Kemunculan Semula Dinasti Raja Al Saud dan Wahabi
SIRI 6
Selepas ratusan tahun menjadi pelarian, gabungan tentera Emir Al Saud dan Wahabi muncul semula sebaik sahaja Mustafa Kemal Attaturk membuat rampasan kuasa di Istanbul dan memansuhkan Dinasti Raja Uthmaniyah pada tahun 1924.
Apabila kerajaan Uthmaniyah runtuh, maka tentera Al Saud dan Wahabi bergabung tenaga semula dan mereka melancarkan perang terhadap Raja Hasyimiyah. Rejim Raja Hasyimiyah dan Raja Al Saud mendapat bantuan British yang masih berdendam dengan Uthmaniyah. British membekalkan senjata kepada keduanya (Bani Hashim dan Emir Al Saud). British menaruh harapan Dinasti Hasyimiyah yang akan menang, tetapi harapan mereka meleset kerana pada tahun 1932, Raja Al Saud dan tentera Wahabi telah membuat kemenangan “clean sweep” (sapu bersih) menakluki Mekah dan Madinah serta seluruh Arabia.
Tentera British membawa lari keluarga Hasyimiyah dan mereka ditabalkan menjadi raja di Jordan. Maka, pemerintahan di Jordan sekarang adalah saki baki Dinasti Hasyimiyah.
Pada 28 september 1932, ciut Muhammad Al Saud, iaitu King Abdul Aziz Al Saud mengisytiharkan Arabia sebagai negara baru bernama Saudi Arabia. Keluarga Muhammad Abdul Wahab diserahkan portfolio menjaga urusan agama Arab Saudi sehingga sekarang. Kerjasama politik antara Dinasti Al Saud dan Wahabi telah terjalin selama 300 tahun.
SIRI 7
Mekah dan Madinah jatuh ke tangan King Abdul Aziz Al Saud dan tentera Wahabi pada tahun 1932. Sebelum ini, pernah Mekah dan Madinah ditawan Emir Abdul Aziz Al Saud pada tahun 1800.
Pada kali ini, kerajaan Bani Hasyimiyah telah dibawa ke Jordan. Maka, telah muktamad Arabia menjadi milik Dinasti Al Saud dan Wahabi. Pelajar-pelajar Nusantara yang masih berada di Mekah dan Madinah pada tahun 1932, kesemuanya telah melarikan diri pulang ke Malaya, Patani dan Indonesia. Semuanya menangis dan kecewa kerana kejatuhan dan kekalahan kerajaan Hasyimiyah yang sudah lama memerintah Mekah dan Madinah. Kekecewaan ini dilahirkan dengan sentimen anti Wahabi dan anti Malik Al Saud yang tinggi. Salah seorang pelajar Indonesia bernama Kiyai Haji Sirajuddin Abbas berada di Mekah ketika itu kerana menuntut ilmu. Dia melarikan diri ke kedutaan Belanda di Jeddah dan berjaya pulang ke Malaysia. KH Sirajuddin Abbas inilah yang mencetuskan fenomena anti Wahabi di Indonesia.
SIRI 8
KH Sirajuddin Abbas (wafat 1980) yang melarikan diri dan berjaya pulang ke Jakarta adalah antara tokoh yang amat bencikan Wahabi. Beliau kemudian berjaya menjadi Menteri Agama Indonesia. Bukunya yang berjudul “I’tiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah” terbitan Malaysia, Pustaka Aman Press 1972 di mana beliau telah mengeluarkan Wahabi, Ibn Taymiyyah, Ibnu Qayyim sebagai bukan daripada golongan ahli sunnah wal jamaah (ASWJ). Beliau adalah di antara tokoh nusantara yang amat kuat melancarkan kempen anti Wahabi. Kitab-kitab beliau menjadi kitab-kitab rujukan utama di pesantren dan pondok di Nusantara.
Maka, tidak hairanlah kenapa guru-guru yang mengajar agama di masjid dan surau akan menyambung gagasan anti Wahabi daripada Mufti zaini Dahlan, Mufti kerajaan Uthmaniyah dan Menteri Agama Republik Indonesia, KH Sirajuddin Abbas. Sentimen ini jika dipegang oleh rakyat kita, maka, ia amatlah malang sekali kerana dalam isu sejarah berdarah semenanjung Arabi, rakyat kita telah mengambil sikap menyebelahi kerajaan Hasyimiyah dan Uthmaniyah. Sepatutnya kita hendaklah mengambil sikap berkecuali bukannya dengan menyebelahi kerajaan Uthmaniyah dengan fanatik sekali.
SIRI 9
Apakah implikasi jika anda menyebelahi kerajaan Uthmaniyah dan Hasyimiyah dan terus melahirkan rasa benci terhadap kerajaan Malik Al Saud dan Wahabi Saudi?
Anda adalah sama sahaja seperti orang Syiah. Orang Syiah menyesali kenapa cucu Rasulullah ﷺ dibunuh oleh kerajaan Ummayah di Karbala. Orang Syiah menangis dan memukul diri mereka kerana menyesali tidak dapat menolong Husin bin Ali yang telah dibunuh kejam.
Maka jika anda membenci dan mengutuk Wahabi dan Raja Al Saud, bermaksud anda mahukan kerajaan Uthmaniyah terus berkuasa dan Raja Hasyimiyah terus menjadi khadam dua tanah suci. Ini bermaksud anda masih terperangkap di masa lampau, masih menaruh dendam kepada isu 300 tahun lalu. “You are stuck in the past” (Anda terpaku di masa silam).
Kita hanya akan mati dengan tenang jika kita memaafkan apa yang berlaku di masa lampau dan bergerak ke hadapan. Saudi sudah memang menjadi milik Raja Al Saud sekarang semenjak tahun 1932 dan urusan agama ditadbir dengan keras oleh keluarga wahabi. Mufti sekarang juga berketurunan Muhammad Abdul Wahab. Anda tidak boleh menukar sejarah dan berusaha untuk menggantikannya semula dengan kerajaan Hasyimiyah.
Maka, langkah terbaik adalah hentikanlah sahaja rasa kebencian terhadap sesuatu yang tidak ada kaitan dengan kita. KH Sirajuddin Abbas telah mati, Mufti Zaini Dahlan telah mati. Biarlah mereka dengan permusuhan itu sebab di sisi mereka itu adalah isu survival mereka pada ketika itu: “killed or to be killed”.
Kita semua hidup di alaf baru dan sebagai rakyat Malaysia, apakah kaitan kita dengan Timur Tengah? Fikirkan secara mendalam terlebih dahulu sebelum kita memilih untuk menyokong siapa; Uthmaniyah vs Al Malik Saud.
SIRI 10
Terdapat ramai ustaz di Malaysia, yang beraliran ittiba’ sunnah yang telah dicop sebagai wahabi terutama oleh lima (5) negeri yang amat keras dengan Wahab iaitu Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan dan Kedah. Kelima-lima negeri ini dikenali sebagai “Wahabi Buster States”. Dr Zamihan Mat Zin dari ILIM/JAKIM telah mengeluarkan senarai ustaz dan protaz yang telah dilabel sebagai Wahabi, antaranya adalah Dr Maza, Dr Basit Kelantan, Maulana Asri Kelantan, Dr Johari Mat Kelantan, Dr Rozaimi, Dr Basri Ibrahim Terengganu, Dr Azwira UKM, Ustaz Rasul Dahri, serta ramai lagi.
Label Wahabi ini amat kejam sekali dan tidak sepatutnya dilakukan. Menurut kata Mufti Zaini Dahlan dan KH Sirajuddin Abbas, Wahabi adalah mujassimah (manusia dan tuhan adalah sama sifat dan zatnya), wahabi bukan ASWJ, wahabi adalah militan, pemecah belah negara dan masyarakat. Maka, bayangkan bila si fulan itu dicop Wahabi, maka ia seolah-olah seperti telah menjatuhkan hukuman bunuh. Sedangkan para asatizah yang telah dilabel itu hanyalah membawa aliran ittiba’ sunnah sahaja iaitu mengajak masyarakat beramal dalam agama berasaskan dalil bukannya taqlid buta. Semua yang ditegur adalah amalan dalam isu furu’, isu talqin, isu selamatan arwah, isu qunut, isu bacaan Qur’an kepada mayat sahaja, manakala label wahabi ini lebih merupakan kepada isu pemberontakan bersenjata dan militan. Maka, mana mungkin ustaz yang dilabel ini mempunyai indikasi untuk melakukan kerja-kerja militan di Malaysia?
Oleh itu, kita sebagai masyarakat Islam yang lebih celik akal haruslah jelas akan isu Wahabi ini kerana ia adalah isu Perang Saudara di Jazirah Arab iaitu gerakan kemerdekaan daripada Uthmaniyah dan cita-cita Muhammad Abdul Wahab yang mahukan menghapuskan aliran khurafat dan syirik di Tanah Arab.