KESAN DISIPLIN ILMU HADIS DALAM INTERAKSI MEDIA
SOSIAL
Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin[1]
Abstrak
Internet dan media sosial memainkan peranan penting dalam kehidupan moden. Namun, kerana teknologi ini adalah sesuatu yang baru muncul, ramai orang yang tidak dapat melihat bagaimana Islam dapat memberikan panduan dalam berinteraksi dengan media sosial ini. Kajian ini menghuraikan tentang disiplin ilmu hadis melibatkan ilmu riwayat dan ilmu dirayah, seterusnya menunjukkan perkaitan antara ilmu hadis dengan interaksi media sosial, diikuti dengan perbincangan tentang kesan disiplin ilmu hadis terhadap seseorang muslim dalam berinteraksi menggunakan media sosial. Kajian ini dapat mengetengahkan prinsip-prinsip Islam yang harus diamalkan oleh setiap muslim yang menggunakan media sosial, serta menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang syumul pada setiap masa dan keadaan.
Pengenalan
Internet kini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan dan digunakan untuk mencari maklumat, berjual-beli, menonton filem dan klip video, hiburan, serta berhubung dengan orang lain (Correa, Hinsley, & De Zuniga, 2010). Nugraha (2015) menyebut bahawa kemunculan pelbagai media sosial bagi memudahkan masyarakat berinteraksi adalah kesan perkembangan teknologi Internet.
Yonker, Zan, Scirica, Jethwani, and Kinane (2015) menyatakan bahawa 95% penduduk Amerika terutama remaja dan awal dewasa mengakses Internet setiap hari. Ini menunjukkan peningkatan berbanding kajian oleh Lenhart, Purcell, Smith, and Zickuhr (2010) yang dilaksanakan pada September 2009 yang menunjukkan bahawa 93% remaja di Amerika menggunakan Internet. Newman, Fletcher, Kalogeropoulos, Levy, and Nielsen (2017) menyatakan bahawa jumlah pengguna di Internet di Malaysia adalah pada kadar 70%. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (2017) memberikan nilai lebih tinggi iaitu pengguna Internet di Malaysia adalah pada kadar 76.9% iaitu 24.5 juta pengguna.
Tidak dapat dinafikan bahawa media sosial juga sudah menjadi komponen utama kehidupan kanak-kanak dan remaja pada hari ini (O’Keeffe & Clarke-Pearson, 2011). Ini disebabkan media sosial memungkinkan komunikasi tanpa batas tanpa ada kekangan masa dan tempat (Nugraha, 2015). Majoriti pengguna media sosial di Amerika adalah remaja iaitu sebanyak 73%, berbanding dewasa sebagai sebanyak 47% (Lenhart et al., 2010). Kajian oleh Perrin (2015) menunjukkan peningkatan kepada 65% orang dewasa Amerika adalah pengguna laman rangkaian sosial.
Baca seterusnya di sini:
https://drive.google.com/file/d/1wI2SzDR3yszqzjbwe9v4yfiHysmzLTNz/view?usp=sharing
[1] Guru Bahasa Jepun, SMK Tengku Intan Zaharah, 23000 Dungun, Terengganu. E-mel/ Facebook: [email protected]. Telefon: 017-6192624.