Utama Fikih Asma'ul Husna Asma’ul Husna: Bab 4 Pengaruh Nama-Nama Allah ‎ﷻ Dalam Pengabdian (Bahagian 1)

Asma’ul Husna: Bab 4 Pengaruh Nama-Nama Allah ‎ﷻ Dalam Pengabdian (Bahagian 1)

116
0
Iklan

Sesungguhnya nama-nama Allah ‎yang baik (asma’ul husna) dan sifat-sifat-Nya yang mulia memiliki pengaruh dalam pengabdian (manusia) dan dalam penciptaan alam semesta.

[Bila kita kenal nama Allah ‎ﷻ, maka ada kesan pada diri kita. Kita tahu bagaimana kesan nama itu ke atas pemahaman kita tentang Allah‎ ﷻ. Ada yang menjadikan kita redha, ada yang memberikan kita rasa pengharapan dan sebagainya. Ada reaksi kita selepas kita fahami nama-nama itu. Bukannya hanya sekadar hafal kosong sahaja.]

Penjelasan berkaitan dengan pengaruhnya dalam penciptaan alam semesta, telah berlalu. Adapun pembahasan sekarang berkaitan dengan pengaruhnya dalam peribadahan, seperti ketundukan, kerendahan diri, khusyu’, taubat, rasa takut, cinta, tawakal dan bentuk-bentuk ibadah yang lain, yang bersifat lahir maupun yang batin.

[Ibadah memang ada tiga jenis: ibadah hati, ibadah dengan lidah dan ibadah anggota tubuh. Ibadah hati seperti rasa khusyuk, takut dan tunduk kepada Allah ‎ﷻ. Ibadah lisan dan tubuh bermula dengan ibadah hati. Apabila hati telah tunduk, maka lisan dan tubuh akan ikut.]

Kerana setiap nama Allah dan setiap sifat memiliki pengabdian diri yang khusus yang merupakan konsekuensi/reaksi dari nama dan sifat serta ilmu tentangnya. Hal ini terkandung dalam setiap bentuk ibadah, baik yang di dalam hati maupun dalam anggota badan.

Maksudnya bahawa seorang hamba apabila mengetahui tentang keesaan Allah dalam mendatangkan manfaat atau mudharat, pemberian, pencegahan, penciptaan, rezeki, menghidupkan dan mematikan, maka hal tersebut akan membuahkan tawakal kepada Allah Taala lahir dan batin.

[Sebagai contoh, kalau kita tahu kelebihan sesuatu makanan, maka kita tentu akan cari dan makan makanan itu sebagai ubat, tidaklah kita biarkan sahaja, bukan? Kalau tidak ada wang pun kita cuba cari wang untuk membelinya kerana kita sudah tahu kelebihannya dan sepatutnya ada tindakbalas kita terhadap pengetahuan itu.

Satu lagi contoh, kalau kita tahu sesuatu benda itu bahaya seperti racun, tentulah kita akan sorok dan simpan, takut kalau-kalau anak kita termakan pula. Maka inilah kewajipan atas ilmu.

Pengabdian itu adalah dari segi hati dan juga dalam bentuk fizikal. Jangan konon hendak mengenal Allah ‎ﷻ dengan cara hati sahaja, tetapi tidak ditunjukkan dengan cara luaran. Contohnya ada orang yang kononnya belajar ilmu ‘hakikat’ dalam mengenal Allah ‎ﷻ, tetapi tidak ada perubahan dari segi penampilan dirinya. Kalau bersembang hebat, tetapi bab ibadat tidak pula dilakukannya.

Pengetahuan tentang Allah ‎ﷻ akan menyebabkan seseorang itu berserah kepada Allah ‎ﷻ. Bila kita dapat serahkan kepada Allah‎ ﷻ, maka kita senang untuk redha dengan apa sahaja keputusan Allah ‎ﷻ. Kalau sesuatu terjadi, tidaklah kita terkesan sangat. Banyak perkara dalam dunia yang kita tidak suka, rasa seperti hendak diubah, tetapi tidak boleh, bukan? Kalau kita terima semuanya di tangan Allah ‎ﷻ, maka senang sedikit kita hendak terima hal ini. Apa sahaja yang datang dan pergi, hilang atau rosak dan sebagainya adalah dalam urusan Allah ‎ﷻ. Kita boleh berusaha sahaja setakat yang kita mampu. Belajar redha dengan ketentuan Allah‎ ﷻ.

Reaksi pada hati dan hasilnya akan nampak pada zahir diri kita. Mulut kita tidak membebel, tidak berkeluh resah, tidak merungut, tidak menuding jari kepada orang, tidak marah-marah orang lain. Bila sudah terjadi, sudahlah, terima sahaja. Kalau susah hendak dapat sifat dan sikap begini, maka hendaklah diperiksa kembali apakah pemahaman kita tentang Allah ‎ﷻ dan kerja-kerja-Nya di dalam alam ini. Adakah kita sangka kita faham tetapi kita tidak, sebenarnya? Atau adakah setakat tahu sahaja tetapi tidak disematkan ke dalam kehidupan kita?

Kalau ada perkara yang berlaku dan kita tidak suka dan tidak dapat diubah, apa yang kita harus buat? Kenalah dicari apakah hikmah kenapa sesuatu itu berlaku. Bayangkan para sahabat Nabi ﷺ pernah dapat pemimpin yang zalim, tetapi mereka relaks sahaja. Tidaklah mereka memberontak dan melawan khalifah zalim itu.

Imam Ahmad رحمه الله pernah disebat oleh khalifah zamannya tetapi tidaklah dia ajak pengikutnya melawan pemimpin.

Kadang-kadang kita tidak sedar, kita telah menjadi batu api memanaskan suasana. Suka sangat bercerita tentang hal orang dan sibuk sahaja dengan hal orang. Ingat, banyak perkara yang tentu kita tidak suka, tetapi kena belajar untuk redha.]

 

Komen dan Soalan