BAB 5: SEMUA NAMA ALLAH ADALAH BAIK
Allah banyak memuji di dalam Al-Qur’an Al-Karim, nama-nama-Nya yang mulia dan menyifatinya dengan kebaikan. Allah mengulang penyifatan-Nya tersebut di dalam Al-Qur”an dalam empat tempat.
[Kalimah al-husna bukan sahaja bermaksud ‘baik’, tetapi ia juga bermaksud ‘terbaik’. Sebab itulah kita pun sudah biasa dengan gelaran asmaul husna (nama-nama yang terbaik) kerana kalimah الحُسنىٰ adalah jamak bagi الأحسن dan bukanlah الحسن. Ia adalah dalam bentuk feminite yang superlative.
Maknanya tidak ada yang lebih baik dalam apa bentuk sekali pun. Dalam semua benda lain, ada baik dan buruknya (pro and cons). Seperti kita beli telefon, ada bagus dan ada ciri yang tidak bagus di dalam telefon itu. Namun apabila Allah ﷻ sebut nama-Nya الحُسنىٰ ia bermaksud tidak ada yang tidak baik di dalamnya. Sudahlah terbaik, tidak ada yang tidak baik.
Kalimah الأَسماءُ الحُسنىٰ yang selalu kita sebut ini adalah disebut di dalam 4 tempat di dalam Al-Qur’an.]
وَلِلَّهِ الأَسماءُ الحُسنىٰ فَادعوهُ بِها ۖ وَذَرُوا الَّذينَ يُلحِدونَ في أَسمائِهِ ۚ سَيُجزَونَ ما كانوا يَعمَلونَ
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.” (QS. Al-A’raf: 180)
[Dalam ayat ini disebut untuk memulaukan orang yang menyimpang dalam hal asmaul husna ini. Ini nanti akan dibincangkan di dalam tajuk yang lain nanti, in sha Allah.]
قُلِ ادعُوا اللهَ أَوِ ادعُوا الرَّحمٰنَ ۖ أَيًّا ما تَدعوا فَلَهُ الأَسماءُ الحُسنىٰ ۚ
Katakanlah: “Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai al asmaaul husna (nama-nama yang terbaik)
اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ
“(Dialah) Allah! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, bagiNyalah segala nama yang baik.” (QS. Thaha: 8)
هُوَ اللهُ الخٰلِقُ البارِئُ المُصَوِّرُ ۖ لَهُ الأَسماءُ الحُسنىٰ ۚ يُسَبِّحُ لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
“Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Asmaaul Husna. Bertasbih kepada-Nya apa yang di langit dan bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” Hashr: 24
Di dalam ayat-ayat ini, ada penyifatan tentang nama-namaNya dengan kebaikan, maksudnya nama-nama tersebut sampai kepada puncak kesempurnaan dan kebaikan, tidak ada yang lebih baik darinya dari segala segi. Bahkan nama-nama tersebut memiliki kebaikan yang sempurna secara mutlak, dikeranakan ia adalah nama-nama yang terbaik dan termulia. Seperti yang Allah telah berfirman:
وَلَهُ المَثَلُ الأَعلىٰ فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ
“Dan bagi-Nyalah sifat yang Maha Tinggi di langit dan di bumi;’ (QS. Ar-Ruum: 27) maksudnya, yang sempurna dan yang agung dalam dzat, nama, dan sifat-Nya.
[Allah ﷻ telah memberikan perumpamaan yang terbaik. Kita tidak tahu hakikat nama Allah ﷻ yang sebenarnya. Namun begitu, Allah ﷻ telah berikan perumpamaannya supaya kita faham sikit-sikit. Seperti kita tahu makna ‘sayang’, akan tetapi kita tahu dan dapat faham bagaimanakah sayang tahap Allah ﷻ itu. Tetapi kita dapat juga tahu sikit-sikit kerana bagaimana kita hendak berdoa kepada Allah ﷻ jika kita tidak tahu sedikit sebanyak makna ‘sayang’ itu? Namun begitu, apa sahaja yang kita faham mengenai sifat Allah ﷻ itu terlebih-lebih lagi daripada apa yang kita faham.
Sebagai contoh, Rasulullah ﷺ pernah memberi perumpamaan tentang cemburu manusia. Kemudian baginda sebut: Allah ﷻ lagi cemburu.
Nama-nama Allah ﷻ sudah sempurna tanpa perlu ditokok tambah lagi. Kita tidak mampu untuk menambahbaik nama-nama itu. Memang di luar kemampuan akal kita.
Seumpama selawat untuk Rasulullah ﷺ. Allah ﷻ suruh kita selawat. Tetapi kita pun tidak tahu bagaimana selawat terbaik. Jadi bagaimana selawat kita? Kita serahkan kepada Allah ﷻ, bukan? Cuba lihat lafaz selawat kita: Ya Allah, selawatlah kepada Nabi. Ini kerana Allah ﷻ sahaja yang tahu apa terbaik untuk baginda.
Akan tetapi ada juga golongan yang rasa tidak cukup dengan hal ini. Mereka nampak selawat itu ‘biashe-biashe’ sahaja. Maka ada yang sanggup menokok nambah dengan pelbagai jenis selawat-selawat rekaan. Ini bahaya dan hanya membuang masa. Ia tidak patut dilakukan.
Dan golongan sebegitu juga pun rasa nama Allah ﷻ yang sudah hebat itu pun tidak cukup. Maka ada yang reka nama-nama Allah ﷻ yang lain. Yang entah datang dari mana. Ada yang konon kata itu adalah zikir para malaikat. Bilakah masa pula mereka berjumpa dan berbincang dan belajar daripada malaikat? Entahlah. Ini selalunya daripada golongan yang suka mimpi sebab rajin tidur. Semua dapat daripada mimpi-mimpi mereka. ]