Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-13 hingga Ke-15

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-13 hingga Ke-15

219
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-13

Oleh kerana mereka memungkiri janji, maka Allah ‎ﷻ timpakan 5 perkara ke atas mereka.

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثٰقَهُمْ لَعَنّٰهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قٰسِيَةً يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ وَنَسُوا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا بِهِ وَلَا تَزَالُ تَطَّلِعُ عَلَىٰ خَائِنَةٍ مِّنْهُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاصْفَحْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

(Tetapi) kerana mereka melanggar janji mereka, Kami laknat mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka suka merubah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebahagian dari apa yang mereka telah diperingatkan dengannya, dan kamu (Muhammad) senantiasa akan melihat kekhianatan daripada mereka kecuali sedikit di antara mereka (yang tidak berkhianat), maka maafkanlah mereka dan biarkan mereka, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ

Kerana mereka melanggar janji mereka, Kami laknat mereka,

1. Maka Allah ‎ﷻ laknat mereka. Jika Allah ‎ﷻ telah melaknat, maka tidak ada peluang untuk mendapat rahmat iaitu Allah ‎ﷻ menjauhkan mereka daripada perkara yang hak dan mengusir mereka dari jalan hidayah. Maka umat Islam sekarang kena berhati-hati supaya jangan jadi seperti mereka.

وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً

dan Kami jadikan hati mereka keras membatu.

2. Hati mereka keras seperti batu untuk menerima kebenaran dan keras hati untuk menerima nasihat. Apabila nasihat disampaikan kepada mereka, ia tidak memberi bekas. Ya Allah, janganlah Kau jadikan kami seperti mereka! Aameen.

Perkara ini adalah sama seperti karat pada hati yang Allah ‎ﷻ telah sebut dalam [ Mutaffifin:14 ]

كَلّا ۖ بَل ۜ رانَ عَلىٰ قُلوبِهِم ما كانوا يَكسِبونَ

Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.

Ada satu hadith tentang hal ini di mana Rasulullah ﷺ telah mentafsir ayat ini. Kita boleh lihat hadith daripada Abi Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ ، فَإِنْ هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ صَقَلَتْ قَلْبَهُ ، وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ فَهُوَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَ اللَّهُ {كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ}.

Sesungguhnya hamba, apabila melakukan satu kesalahan atau dosa, akan ditulis pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa, beristighfar dan bertaubat, nescaya digilap hatinya. Sebaliknya, apabila mengulangi dosa, akan ditambah padanya titik hitam sehingga memenuhi hatinya, maka itulah dipanggil al-raan (الرَّانُ) yang Allah nyatakan: {كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ} Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.

(Riwayat al-Nasa’iy (11594))

Apabila sudah hitam hatinya, maka dia sudah tidak kisah lagi dengan perbuatannya. Dia sudah tidak kisah halal atau haram, baik atau buruk. Semua ikut nafsu dia sahaja; apa yang dia hendak buat, dia buat sahaja tanpa banyak fikir lagi,

Dia sentiasa membuat dosa yang sama umpama ‘daya inersia’ (kekal dalam keadaan yang sama) kerana dia sudah lali dengan perbuatan dosa. Dia sudah tidak dapat ‘brek’ lagi daripada perbuatan dosanya itu. Dia bagaikan sudah ketagih dengan dosanya sendiri; dosa tersebut menjadi tabiat yang kekal sebati dalam jiwanya.

يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ

Mereka merubah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya,

3. Iaitu mereka mengubah matan (teks) Kitab Taurat atau, mereka ubah makna daripada yang sepatutnya (beri penafsiran yang lain, jauh daripada yang kebenaran). Ini terjadi apabila sudah lali dengan perbuatan dosa. Sampai mereka sanggup membuat dosa yang amat tinggi sekali iaitu mengubah kalam Allah ‎ﷻ sendiri.

Mengubah kalam Allah ‎ﷻ adalah perbuatan yang buruk. Begitu jugalah seperti kebanyakan perbuatan guru-guru kita yang salah dalam mengajar. Mereka menggunakan juga ayat-ayat Al-Qur’an, tetapi mereka telah mengubah maknanya sampai keliru orang awam yang tidak faham bahasa Arab dan yang tidak belajar tafsir.

Kerana itulah ramai yang melakukan ibadah yang salah dan fahaman yang syirik dalam kalangan masyarakat kita sekarang. Ini kerana ramai yang tidak tahu tentang Al-Qur’an dan mereka diberikan maklumat yang salah tentangnya.

وَنَسُوا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا بِهِ

dan mereka melupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diperingatkan dengannya,

4. Mereka lupa sebahagian besar hukum yang mereka perlu taati. Sedangkan ayat-ayat itu tentang perkara yang mereka selalu diingatkan untuk menegakkannya. Ini juga kesan daripada kesalahan-kesalahan yang mereka telah lakukan.

Maka kerana mereka lupa, mereka tidak beramal dengannya. Memang banyak daripada Taurat yang mereka tidak amalkan. Mereka amalkan mana yang mereka mahu sahaja. Jika ada yang mereka rasa susah untuk amal dan tegakkan, mereka buat tidak kisah sahaja.

وَلَا تَزَالُ تَطَّلِعُ عَلَىٰ خَائِنَةٍ مِّنْهُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ

dan kamu senantiasa akan melihat kekhianatan daripada mereka kecuali sedikit di antara mereka

5. Berlaku khianat dalam kalangan mereka dan mereka juga akan melakukan khianat kepada muslimin. Hati mereka tidak tenteram kalau melihat umat Islam berjaya. Mereka akan cuba untuk menjatuhkan umat Islam. Perkara ini telah banyak dibincangkan dalam Surah Baqarah sebelum ini.

Allah ‎ﷻ memberitahu kita yang kebanyakan daripada mereka akan melakukan khianat dan sedikit sahaja yang masuk Islam.

فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاصْفَحْ

maka maafkanlah mereka dan biarkan mereka,

Kita disuruh memaafkan mereka dan jangan pedulikan mereka. Jangan hukum lagi apa yang mereka buat dahulu. Dakwah sahaja kepada mereka dahulu. Ada benda lain yang lebih penting lagi daripada menghukum mereka. Biarlah sahaja Allah ‎ﷻ yang menghukum.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa ayat ini telah dimansukhkan dengan ayat:

قَاتِلُوا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلا بِالْيَوْمِ الآخِر

Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari kemudian. (At-Taubah: 29), hingga akhir ayat.

إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

Allah ‎ﷻ sukakan hamba yang memiliki hati yang baik dan yang juga cuba memperbaiki diri mereka dari masa ke semasa.

Tafsir Ayat Ke-14

Contoh kedua selepas diberikan contoh daripada Ahli Kitab. Sebelum ini telah disebutkan contoh Yahudi sekarang disebutkan pula contoh daripada golongan Nasara pula.

وَمِنَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَٰرَىٰ أَخَذْنَا مِيثَٰقَهُمْ فَنَسُوا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا بِهِ فَأَغْرَيْنَا بَيْنَهُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيٰمَةِ وَسَوْفَ يُنَبِّئُهُمُ اللهُ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ

Dan di antara orang-orang yang mengatakan: “Sesungguhnya kami ini orang-orang Nasrani”, ada yang telah Kami ambil perjanjian mereka, tetapi mereka (sengaja) melupakan sebahagian dari apa yang mereka telah diberi peringatan dengannya; maka Kami timbulkan di antara mereka permusuhan dan kebencian sampai hari kiamat. Dan kelak Allah akan memberitakan kepada mereka apa yang mereka kerjakan.

وَمِنَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَٰرَىٰ أَخَذْنَا مِيثَٰقَهُمْ

Dan di antara orang-orang yang mengatakan: “Sesungguhnya kami ini orang-orang Nasrani”, ada yang telah Kami ambil perjanjian mereka,

Ini pula tentang perjanjian yang telah diadakan dengan golongan Nasara (Kristian). Mereka kata kononnya mereka ikut Nabi Isa ‎ﷻ (Jesus) tetapi kalau dikaji, mereka tidak ikut sebenarnya. Kita amat berterima kasih dengan apa yang disampaikan dan dilakukan oleh golongan ulama’ hebat seperti Ahmad Deedat dan Zakir Naik yang telah membuka kisah mereka dan membuka rahsia mereka.

Kerana itu kita hairan kenapa ada golongan Islam sendiri yang tidak suka kepada mereka berdua sampai sanggup mereka mengatakan yang Zakir Naik itu Wahabi? Dari sini, kita tahulah siapakah musuh Islam dalam selimut. Mereka mengaku Islam, tetapi sebenarnya mereka itu hendak menjatuhkan Islam tanpa mereka sedari. Yang jelas, ini telah membuka kebodohan mereka sendiri.

Sepatutnya yang kita perlu lakukan adalah menyokong golongan sebegini yang telah banyak mengislamkan ramai golongan non-Muslim. Kita juga patut belajar banyak daripada mereka dengan meneliti apakah hujah-hujah mereka.

فَنَسُوا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا بِهِ

tetapi mereka (sengaja) melupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diberi peringatan dengannya;

Mereka lupa perkara penting yang mereka kena amal. Terdapat tiga perkara penting dalam wahyu yang diulang-ulang: tentang Tauhid, Risalah kenabian dan akhirat (ingat akronim ART).

Oleh itu, Allah ‎ﷻ telah menceritakan tentang Yahudi dan Nasara. Bagaimana pula dengan puak ketiga, iaitu puak Muslim? Kita pun ramai yang seperti itu juga. Ramai yang tidak tahu pun apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an. Ramai juga yang buat-buat lupa.

Ramai yang tidak kisah pun dengan apa yang disampaikan dalam wahyu Allah ‎ﷻ. Mereka sangka mereka telah selamat kerana mereka orang Islam tetapi bagaimana keadaan mereka kalau mereka tidak mengamalkan apa yang sepatutnya mereka amalkan? Maka kita kena gerakkan tenaga untuk menormakan pembelajaran wahyu dalam masyarakat kita. Alhamdulillah kita sudah nampak bibit-bibit ini berlaku dan semakin bercambah banyak. Ayuh kita teruskan!

فَأَغْرَيْنَا بَيْنَهُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيٰمَةِ

maka Kami timbulkan di antara mereka permusuhan dan kebencian sampai hari kiamat.

Natijah daripada apa yang mereka tinggalkan itu, iaitu dengan tidak memenuhi perjanjian dengan Allah ‎ﷻ itu, mereka ada permusuhan dan kebencian sesama mereka sampai kiamat. Namun begitu Allah ‎ﷻ tidak menzahirkan kebencian mereka itu dengan jelas.

Nampak seolah-olah mereka baik sahaja sesama mereka tetapi lihatlah apa yang terjadi antara puak Protestant dan Katolik. Mereka amat benci sesama mereka sendiri. Mereka berbunuhan sesama mereka sampaikan mereka mencipta alat seksaan untuk menyeksa mazhab yang berlainan.

Lagi satu, tidak nampak permusuhan antara golongan Kristian ini, kerana mereka tidak kisah pun dengan hal agama. Yang berbalah itu adalah golongan agama yang cakna tentang agama mereka. Ada golongan yang Kristian pada nama sahaja (sebagaimana kebanyakan orang kita yang Muslim pada nama sahaja) jadi mereka tidak tahu pun tentang apa-apa hal agama.

وَسَوْفَ يُنَبِّئُهُمُ اللهُ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ

Dan kelak Allah akan memberitakan kepada mereka apa yang mereka kerjakan.

Akhirat nanti Allah ‎ﷻ akan menceritakan semula apa yang mereka telah usahakan, untuk hukum mereka. Ini adalah apa yang akan terjadi di akhirat kelak, mereka akan dibentangkan dengan apa yang mereka telah lakukan sambil disaksikan oleh semua orang. Antara dosa yang paling besar mereka lakukan adalah mengatakan yang Allah ‎ﷻ mempunyai anak – Jesus. Ini akan diterangkan nanti dengan panjang lebar.

Tafsir Ayat Ke-15

Allah ‎ﷻ mula hendak menjelaskan jenis ‘syirik iktiqadi’ (syirk dari segi fahaman).

يَٰأَهْلَ الْكِتَٰبِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ كَثِيرًا مِّمَّا كُنتُمْ تُخْفُونَ مِنَ الْكِتَٰبِ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ قَدْ جَاءَكُم مِّنَ اللهِ نُورٌ وَكِتَٰبٌ مُّبِينٌ

Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami, menjelaskan kepadamu banyak dari isi Al Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya daripada Allah, dan Kitab yang menerangkan.

 

يَٰأَهْلَ الْكِتَٰبِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا

Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami,

Allah ‎ﷻ sedang berkata kepada Ahli Kitab. Allah‎ ﷻ beritahu yang Dia telah mengutus Rasul-Nya – Iaitu Nabi Muhammad ﷺ.

يُبَيِّنُ لَكُمْ كَثِيرًا مِّمَّا كُنتُمْ تُخْفُونَ مِنَ الْكِتَٰبِ

menjelaskan kepadamu banyak daripada isi Al Kitab yang kamu sembunyikan,

Tugas baginda salah satunya adalah untuk menjelaskan semula perkara yang banyak telah disembunyikan oleh Yahudi dan Nasara. Mereka ada kitab tetapi mereka simpan sendiri. Kitab-kitab mereka bukan seperti Al-Qur’an – semua umat Islam ada Al-Qur’an, setiap rumah ada mushaf Al-Qur’an, bukan?

Namun ahli agama Ahli Kitab telah menyimpan kitab wahyu mereka dan tidak didedahkan semuanya kepada umat mereka. Ini supaya mereka dapat mengawal maklumat yang sampai kepada masyarakat. Mereka cuma berikan dan sebarkan mana yang mereka rasa ‘selamat’ sahaja. Bila begitu, senanglah untuk mereka mengubah mana-mana yang mereka tidak suka.

Sebagai contoh, antara perkara yang mereka sembunyikan adalah berkenaan hukum rejam sampai mati kepada penzina yang telah berkahwin; mereka juga menyembunyikan tentang kedatangan Nabi Muhammad ﷺ; dan banyak lagi perkara yang mereka sembunyikan.

Zaman sekarang, ahli agama kita tidak perlu buat begitu, kerana umat Islam memang jahil pun dengan Al-Qur’an. Kerana itu walaupun sesuatu perkara itu ada dalam Al-Qur’an, terbentang luas, mereka tidak faham kerana mereka tidak belajar isi kandungan Al-Qur’an. Ahli agama yang sesat senang sahaja hendak menyesatkan umat Islam sekarang, cakap benda pelik dalam agama pun ramai yang percaya. Tidak perlu mereka ubah kandungan Al-Qur’an itu atau sorokkan Al-Qur’an. Cukup mereka kata ‘Ini terdapat dalam Qur’an….’ sudah ramai yang percaya.

Ramai juga golongan ustaz yang menyembunyikan ajaran sebenar wahyu daripada manusia. Mereka takut untuk menyatakan kebenaran. Mereka takut untuk menegur kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat yang belajar dengan mereka walaupun kesalahan yang dilakukan itu adalah kesalahan syirik. Ini kerana mereka takut kalau ditegur, masyarakat akan marah dan tidak panggil lagi mereka datang untuk mengajar. Bila tidak dipanggil, maka mereka akan hilang punca pendapatan.

Jadi apabila Nabi Muhammad ﷺ telah diangkat menjadi Rasul, maka baginda telah membongkar kesalahan-kesalahan dan penipuan golongan agamawan daripada Ahli Kitab itu. Baginda suruh mereka sendiri lihat apa yang ada dalam kitab mereka.

وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ

dan banyak yang dibiarkannya

Dalam banyak perkara yang Nabi Muhammad ﷺ bongkar rahsia dan kesalahan yang dilakukan oleh ahli agama Yahudi dan Nasara, masih banyak yang baginda tidak pedulikan, tidak bongkar. Maknanya, baginda tidak tunjukkan kesemua kesalahan mereka. Ini untuk perli kepada ahli agama Ahli Kitab itu. Mereka sendiri tahu apa yang mereka sembunyikan.

قَدْ جَاءَكُم مِّنَ اللهِ نُورٌ وَكِتَٰبٌ مُّبِينٌ

Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya daripada Allah, dan Kitab yang menerangkan.

Nur yang dimaksudkan adalah kitab wahyu. Wahyu diumpamakan sebagai cahaya kerana ia memberikan cahaya hidayah kepada manusia. Jadi, daripada ayat ini, kita tahu yang Allah ‎ﷻ berikan Nabi dan beri kitab kepada manusia. Dengan keduanya, sepatutnya manusia sudah faham tentang agama.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan