#201017 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits
02.20 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي) – Percanggahan Riwayat Tsiqah dan Jenis-jenisnya (مخالفة الثقات وأنواعها).
#NotaBroSyarief #AsasIlmuHadits #UiTOBilik40
Susunan: BroSyarief
Riwayat yang Padanya Terdapat Periwayat yang Buruk Hafalannya atau Mukhtalith (ما فيه راو سيئ الحفظ أو مختلط)
Yang dimaksudkan dengan Sayyi’ al-Hifz (سيء الحفظ) iaitu apabila tidak jelas perbandingan dari sudut ketepatan hafalannya berbanding kesilapannya.
Ia terbahagi kepada 2 bahagian:
1. Kebiasaan (tabiat) periwayat (yang sering tersilap/terlupa): Iaitu di mana periwayat tersebut memang mempunyai ingatan yang buruk di sepanjang kehidupannya, dan ia dikenal pasti pada seluruh urusannya (di mana dia memang kerap dan dikenali sering terlupa).
Sebahagian ulama hadits menamakan riwayatnya sebagai Syaz (الشاذ). Riwayat periwayat sebegini adalah tidak diterima, namun ia mempunyai peluang untuk dinaik taraf ke peringkat Hasan li-Ghayrihi (الحسن لغيره) dengan syarat hadits yang sama diriwayatkan dari jalan sanad yang lain yang lebih kuat berbanding riwayatnya.
2. (Tabiat lupa atau lemah ingatan yang) Muncul tiba-tiba (kerana pelbagai sebab): Contohnya kerana lanjut usia, seperti periwayat bernama ‘Atho ibn as-Saaib; atau kerana hilang penglihatannya, seperti ar-Rozzaq ibn Hammam; atau kerana terbakarnya kitab-kitab yang selama ini menjadi sandaran utama periwayatan seperti kes periwayat bernama ‘Abdullah ibn Lahi’ah.
Periwayat sebegini disebut sebagai Mukhtalith (مختلط), di mana ia bermaksud rosaknya akal atau berlaku perubahan pada kadar kualiti ingatan dan penggunaan akalnya.
Adapun penilaian riwayat hadits bagi periwayat yang dituduh Mukhtalith, ia dihukum mengikut pembahagian berikut:
i – Apa yang diriwayatkan sebelum berlakunya Ikhtilath, yang dapat dibezakan dengan yakin, maka ianya diterima. Ianya dikenalpasti melalui periwayat yang mendengar dari periwayat yang Mukhtalith tersebut sebelum berlakunya Ikhtilath.
ii – Apa yang diriwayatkan selepas berlakunya Ikhtilath, maka ia menjadi lemah aka dha’if. Riwayat tersebut dilihat dengan mengenal pasti periwayat yang mendengarkan darinya, jika ia diambil selepas berlakunya Ikhtilath, maka riwayat itu lemah. Namun, terdapat kemungkinan untuk ia dinaik taraf ke peringkat Hasan li-Ghayrihi, dengan dokongan riwayat-riwayat lain yang lebih kuat.
iii – Adapun apa-apa riwayat yang tak dapat dikenal pasti sama ada ianya diriwayatkan sebelum atau selepas ikhtilah, maka penilaiannya tertangguh sehinggalah dapat dikenal pasti bila periwayatan tersebut berlaku. Seandainya terdapat jalan riwayat yang lebih kuat, maka ia berpeluang untuk dinaik taraf menjadi Hasan li-Ghayrihi. Keadaan ini berlaku kepada periwayat yang mengambil darinya tidak diketahui sama ada dia meriwayatkan darinya sebelum atau selepas Ikhtilath, ataupun diketahui dia menemui periwayat Mukhtalith tersebut sebelum dan juga selepas berlakunya ikhtilath.
Di antara rujukan yang membantu mengenal pasti periwayat-periwayat Mukhtalith:
a) al-Ightibath bi Ma’rifati Man Rumiya bil-Ikhtilath, karangan Sibth ibn al-‘Ajmi al-Halabi (w.841H)
b) al-Kawakib an-Nayyiraat fi Ma’rifati Man Ikhtalatha Min ar-Ruwaat ats-Tsiqaat, karang Ibn al-Kayyan (w.929H).
walLaahu a’lam.
Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi, Cet. ke-6, m/s 252-253.
__
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares