Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-95
Dalam ayat sebelum ini telah diberitahu hikmah (ujian) larangan berburu. Sekarang Allah ﷻ menjelaskan hukum kalau berburu juga.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَقتُلُوا الصَّيدَ وَأَنتُم حُرُمٌ ۚ وَمَن قَتَلَهُ مِنكُم مُّتَعَمِّدًا فَجَزاءٌ مِّثلُ ما قَتَلَ مِنَ النَّعَمِ يَحكُمُ بِهِ ذَوا عَدلٍ مِّنكُم هَديًا بٰلِغَ الكَعبَةِ أَو كَفّٰرَةٌ طَعامُ مَسٰكينَ أَو عَدلُ ذٰلِكَ صِيامًا لِّيَذوقَ وَبالَ أَمرِهِ ۗ عَفَا اللهُ عَمّا سَلَفَ ۚ وَمَن عادَ فَيَنتَقِمُ اللهُ مِنهُ ۗ وَاللهُ عَزيزٌ ذُو انتِقامٍ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu membunuh binatang buruan, ketika kamu sedang ihram. Barangsiapa di antara kamu membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya ialah mengganti dengan binatang ternak seimbang dengan buruan yang dibunuhnya, menurut keputusan dua orang yang adil di antara kamu sebagai had-yad yang dibawa sampai ke Ka’bah atau (dendanya) membayar kaffarat dengan memberi makan orang-orang miskin atau berpuasa seimbang dengan makanan yang dikeluarkan itu, supaya dia merasakan akibat buruk dari perbuatannya. Allah telah memaafkan apa yang telah lalu. Dan barangsiapa yang kembali mengerjakannya, nescaya Allah akan menyeksanya. Allah Maha Kuasa lagi mempunyai (kekuasaan untuk) menyeksa.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَقتُلُوا الصَّيدَ وَأَنتُم حُرُمٌ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu membunuh binatang buruan, ketika kamu sedang ihram.
Diulang sekali lagi hukum larangan berburu semasa dalam ihram – jangan sekali-kali kamu membunuh binatang buruan dalam ihram.
وَمَن قَتَلَهُ مِنكُم مُّتَعَمِّدًا فَجَزاءٌ مِّثلُ ما قَتَلَ مِنَ النَّعَمِ
Barangsiapa di antara kamu membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya ialah menggantikan dengan binatang ternakan seimbang dengan buruan yang dibunuhnya,
Namun jikalau dibuat juga, maka, akan dikenakan denda, hanya jika mereka berburu dengan sengaja. Dendanya adalah dengan membayar harga seekor jenis binatang sebanding dengan binatang yang dia bunuh. Ulama’ berpendapat hukum ini juga dikenakan kepada orang yang berburu kerana terlupa atau tersilap. Dan jika dia berburu bagi kali kedua atau ketiga, maka dia pun dikenakan denda bagi yang kedua dan ketiga itu juga.
Keputusan yang telah ditetapkan oleh para sahabat yang menyatakan denda dibayar dengan binatang yang seimbang merupakan pendapat yang lebih utama untuk diikuti. Mereka memutuskan bahawa membunuh burung unta dendanya ialah seekor unta, membunuh lembu liar dendanya ialah seekor lembu, membunuh kijang dendanya ialah biri-biri. Ganti kafarah yang ditetapkan oleh para sahabat berikut sandaran-sandarannya disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh.
Adapun jika binatang buruan bukan termasuk binatang yang ada imbangannya daripada binatang yang jinak, maka Ibnu Abbas رضي الله عنهما telah memutuskan dendanya, iaitu membayar harganya, lalu dibawa ke Mekah. Demikianlah menurut riwayat Imam Baihaqi رحمه الله.
يَحكُمُ بِهِ ذَوا عَدلٍ مِّنكُم
menurut keputusan dua orang yang adil di antara kamu
Namun begitu, penetapan sama ada binatang itu sama atau tidak, perlulah dihakimi oleh orang lain. Hendaklah memilih dua orang yang adil pada waktu itu.
وقال ابن جرير : حدثنا ابن بشار ، حدثنا عبد الرحمن ، حدثنا شعبة ، عن منصور ، عن أبي وائل ، أخبرني أبو جرير البجلي قال : أصبت ظبيا وأنا محرم ، فذكرت ذلك لعمر ، فقال : ائت رجلين من إخوانك فليحكما عليك . فأتيت عبد الرحمن وسعدا ، فحكما علي بتيس أعفر .
وقال ابن جرير : حدثنا ابن وكيع ، حدثنا ابن عيينة ، عن مخارق عن طارق قال : أوطأ أربد ظبيا فقتلته وهو محرم فأتى عمر ; ليحكم عليه ، فقال له عمر : احكم معي ، فحكما فيه جديا ، قد جمع الماء والشجر . ثم قال عمر : ( يحكم به ذوا عدل منكم )
Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Basysyar, telah menceritakan kepada kami Abdur Rahman, telah menceritakan kepada kami Syu’bah, dari Mansur, dari Abu Wail, telah menceritakan kepadaku Ibnu Jarir Al-Bajali, bahawa dia pernah membunuh seekor kijang, sedangkan dia dalam keadaan ihram. Lalu dia menceritakan hal itu kepada Khalifah Umar. Maka Khalifah Umar berkata, “Datangkanlah dua orang lelaki dari kalangan saudara-saudaramu, lalu hendaklah keduanya memutuskan perkaramu itu.”
Maka aku (Ibnu Jarir Al-Bajali) datang kepada Abdur Rahman dan Sa’d, lalu keduanya memberikan keputusan terhadap diriku agar membayar denda berupa seekor domba jantan berbulu kelabu.
(Sanadnya sahih menurut Imam An-Nawawi dalam al-Majmu’ 7/423)
هَديًا بالِغَ الكَعبَةِ
sebagai had-yad yang dibawa sampai ke Ka’abah
Sebagai hadiah yang akan disembelih di Ka’abah. Dagingnya dibahagikan kepada fakir miskin yang ada di situ.
أَو كَفّٰرَةٌ طَعامُ مَسٰكينَ
atau (dendanya) membayar kafarah dengan memberi makan orang-orang miskin
Dan kalau tidak ada binatang yang sebanding, maka hendaklah dibayar kafarah – memberi makan orang miskin. Ada yang mengatakan, bilangan orang yang perlu diberi makan adalah anggaran bilangan jumlah orang dapat makan dengan binatang yang telah dibunuh itu.
Imam Syafi’iy رحمه الله mengatakan, harga ternak yang semisal ditaksirkan sekiranya ada, kemudian harganya dibelikan makanan, lalu makanan itu disedekahkan. Setiap orang miskin mendapat satu mud menurut Imam Syafi’iy رحمه الله, Imam Malik رحمه الله, dan ulama’ fiqh Hijaz. Pendapat ini dipilih oleh Ibnu Jarir رحمه الله.
أَو عَدلُ ذٰلِكَ صِيامًا
atau berpuasa seimbang dengan makanan yang dikeluarkan itu,
Jika orang yang bersangkutan tidak menemukan makanan —atau kita katakan menurut pendapat yang mengatakan boleh memilih sama ada beri makanan atau berpuasa — maka orang tersebut melakukan puasa sebagai ganti memberi makanan setiap orang miskin, iaitu setiap orang diganti untuk sehari puasa. Jika makanan yang sepatutnya disedekahkan itu boleh diberi makan kepada sepuluh orang, maka dia dikhendaki berpuasa selama sepuluh hari.
لِّيَذوقَ وَبالَ أَمرِهِ
supaya dia merasakan akibat buruk daripada perbuatannya.
Dikenakan dengan hukuman yang agak berat ini supaya dia dapat merasakan hukuman Allah ﷻ di atas kesilapannya. Ini dilaksanakan agar menjadi pengajaran baginya (supaya nanti tidak dia lakukan lagi).
