Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-76 hingga Ke-80

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-76 hingga Ke-80

1034
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-76

Ini adalah tentang kekufuran manusia selain daripada kesalahan menduakan Allah ‎ﷻ. Ini kerana ada banyak lagi akidah yang kufur. Ada yang mempercayai selain Allah ‎ﷻ mempunyai kuasa yang boleh membantu mereka mendapatkan sesuatu atau mengelak daripada kemudaratan.

قُل أَتَعبُدونَ مِن دونِ اللَّهِ ما لا يَملِكُ لَكُم ضَرًّا وَلا نَفعًا ۚ وَاللَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ

Katakanlah: “Mengapa kamu menyembah selain daripada Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi mudharat kepadamu dan tidak (pula) memberi manfaat?” Dan Allah-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.


قُل أَتَعبُدونَ مِن دونِ اللَّهِ ما لا يَملِكُ لَكُم ضَرًّا وَلا نَفعًا

Katakanlah: “Mengapa kamu menyembah selain daripada Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi mudarat kepadamu dan tidak (pula) memberi manfaat?”

Allah‎ ﷻ suruh tanya kepada mereka yang melakukan syirik: “Patutkah kamu seru dan puja selain daripada Allah?” Ini adalah dalam bentuk umum, bukan berkenaan Nabi Isa عليه السلام sahaja seperti dalam ayat-ayat sebelum ini kerana selain Nabi Isa عليه السلام, ada lagi selain Allah ‎ﷻ yang dipuja dan disembah. Selalunya ia adalah Nabi, wali dan malaikat.

Allah ‎ﷻ memberikan hujah, kenapa hendak disembah mereka sedangkan mereka tidak ada kuasa untuk memberikan bahaya atau faedah pun. Yang boleh memberi faedah dan memberi bahaya itu Allah ‎ﷻ sahaja, maka sembah Allah ‎ﷻlah sahaja.

Kita tahu yang selain Muslim banyak menyembah tuhan-tuhan rekaan mereka. Itu sudah biasa. Akan tetapi malangnya dalam kalangan umat Islam pun ada menyembah selain Allah ‎ﷻ. Dan ini banyak dilakukan sebenarnya. Ada yang reka fahaman sembah kubur dan meminta pertolongan dengan ahli kubur. Antaranya adalah golongan Brelvi di India dan juga golongan Habib yang asalnya dari Yaman dan fahaman sesat mereka telah diimport ke negara kita ini.

Bagaimana pula orang Islam boleh melakukan perkara terkutuk ini? Kerana mereka jahil daripada wahyu dan tidak tahu apakah tauhid dan bagaimana membezakannya dengan syirik. Inilah yang terjadi apabila Al-Qur’an hanya dibaca tanpa diketahui maknanya kerana pelajaran tafsir sudah asing dalam kalangan masyarakat kita.


وَاللَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ

Dan Allah-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Ini adalah dua sifat tentang Allah ‎ﷻ yang penting yang patut kita faham dan ingat. Allah ‎ﷻ beritahu hanya Dia sahaja yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Oleh kerana itu, tidaklah perlu untuk berharap kepada selain daripada Dia. Kerana yang selain daripada Allah ‎ﷻ tidak ada kelebihan itu.

Ini kerana kalau kita sembah atau berdoa kepada sesiapa, tentulah kita berharap dia dapat dengar apa yang kita katakan dan dia dapat menyelesaikan masalah kita dan memenuhi kehendak kita. Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu, hanya Dia lah sahaja yang ada kelebihan ini. Kalau sembah ahli kubur contohnya seperti yang banyak dilakukan, mereka sudah mati dan tidak dapat mendengar. Kalau letupkan bom di kubur mereka pun mereka tidak mendengar.

Lagi satu keperluan kita dalam berdoa adalah meminta kepada yang tahu boleh menyelesaikan masalah kita. Tahu akan kepayahan kita, tahu kehendak kita dan tahu bagaimana hendak selesaikan. Sifat ini hanya ada pada Allah ‎ﷻ sahaja. Selain Allah ‎ﷻ tidak ada kuasa ini. Termasuklah ahli kubur yang di dalam kubur itu.

