Tafsir Surah Ali Imran
Tafsir Ayat Ke-190
Ini adalah dalil lagi kenapa Dia sahaja layak disembah.
إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ وَٱخْتِلَٰفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَأَيَـٰتٍ لِّأُولِي ٱلأَلبَـٰبِ
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, adalah tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;
إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi,
Segala apa yang terjadi adalah atas kehendak Allah ﷻ. Alam ini adalah termasuk kehendak Allah ﷻ dan kita boleh lihat betapa hebatnya alam ini. Kalau tidak percaya, boleh cuba-cubalah luangkan masa menonton rancangan dokumentari seperti National Geographic Special atau dokumentari lain seumpama itu.
وَٱخْتِلَٰفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ
dan pada pertukaran malam dan siang,
Setiap hari kita dapat melihat siang berganti malam dan malam berganti siang. Dengan ada siang kita boleh bekerja; dengan malam kita boleh rehat. Dengan bertukarnya siang malam itu, kita boleh membuat kalendar dan menyusun kehidupan kita juga. Juga terdapat banyak lagi kelebihan pertukaran siang dan malam itu.
Itu semua adalah dalam perancangan Allah ﷻ dan kita tidak boleh membuat apa-apa pun. Kita tidak boleh hendak halang malam atau siang daripada terjadi.
لَأَيَـٰتٍ لِّأُولِي ٱلأَلبَـٰبِ
adalah tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal;
Semua itu adalah tanda-tanda yang boleh difahami oleh mereka berfikiran waras. Kita melihat perkara ini setiap hari tetapi mungkin tidak terfikir bahawa itu adalah tanda kekuasaan Allah ﷻ. Ini kerana kita sudah biasa melihatnya dan fikiran kita tidak jernih serta kurang kesedaran. Jadi kita tidak nampak kehebatan Allah ﷻ dalam perkara yang kita lihat setiap hari.
Yang boleh nampak adalah mereka yang fikiran mereka bebas daripada benda yang remeh temeh. Masalahnya zaman sekarang, pelbagai benda yang kita fikirkan dan kebanyakannya adalah benda yang remeh. Maka otak dan minda kita telah disibukkan dengan perkara yang tidak penting sampaikan dalil di hadapan mata pun kita tidak nampak.
Dalam fikiran kita terlalu banyak benda kosong yang kita isikan sehinggakan benda yang bagus susah hendak masuk. Sebagai contoh, kita selalu sangat menonton filem-filem dan rancangan TV yang entah apa-apa. Seumpama orang sudah biasa dengan makanan “junk”, maka dia tidak dapat lagi hendak menghargai makanan berkhasiat seperti sayuran atau buah-buahan.
Ayat yang lebih panjang tentang perkara ini terdapat dalam Surah Baqarah. Dalam ayat di hadapan kita ini pendek sahaja kerana akal yang bersih akan dapat berfikir panjang. Ini hanya mengingatkan kembali kepada ayat yang kita sudah belajar dalam Surah Baqarah, maka sepatutnya tidak perlu disebut dengan panjang lagi.
Tafsir Ayat Ke-191
Ayat sebelum ini tentang mereka yang berfikiran waras. Maka, siapakah yang berfikiran waras? Apakah ciri-ciri mereka? Apakah yang mereka fikirkan? Mari kita lihat dan kita cuba ikuti mereka.
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا سُبْحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring,
Maknanya, mereka ingat kepada Allah ﷻ dalam semua keadaan. Maksud ‘ingat Allah’ adalah dengan menjaga hukum iaitu mereka akan sentiasa ingat untuk menjaga hukum syari’at dalam semua keadaan. Setiap ketaatan yang kita buat, adalah dikira ‘zikir’ kepada Allah . Seperti kalau kita sedang puasa, kita tidak buat apa pun, namun pada waktu itu kita dikira zikir kepada Allah ﷻ kerana kita sedang menunaikan hukum Allah ﷻ. Ini kerana arahan Allah ﷻ pada waktu itu adalah ‘tidak makan’.
Maknanya, bukanlah berzikir itu adalah zikir meratib sahaja. Zikru dalam Al-Qur’an disebut sebagai amalan hati. Yang penting, kita ingat siapa Allah ﷻ dan kita taat kepadanya. Ini penting, kerana ada pihak-pihak yang salah faham, hanya menghadkan zikir kepada ‘ratiban’.
Mereka menyangka ayat ini adalah dalil bahawa boleh membuat amalan zikir ketika duduk, baring dan berdiri. Sampaikan digunakan ayat ini digunakan sebagai dalil untuk membolehkan zikir menari! Kita pun tidak tahulah dari mana mereka boleh mendapat dalil tafsir yang mengarut sebegini. Sudahlah amalan itu adalah amalan yang bid’ah, mereka menggunakan dalil yang tidak kena mengena langsung.
Begitulah kalau ada puak yang jahil, tidak belajar tafsir, maka mereka akan mengambil sahaja sebarang ayat yang ‘agak-agak’ kena. Mereka tidak ada dalil sebenarnya untuk amalan mereka, tetapi apabila kita desak mereka untuk diberikan dalil, maka mereka tangkap muat sahaja apa yang ada. Padahal, beratus tahun umat baca ayat ini, tidaklah terfikir untuk zikir sambil menari.
Oleh itu, tinggalkan mereka dan jangan buang masa lagi dengan mereka. Kalau ada kesempatan, ajak mereka belajar agama dengan benar. Masalahnya, mereka itu telah disibukkan oleh syaitan dengan amalan-amalan salah, sampaikan tidak ada masa hendak belajar. Jadi, mereka terus melakukan amalan salah tanpa ilmu. Mereka sangka mereka ada banyak ilmu, padahal, mereka itu mendapat ilmu khayalan sahaja.
Makna lafaz ‘Zikr’ adalah ‘ingat’, dan ingat itu adalah perkara yang kita sudah tahu. Bukan benda baru yang diperkenalkan kepada kita tetapi benda yang kita memang sudah tahu. Sebab itu kita selalu melakukan tazkirah, iaitu mengingatkan perkara yang kita sudah tahu pun. Oleh itu, janganlah bosan kalau kita diberitahu perkara yang sama berulang-ulang kerana itu adalah untuk mengingatkan kita dengan perkara yang kita memang sudah tahu. Ini kerana kita manusia adalah jenis pelupa, maka kita kena diingatkan selalu.
Amalan zikir paling baik dilakukan adalah cara yang Nabi ﷺ ajar. Yang pertama, salat itu pun adalah zikir. Begitu juga dengan membaca Al-Qur’an. Kedua-dua zikir inilah yang paling baik. Selain daripada itu, kita boleh mengamalkan zikir masnun, iaitu lafaz-lafaz zikir dan doa yang Nabi Muhammad ﷺ sendiri sudah ajar kita. Boleh dikatakan ada lafaz-lafaz doa untuk setiap keadaan. Ini akan mendekatkan diri kita dengan Allah ﷺ. Ini kerana dalam setiap keadaan, ada doa yang tertentu dan zikir-zikir itu mempunyai elemen tauhid maka ia selalu mengingatkan kita kepada tauhid.
Jangan amalkan zikir yang tidak datang daripada Nabi ﷺ atau dengan cara yang bukan ajaran daripada Nabi ﷺ. Pertamanya, janganlah cuba untuk menyertai pergerakan tarekat langsung. Kalau ada saudara mara kita yang baru hendak belajar pun, larang mereka dan tegah mereka kerana kalau sudah masuk dalam tarekat, sudah pasti akan ada amalan zikir yang bukan daripada ajaran Nabi ﷺ. Kalau sudah mula belajar, akan terbelenggu dengan amalan-amalan yang salah.
وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ
dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi
Mereka juga sentiasa berfikir menggunakan panduan daripada kitab Allah ﷻ, dengan melihat kepada kejadian langit dan bumi. Pemikiran ini pula mestilah berpandukan daripada Al-Qur’an, kerana kalau kita cari sendiri, jarang seseorang akan capai kepada Allah ﷻ. Namun apabila kita diberitahu yang Allah ﷻlah yang menjadikan alam ini, maka kita terpimpin membawa kepada terfikir kepada Allah ﷻ.
Apabila melihat alam, kita teringat bahawa Allah ﷻlah yang menjadikannya. Apa-apa terjadi kita akan teringat ayat-ayat Al-Qur’an kerana akan ada sahaja perkara yang berkenaan dengan Al-Qur’an. Lihat pada gunung, ada ayat tentang gunung. Lihat pada langit, ada ayat tentang langit; hujan; orang sedang marah; dan macam-macam lagi. Al-Qur’an telah sentuh semua perkara.
رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا
Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia,
Apabila kita sudah memikirkan tentang alam dan kaitannya dengan Allah ﷻ, maka kita akan berkata seperti dalam ayat ini. Kita sedar yang tidaklah Allah ﷻ menjadikan alam ini sia-sia kerana langit dan bumi adalah bekas atau tempat untuk menguji kita semua.
Maknanya, ada tujuan alam ini dijadikan. Allah ﷻ yang mempunyai sifat yang Maha Mulia tidak akan membuat sesuatu yang sia-sia. Kita akan dapat pemahaman ini apabila kita telah kenal Allah ﷻ daripada apa yang kita belajar dalam Al-Qur’an.
Lihatlah bagaimana Islam mengimbangkan antara ‘zikir’ dan ‘fikir’. Tidaklah kita disuruh terlalu banyak berzikir sampai menjadi seperti golongan tarekat. Tidaklah juga disuruh hanya berfikir sahaja tanpa ada zikir seperti golongan intelektual yang tidak mempunyai roh agama. Itulah antara maksud Islam itu adalah ‘umat pertengahan’. Maknanya, tidaklah kita disuruh menolak terus daripada menggunakan akal. Memang Al-Qur’an sentiasa menyebut gunakan akal yang Allah ﷻ telah berikan.
سُبْحَٰنَكَ
Maha Suci Engkau
Orang itu membenarkan yang Allah ﷻ suci daripada segala cacat cela dan suci daripada memerlukan kepada perantara dalam permohonan doa. Maknanya, dia menolak fahaman syirik. Dia menolak kata-kata manusia yang mengarah kepada syirik. Dia belajar apakah tauhid dan apakah syirik supaya dia tidak terjerumus melakukan perkara syirik.
فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
maka peliharalah kami daripada azab neraka.
Akhir sekali dia akan meminta supaya dijauhkan daripada neraka. Ini kerana apabila sudah belajar dan tahu apakah sifat neraka itu, tidak ada sesiapa yang mahu untuk masuk neraka. Langsung tidak mahu dengar, lihat atau dengar bunyi neraka pun. Dia berharap betul-betul dengan Allah ﷻ kerana dia tahu yang Allah ﷻlah sahaja yang boleh menyelamatkannya dari neraka.
Tafsir Ayat Ke-192
Sekarang diberitahu kenapa kita tidak mahu masuk ke dalam neraka. Tujuannya adalah untuk memberikan kita rasa takut yang amat sangat kepada neraka supaya kita ubah sikap kita dan berhati-hati dalam setiap perbuatan kita.
رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;
رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya,
Sesiapa yang dimasukkan ke dalam neraka adalah dihina. Kalimah أَخْزَيْتَهُ berasal daripada kalimah أخزي yang membawa maksud buka kesalahan seseorang di hadapan orang lain (memalukan orang). Ahli neraka akan terserlah segala kesalahan mereka semasa di dunia dan ini amat memalukan. Walaupun mereka mulia ketika berada di dunia, namun di neraka nanti, mereka akan dihinakan dengan teruk sekali.
وَمَا لِلظَّلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ
dan bagi orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;
Ayat ini memberitahu kepada kita yang tidak ada syafa’at yang akan membantu mereka yang zalim. Banyak agama salah faham tentang perkara ini. Mereka menyangka tuhan-tuhan selain Allah ﷻ yang mereka sembah itu akan dapat menyelamatkan mereka di akhirat kelak. Allah ﷻ menolak pemahaman mereka itu dalam terdapat banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang menekankan tentang perkara penting ini termasuk ayat ini.
Begitu juga, orang Islam pun ada salah faham ini. Ramai yang bergantung dengan sembahan-sembahan kepada ilah-ilah yang lain seperti Syeikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo, wali-wali yang pelbagai, golongan Nabi dan sebagainya. Mereka itu sangka dengan memuja-muja para wali, Nabi dan malaikat, mereka akan diselamatkan di akhirat kelak, tetapi tidak sebenarnya.
Ada pemahaman salah mereka tentang ilah menyebabkan mereka yang cenderung kepada fahaman syirik ini selamba sahaja dengan tanpa rasa bersalah memuja-muja manusia. Mereka sangka ia sebahagian daripada agama tetapi tidak sebenarnya. Mereka sangka itu perkara kecil sahaja, namun ia sudah masuk ke lembah syirik. Mereka sahaja tidak tahu kerana mereka jauh daripada wahyu.
Tafsir Ayat Ke-193
Ini adalah sambungan kata-kata mereka. Ayat ini tentang risalah (kenabian) supaya kita faham tentang kedudukan Nabi Muhammad ﷺ. Ingatlah bahawa kita hanya dapat faham agama melalui Nabi ﷺ dan ajaran yang disampaikan olehnya.
رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَٰنِ أَنْ ءآمِنُوا بِرَبِّكُمْ فَـَٔامَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;
رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَٰنِ
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru yang menyeru kepada iman,
Mereka mengaku yang telah sampai penyeru tauhid kepada mereka. Penyeru tauhid itu adalah Nabi ﷺ dan para pengikut baginda. Kalimah مُنَادِيًا bermaksud seseorang yang menyeru dari jauh. Memang Nabi Muhammad ﷺ itu jauh daripada kita kerana baginda bukan lagi ada bersama-sama kita.
Namun begitu, kita masih mendengar seruan Nabi ﷺ kerana disampaikan oleh penyeru tauhid yang meneruskan dakwah baginda. Maka, kena dengarlah orang-orang yang ajar tentang tauhid kepada kita.
أَنْ ءآمِنُوا بِرَبِّكُمْ
katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’,
Inilah apa yang disampaikan oleh Nabi ﷺ dan penyeru tauhid itu – mengajak kepada beriman dengan Allah ﷻ. Ini adalah ringkasan dakwah mereka. Tentunya banyak lagi seruan dan ajaran daripada mereka, tetapi diringkaskan keseluruhan ajakan itu terletak dalam beriman kepada Allah ﷻ kerana inilah ajaran yang paling penting dan perlu dikemaskan.
فَـَٔامَنَّا
maka kami pun beriman.
Mereka mengaku telah beriman dan mengikuti seruan. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan. Apabila seruan tauhid telah sampai kepada kita hendaklah kita beriman kepadanya. Bukannya menentang dan hendak berhujah menegakkan fahaman yang salah (contoh hujah: “Ini bukan syirik… ini penghormatan sahaja”… “Kami tak sembah wali dalam kubur itu, kami nak jadikan dia sebagai wasilah sahaja”, “Walaupun wali itu sudah mati, tapi dia masih dengar lagi seruan kita….”).
رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا
Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami,
Walaupun mereka telah mengaku beriman, tetapi mereka masih lagi memohon keampunan kepada Allah ﷻ. Orang yang beriman memang mesti sentiasa risau tentang dosa-dosa mereka dan sentiasa meminta ampun di atas dosa-dosa mereka. Ini kerana kalau namanya manusia, tentulah ada sahaja dosanya. Kita amat takut kalau dosa kita harus dicuci dalam neraka pula. Kerana itulah kita mestilah meminta sangat semua dosa kita diampunkan.
وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا
dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami,
Dan mereka meminta Allah ﷻ menutup segala kesalahan mereka supaya hilang, jangan ditunjukkan kepada sesiapa pun kerana amat memalukan sekali jikalau segala kesalahan itu dipertontonkan di khalayak ramai di akhirat kelak.
وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ
dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;
Mereka meminta supaya dimatikan mereka bersama orang-orang yang baik iaitu ahli syurga. Ia juga bermaksud mereka meminta supaya mereka dimasukkan bersama-sama golongan mereka yang baik dan berbakti itu. Ataupun ia bermaksud supaya mereka diambil nyawa mereka semasa mereka bersama dengan golongan itu.
Allahu a’lam.