]
عَفَا اللهُ عَمّا سَلَفَ
Allah telah memaafkan apa yang telah lalu.
Jika dahulu dia pernah membuat kesalahan itu semasa tidak tahu hukum, maka, ia telah dimaafkan. Allah ﷻ sememangnya Amat Pemaaf.
وَمَن عادَ فَيَنتَقِمُ اللهُ مِنهُ
Dan barangsiapa yang kembali mengerjakannya, nescaya Allah akan menyeksanya.
Namun jikalau sudah tahu tetapi dengan sengaja mengulangi kesalahan itu semula, maka, Allah ﷻ akan menghukumnya. Ia tidaklah sama jika kita buat kesalahan yang kedua setelah kita tahu. Jika tidak tahu, boleh dimaafkan lagi tetapi jikalau buat lagi setelah tahu, maka berat hukumannya.
وَاللهُ عَزيزٌ ذُو انتِقامٍ
Allah Maha Kuasa lagi mempunyai (kekuasaan untuk) menyeksa.
Allah ﷻ boleh hukum kerana Allah ﷻ Maha Perkasa. Dan Allah ﷻ memang akan hukum, kerana lafaz al-aziz ada bersama dengan lafaz dzun-tiqam. Jika setakat dzun-tiqam sahaja, mungkin sahaja Allah ﷻ tidak menggunakan kuasa-Nya untuk menghukum.
Tafsir Ayat Ke-96
Sebelum ini telah diberitahu larangan memburu
binatang semasa dalam ihram. Dalam ayat ini dijelaskan lagi, bahawa binatang darat sahaja yang haram diburu semasa dalam ihram. Manakala binatang laut dibenarkan.
أُحِلَّ لَكُم صَيدُ البَحرِ وَطَعامُهُ مَتٰعًا لَّكُم وَلِلسَّيّارَةِ ۖ وَحُرِّمَ عَلَيكُم صَيدُ البَرِّ ما دُمتُم حُرُمًا ۗ وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي إِلَيهِ تُحشَرونَ
Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut sebagai makanan yang lazat bagimu, dan bagi orang-orang yang dalam perjalanan; dan diharamkan atasmu (menangkap) binatang buruan darat, selama kamu dalam ihram. Dan bertakwalah kepada Allah Yang kepada-Nya-lah kamu akan dikumpulkan.
أُحِلَّ لَكُم صَيدُ البَحرِ وَطَعامُهُ
Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut
Dihalalkan bagi muhrim untuk menangkap binatang laut. Ramai yang mengembara mengerjakan Haji dan Umrah melalui jalan laut dahulu, dan bagi mereka itulah sahaja sumber makanan yang mereka boleh dapat. Maka, Allah ﷻ membenarkan mereka menangkap ikan dan makanan dari laut itu.
Kalimat صَيدُ البَحرِ adalah untuk tangkapan dari laut yang segar (yang ditangkap hidup-hidup) dan طَعامُهُ adalah yang asalnya dari laut, seperti ikan kering, sotong kering dan sebagainya. Boleh juga bermaksud makanan dari laut yang dicampak ke laut setelah ia mati. Boleh juga bermaksud apa-apa sahaja makanan dari laut.
مَتٰعًا لَّكُم وَلِلسَّيّارَةِ
sebagai makanan yang lazat bagimu, dan bagi orang-orang yang dalam perjalanan;
Memang makanan laut dibenarkan untuk kita semua. Dan untuk semua yang bermusafir yang menggunakan jalan laut. Maknanya, jika bukan dalam ihram pun, memang boleh tangkap makanan dalam laut itu.
Jumhur ulama’ menyimpulkan dalil yang menghalalkan bangkai haiwan laut dari ayat ini dan daripada hadith yang diriwayatkan oleh Imam Malik ibnu Anas, daripada Ibnu Wahb;
Dan Ibnu Kaisan daripada Jabir ibnu Abdullah yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ mengirimkan sejumlah orang dalam suatu pasukan dengan misi khusus ke arah pantai. Dan Nabi ﷺ mengangkat Abu Ubaidah ibnul Jarrah sebagai pemimpin mereka. Jumlah mereka kurang lebih tiga ratus orang, dan perawi sendiri (yakni Jabir ibnu Abdullah) termasuk salah seorang daripada mereka.
Kami berangkat, dan ketika kami sampai di tengah jalan, semua bekalan yang kami bawa habis. Maka Abu Ubaidah ibnul Jarrah memerintahkan agar semua bekalan yang tersisa daripada pasukan itu dikumpulkan menjadi satu. Jabir ibnu Abdullah berkata, “Ketika itu bekalanku adalah buah kurma. Sejak itu Abu Ubaidah membahagi-bahagikan makanan sedikit demi sedikit, sehingga semua bekalan habis. Yang kami perolehi daripada bekalan itu hanyalah sebiji kurma. Kami benar-benar merasa kepayahan setelah bekalan kami habis.”
“Tidak lama kemudian sampailah kami di tepi pantai, dan tiba-tiba kami menjumpai seekor ikan paus yang besarnya sama dengan sebuah longgokan tanah yang besar. Maka, pasukan itu memakan daging ikan paus tersebut selama lapan belas hari. Kemudian Abu Ubaidah memerintahkan agar dua buah tulang iga (rusuk) ikan itu ditegakkan, lalu dia memerintahkan agar seekor unta dilalukan di bawahnya; ternyata unta itu tidak menyentuh kedua tulang iga (rusuk) yang didirikan itu (kerana besarnya ikan itu).”
Hadith ini diketengahkan di dalam kitab Sahihain, dan mempunyai banyak jalur bersumber daripada Jabir ibnu Abdullah.
(HR. Muslim No. 1935)
Di dalam kitab Sahih Muslim, melalui riwayat Abuz Zubair, daripada Jabir disebutkan,
“Tiba-tiba di pinggir laut terdapat haiwan yang besarnya seperti tompokan tanah yang sangat besar. Lalu kami menghampirinya, ternyata haiwan tersebut adalah seekor ikan yang dikenali dengan nama ikan paus ‘anbar’.” Abu Ubaidah mengatakan bahawa haiwan ini telah mati. Tetapi akhirnya Abu Ubaidah berkata, “Tidak, kami adalah utusan Rasulullah ﷺ, sedangkan kalian dalam keadaan darurat. Maka makanlah haiwan ini oleh kalian.”
Jabir melanjutkan kisahnya, “Kami memakan ikan tersebut selama satu bulan, sedangkan jumlah kami seluruhnya ada tiga ratus orang, hingga kami semua gemuk kerananya. Kami mencedok minyak ikan daripada kedua mata ikan itu dengan memakai ember (timba) besar, dan daripada bahagian mata itu kami dapat memotong daging sebesar kepala banteng (lembu).”
Jabir mengatakan bahawa Abu Ubaidah mengambil tiga belas orang lelaki, lalu mendudukkan mereka pada liang kedua mata ikan itu, dan ternyata mereka semuanya muat di dalamnya. Lalu Abu Ubaidah mengambil salah satu daripada tulang iga (rusuk) ikan itu dan menegakkannya, kemudian memerintahkan agar melalukan seekor unta yang paling besar yang ada pada kami di bawahnya, dan ternyata unta itu dapat melaluinya dari bawahnya. Kami sempat mengambil bekal daging ikan itu dalam jumlah yang berwasaq-wasaq (cukup banyak).
Selanjutnya Jabir berkata, “Ketika kami tiba di Madinah, kami mengadap kepada Rasulullah ﷺ dan menceritakan kepadanya hal tersebut, maka baginda ﷺ bersabda:
“هُوَ رِزْقٌ أَخْرَجَهُ اللَّهُ لَكُمْ، هَلْ مَعَكُمْ مِنْ لَحْمِهِ شَيْءٌ فَتُطْعِمُونَا؟
Ikan itu adalah rezeki yang dikeluarkan oleh Allah bagi kalian, apakah masih ada pada kalian sesuatu daripada dagingnya untuk makan kami’?” Jabir melanjutkan kisahnya, “Lalu kami kirimkan kepada Rasulullah ﷺ sebahagian daripadanya, dan baginda ﷺ memakannya.”
(HR. Muslim No. 1935)
Maka, daripada hadith-hadith ini kita dapat mengambil hukum bahawa makanan laut itu halal kepada semua orang walaupun bukan dalam musafir.
Di dalam riwayat yang lain:
وَقَالَ مَالِكٌ، عَنْ صَفْوَانَ بْنِ سُلَيم، عَنْ سَعِيدِ بْنِ سَلَمة -مِنْ آلِ ابْنِ الْأَزْرَقِ: أَنَّ الْمُغِيرَةَ بْنَ أَبِي بُرْدَةَ-وَهُوَ مِنْ بَنِي عَبْدِ الدَّارِ-أَخْبَرَهُ، أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُ: سَأَلَ رَجُلٌ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّا نَرْكَبُ الْبَحْرَ، وَنَحْمِلُ مَعَنَا الْقَلِيلَ مِنَ الْمَاءِ، فَإِنْ تَوَضَّأْنَا بِهِ عَطِشْنَا، أَفَنَتَوَضَّأُ بِمَاءِ الْبَحْرِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “هُوَ الطَّهُور مَاؤُهُ الحِلّ مَيْتَتُهُ”.
Malik telah meriwayatkan daripada Safwan ibnu Salim, daripada Sa’id ibnu Salamah, dalam kalangan keluarga Ibnul Azraq, bahwa Al-Mugirah ibnu Abu Burdah dalam kalangan Bani Abdud Dar pernah menceritakan kepadanya bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah mengatakan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah ﷺ, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami biasa menggunakan jalan laut, dan kami hanya membawa persediaan air tawar yang sedikit. Jika kami menggunakannya untuk wudhu’, nescaya kami nanti akan kehausan. Maka bolehkah kami berwudhu’ dengan menggunakan air laut?” Maka Rasulullah ﷺ menjawab: Laut itu suci airnya dan halal bangkainya.
Hadith ini telah diriwayatkan oleh kedua orang imam —iaitu Imam Syafi’iy dan Imam Ahmad ibnu Hambal— serta empat orang pemilik kitab Sunan, dan dinilai sahih oleh Imam Bukhari, Imam Tirmidzi, Ibnu Khuzaimah, dan Ibnu Hibban serta lain-lainnya. Dan telah diriwayatkan hal yang semisal daripada sejumlah sahabat Nabi ﷺ, daripada Nabi ﷺ.
وَحُرِّمَ عَلَيكُم صَيدُ البَرِّ ما دُمتُم حُرُمًا
dan diharamkan atasmu (menangkap) binatang buruan darat, selama kamu dalam ihram.
Yang diharamkan bagi muhrim adalah memburu binatang darat, selama dalam ihram.
وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي إِلَيهِ تُحشَرونَ
Dan bertaqwalah kepada Allah Yang kepada-Nya-lah kamu akan dikumpulkan.
Hendaklah bertaqwa dengan menjaga hukum Allah ﷻ dan takutlah kepada Allah ﷻ. Ini kerana kita akan bertemu dengan-Nya nanti dan akan ditanya apa yang kita telah lakukan selama di dunia. Adakah kita menjaga hukum yang telah diperintahkan-Nya ataupun tidak?
Tafsir Ayat Ke-97
Ayat ini adalah mengenai kelebihan tempat tertentu, yang ada pahala tertentu, berdasarkan maklumat daripada Allah ﷻ dan disampaikan oleh Nabi. Itulah dalil-dalil yang kita mesti gunakan dan bukanlah hanya sekadar dengar-dengar tanpa diketahui dari sumber yang mana. Sebagaimana kekeliruan masyarakat kita semenjak dari dulu lagi, ada yang sangka jika buat ibadat di kubur, ada pahala lebih dan sebagainya; itu adalah fahaman yang salah, kerana mengamalkan ibadat tanpa dalil.
Malangnya, banyak dalam kalangan masyarakat kita yang berbuat begitu. Mereka keliru kerana ada kitab yang menceritakan kelebihan-kelebihan amalan-amalan bid’ah itu. Kitab itu menceritakan tentang kelebihan Hari Haul – iaitu hari ziarah kubur, dan kerana itu ramai yang berduyun-duyun pergi ke kawasan perkuburan tertentu sepertimana manusia pergi mengerjakan Haji.
Ketahuilah bahawa semua ajaran itu asalnya daripada syaitan kerana tidak ada dalil yang sahih. Oleh itu jangan jadikan tempat-tempat itu seperti tempat-tempat ibadat yang Rasulullah ﷺ telah ajar. Malangnya menurut fahaman mereka, ada orang yang kata kalau berbuat ibadat di kawasan perkuburan tertentu, akan mendapat syafaat daripada tok wali penghuni kubur itu. Inilah golongan quburiyyun yang amat banyak di dunia ini, dan malangnya umat Islam pun terlibat dalam hal ini kerana ramai yang sesat. Mereka rapat sangat dengan kubur.
Amalan ini sudah jarang ada di tempat kita tetapi sudah mula memasuki tempat kita dengan kedatangan golongan Habib dari Yaman. Golongan ini memang mengamalkan ajaran sesat ini di Yaman. Banyak sekali amal ibadat yang mereka reka di kuburan wali dan Nabi (kononnya dikatakan kubur Nabi Hud. Bagaimana mereka boleh tahu itu adalah kubur baginda? Sebab ada yang mimpi). Mereka ini golongan sesat yang banyak reka amalan baru. Mereka kata kononnya kalau ikhlas, amalan itu diterima dan dapat pahala banyak dan kelebihan tertentu. Senang sahaja mereka kata padahal perkara itu tidak ada dalil.
Bagi masyarakat kita yang tidak tahu agama, senang sahaja mengikut apa yang mereka lakukan. Begitulah jikalau jahil agama, maka memang akan mudah tertipu oleh mereka yang berperawakan warak (pakai serban, pakai jubah, ada janggut, pegang tasbih sepanjang masa). Oleh itu, kita semua mestilah belajar agama dengan benar dan mesti mendidik masyarakat kita dengan ilmu agama supaya tidak senang ditipu. Jika tidak, mudah sahaja syaitan mempengaruhi mereka dan menyesatkan mereka sehingga masuk neraka yang kekal.
Dalam ayat ini ada 4 perkara yang akan disebut.
۞ جَعَلَ اللهُ الكَعبَةَ البَيتَ الحَرامَ قِيٰمًا لِّلنّاسِ وَالشَّهرَ الحَرامَ وَالهَديَ وَالقَلٰئِدَ ۚ ذٰلِكَ لِتَعلَموا أَنَّ اللهَ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ وَأَنَّ اللهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
Allah telah menjadikan Ka’bah, rumah suci itu sebagai pusat (peribadatan dan urusan dunia) bagi manusia, dan (demikian pula) bulan Haram, had-ya, qalaid. (Allah menjadikan yang) demikian itu agar kamu tahu, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
جَعَلَ اللهُ الكَعبَةَ البَيتَ الحَرامَ قِيٰمًا لِّلنّاسِ
Allah telah menjadikan Ka’abah, rumah suci itu tertegak bagi manusia,
Sekarang Allah ﷻ menceritakan tentang Ka’abah, satu tempat yang berkat. Dalam bahasa Arab, ka’abah adalah sesuatu yang berbentuk empat segi (cubic). Pada zaman itu terdapat sebuah lagi ka’abah di Yaman (dinamakan al-ka’bah al-yamaniah), jadi untuk membezakan dengan Ka’abah di Mekah, maka ditambah maklumat tambahan: البَيتَ الحَرامَ.
Allah ﷻ telah menjadikan Ka’abah tempat manusia boleh membuat hubungan untuk urusan agama – untuk menegakkan agama Allah ﷻ. Ia adalah tempat berkumpul untuk tujuan agama. Di situ adalah tempat untuk melakukan ibadat dan juga tempat mesyuarat untuk seluruh umat Islam.
Ini adalah kerana Mekah itu tempat berkumpul pemimpin dunia supaya mereka boleh bermesyuarat dan membawa pulang amanat daripada khalifah. Jika ada pengumuman penting, ia akan dilakukan di situ. Begitulah yang dilakukan pada zaman sahabat dan khalifah dahulu.
Maksud الحَرامَ: tempat suci yang diharamkan perkara-perkara tertentu. Antaranya tidak boleh membunuh, merosakkan tanaman dan binatang, amalan yang berlawanan dengan Islam dan sebagainya. Maka Ka’abah menjadi tempat yang aman, manusia yang datang tidak berani membuat kacau. Jika seorang nampak pembunuh ayahnya di Ka’abah waktu itu, dia akan menundukkan pandangan dan berlalu pergi tanpa membalas dendam.
Lafaz قِيامًا pula boleh bermaksud yang ia akan tetap ada di situ. Ka’abah tidak akan pergi ke mana-mana. Tidak akan ada cadangan untuk menukar Ka’abah ke tempat yang lain. Ia menjadi sumber ketetapan bagi manusia kerana manusia memerlukan sesuatu yang tetap dan tidak berubah-ubah.
وَالشَّهرَ الحَرامَ
dan bulan Haram,
Dan Allah ﷻ juga telah menetapkan untuk kita dengan bulan-bulan Haram. Dalam empat bulan dalam setahun tidak boleh memulakan peperangan. Ia adalah masa yang diperuntukkan untuk beribadat.
Masyarakat Arab dahulu selalu berperang dan jika peperangan berlangsung sepanjang tahun, maka bilakah waktu untuk membuat amal ibadat pula? Maka Allah ﷻ telah menjadikan 4 bulan Haram di mana perang diharamkan, supaya manusia boleh bermusafir untuk mengerjakan ibadat atau pergi ke mana-mana (untuk berniaga, contohnya).
Kalimah الشهر adalah dalam bentuk mufrad (singular) dan kerana itu ada yang berpendapat ia merujuk kepada bulan DzulHijjah sahaja di mana ia adalah bulan untuk mengerjakan Haji. Akan tetapi umumnya berpendapat ia merujuk kepada semua bulan-bulan Haram: Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah, Muharram dan Rejab. Ia disebut dalam [ Tawbah:36 ] dan dalil khusus disebut dalam hadith:
الزمانُ قد استدارَ كهيئتِه يومَ خلقَ اللهُ السماواتِ والأرضَ ، السنةُ اثنا عشر شهرًا ، منها أربعةٌ حُرُمٌ ، ثلاثةٌ مُتوالياتٌ : ذو القَعدةِ وذو الحِجَّةِ والمُحرَّمُ ، ورجبُ مُضر ، الذي بين جُمادى وشعبانَ
“Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah ﷻ menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban”. (Riwayat Bukhari, No. Hadith 4054)
وَالهَديَ
dan had-ya,
Maksudnya binatang yang telah dikenalpasti untuk korban di Ka’abah. Sebelum tiba musim korban, seseorang itu telah menetapkan dan mengenalpasti binatang yang akan dikorbankan. Mereka akan membawa binatang itu dari kampung mereka (zaman sekarang beli sahaja di Mekah). Sekarang Allah ﷻ beritahu hukum: Jangan diganggu binatang itu. Lihatlah binatang pun mendapat penghormatan kerana ia dikaitkan dengan Ka’abah.
Maka, jika orang bermusafir membawa binatang korban ke Ka’abah, mereka tidak diganggu. Walaupun pada zaman itu terdapat banyak rompakan di jalanan, tetapi mereka menghormati orang yang membawa binatang had-ya.
وَالقَلٰئِدَ
dan qalaid.
Maksudnya adalah kalung bunga yang dipakaikan di leher. Pada zaman dahulu mereka akan pakai sejenis kalung sebagai tanda yang dia akan pergi mengerjakan Haji dan mereka sebegini tidak diganggu. Selain daripada manusia, binatang juga ditanda khas untuk korban di Ka’abah. Jangan diganggu binatang yang telah ditanda itu.
Jadi, Ka’abah menjadi sumber keamanan bagi orang dan juga yang berkaitan dengannya seperti binatang dan manusia yang hendak mengerjakan haji atau umrah itu.
Satu lagi yang tidak disebut di sini tetapi disebut di tempat yang lain, adalah penduduk Mekah itu sendiri. Mereka dihormati di mana-mana tanah Arab kerana mereka dianggap sebagai penjaga Ka’abah. Penduduk tempat lain tidak berani mengganggu mereka. Ini kerana mereka pun ada berhala mereka yang diletakkan berdekatan Ka’abah pada waktu itu. Mereka tidak berani mengganggu penduduk Mekah kerana bimbang berhala mereka akan diapa-apakan pula.
ذٰلِكَ لِتَعلَموا أَنَّ اللهَ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ
demikian itu agar kamu tahu, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi
Ada jumlah muqaddar (maklumat tambahan) di sini – Allah ﷻ yang menjadikan semua yang di atas supaya kamu menyakini bahawa Allah ﷻlah yang maha mengetahui lapisan langit dan bumi. Allah ﷻ hendak melihat sama ada kita boleh atau tidak untuk mengikut cara-Nya, hukum-Nya, atau hanya hendak mengikut nafsu kita sahaja.
Dengan melihat apa kesan Ka’abah (Rumah Allah) kepada manusia, maka manusia sepatutnya boleh melihat ada kelebihan padanya. Allah ﷻ menjaga rumah-Nya dan menjadikan manusia menghormatinya di mana-mana.
وَأَنَّ اللهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
dan bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
Mungkin ada yang tanya kenapa perkara-perkara itu suci dan diharamkan untuk diganggu? Kita kena terima bahawa Allah ﷻ tahu segalanya dan kita tidak tahu. Dan Allah ﷻ tidak perlu menjelaskan untuk kita kenapa sesuatu perkara itu haram atau halal. Kita sebagai manusia kena terima sahaja.
Tafsir Ayat Ke-98
Jika seseorang itu masih berdegil dan tidak mahu ikut rancangan Allah ﷻ, maknanya orang itu sebenarnya ikut syaitan. Syaitan memang akan cuba menyesatkan manusia, mereka akan putarbelitkan fakta dan akan menipudaya manusia. Apakah amaran Allah ﷻ terhadap mereka yang sebegitu?
اعلَموا أَنَّ اللهَ شَديدُ العِقابِ وَأَنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya dan bahawa sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
اعلَموا أَنَّ اللهَ شَديدُ العِقابِ
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya
Jika kamu tidak mahu mengikut juga hukum yang Allah ﷻ telah berikan, tidaklah mengapa. Manusia memang diberikan pilihan sama ada untuk ikut ataupun tidak; manusia tidak dipaksa seperti malaikat dan makhluk yang lain yang kena ikut sahaja.
Namun kena ingat, jika ingin melanggar juga hukum Allah ﷻ, maka kena tahulah yang hukuman yang menanti daripada Allah ﷻ adalah sangat berat. Jangan kata kamu tidak diberitahu awal-awal.
وَأَنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
dan bahawa sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Allah ﷻ bukanlah bersikap keras sahaja, bukan berkehendak mahu menghukum hamba-Nya sahaja. Kenalah tahu juga yang Allah ﷻ bersifat lembut. Dan bagi mereka yang kembali kepada-Nya, Dia Maha Pengampun. Maka, ambillah peluang ini untuk bertaubat. Jika dahulu buat salah, maka bertaubatlah. Itu yang Allah ﷻ mahukan daripada kita.
Allahu a’lam.
#Ilmu#Prihatin#Amal