Oleh kerana itu, Allah ‎ﷻ telah beritahu kepada kita dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an termasuk dalam ayat ini, untuk sembah dan seru Dia sahaja. Minta apa sahaja kepada-Nya dan jangan minta kepada yang lain. Dia telah buka pintu seluas-luasnya untuk kita menyeru dan berdoa kepada-Nya. Carilah jalan untuk mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ.

Namun bukanlah dengan jalan yang dilarang, tetapi melalui ibadat-ibadat yang sunnah. Selepas berbuat ibadat, maka berdoalah kepada-Nya. Ambillah peluang yang ada, selagi kita hidup ini kerana apabila sudah mati nanti, tidak boleh lagi mampu untuk membuat apa-apa.

Tafsir Ayat Ke-77

Ayat zajrun dan teguran yang amat penting dalam ayat ini: JANGAN GHULUW dalam agama.

قُل يٰأَهلَ الكِتٰبِ لا تَغلوا في دينِكُم غَيرَ الحَقِّ وَلا تَتَّبِعوا أَهواءَ قَومٍ قَد ضَلّوا مِن قَبلُ وَأَضَلّوا كَثيرًا وَضَلّوا عَن سَواءِ السَّبيلِ

Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus”.


قُل يٰأَهلَ الكِتٰبِ لا تَغلوا في دينِكُم غَيرَ الحَقِّ

Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu.

Ini adalah nasihat yang amat penting, termasuk kepada kita pun. Jangan melampau batas dalam agama. Sebagaimana golongan ahli kitab sebelum kita, mereka ada yang mengangkat Nabi Isa عليه السلام menjadi tuhan atau anak tuhan atau merendahkan Nabi Isa عليه السلام sebagai anak zina. Dan golongan Yahudi pula berlebihan dalam mengatakan Nabi Uzair عليه السلام itu juga anak tuhan.

Iaitu melampau dengan tidak haq, dengan tidak benar, reka perkara baru dalam agama tanpa dalil daripada wahyu. Ini telah terjadi pada zaman dahulu pada agama Yahudi dan Nasara, malangnya ia sudah termasuk ke dalam agama Islam pula. Ramai yang melampau dalam agama sehingga mengambil perkara yang tidak benar sebagai pegangan. Mereka menjadikan seolah-olah agama Islam ini tidak lengkap lagi, kerana itu perlu di’perbaiki’ dan ditambah sana dan sini.

Mereka melakukan perkara yang tidak ada dalam nas. Kita kena sedar yang kita kena berpegang dengan nas. Dalil adalah segala-galanya dalam agama. Yang sudah disampaikan kepada kita sudah cukup dan kerana itu tidak perlu buat lebih daripada yang sepatutnya. Kalau dibenarkan reka fahaman dalam agama tanpa disandarkan kepada dalil nas daripada wahyu, maka agama kita pun boleh berubah menjadi seperti Yahudi dan Nasrani.

Banyak sekali contoh yang boleh diberikan. Ada yang kata Nabi Muhammad ﷺ tidak wafat, ada yang minta tolong dengan baginda, puja baginda, ada yang kata baginda Tuhan (Allah), ada yang seru-seru baginda dalam qasidah dan selawat dan pelbagai lagi perkara ghuluw dalam agama. Ini adalah dari segi fahaman.

Ada juga yang reka amalan ghuluw pula. Kerana itu ada golongan yang berzikir sampai tidak tidur, ada yang melampau sehingga buang harta benda kerana kononnya mahu zuhud, ada yang mengkafirkan puak yang tidak sehaluan dengan mereka, ada yang reka salat yang tidak ada nas; banyak lagi perkara agama yang masyarakat kita melampau juga.

Semua ini timbul kerana jauh daripada ajaran wahyu. Wahyu tidak dipelajari maka mudah bagi syaitan untuk mengambil peluang membisikkan fahaman dan amalan baru. Akhirnya menjadi ghuluw dan tidak nampak kesudahannya. Kalau kita ada fahaman dan ilmu wahyu, maka senang untuk kita tolak fahaman-fahaman yang tidak ada asas dalam wahyu.


وَلا تَتَّبِعوا أَهواءَ قَومٍ قَد ضَلّوا مِن قَبلُ

Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya

Dan jangan ikut hawa nafsu kaum yang telah sesat sebelum ini. Bagi pihak ahli kitab, mereka ada golongan sebelum mereka yang telah melampau dalam agama, maka janganlah ikut lagi. Perbetulkanlah semula jalan agama, kembalilah kepada mentaati Allah dengan mentaati Nabi-Nya yang akhir, Nabi Muhammad ﷺ. Pelajarilah wahyu Al-Qur’an dan wahyu Sunnah daripada hadith-hadith yang sahih.

Pegang hadith-hadith yang sahihlah sahaja. Tidak perlu untuk mempertahankan amalan daripada hadith yang dhaif, apatah lagi palsu. Kenapa perlu diamalkan amalan daripada hadith yang dhaif sedangkan ada banyak lagi amalan daripada hadith yang sahih. Apakah sudah selesai diamalkan amalan daripada hadith yang sahih? Jika diamalkan hadith sahih, sudah pasti dapat pahala. Jika diamalkan daripada hadith yang dhaif, adakah pasti mendapat pahala?

Jika hadith dhaif pun ada masalah, apatah lagi hadith palsu. Ia patut ditolak terus dengan satu nafas sahaja. Namun malangnya ada pula yang kata jika hadith palsu, tidak semestinya amalan itu palsu. Ini sudah kenapa, sampai hadith palsu pun hendak dipertahankan? Apa sudah habis amalan yang sahih sampai amalan palsu pun hendak dipertahankan?

Kalau yang jahil menganjurkan perkara ini, kita boleh faham. Tetapi kenapa ada agamawan jadi pendokong hadith palsu pula? Kenapa teruk sangat sampai jadi begini? Ini pun ghuluw juga.

Mengikut hawa nafsu adalah melakukan sesuatu tanpa dalil sahih. Ini boleh membawa kepada kesesatan. Dan kita pun tahu, ramai yang telah sesat sebelum kita. Antaranya puak Ahli Kitab itu. Kita kena pelajari apakah kesalahan dan kesilapan mereka supaya kita jangan jadi seperti mereka. Mereka banyak reka benda baru dalam agama, sampai jadi sesat dan jadi pelik agama itu, maka janganlah kita ikut mereka. Mereka reka perkara baru kerana mereka sudah jauh daripada wahyu, tidak hiraukan wahyu. Itulah punca asalnya.

Maka kena kembali belajar apakah yang dikatakan oleh wahyu (oleh Allah ‎ﷻ dan Rasul). Kalau kita tidak ikut dalil yang ada dalam nas yang sahih, maka itu maksudnya kita telah menggunakan hawa nafsu kita dalam beragama. Kena rasa cukup dengan apa yang Allah ‎ﷻ dan Nabi telah sampaikan kepada kita. Kalau rasa tidak cukup sampai kena tambah dengan benda lain, ini sudah ada masalah dalam hati dan minda.


وَأَضَلّوا كَثيرًا

dan mereka telah menyesatkan ramai

Bukan sahaja agamawan Ahli Kitab itu telah sesat, mereka juga sangat banyak menyesatkan orang lain. Mereka selalu mengeluarkan diayah-diayah mereka yang menyesatkan manusia. Diayah Yahudi dan Nasrani itu semua dipanggil hawa nafsu kerana hendak menyesatkan orang lain.

Hingga ke hari ini mereka masih sesat lagi. Mereka tidak mahu melihat agama Islam berjaya. Ini telah dibincangkan dalam Surah Baqarah dengan panjang lebar kerana surah itu menceritakan tentang sifat mereka.

Mereka menyesatkan orang ramai kerana mereka dipandang sebagai agamawan. Dan kita pun tahu yang agamawan dipandang tinggi di dalam masyarakat. Sampai ke satu tahap agamawan tidak boleh ditegur. Seolah-olah mereka itu maksum pula. Padahal mereka juga manusia yang tidak sunyi daripada kesilapan.

Bahaya bagi orang yang dipandang sebagai agamawan ini adalah kerana mereka dikuti sahaja oleh orang awam yang jahil agama. Kerana mereka sangka kalau ‘orang agama’ buat, tentulah benar. Jadi hasilnya bukan satu orang sahaja yang sesat, tetapi ramai lagi yang menjadi sesat.

Namun yang menjadi sesat adalah mereka yang jahil ajaran wahyu sahaja kerana mereka itu orang mengikut sahaja sesiapa yang dipandang hebat. Mereka inilah yang senang tertipu dan memang ramai pun dalam masyarakat kita. Jadi tidak menghairankan kalau ada pentaksub dalam masyarakat.


وَضَلّوا عَن سَواءِ السَّبيلِ

dan mereka tersesat dari jalan yang lurus

Mereka amat jauh dari jalan yang lurus. Ini yang bahaya sekali. Maka, kalau kita mahukan jalan yang lurus, kena berhati-hati dengan penipuan daripada golongan agama dan jangan terpedaya dengan diayah mereka. Jangan tersalah pilih siapa yang kita ikut. Kita kena gunakan akal yang waras dan kritis.

Kena jadi pandai sedikitlah, jangan hanya terima sahaja. Jangan hanya dilihat kepada perawakan daripada jubah serban yang dipakai mereka. Itu hanya luaran sahaja dan tidak melambangkan benar atau tidaknya orang itu. Mungkin juga kerana perawakan golongan Habib yang berserban dan berjubah itulah yang menyebabkan ramai tertipu dengan mereka.

Tafsir Ayat Ke-78

Ini adalah ayat takhwif duniawi. Golongan Yahudi itu masih ada peluang untuk bertaubat, tetapi jangan sampai Tuhan tarik balik. Mereka kena takut Allah ‎ﷻ melaknat mereka kerana kalau mereka dilaknat, Allah ‎ﷻ tidak beri taufiq terus sampai bila-bila. Jadi mereka kena segera bertaubat dan jangan tangguh lagi.

Perbuatan menangguhkan sesuatu yang baik itu dipanggil taswif. Ia diambil daripada kalimah سوف (akan). Selalu kita lihat, bagaimana ada orang yang sudah nampak kepentingan agama dan kebenaran sunnah, tetapi mereka tangguh untuk beramal, tangguh untuk belajar: “Nanti aku akan beramal…nanti aku akan belajar… nanti aku akan buat baik”.

Akhirnya tidak belajar-belajar langsung atau tidak buat sampai ke sudah. Ini adalah kerana syaitan akan membisikkan kepada mereka untuk melengahkan perbuatan baik itu. ‘Tangguh’ adalah satu senjata syaitan. Memang ramai manusia hendakkan kebenaran tetapi disibukkan dengan perkara lain oleh bisikan syaitan. Jadi akhirnya tidak patuh kepada Allah ‎ﷻ juga.


لُعِنَ الَّذينَ كَفَروا مِن بَني إِسرٰءيلَ عَلىٰ لِسانِ داوودَ وَعيسَى ابنِ مَريَمَ ۚ ذٰلِكَ بِما عَصَوا وَّكانوا يَعتَدونَ

Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas.


لُعِنَ الَّذينَ كَفَروا مِن بَني إِسرٰءيلَ

Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israel

Telah dilaknat orang kafir dalam kalangan Bani Israel dahulu sejak lama dahulu. Ini adalah kerana banyak kesalahan yang mereka telah lakukan. Kita kena belajar apakah kesilapan mereka supaya kita jangan mengulangi.


عَلىٰ لِسانِ داوودَ وَعيسَى ابنِ مَريَمَ

dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam.

Laknat itu disebut sendiri daripada lidah Nabi Daud dan Nabi Isa عليهما السلام. Maknanya laknat mereka telah disebut semasa dua Nabi itu hidup lagi. Nabi Daud عليه السلام telah melaknat umat baginda pada waktu itu dan mereka telah menjadi babi. Dan Nabi Isa عليه السلام pun pernah melaknat umatnya dan mereka telah ditukar menjadi monyet.


ذٰلِكَ بِما عَصَوا

Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka

Kenapa mereka sampai dilaknat? Kerana mereka selalu derhaka. Perkara yang disuruh tidak dibuat. Mereka derhaka kepada arahan Allah ‎ﷻ.


وَّكانوا يَعتَدونَ

dan selalu melampaui batas

Dan juga kerana mereka selalu melampaui batas – melanggari apa yang dilarang. Mereka buat perkara yang di luar daripada batasan syarak. Wahyu tidak sebut pun tentang sesuatu perkara itu, tetapi mereka lakukan juga.


Tafsir Ayat Ke-79

Sekarang disebut satu lagi kesalahan umat terdahulu. Ini penting supaya kita pun jangan mengabaikan satu tanggungjawab penting ini: amar ma’ruf nahi mungkar.

كانوا لا يَتَناهَونَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلوهُ ۚ لَبِئسَ ما كانوا يَفعَلونَ

Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.


كانوا لا يَتَناهَونَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلوهُ

Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat.

Ini adalah salah satu daripada kesan apabila mereka telah dilaknat. Mereka tidak saling mencegah mungkar yang dibuat dalam kalangan mereka. Sudah tiada siapa yang tegur sesiapa lagi. Mereka hanya melihat sahaja kesalahan yang dilakukan oleh orang lain yang dilakukan depan mata mereka. Mereka sudah tidak menjalankan amar makruf nahi mungkar.

Ini adalah kerana mereka sendiri sudah tidak kisah tentang agama pun. Kalau masyarakat Islam kita pun jadi begini juga, maka kita akan jadi seperti Bani Israel juga.

Kemungkaran yang dimaksudkan adalah yang terbesar iaitu mungkar akidah.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّ أَوَّلَ مَا دَخَلَ النَّقْصُ عَلَى بني إِسْرَائِيلَ كَانَ الرَّجُلُ يَلْقَى الرَّجُلَ فَيَقُولُ: يَا هَذَا، اتَّقِ اللَّهَ وَدَعْ مَا تَصْنَعُ، فَإِنَّهُ لَا يَحِلُّ لَكَ. ثُمَّ يَلْقَاهُ مِنَ الْغَدِ فَلَا يَمْنَعُهُ ذَلِكَ أَنْ يَكُونَ أَكِيلَهُ وَشَرِيبَهُ وَقَعِيدَهُ، فَلَمَّا فَعَلُوا ذَلِكَ ضَرَبَ اللَّهُ قُلُوبَ بَعْضِهِمْ بِبَعْضٍ، ثُمَّ قَالَ: {لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُدَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ} إِلَى قَوْلِهِ: {فَاسِقُونَ} ثُمَّ قَالَ: “كَلَّا وَاللَّهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ولتَنهون عَنِ الْمُنْكَرِ، ولتأخذُنَّ عَلَى يَدِ الظَّالِمِ، ولَتَأطرنَّه عَلَى الْحَقِّ أطْرا -أَوْ تَقْصُرْنَهُ عَلَى الْحَقِّ قَصْرًا”.

Daripada Abdullah ibnu Mas’ud yang menceritakan bahwa Rasulullah ﷺ telah bersabda: Sesungguhnya kekurangan yang mula-mula dialami oleh kaum Bani Israel ialah bilamana seorang lelaki bertemu dengan lelaki lain (dalam kalangan mereka), maka dia berkata kepadanya, “Hai kamu, bertaqwalah kepada Allah dan tinggalkanlah dosa yang kamu lakukan itu, sesungguhnya perbuatan itu tidak halal bagimu.” Kemudian bila dia menjumpainya pada keesokan harinya, maka hal tersebut tidak mencegahnya untuk menjadi teman makan, teman minum, dan teman duduknya. Setelah mereka melakukan hal tersebut, maka Allah memecah-belah hati mereka; sebahagian daripada mereka bertentangan dengan sebahagian yang lain. Kemudian Rasulullah ﷺ membacakan firman-Nya: Telah dilaknati orang-orang kafir daripada Bani Israel melalui lisan Daud dan Isa putera Maryam. (Al-Maidah: 78) sampai dengan firman-Nya: orang-orang yang fasik. (Al-Maidah: 81) Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: Tidak, demi Allah, kamu harus amar ma’ruf dan nahi mungkar, dan kamu harus mencegah perbuatan orang yang zalim, memujuknya untuk mengikuti jalan yang benar atau kamu paksa dia untuk mengikuti jalan yang benar.

Imam Turmudzi mengatakan bahawa hadith ini hasan garib.


لَبِئسَ ما كانوا يَفعَلونَ

Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.

Buruk sungguh perbuatan mereka itu. Mereka lihat sahaja kemungkaran yang dilakukan depan mata mereka. Malangnya begitulah juga yang terjadi sekarang. Kesyirikan berlaku di merata-rata tempat dan ramai buat tidak tahu seolah-oleh perkara itu normal sahaja.

Sebagai contoh, ramai bomoh yang membuat syirik, namun bagaikan tidak ada apa sahaja, entah-entah setiap kampung ada bomohnya. Ada tempat-tempat orang membuat syirik dengan selamba. Sebagai contohnya, Telaga Hang Tuah di Melaka yang dijadikan tempat meminta anak pula. Namun, seolah-olah tidak ada apa-apa pun dilakukan oleh pegawai agama. Masih dibiarkan sahaja orang datang dan buat perkara onar di situ.

Manusia memang selalu dibisikkan oleh nafsu dan syaitan. Jika tidak ada orang yang menegur, memang akan ke lautlah mereka. Oleh itu, jangan kita lupa dan tinggalkan amar makruf nahi mungkar.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ-قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ”

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri disebutkan bahawa Rasulullah Sawﷺ pernah bersabda: Barangsiapa dalam kalangan kalian melihat perkara mungkar (dikerjakan), hendaklah dia mencegahnya dengan tangan (kekuasaan)nya. Jika dia tidak mampu, cegahlah dengan lisannya. Dan jika dia tidak mampu, hendaklah hatinya mengingkarinya; yang demikian itu merupakan iman yang paling lemah.

Hadith diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Malangnya iman kita yang lemah telah melemahkan kita daripada memberi peringatan kepada manusia lain kerana kita takut. Nabi ﷺ telah bersabda tentang perkara ini:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ؛ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ خَطِيبًا، فَكَانَ فِيمَا قَالَ: “أَلَّا لَا يَمْنَعْنَ رَجُلًا هَيْبَةُ النَّاسِ أَنْ يَقُولَ الْحَقَّ إِذَا عَلِمَهُ”. قَالَ: فَبَكَى أَبُو سَعِيدٍ وَقَالَ: قَدْ -وَاللَّهِ-رَأَيْنَا أَشْيَاءَ، فَهِبْنَا.

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri, bahawa Rasulullah ﷺ berdiri melakukan khutbahnya, antara lain baginda ﷺ mengatakan: Ingatlah, jangan sekali-kali seorang lelaki merasa enggan kerana takut kepada manusia (orang lain) untuk mengatakan perkara yang hak jika dia mengetahuinya. Abu Nadrah melanjutkan kisahnya, “Setelah mengemukakan hadith ini Abu Sa’id menangis, lalu berkata, ‘Demi Allah, kami telah melihat banyak hal, tetapi kami takut (kepada orang lain)’.”

Kisah ini menjadi pengajaran bagi kita. Memang menegur perbuatan salah orang lain itu berat kerana manusia memang susah ditegur. Kalau kita yang menegur, entah kita pula yang dibentak dan dimarahi pula. Akan tetapi kita kena ingat bahawa inilah punca kemusnahan umat. Kalau tidak ada orang yang melakukannya, maka tidak lama lagi, akan rosaklah kita semua.

Maka mahu atau tidak, kitalah yang kena melakukannya. Jangan berharap kepada orang lain, kerana mereka mungkin takut. Maka, kitalah yang harus mengambil tanggungjawab ini. Biarlah orang kata apa pun, kita teruskan sahaja. Jangan harap mereka berterima kasih kepada kita, kerana itu tidak akan terjadi. Jangan terkejut kalau kita dimarahi kembali, kerana itu memang akan terjadi. Yang penting kita sudah menjalankan tanggungjawab kita. Nanti apabila ditanya sama ada kita telah jalankan, kita boleh jawab: “Ya, sudah. Ya Allah!”.


Tafsir Ayat Ke-80

Ini adalah kesan kalau amar makruf nahi mungkar tidak dijalankan. Ia akan menyebabkan kemungkaran itu semakin merebak.

تَرىٰ كَثيرًا مِّنهُم يَتَوَلَّونَ الَّذينَ كَفَروا ۚ لَبِئسَ ما قَدَّمَت لَهُم أَنفُسُهُم أَن سَخِطَ اللهُ عَلَيهِم وَفِي العَذابِ هُم خٰلِدونَ

Kamu melihat kebanyakan dari mereka tolong-menolong dengan orang-orang yang kafir (musyrik). Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka sediakan untuk diri mereka, iaitu kemurkaan Allah kepada mereka; dan mereka akan kekal dalam seksaan.


تَرىٰ كَثيرًا مِّنهُم يَتَوَلَّونَ الَّذينَ كَفَروا

Kamu melihat kebanyakan daripada mereka tolong-menolong dengan orang-orang yang kafir

Kafir yang dimaksudkan adalah kafir musyrik. Golongan Yahudi itu ramai daripada mereka yang suka tolong menolong dengan orang musyrik dan suka bersahabat dengan mereka. Juga ‘mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah golongan munafik. Inilah bahaya kalau berkawan dengan orang yang berfahaman sesat: lama kelamaan kita terikut dengan pemahaman dan amalan mereka.

Ini juga kesan daripada laknat Allah ‎ﷻ. Mereka tahu yang apa yang dilakukan oleh musyrikin itu adalah salah tetapi mereka biarkan sahaja. Mereka lebih suka berkawan dengan Musyrikin Mekah daripada berkawan dengan Muslim yang sepatutnya lebih rapat dengan mereka dari segi akidah. Namun begitu, mereka sangat teruk sehinggakan mereka boleh kata yang orang musyrik itu lebih baik daripada orang Islam.

Begitulah juga kita lihat dalam masyarakat kita sekarang, puak-puak yang suka mengamalkan bid’ah itu, lebih suka kepada orang-orang yang syirik daripada berkawan dengan orang yang sunnah. Ada antara mereka yang sanggup berkata yang Syiah itu lebih baik lagi daripada ‘Wahabi’.

Padahal, sudah jelas yang Syiah itu sudah terkeluar dari Islam. Dan istilah ‘Wahabi’ itu pula tidak ada melainkan rekaan puak-puak yang jahil sahaja. Yang sebut Wahabi pun, kerana kejahilan. Mereka pun tidak tahu apa itu ‘wahabi’ tetapi mereka mengulang-ulang sahaja apa yang orang lain kata. Namun oleh kerana bencikan puak Sunnah yang membuka kesalahan dan kesesatan mereka dalam beragama, mereka sanggup berkawan dengan puak yang sudah jelas sesatnya.

Ya, kesalahan kita hanya kerana menegur mereka dan membuka kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan dalam agama. Selama ini mereka senang sahaja mengajar dan amalkan perkara salah. Tetapi sekarang apabila kita beritahu yang amalan mereka itu salah, mereka terkesan. Mereka bertindak dengan memburukkan kita pula.


لَبِئسَ ما قَدَّمَت لَهُم أَنفُسُهُم

Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka sediakan untuk diri mereka,

Sepatutnya kita kena hantar amalan yang baik supaya dapat menunggu kita di akhirat kelak, tetapi mereka menghantar amalan yang buruk. Segala amalan itu adalah sebagai saham kita dan sepatutnya kita hantarlah amalan yang baik.


أَن سَخِطَ اللهُ عَلَيهِم

kemurkaan Allah kepada mereka

Kemurkaan Allah ‎ﷻ yang berterusan ke atas mereka disebabkan oleh perbuatan mereka itu.


وَفِي العَذابِ هُم خٰلِدونَ

dan mereka akan kekal dalam seksaan.

Mereka duduk dalam azab sahaja nanti. Mereka akan kekal dalam neraka dan akan diazab sampai bila-bila kalau mereka tidak ubah amalan dan perangai mereka. Kekal dalam neraka itu adalah kalau mengamalkan amalan yang syirik dan kufur.

Allahu a’lam. 

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan