Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-45 hingga Ayat Ke-48

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-45 hingga Ayat Ke-48

396
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-45

Inilah hukum yang diberikan kepada golongan Ahli Kitab dan juga kepada kita. Banyak dalam kalangan ulama’ ahli usul dan ahli ilmu fiqih yang menyimpulkan dalil daripada ayat ini, bahawa syariat umat sebelum kita adalah syariat kita juga apabila diulangi kisahnya dan tidak di-mansukh, seperti pendapat yang terkenal daripada jumhur ulama’.

وَكَتَبنا عَلَيهِم فيها أَنَّ النَّفسَ بِالنَّفسِ وَالعَينَ بِالعَينِ وَالأَنفَ بِالأَنفِ وَالأُذُنَ بِالأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالجُروحَ قِصاصٌ ۚ فَمَن تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفّارَةٌ لَّهُ ۚ وَمَن لَّم يَحكُم بِما أَنزَلَ اللهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

Dan Kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka (pun) ada qishaashnya. Barangsiapa yang melepaskan (hak qishaash)nya, maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.

وَكَتَبنا عَلَيهِم فيها أَنَّ النَّفسَ بِالنَّفسِ

Dan Kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa,

Ini adalah ketetapan hukum yang ada di dalam Taurat dan sekarang ia juga terdapat dalam Al-Qur’an, maka inilah hukum Qisas yang kita kena pegang dan jalankan. Rupanya dalam Taurat pun ada juga hukum Qisas ini. Namun, kenapa mereka hendak pergi jumpa Nabi Muhammad ﷺ untuk mendapatkan penghakiman? Ini kerana mereka hendak membuat helah sahaja seperti yang telah disebut sebelum ini. Mereka hendak lihat entah-entah ada hukum yang baru yang lebih lembut pula.

Pertamanya, nyawa yang dibunuh hendaklah dibalas dengan nyawa juga, iaitu orang yang membunuh itu akan dibunuh kembali. Bukannya diganti dengan orang lain. Kita telah sebut bagaimana Bani Nadhir telah mencipta hukum baru pula: Jika wanita Bani Nadhir yang dibunuh, lelaki daripada Bani Quraizah yang menjadi galang gantinya.

Jika lelaki Bani Nadhir yang dibunuh, dua lelaki daripada Bani Quraizah yang akan dibunuh balik.
Jika hamba Bani Nadhir yang dibunuh, orang merdeka daripada Bani Quraizah yang akan dibunuh balik.

Ini bukanlah Qisas yang sepatutnya. Yang membunuhlah yang mesti dibunuh balik, bukannya diambil nyawa orang lain pula!

وَالعَينَ بِالعَينِ

mata dengan mata,

Mata dibalas dengan mata. Maknanya, kalau kita butakan mata orang lain, mata kita juga kena dibutakan.

وَالأَنفَ بِالأَنفِ وَالأُذُنَ بِالأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ

hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi,

Konsep yang sama juga: hidung dibalas dengan hidung, telinga dibalas dengan telinga dan gigi dibalas dengan gigi.

وَالجُروحَ قِصاصٌ

dan luka (pun) ada qishaashnya.

Semua luka-luka pada badan ada qisas belaka. Kalau melukakan orang lain di perut, orang yang dilukakan itu juga boleh melukakan kembali orang yang melukakannya di perut juga.

فَمَن تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفّارَةٌ لَّهُ

Barangsiapa yang melepaskan (hak qishaash)nya, maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya.

Sesiapa yang dimaafkan, maka dia dikehendaki membayar diyat kepada orang yang dizalimi itu. Pembayaran diyat itu sebagai penutup dosa bagi dia. Ia juga dipanggil kaffarah. Dan mereka yang memaafkan, akan mendapat pahala kerana memberi maaf itu. Juga boleh bermaksud, apabila seseorang itu memberi maaf, dosanya akan diampunkan kerana memberi maaf itu.

