Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-176 hingga Ke-180

Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-176 hingga Ke-180

349
0
Iklan

Tafsir Surah Ali Imran 
Tafsir Ayat Ke-176

Masih lagi tentang orang-orang Munafik. Mereka itu ada yang dalam kalangan umat Islam tetapi mereka itu kufur sebenarnya dan tidak membantu. Ayat ini mengandungi tasliah (pujukan) dan juga takhwif ukhrawi (penakutan).

وَلا يَحزُنكَ الَّذينَ يُسٰرِعونَ فِي الكُفرِ ۚ إِنَّهُم لَن يَضُرُّوا اللَّهَ شَيئًا ۗ يُريدُ اللَّهُ أَلّا يَجعَلَ لَهُم حَظًّا فِي الآخِرَةِ ۖ وَلَهُم عَذابٌ عَظيمٌ

Dan janganlah engkau berdukacita (wahai Muhammad), disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran; kerana sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun. Allah menetapkan tidak memberi kepada mereka (balasan baik syurga) pada hari akhirat kelak, dan mereka pula beroleh azab seksa yang amat besar.

وَلا يَحزُنكَ الَّذينَ يُسٰرِعونَ فِي الكُفرِ

Dan janganlah engkau berdukacita (wahai Muhammad), disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran;

Allah ‎ﷻ memberi nasihat dan pujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ supaya jangan berdukacita terhadap mereka yang cepat jatuh kepada kekufuran. Walaupun mereka itu sudah lama diajak kepada agama, namun mereka tetap juga kufur.

Kenapa Allah ‎ﷻ menasihati sebegini? Kerana tentulah Nabi Muhammad ﷺ sedih asalnya kerana baginda amat mengharapkan umatnya semua masuk Islam. Ini kerana baginda amat sayang kepada mereka.

Namun Allah ‎ﷻ menasihati baginda dalam ayat ini dan banyak ayat-ayat lain lagi. Biarkan sahaja mereka itu. Kalau mereka hendak merosakkan agama pun, jangan sedih dan risau. Jangan baginda susahkan diri baginda dengan hal mereka.

Sebagaimana kita juga tentu mahu orang-orang yang rapat dengan kita menerima dakwah kita dan masuk Islam sepenuhnya. Akan tetapi bukan semua dapat terima. Maka jangan kita sedih sangat kerana memang itu sudah takdir daripada Allah ‎ﷻ. Kita hanya boleh sampaikan sahaja kebenaran akan tetapi kita tidak boleh paksa mereka menerimanya.

إِنَّهُم لَن يَضُرُّوا اللَّهَ شَيئًا

kerana sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun.

Mereka tidak akan membahayakan Allah ‎ﷻ atau agama Islam sedikit pun. Ini kerana Allah ‎ﷻ akan menjaga agama ini daripada dirosakkan. Mereka sendiri yang akan rugi dan rosak binasa.

يُريدُ اللَّهُ أَلّا يَجعَلَ لَهُم حَظًّا فِي الآخِرَةِ

Allah menetapkan tidak memberi kepada mereka (balasan baik syurga) pada hari akhirat kelak,

Allah‎ ﷻ tidak ingin berikan حَظًّا (bahagian) kebaikan akhirat kepada mereka. Walaupun mereka itu duduk dan tinggal dengan Nabi ﷺ, namun mereka masih tidak mendapat hidayat.

وَلَهُم عَذابٌ عَظيمٌ

dan mereka pula beroleh azab seksa yang amat besar.

Sebaliknya, mereka akan diberikan dengan azab neraka. Mereka itu menunggu untuk mati sahaja bagi menerima azab daripada Allah ‎ﷻ. Akan tetapi sudah ditetapkan yang mereka akan diazab. Maka hanya menunggu masa untuk mereka mati sahaja. Alangkah ruginya!

Tafsir Ayat Ke-177

Ini adalah ayat takhwif ukhrawi.

إِنَّ الَّذينَ اشتَرَوُا الكُفرَ بِٱلْإِيمَٰنِ لَن يَضُرُّوا اللَّهَ شَيئًا وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meninggalkan iman tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun, dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

إِنَّ الَّذينَ اشتَرَوُا الكُفرَ بِٱلْإِيمَٰنِ

Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meninggalkan iman

Ini adalah tentang golongan yang sanggup memilih kufur dan jual iman mereka. Mereka ada peluang beriman kerana duduk tinggal dengan Nabi, tetapi mereka tidak mengambil peluang keemasan itu. Ada orang yang sudah datang dakwah kepada mereka, tetapi mereka tidak mahu terima. Alangkah ruginya.

لَن يَضُرُّوا اللَّهَ شَيئًا

tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun,

Allah ‎ﷻ tidak terkesan dengan kekufuran mereka itu. Kalau seluruh makhluk tidak beriman kepada Allah ‎ﷻ pun, tidak berkurang kehebatan dan kemuliaan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ langsung tidak terkesan sedikit pun. Jangan sangka yang Allah ‎ﷻ memerlukan iman makhluk.

Kalau kita lihat kisah-kisah di filem, ada yang buat kisah bagaimana dewa-dewa Greek memerlukan sembahan daripada manusia barulah mereka ada kuasa. Ini adalah satu fahaman yang bahaya kalau dilihat oleh anak-anak kita kerana mungkin mereka ada sangkaan yang Allah ‎ﷻ perlukan sembahan daripada kita pula.

وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Walaupun Allah ‎ﷻ tidak terkesan, tetapi Allah ‎ﷻ akan balas kekufuran mereka itu dengan azab seksa yang pedih. Ini adalah kerana Allah‎ ﷻ itu Maha Adil. Apabila Allah ‎ﷻ memerintahkan sesuatu (antaranya adalah menyembah-Nya), maka yang taat akan dibalas baik dan yang tidak taat akan dibalas dengan balasan azab.

Tafsir Ayat Ke-178

Walaupun golongan Munafik itu tidak menolong Nabi ﷺ dalam peperangan, namun tidaklah Allah ‎ﷻ terus menghukum mereka. Ini menyebabkan mereka merasakan yang Allah ‎ﷻ tidak berbuat apa-apa terhadap mereka. Oleh kerana itu, mereka rasa sedap hati tidak akan dikenakan apa-apa daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ menempelak mereka dalam ayat ini.

وَلا يَحسَبَنَّ الَّذينَ كَفَروا أَنَّما نُملي لَهُم خَيرٌ لِّأَنفُسِهِم ۚ إِنَّما نُملي لَهُم لِيَزدادوا إِثمًا ۚ وَلَهُم عَذابٌ مُّهينٌ

Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).

وَلا يَحسَبَنَّ الَّذينَ كَفَروا أَنَّما نُملي لَهُم خَيرٌ لِّأَنفُسِهِم

Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami memberi tangguh itu baik bagi diri mereka;

Orang kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang munafik itu. Janganlah mereka sangka dengan Allah ‎ﷻ menangguhkan azab kepada mereka, maka mereka sangka itu adalah kebaikan untuk mereka. Mereka lihat tidak ada kena apa-apa kesan pun pada mereka walaupun mereka tidak menolong Rasulullah ﷺ.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberitahu yang Dia sebenarnya menangguhkan sahaja azab kepada mereka. Mereka tetap akan dikenakan azab juga nanti. Cuma bukanlah dikenakan terus. Ini kerana Allah ‎ﷻ memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat. Ini adalah salah satu sebab.

إِنَّما نُملي لَهُم لِيَزدادوا إِثمًا

tidak lain dan tidak bukan, Kami beri penangguhan itu kerana hanyalah supaya mereka bertambah dosa

Satu lagi sebab Allah ‎ﷻ menangguhkan azab kepada mereka, adalah supaya mereka membuat lebih banyak lagi dosa. Apabila Allah ‎ﷻ membiarkan mereka dengan lebih banyak dosa, maka mereka nanti akan dibalas dengan lebih banyak azab. Lagi lama mereka hidup, lagi banyak dosa yang mereka buat. Lebih banyak dosa yang mereka buat, lebih teruk azab yang mereka akan terima nanti. Allah ‎ﷻ membiarkan sahaja mereka kumpul dosa mereka dan nanti Allah ‎ﷻ akan balas dengan azab secukupnya kepada mereka.

وَلَهُم عَذابٌ مُّهينٌ

dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghinakan

Lafaz مُهينٌ adalah malu yang terjadi dalam khalayak ramai. Begitulah nanti yang mereka akan kena. Semua orang akan nampak mereka dikenakan azab dan sebab apa mereka dikenakan dengan azab itu.

Tafsir Ayat Ke-179

Orang-orang Mukmin hairan kenapa mereka diuji dengan kekalahan sebegitu rupa. Sedangkan Nabi ﷺ ada bersama mereka dan begitu ramai dalam kalangan mereka yang mukmin seperti Abu Bakr رضي الله عنه. Allah ‎ﷻ menjawab persoalan mereka dalam ayat ini.

مّا كانَ اللَّهُ لِيَذَرَ المُؤمِنينَ عَلىٰ ما أَنتُم عَلَيهِ حَتّىٰ يَميزَ الخَبيثَ مِنَ الطَّيِّبِ ۗ وَما كانَ اللَّهُ لِيُطلِعَكُم عَلَى الغَيبِ وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَجتَبي مِن رُّسُلِهِ مَن يَشاءُ ۖ فَـَٔامِنُوا۟ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ ۚ وَإِن تُؤمِنوا وَتَتَّقوا فَلَكُم أَجرٌ عَظيمٌ

Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada seorang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Dia tetap menguji kamu) sehingga Dia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman). Dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang ghaib akan tetapi Allah memilih daripada Rasul-Nya sesiapa yang dikehendaki-Nya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang Ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.

ما كانَ اللَّهُ لِيَذَرَ المُؤمِنينَ عَلىٰ ما أَنتُم عَلَيهِ

Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada sekarang

Apakah keadaan itu? Ia adalah bercampur dengan orang-orang munafik. Allah ‎ﷻ tidak akan membiarkan mereka duduk bercampur dengan orang munafik sebegitu. Ini kerana ada dalam kalangan mereka, orang yang munafik. Orang mukmin duduk dan tinggal bergaul dengan orang munafik sebab menyangka mereka pun mukmin juga.

Apabila terdapat ujian sebegini barulah orang mukmin dapat tahu siapa yang munafik dalam kalangan mereka. Ini penting kerana orang mukmin tidak boleh bersahabat rapat dengan orang munafik. Namun kalau tidak kenal, bagaimana mereka dapat mengelakkan orang munafik? Maka Allah ‎ﷻ mengadakan ujian sebegini untuk menzahirkan siapakah yang munafik itu.

حَتّىٰ يَميزَ الخَبيثَ مِنَ الطَّيِّبِ

sehingga Dia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman).

Sehinggalah Allah ‎ﷻ membezakan mana yang buruk berbanding yang baik. Dengan adanya ujian, barulah diketahui mana yang munafik dan mana yang beriman. Barulah sahabat yang mukmin tahu bahawa dalam kalangan mereka itu ada yang jenis munafik.

Begitu juga, kita pun kena menggunakan cara ini. Seorang Khalifah hendaklah bijak mengenalpasti siapakah yang munafik dalam rakyat mereka supaya Khalifah itu tahu yang mana yang tidak boleh dijadikan teman rapat, tidak boleh diajak berjihad dan tidak boleh diberikan tugas penting dalam kerajaan.

Itu pun sehinggalah mereka itu ditarbiyah terlebih dahulu. Mereka ini perlu dikenalpasti dan diberi petunjuk. Ini adalah amat penting kerana golongan munafik boleh mendatangkan bahaya kalau mereka ada dalam kalangan umat Islam. Mereka boleh merosakkan masyarakat Islam dari dalam.

وَما كانَ اللَّهُ لِيُطلِعَكُم عَلَى الغَيبِ

Dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang ghaib

Allah ‎ﷻ tidak memberitahu perkara ghaib kepada manusia. Dalam ayat ini, ia tentang orang munafik. Kemunafikan manusia adalah perkara ghaib kerana ia adalah perkara yang terjadi dalam hati dan kita tidak boleh baca hati manusia.

Paling kuat pun adalah kalau kita kata seseorang itu ada perangai munafik, itu sahaja. Jadi, kalau ada sesiapa yang tuduh orang lain sebagai munafik, itu adalah perkara yang amat teruk sekali. Ini kerana mereka seumpama mengatakan mereka ada pengetahuan ghaib pula. Sedangkan dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberitahu perkara itu tidak diberikan kepada manusia biasa.

Malangnya, tuduhan munafik kepada orang amat banyak sekarang dalam kalangan masyarakat kita. Senang sangat hendak tuduh orang lain sebagai munafik. Asal tidak kena dengan kehendak kita, dengan fahaman kita, dengan acuan agama kita, maka orang lain dimunafikkan dengan selamba sahaja.

Ini bukanlah tujuan kita belajar sifat-sifat munafik dalam Al-Qur’an. Tujuan kita belajar sifat-sifat munafik adalah untuk membandingkan dengan diri kita sendiri. Inilah yang perkara yang paling utama kita kena lakukan. Bukannya untuk kita ‘tembak’ orang lain.

وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَجتَبي مِن رُّسُلِهِ مَن يَشاءُ

akan tetapi Allah memilih dari Rasul-Nya sesiapa yang dikehendaki-Nya

Akan tetapi, Allah‎ ﷻ memilih dalam kalangan Rasul-Nya untuk disampaikan perkara ghaib. Allah ‎ﷻ beritahu perkara yang perlu sahaja. Bukanlah semua perkara ghaib itu diketahui oleh Nabi.

Ini pun ada masalah pemahaman juga dalam masyarakat kita. Mereka ada yang ‎mengatakan yang Nabi Muhammad ﷺ tahu perkara ghaib. Padahal, apa sahaja perkara ghaib yang Nabi ﷺ tahu, itu hanyalah diberitahu oleh Allah ‎ﷻ dan Allah ‎ﷻ beritahu perkara yang Nabi ﷺ perlu tahu sahaja, bukan semua pun.

Jangan katakan Nabi, malah ada manusia yang mengatakan manusia lain pun tahu perkara ghaib. Contohnya ada yang mengatakan imam-imam Syiah tahu hati manusia dan tahu perkara ghaib. Ada golongan Habib beriman yang ada guru-guru Habib mereka pun tahu juga perkara ghaib. Ada orang awam yang takut dengan para asatizah kerana takut asatizah itu boleh baca hati mereka. Ini semua adalah fahaman karut dalam masyarakat yang jahil tentang ilmu ghaib.

Maksud ayat ini, Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang tahu siapakah yang munafik dalam kalangan umat baginda. Ini adalah kerana pengetahuan itu disampaikan oleh Allah ‎ﷻ. Itu pun Allah ‎ﷻ hanya beritahu mereka yang sudah pasti akan mati dalam nifak. Kalau ada yang munafik tetapi akan bertaubat, nama-nama mereka Allah ‎ﷻ tidak beritahu pun kepada Nabi ﷺ. Ini kerana mereka ada peluang untuk masuk Islam nanti.

فَـَٔامِنُوا۟ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ

Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya;

Beriman kepada Rasul digunakan lafaz dengan lafaz رُسُلِهِ (bentuk jamak) bermakna kita disuruh beriman dengan semua Rasul, bukan hanya Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Jangan jadi seperti Yahudi yang tidak percaya kepada Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ; dan jangan jadi seperti puak Kristian yang tidak menerima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul.

Maksud ayat ini adalah, semua umat hanya dapat tahu perkara ghaib daripada Nabi mereka masing-masing. Inilah sahaja sumber pengetahuan ilmu ghaib bagi manusia. Jangan sangka ada manusia lain yang tahu ilmu ghaib. Kalau sangka ada selain Allah ‎ﷻ tahu ilmu ghaib, itu adalah fahaman syirik dan mesti dibersihkan daripada hati. Ingat, para Nabi hanya tahu ilmu ghaib setakat yang Allah ‎ﷻ beritahu sahaja.

وَإِن تُؤمِنوا وَتَتَّقوا فَلَكُم أَجرٌ عَظيمٌ

dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.

Ini adalah janji Allah ‎ﷻ kepada mereka yang beriman dan bertaqwa. Allah ‎ﷻ akan balas dengan pahala dan akan diberi syurga kepada mereka. Maka, hendaklah kita beriman bersungguh-sungguh dan bertaqwa. Bertaqwa maksudnya menjaga hukum yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita.

Tafsir Ayat Ke-180

Ayat tentang golongan munafik lagi. Ini tentang mereka yang tidak mahu menginfaq harta mereka di Jalan Allah ‎ﷻ.

وَلا يَحسَبَنَّ الَّذينَ يَبخَلونَ بِما ءَاتَىٰهُمُ اللَّهُ مِن فَضلِهِ هُوَ خَيرًا لَّهُم ۖ بَل هُوَ شَرٌّ لَّهُم ۖ سَيُطَوَّقونَ ما بَخِلوا بِهِ يَومَ ٱلْقِيَٰمَةِ ۗ وَلِلَّهِ مِيرَٰثُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالأَرضِ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.

وَلا يَحسَبَنَّ الَّذينَ يَبخَلونَ بِما ءَاتَىٰهُمُ اللَّهُ مِن فَضلِهِ هُوَ خَيرًا لَّهُم

Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka.

Ayat ini memberitahu kita, orang yang kedekut untuk infaq di Jalan Allah ‎ﷻ pun dikira munafik juga. Ia adalah salah satu daripada tanda-tanda sifat munafik. Sekarang Allah ‎ﷻ menceritakan apa yang ada dalam hati mereka supaya kita dapat tahu.

Mereka sangka dengan tidak memberi infaq itu adalah baik untuk mereka. Ini kerana mereka merasakan yang mereka sedang berjimat dengan wang mereka, dan tidak perlu dikeluarkan. Maka mereka berasa tidak bersalah apabila tidak berinfaq. Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, janganlah mereka sangka apa yang mereka simpan itu baik untuk mereka. Allah ‎ﷻ sedang memberi peringatan kepada mereka. Kalau mereka ada hati, tentu akan tersentuh dan terasa.

Lihatlah bagaimana dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengingatkan bahawa harta yang mereka ada itu adalah pemberian daripada Allah ‎ﷻ. Kalau bukan Allah ‎ﷻ yang beri, dari mana lagi mereka dapat? Mereka mungkin sangka mereka dapat daripada hasil usaha mereka sendiri, daripada kepandaian mereka mencari rezeki, akan tetapi sebenarnya Allah ‎ﷻ yang berikan kepada mereka. Maka, kalau Allah‎ ﷻ yang beri, kenapa hendak kedekut pula kalau Allah ‎ﷻ yang minta?

بَل هُوَ شَرٌّ لَّهُم

Bahkan ia adalah buruk bagi mereka.

Ia sebenarnya teruk untuk mereka. Mereka sahaja yang sangka ia adalah baik, tetapi sebenarnya teruk dan membahayakan untuk mereka. Ia akan membahayakan mereka di akhirat kelak. Sudahlah mereka ada masalah dengan hal agama yang lain, dengan infaq ini pun akan ada masalah nanti. Mereka akan ditanya di mana mereka menghabiskan harta mereka sampai mereka tidak berinfaq.

سَيُطَوَّقونَ ما بَخِلوا بِهِ يَومَ ٱلْقِيَٰمَةِ

Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak.

Apabila harta tidak diinfaqkan, harta itu akan menjadi kalung mereka di neraka kelak. Ia akan membelenggu mereka dan menjadikan mereka kesakitan kerana menanggung beban yang berat pula. Kalung itu pula dalam bentuk ular yang membelit leher mereka. Ular itu bukanlah duduk menjadi ‘pet’ pula, tetapi dalam masa yang sama, akan mematuk mereka bertalu-talu.

Aduh, tidak dapat dibayangkan bagaimana harta yang di dunia ini akan menjadi ular, namun begitulah yang akan berlaku mengikut riwayat seperti hadith di bawah ini. Betapa seksanya kalau kita membayangkannya sekarang ini (apatah lagi di akhirat nanti ia pasti lebih teruk daripada apa yang kita mampu bayangkan).

Hadith daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ آتَاهُ اللهُ مَالًا فَلَمْ يُؤَدِّ زَكَاتَهُ، مُثِّلَ لَهُ مَالُهُ شُجَاعًا أَقْرَعَ، لَهُ زَبِيبَتَانِ يُطَوَّقُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، يَأْخُذُ بِلِهْزِمَتَيْهِ يَعْنِي بِشِدْقَيْهِ يَقُولُ: أَنَا مَالُكَ أَنَا كَنْزُكَ

“Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah harta dan tidak mengeluarkan zakatnya, maka hartanya pada hari kiamat dijadikan seekor ular yang mempunyai dua taring, dan kepala yang tidak berbulu kerana terlalu banyak bisanya. Ia akan membelit dan menggigitnya dengan kedua-dua rahangnya sambil berkata: Akulah hartamu! Akulah simpananmu.”

(Riwayat al-Bukhari (1338)

وَلِلَّهِ مِيرَٰثُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالأَرضِ

Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi.

Allah ‎ﷻ menempelak mereka, kenapa kamu tidak mahu infaq sedangkan harta yang diinfaqkan itulah yang akan menjadi harta yang sebenar untuk kamu. Harta itulah yang akan menunggu kamu di akhirat kelak.

Kalau tidak infaq dan kamu mati, harta itu akan diwarisi oleh orang lain dan sudah bukan menjadi milik kamu lagi. Bukan boleh menjadi kekal jadi milik kamu pun sampai bila-bila. Akhirnya ia pulang kembali kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ memiliki segalanya.

Segala harta yang kita ada akan diwarisi semuanya oleh Allah ‎ﷻ. Harta kita akan diwarisi oleh anak cucu kita apabila kita mati, kemudian apabila mereka mati, akan diwarisi pula oleh anak cucu mereka pula dan seterusnya. Akhirnya, apabila semua sudah mati, akan diwarisi oleh Allah ‎ﷻ juga. Sedangkan, kalau kita infaq semasa kita hidup, ia akan kekal menjadi hak kita selama-lamanya.

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.

Apa yang kamu buat walau apa pun, termasuk apa yang kamu lakukan dengan harta yang kamu tidak infaq itu, Allah ﷻ tahu apa kamu buat dengannya. Katakanlah kita tidak infak, bukan kita guna untuk kebaikan pun, tetapi kita gunakan untuk buang duit sahaja, bukan?

Nanti akan ditanya di akhirat kelak ke mana harta itu digunakan (sebab tidak infaq). Jadi letih hendak menjawabnya nanti kerana tentulah ada masalah dengan cara mereka gunakan duit itu (mungkin dengan membazir, guna untuk benda yang tidak patut dan sebagainya).

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan