Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 77: Selipar Tidak Berbulu Bertali Qibal

Hadis 77: Selipar Tidak Berbulu Bertali Qibal

223
0
Iklan

Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah – Hadis 77, Dari Jakarta, Indonesia

2 Februari 2019, Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin

77 – حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مَنِيعٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو أَحْمَدَ الزُّبَيْرِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنَا عِيسَى بْنُ طَهْمَانَ، قَالَ: أَخْرَجَ إِلَيْنَا أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ نَعْلَيْنِ جَرْدَاوَيْنِ لَهُمَا قِبَالَانِ. قَالَ: فَحَدَّثَنِي ثَابِتٌ بَعْدُ، عَنْ أَنَسٍ، أَنَّهُمَا كَانَتَا نَعْلَيِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

77- Telah bercerita kepada kami Ahmad bin Mani`, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Abu Ahmad Az-Zubayriy, dia berkata: Telah bercerita kepada kami `Isa bin Tahman, dia berkata: Anas bin Malik mengeluarkan kepada kami sepasang selipar tidak berbulu, kedua-duanya mempunyaï dua tali qibal. Dia berkata: Kemudian telah bercerita kepada saya Sabit selepas itu, daripada Anas, bahawasanya kedua-duanya ialah selipar Nabi.

Syarah Adou_Fr:

Dalam hadis ini, `Isa bin Tahman, iaitu seorang tabi`iy kecil yang tinggal di Basrah, bercerita bahawa Anas bin Malik telah menunjukkan kepadanya sepasang selipar. Hadis ini selari dengan hadis ketujuh puluh lima sebelum ini berkenaan Qatadah, yang juga tinggal di Basrah. Justeru, dapat diketahuï bahawa hadis-hadis tentang selipar Nabi ini berlaku di Basrah, setelah Anas bin Malik berpindah ke Basrah dan mati dalam usia 93 tahun.

Anas bin Malik ialah khadam Nabi, iaitu pembantu rumah yang melazimi dan sentiasa bersama Nabi. Justeru, setelah kewafatan Nabi, Anas menyimpan beberapa barangan Nabi sebagai tanda ingatan sekali gus menjadi hartanya yang paling berharga. Antara barang tersebut ialah selipar Nabi ini. Walaupun Anas sudah berhijrah ke Basrah setelah pembukaan `Iraq, Anas masih membawa selipar ini.

Dalam hadis ini, `Isa bin Tahman bercerita bahawa Anas bin Malik telah mengeluarkan dan menunjukkan kepadanya sepasang selipar tidak berbulu yang mempunyaï dua tali qibal pada setiap belahnya. Secara amnya, kita dapat meneka bahawa kejadian ini berlaku di rumah Anas bin Malik, kerana tidak diriwayatkan apa-apa butir-butir yang menyanggah dan menyatakan sebaliknya. Adalah menjadi kebiasaan, apa-apa yang berharga akan disimpan di rumah, dan hanya akan ditunjukkan jika ada pelawat tertentu. Pengecualian adalah jika ia sedang dibawa dalam perjalanan, contohnya ketika sedang berhijrah, dan ketika itu ada orang yang dianggap mempunyaï kepentingan, barulah ia akan ditunjukkan.

Hadis ini menunjukkan sesuatu yang besar, bagaimana Anas bin Malik begitu mencintaï Nabi sehingga dia menyimpan barang-barang peribadi Nabi sebagai pengubat rindu. Ia sama seperti seorang anak yang menyimpan kalung ibunya, atau cincin, atau mungkin juga sehelai baju yang telah dipakai bapanya. Ia tidak semestinya berharga, tetapi ia mempunyaï nilai sentimental atau kenangan yang telah dilaluï bersama-sama. Kadangkala juga, apa yang disimpan itu barangkali adalah sesuatu yang tidak masuk akal seperti sepit tali pusat seseorang bayi, atau duri yang pernah melukakan orang tersebut.

Menyimpan barangan seperti ini, ia bukanlah ajaran atau tuntutan agama, sebaliknya ia adalah kerana dekatnya dan eratnya hubungan antara Anas bin Malik dengan Nabi. Kata Anas bin Malik:

خَدَمْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ سِنِينَ

Saya telah menjadi khadam Nabi selama sepuluh tahun.

Dalam hadis yang lain disebut bahawa ketika itu dia ialah budak-budak berumur lapan tahun.

Eratnya hubungan Anas dengan Nabi selama sepuluh tahun itu menyebabkan dia menghargaï dan mengingati setiap apa yang berlaku antara dia dan Nabi, serta setiap apa yang menjadi milik Nabi.

Inilah yang perlu kita pelajari dan amalkan, bermula dengan ibu bapa kita. Ramai antara kita mula menganggap ibu bapa itu sebagai kurang penting, dan kurang menghargaï dan mengingati apa yang menjadi milik mereka. Tidakkah kita hidup serumah dengan ibu bapa kita sejak kita kecil sehingga besar? Tidakkah tempoh itu lebih panjang daripada sepuluh tahun yang Anas tinggal bersama Nabi? Justeru, jika Anas menghargaï hatta selipar Nabi, mengapa kita pula mengabaikan barang-barang ibu bapa kita? Jika Anas mengingat kata-kata dan nasihat Nabi, mengapa kita pula mengabaikan kata-kata dan nasihat ibu bapa kita?

Cerita hadis ini bukan pada benda bernama selipar. Namun, selipar yang disebut itu mengajak kita merenung tentang dalamnya cinta, tentang bagaimana menghargaï dan mengenang orang yang dicintaï.

Hadis ini juga menyebut satu isi penting untuk dihadam dan ditelan oleh kita. Mengapa Anas tidak menyebut apa-apa tentang selipar itu kepada `Isa bin Tahman? Hatta Anas juga tidak menyebut bahawa ia adalah selipar Nabi!

Bayangkan jika orang-orang dari Nusantara berada dalam kejadian itu, pasti mereka menjadi bingung! Andai selipar itu mempunyaï nilai agama, nescaya Anas bin Malik akan menyampaikannya kepada `Isa bin Tahman. Andai selipar itu perlu dicium, atau disanjung, pasti Anas bin Malik akan menyuruh `Isa bin Tahman mencium dan menyanjung selipar itu. Andai selipar itu boleh memasukkan seseorang ke dalam rahmat Allah dan syurga-Nya, nescaya Anas bin Malik akan menceritakannya kepada `Isa bin Tahman. Namun, apa yang berlaku ialah, Anas tidak menyebut pun bahawa ia selipar Nabi!

Hadis ini menunjukkan bahawa selipar ialah selipar, tidak lebih daripada itu! Telah tersilaplah orang-orang yang tidak mencontohi hadis ini. Bodohlah orang-orang mengangkat, menjunjung dan membesarkan syi`ar selipar, capal dan kasut! Selipar ialah selipar. Capal ialah capal. Kasut ialah kasut. Ia tidak menjadi mulia, dan tidak dimuliakan. Islam tidak diutus untuk memuja kasut atau memuliakannya!

Kita dapat melihat orang yang berlebih-lebihan dalam mengangkat selipar, capal dan kasut ini. Tidakkah membaca hadis ini menunjukkan kepada kita bagaimana mereka cuba berlebih-lebih dalam agama sehingga menunjukkan kebodohan mereka?

Anas bin Malik ialah khadam Nabi. Anas bin Malik menyimpan selipar Nabi. Namun, apakah yang dilakukan oleh Anas terhadap selipar Nabi? Tiada. Tiada apa-apa melainkan sekadar menunjukkan ia sebagai satu bukti kewujudan sahaja. Anas bin Malik tidak menggantung selipar itu di rumahnya. Anas tidak meletakkan selipar itu di kepalanya. Anas tidak mencium selipar itu. Anas tidak mengambil barakah daripada selipar itu. Anas tidak menyucikan dan memuliakan selipar itu.

Adakah kita lebih tahu daripada Anas bin Malik yang tinggal sepuluh tahun di dalam rumah Nabi? Adakah kita lebih tahu daripada Anas bin Malik yang merupakan perawi hadis? Adakah kita lebih tahu daripada Anas bin Malik yang merupakan seorang sahabat?

Membaca hadis Syama’il ini seharusnya mencelikkan mata kita tentang bagaimana mahu memuliakan Nabi, dan apa yang harus dimuliakan. Muhammad menjadi mulia kerana ajaran dan risalah Tuhan. Muhammad tidak menjadi mulia kerana dia memakai selipar, capal atau selipar.

Komen dan Soalan