وَمَن لَّم يَحكُم بِما أَنزَلَ اللهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan, itu adalah dikira sebagai perbuatan yang zalim. Ayat ini tentang keadilan dan ia merupakan perbuatan yang zalim apabila tidak melakukan keadilan kerana ada hak orang yang tidak dipenuhi iaitu orang yang sepatutnya mendapat hak untuk balas balik, tidak mendapat hak itu. Begitu juga kita telah tidak taat kepada Allah ‎ﷻ kerana hukum Allah ‎ﷻ telah diberikan, namun tidak digunakan, maka itu adalah kezaliman.

Tafsir Ayat Ke-46

Ini tentang kitab Injil pula. Dalam ayat sebelum ini, telah diberi penerangan tentang Taurat. Mereka juga ditegur kerana telah mengubah hukum yang Allah ‎ﷻ telah sampaikan di dalam wahyu.

وَقَفَّينا عَلىٰ ءآثٰرِهِم بِعيسَى ابنِ مَريَمَ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ مِنَ التَّورٰةِ ۖ وَءآتَينٰهُ الإِنجيلَ فيهِ هُدًى وَنورٌ وَمُصَدِّقًا لِمّا بَينَ يَدَيهِ مِنَ التَّورٰةِ وَهُدًى وَمَوعِظَةً لِّلمُتَّقينَ

Dan Kami iringkan jejak mereka (Nabi-Nabi Bani Israil) dengan Isa putera Maryam, membenarkan Kitab yang sebelumnya, iaitu: Taurat. Dan Kami telah memberikan kepadanya Kitab Injil sedang di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), dan membenarkan kitab yang sebelumnya, iaitu Kitab Taurat. Dan menjadi petunjuk serta pengajaran untuk orang-orang yang bertakwa.

وَقَفَّينا عَلىٰ ءآثٰرِهِم بِعيسَى ابنِ مَريَمَ

Dan Kami iringkan jejak mereka (Nabi-Nabi Bani Israel) dengan Isa putera Maryam,

Allah ‎ﷻ susuli selepas Nabi-Nabi yang menggunakan Taurat, dengan Nabi Isa عليه السلام pula. Kita kena ingat bahawa Nabi Isa عليه السلام adalah nabi untuk Bani Israel juga. Disebabkan itulah dalam ayat ini, digunakan lafaz وَقَفَّينا, iaitu disambung terus kepada mereka seorang lagi Nabi, iaitu Nabi Isa عليه السلام.

Oleh kerana Nabi Isa عليه السلام juga merupakan Nabi mereka, maka mereka patut kenal baginda sebagai Nabi mereka. Malangnya puak Yahudi tidak mengaku yang Nabi Isa عليه السلام itu adalah Nabi mereka juga. Mereka telah menolak baginda, malah akhirnya mereka membuat perancangan untuk membunuh baginda!

مُصَدِّقًا لِمّا بَينَ يَدَيهِ مِنَ التَّورٰةِ

membenarkan Kitab yang sebelumnya, iaitu: Taurat.

Nabi Isa عليه السلام telah datang dan membenarkan kitab-kitab sebelumnya termasuk Kitab Taurat. Bukanlah Nabi Isa عليه السلام hendak memansukhkan ajaran yang ada dalam Kitab Taurat itu tetapi, baginda juga telah bertindak sebagai hakim tentang Taurat itu.

Baginda telah menjelaskan semula tentang Kitab Taurat kepada Bani Israel. Ini adalah kerana pemuka agama Yahudi telah banyak menukar isi kandungan dalam Taurat itu dan ada yang mereka sembunyikan. Nabi Isa عليه السلام telah memberitahu semua apa kandungan yang sebenarnya dalam Taurat.

Maknanya, baginda telah membuka pekung rabbi-rabbi Bani Israel itu. Baginda beritahu yang mana sebenarnya ada dalam Taurat, dan mana yang sebenarnya tidak ada.

Maka, tentulah marah rabbi-rabbi Yahudi itu. Itu sebabnya mereka telah membuat perancangan untuk membunuh Nabi Isa عليه السلام kerana Nabi Isa عليه السلام telah menyusahkan mereka dan mengganggu rancangan mereka. Mereka tidak boleh hendak senyapkan mulut baginda maka, mereka rancang bunuh terus sahaja. Ini kerana mereka memang bangsa yang selalu bunuh Nabi mereka pun.

وَءآتَينٰهُ الإِنجيلَ

Dan Kami telah memberikan kepadanya Kitab Injil

Cuma baginda juga diberi dengan kitab lain, iaitu Kitab Injil. Inilah yang orang Kristian panggil Gospel. Kitab Injil adalah tambahan hukum kepada hukum-hukum yang ada dalam Taurat itu.

فيهِ هُدًى وَنورٌ

di dalamnya (ada) petunjuk dan dan cahaya

Di dalam Kitab Injil itu ada pengajaran tentang bab akidah dan bab amal iaitu bab iman dan bab Islam. Ada perkara yang perlu dipercayai dan ada perkara yang perlu diamalkan dan dilakukan.

وَمُصَدِّقًا لِمّا بَينَ يَدَيهِ مِنَ التَّورٰةِ

dan ia membenarkan kitab yang sebelumnya, iaitu Kitab Taurat.

Dan Kitab Injil itu telah membenarkan kitab yang ada di hadapan mereka (Taurat). Injil membenarkan apa yang ada dalam Taurat. Perkara yang sama juga yang disebut, terutama tentang bab akidah kerana bab akidah tidak akan bertukar.

Namun begitu ada juga perkara yang diperbetulkan, seperti yang disebutkan oleh firman-Nya, menceritakan keadaan Al-Masih, bahawa baginda pernah bersabda kepada kaum Bani Israil:

{وَلأحِلَّ لَكُمْ بَعْضَ الَّذِي حُرِّمَ عَلَيْكُمْ}

dan untuk menghalalkan bagi kalian sebahagian yang diharamkan untuk kalian [ Ali Imran: 50 ]

Kerana itulah menurut pendapat yang terkenal dalam kalangan para ulama’ daripada dua pendapat mereka, kitab Injil me-mansukh sebahagian hukum kitab Taurat. Bukannya semua, tetapi sebahagian sahaja.

وَهُدًى وَمَوعِظَةً لِّلمُتَّقينَ

Dan menjadi petunjuk serta pengajaran untuk orang-orang yang bertaqwa.

Kitab Injil itu mengandungi neraca ilmu dan petunjuk. Ia diberi kepada semua, tetapi yang dapat mengambil pengajaran daripadanya adalah mereka yang bertaqwa sahaja: yang takut dan ingin mendekati Allah ‎ﷻ.

Begitu jugalah dengan Al-Qur’an yang di hadapan kita ini; ia diberikan kepada semua umat manusia, tetapi yang menerimanya hanya umat Islam sahaja. Dalam kalangan umat Islam pun, bukan semuanya terima. Ada yang menolak dengan terang-terangan atau dalam senyap; ada yang tolak dengan sengaja dan ada yang tolak tanpa niat. Yang lebih banyak adalah tidak langsung mempelajari kandungannya. Ramai yang baca, tetapi tidak faham apa yang dibaca.

Tafsir Ayat Ke-47

وَليَحكُم أَهلُ الإِنجيلِ بِما أَنزَلَ اللهُ فيهِ ۚ وَمَن لَّم يَحكُم بِما أَنزَلَ اللهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ

Dan hendaklah orang-orang pengikut Injil, memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah di dalamnya. Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik.

وَليَحكُم أَهلُ الإِنجيلِ بِما أَنزَلَ اللهُ فيهِ

Dan hendaklah orang-orang pengikut Injil, memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah di dalamnya.

Dalam ayat ini ada jumlah muqaddar: “Kami titahkan…”. Maksudnya, Allah ‎ﷻ telah titahkan kepada mereka yang mengikut Injil itu untuk berhukum menggunakan apa yang ada dalam Injil itu. Maknanya, ada ayat hukum juga dalam Injil itu. Ia adalah sebagai tambahan kepada hukum-hukum yang ada dalam Kitab Taurat. Dan seperti yang telah disebut, ada pendapat yang mengatakan sebahagian daripada hukum di dalam Taurat itu dimansukhkan dengan ayat-ayat dalam Injil.

وَمَن لَّم يَحكُم بِما أَنزَلَ اللهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ

Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik.

Sesiapa yang tidak buat keputusan seperti yang Allah ‎ﷻ turunkan, mereka adalah fasik. ‘Fasik’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘fasik besar’ iaitu ‘kafir’. Sebelum ini telah dikatakan bahawa mereka yang tidak berhukum menggunakan wahyu adalah kafir, dan sekarang diulang lagi, tetapi menggunakan bahasa yang berlainan.

Asal maksud ‘fasik’ itu adalah ‘keluar daripada taat’ dan itu pun adalah perbuatan kafir juga tetapi mungkin belum terkeluar daripada Islam lagi. Mereka yang fasik adalah apabila disuruh buat tetapi mereka tidak ikut. Akan tetapi, kalau tolak wahyu, itu adalah perbuatan yang kufur. Ada yang sampai boleh menyebabkan terkeluar terus daripada agama.

Tafsir Ayat Ke-48

Selepas disebut tentang zaman Taurat dan kemudian zaman Injil, sekarang disebut zaman Al-Qur’an pula. Kita sekarang diingatkan supaya jangan jadi seperti umat yang terdahulu. Oleh kerana tidak faham tentang perkara inilah yang menyebabkan kita terjerumus ke dalam kesalahan yang sama seperti Yahudi dan Nasrani.

وَأَنزَلنا إِلَيكَ الكِتٰبَ بِالحَقِّ مُصَدِّقًا لِمّا بَينَ يَدَيهِ مِنَ الكِتٰبِ وَمُهَيمِنًا عَلَيهِ ۖ فَاحكُم بَينَهُم بِما أَنزَلَ اللهُ ۖ وَلا تَتَّبِع أَهواءَهُم عَمّا جاءَكَ مِنَ الحَقِّ ۚ لِكُلٍّ جَعَلنا مِنكُم شِرعَةً وَمِنهاجًا ۚ وَلَو شاءَ اللهُ لَجَعَلَكُم أُمَّةً وٰحِدَةً وَلٰكِن لِّيَبلُوَكُم في ما ءآتٰكُم ۖ فَاستَبِقُوا الخَيرٰتِ ۚ إِلَى اللهِ مَرجِعُكُم جَميعًا فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ

Dan Kami telah turunkan kepadamu Kitab dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu,

وَأَنزَلنا إِلَيكَ الكِتٰبَ بِالحَقِّ

Dan Kami telah turunkan kepadamu Kitab dengan membawa kebenaran,

Dalam ayat ini tidak disebut nama kitab itu, sebab kalau dalam Al-Qur’an disebut ‘al-kitab’, ia adalah Al-Qur’an. Al-Qur’an mengandungi kebenaran al-haq. Maka untuk mengetahui kebenaran, hendaklah kita belajar isi kandungannya.

مُصَدِّقًا لِمّا بَينَ يَدَيهِ مِنَ الكِتٰبِ

membenarkan apa yang sebelumnya daripada kitab-kitab

Al–Qur’an membenarkan segala isi kitab sebelumnya, iaitu Taurat, Zabur dan Injil. Semua kandungan dalam kitab-kitab itu digabungkan dan sekarang, ajaran-ajaran yang ada dalam kitab-kitab itu telah dimuatkan dalam Al-Qur’an. Jadi apabila kita baca Al-Qur’an, ia seolah-olah kita baca kandungan semua kitab-kitab itu kerana ajaran penting kitab-kitab itu telah dimuatkan dalam Al-Qur’an.

Bagi penganut kitab-kitab wahyu sebelum Nabi Muhammad ﷺ yang telah nampak kesamaan yang ada pada Al-Qur’an itu dengan apa yang mereka faham, sepatutnya telah menjadikan mereka semakin yakin dengan Islam. Seperti yang disebutkan oleh Allah ‎ﷻ melalui firman-Nya:

{إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلأذْقَانِ سُجَّدًا وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولا}

Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya, apabila Al-Qur’an dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud, dan mereka berkata, “Maha­suci Tuhan kami; sesungguhnya janji Tuhan Kami pasti dipenuhi.” [Al-Isra: 107-108]

وَمُهَيمِنًا عَلَيهِ

dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu;

Maksud مُهَيمِنًا: untuk jaga. Inilah tugas kita kepada kitab-kitab sebelum ini. Kitab-kitab itu sudah tidak ada lagi yang asal, kerana telah banyak diubah oleh pemuka agama mereka. Jadi, untuk tahu apakah ajaran yang benar dalam agama, maka kena periksa dengan kandungan Al-Qur’an. Kalau ia adalah sama dengan kandungan Al-Qur’an, maka benarlah ia.

Dalam pentafsiran ayat-ayat Al-Qur’an, banyak yang menggunakan kisah-kisah Israeliyat iaitu kisah-kisah yang disampaikan daripada Bani Israel yang telah masuk ke dalam lingkungan rujukan umat Islam. Kita mesti berhati-hati dalam menerima kisah-kisah itu. Walau bagaimanapun, ada yang berhujah, kita kena juga lihat kandungan kisah-kisah itu.

Ini adalah kerana Al-Qur’an cuma sebut kisah-kisah dahulu secara ringkas sahaja. Kadang-kadang kita tidak tahu apakah kisah di sebalik perkara yang disebut secara ringkas dalam Al-Qur’an. Kisah penuh selalunya ada di dalam Israeliyat. Oleh kerana itu, ada pendapat yang kata kita boleh gunakan maklumat daripada sumber Israeliyat asalkan tidak berlawanan dengan apa yang ada dalam Al-Qur’an.

Namun begitu, kita masih perlu berhati-hati. Kita pun tahu yang golongan Bani Israel ini suka menambah-nambah dalam penulisan mereka. Tetapi kita juga kena terima bahawa masih ada lagi kebenaran yang ada dalam kitab-kitab dahulu walaupun telah banyak diubah. Lalu bagaimana kita hendak tahu manakah kisah yang benar? Itulah yang disebut dalam ayat ini, kayu pengukur adalah pada Al-Qur’an, bukan sebaliknya. Al-Qur’anlah yang muhaimin dan bukan sebaliknya.

Kita kena pandang bahawa Al-Qur’anlah yang dominan. Oleh itu, kalau ada kisah-kisah yang kita baca, kena selarikan dengan apa yang ada di dalam Al-Qur’an. Bukannya kita kena periksa kisah yang disampaikan dalam Al-Qur’an dengan periksa apa yang ada dalam kitab-kitab terdahulu.

Walau bagaimanapun, itu adalah kerja yang amat besar dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Kalau kita baca sendiri, memang kita tidak tahu mana yang benar dan mana yang tidak. Ia hendaklah dilakukan oleh para ulama’ kita yang mempunyai pengetahuan yang luas. Zaman kita sekarang memang ada ulama’ yang mengkaji kitab-kitab dahulu. Jadi, tugas ini bukan boleh dilakukan oleh orang biasa.

Oleh itu, ayat ini hendak memberitahu yang Al-Qur’an adalah batu pengukur bagi kitab-kitab lain. Maka disebabkan itulah, kita orang awam ini tidak perlu belajar kitab lain sebab dalam Al-Qur’an sudah ada segala perkara yang kita perlu tahu. Segala perkara tentang agama, kena bandingkan dengan Al-Qur’an. Maka, cukup bagi kita hanya belajar Al-Qur’an sahaja. Tidak perlu orang awam hendak kaji kitab-kitab lain. Biarkan itu sebagai usaha golongan ulama’ yang khusus dalam mengkajinya.

Kita kena ingat ayat ini dengan baik sekali. Jadi, kalau ada orang yang sampaikan perkara daripada kitab lain yang berlainan dengan Al-Qur’an, maka kita tahulah bahawa telah ada pengubahsuaian yang dilakukan dalam kitab-kitab itu. Kita kena ingat bahawa kitab-kitab itu tidak tulen lagi semuanya. Hanya Al-Qur’an sahaja yang diberi janji oleh Allah ‎ﷻ yang akan dijaga-Nya sampai Kiamat seperti firman-Nya:

{إِنَّا نَحْنُ نزلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ}

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

[Al-Hijr: 9]

فَاحكُم بَينَهُم بِما أَنزَلَ اللهُ

maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan

Setelah kita belajar tafsir Al-Qur’an, maka buatlah keputusan berdasarkan kitab ini yang Allah ‎ﷻ telah turunkan iaitu dengan Al-Qur’an ini, bukan dengan kitab-kitab yang lain. Penganut agama-agama sebelum Islam memang kena tinggalkan kitab-kitab mereka dan beramal dan berhukum dengan Al-Qur’an sahaja sekarang.

وَلا تَتَّبِع أَهواءَهُم عَمّا جاءَكَ مِنَ الحَقِّ

dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu.

Jangan ikut hawa nafsu. Kalau diamalkan perkara agama yang bercanggah dengan dalil yang ada dalam Al-Qur’an, maka perbuatan itu adalah kerana mengikut nafsu. Jadi jangan mengikut hawa nafsu seperti mereka yang lari daripada kebenaran.

Yang dimaksudkan dalam ayat asalnya adalah tentang golongan Yahudi kerana mereka memalsukan perkara yang haq melalui pelbagai perkara yang mereka ajukan kepadamu; janganlah kamu teperdaya oleh mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang pendusta, kafir lagi pengkhianat.

Jangan ikut mereka yang ikut hawa nafsu. Kalau zaman sekarang, ada berbagai-bagai jenis golongan lagi yang kita kena berhati-hati jangan sampai terikut-ikut dengan cara mereka. Manusia kena pastikan bahawa keinginan nafsu mereka mesti diselarikan dengan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an.

لِكُلٍّ جَعَلنا مِنكُم شِرعَةً وَمِنهاجًا

Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang.

Cara ibadat dan adat antara zaman, tidak sama. Syariat dari zaman ke zaman tidak sama. Sebab itulah kandungan Kitab Taurat dan Al-Qur’an berlainan dari segi syariat. Sebagai contoh, cara salat dan cara berpuasa tidak sama daripada satu umat ke satu umat.

Memang Allah ‎ﷻ telah buat begitu mengikut kebijaksanaan Dia. Kalau ikut akal kita yang cetek ini, tentu kita fikir, kenapa tidak diberikan syariat yang sama sahaja dari dulu sampai sekarang? Namun Allah ‎ﷻ lebih mengetahui apa yang manusia perlukan mengikut zaman masing-masing.

Oleh kerana itu, bagi setiap umat, Allah ‎ﷻ telah menjadikan syariat dan jalan agama yang jelas yang sesuai untuk mereka. Maksud syariat dan manhaj mempunyai makna lebih kurang sahaja. Lebih tepat lagi, lafaz minhaj itu bermaksud, ‘jalan agama’.

Jadi setiap umat ada syariat dan manhaj mereka. Ini juga adalah ujian sebenarnya. Allah ‎ﷻ hendak menguji mereka, bolehkah mereka meninggalkan syariat mereka dan menerima syariat yang baru? Bukan kerana syariat mereka itu tidak baik dan tidak bagus, akan tetapi kerana Allah ‎ﷻ sudah berikan syariat yang baru. Yang benar-benar beriman tentu sedar yang memang Allah ‎ﷻ boleh sahaja tukar syariat yang baru kerana itulah yang telah disebutkan dalam kitab mereka. Akan tetapi bila sampai masanya, sanggupkah mereka? Adakah mereka hendak taat atau tetap berpegang kepada syariat mereka juga?

Kalau kita cuba tafsirkan dengan lebih lanjut lagi, lafaz ‘syariat‘ itu dari segi bahasa, datang daripada lafaz syuru’ – bermaksud permulaan perjalanan yang membawa kepada air. Kepada orang Arab, itu adalah perjalanan yang membawa kepada kehidupan. Ini kerana mereka tinggal di kawasan padang pasir dan air adalah sumber yang tidak banyak sebagaimana kita di negara kita.

Oleh kerana itu, pada mereka, lafaz ‘syariat’ itu adalah bermakna sekali kerana ia adalah sesuatu yang membawa mereka kepada kehidupan; ia juga bermaksud ‘permulaan’, jadi ia boleh juga ditafsirkan sebagai permulaan kepada Islam.

Oleh itu, langkah pertama dalam agama ini adalah melihat kepada syariat. Kemudian baru kita mencari ‘wasilah’ untuk mendekatkan diri kepada Allah ‎ﷻ. Jadi syariat itu perlu dilalui dan dipenuhi dahulu sebagai langkah pertama.

Dan syariat itu ada masanya digunakan dan ada masanya tidak. Kita telah sebut tentang syariat umat-umat terdahulu. Akan tetapi bagi kita pun syariat itu ada masanya digunapakai dan ada masanya tidak. Bagaimana? Lihat contoh seperti salat. Memang ia ada dalam syariat. Akan tetapi ada masa tidak boleh salat. Begitu juga dengan puasa, ada masa dilarang untuk berpuasa seperti pada hari raya. Yang penting, kita kena taat kepada syariat Allah ‎ﷻ dan cara penggunaannya juga.

Pertukaran syariat (ini perbincangan bab nasikh dan mansukh) sebenarnya ada kebaikan kerana Allah ‎ﷻ tahu kondisi hamba-Nya. Ada masanya memerlukan syariat sebegini dan ada masanya syariat yang lain pula. Analoginya adalah seperti seorang doktor yang tukar preskipsi ubat setelah sekian lama. Bukannya kerana ubat awal itu tidak bagus, tetapi ubat itu sesuai pada peringkat awal dan perlu ditukar apabila kesan ubat itu tidak sesuai lagi bagi tubuh pesakit itu.

Lafaz ‘minhaj‘ atau selalu disebut sebagai ‘manhaj’ pula bermaksud jalan secara keseluruhan. Ia adalah jalan yang jelas. Laluan yang membawa kepada air itu tidak semestinya jelas, tetapi apabila dikatakan jalan itu sebagai ‘minhaj’, ianya adalah laluan yang jelas. Oleh itu, ia adalah satu ‘penjelasan’ kepada syariah.

Ia adalah jalan yang perlu kita ikuti dan lalui. Kalau dalam zaman sekarang, bahasa yang sesuai untuk digunakan untuk menerangkan maksudnya adalah ‘metodologi’. Ini penting untuk diketahui kerana Allah ‎ﷻ bukan sahaja memberi hukum syariat tetapi diberikan-Nya juga jalan bagaimana untuk mencapainya. Setiap Nabi diberikan dengan syariat dan manhaj yang berlainan. Untuk memahami keduanya, kita perlu belajar seerah.

وَلَو شاءَ اللهُ لَجَعَلَكُم أُمَّةً وٰحِدَةً

Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat

Allah ‎ﷻ boleh sahaja menjadikan kita semua umat beriman belaka, tidak ada seorang pun yang derhaka langsung. Bukannya Allah‎ ﷻ tidak mampu. Ini kerana ada manusia yang berhujah: “Kenapa Allah tidak jadikan semua manusia ini beriman sahaja?” Jawapannya bukannya Allah ‎ﷻ tidak mampu buat – lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ telah menjadikan para malaikat itu semuanya beriman sahaja, tidak derhaka langsung walau sedikit pun.

Tetapi Allah ‎ﷻ yang Maha Bijaksana telah memberi pilihan kepada manusia untuk memilih jalan sendiri untuk menguji makhluk-Nya. Begitulah yang telah ditetapkan kepada kita, untuk masuk syurga, dikenakan uji dahulu di dunia. Tetapi Allah ‎ﷻ menguji makhluk dengan perkara yang semua makhluk boleh buat. Allah ‎ﷻ menguji dengan hukum Dia yang boleh diikuti, tetapi ada yang boleh ikut dan ada yang tidak boleh ikut.

فَاستَبِقُوا الخَيرٰتِ

maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan.

Maka apabila masing-masing umat ada syariat, tujuannya bukan hendak membandingkan mana syariat yang lebih bagus, tetapi Allah ‎ﷻ hendak lihat siapa yang boleh buat paling banyak kebaikan, iaitu siapa yang buat lagi banyak dan lagi baik. Maka berlumbalah untuk buat kebajikan. Ingatlah yang kita datang sekali sahaja di dunia, maka jangan lepaskan peluang ini.

Amal sahajalah syariat itu. Dan jangan kacau kerja Tuhan dan jangan kritik syariat yang telah ada. Belajarlah apa yang telah tertulis dalam syariat. Dan jangan tambah-tambah syariat yang telah lengkap itu.

إِلَى اللهِ مَرجِعُكُم جَميعًا

Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya,

Ingatlah yang kita tidak pergi ke tempat lain tetapi akan tetap mengadap Allah ‎ﷻ. Waktu itu kita datang dengan membawa amal-amal kita ke akhirat. Adakah kita rasa cukup dengan amal kebaikan yang kita telah lakukan? Adakah kita berani hendak mengamalkan perkara yang di luar syariat? Apa yang kita hendak jawab di hadapan Allah ‎ﷻ nanti kalau begitu?

فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ

lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu,

Semasa di dunia, kita ada banyak perselisihan. Ada yang tidak bersetuju dengan apa yang telah disampaikan kepada mereka. Mereka rasa tidak puas hati apabila apa yang mereka lakukan dikatakan salah (atau dikatakan sebagai bid’ah). Marah betul manusia apabila amalan mereka ditegur. Maka Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, yang semuanya akan dihadapkan kepada-Nya dan Dia akan cerita semula perselisihan kita itu. Allah ‎ﷻ akan memberi penghakiman mana yang benar dan tidak benar.

Akan tetapi kalau waktu itu baru tahu amalan itu salah rupanya, itu sudah terlambat kerana tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Di sana bukan masa untuk buat pembetulan, tetapi sudah tiba masa untuk dihakimi sahaja. Maka, semasa di dunia, hendaklah kita pastikan apa yang kita lakukan itu adalah benar dan bukan hanya buat tanpa ada dalil kerana apa kita hendak jawab depan Allah ﷻ nanti kalau apa yang kita telah lakukan selama di dunia dahulu rupanya tidak ada dalil?

Mana kita boleh tahu mana benar dan tidak? Maka hendaklah dirujuk kepada wahyu. Allah ‎ﷻ telah memberikan wahyu, bukan? Jadi apa alasan kalau kita kata tidak tahu?

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan