Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-25 hingga Ke-29

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-25 hingga Ke-29

319
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-25

Sekarang kita akan masuk kisah bagaimana ada golongan Yahudi yang sesat selama 40 tahun di padang pasir.

قَالَ رَبِّ إِنِّي لَا أَمْلِكُ إِلَّا نَفْسِي وَأَخِي فَافْرُقْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ الْقَوْمِ الْفٰسِقِينَ

Berkata Musa: “Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik itu”.

قَالَ رَبِّ إِنِّي لَا أَمْلِكُ إِلَّا نَفْسِي وَأَخِي

Berkata Musa: “Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku.

Ini adalah kata-kata Nabi Musa عليه السلام dalam keadaan ghaflah, sudah tidak boleh buat apa, tidak tahu hendak berbuat apa lagi. Baginda kata baginda tidak ada kuasa menjaga jiwa manusia. Yang boleh baginda kawal adalah diri baginda dan jiwa saudaranya, Nabi Harun عليه السلام. Ini adalah kerana Nabi Harun عليه السلام pun seorang Nabi juga, jadi memang boleh diharap. Walaupun ada juga Yusha’ dan Kalib yang juga menyokong baginda, tetapi mereka itu bukan Nabi.

Habis ikhtiar baginda untuk berdakwah dan mengajak umatnya yang degil itu. Baginda sudah tidak tahu hendak buat apa lagi. Itulah sebab baginda berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ yang dinaqalkan di dalam ayat ini. Ini mengajar kita untuk sentiasa mengadu kepada Allah ‎ﷻ. Kita kena tahu yang usaha kita terhad sahaja dan sampai masanya, kita hanya dapat berserah kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Kita pun tahu yang Nabi Musa عليه السلام itu kuat semangatnya, berjiwa kental serta keras dan kuat hatinya. Akan tetapi kita boleh lihat baginda sudah ghaflah dalam ayat ini. Bayangkan Bani Israel itu sudah diselamatkan daripada Firaun yang sudah lama menindas mereka. Mereka nampak sendiri bagaimana Allah ‎ﷻ telah menunjukkan bantuan-Nya dengan ahli sihir, dibelah laut sampai mereka boleh menyeberang dengan selamat dan kemudian telah menenggelamkan Firaun.

Jadi mereka sebenarnya sudah nampak bantuan Allah ‎ﷻ yang boleh diberikan dengan cara yang tidak disangka-sangka, tidak mampu difikirkan dengan akal. Akan tetapi apabila disuruh menyerang kota itu, mereka enggan dan berani menolak perintah Allah ‎ﷻ pula? Memang jenis degil sangat mereka itu! Barulah kita faham kenapa Nabi Musa عليه السلام pun sudah tidak mampu bertahan dengan mereka lagi.

فَافْرُقْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ الْقَوْمِ الْفٰسِقِينَ

Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik itu”.

Baginda memohon supaya dipisahkan hubungan dengan umat mereka yang degil itu. Selepas apa yang dilakukan oleh baginda, mereka masih berdegil juga lagi dan kurang ajar. Untuk masuk ke tempat yang Allah ‎ﷻ telah janjikan kepada mereka pun mereka masih tidak mahu lagi. Oleh itu baginda tidak mahu mempunyai kaitan dengan mereka lagi.

Mengikut tafsir daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, doa ini bermaksud: apa-apa sahaja balasan azab bagi mereka minta diberikankanlah; dan apa-apa sahaja balasan kebaikan yang kami patut dapat, maka minta diberikanlah juga.

Tafsir Ayat Ke-26

Selepas menerima do’a daripada Nabi Musa عليه السلام, Allah ‎ﷻ telah buat membuat keputusan. Maka ini adalah keputusan Allah ‎ﷻ.

قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيْهِمْ أَرْبَعِينَ سَنَةً يَتِيهُونَ فِي الْأَرْضِ فَلَا تَأْسَ عَلَى الْقَوْمِ الْفٰسِقِينَ

Allah berfirman: “(Jika demikian), maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (padang Tiih) itu. Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasik itu”.

قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيْهِمْ أَرْبَعِينَ سَنَةً

Allah berfirman: “Maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun,

Daerah BaitulMaqdis itu haram dimasuki oleh mereka selama 40 tahun. Generasi mereka yang degil untuk masuk itu tidak akan dapat masuk. Mereka akan mati di Padang Pasir Tih. Dan yang dapat masuk pun adalah generasi selepas mereka iaitu generasi yang lahir semasa mereka sesat dalam padang pasir itu. Oleh kerana lamanya mereka di padang pasir itu, maka akan lahir generasi yang baru.

يَتِيهُونَ فِي الْأَرْضِ

mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi

Mereka sesat dalam kawasan yang sempit sahaja tetapi mereka kebingungan untuk mencari jalan keluar. Dalam riwayat mengatakan di sinilah Nabi Musa عليه السلام wafat. Doa Nabi Musa عليه السلام untuk dipisahkan daripada umatnya dimakbulkan dengan diwafatkan baginda.

Begitulah balasan azab yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka. Allah ‎ﷻ telah ‘memenjarakan’ mereka. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan gari dan jaring untuk memenjarakan hamba-Nya. Allah ‎ﷻ penjarakan mereka di padang pasir sahaja. Allah ‎ﷻ mampu buat kerana alam ini semuanya milik Allah ‎ﷻ. Dia boleh jadikan apa sahaja yang Dia kehendaki.

Padang Tiih tempat mereka disesatkan itu bukannya besar pun. Ada tafsir yang mengatakan ia sepanjang 90 batu dan selebar 27 batu. Ada pula tafsir yang kata 30 batu x 18 batu sahaja. Dan bilangan mereka waktu itu dikatakan seramai 600 ribu orang. Kiranya memang tempat yang amat sempit bagi mereka.

Di sinilah yang mereka mendapat naungan awan di atas mereka, apabila dahaga Nabi Musa عليه السلام disuruh untuk memukul batu dan air keluar darinya; dan di sini jugalah manna dan salwa diturunkan bagi mereka. Kisah ini telah disebut di dalam Surah Baqarah.

Mereka tetap mendapat rahmat itu semua kerana dalam kalangan mereka ada Nabi Musa عليه السلام, Nabi Harun عليه السلام, Yusha’ dan juga Kalib. Dan mungkin juga, mereka telah bertaubat dan kerana taubat mereka itu, mereka tetap diberikan dengan rahmat dan nikmat daripada Allah ‎ﷻ.

Mungkin timbul persoalan: bukankah seolah-olah Nabi Musa عليه السلام turut teraniaya di dalam ‘hukuman penjara’ kerana baginda turut sama sesat sekali dengan umatnya yang degil? Bukan begitu. Seperti juga kalau di hospital, pesakit tidak boleh keluar tetapi doktor boleh keluar masuk lagi. Atau keadaan di penjara, di mana warden penjara boleh keluar masuk penjara, cuma banduan sahaja yang tidak boleh keluar. Nabi Musa عليه السلام bagaikan seorang doktor yang tidak sakit dan warden penjara. Jadi tidaklah Allah ‎ﷻ seksa baginda.

Nabi Harun عليه السلام dan Nabi Musa عليه السلام wafat semasa kaum Bani Israel sesat di Padang Tih itu. Malah semua generasi itu meninggal dunia kecuali Yusha’ dan Kalib sahaja. Yusha’ diangkat menjadi Nabi menggantikan Nabi Musa عليه السلام dan bagindalah yang menjadi pemimpin mengeluarkan Bani Israel dari Padang Tih dan memerangi puak Amaliqah di BaitulMaqdis itu.

فَلَا تَأْسَ عَلَى الْقَوْمِ الْفٰسِقِينَ

Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasik itu

Nabi Musa عليه السلام dipujuk: Janganlah berdukacita tentang kaum baginda yang fasik itu. Mereka tidak layak mendapat belas kasihan baginda dan orang mukmin. Memang patut mereka dikenakan dengan balasan itu.

Allah ‎ﷻ menceritakan kisah buruk kaum Bani Israel itu kerana mereka itu mengaku mereka anak dan kekasih Allah ‎ﷻ. Namun beginikah sikap anak atau kekasih Allah ‎ﷻ itu? Jangan perasanlah.

Tafsir Ayat Ke-27

Memberhentikan amar makruf nahi mungkar akan menyebabkan manusia menjadi keras kepala. Oleh sebab itu hendaklah sentiasa ada ingat mengingati sesama manusia. Ini contoh kedua sebagai pengajaran buat kita. Kita akan belajar kisah Habil & Qabil. Kisah ini bukanlah sekadar cerita semata-mata, tetapi ada pengajaran daripadanya yang boleh kita ambil.

وَاتلُ عَلَيهِم نَبَأَ ابنَي ءآدَمَ بِالحَقِّ إِذ قَرَّبا قُربانًا فَتُقُبِّلَ مِن أَحَدِهِما وَلَم يُتَقَبَّل مِنَ الآخَرِ قالَ لَأَقتُلَنَّكَ ۖ قالَ إِنَّما يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنَ المُتَّقينَ

Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): “Aku pasti membunuhmu!”. Berkata Habil: “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa”.

وَاتلُ عَلَيهِم نَبَأَ ابنَي ءآدَمَ بِالحَقِّ

Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya,

Ini tentang kisah dua anak Nabi Adam عليه السلام. Allah ‎ﷻ suruh sampaikan kisah mereka dengan benar, tanpa ada tokok tambah perkara yang tidak benar. Ia juga bermaksud, cerita dengan bertujuan – iaitu untuk diambil pengajaran, bukan sebagai cerita penglipurlara sahaja.

Kisah mengenai mereka berdua, menurut apa yang telah disebutkan oleh bukan hanya seorang dalam kalangan ulama’ Salaf dan Khalaf, bahawa Allah ‎ﷻ mensyariatkan kepada Adam عليه السلام untuk me­ngahwinkan anak-anak lelakinya dengan anak-anak perempuannya kerana keadaan darurat. Kerana waktu itu, tidak ada keluarga lain lagi selain daripada mereka.

Setiap kali Hawa mengandung, dilahirkan dua orang anak laki-laki dan perempuan (kembar), dan baginda (Adam) mengahwinkan anak perempuannya dengan anak laki-laki yang lahir bukan dari satu perut dengannya (nikah adik beradik kerana tidak ada keluarga lain lagi).

Akan tetapi saudara seperut Habil tidak cantik, sedangkan saudara seperut Qabil cantik berseri. Maka Qabil bermaksud merebutnya dari tangan saudaranya. Namun Nabi Adam عليه السلام menolak hal itu kecuali jika keduanya melakukan suatu korban; barang siapa yang korbannya diterima, maka saudara perempuan seperut Qabil akan dikawinkan dengannya. Ter­nyata korban Habillah yang diterima, sedangkan korban Qabil tidak diterima, sehingga terjadilah kisah kedua-duanya yang disebutkan oleh Allah ‎ﷻ di dalam Kitab-Nya.

إِذ قَرَّبا قُربانًا

ketika keduanya mempersembahkan korban,

Allah ‎ﷻ memerintahkan mereka mempersembahkan korban. Korban daripada lafaz قرب yang bermaksud untuk mendekatkan diri, iaitu kepada Allah ‎ﷻ. Itulah tujuan korban. Ini adalah cara Allah ‎ﷻuji mereka.

فَتُقُبِّلَ مِن أَحَدِهِما وَلَم يُتَقَبَّل مِنَ الآخَرِ

maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima daripada yang lain (Qabil).

Habil bekerja sebagai penggembala binatang dan dia berikan binatang yang paling baik daripada binatang-binatang ternakannya. Oleh kerana dia memberikan korban itu dari hati yang ikhlas, maka Allah ‎ﷻ menerimanya. Qabil pula seorang petani tetapi dia memberikan yang tanaman layu sahaja sebagai korban.

Cara untuk tahu manakah korban yang diterima adalah diambil dengan api. Ini adalah cara pada waktu itu sebagai tanda Allah ‎ﷻ menerima kurban seseorang. Daripada cara itu maka tahulah yang korban daripada Habil sahaja yang diterima manakala korban daripada Qabil tidak diterima.

قالَ لَأَقتُلَنَّكَ

Dia berkata (Qabil): “Aku pasti membunuhmu!”.

Qabil sangat marah kerana pemberiannya tidak diterima dan pertama kali terjadinya dengki dalam sejarah kehidupan manusia. Ini juga mengajar kita bahayanya kalau kita mengikut perasaan sampai dengki. Jangan biarkan perasaan kita mengelabui fikiran kita sampaikan kita ikut perasaan kita, kelak pasti akan menyesal.

Marahnya itu sampai dia hendak membunuh Habil. Ini mengajar kita bahawa kadangkala adik beradik memang ada masalah sesama sendiri. Sampai sekarang masih ada lagi. Kadang-kadang kita dengan orang lain boleh berbaik, tetapi dengan adik beradik sendiri bermasalah pula.

قالَ إِنَّما يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنَ المُتَّقينَ

Berkata Habil: “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang-orang yang bertakwa”.

Habil menjawab: Allah‎ ﷻ menerima daripada golongan yang bertaqwa iaitu yang menjaga hukum Allah ‎ﷻ. Bukan salah dia yang Allah ‎ﷻ tidak menerima pemberian korban daripada Qabil itu. Lihatlah bagaimana jawapan Habil ini amat lembut sekali; tidaklah beliau hendak balas bunuh Qabil tetapi dijawab dengan diberi pengajaran dan nasihat kepadanya.

Ayat ini amat menakutkan kerana Allah ‎ﷻ kata Dia hanya terima amalan daripada orang yang bertaqwa sahaja kerana itulah ulama’ salaf amat takut kalau-kalau amalan mereka tidak diterima.

Daripafa Fudholah bin ‘Ubaid, beliau mengatakan,

“Seandainya aku mengetahui bahawa Allah menerima daripadaku satu amalan kebaikan sebesar biji saja, maka itu lebih kusukai daripada dunia dan seisinya, kerana Allah ‎ﷻ berfirman,

إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

“Sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan) daripada orang-orang yang bertaqwa.” (QS. Al Ma-idah: 27)

Ibnu Diinar mengatakan,

“Tidak diterimanya amalan lebih kukhuatirkan daripada banyak beramal.”

Ini mengajar kita jangan berbangga sangat dengan amalan kita yang banyak kerana belum tentu lagi amalan kita itu Allah ‎ﷻ terima.

Tafsir Ayat Ke-28

لَئِن بَسَطتَ إِلَيَّ يَدَكَ لِتَقتُلَني ما أَناْ بِباسِطٍ يَدِيَ إِلَيكَ لِأَقتُلَكَ ۖ إِنّي أَخافُ اللهَ رَبَّ العٰلَمينَ

“Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan sekalian alam”.

لَئِن بَسَطتَ إِلَيَّ يَدَكَ لِتَقتُلَني ما أَناْ بِباسِطٍ يَدِيَ إِلَيكَ لِأَقتُلَكَ

“Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu.

Habil berkata kepada Qabil, jika Qabil ingin membunuhnya, dia tidak akan membalas balik untuk mempertahankan dirinya. Habil tidak mahu menjadi seperti saudaranya. Keburukan yang dilakukan oleh orang lain ke atas kita, tidak semestinya dibalas dengan keburukan yang sama.

إِنّي أَخافُ اللهَ رَبَّ العٰلَمينَ

Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan sekalian alam

Habil tidak berani untuk mengangkat tangannya kerana dia takut kepada Allah ‎ﷻ.

Di dalam kitab Sahihain daripada Nabi ﷺ disebutkan bahawa Nabi ﷺ telah bersabda:

“إِذَا تَوَاجَهَ الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا، فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا الْقَاتِلُ فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ؟ قَالَ: “إِنَّهُ كَانَ حَرِيصًا عَلَى قَتْلِ صَاحِبِهِ”.

Apabila dua orang Muslim saling berhadapan dengan pedangnya masing-masing, maka si pembunuh dan si terbunuh dimasukkan ke dalam neraka (dua-duanya). Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, kalau si pembunuh kami maklumi. Tetapi mengapa si terbunuh dimasukkan pula ke dalamnya?” Maka Nabi ﷺ menjawab: Sesungguhnya dia pun berkemahuan keras untuk membunuh temannya itu.

Tafsir Ayat Ke-29

إِنّي أُريدُ أَن تَبوأ بِإِثمي وَإِثمِكَ فَتَكونَ مِن أَصحٰبِ النّارِ ۚ وَذٰلِكَ جَزٰؤا الظّٰلِمينَ

“Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan (membawa) dosaku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim”.

إِنّي أُريدُ أَن تَبوأ بِإِثمي وَإِثمِكَ فَتَكونَ مِن أَصحٰبِ النّارِ

“Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan (membawa) dosaku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka,

Habil tahu bahawa kalau dia dibunuh tanpa sebab, orang yang membunuh itu akan menanggung segala dosanya, dan dia akan kembali ke akhirat dalam keadaan bersih. Sudahlah orang yang membunuh itu kena tanggung dosanya sendiri, dia kena tanggung pula dosa orang yang dibunuhnya itu.

Ada perbincangan tentang perkara ini: sama ada benarkah pembunuh akan menanggung seluruh dosa orang yang dibunuh? Satu pendapat mengatakan yang dosa yang ditanggung oleh pembunuh itu hanyalah dosa perbuatan membunuh itu sahaja, tidaklah dia kena tanggung segala dosa maksiat orang yang dibunuh itu; begitu pun, ada hujah yang mengatakan, nanti di akhirat, Allah ‎ﷻ akan mengadili antara orang yang zalim dan dizalimi.

Yang dizalimi akan ditemukan dengan yang menzaliminya dahulu semasa di dunia. Orang yang dizalimi akan diberikan dengan pahala daripada yang menzalimi, sebagai balasan di atas perbuatan zalimnya dahulu. Dan kalau sudah habis pahala daripadanya, maka yang menzalimi terpaksa menerima dosa orang yang dizalimi itu. Allahu a’lam.

Dan kerana dosa membunuh itu, dia akan masuk ke dalam neraka.

وَذٰلِكَ جَزٰؤا الظّٰلِمينَ

dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim

Dosa Qabil adalah memandang kecil pemberiannya kepada Allah ‎ﷻ, hinggakan dia beri korban yang tidak elok.

Kata-kata Habil ini adalah sebagai nasihat kepada Qabil yang hendak membunuhnya. Habil takutkan saudaranya itu dengan balasan buruk yang akan diterimanya kalau dia meneruskan niat buruknya itu.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan