Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-106 hingga Ke-108

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-106 hingga Ke-108

271
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-106

Ayat ini termasuk dua lagi selepasnya adalah tiga ayat yang dikatakan paling payah untuk ditafsir dalam Al-Qur’an. Oleh itu, kena tahu asbabun nuzul (sebab turun) ayat ini kerana susah kalau baca begitu sahaja. Ia amat susah untuk ditafsir dari segi bahasa, hukum dan tafsir. Dalam ayat ini ada hukum yang masih berjalan dan ada yang dikatakan sudah mansukh. I’rab pula sukar untuk difahami. Jadi kita kena usaha lebih untuk memahaminya.

Ada pengajaran akidah dalam ayat ini dan ini yang paling penting Allah ﷻ hendak memberitahu, dalam sumpah pun kena sumpah dengan nama Allah ﷻ, tidak boleh bersumpah dengan nama ilah yang lain. Hal ini tidak kira sama ada orang itu Islam atau kafir.

Asbabun Nuzul ayat ini: Pada zaman Nabi ﷺ, ada tiga orang yang berkongsi dalam berniaga, dua daripadanya adalah Nasara (Tamim dan Adiyy) dan seorang Muslim (namanya Budayl) dan mereka telah mengembara dalam rombongan perniagaan. Ditakdirkan bahawa orang Islam itu telah jatuh sakit dalam perjalanan itu dan sebelum dia mati, dia sempat senaraikan semua barang-barang hak miliknya dalam perdagangan itu dan dia simpan dalam salah satu dari barangnya. Dan apabila dia rasa dia sudah hampir mati, dia telah berwasiat kepada dua rakan kongsinya itu, untuk bawa balik barang-barang tersebut dan beri kepada keluarganya. Orang yang dipanggil sebagai saksi ini dipanggil ‘wasiyy‘. Boleh seorang atau lebih.

Dua orang Nasara itu akhirnya masuk Islam namun, sebelum itu mereka telah ambil barang kepunyaan simati yang mahal, iaitu satu jag perak bertatah emas (atau mangkuk) manakala barang-barang lain mereka telah beri kepada keluarga simati. Apabila keluarga itu mendapat segala barang-barang itu, mereka terjumpa senarai barang yang tuan barang telah tulis, tetapi tidak diketahui oleh dua orang Nasara itu. Dari senarai itu, mereka boleh periksa segala barang tersebut dan bila periksa, mereka perasan ada barang yang hilang, iaitu jag itu.

Mereka telah bertanya kepada Nasara dua orang itu, tetapi mereka berdua tidak mengaku tentang wujudnya barang itu. Mereka kata mereka tidak tahu tentang jag itu. Dan mereka tidak tahu menahu tentang senarai barang itu. Maknanya, Allah telah beri ilham simati tulis senarai sebelum beliau mati.

Oleh kerana tidak puas hati dengan alasan yang diberikan, keluarga simati telah melaporkan perkara itu kepada Nabi ﷺ. Oleh kerana saksi yang dua orang itu membela diri mereka dengan kata tidak tahu, maka Nabi ﷺ suruh panggil mereka berdua dan bersumpah. Mereka telah diarahkan untuk bersumpah mengatakan mereka memang tidak tahu menahu tentang barang yang telah hilang itu.

Inilah hukum yang kita boleh pakai: oleh kerana mereka kata mereka tidak ambil, mereka yang kena bersumpah. Yang dituduh kena bersumpah sedangkan yang mendakwa kena bawa dalil walaupun mereka ada senarai barang itu, mereka tetap kena bawa saksi.  Apabila tidak ada saksi, maka kes itu telah selesai begitu sahaja (dua orang Nasara itu telah menang). Jag itu tidak dijumpai dan keluarga itu tidak ada cara lain lagi. 

Allah ﷻ  turunkan ayat Al-Qur’an ini untuk menegur, tidak boleh bersumpah melainkan atas nama Allahﷻ . Maka, untuk mendapatkan kepastian daripada dua lelaki itu dan kerana dua orang itu beragama Nasara, mereka telah disuruh bersumpah atas nama yang mereka sendiri iaitu dengan apa sahaja nama yang mereka takut, terpulang kepada mereka, ikut agama mereka.

Tetapi Allah ﷻ  tegur dalam ayat ini dan memberitahu kena bersumpah atas nama Allah ﷻ  juga. Walaupun kalau seseorang itu Nasara, dia kena bersumpah: demi Allah ﷻ yang menurunkan kitab Injil; kalau Yahudi, dia kena bersumpah, demi Allah ﷻ  yang telah menurunkan kitab Taurat. Kalau Majusi, demi Allah ﷻyang telah menciptakan api. Kalau dia seorang musyrikin Mekah, demi Allah ﷻ yang memilih Nabi Ibrahim.

Maknanya, kena bersumpah atas nama Allah ﷻ juga, tidak boleh sebut selain daripada Allah ﷻ . Ini adalah kerana tidak ada yang boleh hukum melainkan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ yang boleh buat apa sahaja. Ilah-ilah lain yang mereka anggap sebagai ada kelebihan itu, tidak ada langsung. Mereka bukannya ilah, maka tidak boleh guna ilah mereka.

Maka, di dalam ayat ini Allah ﷻ mengajar  manusia cara-cara untuk berurusan di dalam hal keduniaan supaya hidup kita terpelihara dan berlangsung dengan baik.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا شَهٰدَةُ بَينِكُم إِذا حَضَرَ أَحَدَكُمُ المَوتُ حينَ الوَصِيَّةِ اثنانِ ذَوا عَدلٍ مِّنكُم أَو ءآخَرانِ مِن غَيرِكُم إِن أَنتُم ضَرَبتُم فِي الأَرضِ فَأَصٰبَتكُم مُّصيبَةُ المَوتِ ۚ تَحبِسونَهُما مِن بَعدِ الصَّلوةِ فَيُقسِمانِ بِاللَّهِ إِنِ ارتَبتُم لا نَشتَري بِهِ ثَمَنًا وَلَو كانَ ذا قُربىٰ ۙ وَلا نَكتُمُ شَهٰدَةَ اللَّهِ إِنّا إِذًا لَّمِنَ الآثِمينَ

Hai orang-orang yang beriman, apabila salah seorang kamu menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu, atau dua orang yang berlainan agama dengan kamu, jika kamu dalam perjalanan di muka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian. Kamu tahan kedua saksi itu sesudah sembahyang (untuk bersumpah), lalu mereka keduanya bersumpah dengan nama Allah, jika kamu ragu-ragu: “(Demi Allah) kami tidak akan membeli dengan sumpah ini harga yang sedikit (untuk kepentingan seseorang), walaupun dia karib kerabat, dan tidak (pula) kami menyembunyikan persaksian Allah; sesungguhnya kami kalau demikian tentulah termasuk orang-orang yang berdosa”.


يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا شَهٰدَةُ بَينِكُم إِذا حَضَرَ أَحَدَكُمُ المَوتُ حينَ الوَصِيَّةِ اثنانِ ذَوا عَدلٍ مِّنكُم

Hai orang-orang yang beriman, apabila salah seorang kamu menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu,

Apabila berwasiat, kena ada dua orang saksi yang adil. Dan lafaz مِنكُم (dalam kalangan kamu) memberi isyarat bahawa mereka itu mestilah dalam kalangan Muslim. Ada juga yang berpendapat dalam kalangan ahli keluarga yang berwasiat.

أَو ءآخَرانِ مِن غَيرِكُم

dua orang yang berlainan agama dengan kamu,

Lafaz غَيرِكُم (selain daripada kamu) dalam potongan ayat ini memberi isyarat bahawa boleh dijadikan sebagai saksi, orang yang bukan beragama Islam. Jadi, Nasara boleh jadi saksi seperti yang telah berlaku dalam asbabun nuzul ayat ini.


إِن أَنتُم ضَرَبتُم فِي الأَرضِ فَأَصٰبَتكُم مُّصيبَةُ المَوتِ

jika kamu dalam perjalanan di muka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian

Ini adalah dua syarat yang diletakkan jikalau hendak menggunakan orang kafir sebagai saksi: mesti semasa dalam perjalanan tidak jumpa orang Muslim yang lain; dan waktu itu memerlukan wasiat, dan hanya perkara wasiat sahaja boleh gunakan mereka sebagai saksi.

تحبِسونَهُما مِن بَعدِ الصَّلوةِ

Kamu tahan kedua saksi itu sesudah sembahyang

Kalimah حبِسونَهُما dari kalimah ح ب س yang bermaksud ‘tahan’, ‘tangkap’, ‘kurung’. Maksudnya dalam ayat ini, tahanlah mereka yang hendak dijadikan sebagai saksi itu selepas solat. Tahan dengan baik-baik kerana hendak minta tolong kepada mereka. Disarankan waktu solat kerana masa dan tempat yang mulia, akan menjadi pemberat bagi orang yang bersumpah supaya mereka lebih takut untuk menipu.

Seeloknya selepas solat Asar. Ada juga yang mengatakan, maksudnya tahan mereka selepas solat berjemaah, supaya boleh disaksikan oleh orang ramai yang datang solat sekali.

Kalau mereka itu bukan Muslim, maka tahan mereka selepas mereka melakukan cara sembahyang mereka.

فَيُقسِمانِ بِاللَّهِ إِنِ ارتَبتُم

lalu mereka keduanya bersumpah dengan nama Allah, jika kamu ragu-ragu

Mereka hendaklah bersumpah dengan nama Allah ﷻ. Hanya sumpah dengan nama Allah ﷻ sahaja yang diterima. Ada pendapat yang mengatakan sumpah itu kalau ada keraguan dengan persaksian mereka. Jika tiada ragu-ragu, tidak perlu bersumpah.


لا نَشتَري بِهِ ثَمَنًا وَلَو كانَ ذا قُربىٰ

(Demi Allah) kami tidak akan membeli dengan sumpah ini harga yang sedikit, walaupun dia karib kerabat,

Ini adalah lafaz sumpah mereka: mereka kena kata yang mereka tidak akan memungkiri sumpah itu walau apa pun sebabnya. Walaupun untuk kepentingan kaum kerabat mereka.

وَلا نَكتُمُ شَهٰدَةَ اللَّهِ

dan tidak (pula) kami menyembunyikan persaksian Allah

Sambungan sumpah mereka, menegaskan sekali lagi yang mereka tidak akan memungkiri sumpah itu. Kalau dipanggil persaksian mereka, mereka akan datang dan akan berkata yang benar kerana mereka telah bersumpah atas nama Allah ﷻ . Berdosa besar kalau menipu dalam sumpah dan persaksian.

إِنّا إِذًا لَّمِنَ الآثِمينَ

sesungguhnya kami kalau demikian tentulah termasuk orang-orang yang berdosa

Ini adalah penutup kepada lafaz sumpah mereka.

Begitulah lafaz sumpah yang perlu dilakukan oleh mereka yang jadi saksi. 

Tafsir Ayat ke-107

Ini sambungan dari kisah seorang sahabat yang meninggal dan telah berwasiat dengan menggunakan dua saksi Nasara, telah diceritakan dalam ayat sebelum ini.

Sambungan kisah asbabun nuzul: Tidak lama selepas itu, barang yang dikatakan tidak ada itu telah dijumpai di Mekah. Orang yang memegang barang itu kata, dia telah membelinya daripada dua orang Nasara itu. Padahal sebelum itu, dua orang Nasara itu sudah bersumpah yang barang itu tidak ada. Dari itu telah terbukti yang dua orang Nasara yang menjadi saksi itu yang telah menjual kepada orang di Mekah. Perkara itu telah dirujuk kembali kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana ada bukti baru yang timbul.

Apabila dibawa bukti ini jumpa Nabi ﷺ , dua orang Nasara itu telah ditanya kembali. Mereka kata mereka telah beli jag itu dari simati. Awal dulu mereka tidak sebut kerana mereka tidak ada saksi pembelian itu dan mereka takut mereka tidak dipercayai. Apabila mereka kata begitu, keluarga simati telah meminta bukti pembelian itu. Dan memang tiada bukti terjadinya jual beli  itu. Maka, Nabi ﷺ suruh keluarga itu bersumpah yang barang itu adalah barang mereka kerana ada tulisan kertas yang menyatakan demikian.

Dari segi hukum, sekarang keluarga si mati pula yang bersumpah. Dan apabila keluarga sudah bersumpah, barang itu kena diberikan kepada orang yang bersumpah.

Oleh itu, apabila berlaku dakwaan dan pembelaan, di mana pendakwa kata itu barang dia dan sepatutnya dia kena beri bukti. Namun, jika boleh bersumpah, kes itu boleh selesai dengan diberikan barang itu atas sumpah mereka.

Keluarga tersebut berkata itu hak mereka kerana ia ada dalam senarai barang wasiat simati. Dalam masa yang sama, Nasara kata mereka telah beli daripada simati. Jadi, itu adalah dakwaan dua Nasara itu. Apabila mereka kata beli, mereka kena bawa bukti dan mereka kata tidak ada.

Apabila tidak ada, pendakwaan (keluarga) yang kena bersumpah untuk mengatakan yang barang itu adalah barang mereka yang ditinggalkan oleh simati. Apabila telah bersumpah, barang menjadi milik mereka. Kembalilah barang itu kepada keluarga setelah bersumpah.

فَإِن عُثِرَ عَلىٰ أَنَّهُمَا استَحَقّا إِثمًا فَئآخَرانِ يَقومانِ مَقامَهُما مِنَ الَّذينَ استَحَقَّ عَلَيهِمُ الأَولَيٰنِ فَيُقسِمانِ بِاللَّهِ لَشَهٰدَتُنا أَحَقُّ مِن شَهٰدَتِهِما وَمَا اعتَدَينا إِنّا إِذًا لَّمِنَ الظّٰلِمينَ

Jika diketahui bahawa kedua (saksi itu) membuat dosa, maka dua orang yang lain di antara ahli waris yang berhak yang lebih dekat kepada orang yang meninggal (memajukan tuntutan) untuk menggantikannya, lalu keduanya bersumpah dengan nama Allah: “Sesungguhnya persaksian kami lebih layak diterima daripada persaksian kedua saksi itu, dan kami tidak melanggar batas, sesungguhnya kami, kalau demikian tentulah termasuk orang yang menganiaya diri sendiri”.

فَإِن عُثِرَ عَلىٰ أَنَّهُمَا استَحَقّا إِثمًا

Jika diketahui bahawa kedua (saksi itu) membuat dosa,

Dalam kes asbabun nuzul itu, telah diketahui oleh waris simati bahawa dua orang saksi yang bersumpah sebelum itu telah melakukan dosa kerana barang yang mereka kata mereka tidak tahu itu, memang ada pun, terjumpa di Mekah dan orang yang memegangnya mengatakan dia telah membeli daripada kedua mereka.

Asalnya mereka kata tidak tahu menahu, tetapi rupanya mereka telah jual. Dengan demikian, mereka berhak dapat dosa.

Ini adalah hukum berkenaan saksi yang menipu.

فَئآخَرانِ يَقومانِ مَقامَهُما مِنَ الَّذينَ استَحَقَّ عَلَيهِمُ الأَولَيٰنِ

maka dua orang yang lain di antara ahli waris yang berhak yang lebih dekat kepada orang yang meninggal (memajukan tuntutan) untuk menggantikannya,

Apabila saksi yang asal telah menipu dalam sumpah mereka, maka kena pakai saksi yang lain. Dalam kes ini, kena ambil sumpah daripada keluarga yang lebih mempunyai hak daripada dua saksi yang asal. Maka, dinaikkan pula saksi daripada keluarga waris yang telah dizalimi. Ini adalah kerana mereka yang paling dekat dengan simati.

Hukum yang boleh diambil: dalil kena ada pada orang yang mendakwa dan sumpah ada pada orang yang membela. Yang mendakwa kena bawa dalil dan yang membela kalau tidak ada bukti, dia pakai sumpah; inilah kaedah yang boleh dipakai sampai ke hari ini. Kita kena tahu tentang perkara ini. Kena faham kaedah ini.

Nota: Ini sama juga dengan kes ada orang yang kata ada amalan dari syariat. Mereka dakwa amalan itu wujud. Oleh kerana mereka yang kata ada, maka mereka kena keluarkan dalil. Kemudian ada pula yang kata tidak tsabit amalan itu. Maka, yang kata tidak tsabit itu tidak perlu keluarkan dalil – mereka yang kata amalan itu ada lah yang kena keluarkan dalil.

Oleh itu, jangan pula minta dalil tidak ada – itu tidak kena dan satu kebodohan dalam bab ilmu. Orang ramai sekarang, bila kita kata amalan bid’ah tidak ada dalam Islam, mereka pula minta dalil daripada kita. Itu sudah terbalik. Patutnya mereka yang kata amalan itu ada, yang kena bawa dalil – dalil pula sama ada Al-Qur’an atau hadith sahih.

Oleh itu, kita kena faham yang menang hujah adalah kepada yang kata sesuatu amalan itu tidak ada. Malangnya ramai yang tidak faham tentang prosedur ini, sampaikan mereka bawa dalil yang bathil – antaranya mereka akan bawa dalil ‘takkan’ pula [takkan tidak ada Majlis Tahlil itu… dah lama orang kita amalkan]. Ketahuilah bahawa dalil ‘takkan’ itu bukan dalil. Susah hendak layan orang yang jahil sebegini.

Kembali kepada kes asbabun nuzul ini: dua saksi Nasara itu telah mendakwa mereka beli jag itu daripada simati. Itu sudah dikira sebagai dakwaan. Apabila mereka dakwa yang mereka telah beli, mereka kena bawa bukti sebab tuan asal sudah mati untuk beri kepastian. Apabila tidak ada saksi, keluarga waris pula yang akan jadi pembela. Maka, dua orang lain pula yang jadi pengganti sebagai sumpah balas, iaitu puak waris.

فَيُقسِمانِ بِاللَّهِ

lalu keduanya bersumpah dengan nama Allah:

Maka, mereka pun kena bersumpah dengan nama Allah ﷻ  juga. Tidak boleh bersumpah dengan nama selain Allah ﷻ.

لَشَهٰدَتُنا أَحَقُّ مِن شَهٰدَتِهِما

Sesungguhnya persaksian kami lebih layak diterima daripada persaksian kedua saksi itu,

Lafaz sumpah mereka sebegini: “demi Allah, sumpah kami lebih berhak diterima dari sumpahan mereka berdua sebelum ini.” Ini kerana sebelum itu, sudah ada dua saksi yang bersumpah. Maka, kena tolak sumpah mereka dahulu. Kena kata sumpah orang yang awal tidak boleh pakai, mereka telah buat khianat.

وَمَا اعتَدَينا

dan kami tidak melanggar batas

Sambung: “Dan kami tidak melampaui batas dan menzalimi dalam sumpah ini.” Maknanya, benar-benar sumpah dan tidak ada pembohongan dalam sumpah ini.

Juga maksudnya, mereka tidak melampau dalam mengatakan saksi yang awal telah khianat kerana itu bukan perkara yang boleh diambil mudah (mengatakan orang lain telah buat khianat. Kena pastikan yang mereka memang telah buat khianat, jangan tuduh melulu)

إِنّا إِذًا لَّمِنَ الظّٰلِمينَ

sesungguhnya kami kalau demikian tentulah termasuk orang yang menganiaya diri sendiri

Mereka mengaku, kalau mereka melampau dalam sumpah mereka itu, menipu dalam sumpah, maka mereka akan termasuk dalam golongan yang zalim.

Dalam asbabun nuzul ayat ini, apabila mereka telah bersumpah sebegitu, maka barang yang hilang dari senarai simati itu diserahkan kepada mereka.


Tafsir Ayat Ke-108

ذٰلِكَ أَدنىٰ أَن يَأتوا بِالشَّهٰدَةِ عَلىٰ وَجهِها أَو يَخافوا أَن تُرَدَّ أَيمٰنٌ بَعدَ أَيمٰنِهِم ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاسمَعوا ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

Itu lebih dekat untuk (menjadikan para saksi) mengemukakan persaksiannya menurut apa yang sebenarnya, dan (lebih dekat untuk menjadikan mereka) merasa takut akan dikembalikan sumpahnya (kepada ahli waris) sesudah mereka bersumpah. Dan bertakwalah kepada Allah dan dengarkanlah (perintah-Nya). Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

ذٰلِكَ أَدنىٰ أَن يَأتوا بِالشَّهٰدَةِ عَلىٰ وَجهِها

Itu lebih dekat untuk (menjadikan para saksi) mengemukakan persaksiannya menurut apa yang sebenarnya,

Ini adalah cara bersumpah yang lebih mudah untuk umat Islam dan lebih hampir dengan cara terbaik kepada mereka yang memberi penyaksian. Maka, pakailah cara sumpah sebegini. Apabila digunakan sumpah sebegini, ia akan mengeluarkan kisah yang sebenar.


أَو يَخافوا أَن تُرَدَّ أَيمٰنٌ بَعدَ أَيمٰنِهِم

dan (lebih dekat untuk menjadikan mereka) merasa takut akan dikembalikan sumpahnya (kepada ahli waris) sesudah mereka bersumpah.

Atau sumpah yang sebegini akan menyebabkan mereka bimbang kalau-kalau ditolak sumpah mereka selepas dibuat oleh sumpahan yang benar. Dengan cara ini maka semua kena beringat, jangan senang-senang hendak sumpah palsu kerana mereka kena tahu, kalau ada kesilapan, mahkamah akan panggil balik. Tidaklah semestinya mereka sumpah sahaja, terus dipakai. Masih ada lagi cara untuk sumpah mereka ditolak.

وَاتَّقُوا اللَّهَ

Dan bertakwalah kepada Allah

Yang penting, hendaklah bertaqwa dan hendaklah takut kepada Allah ﷻ . Kalau tidak takut kepada Allah ﷻ , hukum apa pun tidak jadi. Mereka yang tidak takut kepada Allah ﷻ, akan langgar sahaja mana-mana hukum Allah ﷻ. Namun,  mereka kena ingat yang mereka yang dikenakan dengan azab nanti.

وَاسمَعوا

dan dengarkanlah

Maksudnya, dengar dan taatlah hukum yang ada dalam wahyu. Jangan memandai buat hukum sendiri. Allah ﷻ beri syariat untuk kita pakai undang-undang daripada-Nya, yang tentunya bagus. Janganlah pakai undang-undang manusia kalau Allah ﷻ telah tetapkan hukum.

Malangnya, orang Islam kita sendiri pun tidak kaji hukum yang Allah ﷻ turunkan. Ramai yang lebih selesa pakai hukum dan undang-undang buatan manusia pula. Ini tidak patut. Selalunya yang terjadi, mereka tidak tahu pun sebenarnya dalam Islam sudah ada undang-undang tersebut. Mereka tidak tahu kerana mereka tidak belajar.


وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Allah ﷻ  akan beri pimpinan kepada kaum yang fasik; iaitu mereka yang keluar dari ketaatan. Mereka tidak ada niat untuk taat pun kepada hukum-hukum Allah ﷻ .

Oleh itu, secara ringkasnya, maksud besar ayat ini adalah kena bersumpah dengan nama Allah ﷻ. Tidak boleh bersumpah guna nama selain Allah ﷻ. Walaupun orang yang diminta sumpah itu adalah orang bukan Islam sekali pun. Kena sesuaikan sumpah mereka supaya sebut nama Allah ﷻ juga. Ini penting kerana ini adalah isu akidah. Ia berkait rapat dengan pegangan akidah kita.

Dalam ayat ini sudah ada teguran daripada Allah ﷻ kerana asalnya Nabi suruh mereka bersumpah dengan nama apa sahaja yang mereka takut – iaitu dengan nama Nabi Isa (Jesus) dan sebagainya. Namun, Allah ﷻ tegur dengan beritahu bersumpah mesti atas nama Allah ﷻ kerana Dia sahaja yang Maha Tahu segala perkara. Oleh itu, kena ingat: hanya nama Allah ﷻ sahaja yang berhak digunakan dalam sumpah.

Allahu a’lam. 

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan