungkin munafik.

Maka, para Rasul itu mengatakan lebih kurang begini: [tidak ada ilmu pada kami kecuali apa yang kami tahu jawapan mereka semasa hidup kami bersama mereka. Kami hanya boleh tahu perbuatan zahir mereka sahaja. Kami tidak tahu apa yang mereka kata di dalam hati mereka.

Apa yang dikehendaki adalah umat itu kena terima dengan mulut dan juga dengan hati namun, hati mereka para Rasul itu tidak tahu apa isinya. Yang tidak terima memang sudah jelas kerana mereka ada yang buat tidak tahu sahaja dan ada yang menentang.

Maka, oleh itu para Rasul menjawab: mereka tidak tahu kerana Allah ﷻ yang tahu hal ghaib yang dalam hati mereka. Mereka sekadar sampaikan sahaja sama ada kaum mereka benar terima atau tidak, mereka tidak tahu. Itulah jawapan mereka kepada Allah ﷻ. Ini menjadi dalil bahawa Rasul tidak ada ilmu ghaib sampai dapat mengetahui apa yang dalam hati manusia. Kalau Nabi pun tidak tahu, apatah lagi manusia biasa.

إِنَّكَ أَنتَ عَلّٰمُ الغُيوبِ

sesungguhnya Engkau-lah yang mengetahui perkara yang ghaib

Mereka mengaku yang mereka memang tidak tahu kerana mereka manusia sahaja. Maknanya, mereka tidak tahu perkara ghaib. Yang tahu segala-galanya adalah Allah ﷻ sahaja.

Maka, ini juga menolak fahaman golongan yang kata Nabi Muhammad  ﷺ tahu perkara ghaib. Itu adalah jauh dari kebenaran kerana dalam ayat ini sendiri menjelaskan yang para Nabi itu semua mengaku yang mereka tidak ada ilmu ghaib.

Semua Nabi dan rasul akan jawab begitu. Dan ada lagi soal jawab selepas ini kerana selepas itu nanti puak yang menolak kebenaran akan berkata bahawa para Nabi tidak sampaikan pun dakwah dan ilmu kepada mereka. Ini disebut dalam ayat-ayat yang lain. Ini bermakna mereka sudahlah telah berbohong di dunia dan sekarang, mereka hendak berbohong pula di akhirat.

Apabila umat kata begitu, Allah ﷻ tanya para Nabi apakah dalil yang mereka telah sampaikan dakwah tauhid kepada umat, para Rasul itu akan kata umat Nabi Muhammad ﷺ yang jadi saksi atas mereka.

Eh, bagaimana pula umat Nabi Muhammad ﷺ  jadi saksi  sedangkan kita tidak hidup di kalangan mereka? Kita sebagai umat Nabi Muhammad  ﷺ boleh jadi saksi kerana semua perkara itu disebut dalam Al-Qur’an iaitu mereka yang belajar Al-Qur’an sahaja yang dapat memberikan persaksian itu kerana dalam Al-Qur’an telah disebut yang para Nabi umat dahulu telah sampaikan segala wahyu kepada umat mereka.

Tafsir Ayat Ke-110

Dalam ramai-ramai Nabi yang ditanya, paling banyak ditanya adalah Nabi Isa عليه السلام Ini adalah kerana umat baginda yang banyak sesat menggunakan nama baginda. Amat ramai yang seru baginda dan jadikan baginda sebagai tuhan.

إِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ اذكُر نِعمَتي عَلَيكَ وَعَلىٰ وٰلِدَتِكَ إِذ أَيَّدتُّكَ بِروحِ القُدُسِ تُكَلِّمُ النّاسَ فِي المَهدِ وَكَهلًا ۖ وَإِذ عَلَّمتُكَ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ وَالتَّورىٰةَ وَالإِنجيلَ ۖ وَإِذ تَخلُقُ مِنَ الطّينِ كَهَيئَةِ الطَّيرِ بِإِذني فَتَنفُخُ فيها فَتَكونُ طَيرًا بِإِذني ۖ وَتُبرِئُ الأَكمَهَ وَالأَبرَصَ بِإِذني ۖ وَإِذ تُخرِجُ المَوتىٰ بِإِذني ۖ وَإِذ كَفَفتُ بَني إِسرٰءيلَ عَنكَ إِذ جِئتَهُم بِالبَيِّنٰتِ فَقالَ الَّذينَ كَفَروا مِنهُم إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّبينٌ

(Ingatlah), ketika Allah mengatakan: “Hai Isa putra Maryam, ingatlah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu di waktu Aku menguatkan kamu dengan ruhul qudus. Kamu dapat berbicara dengan manusia di waktu masih dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) di waktu Aku mengajar kamu menulis, hikmah, Taurat dan Injil, dan (ingatlah pula) di waktu kamu membentuk dari tanah (suatu bentuk) yang berupa burung dengan izin-Ku, kemudian kamu meniup kepadanya, lalu bentuk itu menjadi burung (yang sebenarnya) dengan seizin-Ku. Dan (ingatlah) di waktu kamu menyembuhkan orang yang buta sejak dalam kandungan ibu dan orang yang berpenyakit sopak dengan seizin-Ku, dan (ingatlah) di waktu kamu mengeluarkan orang mati dari kubur (menjadi hidup) dengan seizin-Ku, dan (ingatlah) di waktu Aku menghalangi Bani Israil (dari keinginan mereka membunuh kamu) di kala kamu mengemukakan kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, lalu orang-orang kafir diantara mereka berkata: “Ini tidak lain melainkan sihir yang nyata”.

إِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ

(Ingatlah), ketika Allah mengatakan: “Hai Isa putra Maryam,

Oleh itu, semua yang dijadikan sebagai sembahan akan ditanya. tetapi disebut kisah Nabi Isa عليه السلام contoh.

اذكُر نِعمَتي عَلَيكَ وَعَلىٰ وٰلِدَتِكَ

ingatlah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu

Allah ﷻ kefahaman salah tentang Nabi Isa عليه السلام yang banyak terjadi, dari dulu sampai sekarang, apabila manusia terlalu angkat kedudukan baginda sampaikan ke tahap yang tidak sepatutnya.

Bukan Nabi Isa عليه السلام sahaja yang diangkat terlalu tinggi melebihi kedudukan sebagai manusia, tetapi ibunya Maryam عليه السلام juga telah diangkat terlalu tinggi sehinggakan ada yang menjadikan Maryam عليه السلام sebagai salah satu dari triniti (Tiga Tuhan dalam Satu, iaitu fahaman sesat Kristian).

Ini adalah titah Allah ﷻ kepada Nabi Isa عليه السلام di akhirat kelak. Tetapi sekarang kita yang membacanya. Oleh itu, Allah ﷻ suruh manusia tolong ingat nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada Nabi Isa dan kepada ibu baginda. Antara nikmat itu adalah: Allah ﷻ telah jadikan Nabi Isa tanpa bapa. Allah ﷻ jadikan baginda sebagai tanda kekuasaan-Nya di alam ini, bahawa Dia boleh menjadikan apa sahaja. Dan kemudian Allah telah menaikkan baginda menjadi Rasul.

Maryam juga telah mendapat nikmat seorang anak yang amat hebat, seorang Rasul. Anaknya itu dijadikan sebagai tanda kesuciannya, menolak cemuhan kaumnya yang mengatakan dia telah melakukan zina.

Semasa anaknya masih kecil beberapa waktu sahaja (mungkin beberapa jam atau beberapa hari sahaja), baginda telah bercakap mempertahankan kesucian ibunya itu dari kesalahan zina.

Maknanya, semua yang mereka dapat itu, Allah ﷻ yang berikan. Semua itu adalah pemberian daripada Allah ﷻ, bukan mereka sendiri. Oleh itu, mereka berdua bukan Tuhan, juga bukanlah sebahagian daripada Tuhan kerana kalau mereka itu Tuhan, tentu mereka ada kuasa sendiri sedangkan apa sahaja yang mereka ada, adalah pemberian daripada Allah ﷻ .

إِذ أَيَّدتُّكَ بِروحِ القُدُسِ

di waktu Aku menguatkan kamu dengan Ruhul Qudus.

‘Ruhul Qudus’ yang dimaksudkan adalah malaikat Jibril. Maksud Ruhul Qudus adalah ‘Ruh yang Suci’. Kalau agama Kristian, mereka gelar ‘The Holy Spirit’ atau ‘The Holy Ghost’.

Allah mengingatkan baginda ketika Dia telah bantu dan kuatkan baginda dengan malaikat Jibril yang sentiasa bersama dengan baginda. Setiap kali baginda berdakwah, malaikat Jibril ada di sisi baginda. Nabi lain tidak ada mendapat pertolongan sebegini.

تُكَلِّمُ النّاسَ فِي المَهدِ وَكَهلًا

Kamu dapat berbicara dengan manusia di waktu masih dalam buaian dan sesudah dewasa;

Dan Allah ﷻ mengingatkan bagaimana Nabi Isa عليه السلام boleh bercakap-cakap dengan manusia walaupun baginda waktu itu masih dalam buaian lagi. Ini juga seperti yang disebut dalam Surah Taha. Bicara baginda pula bukanlah bicara kosong tetapi dakwah mengajak kaumnya kembali kepada dakwah tauhid dan agama yang lurus.

Dan bukan sahaja semasa baginda kecil dapat bercakap, tetapi selepas baginda dewasa juga. Apa hebatnya boleh berkata-kata waktu dewasa? Yang menariknya tentang ayat ini, lafaz كَهلً dari segi bahasa bermaksud sesorang yang berumur 40 tahun ke atas. Tetapi dari riwayat, semua tahu bahawa baginda telah dinaikkan ke langit semasa baginda berumur awal 30-an.

Jadi, ini adalah antara dalil bahawa baginda akan diturunkan kembali ke bumi sekali lagi dan waktu itulah baginda akan terus berkata-kata dengan manusia iaitu ketika baginda turun dari langit dan dapat bercakap dengan orang lain.

Baginda akan berkahwin dan dapat anak dan akan mati dan akan dikebumikan. Sekali baca, memang tidak nampak tentang perkara ini kerana itu ada juga yang tidak percaya bahawa Nabi Isa عليه السلام  dibangkitkan semula, kerana mereka kata tiada dalil. Jadi, salah satu dalilnya ada dalam ayat ini namun dalilnya tidaklah jelas melainkan ada kefahaman dari bahasa yang digunakan.

وَإِذ عَلَّمتُكَ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ

dan (ingatlah) di waktu Aku mengajar kamu tentang al-Kitab dan hikmah,

Dan sekarang Allah ﷻ mengingatkan baginda tentang nikmat ilmu yang diberikan kepada baginda. Allah telah mengajar ‘al-Kitab’ yang bermaksud Al-Qur’an dan ‘al-Hikmah’ yang bermaksud hadth Nabi Muhammad ﷺ.

Ini adalah ketika baginda diturunkan pada kali kedua, Baginda kena mengamalkan syariat Nabi Muhammad ﷺ ketika baginda dibangkitkan jadi baginda kena mendapatkan ilmu Al-Qur’an dan Hadiith Nabi ﷺ.

وَالتَّورىٰةَ وَالإِنجيلَ

dan Taurat dan Injil,

Dan tentunya baginda telah diajar dengan kitab Taurat dan Injil semasa hayat pertama baginda di dunia lagi. Baginda lebih mahir tentang Taurat daripada para pendita di zamannya, sampaikan baginda telah membongkar penipuan yang dilakukan oleh mereka. Maka, kerana itulah mereka benci sangat dengan baginda dan buat rancangan untuk membunuh baginda.

وَإِذ تَخلُقُ مِنَ الطّينِ كَهَيئَةِ الطَّيرِ بِإِذني

dan (ingatlah pula) di waktu kamu membentuk dari tanah (suatu bentuk) yang berupa burung dengan izin-Ku,

Sekarang masuk tentang mukjizat yang telah diberikan kepada baginda pula. Baginda telah membuat bentuk burung dari tanah liat, dengan izin Allah ﷻ . Buat bentuk burung itu pun sudah memerlukan izin Allah ﷻ . Belum pun dijadikan hidup lagi.

فَتَنفُخُ فيها فَتَكونُ طَيرًا بِإِذني

kemudian kamu meniup kepadanya, lalu bentuk itu menjadi burung (yang sebenarnya) dengan seizin-Ku.

Dan kemudian baginda meniup pada bentuk burung itu dan ia telah menjadi burung sebenar yang hidup. Asalnya dari bentuk burung sahaja, tetapi sudah jadi burung sebenar. Allah ﷻ ingatkan yang itu adalah dengan izin Allah ﷻ, bukan qudrat baginda sendiri.

Orang Kristian menggunakan ayat ini dan mereka kata: lihatlah Al-Qur’an pun memperakui ketuhanan Jesus!

Tidakkah mereka perasan bahawa semua itu dengan izin Allah ﷻ semata-mata? Memang mereka telah sesat sampaikan mata mereka tidak nampak kebenaran di depan mata. Mereka tidak baca hingga habis ayat tersebut tetapi mereka tebuk ambil apa yang mereka hendak sahaja. Malangnya, umat Islam pun ada juga menebuk ayat-ayat tertentu untuk membenarkan kesalahan akidah mereka. Ini kerana tidak belajar dan mengambil keseluruhan fahaman ayat-ayat Al-Qur’an.

وَتُبرِئُ الأَكمَهَ وَالأَبرَصَ بِإِذني

Dan (ingatlah) di waktu kamu menyembuhkan orang yang buta sejak dalam kandungan ibu dan orang yang berpenyakit sopak dengan seizin-Ku,

Mukjizat yang seterusnya diberitahu dalam ayat ini adalah Nabi Isa عليه السلام telah sembuhkan orang buta asli sejak dari lahir lagi, sampai dia jadi celik. Kalau menyembuhkan orang yang celik kemudian buta, itu pun sudah hebat, apatah lagi kalau orang itu buta dari lahir lagi, tentu lebih hebat.

Dan baginda juga telah menyembuhkan orang berpenyakit sopak atau ada juga yang memanggilnya kusta. Ini adalah penyakit yang tidak dapat diubati zaman sekarang pun, tetapi Nabi Isa عليه السلام dapat mengubatinya.

Dan Allah ﷻ ingatkan lagi yang semua itu bukan dari qudrat baginda tetapi dengan izin Allah ﷻ . Kalau bukan Allah ﷻ yang izinkan dan jadikan, tidak akan terjadi kerana yang menyembuhkan hanya Allah ﷻ sahaja.

وَإِذ تُخرِجُ المَوتىٰ بِإِذني

dan (ingatlah) di waktu kamu mengeluarkan orang mati dari kubur dengan seizin-Ku,

Maksud ‘mengeluarkan’ itu adalah mengeluarkan dari kubur, iaitu menjadikan orang itu hidup kembali. Maknanya, Nabi Isa  عليه السلام pernah menghidupkan orang yang telah mati, tetapi itu pun dengan izin Allah عليه السلام .

Kita kena ingat yang semuanya itu dengan izin Allah ﷻ Nabi Isa عليه السلام  sendiri tidak ada kuasa, semua itu adalah kuasa dan izin  daripada Allah ﷻ.

وَإِذ كَفَفتُ بَني إِسرٰءيلَ عَنكَ إِذ جِئتَهُم بِالبَيِّنٰتِ

dan (ingatlah) di waktu Aku menghalangi Bani Israil daripada engkau di kala kamu mengemukakan kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata,

Allah ﷻ ketika Dia menghalangi Bani Israil dari membunuh Nabi Isa عليه السلام iaitu dengan mengangkat baginda dari dunia dan puak Rom telah membunuh orang lain yang disangka sebagai Nabi Isa  عليه السلام.

Nabi Isa  عليه السلام telah dirancang untuk dibunuh oleh puak Yahudi kerana baginda telah membuka kesalahan yang mereka telah lakukan selama hari ini. Oleh kerana marah kepada Nabi Isa عليه السلام , mereka telah menghasut kerajaan Rom sebagai pemerintah waktu itu untuk membunuh Nabi Isa  عليه السلام. Mereka menuduh Nabi Isa عليه السلام telah mengaku sebagai Raja Bani Israil dan itu telah menyebabkan kerajaan Rom bertindak.

Oleh itu, rancangan untuk membunuh baginda itu adalah kerana baginda memberitahu mereka kebenaran dengan bawa dalil bukti. Bukannya baginda datang dengan tangan dan cakap kosong pun, tetapi baginda datang dengan bukti yang nyata.

Bukti-bukti yang nyata itu adalah mukjizat-mukjizat yang telah ditunjukkan oleh baginda. Mereka telah meminta dalil yang menunjukkan yang baginda adalah seorang Rasul. Jadi, baginda telah menunjukkan semua mukjizat-mukjizat itu dan mereka telah melihatnya dengan mata mereka sendiri, tetapi apa kata mereka?

فَقالَ الَّذينَ كَفَروا مِنهُم إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّبينٌ

lalu orang-orang kafir di antara mereka berkata: “Ini tidak lain melainkan sihir yang nyata”

Orang kafir itu kata: tidaklah mukjizat-mukjizat ini melainkan sihir belaka. Mereka tidak dapat terima itu semua sebagai mukjizat. Mereka tidak tahu hendak kata apa lagi, mereka hanya cakap ianya adalah sihir. Itulah cara mereka tolak. Tolak tetap kena tolak, tetapi apakah alasannya? Mereka pilih untuk menuduh baginda sebagai ahli sihir kerana dapat buat itu dan ini. Padahal semua itu adalah mukjizat, bukannya sihir.

Dan begitulah cara Musyrikin Mekah tolak Nabi Muhammad ﷻ. Kerana itu banyak disebut dalam Al-Qur’an tentang tuduhan musuh terhadap Nabi Muhammad ﷺ sebagai ahli sihir. Jadi dalam masa yang sama, Allah ﷻ hendak memberitahu Rasulullah ﷻ bahawa bukan baginda sahaja yang dituduh sebagai ahli sihir, tetapi Nabi Isa عليه السلام pun juga.

Tafsir Ayat ke-111

Ini satu lagi kelebihan kepada baginda.

وَإِذ أَوحَيتُ إِلَى الحَوارِيّينَ أَن ءآمِنوا بي وَبِرَسولي قالوا ءآمَنّا وَاشهَد بِأَنَّنا مُسلِمونَ

Dan (ingatlah), ketika Aku ilhamkan kepada pengikut Isa yang setia: “Berimanlah kamu kepada-Ku dan kepada rasul-Ku”. Mereka menjawab: Kami telah beriman dan saksikanlah (wahai rasul) bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang patuh (kepada seruanmu)”.

وَإِذ أَوحَيتُ إِلَى الحَوارِيّينَ

Dan (ingatlah), ketika Aku ‘ilhamkan’ kepada Hawariyyun (pengikut Isa yang setia):

Ini adalah salah satu daripada anugerah Allah ‎ﷻ kepada Nabi عليه السلام Isa juga – baginda diberikan dengan pembantu dalam dakwahnya dan mereka dikenali sebagai Hawariyyun.

Dalam ayat ini digunakan lafaz ‘wahyu’ tetapi kita kena faham yang tentunya ia bukanlah wahyu seperti yang kita faham, kerana wahyu untuk Nabi sahaja. Oleh itu, yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘ilham’. Sama juga Allah ‎ﷻ gunakan lafaz ‘wahyu’ untuk Maryam [ Al-Qashash:7 ], untuk lebah [ An-Nahl: 68-69 ] dalam ayat yang lain. Semua itu adalah ilham.

Sama ada mereka terus mendapat ilham itu ke dalam hati mereka, atau mungkin bermaksud Allah ‎ﷻ mengwahyukan kepada Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Isa عليه السلام sampaikan kepada mereka dan mereka terima apa yang disampaikan oleh Nabi Isa itu. Allahu a’lam.

Hawariyyun adalah pengikut setia Nabi Isa عليه السلام. Dalam bahasa Inggeris, digunakan lafaz ‘disciples’.

أَن ءآمِنوا بي وَبِرَسولي

“Berimanlah kamu kepada-Ku dan kepada rasul-Ku”.

Apakah yang telah diilhamkan kepada mereka? Iaitu mereka diilhamkan untuk hendaklah yakin sungguh kepada Allah‎ ﷻ dan Rasul Allah.

قالوا ءآمَنّا

Mereka menjawab: Kami telah beriman

Mereka menyambut ilham itu dan telah berkata seperti yang telah diilhamkan kepada mereka. Maknanya, keimanan mereka datang daripada Allah ‎ﷻ. Mereka beriman dengan akidah tauhid dan mereka taat kepada Nabi Isa عليه السلام.

وَاشهَد بِأَنَّنا مُسلِمونَ

dan saksikanlah (wahai rasul) bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang patuh

Mereka kata kepada Nabi Isa عليه السلام bahawa mereka semua telah beriman. Mereka meminta Nabi Isa عليه السلام menjadi saksi yang mereka tunduk kepada segala hukum – itulah maksud ‘Islam’ iaitu tunduk patuh 100% kepada Allah ‎ﷻ dan menerima agama Islam sepenuhnya.

Adakah anda dapat lihat bagaimana mereka telah mengaku yang mereka sebagai Muslim? Apa lagi kata orang Kristian setelah melihat ayat ini? Golongan yang mereka pandang tinggi, yang telah membantu Nabi Isa عليه السلام sendiri telah mengaku sebagai Muslim? Sepatutnya mereka pun ikutlah untuk jadi Muslim sekali, janganlah lawan.

Hanya ada agama Islam sahaja. Kita tidak perlu iktiraf agama lain. Ya, mereka ada kebebasan untuk mengamalkan agama mereka. Akan tetapi tidaklah kebebasan itu sehinggakan kita mengatakan agama mereka pun benar juga. Jangan kita terlibat dalam golongan yang liberal yang mengiktiraf agama lain.

Dan jangan kita tertipu dengan golongan yang hendak menggabungkan dua agama ini. Memang ada pergerakan ini menggabungkan agama ini. Contohnya gabungkan Islam dan Kristian jadi ‘Chrislam’.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan