Utama Uncategorized Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-194 hingga Ke-196

Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-194 hingga Ke-196

183
0
Iklan

Tafsir Surah Ali Imran
Tafsir Ayat Ke-194

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ

Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-Rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ

Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-Rasul-Mu,

Mereka memohon supaya diberikan mereka dengan apa yang dijanjikan oleh-Nya melalui Rasul-rasul-Nya. Ia bermaksud syurga yang dijanjikan. Janji itu adalah, bagi sesiapa yang mengikut ajaran kitab akan diberi syurga manakala bagi sesiapa yang melanggar ajaran kitab pula, akan diberi neraka.

Ini mengajar kita, tidak salah kalau mengharap syurga kerana syurga itu sendiri dijanjikan oleh Allah ‎ﷻ dan disampaikan janji itu oleh Nabi Muhammad ﷺ. Janganlah jadi seperti golongan tarekat yang kononnya buat ibadah bukan kerana syurga. Kononnya mereka ikhlas sehinggakan tidak mengharapkan syurga. Mereka kata, kalau Allah ‎ﷻ masukkan mereka ke dalam neraka pun, mereka redha.

Itu semua adalah kata-kata khayalan sahaja daripada guru mereka yang khayal juga. Mereka itu golongan yang jauh daripada ilmu wahyu dan banyak ajaran dan fahaman mereka adalah rekaan dan khayalan sahaja. Semoga kita dan ahli keluarga kita diselamatkan daripada terjebak dengan golongan ini. Mereka memang berniat baik, namun sayangnya telah tertipu dengan perawakan golongan yang menamakan diri mereka sebagai ‘ahli sufi’.

Jadi kita tidak marah mereka dan benci kepada mereka. Kita kasihan kepada mereka dan kita hendaklah berusaha untuk menarik mereka kembali ke jalan yang benar. Mereka bukannya berniat hendak menentang Allah ‎ﷻ dan wahyu tetapi mereka telah tersilap memilih jalan.

وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ

dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat;

Jangan malukan kami. Kami tidak mahu dosa-dosa kami ditunjukkan kepada khalayak ramai. Di manakah hendak diletakkan muka masa itu?

إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ

sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji

Allah ‎ﷻ pasti tidak memungkiri janji-Nya. Maka kita berharap supaya Allah ‎ﷻ menetapkan janji-Nya dan dijamin Allah ‎ﷻ akan menepati janji-Nya itu. Maka ini adalah doa yang amat bagus sekali untuk diamalkan oleh kita.

Tafsir Ayat Ke-195

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang ulul albab dan apakah kata-kata dan doa mereka. Sekarang adalah sambungan dari ayat-ayat itu.

فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لَا أُضِيعُ عَمَلَ عَٰمِلٍ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ فَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَأُخْرِجُوا مِن دِيَٰرِهِمْ وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي وَقَٰتَلُوا۟ وَقُتِلُوا لَأُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلَأُدْخِلَنَّهُمْ جَنَّتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ ثَوَابًا مِّنْ عِندِ اللَّهِ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ

Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal daripada kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugama-Ku, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai ganjaran daripada sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah ganjaran yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”.

فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ

Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka

Allah ﷻ terima doa mereka. Mereka telah berdoa supaya:
– Allah ﷻ ampunkan dosa mereka
– Tutup dosa-dosa mereka
– Matikan mereka bersama dengan orang-orang yang berbakti
– Masukkan mereka ke dalam syurga seperti yang pernah dijanjikan oleh Allah ﷻ
– Jangan hina mereka di akhirat kelak

Amat indah sekali doa-doa mereka dan ini menjadi panduan doa bagi kita tentang apakah yang penting dalam doa kita. Sudah sememangnya kita kena berdoa kepada Allah ﷻ. Tetapi kita tidak pasti sama ada Allah ﷻ makbulkan doa kita atau tidak. Dalam ayat ini, alangkah beruntungnya mereka, kerana Allah ﷻ telah kata yang Dia makbulkan doa mereka.

أَنِّي لَا أُضِيعُ عَمَلَ عَٰمِلٍ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ

Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan,

Segala amal kebaikan yang kita lakukan di dunia tidak sia-sia. Kadang-kadang kita tidak ingat pun amal kebaikan yang kita lakukan. Entah ianya sekecil memberi senyuman kepada orang lain, dan benda itu sekejap sangat, tetapi Allah ﷻ akan balas juga dengan kebaikan.

Allah ﷻ akan balas, tidak kira lelaki atau perempuan. Ini menunjukkan persamaan taraf antara lelaki dan wanita. Sama-sama mudah untuk mendapatkan pahala. Islam tidak bezakan amal lelaki dan wanita. Maka, janganlah kita kata sebab ada yang dilahirkan sebagai perempuan, susah hendak buat pahala, susah hendak buat kebaikan – kerana tidak dapat keluar rumah selalu, tidak dapat hendak ke masjid selalu, kekuatan tubuh yang kurang, kekuatan kewangan yang kurang, atau apa-apa lagi.

Ingatlah yang Allah ﷻ Maha Adil. Dia tidak tarik atau kurangkan peluang sesiapa sahaja. Sesiapa sahaja ada peluang untuk mendapatkan pahala, asalkan mereka mahu berusaha. Kalau lelaki dengan cara lelaki, kalau perempuan dengan cara perempuan. Yang kaya dengan cara kaya dan yang miskin dengan cara miskinnya. Kita cuma dapatkan ilmu sebanyak mungkin supaya kita tahu apakah yang patut kita lakukan, dan bagaimana melakukannya dengan cara terbaik.

بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ

setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain;

Kenapa Allah ﷻ hendak bezakan antara lelaki dan perempuan sedangkan kita semuanya daripada golongan manusia juga. Kerana walaupun seseorang itu lelaki, tetapi dia pasti anak daripada seorang emak dan seorang ayah.

فَالَّذِينَ هَاجَرُوا

maka orang-orang yang berhijrah

Ada orang yang terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka untuk menjaga agama mereka. Walaupun mereka sayang dengan tempat tinggal mereka yang asal, tetapi mereka tahu mana yang lebih penting.

Kerana kalau kita duduk di dalam kawasan yang tidak sesuai untuk agama kita, maka eloklah kita tinggalkan sahaja. Mereka yang meninggalkan tempat tinggal mereka kerana hendak menjaga agama, telah melakukan satu tindakan yang berani dan besar sekali.

وَأُخْرِجُوا مِن دِيَٰرِهِمْ

dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya,

Ada juga yang sampai dihalau dari tempat tinggal mereka kerana mereka telah berkata benar. Memang berkata benar adalah satu perkara yang payah dilakukan. Kalau masyarakat itu tidak dapat terima, dan mempunyai sifat-sifat yang buruk, sampai ada yang sanggup menghalau orang-orang yang menyampaikan ajaran yang benar dari kampung halaman.

Zaman kita pun ada juga. Ada mereka yang hendak mengamalkan sunnah sampai kena pindah keluar kampung. Antaranya kerana tidak baca qunut subuh sahaja, sudah kena pulau dengan masyarakat kampung yang jahil.

وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي

dan juga yang disakiti kerana menjalankan ugamaKu,

Ada yang disakiti dengan berbagai-bagai cara. Sekurang-kurangnya disakiti dengan mulut dengan diberikan cemuhan dan sebagainya. Begitulah apabila telah buat keputusan untuk menjalankan agama dengan benar. Kalau buat biasa, buat tidak kisah tentang agama, tidak ada orang hendak kacau pun.

Tetapi kalau sudah ada niat hendak menegakkan agama, memang akan ada dugaannya. Kena terima dan ingat yang dugaan ini untuk menambah pahala kita sebenarnya. Kalau kita sabar, maka pasti pahala buat kita. Buat tidak tahu sahaja dengan cemuhan orang. Belajar senyum memanjang.

وَقَٰتَلُوا۟

dan yang berperang

Ini adalah ayat tentang jihad. Mereka yang mukmin sanggup untuk menyabung nyawa mereka untuk menegakkan agama Allah ﷻ di atas muka bumi. Telah banyak ayat-ayat tentang jihad yang kita telah belajar. Jihad ini perlu dijalankan dalam kehidupan kita. Sekurang-kurangnya jihad dakwah dengan lisan kerana sekarang tengah tidak ada jihad perang.

وَقُتِلُوا

dan yang terbunuh

Apabila berperang di jalan Allah, tentunya ada kemungkinan ramai yang terbunuh. Itulah bayaran yang mereka bayar, iaitu dengan nyawa mereka. Itulah harta mereka yang paling berharga.

Setiap manusia akan tetap mati, maka mati apakah yang paling baik daripada mati di jalan Allah? Mereka yang mati di Jalan Allah, tentunya mati syahid dan itu adalah jalan pintas ke syurga. Mereka terus dimasukkan ke dalam syurga apabila mereka mati dan tidak perlu menunggu sekian lama di Mahsyar dengan orang lain yang tidak mati syahid.

لَأُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ

sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka,

Inilah janji Allah ﷻ kepada mereka yang yang bersifat di atas tadi. Allah akan tutup dan hilangkan kesalahan dosa mereka. Tidak disebutkan langsung di khalayak ramai, maka tidak dimalukan. Bila tidak ada dosa, tentunya tempatnya di syurga kerana tidak perlu dibasuh dosa di neraka.

وَلَأُدْخِلَنَّهُمْ جَنَّتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ

dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,

Allah ﷻ janjikan syurga kepada mereka. Dan Allah beritahu yang syurga-syurga itu akan ada sungai-sungai yang mengalir di bawahnya. Kerana hendak memberi gambaran kehebatan syurga-syurga itu. Syurga itu tidak dapat dibayangkan dengan akal tetapi Allah ﷻ telah memberi beberapa sifat Syurga itu, ditambah dengan hadith-hadith Nabi.

Semua itu untuk memberi motivasi kepada kita untuk memasukinya. Tentunya nikmat itu lebih lagi dari apa yang digambarkan. Tetapi kita sudah dapat bayangkan kehebatannya.

ثَوَابًا مِّنْ عِندِ اللَّهِ

sebagai ganjaran dari sisi Allah.

Ganjaran itu semua adalah dari ‘sisi Allah’. Kalau daripada Allah ﷻ, tentunya hebat. Kehebatan sesuatu hadiah itu boleh dilihat daripada siapakah yang memberinya. Jikalau yang memberi itu orang yang hebat, tentunya hadiah itu pun hebat. Dan siapakah yang hebat daripada Allah ﷻ?

وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ

Dan di sisi Allah jualah ganjaran yang sebaik-baiknya

Tentulah Allah ﷻ sebaik-baik pemberi ganjaran. Allah yang menjadikan kita maka Dia tahu apakah yang kita mahu. Dia juga Maha Kaya jadi Dia boleh beri apa sahaja yang akan memuaskan kita.

Tafsir Ayat ke-196

Sekarang kita masuk ayat tentang infaq pula kerana infaq itu amat penting untuk menjalankan jihad di jalan Allah. Kita kena ingat yang infaq ini adalah untuk kebaikan kita kerana infaq itu akan menjadi harta kita yang sebenar.

Cuma mungkin kita lihat mereka yang tidak infaq itu banyak harta kerana mereka sentiasa kumpul sahaja harta mereka tanpa diinfaqkan dan kerana itu tidak berkurangan harta mereka. Mungkin pada fikiran kita, itu adalah baik, tetapi tidak sebenarnya.

Mereka yang tidak infaq itu nampak hanya kepentingan dunia sahaja dan kerana itu mereka tumpukan usaha mereka untuk dapatkan kelebihan dunia semata-mata. Mereka takut untuk infaq kerana mereka takut mereka akan jatuh miskin kalau beri duit pada orang lain. Allah ﷻ ingatkan kita supaya jangan terpikat dengan cara-cara mereka itu kerana hujung nasib mereka adalah sengsara.

لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي ٱلْبِلَٰدِ

Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).

Jangan terpesona dengan bebasnya mereka yang kufur itu bergerak di dunia. Mereka tidak infaq dan kerana itu mereka nampak macam banyak harta dan boleh buat apa-apa dan pergi ke sana sini. Jangan terpesona dengan apa yang mereka ada dan bebasnya mereka. Kerana mereka tidak akan berjaya. Jangan kita terpesona sampai kita mahu jadi seperti  mereka pula. Kita sebagai orang Islam, hendaklah melakukan infaq.

Atau ayat ini bercakap tentang Ahli Kitab. Mereka memang nampak macam senang sahaja di dunia ini. Mereka ada kekayaan, ada kuasa, ada kesenangan hidup dan sebagainya. Tengoklah bagaimana kayanya orang-orang Yahudi dan Kristian di dunia ini. Namun, jangan terpesona dengan kesenangan hidup mereka. Mereka senang di dunia sahaja dan akan merana di akhirat kelak.

Dan kita telah bincangkan bagaimana mereka ada yang tidak suka dengan pencapaian orang Islam. Dan mungkin ada perancangan untuk menjatuhkan kita. Allah ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, jangan risau sangat. Musuh memang buat rancangan untuk menjatuhkan kita, tetapi kita kena serahkan kepada Allah ﷻ.

Namun, dalam masa yang sama kita kena berhati-hati. ‘Ghurur’ maksudnya menipu seseorang yang tidak beri perhatian. Maknanya, kita kena tengok juga apa yang mereka rancang. Kena perhatikan dan bersedia untuk bertindak. Dan bersedia supaya jangan tertipu dengan perancangan mereka. Jangan kita leka sampaikan mereka boleh buat apa sahaja. Tetapi janganlah terlebih percaya teori konspirasi yang berbagai-bagai sekarang ini. Itu hanya membuang masa.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan