Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Pengenalan surah hingga Ayat Ke-2

Tafsir Surah Al-Maidah: Pengenalan surah hingga Ayat Ke-2

258
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Mai’dah
Pengenalan

Kaitan dengan surah al-Baqarah: Dalam Surah Baqarah telah disebut tentang akidah syirik dalam bentuk iktikadi (dalam hati) dan amali (perbuatan). Dalam Surah Mai’dah ini banyak disebut tentang syirik dari segi amali sedangkan sebelum ini, Surah Ali Imran hanya sebut syirik iktikadi sahaja.

Surah Baqarah banyak menyebut tentang golongan Yahudi.

Surah Ali Imran banyak menyebut tentang golongan Nasara.

Surah Nisa menyebut tentang golongan Munafik.

Dalam Surah Mai’dah ini pula, menggabungkan ketiga-tiga kumpulan itu: Yahudi, Nasara dan Munafiqun.

Surah Maidah ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian :

1-66 adalah bahagian pertama. Ia adalah tentang syirik amali. Disebut tentang syirik amali dahulu kemudian baru disebut syirik iktikadi.

67-120 adalah bahagian kedua. Disebut tentang syirik iktikadi dahulu sebelum syirik amali.

Dalam surah ini juga disebut tentang pemutusan hubungan dengan Yahudi dan Nasara. Ini adalah kerana kalau tidak memutuskan hubungan baik dengan mereka, kita akan dikira sebagai sebahagian daripada mereka.

Surah ini juga mengandungi teguran kepada Yahudi dan Nasara kerana mereka hendak menyesatkan manusia sedangkan mereka itu adalah pemegang kitab wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Sepatutnya mereka yang mengajar manusia ke arah kebaikan tetapi mereka menjadi sebaliknya pula. Jadi surah ini mengingatkan kita supaya jangan kita jadi seperti mereka. Ini kerana ada juga dalaam kalangan umat Islam yang berperangai seperti mereka.

Surah ini ada mengandungi ayat-ayat Umur Muslihah dan kebanyakannya tentang Salat.

Juga mengandungi ayat-ayat Umur Munazimah tentang bagaimana hendak berurusan dengan pencuri.

Ia turut mengandungi ayat-ayat tentang amar makruf nahi mungkar.

Surah ini diturunkan lewat Madaniah iaitu selepas Perjanjian Hudaibiyah dan waktu itu umat Islam sudah kuat. Ini bermakna waktu itu hukum-hakam hampir dilengkapkan kerana daulah Islamiah sudah berdiri dan memerlukan hukum yang lengkap untuk mengurusnya.

Tafsir Ayat Pertama: Tentang syirik amali.

يَٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعٰمِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ غَيْرَ مُحِلِّي الصَّيْدِ وَأَنتُمْ حُرُمٌ إِنَّ اللهَ يَحْكُمُ مَا يُرِيدُ

Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Dia kehendaki.

يَٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

Ini adalah ajaran yang amat penting dalam Islam – sempurnakan perjanjian kita. Yang paling utama adalah sempurnakan janji dengan Allah ‎ﷻ untuk taat kepada-Nya. Kalau perjanjian ini tidak diutamakan, tidak bermakna lagi segala perkara lain.

Perjanjian yang perlu disempurnakan bukan dalam hal agama sahaja tetapi termasuk segala bentuk perjanjian. Itu termasuklah antara pasangan suami isteri, dalam dan luar negara, perjanjian yang melibatkan urusan kerja dan sebagainya. Semua sekali mesti dipenuhi dan ini adalah kewajipan kita.

Ada perjanjian yang bertulis dan ada yang tidak bertulis dengan perjanjian yang tidak bertulis tetapi telah dipersetujui bersama. Sebagai contoh, terdapat kontrak sosial untuk memberikan layanan yang baik kepada manusia yang lain. Banyak sekali yang termasuk dalam perkara ini. Memang tidak ada bertulis, tidak berjanji sambil berjabat tangan tetapi ada perkara yang diharapkan daripada orang lain.

Begitu juga, dalam negara Malaysia kita ini, sudah ada kontrak sosial antara orang Melayu dan bangsa-bangsa yang lain untuk hidup dengan harmoni. Memang asal keturunan mereka dari negara India dan China namun itu sudah lama dahulu. Keturunan mereka sekarang ini adalah penduduk negara ini dan sama-sama tinggal di sini. Mereka tidak ada keinginan untuk pulang ke negara asal datuk nenek mereka lagi. Maka, janganlah ada yang hendak menghalau mereka kembali pula kalau ada yang tidak kena, jika terdapat isu-isu perkauman yang timbul.

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعٰمِ

Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak

Ini adalah perkara halal yang tidak boleh diharamkan, iaitu binatang ternak dan binatang-binatang lain yang boleh dimakan. Yang dimaksudkan dengan an’am ialah binatang ternak yang pada umumnya jinak, seperti unta, lembu, dan kambing. Juga binatang yang pada umumnya liar, seperti kijang, banteng, dan kuda belang.

Kalau haramkan juga, itu adalah perbuatan syirik amali. Hukum mengharamkan adalah milik mutlak Allah ‎ﷻ, jangan ada yang memandai-mandai mengharamkan sesuatu yang Allah‎ ﷻ telah halalkan. Kalau haramkan juga, itu sudah mengambil alih tugas Allah ‎ﷻ, sedangkan mengadakan hukum adalah hak Dia sahaja.

Kalau buat juga, itulah yang termasuk dalam ruang syirik, kerana menduakan Allah‎ ﷻ dari segi membuat hukum. Untuk beri penerangan yang lebih jelas, Allah ‎ﷻ berikan contoh satu perbuatan seperti dalam ayat ini.

Semua binatang ternak halal belaka untuk dimakan. بَهِيمَةُ adalah binatang yang berkaki empat yang dibela atau diburu yang makan makanan tumbuhan. Oleh itu jangan pantang daripada memakannya. Jangan kata binatang ini tidak boleh makan atas sebab-sebab tertentu yang tidak ada dalam syarak. Ini banyak dilakukan oleh Musyrikin Mekah tetapi malangnya ada juga dilakukan oleh masyarakat Melayu kita. Ini banyak dijelaskan dalam Surah al-An’am.

إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

kecuali apa yang telah dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.

Kecuali yang memang telah diharamkan dan dijelaskan dalam Al-Qur’an juga, iaitu ada binatang yang diharamkan dengan jelas seperti khinzir. Surah Mai’dah ini adalah Surah Madaniah, jadi ada ayat-ayat tentang pengharaman makanan yang telah dijelaskan dalam ayat-ayat sebelum Surah Mai’dah diturunkan. Juga akan dijelaskan lagi ayat-ayat seterusnya daripada surah Mai’dah ini.

Ini mengajar kita, kalau ada pengharaman tentang makanan, ia mestilah ada dalil daripada wahyu, sama ada daripada ayat-ayat Al-Qur’an ataupun hadith Nabi ﷺ yang sahih.

غَيْرَ مُحِلِّي الصَّيْدِ وَأَنتُمْ حُرُمٌ

tidak dihalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram

Juga diharamkan berburu kepada mereka yang berihram semasa mereka mengerjakan Haji. Binatang ternak memang halal dimakan dan diburu, cuma waktu itu sahaja yang tidak boleh – mereka yang dalam ihram.

Oleh itu, kalau ternampak binatang yang diburu semasa dalam perjalanan mengerjakan haji, maka tidak dibolehkan untuk berburu. Ini pun perjanjian yang perlu dipenuhi antara kita dengan Allah ‎ﷻ kerana pada waktu itu tidak ada orang lain nampak. Walaupun orang lain tidak nampak kita pergi berburu, tetapi kita kena yakin yang Allah‎ ﷻ nampak apa yang kita lakukan.

Kita mungkin susah hendak faham ayat ini, kerana kita kalau pergi mengerjakan Umrah atau Haji, makanan sudah banyak tersedia.  Namun pada zaman itu, makanan mereka adalah daripada hasil berburu.

إِنَّ اللهَ يَحْكُمُ مَا يُرِيدُ

Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Dia kehendaki.

Terpulang sahaja kepada Allah ‎ﷻ hendak buat bagaimana dan membuat apa sahaja hukum sebab Dia Tuhan dan Dia boleh berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki. Tidak perlu tanya kenapa Allah ‎ﷻ suruh buat begini dan begitu.

Memang segala apa hukum yang telah ditetapkan itu ada hikmahnya namun kadangkala tidak perlu ditanya dan kita tidak perlu tahu. Yang penting, kita tahu kedudukan kita dan kita sedar kedudukan Allah ‎ﷻ.

Begitu pun, kalau kita cuba untuk mencari hikmah pengharaman sesuatu, maka boleh juga, namun tidaklah kita yakin yang perkara itu adalah benar kerana itu adalah usaha kita sahaja yang tidak semestinya benar. Oleh itu, kalau kita tidak jumpa pun sebab sesuatu perkara itu diharamkan, ia adalah tetap haram sama ada kita faham ataupun tidak.

Tafsir Ayat Ke-2

يَٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تُحِلُّوا شَعٰئِرَ اللهِ وَلَا الشَّهْرَ الْحَرَامَ وَلَا الْهَدْيَ وَلَا الْقَلٰئِدَ وَلَا ءآمِّينَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّن رَّبِّهِمْ وَرِضْوٰنًا وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَاصْطَادُوا وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَن تَعْتَدُوا وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوٰنِ وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah, dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram, jangan (mengganggu) binatang-binatang had-ya, dan binatang-binatang qalaa-id, dan jangan (pula) mengganggu orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keredhaan daripada Tuhan-Nya dan apabila kamu telah menyelesaikan ibadah haji, maka bolehlah berburu. Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum kerana mereka menghalang-halangi kamu dari Masjidilharam, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.

يَٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تُحِلُّوا شَعٰئِرَ اللهِ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah,

Syiar bermaksud ‘lambang’ dalam bahasa kita. Allah ‎ﷻ berpesan supaya kita jangan langgar lambang-lambang agama Allah ‎ﷻ, seperti Tanah Haram, Bulan Haram. Janganlah kita dengan beraninya tidak menghormati lambang-lambang itu.

Lambang-lambang itu mesti dihormati kerana ia mengingatkan kita kepada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, jangan lakukan perkara yang tidak sepatutnya pada syiar-syiar Allah ‎ﷻ itu. Sebagai contoh, tidak boleh berbunuhan di kawasan Tanah Haram. Ibnu Abbas رضي الله عنهما mengatakan, yang dimaksudkan dengan syiar-syiar Allah‎ ﷻ ialah manasik Haji. Dan menurut Mujahid, Safa dan Marwah, serta hadyu dan budna juga termasuk syiar-syiar Allah ‎ﷻ.

وَلَا الشَّهْرَ الْحَرَامَ

dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram,

Sebagai contoh, ada empat bulan haram yang diharamkan berperang dalam bulan itu. Waktu itu adalah waktu untuk bertenang dan melakukan ibadah di Kaabah (mengerjakan Haji). Maka, zaman berzaman telah ditetapkan empat bulan itu tidak boleh berperang, tidak halal untuk berperang. Maka Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada orang Islam tentang perkara ini.

Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan daripada Abu Bakrah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda dalam Haji Wada’:

“إِنَّ الزَّمَانَ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُم، ثَلَاثٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدة، وَذُو الْحِجَّةِ، وَالْمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَر الَّذِي بَيْنَ جُمادى وَشَعْبَانَ”.

Sesungguhnya zaman itu berputar sebagaimana keadaannya di hari Allah ‎ﷻ menciptakan langit dan bumi; satu tahun adalah dua belas bulan; empat bulan di antaranya adalah Bulan Haram: tiga berturut-turut, iaitu Zul Kae’dah, Zul Hijjah, dan Muharram serta Rejab Mudar jatuh di antara bulan Jumada dan bulan Sya’ban.

وَلَا الْهَدْيَ

dan (jangan mengganggu) binatang-binatang had-ya,

Ia bermaksud binatang yang akan disembelih semasa Haji. Binatang-binatang itu telah ditanda oleh mereka yang telah berniat untuk menjadikannya binatang korban nanti. Mungkin belum dibawa ke Mekah lagi, namun sudah ditanda.

وَلَا الْقَلٰئِدَ

dan binatang-binatang qalaa-id,

Dan jangan diganggu binatang-binatang yang telah dipakaikan kalung untuk korban. Itu adalah tanda yang binatang itu akan disembelihkan. Binatang itu telah ditanda untuk disembelih kerana Allah ‎ﷻ.

وَلَا ءآمِّينَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّن رَّبِّهِمْ وَرِضْوَٰنًا

dan (jangan mengganggu) orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keridhaan dari Tuhannya

Dan jangan halang orang-orang yang mengunjungi Baitullah dengan tujuan yang aman. Mereka itu datang ke Baitullah kerana hendak mencari kurnia dan redha Allah ‎ﷻ. Waktu itu Mekah telah dikuasai oleh Muslim. Nanti akan ada pelbagai ragam manusia yang akan datang. Allah ‎ﷻ mengingatkan supaya jangan dihalang mereka daripada mengunjungi Baitullah.

Oleh kerana itu, penjaga Tanah Haram tidak boleh menyekat Visa Haji tanpa sebab yang munasabah kerana kita tidak boleh menghalang orang hendak beribadah di Masjidil Haram.

Namun, larangan halangan ini adalah untuk mereka yang hendak melakukan ibadah Islam. Pada zaman Jahiliyah dahulu, orang-orang musyrik juga melakukan ibadah di Kaabah tetapi sekarang, tentu tidak ada, hanya ada orang Islam sahaja yang dibenarkan masuk untuk melakukan ibadah. Kalau untuk tujuan berbuat selain daripada itu, orang kafir tidak dibenarkan masuk ke Tanah Haram. Allah ‎ﷻ telah berfirman:

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا}

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini. [At-Taubah: 28]

وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَاصْطَادُوا

dan apabila kamu telah keluar dari Ihram, maka bolehlah berburu.

Bila sudah keluar daripada Ihram, maka boleh berburu. Selalunya ayat berbunyi sebegini adalah ayat suruhan tetapi dalam ayat ini ia bermaksud memberi hukum ‘harus’, bukan ‘suruh’ sebab sebelum ini telah ada ayat larangan. Maka boleh berburu binatang selepas tahallul.

Kalau silap faham, mungkin ada yang keliru. Nanti ada yang kata sunnah kena ada aktiviti berburu pula – bukan begitu maksudnya. Kita zaman sekarang tidak perlu berburu lagi untuk makan sebab senang sahaja hendak mendapatkan makanan di Mekah.

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَن تَعْتَدُوا

Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum yang telah menghalangi kamu dari Masjidilharam, mendorongmu berbuat melampau batas

Jangan pula kerana benci kepada sesuatu kaum menyebabkan kamu menghalang mereka daripada pergi ke Masjidil Haram. Jangan juga kamu balas dendam kepada mereka kerana mereka dahulu pernah menghalang kamu daripada datang ke Masjidil Haram.

Sekarang memang kamu sudah ada kuasa tetapi jangan disala gunakan kuasa itu. Dahulu mungkin kamu ada berperang dengan mereka dan kamu masih ada rasa marah kepada mereka, namun jangan itu dijadikan penyebab untuk menghalang mereka. Sekarang mereka sudah memeluk Islam maka dibenarkan untuk mereka datang ke Mekah.

Allah‎ ﷻ mengingatkan kepada orang Islam kerana selalunya mereka yang menang yang selalu menyalahgunakan kuasa.

Ayat ini mengingatkan kita supaya jangan menganiaya orang lain kerana benci kepada mereka. Termasuk juga tidak boleh halang orang dari tempat umum, seperti masjid, terutama sekali Masjidil Haram.

Dalam ayat ini banyak larangan. Dalam ayat seterusnya nanti, Allah ‎ﷻ mengajar yang sepatutnya dilakukan.

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa,

Kita haruslah bekerjasama untuk kebaikan, menegakkan agama Islam kerana agama Islam ini hendaklah disebarkan ke serata dunia. Jangan berperang sesama sendiri sampai kerja dakwah tidak dapat dijalankan.

Begitu juga kita sekarang, hendaklah saling tolong-menolong dan bekerjasama dalam menjalankan tugas kita sebagai hamba Allah ‎ﷻ di mukabumi ini. Tolong menolonglah untuk melakukan kebaikan. Terdapat banyak jenis kebaikan. Asalkan benda baik, maka hendaklah kita ringankan tangan untuk membantu sesama sendiri.

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوٰنِ

dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.

Jangan pula bekerjasama dengan orang lain untuk melakukan keburukan. Ini amat buruk sekali. Ini adalah ayat yang boleh digunakan untuk umum. Apa sahaja perkara keburukan, jangan kita ikut campur dan ikut serta. Kenalah kita pastikan sama ada sesuatu pekerjaan itu untuk kebaikan atau untuk keburukan. Kalau untuk kebaikan, kita ikut tolong, tetapi kalau untuk keburukan, jangan kita ikut serta.

Dan kalau ada yang hendak berbuat keburukan, kita bukan sahaja tidak menyertainya, tetapi kita juga hendaklah menghalang dia daripada melakukannya, sebagaimana disebut dalam satu riwayat.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا هُشَيْم، حَدَّثَنَا عَبِيدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي بَكْرِ بْنِ أَنَسٍ، عَنْ جَدِّهِ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا”. قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا نَصَرْتُه مَظْلُومًا، فَكَيْفَ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ ظَالِمًا؟ قَالَ: “تَحْجِزُهُ تَمْنَعُهُ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hasyim, telah menceritakan kepada kami Ubaidillah ibnu Abu Bakar ibnu Anas, daripada datuknya (iaitu Anas ibnu Malik) yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Tolonglah saudaramu, baik dalam keadaan berbuat aniaya atau dianiaya. Lalu ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah, orang ini dapat kutolong jika dia dianiaya. Tetapi bagaimanakah menolongnya jika dia berbuat aniaya?” Maka Rasulullah ﷺ menjawab: Kamu cegah dan kamu halangi dia daripada perbuatan ani­aya, itulah cara menolongnya.

وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.

Yang penting, kita kena hidup di dunia ini dengan mengerjakan taqwa dengan menjaga hukum Allah ‎ﷻ. Kenalah kita taat kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻtelah memberikan ancaman-Nya kepada kita – kalau tidak dijaga hukum, maka akan mendapat balasan yang setimpal di akhirat nanti.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan