Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah – Tafsir Ayat Ke-4 dan Ke-5

Tafsir Surah Al-Maidah – Tafsir Ayat Ke-4 dan Ke-5

240
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah 
Tafsir Ayat Ke-4

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبٰتُ وَمَا عَلَّمْتُم مِّنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Mereka menanyakan kepadamu: “Apakah yang dihalalkan bagi mereka?”. Katakanlah: “Dihalalkan bagimu yang baik-baik dan (buruan yang ditangkap) oleh binatang buas yang telah kamu ajar dengan melatihnya untuk berburu; kamu mengajarnya menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu. Maka makanlah dari apa yang ditangkapnya untukmu, dan sebutlah nama Allah atas binatang buas itu (waktu melepaskannya). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat cepat hisab-Nya.

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ

Mereka menanyakan kepadamu: “Apakah yang dihalalkan bagi mereka?”.

Setelah disebutkan perkara yang haram, sekarang ditanya pula manakah yang halal untuk mereka?

قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبٰتُ

Katakanlah: “Dihalalkan bagimu yang baik-baik

Ini adalah jawapan secara umum. Semua yang baik itu dihalalkan untuk kita memakannya. Maknanya, apa yang Allah ‎ﷻ haramkan adalah tidak baik bagi kita sebenarnya. Begitulah hukum yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita adalah untuk kebaikan kita sebenarnya.

Banyak dalam dunia ini yang syariat tidak haramkan. Lebih banyak yang halal daripada yang haram. Kalau tidak ada dalil pengharaman, maka boleh sahaja makan kerana kembali kepada hukum asal: harus.

Kalau ada sesuatu perkara yang kita tidak pasti boleh dimakan atau tidak, Imam Syafi’iy رحمه الله berkata kena dilihat sama ada orang Arab Quraisy makan ataupun tidak. Ini kerana Al-Qur’an turun kepada mereka dan seeloknya kita ikut selera mereka. Mereka itu dijadikan kayu ukur. Kalau sesuatu itu jijik bagi mereka, maka jijik jugalah sepatutnya untuk kita.

وَمَا عَلَّمْتُم مِّنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ

dan (buruan yang ditangkap) oleh binatang buas yang telah kamu ajar dengan melatih nya untuk berburu;

Juga dihalalkan untuk memakan binatang yang ditangkap oleh binatang buruan kita. Ini orang Melayu rasanya tidak mengamalkannya jadi ia agak asing bagi kita. Selalunya binatang buruan yang digunakan adalah anjing. Anjing itu akan menangkap binatang yang hendak dimakan.

Kesimpulannya ialah jawarih ertinya haiwan-haiwan pemangsa, seperti anjing, burung helang, dan lain sebagainya yang serupa. Haiwan itu yang tangkapkan makanan bagi kita dan kita boleh makan makanan yang ditangkap itu, walaupun bila sampai kepada kita, binatang buruan itu sudah pun mati.

تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللهُ

kamu mengajarnya menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu.

Boleh makan binatang yang ditangkap oleh binatang yang diajar memburu seperti anjing. Bukanlah anjing biasa, tetapi anjing yang telah dilatih. Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa Dia lah yang mengajar kita cara bagaimana melatih binatang itu. Kerana itu semasa ditangkap haiwan buruan itu, selalunya haiwan yang hendak dimakan itu cuma dicederakan tetapi belum mati lagi. Ini kerana anjing itu menangkap haiwan buruan itu untuk kita, bukan untuk dia.

Maka, anjing bawakan binatang yang telah ditangkap itu dan anjing itu tidak makan daripada binatang itu. Kalau gunakan helang pula, tanda helang itu telah dilatih adalah ia akan ikut arahan. Kalau kita panggil dia, dia akan datang walaupun sedang mengejar buruan. Ini penting kerana kalau sudah dilatih, bermakna binatang pemburu itu memburu untuk kita, bukan untuk diri dia sendiri.

فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ

Maka makanlah daripada apa yang ditangkapnya untukmu,

Maka, binatang yang ditangkap oleh binatang buruan kita itu boleh dimakan. Walaupun kadang-kadang bila ia sampai kepada kita, binatang yang diburu itu telah mati pun.

Binatang yang kita gunakan sebagai binatang pemburun ini dikenali sebagai Mukallibeen. Terdapat beberapa syarat:
1. Kita kena ajar binatang itu bagaimana memburu. Oleh itu, bukan mereka pandai sendiri.
2. Kita yang lepaskan binatang itu pergi. Oleh itu, dia pergi dengan arahan dan boleh berhenti kalau kita suruh. Maknanya binatang yang mendengar kata.
3. Dan dia tidak makan sedikit pun daripada binatang yang dia tangkap, kerana dia memang tangkap untuk kita. Mereka pegang sahaja dengan gigi mereka. Orang Arab banyak menggunakan anjing sebagai binatang pemburu. Selain daripada anjing, ada juga yang menggunakan burung helang (falcon). Maka tidak ada masalah kalau menggunakan anjing. Allah ‎ﷻ yang menjadikan anjing untuk kegunaan kita.

Maka jangan benci kepada anjing. Malangnya masyarakat kita salah faham tentang hukum sehinggakan budak-budak dan orang tua yang berperangai seperti budak dan akalnya seperti budak, bencikan anjing. Sampaikan ada yang baling anjing dengan batu kerana benci sahaja. Dan makin dahsyat ada yang sehingga sanggup membunuh pun.

وَاذْكُرُوا اسْمَ اللهِ عَلَيْهِ

dan sebutlah nama Allah atas binatang itu

Ini ada satu lagi syaratnya: semasa kita melepaskan mukallibeen itu, kita baca bismillah. Jadi, mulut mukallibeen itu sebagai ganti kepada pisau. Oleh itu, ia bagaikan seolah-olah kita sembelih binatang itu (dengan gigi binatang mukallibeen itu). Kerana itulah kalau binatang itu sampai kepada kita sudah mati, kita boleh makan, kerana seumpama ia telah disembelih.

Disebut di dalam kitab Sahihain daripada Addi ibnu Hatim yang telah menceritakan:

قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي أُرْسِلُ الْكِلَابَ المعلَّمة وَأَذْكُرُ اسْمَ اللَّهِ. فَقَالَ: “إِذَا أَرْسَلْتَ كَلْبَكَ المعلَّم وَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ، فَكُلْ مَا أَمْسَكَ عَلَيْكَ”. قُلْتُ: وَإِنْ قَتَلْنَ؟ قَالَ: “وَإِنْ قَتَلْنَ مَا لَمْ يُشْرِكْهَا كَلْبٌ لَيْسَ مِنْهَا، فَإِنَّكَ إِنَّمَا سَمَّيْتَ عَلَى كَلْبِكَ وَلَمْ تُسَمِّ عَلَى غَيْرِهِ”. قُلْتُ لَهُ: فَإِنِّي أَرْمِي بالمِعْرَاض الصَّيْدَ فَأُصِيبُ؟ فَقَالَ: “إِذَا رَمَيْتَ بِالْمِعْرَاضِ فَخَزق فَكُلْهُ، وَإِنْ أَصَابَهُ بعَرْض فَإِنَّهُ وَقِيذٌ، فَلَا تَأْكُلْهُ”

Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku melepaskan anjing pemburu yang telah dilatih dan aku menyebutkan asma Allah.” Rasulullah ﷺ menjawab, “Apabila kamu melepaskan anjing terlatihmu dan kamu sebut asma Allah, maka makanlah selagi anjingmu itu menangkap haiwan buruan untukmu.” Aku ber­tanya, “Sekalipun haiwan buruan itu telah dibunuhnya?” Rasu­lullah ﷺ bersabda, “Sekalipun telah dibunuhnya selagi tidak ditemani oleh anjing lain yang bukan daripada anjing-anjingmu, kerana sesungguhnya kamu hanya membaca tasmiyah untuk an­jingmu, bukan membacanya untuk anjing lain.” Aku bertanya ke­padanya, “Sesungguhnya aku melempar haiwan buruan dengan tombak dan mengenainya.” Rasulullah ﷺ menjawab, “Jika kamu melemparnya dengan tombak dan tombak itu menembus tubuhnya, maka makanlah. Tetapi jika yang mengenainya ialah bahagian sampingnya (tengahnya), sesungguhnya haiwan buruan itu mati kerana terpukul, jangan kamu makan.”

Menurut lafaz lain yang juga daripada keduanya (Imam Bukhari dan Imam Muslim) disebutkan seperti berikut:

“إِذَا أَرْسَلْتَ كَلْبَكَ فَاذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ، فَإِنْ أَمْسَكَ عَلَيْكَ فَأَدْرَكْتَهُ حَيًّا فَاذْبَحْهُ، وَإِنْ أَدْرَكْتَهُ قَدْ قُتِلَ وَلَمْ يَأْكُلْ مِنْهُ فَكُلْهُ، فَإِنَّ أخْذ الْكَلْبِ ذَكَاتُهُ”

Jika kamu melepaskan anjing pemburumu, bacalah asma Allah; dan jika ia menangkap haiwan buruannya untukmu, lalu kamu jumpai masih hidup, sembelihlah haiwan buruan itu. Jika kamu menjumpainya telah mati dan anjingmu tidak memakannya, ma­kanlah, kerana sesungguhnya terkaman anjingmu itu merupakan sembelihannya.

Menurut riwayat lain yang ada pada Imam Bukhari dan Imam Mus­lim disebutkan seperti berikut:

“فَإِنْ أَكَلَ فَلَا تَأْكُلْ، فَإِنِّي أَخَافُ أَنْ يَكُونَ أَمْسَكَ عَلَى نَفْسِهِ.”

Dan jika anjingmu itu memakannya, maka janganlah kamu ma­kan, kerana sesungguhnya aku merasa khuatir bila anjingmu itu menangkapnya untuk dirinya sendiri.

Sebahagian ulama’ mengatakan yang dimaksudkan daripada ayat ini ialah perintah membaca bismillah sewaktu hendak makan. Seperti yang disebutkan di dalam hadith Sahihain,

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَّم رَبِيبه عُمَرَ بْنَ أَبِي سَلَمَةَ فَقَالَ: “سَمّ اللَّهَ، وكُل بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ”

bahawa Rasulullah ﷺ mengajari anak tirinya, iaitu Umar ibnu Abu Salamah. Untuk itu baginda ﷺ bersabda: Sebutlah asma Allah, dan makanlah dengan tangan kananmu serta makanlah (makanan) yang dekat denganmu.

Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan:

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهُمْ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ قَوْمًا يَأْتُونَنَا -حَدِيثٌ عَهْدُهُمْ بِكُفْرٍ-بلُحْمانٍ لَا نَدْرِي أَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهَا أَمْ لَا؟ فَقَالَ: “سَمّوا اللَّهَ أَنْتُمْ وكلوا.”

Daripada Siti Aisyah رضي الله عنها bahawa mereka pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ada suatu kaum yang baru masuk Islam datang kepada kami dengan membawa dua jenis daging, tanpa kami ketahui apakah mereka menyebut nama Allah (ketika menyembelihnya) atau tidak.” Rasulullah ﷺ bersab­da: Sebutlah nama Allah oleh kalian sendiri, lalu makanlah.

Maksud hadith ini adalah tidaklah perlu kita hendak periksa dengan terperinci sangat. Kalau yang sembelih itu orang Islam, maka kita bersangka baiklah yang dia sudah sembelih cara Islam. Tidaklah kita perlu sampai dilihat cara dia sembelih pula.

وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat cepat hisab-Nya.

Yang penting, kita kena bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ. Taqwa maksudnya taat atas apa sahaja hukum yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan untuk kita. Maka kita kena belajar dahulu hukum-hukum yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan kepada kita.

Takutlah kepada Allah ‎ﷻ kerana kalau kita tidak taat, Allah ‎ﷻ boleh mengenakan azab kepada kita dan azab Allah ‎ﷻ itu amat cepat. Maka jangan lupa kewajipan kepada Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, jangan sibuk memburu sampai lupa untuk salat pula.

Tafsir  Ayat Ke-5

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبٰتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ الْمُؤْمِنٰتِ وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ مِن قَبْلِكُمْ إِذَا ءآتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسٰفِحِينَ وَلَا مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ وَمَن يَكْفُرْ بِالْإِيمٰنِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخٰسِرِينَ

Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka. (Dan dihalalkan mengahwini) wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mas kawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik. Barangsiapa yang kafir sesudah beriman (tidak menerima hukum-hukum Islam) maka hapuslah amalannya dan ia di hari kiamat termasuk orang-orang merugi.

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبٰتُ

Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik.

Segala yang baik adalah halal untuk dimakan. Segala yang Allah ‎ﷻ halalkan adalah baik-baik belaka. Sedangkan yang buruk telah diharamkan bagi kita seperti yang disebut dalam [ A’raf:145 ]. Kita ini manusia yang mulia, maka makan pun kenalah yang baik-baik. Bukan seperti binatang yang makan asal ada sahaja. Kita pun memang terkesan dengan banyak benda.

Kalau benda luaran pun boleh memberi kesan kepada fikiran kita, apatah lagi kalau benda yang masuk ke dalam perut kita. Maka kena fikirkan apa yang masuk ke dalam perut kita dan menjadi darah daging kita.

Ia juga memberi kesan kepada ibadah kita. Ini disebut dalam

[ Mukminoon:51 ].

يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا

Hai Rasul-Rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh.

Untuk mengerjakan amal soleh, makanan yang dimakan mestilah daripada makanan yang halal. Makanan yang baik dan halal akan memudahkan kita mengerjakan amal yang soleh.

Maka kita telah belajar apakah makanan yang boleh dimakan dan tidak. Ayat-ayat ini memansukhkan segala yang haram dalam kitab-kitab dahulu (antaranya kalau ada di dalam Kitab Taurat). Sekarang diberikan hukum pemakanan yang baru. Sekarang kita sepatutnya sudah tahu dengan jelas apakah yang boleh dimakan dan apakah yang tidak.

‘Hari’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah hari ayat ini diturunkan iaitu di Arafah semasa Haji Nabi Muhammad ﷺ (pada Tahun 10 Hijrah), iaitu hari ketika ayat-ayat hukum telah lengkap.

Jadi makanan yang dimakan oleh orang yang baik-baik adalah makanan yang baik juga. Jadi hukum pemakanan ini diluaskan lagi oleh ulama’ kerana tidaklah semua makanan disebut secara khusus. Jadi apakah yang ‘baik’ itu dibincangkan lagi. Ini kerana binatang yang ‘tidak baik’ itu boleh dilihat daripada sifatnya. Kalau binatang yang membunuh dengan taring, binatang yang kotor, yang menjijikkan, itu sudah termasuk jenis yang tidak baik.

Kerana itulah kita tidak makan harimau, anjing, kelawar, tikus dan lain-lain. Memanglah tidak disebut yang binatang itu tidak boleh dimakan dengan jelas dalam syarak, tetapi jika kita menggunakan akal sihat pun, tiada selera hendak makan binatang sebegitu. Orang yang kurang waras sahaja yang sanggup makan.

وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ حِلٌّ لَّكُمْ

Makanan orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu,

‘Makanan’ yang dimaksudkan dalam ayat ini bukan makanan biasa tetapi makanan sembelihan (binatang yang disembelih). Tidaklah termasuk kerepek, kekacang, maggi dan lain-lain pula. Itu semua boleh sahaja makan asalkan tidak ada benda haram di dalamnya.

Oleh itu, hukum dalam ayat ini, sembelihan ahli kitab adalah halal. Namun apakah syarat-syarat yang berkenaan? Siapakah Ahli Kitab yang dimaksudkan? Apakah kriteria-kriteria mereka? Ada yang kata mestilah Ahli Kitab yang mengikut ajaran kitab mereka yang sebenar, bukannya yang telah diubah-ubah (seperti yang ada sekarang).

Namun ada juga yang melonggarkan hukum ini dengan mengatakan asalkan sembelihan Ahli Kitab sahaja, maka boleh dimakan. Oleh itu, kalau kita tahu orang itu adalah Kristian atau Yahudi, kita sudah boleh makan hasil sembelihan mereka dan ini disokong oleh nas-nas yang ada kerana ‘Ahli Kitab’ yang dipanggil Ahli Kitab pada zaman Nabi ﷺ pun sudah menggunakan kitab mereka yang telah diubah.

Jadi kriteria yang utama adalah mereka itu percaya dengan kitab mereka iaitu Taurat dan Injil; iaitu mereka percaya yang ia adalah kitab wahyu. Mereka ini tidak sama dengan Musyrikin Mekah dan lain-lain agama kerana mereka langsung tidak percaya dengan kitab wahyu dan Nabi-nabi di dalam agama.

Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun ada makan daging sembelihan Ahli Kitab:

Ada dalil sebuah hadith yang disebutkan di dalam kitab sahih, bahawa penduduk Khaibar mengirim­kan seekor kambing panggang kepada Rasulullah ﷺ, sedangkan mereka telah meletak racun pada kakinya kerana mereka tahu yang Nabi ﷺ menyukai kaki kambing, maka Nabi ﷺ memakan sebahagian daripadanya sekali suap. Tetapi kaki kambing itu memberitahu kepada Nabi ﷺ bahawa ia telah diracuni. Maka Nabi ﷺ memuntahkannya kembali. Tetapi kesannya tetap ada pada urat nadi jantung baginda. Pada saat itu yang ikut makan bersama baginda adalah Bisyr ibnul Barra ibnu Ma’rur, tetapi dia tidak dapat ditolong dan meninggal dunia. Maka wanita Yahudi yang meletakkan racun itu dibunuh. Dia bernama Zainab.

Kisah di atas menunjukkan yang Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat ada memakan binatang sembelihan Ahli Kitab. Sedangkan waktu itu mereka pun telah mengubah kitab Taurat mereka, bukan?

Satu sebab yang dibenarkan makan sembelihan mereka adalah kerana cara penyembelihan mereka pun sama dengan cara penyembelihan kita. Ini masih lagi ada di dalam kitab mereka sekarang pun.

وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ

dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka.

Dan binatang sembelihan kita pun halal untuk mereka. Oleh itu, ayat ini memberitahu kita yang kita boleh makan elok-elok dengan mereka walaupun agama tidak sama.

Ini bukanlah hukum untuk mereka, kerana mereka bukan kisah pun dengan hukum agama Islam, bukan? Namun ini adalah hukum kepada kita – kita boleh berkongsi makanan kita dengan mereka, tidak ada halangan. Maka tidaklah berdosa kalau kita berkongsi makanan dengan mereka.

وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ الْمُؤْمِنٰتِ

(Dan dihalalkan mengahwini) wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman

Dan ini adalah satu hukum yang menjadi persoalan juga dalam kalangan orang kita, iaitu boleh menikahi wanita daripada golongan Ahli Kitab. Seeloknya kita menikah dengan wanita-wanita Muslim yang baik budi pekerti dan agama mereka. Akan tetapi hukum ini masih lagi terpakai kerana ayat ini tidaklah dimansukhkan.

وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ مِن قَبْلِكُمْ

dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu,

Perempuan mereka yang menjaga maruah daripada ahli kitab pun halal untuk kamu kahwini mereka. Walaupun ada yang kata ayat ini tidak digunapakai lagi, namun Allah ‎ﷻ sudah halalkan.

Tidaklah kita menggalakkan pula. Memang mungkin ada masalah kalau kahwin dengan mereka. Kena nilai sendiri apakah ia baik untuk kita. Sebagaimana makan makanan yang halal juga, ada yang tidak sesuai untuk kita kerana tidak sesuai dengan kesihatan kita.

Kalau berkahwin dengan mereka kenalah mereka hidup dalam suasana Islam. Kalau kita tidak dapat kawal mereka, maka tidaklah sesuai untuk berkahwin dengan mereka. Lelaki yang sepatutnya menjadi ketua dalam keluarga. Jangan kita pula terikut-ikut dengan fahaman mereka.

Oleh kerana itu, hanya lelaki Muslim sahaja yang boleh berkahwin dengan wanita ahli kitab. Wanita Muslim tidak boleh berkahwin dengan lelaki ahli kitab – kerana wanita selalunya terikut dengan agama suaminya.

Dan kita kena ingat yang Ahli Kitab itu mestilah yang berasal daripada bangsa Bani Israel. Maka boleh nikahi mereka yang berbangsa seperti orang Eropah itu. Bukannya orang Cina atau India yang beragama Kristian pula kerana Ahli Kitab itu hanya dalam kalangan Bangsa Bani Israel sahaja.

إِذَا ءآتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ

bila kamu telah membayar mas kawin mereka

Sama ada perempuan itu Muslim atau daripada ahli kitab, mereka itu halal bagi kita apabila telah diberi mahar kepada mereka.

مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسٰفِحِينَ وَلَا مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ

dengan maksud menikahinya dengan jaga maruah, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik.

Perkahwinan itu mestilah untuk menjaga maruah. Bukan untuk penzinaan atau menjadikan perempuan itu sebagai perempuan simpanan. Islam menjaga baik maruah wanita dan tidak menjadikan mereka sebagai perempuan murahan yang digunakan sebagai kegunaan seks sahaja, sebagai memuaskan hawa nafsu sahaja.

Apabila mereka dikahwini, mereka mempunyai hak juga yang mesti dipenuhi. Kalau mereka itu dijadikan sebagai perempuan simpanan, sebagai tempat penzinaan sahaja, tentulah mereka tidak ada hak seperti yang sepatutnya.

وَمَن يَكْفُرْ بِالْإِيمٰنِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ

Barangsiapa yang kufur untuk beriman, maka hapuslah amalannya

Kufur dalam ayat ini bermaksud melakukan syirik amali. Jika berbuat syirik amali ini, gugur segala amalan baik yang pernah mereka lakukan. Tidak kisahlah kalau mereka ada membuat amalan kebaikan dahulu, tetapi kalau mereka membuat syirik amali sahaja, segala pahala amal kebaikan mereka itu akan musnah dan hilang begitu sahaja.

Ayat ini tentang hukum halal dan haram. Kalau tidak menjaga halal dan haram, maka kufurlah orang itu, tidak ada bezanya dengan orang yang tidak mengaku Islam pun. Berapa ramai yang meringankan sahaja perkara ini. Mereka ikut suka kehendak hati mereka berbuat apa sahaja tanpa menghiraukan hukum Allah ‎ﷻ.

وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخٰسِرِينَ

dan ia di hari kiamat termasuk orang-orang merugi.

Mereka rugi kerana mereka ada peluang untuk menjalani kehidupan yang baik di dunia dengan syarat taat kepada hukum Allah ‎ﷻ, tetapi mereka telah melepaskan peluang itu begitu sahaja.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan