Utama Fikih Asma'ul Husna Asma’ul Husna: Bab 3 Pengaruh nama Allah ‎ﷻ dalam penciptaan alam semesta...

Asma’ul Husna: Bab 3 Pengaruh nama Allah ‎ﷻ dalam penciptaan alam semesta (Bahagian 2)

114
0
Iklan

[Sekarang kita lihat antara contoh nama-nama Allah ‎ﷻ. Nanti kita akan belajar nama-nama ini satu persatu.]

Nama Allah Al-Hamid Al-Majid (Yang Maha Terpuji) mencegah dari ditinggalkan manusia dalam keadaan sia-sia, tidak diperintah dan tidak dilarang, tidak diberi pahala atau seksa.

[Allah ‎ﷻ amat terpuji dan Dia memuji kalau kita buat benda baik. Allah‎ ﷻ terpuji maknanya Dia tidak akan buat perkara yang tidak layak bagi-Nya. Semua benda Allah ‎ﷻ buat pasti kita sanjung sebab terlalu hebat. Ini termasuklah penciptaan kita, tidaklah lahir, hidup dan kemudian mati begitu sahaja.

Kalau manusia yang membuat sesuatu, kadangkala kita pun kehairanan (“Eh kenapalah dia buat macam ini?”) Namun Allah ‎ﷻ tidak akan berbuat begitu. Segala penciptaan-Nya dipuji dan kita tidak akan terfikir ia adalah sia-sia sahaja. Jika difikirakan kalau perkara itu adalah sia-sia maka itu salah satu sifat yang cela.]

Demikian pula nama Allah Al-Hakim (Yang Mahabijaksana) tidak sejalan dengan hal tersebut.

[Kalau Allah ‎ﷻ bijaksana, maka tentulah apa sahaja yang Allah‎ ﷻ buat adalah baik dan hebat. Cuma kita sahaja kadangkala tidak faham. Kerana itulah ada manusia yang mempersoalkan apa yang Allah ‎ﷻ‎ telah takdirkan. Contoh seperti Presiden Trump dilantik menjadi Presiden Amerika, ada yang hairan dan persoalkan kenapalah dia boleh menjadi Presiden? Semuanya dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Kita sahaja yang tidak faham kenapa Allah‎ ﷻ takdirkan begitu. Tentu ada perkara yang Allah ‎ﷻ telah rancangkan.

Sebagaimana kita berdakwah kepada orang, tetapi dia tidak mahu terima. Mungkin kita hairan kenapa orang itu tidak terima. Namun bayangkan, manusia terbaik iaitu Nabi Muhammad ﷺ berdakwah pun ada yang tidak terima. Maka jangan salahkah cara, teknik atau apa-apa sifat daripada pendakwah kerana Allah ‎ﷻ yang belum memberikan hidayah kepadanya.]

Dan nama Allah Al-Malik (Yang Maharaja) dan Al-Hayyu (Yang Mahahidup) mencegah dari ditiadakannya perbuatan dari Allah. Bahkan hakikah kehidupan itu sendiri adalah perbuatan, setiap yang hidup itu pasti berbuat. Keberadaan Allah Ta’ala sebagai Sang pencipta dan Yang Maha Berdiri Sendiri merupakan konsekuensi dari hidupnya.

[Sebagaimana seketul batu yang kita katakan tidak hidup sebab tidak berbuat apa-apa. Jadi kita kenalah terima apa-apa yang terjadi adalah kerana perbuatan daripada Allah ‎ﷻ. Cuma kita sahaja tidak faham kenapa Allah ‎ﷻ buat dan bagaimana Allah ‎ﷻ buat.]

Nama Allah As-Samii (Yang Maha Mendengar) dan Al-Bashir (Yang Maha Melihat) mengharuskan ada yang Dia dengar dan Dia lihat.

[Bila Allah ‎ﷻ mendengar dan melihat, tentulah ada benda yang Allah ‎ﷻ dengar dan lihat. Maka kita kena hati-hati dengan segala perbuatan dan percakapan kita]

Nama Allah Al-Khaliq (Yang Maha Mencipta) mengharuskan adanya makhluk ciptaan-Nya, Ar-Razzaq (Yang Maha Memberi Rezeki) dan Al-Malik (Yang Maha Merajai) mengharuskan adanya kerajaan, pengaturan, pemberian dan pencegahan, kebaikan, keadilan, pahala dan siksa.

[Bila Allah ‎ﷻ yang memberikan rezeki, maka Dia juga yang menyekat rezeki. Namun kadang-kadang kita berikan kuasa itu kepada manusia pula kerana ada yang kata menteri menyebabkan kami miskin dan sebagainya.

Bila Allah ‎ﷻ jadi Raja, tentulah ada perkara yang dirajai, diarah, dikawal]

Nama Allah Al-Barru (Yang Mahabaik), Al-Muhsin (Yang Mahabaik), Al-Mu’thi (Yang Maha Memberi) dan Al-Mannan (Yang Maha Memberi) dan selainnya mengharuskan adanya pengaruh dan dampaknya.

[Yang memberi nikmat kepada kita seperti matahari, udara dan sebagainya semua datang daripada Allah ‎ﷻ. Mudah sahaja kita mendapat semua perkara itu. Ini kerana sifat-sifat Allah ‎ﷻ yang baik dan beri kebaikan kepada kita. Ada haiwan yang kita senang sahaja dapat kawal walaupun binatang-binatang itu lebih kuat dan besar daripada kita.

Allah ‎ﷻ yang memudahkan kehidupan ini bagi kita kerana kita bukanlah makhluk terkuat, terpantas dalam dunia ini. Namun begitu Allah ‎ﷻ menjadikan kita yang paling bijak. Supaya kita dapat hidup di dunia ini.]

Nama Allah Al-Ghaffar (Yang Maha Mengampuni), At-Tawwab (Yang Maha Menerima Taubat), Al-‘Afwa (Yang Maha Memaafkan) mengharuskan adanya perbuatan dosa manusia yang diampuni-Nya, adanya taubat yang diterima, dan kejahatan yang dimaafkan, demikianlah keadaan semua nama Allah yang baik.

[Apabila Allah ‎ﷻ sebut Dia Maha Pengampun, maka tentulah ada kebarangkalian makhluk-Nya ada yang berdosa. Kalau tidak, buat apa Allah ‎ﷻ menjadi Maha Pengampun dan Pemaaf? Sebagaimana riwayat hadith seperti di bawah menyatakan, kalaulah kita tidak berdosa dan tidak meminta ampun, maka Allah ‎ﷻmenghapuskan kita dan menjadikan makhluk lain yang akan berdosa dan akan meminta ampun. Ini kerana sifat Allah ‎ﷻ Maha Pengampun.

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, daripada Nabi ﷺ:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَذَهَبَ اللَّهُ بِكُمْ، وَلَجَاءَ بِقَوْمٍ يُذْنِبُونَ ، فَيَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ فَيَغْفِرُ لَهُمْ

“Demi Dzat yang diriku berada ditanganNya, jika kalian tidak berbuat dosa Allah akan hilangkan kalian dan Allah akan datangkan kaum lain yang berdosa, lalu mereka pun minta ampun kepada Allah, Allah pun ampuni dosa mereka.” (HR. Imam Muslim 2.749)

Maknanya, kita semua akan pasti membuat dosa. Allah ‎ﷻ pun sudah ada makhluk yang tidak membuat dosa, iaitu para malaikat. Jadi Allah ‎ﷻ tidak perlu membuat makhluk yang tidak berdosa lagi. Maka Allah ‎ﷻ menjadikan kita supaya kita ada membuat kesalahan dan akan meminta ampun kepada-Nya kerana Dia suka kita minta ampun kepada-Nya.

Allah ‎ﷻ memuji manusia yang taat kepada-Nya di hadapan malaikat. Malaikat tidak pelik kalau mereka taat dan takut kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka nampak benda-benda ghaib. Namun kita yang tidak nampak Allah ‎ﷻ dan tidak nampak alam kerajaan Allah ‎ﷻ ini, bila kita takut kepada-Nya dan taat kepada-Nya, memang ia adalah sesuatu yang hebat.

Semua nama-nama Allah ‎ﷻ ada maksud di sebaliknya yang kita kena belajar dan perhalusi. Bukanlah nama kosong sahaja sebagaimana nama rekaan manusia. Contoh Parti Keadilan, tidak semestinya parti itu adil. Ada orang bernama Nur Islam, tidak semestinya melambangkan Islam. Ada yang nama Qawwi, tidak semestinya kuat.]

 

Komen dan Soalan