Utama Fikih Asma'ul Husna Asma’ul Husna: Bab 3 Pengaruh nama Allah ‎ﷻ dalam penciptaan alam semesta...

Asma’ul Husna: Bab 3 Pengaruh nama Allah ‎ﷻ dalam penciptaan alam semesta (Bahagian 3)

128
0
Iklan

Bab: Pengaruh Nama Allah ‎ﷻ dalam Penciptaan Alam Semesta (Sambungan)

[Memanglah kita tidak suka musibah yang terjadi ke atas kita tambahan pula yang bertimpa-timpa. Anak meninggal, suami isteri meninggal, cerai berkali-kali, bertunang asyik putus, siapa yang mahu? Namun ketahuilah yang ada hikmah di dalamnya kerana apa sahaja yang Allah ‎ﷻ lakukan, tentulah ada kebaikannya. Kita sahaja yang tidak nampak.

Namun begitu, kadangkala kita akhirnya nampak juga setelah sekian lama, mungkin mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Pada ketika itu mulalah kita berkata: “Patutlah aku tak jadi tunang dengan A, dapatlah aku kenal dengan B, lagi baik insannya; dengan ibubapa A dua-dua meninggal, dia kena duduk dengan pakcik dia. Tapi pakcik dia orang senang, dapatlah bagi pendidikan yang lebih kat dia.. sekarang dah jadi doktor dah.. kalau dengan ibubapa dia, mungkin tak mampu…. etc.”

Namun begitu, ketika dugaan itu menimpa diri, memang kita akan berasa amat perit dan pedih serta sedih sekali tetapi kalau kita yakin dengan perancangan Allah ‎ﷻ, kita pasti akan dapat menerimanya. Walaupun kita mungkin tidak faham lagi pada waktu itu kenapa sesuatu itu terjadi.]

Barangsiapa yang merenungkan nama-nama dan sifat-sifat Allah dalam alam semesta, maka hal tersebut akan menunjukkan hamba kepada iman terhadap kesempurnaan Rabb Ta’ala dalam nama-nama dan sifat-sifat-Nya serta perbuatan-perbuatan Allah yang terpuji.

Allah Ta’ala, dalam setiap takdir-Nya memiliki hikmah yang mendalam, tanda-tanda kekuasaan-Nya yang jelas dan pengenalan kepada hambaNya tentang nama-nama dan sifat-sifat-Nya. Selain itu, menyeru mereka untuk mencintai, mengingat, bersyukur, dan beribadah kepada-Nya dengan nama-nama-Nya yang baik.

[Sebagai contoh lihat Rum: 48 – 50

ٱللَّهُ ٱلَّذِى يُرْسِلُ ٱلرِّيَٰحَ فَتُثِيرُ سَحَابًا فَيَبْسُطُهُۥ فِى ٱلسَّمَآءِ كَيْفَ يَشَآءُ وَيَجْعَلُهُۥ كِسَفًا فَتَرَى ٱلْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَٰلِهِۦ ۖ فَإِذَآ أَصَابَ بِهِۦ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦٓ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ

Allah, Dialah yang mengirim angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendaki-Nya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal; lalu kamu lihat hujan keluar dari celah-celahnya, maka apabila hujan itu turun mengenai hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya, tiba-tiba mereka menjadi gembira.

Ini merupakan sejenis awan yang dikenali sebagai ‘Stratus’ iaitu awan yang rata. Hujan yang turun tidak diikuti dengan petir dan kilat. Sebab itu ada hujan tiba-tiba turun sahaja tanpa kilat dan petir. Jadi ini merupakan sejenis hujan yang tenang sahaja.

وَإِن كَانُوا۟ مِن قَبْلِ أَن يُنَزَّلَ عَلَيْهِم مِّن قَبْلِهِۦ لَمُبْلِسِينَ

Dan Sesungguhnya sebelum hujan diturunkan kepada mereka, mereka benar-benar telah berputus asa.

فَٱنظُرْ إِلَىٰٓ ءَاثَٰرِ رَحْمَتِ ٱللَّهِ كَيْفَ يُحْىِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَآ ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ لَمُحْىِ ٱلْمَوْتَىٰ ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Maka perhatikanlah bekas-bekas rahmat Allah, bagaimana Allah menghidupkan bumi yang sudah mati. Sesungguhnya (Tuhan yang berkuasa seperti) demikian benar-benar (berkuasa) menghidupkan orang-orang yang telah mati. Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Hati manusia yang sugul pun boleh bertukar menjadi gembira apabila hujan diturunkan kepada mereka. Dalam masa yang sama, Allah ‎ﷻ juga boleh menghidupkan hati yang mati. Ini terjadi kalau dapat dilihat pada kesan rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Ia berlaku apabila kita melihat perbuatan Allah ‎ﷻ dalam alam ini.]

Setiap nama mengandung ibadah khusus di dalamnya -baik secara ilmu, pengenalan dan keadaan. Hal ini tidak terwujud, kecuali dengan perenungan, persaksian yang bermanfaat tentang nama yang sesuai dengannya. Orang yang paling sempurna peribadahannya adalah orang yang melaksanakan konsekuensi nama-nama dan sifat-sifat yang telah dikhabarkan-Nya kepada manusia.

[Manusia yang sempurna adalah yang mengenali nama-nama Allah ‎ﷻ dan mengambil pengajaran daripada nama-nama itu. Makin banyak tahu, maka makin banyak penyerahan kepada Allah ‎ﷻ, makin banyak pemahaman tentang Allah ‎ﷻ.]

Dia tidak terhalang oleh salah satu nama dalam melaksanakan konsekuensi nama yang lain. Contohnya: ketika dia melaksanakan konsekuensi nama Allah ‘Al-Qadiir” (Yang Mahakuasa) dia tidak tercegah untuk beribadah atau melaksanakan konsekuensi nama Allah yang lain iaitu “Al-Halim” (Yang Maha lembut) dan “Ar-Rahim” (Yang Maha Pemurah), dan tidak terhalang oleh nama Allah “Al-Mu’thi” (Yang Maha Pemberi) dari pengamalan nama Allah “Al-Maani” (Yang Maha Pencegah) dan tidak terhalang oleh pengamalan nama Allah yang bersifat kecintaan, kebaikan, kemuliaan, kelembutan dan pemberian keutamaan dari pengamalan nama Allah yang bersifat keadilan, kemuliaan, keagungan, kebesaran dan lain sebagainya.

Inilah metode orang-orang sempurna yang berjalan menuju kepadaNya dan itulah jalan yang bersumber dari metode Al-Qur’an.

[Maksudnya di sini dia terima SEMUA nama-nama Allah ‎ﷻ. Dia tidaklah menolak mana-mana nama Allah ‎ﷻ. Sebagaimana penganut Kristian yang sudah menjadi pening kerana hanya menerima Tuhan bersifat rahman sahaja… sedangkan Allah ‎ﷻ ada juga mempunyai sifat menghukum, sifat keras dan sebagainya. Pada orang yang alim, dia tahu Allah ‎ﷻ mempunyai banyak sifat dan tidaklah melihat sifat-sifat itu berlawanan. Ada masa sifat ini yang lebih, ada masa lain sifat lain pula yang lebih.

Contohnya Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja, tetapi Dia bersifat lembut dengan hamba-Nya. Tidaklah hanya buat begitu sahaja. Memang Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja, tetapi apa yang Allah‎ ﷻ lakukan adalah dalam bentuk lemah lembut dan kasih sayang. Jika manusia diberikan kuasa untuk boleh berbuat apa sahaja, mesti ada yang menggunakan kuasa itu dengan kekerasan, bukan?

Sebagaimana kita dengan emak ayah kita. Memang ada kalanya mereka garang tidak memberi kita makan apa sahaja yang kita hendak makan. Namun, kalau kita selalu meminta dan merayu kepada mereka, akhirnya mereka akan beri juga. Mereka memang ada kuasa ke atas kita, tetapi kerana kita merayu, maka mereka berilah juga. Ini kerana mereka juga ada sifat belas kasihan kepada kita. Allah‎ ﷻ tentu lebih lagi kasih dan sayang kepada hamba-Nya.

Kalau kita lihat sifat Allah ‎ﷻ yang boleh berbuat apa sahaja, agaknya kita rasa tidak perlu untuk kita meminta apa sahaja kepada Allah ‎ﷻ. Akan tetapi dalam masa yang sama, kalau kita ingat yang Allah‎ ﷻ ada sifat Halim dan Rahim itu, maka kita tergerak untuk meminta kepada-Nya. Sifat-sifat Allah ‎ﷻ seiringan, bukanlah satu mengalahkan yang lain.

Satu lagi sifat Allah‎ ﷻ adalah memberi tetapi dalam masa yang sama Allah ‎ﷻ menahannya pula. Ini seolah-olah seperti berlawanan pula, bukan? Kedua-dua sifat Allah ‎ﷻ ini bekerja sebenarnya. Ini kerana ada masa Allah ‎ﷻ memberi dan ada kala Allah ‎ﷻ menyekat. Sebagai contoh, kita tahu yang memberi rezeki adalah Allah ‎ﷻ; tetapi kadangkala kita lupa yang menahan rezeki itu juga Allah ‎ﷻ.

Kadangkala Allah ‎ﷻ memberi pangkat, tetapi kadangkala Allah ‎ﷻ menahan kita daripada naik pangkat. Yang bagi pangkat, Dia, yang tahan pun Dia juga. Janganlah pula salahkan orang lain.

Para ustaz pun kadangkala ada masalah untuk memahami perkara ini. Bila anak murid ramai, dia suka tetapi bila ada ustaz lain mengajar dan mengambil anak muridnya, dia marah pula. Sedangkan yang memberikan anak murid itu adalah Allah ‎ﷻ dan yang memberikan anak murid kepada ustaz lain pun, Dia juga. Maka kalau kita faham hal ini, tidaklah kita gelabah dan terasa hati.

Apabila gagal untuk memahami akan hal inilah yang menyebabkan kita marah kepada kerajaan apabila ekonomi merudum, seolah-olah kerajaan pula yang menyekat rezeki kita. Sedangkan Allah ‎ﷻ juga yang menyekat rezeki kita, bukan? Itu adalah suasana berbeza yang Allah ‎ﷻ wujudkan sebagai ujian bagi kita. Jadi, janganlah kita lihat satu sifat sahaja, tetapi lupa kepada sifat yang lain pula. Jika kita beriman dengan satu nama sahaja, maka kita akan ada masalah nanti, akan murung pula nanti.

Semua ini adalah atas sifat keadilan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ itu maha adil. Namun ada yang tidak faham. Ada yang tanya kalau Allah ‎ﷻ adil, kenapa tidak diberikan ganjaran syurga sahaja kepada semua manusia? Jawabnya cuba lihat contoh keadaan situasi universiti kita. Kalaulah semua yang masuk universiti itu diberi kelulusan yang sama, sama ada yang ada belajar atau tidak, adakah itu adil? Tentulah tidak. Ia hanya layak kepada yang belajar dan berusaha sahaja. Cuba bayangkan seseorang itu memasuki universiti untuk menjadi doktor, tetapi dia tidak belajar pun, adakah anda yakin untuk mendapat rawatan dan nasihat perubatan daripadanya ?]

وَلِلَّهِ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ فَٱدْعُوهُ بِهَا

“Hanya milik Allah asma-ul husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asma-ul husna.” (Al-A’raaf: 180).

Kata-kata doa di dalam ayat ini mencakup doa mas’alah (permintaan) dan doa ibadah. Allah Ta’ala menyeru hamba-hamba-Nya untuk mengenal diri-Nya melalui nama-nama dan sifat-sifat-Nya, dan untuk memuji diri-Nya dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya, serta beribadah kepada-Nya sesuai dengan konsekuensi nama-nama dan sifat-sifat tersebut.

[Selepas mengenali nama-nama Allah ‎ﷻ itu, ada reaksi kita terhadap nama-nama itu. Ada nama yang kita kena takut, ada yang kena berharap, ada yang kena redha, ada yang kena merayu, ada yang kena doa dan pelbagai reaksi lagi]

Allah Ta’ala mencintai nama-nama dan sifat-sifat-Nya serta mencintai pengaruhnya dalam ciptaan-ciptaan-Nya, kerana sesungguhnya hal ini merupakan kelaziman kesempurnaan-Nya. Allah Ta’ala membukakan bagi hamba-hamba-Nya, pengenalan terhadap-Nya serta pemahaman tentang nama-nama dan sifat-sifat-Nya. Allah menyeru hamba-hamba-Nya di dalam Al-Qur’an untuk mengenal-Nya melalui dua jalan:

1) Memperhatikan makhluk-makhluk ciptaan-Nya, kerana hal tersebut lebih memahamkan manusia kepada nama-nama dan sifat-sifat-Nya.

2) Merenungkan ayat-ayat Allah.

Pertama memperhatikan tanda-tanda kekuasaan Allah yang tersirat.

Kedua, merenungkan ayat-ayat Allah yang tersurat.

Kedua-duanya merupakan pintu yang luas dalam mengenal Rabb Yang Maha Terpuji dan Sesembahan Yang Maha mulia. Maha suci Allah yang telah memperkenalkan DiriNya kepada makhlukNya dengan semua bentuk pengenalan dan menunjukkan mereka kepadanya dengan berbagai macam metode serta membuka bagi mereka semua jalan dan Allah menancapkan baginya jalan yang lurus, memperkenalkan dan menunjukkan kepadanya,

[Kalimah ‘ayat’ itu bermaksud ‘tanda’ sebenarnya. Di sini kita dapat tahu yang ayat itu ada dua jenis: ayat yang dilihat dan ayat yang dibaca. Yang dilihat itu adalah tanda pada alam dan yang dibaca itu adalah ayat-ayat Al-Qur’an. Kita menggunakan kedua-dua jenis ayat ini untuk mengenal Allah ‎ﷻ.

Semua ada peluang untuk mengenal Allah ‎ﷻ dengan tahap mereka. Pelajar dengan cara mereka, orang awam dengan cara mereka, seorang Professor mungkin lebih lagi kefahamannya. Namun yang penting mereka cuba memahami Allah ‎ﷻ. Kita kena berusaha mengenal Allah ‎ﷻ dengan cara melihat alam dan dengan cara tadabbur ayat-ayat Al-Qur’an.

Perkara ini perlu dilakukan berterusan dan bukannya apabila sudah terkena musibah baru hendak terfikir. Dalam keadaan senang dan susah kena ingat kepada Allah ‎ﷻ dan mengambil pengajaran daripada apa sahaja yang berlaku. Jangan dalam masjid sahaja ingat Allah ‎ﷻ. Ia dimulai dengan mempelajari nama-nama Asmaul Husna ini.]

لِّيَهْلِكَ مَنْ هَلَكَ عَن بَيِّنَةٍ وَيَحْيَىٰ مَنْ حَيَّ عَن بَيِّنَةٍ وَإِنَّ اللَّهَ لَسَمِيعٌ عَلِيمٌ

“Iaitu agar orang yang binasa itu binasanya dengan keterangan yang nyata dan agar orang yang hidup itu dengan keterangan nyata (pula). Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Anfal:42)

[Kalau seseorang itu kufur bukan kerana kecelaruan agama tetapi kerana dia sendiri tidak mengambil peluang. Ini kerana dia tidak mengikut keterangan yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Mereka sebenarnya tahu mana yang baik, tetapi cuma degil tidak mahu ikut sahaja. Kita sahaja sangka mereka jahil tidak tahu, tetapi sebenarnya mereka tahu.

Orang-orang yang masuk Islam itu beritahu yang dulu semasa mereka luar Islam pun mereka sudah tahu kebenaran, tetapi mereka sahaja yang menolaknya.

Namun sebaliknya orang yang berjaya adalah kerana mereka mengikut keterangan yang Allah ‎ﷻ telah berikan dalam wahyu.]

Komen dan Soalan