Utama Fikih Asma'ul Husna ASMAU’L HUSNA – BAB 5: SEMUA NAMA ALLAH ADALAH BAIK (SAMBUNGAN)

ASMAU’L HUSNA – BAB 5: SEMUA NAMA ALLAH ADALAH BAIK (SAMBUNGAN)

202
0
Iklan

Oleh kerana ini, nama-nama Allah adalah sebaik-baiknya nama dan tidak ada yang lebih baik darinya. Tidak ada yang menyamai, menandingi, serta yang menyerupai maknanya. Ada pun mengertikan (menerjemahkan) nama Allah dengan bahasa atau kata yang lain, tidak akan sama dengan kata asalnya, tetapi hal tersebut hanya sekadar untuk mendekatkan kepada pemahaman, dikeranakan kesempurnaannya dalam makna dan lafazhnya. Dikeranakan lafazh dan maknanya yang baik, maka ia adalah nama-nama yang baik, sebagaimana sifat-sifat-Nya Maha sempurna.

Nama-nama-Nya tersifati dengan kebaikan semuanya, tidak ada nama-Nya yang tidak baik, kerana itu adalah nama-nama yang terpuji. Allah Ta’ala dikeranakan keagungan, kesempurnaan, kemuliaan, dan keindahan-Nya tidaklah dinamakan, melainkan dengan nama-nama yang baik, sebagaimana Dia tidak disifati, melainkan dengan sebaik-baiknya sifat dan tidak disanjung, kecuali dengan sebaik-baiknya sanjungan.

[Kita memang ada sentiasa terjemahan nama-nama Allah‎ ﷻ itu. Akan tetapi terjemahan dan penjelasan kita tentang maknanya, tidak ada dapat menyamai makna yang sebenar. Seperti kita kata Dia bersifat Raheem. Kita hanya boleh bandingkan dengan sifat sayang seorang ibu sahaja. Akan tetapi sayang Allah ‎ﷻ lebih lagi daripada itu dan kita tidak ada contoh.

Dan sayang Allah ‎ﷻ bukan seperti sayang makhluk. Sebagai contoh, jika Allah‎ ﷻ kenakan musibah kepada kita, ia masih lagi tanda sayang; bukannya tanda Allah ‎ﷻ benci kepada kita. Pelik, bukan?

Ini seperti firman Allah dalam Sajdah:21

وَلَنُذِيقَنَّهُم مِّنَ الْعَذَابِ الْأَدْنَىٰ دُونَ الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Dan Sesungguhnya Kami merasakan kepada mereka sebahagian azab yang dekat (di dunia) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat), mudah-mudahan mereka kembali (ke jalan yang benar).

Allah ‎ﷻ berikan musibah kecil ini kerana sayang kepada kita. Ini kerana apabila kita kena musibah, ia akan memberi kesan kepada kita, mengingatkan kita kepada Allah ‎ﷻ dan kembali kepada jalan yang benar. Maka ini salah satu cara Allah ‎ﷻ ingin memberikan peringatan kepada manusia dan mengembalikan dia kepada jalan yang benar. Manusia ini kadangkala bila sudah jatuh terduduk barulah dia sedar diri dan mahu bertaubat.

Maka kalau Allah ‎ﷻ kenakan benda buruk kepada kita bukanlah itu tanda Allah ‎ﷻ benci kepada kita. Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak beri peringatan kepada kita. Maka Allah ‎ﷻ beri musibah boleh jadi tanda Allah sayang kepada kita. Kalau kita tidak dapat faham perkara ini, maka alangkah ruginya. Ini kerana manusia tidak nampak aspek ini pada sifat Allah‎ ﷻ.

Sedarlah yang Allah‎ ﷻ maha tahu apa yang kita perlukan kerana Dia yang menjadikan kita. Maka kerana itu ada benda yang kita doa, Allah ‎ﷻ tidak beri. Sebenarnya ada kebaikan kerana Allah ‎ﷻ yang tahu apa yang baik bagi kita. Bukan semua benda manusia doa, Allah ‎ﷻ kena beri. Kerana kalau Allah ‎ﷻ beri semua yang manusia minta, rosaklah alam ini. Sebab ada yang doa supaya hujan tidak turun. Tapi petani perlukan hujan, bukan? Maka keperluan alam Allah ‎ﷻ akan sediakan mengikut kadar keperluan. Bukannya kena ikut kehendak kita.

Maka jangan bandingkan cara sayang makhluk dengan cara sayang Allah ‎ﷻ pula. Sebab tidak akan sama. Kita tidak akan mampu. Maka terjemahan nama-nama Allah ‎ﷻ hanyalah cubaan kita untuk mengenali Allah ‎ﷻ. Namun kita tidak akan dapat pemahaman yang sepenuhnya.]

Nama-nama Allah semuanya baik dikeranakan ia menunjukkan akan sifat yang sempurna dan agung bagi-Nya. Adapun jika nama itu baik, tetapi tidak menunjukkan akan sifat yang sempurna, maka itu bukanlah nama Allah. Nama yang tidak menunjukkan akan sifat sempurna, kemungkinan menunjukkan akan kekurangan atau terbagi menjadi sifat terpuji dan sifat yang tercela. Hal ini bukanlah termasuk nama Allah.

Semua nama Allah itu harus berdasar dalil dan menunjukkan akan sifat kesempurnaan dan kemuliaan bagi Allah Ta’ala. Nama-nama Allah semuanya baik ditinjau dari sisi makna dan hakikatnya, bukan hanya dari lafazhnya, kerana jika hanya dari lafazhnya tanpa makna tidaklah boleh dikatakan baik, dan tidak dapat menunjukkan pujian dan kesempurnaan. Hal tersebut akan menjadikan nama Allah yang menunjukkan akan kekerasan, kemurkaan, dan seksa boleh diganti dengan nama yang menunjukkan akan kasih sayang dan kebaikan, atau sebaliknya.

Semisal, “Ya Allah sesungguhnya aku telah menzalimi diriku, maka ampunilah aku, kerana Engkau sangat pedih siksamu”; atau: “Ya Allah berilah aku, kerana engkau yang dapat mencegah dan menggenggam”, dan lain sebagiannya dari ucapan yang kurang tepat.

[Maka nama Allah ‎ﷻ bukan sahaja terbaik, tetapi sifat-Nya juga terbaik. Ini tidak sama seperti manusia yang hanya sebut pada nama sahaja namun tidaklah menjadi sifat dia. Sebagai contoh, mungkin nama dia Nur Islam tetapi tidak nampak pun cahaya keislaman pada dirinya. Mungkin nama dia Razak tetapi dia miskin, asyik tidak cukup rezeki sahaja. Maknanya setakat pada nama sahaja.

Nama manusia gelaran bagi dia sahaja. Sebab manusia tetap kena ada nama, kalau tidak ada nama susah pula kita hendak panggil dia, bukan? Namun nama Allah ‎ﷻ baik, sifat-Nya juga baik dan terbaik. Ia bukan hanya panggilan semata-mata.

Walau bagaimanapun bukanlah hanya sifat yang cantik-cantik seperti pemurah, pemaaf sahaja. Ada juga nama Allah ‎ﷻ yang menakutkan seperti yang keras seksaan-Nya. Ini pun sifat Allah ‎ﷻ juga. Jangan pandang sifat yang kita suka sahaja. Kena lihat juga kepada nama-nama Allah ‎ﷻ yang menakutkan kita supaya kita takut untuk membuat dosa. Kenalah sebut juga.

Ini penting kerana kena ada khauf dan raja’. Takut dan harap dua-dua kena ada. Kalau berharap sahaja tanpa ada sifat takut kepada Allah ‎ﷻ, maka manusia akan menjadi lalai dan tidak takut membuat dosa. Dan dibimbangi manusia rasa bagaikan senang sahaja hendak masuk syurga.

Semua nama Allah ‎ﷻ hendaklah ada dalil sandarannya. Kena diambil daripada Al-Qur’an atau daripada hadith yang sahih. Tidak boleh direka-reka seperti golongan sufi reka nama Allah menjadi hu-hu-hu (Dia-Dia-Dia). Ini adalah rekaan yang bathil.

Lebih teruk lagi kalau dengan miau kucing pun ada yang kata itu adalah lafaz ya raheem, ya raheem. Ini adalah mengarut kerana tiada dalil dan kita pun tidak tahu bahasa kucing. Ya binatang malah benda jamad (yang tidak hidup) pun ada berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Akan tetapi tidaklah perlu kita hendak terjemah pula zikir mereka itu.

99 nama yang selalu dinasyidkan oleh masyarakat kita pun tidak sahih kesemuanya. Nanti kita akan senaraikan yang sahih dan kita akan bincangkan satu persatu.

Nama Allah ‎ﷻ bukan sahaja baik dari segi lafaz sahaja tetapi maknanya sekali. Maka kena belajar apakah maksud sesuatu nama itu supaya kita tidak tersilap faham.

Allah ‎ﷻ juga tidak ada nama tanpa makna. Nama Allah ‎ﷻ bukan kosong. Semua nama Allah ‎ﷻ ada maknanya yang kita kena pelajari. Bila kita pelajari maka kita akan lebih mengenali Allah ‎ﷻ. Nama Allah ‎ﷻ bukan sekadar nama. Berbeza dengan nama manusia yang mungkin tidak kena mengena dengan nama dia. Akan tetapi nama Allah ‎ﷻ semua ada maknanya. ]

Komen dan Soalan