Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-16 hingga Ke-19

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-16 hingga Ke-19

200
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah

Tafsir Ayat Ke-16

Allah ‎ﷻ beri petunjuk kepada manusia melalui wahyu-Nya.

يَهْدِي بِهِ اللهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوٰنَهُ سُبُلَ السَّلٰمِ وَيُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.

يَهْدِي بِهِ اللهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوٰنَهُ سُبُلَ السَّلٰمِ

Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan,

Ini adalah janji Allah ‎ﷻ untuk orang yang sanggup mengikuti redha Allah ‎ﷻ. Bukanlah diberikan kepada semua orang tetapi kepada mereka yang mahu mencari redha Allah ‎ﷻ. Apa yang Allah ‎ﷻ redha ada disebut dalam Al-Qur’an ini. Sekarang diajak golongan Ahli Kitab kepada Al-Qur’an. Dan kepada kita pula, hendaklah mempelajari tafsir Al-Qur’an.

Mereka mahu kepada kebenaran iaitu mereka yang mempunyai sifat inabah (sifat mahu kepada kebenaran). Allah ‎ﷻ akan bawa mereka yang mahukan kebenaran kepada jalan-jalan yang selamat yang membawa ke syurga iaitu mereka yang mencari kebenaran dalam akidah dan amal soleh. Kalau ada keinginan dalam diri, Allah ‎ﷻ akan tarik orang itu kepada guru, mungkin kepada penulisan yang baik – apa-apa sahaja yang boleh memberi hidayah kepadanya.

Kadangkala kita gembira apabila kita diberikan dengan ilmu yang baik. Kita rasa kita beruntung sungguh. Sebenarnya kita dapat ilmu itu kerana pernah dalam hati kita, kita minta Allah ‎ﷻ tunjuki kepada kita apa yang benar. Maknanya, kena ada keinginan dalam diri terlebih dahulu.

وَيُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ

dan Allah mengeluarkan orang-orang itu daripada gelap kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya,

Dan dengan Al-Qur’an itu Allah ‎ﷻ bawa orang yang ada inabah itu keluar daripada kegelapan syirik kepada cahaya keimanan. Kalau dahulu mereka sudah menuju kepada neraka, tetapi sekarang menuju kepada syurga.

Walau bagaimanapun, untuk mendapat semua itu, tetap mestilah memperolehi taufiq daripada Allah ‎ﷻ juga. Sebab itu Allah ‎ﷻ sebut dalam ayat ini: dengan izin-Nya. Oleh kerana itu, kita kena minta kepada Allah ‎ﷻ dan berharap kepada Allah ‎ﷻ juga. Minta Allah ‎ﷻ berikan hidayah dan beri kekuatan kepada kita untuk mengamalkan kebenaran itu.

وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.

Dan dengan Al-Qur’an itu boleh menunjuki orang itu kepada jalan yang lurus – iaitu perkara yang setiap hari kita minta dalam salat kita. Kebenaran ada dalam Al-Qur’an dan Sunnah daripada Nabi ﷺ. Maka kena mempelajarinya kalau benar-benar mahukan kebenaran.

Tafsir Ayat Ke-17

Ini pula tentang mereka yang menolak Al-Qur’an dan ajaran daripada Nabi ﷺ. Disebut secara khusus di dalam ayat ini tentang penganut Nasrani.

لَّقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ قُلْ فَمَن يَمْلِكُ مِنَ اللهِ شَيْئًا إِنْ أَرَادَ أَن يُهْلِكَ الْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَأُمَّهُ وَمَن فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا وَِلِلهِ مُلْكُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَاللهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah itu ialah Al Masih putera Maryam”. Katakanlah: “Maka siapakah (gerangan) yang dapat menghalang-halangi kehendak Allah, jika Dia hendak membinasakan Al Masih putera Maryam itu beserta ibunya dan seluruh orang-orang yang berada di bumi kesemuanya?”. Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada diantara keduanya; Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

لَّقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ

Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah itu ialah Al Masih putera Maryam”.

Kafirlah mereka yang kata begitu. Ini adalah fahaman Ya’qubiyyah daripada agama Kristian yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام itu adalah jelmaan Allah ‎ﷻ. Ini adalah salah satu fahaman Nasara. Bukanlah semua mazhab Kristian kata begitu. Sebab itu ada yang gunakan lafaz ‘Lord’ untuk Jesus dan ada yang gunakan lafaz ‘God’ untuk baginda.

Kerana itulah kita kena halang orang Kristian daripada menggunakan nama Allah dalam agama mereka. Ini kerana Allah ‎ﷻ pada mereka tidak sama dengan Allah ‎ﷻ dalam pemahaman kita. Pemahaman mereka tentang Allah ‎ﷻ adalah fahaman yang sesat. Jangan kita benarkan kerana ditakuti nanti ada orang sangka sama sahaja Tuhan kita dan tuhan mereka.

Ada juga fahaman dalam Nasara yang mengatakan Allah ‎ﷻ dan Nabi Isa عليه السلام itu memang juzuk yang berbeza, tetapi Allah ‎ﷻ masuk ke dalam atau menjelma di dalam tubuh Nabi Isa عليه السلام. Malangnya fahaman sesat begini pun ada juga dalam fahaman sesetengah orang Islam. Mereka kata Allah tajalli dalam diri Nabi Muhammad ﷺ – nauzubillahi min dzaalik.

قُلْ فَمَن يَمْلِكُ مِنَ اللهِ شَيْئًا

Katakanlah: “Maka siapakah (gerangan) yang dapat menghalang-halangi kehendak Allah,

Allah ‎ﷻ amat marah apabila ada yang berkata begitu. Maka Allah ‎ﷻ ajar Nabi Muhammad ﷺ untuk berhujah bagi pihak-Nya. Allah ‎ﷻ tanya kita balik, kalau Dia hendak buat sesuatu, adakah sesiapa yang boleh halang? Tentu tidak sama sekali.

إِنْ أَرَادَ أَن يُهْلِكَ الْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَأُمَّهُ

jika Dia hendak membinasakan Al Masih putera Maryam itu berserta ibunya

Allah ‎ﷻ sambung lagi, adakah sesiapa yang dapat menahan taqdir Allah ‎ﷻ kalau Dia ingin mematikan Isa dan ibunya? Allah ‎ﷻ beri contoh Nabi Isa عليه السلام dan ibunya kerana ramai manusia yang menjadikan mereka itu tuhan dan ilah. Tidak ada siapa pun yang boleh halang kerana mereka adalah makhluk-Nya.

Allah ‎ﷻ boleh mematikan mereka kalau Dia mahu. Sedangkan dalam surah sebelum ini disebut bagaimana mereka tidak dapat bunuh Nabi Isa عليه السلام, tetapi Allah ‎ﷻ sebut dalam surah ini yang Dia boleh mematikan. Kalau Allah ‎ﷻ boleh memusnahkan mereka, tentunya mereka itu bukan tuhan.

وَمَن فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

dan seluruh orang-orang yang berada di bumi kesemuanya?”

Marah betul Allah ‎ﷻ sampaikan Dia sebut Dia boleh bunuh semua makhluk-Nya kalau Dia mahu dan siapa yang boleh halang? Adakah Nabi Isa عليه السلام atau ibunya boleh halang? Tentu tidak ada sesiapa pun yang boleh halang. Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki. Ini yang kita kena benar-benar faham.

وَِلِلهِ مُلْكُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا

Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya;

Allah ‎ﷻ menekankan dalam ayat ini yang Dia adalah pemilik alam ini. Dialah sebenar-benar Raja. Ini adalah kerana puak Nasara kata Nabi Isa عليه السلام adalah King of Heaven – Raja di Langit. Itu adalah fahaman karut. Sama dengan fahaman Ayah Pin.

Allah ‎ﷻ hendak menolak syirik dalam bahagian tasarruf (mengurus alam). Ini kerana terdapat fahaman yang mengatakan ada Nabi dan wali yang mengurus alam ini bagi pihak Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ menekankan bahawa tidak ada kekuasaan itu diberikan kepada makhluk-Nya. Alam ini Allah ‎ﷻ yang urus sendiri dan Allah ‎ﷻ tidak perlukan wali untuk membantu-Nya.

يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ

Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya.

Allah ‎ﷻ boleh menciptakan apa sahaja yang Dia hendak. Semua yang ada adalah makhluk-Nya, ciptaan-Nya, termasuklah Nabi Isa عليه السلام dan ibunya. Tidak ada sesiapa selain Allah ‎ﷻ yang ada kuasa mencipta.

وَاللهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Dan kalau semua dalam alam ini Dia yang cipta, Dia boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki. Kita sebagai makhluk, kena terima sahaja apa yang Dia buat. Tidak boleh kita hendak halang, tidak boleh juga kita tanya dan persoal: tidak boleh kita tanya Allah ‎ﷻ: “Wahai Allah, kenapa Kamu buat begini dan begitu?” Tidak layak langsung untuk kita bertanya.

Tafsir Ayat Ke-18

Syikayah (ayat rungutan) terhadap Yahudi Nasara kerana kedegilan mereka.

وَقَالَتِ الْيَهُودُ وَالنَّصٰرَىٰ نَحْنُ أَبْنَؤا اللهِ وَأَحِبَّؤُهُ قُلْ فَلِمَ يُعَذِّبُكُم بِذُنُوبِكُم بَلْ أَنتُم بَّشَرٌ مِّمَّنْ خَلَقَ يَغْفِرُ لِمَن يَشَاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَاءُ وَِلِلهِ مُلْكُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ

Orang-orang Yahudi dan Nasrani mengatakan: “Kami ini adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya”. Katakanlah: “Maka mengapa Allah menyeksa kamu kerana dosa-dosamu?” (Kamu bukanlah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya), tetapi kamu adalah manusia (biasa) diantara orang-orang yang diciptakan-Nya. Dia mengampuni bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Kepunyaan Allah-lah kerajaan antara keduanya. Dan kepada Allah-lah kembali (segala sesuatu).

وَقَالَتِ الْيَهُودُ وَالنَّصٰرَىٰ نَحْنُ أَبْنَؤا اللهِ وَأَحِبَّؤُهُ

Orang-orang Yahudi dan Nasrani mengatakan: “Kami ini adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya”.

Yahudi dan Nasara mengaku dan perasan yang mereka adalah ‘anak-anak Allah’. Kononnya mereka rapat dengan Allah ‎ﷻ sebagaimana anak rapat dengan bapanya. Mereka perasan yang mereka itu anak angkat Allah ‎ﷻ. Mereka kata begitu kononnya kerana mereka adalah keturunan para Nabi dan para Nabi itu rapat dengan Allah ‎ﷻ. Mereka rasa yang mereka adalah insan terpilih.

Mereka juga kata mereka rapat dengan Allah ‎ﷻ sampai mereka dicintai. Sampai hari ini mereka percaya dan cakap seperti itu (the Chosen One). Kononnya mereka kata bahawa mereka tidak akan diazab kerana tidak mungkin Allah ‎ﷻ akan mengazab anak Dia sendiri dan kekasihnya, bukan?

Perasaan beginilah yang menyebabkan kesesatan pada manusia, iaitu apabila menyangka diri sudah selamat kerana terpilih. Begitulah juga yang akan dialami kalau orang Islam pun ada perasaan sebegitu juga.

قُلْ فَلِمَ يُعَذِّبُكُم بِذُنُوبِكُم

Katakanlah: “Maka mengapa Allah menyeksa kamu kerana dosa-dosamu?”

Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ jawab kepada mereka, tanya balik kepada mereka: “Kenapa Allah ‎ﷻ azab kamu nanti di neraka kerana dosa kamu?” Allah ‎ﷻ menggunakan lafaz yang Allah ‎ﷻ ‘akan’ azab, bukan ‘jika’ azab. Kalau kamu kata yang kamu itu anak Allah ‎ﷻ, kenapa kamu akan dikenakan azab?

Ini adalah satu kata-kata yang amat keras, kerana Allah ‎ﷻ kata Allah ‎ﷻ akan azab mereka. Ini menunjukkan dakwaan mereka itu kosong sahaja.

بَلْ أَنتُم بَّشَرٌ مِّمَّنْ خَلَقَ

Bahkan kamu adalah manusia (biasa) di antara orang-orang yang diciptakan-Nya.

Kamu manusia biasa sahaja. Tidak hebat mana pun, sama sahaja dengan makhluk-makhluk Allah ‎ﷻ yang lain. Jangan perasan sangatlah.

يَغْفِرُ لِمَن يَشَاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَاءُ

Dia mengampuni bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Allah ‎ﷻ sahaja yang akan buat keputusan sesiapa yang akan diampunkan dan siapa yang akan diazab. Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia yang akan azab, bukan Nabi Isa عليه السلام atau ibu baginda yang akan azab kerana kuasa buat keputusan dan kuasa azab terdapat di tangan-Nya.

وَِلِلهِ مُلْكُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Dan Kepunyaan Allah-lah kerajaan antara keduanya.

Allah ‎ﷻlah pemilik alam ini dan bukan Nabi Isa عليه السلام atau ibu baginda. Allah ‎ﷻ mengatakan bahawa semuanya adalah milik Dia dan Dia boleh berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki dengan apa yang dimiliki-Nya. Kerana itulah hanya Dia sahaja yang boleh azab.

Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang Allah ‎ﷻ. Kalau Nabi Isa عليه السلام dan ibu baginda pun tidak boleh halang, apatah lagi manusia biasa? Jadi jangan mengaku kamu itu istimewa sampai tidak akan dikenakan azab lah.

وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ

Dan kepada Allah-lah kembali (segala sesuatu).

Kamu semua akan mengadap kepada Allah ‎ﷻ nanti dan akan ditanya tentang apa yang kamu kata dan amalkan semasa di dunia. Kamu tidak terus berjumpa kepada sembahan-sembahan kamu, wali-wali atau mana-mana nabi yang kamu puja.

Ini penting kerana ada manusia yang sangka yang mereka akan bertemu dengan Nabi mereka apabila mereka mati kelak dan Nabi mereka itulah yang akan menguruskan perbicaraan dengan Allah ‎ﷻ nanti (dan akan mempertahankan mereka). Maka Allah ‎ﷻ tekankan dalam ayat ini yang semua akan terus menemui Allah ‎ﷻ dan tidak ada transit di mana-mana.

Dan Allah ‎ﷻ maha adil di dalam penghakiman-Nya nanti.

Tafsir Ayat Ke-19

Sekarang diulang perkara yang telah disebut dalam ayat 15 sebelum ini. Ini adalah ayat yang mengajak golongan Ahli Kitab supaya beriman. Mereka masih ada harapan lagi jikalau mereka mahu mengubah sikap mereka. Selagi mereka belum mati, mereka masih ada harapan lagi.

يَٰأَهْلَ الْكِتٰبِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ عَلَىٰ فَتْرَةٍ مِّنَ الرُّسُلِ أَن تَقُولُوا مَا جَاءَنَا مِن بَشِيرٍ وَلَا نَذِيرٍ فَقَدْ جَاءَكُم بَشِيرٌ وَنَذِيرٌ وَاللهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami, menjelaskan (syari’at Kami) kepadamu ketika terputus (pengiriman) Rasul-Rasul agar kamu tidak mengatakan: “Tidak ada datang kepada kami baik seorang pembawa berita gembira maupun seorang pemberi peringatan”. Sesungguhnya telah datang kepadamu pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

يَٰأَهْلَ الْكِتٰبِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا

Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami,

Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada Ahli Kitab bahawa telah datang kepada mereka Rasulullah, iaitu Nabi Muhammad ﷺ kepada mereka. Baginda adalah Nabi mereka juga, maka mereka kenalah beriman kepada baginda dan menerima apakah ajaran baginda.

يُبَيِّنُ لَكُمْ عَلَىٰ فَتْرَةٍ مِّنَ الرُّسُلِ

menjelaskan (syari’at Kami) kepadamu selepas terputus (pengiriman) rasul-rasul

Lafaz عَلَىٰ dalam ayat ini maksudnya ‘selepas’; iaitu Nabi Muhammad ﷺ itu datangnya selepas berhenti lama tidak ada Rasul. Terputus lama perlantikan Rasul selepas Nabi Isa عليه السلام, iaitu selepas lebih kurang 600 tahun (atau ada pendapat mengatakan 500 tahun).

Para ahli sejarah berbeza pendapat mengenai lamanya fatrah. Ada empat pendapat yang didasari dalil-dalil hadith mahupun perkataan tabi’in:

– Imam Muqatil, daripada Ibnu Abbas رضي الله عنه mengatakan masa fatrah antara Nabi Isa عليه السلام dan Muhammad ﷺ ialah 600 tahun.
– Imam Qatadah رحمه الله mengatakan 550 tahun.
– Adh-Dhahhak berpendapat 430 tahun lebih.
– Ibnu Sa’ad mengatakan 599 tahun, dan di antara Nabi Isa عليه السلام dan Muhammad ﷺ ada tiga Rasul lain daripada Bani Israel yang diutus oleh Allah ‎ﷻ. Namun riwayat ini dianggap sangat lemah oleh para ahli hadith seperti Al-Albani رحمه الله kerana terdapat Muhammad bin As-Sa’ib yang terkenal kadzib dan menyelisihi riwayat Al-Bukhari yang sahih.

Selama waktu itu, tidak ada Rasul yang memberi ajaran wahyu kepada mereka, maka banyaklah kesalahan yang telah berlaku dalam waktu itu dan Nabi Muhammad ﷺ akan memperbetulkan mana-mana ajaran yang salah dalam agama mereka.

Ayat ini juga mengingatkan tentang rahmat besar yang diberikan kepada Ahli Kitab pada zaman itu. Setelah sekian lama tidak ada Nabi, sekarang mereka diberikan kelebihan bersama dengan Nabi akhir zaman. Maka ambillah peluang itu.

Sebelum itu, Bani Israel telah diberikan dengan para Nabi dan Rasul yang amat banyak. Saidina Ibn Abbas رضي الله عنهما mengatakan jarak masa antara Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Isa عليه السلام adalah selama 1,700 tahun. Sepanjang waktu itu, seribu Nabi telah diutus kepada Bani Israel sahaja (ini tidak termasuk Nabi kepada bangsa yang lain).

Malah, bukan sahaja Bani Israel mendapat kelebihan itu akan tetapi seluruh umat manusia. Sudah lama sangat dunia tidak ada Nabi dan kehidupan di dalam zaman Jahiliyah yang amat-amat teruk. Maka tugas Nabi sekarang memberi peringatan dan ajaran kepada mereka.

Dan ini juga memberi isyarat kepada kehebatan Rasulullah ﷺ. Baginda berjaya mendidik umat di zaman yang telah lama jauh daripada wahyu. Bandingkan dengan seorang doktor yang terpaksa memberi bantuan kepada masyarakat tanpa ada alat-alat kelengkapan perubatan. Kalau dia berjaya menjaga kesihatan mereka, maka tentulah hebat, bukan? Maka begitulah juga baginda Nabi ﷺ kita.

أَن تَقُولُوا مَا جَاءَنَا مِن بَشِيرٍ وَلَا نَذِيرٍ

agar kamu tidak mengatakan: “Tidak ada datang kepada kami baik seorang pembawa berita gembira maupun seorang pemberi peringatan”.

Dihantar Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka nanti akan berdalih dengan mengatakan bahawa tidak datang sebarang Rasul yang memberikan peringatan kepada mereka. Dengan adanya Nabi Muhammad ﷺ, mereka tidak ada alasan lagi. Begitulah, Allah ‎ﷻ tidak mengazab hamba-Nya selagi tidak diberikan dakwah kepada mereka.

فَقَدْ جَاءَكُم بَشِيرٌ وَنَذِيرٌ

Sesungguhnya telah datang kepadamu pembawa berita gembira dan pemberi peringatan.

Telah datang Nabi Muhammad ﷺ yang memberi berita gembira dan peringatan. Maka mereka tidak ada alasan lagi. Sekarang ikutlah apa yang disampaikan oleh baginda. Maka ini juga ayat kepada golongan Yahudi dan Nasrani sekarang. Mereka diajak kembali kepada agama yang sebenar.

وَاللهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Kita tidak boleh halang dan tidak boleh persoal. Termasuk dalam perkara ini juga, Allah ‎ﷻ boleh mengazab mereka kalau Dia mahu. Maka kena beringat-ingatlah.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan