Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-155 hingga Ke-160

Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-155 hingga Ke-160

173
0
Iklan

Tafsir Surah Ali Imran 
Tafsir Ayat Ke-155

إِنَّ الَّذينَ تَوَلَّوا مِنكُم يَومَ التَقَى الجَمعانِ إِنَّمَا استَزَلَّهُمُ ٱلشَّيطَـٰنُ بِبَعضِ ما كَسَبوا ۖ وَلَقَد عَفَا اللَّهُ عَنهُم ۗ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ حَليمٌ

Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu, sesungguhnya mereka cuba untuk digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang lalu); dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

إِنَّ الَّذينَ تَوَلَّوا مِنكُم يَومَ التَقَى الجَمعانِ

Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera

Sebelum ini telah disebutkan tentang dua kumpulan yang hendak meninggalkan medan perang. Satu daripada puak Aus dan satu lagi daripada puak Khazraj.

Dua kumpulan bertembung yang dimaksudkan adalah tentera Islam dan Musyrikin Mekah.

إِنَّمَا استَزَلَّهُمُ ٱلشَّيطَـٰنُ بِبَعضِ ما كَسَبوا

sesungguhnya mereka cuba untuk digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian daripada perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan

Mereka ‘cuba’ digelincirkan oleh bisikan syaitan kerana itu mereka balik semasa perang masih berlangsung. Lafaz استَزَلَّهُمُ yang digunakan memberi isyarat bahawa syaitan ‘cuba’ untuk gelincirkan mereka tetapi tidak berhasil. Boleh baca serba sedikit tentang kejadian itu di sumber yang lain.

Ini disebabkan kesalahan yang mereka lakukan dahulu, iaitu akidah tidak percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Apabila ada masalah seperti itu, ia membuka jalan kepada syaitan untuk memasukkan was-was ke dalam hati kita. Begitulah yang biasa berlaku; dosa boleh menyebabkan syaitan menggelincirkan kita. Oleh itu, kalau kita hendak selamat, maka hendaklah kita kawal diri kita daripada melakukan dosa.

لَقَد عَفَا اللَّهُ عَنهُم

sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka,

Allah ‎ﷻ telah memaafkan kesalahan mereka dengan menjadikan mereka mukmin yang sebenar selepas itu. Jika Allah ‎ﷻ sudah maafkan, siapa kita hendak kritik mereka? Maka kita mesti berhati-hati dalam menceritakan kisah ini.

Jangan lupa cakap bahawa mereka itu telah dimaafkan oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ pilih mereka untuk melakukan kesilapan itu supaya kita dapat tahu apakah perkara yang kita tidak boleh buat, dan apakah kesan kalau kita buat kesilapan itu. Jika semua sahabat tidak berbuat salah, bagaimana kita hendak belajar?

إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ حَليمٌ

kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

Allah‎ ﷻ itu Maha Pengampun lagi Maha Penyabar. حَليمٌ bermaksud Dia tahu apa yang kita lalui. Oleh itu, Dia tidak terus beri azab kepada kita atas kesalahan kita. Allah‎ ﷻ beri peluang kepada kita untuk bertaubat. Maka ambil peluang tersebut selagi ada.

Tafsir Ayat Ke-156

Ini adalah satu lagi perangai orang munafik.

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَكونوا كَالَّذينَ كَفَروا وَقالوا لِإِخْوَٰنِهِمْ إِذا ضَرَبوا فِي الأَرضِ أَو كانوا غُزًّى لَّو كانوا عِندَنا ما ماتوا وَما قُتِلوا لِيَجعَلَ اللَّهُ ذٰلِكَ حَسرَةً في قُلوبِهِم ۗ وَاللَّهُ يُحيي وَيُميتُ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang telah kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi, atau keluar berperang (lalu mati atau terbunuh): “Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh”. (Apa yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan akibatnya Allah menjadikan (kesan perkataan dan kepercayaan mereka) yang demikian itu: penyesalan dalam hati mereka. Dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan.

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَكونوا كَالَّذينَ كَفَروا

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang telah kufur

Jangan jadi seperti orang munafik. Orang Kufur yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang-orang Munafik. Ya, mereka dipanggil sebagai orang kafir. Ini kerana walaupun zahir mereka nampak Muslim, tetapi batin mereka kufur.

Dalam ayat ini, Allah‎ ﷻ pesan jangan jadi seperti mereka. Oleh itu, kita kena tahu sifat-sifat mereka supaya kita boleh elak daripada melakukan sifat-sifat itu. Ini kerana sifat nifak ini amat-amat bahaya. Kita takut kita pun ada sifat-sifat mereka tanpa kita sedari.

وَقالوا لِإِخْوَٰنِهِمْ إِذا ضَرَبوا فِي الأَرضِ

dan mereka telah berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi,

Apakah sifat golongan munafik waktu itu? Mereka berkata kepada saudara seagama mereka ketika mereka keluar untuk apa-apa urusan agama. Antara terpenting yang dilakukan dalam urusan agama adalah keluar berdakwah kerana dakwah perlu dijalankan.

Memang para sahabat amat kuat melakukan dakwah ke segenap dunia. Sebab itu ada banyak kubur para sahabat yang letaknya berjauhan dari Tanah Arab, sampaikan ada yang ada di China. Ini adalah kerana mereka tahu mereka kena sampaikan agama itu dan mereka sanggup menghabiskan masa, tenaga, wang dan nyawa mereka untuk menjalankan kerja dakwah. Kita bagaimana?

Namun golongan munafik tidak suka berdakwah, sama ada dengan dakwah lisan atau dakwah jihad. Nanti kita akan lihat apa kata mereka kepada orang yang keluar dakwah.

أَو كانوا غُزًّى

atau keluar berperang

Dan mereka juga berkata sesuatu kepada para sahabat yang mukmin yang keluar berjihad di jalan Allah ‎ﷻ.

Telah banyak kita belajar tentang ayat-ayat jihad dalam surah Baqarah sebelum ini dan surah ini juga, maka kita sudah tahu kepentingan dijalankan jihad itu. Ia memerlukan banyak pengorbanan dan tentunya salah satu daripada pengorbanan itu adalah jiwa sendiri. Kalau keluar berjihad, tentunya ada yang cedera dan ada ramai yang mati.

Apa kata puak-puak Munafik itu?

لَّو كانوا عِندَنا ما ماتوا وَما قُتِلوا

Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh

Inilah kata-kata yang keluar daripada mulut mereka: “Kalaulah mereka itu (para sahabat yang keluar jihad) duduk-duduk di sisi kami sahaja”; iaitu tidak keluar berdakwah, tidak keluar berjihad, orang munafik kata tentu mereka tidak akan dibunuh.

Inilah kata-kata orang kafir sebenarnya. Bila mereka kata begitu, zahirlah sifat munafik mereka. Sifat munafik itu duduknya dalam diri manusia, kerana itu kita tidak tahu kalau lihat pada luaran sahaja tetapi kalau mereka sudah keluar daripada mulut mereka sendiri, kita sudah dapat pengenalan sifat kekufuran mereka.

Itulah cara untuk tahu siapa yang ada sifat munafik. Maka, kalau kita sudah tahu, maka kita kena berhati-hati dengan mereka kerana mereka itu tidak boleh dibuat kira untuk bersama dengan kita menjalankan kerja-kerja agama.

لِيَجعَلَ اللَّهُ ذٰلِكَ حَسرَةً في قُلوبِهِم

Allah jadikan yang demikian itu: penyesalan dalam hati mereka

Allah‎ ﷻ jadikan kata-kata mereka itu sebagai penyesalan dalam hati kepada mereka. Mereka akan menyesal kerana mereka telah berkata begitu. Penyesalan itu akan berlaku di akhirat kelak.

وَاللَّهُ يُحيي وَيُميتُ

Allah yang menghidupkan dan yang mematikan,

Hidup dan mati bukan kerana musafir atau jihad, tetapi ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Ada yang pergi berjihad tetapi tidak mati; ada yang tidak berjihad tetapi mati juga. Adakah kalau mereka duduk-duduk di rumah dengan anak bini, mereka boleh yakin dan pastikan yang mereka tidak akan mati? Tentu tidak, bukan?

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan.

Apa sahaja yang kita lakukan untuk kebaikan, Allah ‎ﷻ tahu dan Allah ‎ﷻ akan balas; begitu juga kalau kita lakukan keburukan, Allah ‎ﷻ tahu dan Allah‎ ﷻ akan balas. Termasuk juga kata-kata kita yang tidak sepatutnya, seperti kata-kata golongan munafik itu.

Tafsir Ayat Ke-157

Ini adalah jawapan kedua kenapa kadang-kadang Allah ‎ﷻberi kekalahan kepada orang Mukmin dalam peperangan dan ayat ini adalah ayat tabshir kepada mukminin.

وَلَئِن قُتِلتُم في سَبيلِ اللَّهِ أَو مُتُّم لَمَغفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرَحمَةٌ خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ

Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa – semasa mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan dari Allah dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis kesenangan hidup).

وَلَئِن قُتِلتُم في سَبيلِ اللَّهِ

Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah

Sekiranya kamu dibunuh semasa berada pada jalan Allah ‎ﷻ, iaitu semasa menjalankan kerja-kerja dakwah atau berjihad fisabilillah.

أَو مُتُّم

atau kamu mati

atau kamu mati dengan cara biasa (bukan di medan jihad) tetapi mati dalam menyempurnakan hukum Allah ‎ﷻ.

لَمَغفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ

sesungguhnya keampunan daripada Allah

Maka kamu akan mendapat pengampunan daripada Allah ‎ﷻ. Inilah yang amat-amat kita harapkan. Kita berharap sangat supaya segala dosa kita dihapuskan kerana kalau kita beriman, tetapi ada juga dosa-dosa kita, kita akan dimasukkan ke dalam neraka juga untuk membersihkan dosa kita.

Selepas dosa sudah bersih, barulah kita akan dimasukkan ke dalam syurga. Masalahnya, kita tidak tahu berapa lama kita akan berada di neraka itu. Maka, kita minta ampunlah sahaja kepada Allah‎ ﷻ supaya segala dosa kita diampunkan (sedikit, besar atau banyak mana pun).

Sekarang Allah ‎ﷻ berjanji akan memberi pengampunan kalau sedang berjihad kerana itu, hendaklah kita berjuang fisabilillah dan mati semasa menyempurnakan hukum Allah ‎ﷻ supaya kita tidaklah mati katak sahaja.

وَرَحمَةٌ

dan rahmat

Allah‎ ﷻ juga berjanji akan memberikan rahmat kalau kita melakukan jihad. Kita memang mengharapkan rahmat daripada Allah ‎ﷻ kerana dengan rahmat-Nya sahaja kita boleh masuk syurga. Ini sebagaimana dinyatakan dalam hadith berikut:

Dalam hadith Jabir bin Abdillah رضي الله عنه disebutkan sabda Nabi ﷺ,

لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ، وَلَا يُجِيرُهُ مِنَ النَّارِ، وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ

Tidak ada amalan seorangpun yang boleh memasukkannya ke dalam syurga, dan menyelamatkannya daripada neraka. Tidak juga denganku, kecuali dengan rahmat daripada Allah ‎ﷻ

(HR. Muslim No. 2817)

Nabi ﷺ telah beritahu kita bahawa tidak ada sesiapa, termasuk baginda sendiri yang masuk ke dalam syurga hasil daripada amal ibadat yang dilakukan semasa di dunia. Kita hanya dapat masuk dengan rahmat Allah ‎ﷻ sahaja. Ini kerana segala amal ibadat kita, tidak kira berapa banyak, tidak akan cukup untuk membalas segala nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita.

خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ

adalah lebih baik daripada apa yang mereka itu himpunkan

Pengampunan daripada Allah ‎ﷻ dan rahmat-Nya itu lebih baik daripada apa yang dikumpulkan oleh orang-orang munafik itu. Mereka tidak mahu berjuang di jalan Allah ‎ﷻ, dan tentunya tidak mahu infaq atau berkorban apa-apa sahaja. Ini kerana mereka hendak mengumpul kekayaan dunia.

Namun apa yang mereka kumpulkan itu, tidak langsung dapat dibandingkan dengan apa yang akan diberikan oleh Allah ‎ﷻ kepada orang mukmin yang mati di jalan-Nya. Maka dari sini kita kena pandai nilai apa yang lebih menguntungkan diri kita.

Tafsir Ayat Ke-158

Dalam ayat sebelum ini, disebut bahawa kalau sesiapa yang mati semasa berjihad di jalan Allah ‎ﷻ, atau mati biasa semasa mengerjakan suruhan Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan membalas dengan keampunan dan rahmat daripada-Nya.

وَلَئِن مُّتُّم أَو قُتِلتُم لَإِلَى اللَّهِ تُحشَرونَ

Demi sesungguhnya! Jika kamu mati atau terbunuh, sudah tentu kepada Allah jualah kamu akan dihimpunkan (untuk menerima balasan).

وَلَئِن مُّتُّم أَو قُتِلتُم

Demi sesungguhnya! jika kamu mati atau terbunuh,

Sama ada mati cara biasa atau mati berjihad.

لَإِلَى اللَّهِ تُحشَرونَ

sudah tentu kepada Allah jualah kamu akan dihimpunkan

Kepada Allah ‎ﷻ akan dikumpulkan semua sekali. Tidak pergi ke tempat lain lagi. Maka, apakah yang kita akan persembahkan kepada Allah ‎ﷻ? Apakah dengan dosa atau dengan pahala? Adakah kita beritahu kita sudah jalankan tanggungjawab yang Dia berikan, atau sebaliknya? Jika sebaliknya, apakah hendak dijawab nanti?

Tafsir Ayat Ke-159

Walaupun para sahabat ada yang melakukan kesalahan, tetapi Nabi ﷺ tidak menghukum mereka. Mereka masih boleh duduk-duduk bersama majlis Nabi ﷺ. Nabi ﷺ kata semua yang terjadi itu adalah takdir Allah ‎ﷻ. Cuma Nabi ﷺ berilah nasihat supaya perkara itu jangan bagi terjadi lagi.

Nabi ﷺ boleh bersabar dengan mereka kerana Nabi ﷺ telah diberikan dengan sifat tabah dan sabar. Itu menunjukkan betapa untungnya sahabat Nabi ﷺ, kerana mendapat seorang pemimpin seperti Nabi Muhammad ﷺ. Jadi ayat ini adalah tasliah kepada sahabat Nabi ﷺ.

فَبِما رَحمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم ۖ وَلَو كُنتَ فَظًّا غَليظَ القَلبِ لَانفَضّوا مِن حَولِكَ ۖ فَاعفُ عَنهُم وَاستَغفِر لَهُم وَشاوِرهُم فِي الأَمرِ ۖ فَإِذا عَزَمتَ فَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَوَكِّلينَ

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

فَبِما رَحمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka

Dengan sebab rahmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada Nabi ﷺ, maka Nabi ﷺ masih dapat berlembut dengan mereka walaupun kesalahan besar yang mereka telah lakukan di Uhud. Allah ‎ﷻ mengingatkan bahawasanya sifat berlembut itu datangnya daripada Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ mahu supaya Nabi ﷺ berlembut kepada umatnya kerana baginda mewakili rahmat Allah ‎ﷻ. Walaupun kesalahan mereka berat, sampai ramai yang mati, mereka masih boleh duduk-duduk dengan Nabi ﷺ kerana Nabi ﷺ tidak marah mereka.

Ini adalah sifat pemimpin yang baik dan Nabi ﷺ ada sifat ini. Kita juga kena ambil pengajaran daripada sifat ini. Jangan garang sahaja sepanjang masa. Jangan tunjuk sifat marah-marah tidak tentu hala.

وَلَو كُنتَ فَظًّا غَليظَ القَلبِ لَانفَضّوا مِن حَولِكَ

dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.

Allah ‎ﷻ beritahu yang kalau Nabi ﷺ berlidah tajam فَظًّا (cakap yang menikam hati), atau غَليظَ القَلبِ – hati keras tidak mudah memaafkan orang, nescaya para sahabat yang berjuang bersama baginda itu akan lari daripada baginda. Namun oleh kerana sifat baginda yang lembut terhadap mereka, mereka tidak lari. Mereka tahu mereka salah tetapi mereka masih boleh duduk dengan baginda, kerana Nabi ﷺ masih melayan mereka dengan baik. Ini mengajar kita tentang kepemimpinan.

Kita kena berlembut dengan orang bawahan kita kerana kena jaga emosi mereka. Bayangkanlah para sahabat itu bukan calang-calang manusia. Mereka sanggup bermatian kerana Islam dan kerana Nabi Muhammad ﷺ itu Rasul utusan Allah ‎ﷻ.

Namun kalau mereka pun kena maki dengan Nabi ﷺ, mereka pun akan lari juga dari sisi baginda kerana tidak tahan telinga dan pecah jiwa mereka. Jadi kalau kita berada dalam kedudukan tinggi dalam keluarga, dalam kelas pengajian, dalam persatuan, dalam halaqah dan sebagainya, kena ambil tahu perkara ini. Walaupun sama-sama belajar, tetapi kalau pemimpin atau ustaz itu jenis kaki maki, tuduh anak murid tanpa usul periksa, anak murid pun boleh lari.

Bukannya anak murid itu tidak mahu belajar, tolak Islam atau munafik, tetapi perangai ustaz itu yang menjauhkan anak murid. Janganlah bila anak murid sudah tidak datang kelas pengajian, tuduh anak murid ‘sudah rasa pandai’… atau pelbagai tuduhan lagi dilemparkan pula. Kena tengok kepada diri sendiri dahulu, apa kesalahan yang diri sendiri sudah buat.

Sama jugalah dengan pemimpin dalam persatuan dan apa-apa perkumpulan pun. Walaupun perkumpulan itu menyokong kuat untuk menegakkan agama Islam. Bukannya mereka sudah tidak mahu tolong agama Islam, tetapi mereka sudah tidak sesuai dengan pemimpin yang memimpin persatuan itu.

Kita jangan pula kata: Nabi ﷺ bolehlah memaafkan mereka sebab baginda itu Nabi. Kita kena ingat yang akhlak Nabi itu adalah contoh ikutan kita kerana Nabi ﷺ bukan memainkan peranan sebagai Rasul sahaja, tetapi juga sebagai ayah, sebagai ketua, sebagai sahabat, dan pelbagai tugas lagi. Ini kerana Nabi ﷺ memakai banyak ‘topi’ dan kita kena peka kepada perlakuan Nabi ﷺ (supaya kita boleh belajar daripada baginda). Kalau bukan akhlak dan contoh Nabi ﷺ yang kita ikuti, contoh siapa lagi?

فَاعفُ عَنهُم

Oleh itu maafkanlah mereka

Maaf sahajalah kesilapan mereka. Semua manusia akan melakukan kesilapan. Para sahabat pun telah belajar daripada kesilapan mereka. Ada ayat-ayat Al-Qur’an yang sudah tegur mereka yang akan kekal sampai ke hari Kiamat dan Allah ‎ﷻ pun sudah maafkan mereka.

وَاستَغفِر لَهُم

dan pohonkanlah ampun bagi mereka,

Nabi ﷺ disuruh minta ampun kepada Allah ‎ﷻ bagi pihak mereka. Mereka pun tentunya sudah berkali-kali meminta pengampunan dan Nabi ﷺ pun disuruh untuk ampunkan mereka.

وَشاوِرهُم فِي الأَمرِ

dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan

Dan sentiasa meminta cadangan mereka dalam urusan-urusan khas. Masih boleh lagi bermesyuarat dengan mereka. Tunjukkan yang pemdapat mereka diambilkira. Tentu perasaan mereka akan lebih lega kalau dilakukan sebegitu.

Maknanya, jangan sisihkan mereka. Kalau kita tidak marah kepada mereka, tetapi pendapat mereka tidak didengari lagi, tidak diajak mesyuarat lagi, tentulah mereka akan terasa juga, bukan?

Ayat ini juga mengajar pemimpin untuk mendengar pendapat orang bawahan. Betul-betul dengar. Bukan menunjuk macam dengar sahaja, tetapi kemudian idea mereka dimasukkan ke dalam tong sampah. Lagi teruk, semasa mereka beri cadangan pun tunjuk muka tidak percaya.

فَإِذا عَزَمتَ فَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ

Kemudian apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah,

Cuma dalam mesyuarat, kita tidak boleh tengok kepada kehendak majoriti atau minoriti. Kena tengok dan nilai segala keputusan dan pemimpin kena pilih mana yang terbaik dalam semua pendapat itu. Bukannya buat undian pula kerana bukan semua pendapat yang ramai itu yang terbaik.

Memang minta pendapat ahli bawahan, tetapi akhirnya keputusan di tangan ketua. Ketua kena tanya pendapat yang lain supaya dapat idea-idea lain yang dia mungkin tidak terfikir (kerana bukanlah semua ketua itu pandai-pandai belaka).

Dan kemudian kena ingat, kalau sudah nekad kepada satu keputusan, maka peganglah keputusan itu. Selepas itu, apa sahaja yang berlaku, bukanlah disebabkan oleh keputusan mesyuarat yang salah. Hendaklah serah kepada Allah ‎ﷻ dan bertawakal. Jangan salahkan pilihan semasa mesyuarat dulu.

Apa yang berlaku adalah keputusan Allah ‎ﷻ. Bermesyuarat adalah dasar ikhtiar. Kemudian kena serahkan kepada Allah ‎ﷻ. Kejayaan atau kegagalan di tangan Allah ‎ﷻ. Jangan selepas itu hendak kena hantuk kepala ke dinding dan cakap: “Ish, kalaulah aku pakai keputusan yang lain….!”. Itu buang masa kerana ia telah berlalu dan tidak dapat diulang kembali.

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَوَكِّلينَ

sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.

Allah ‎ﷻ mahu kita bertawakal dan menyerah kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Tawakal itu kena ada dengan redha dengan segala keputusan Allah ‎ﷻ. Dimulakan dengan sedar yang Allah‎ ﷻ itu Tuhan dan kita ini hamba sahaja. Sebagai hamba, kena redha dengan apa yang ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Kena sedar yang usaha kita sebagai manusia adalah terbatas. Kita memang kena usaha, tetapi selepas usaha, kena serah keputusan kepada Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-160

إِن يَنصُركُمُ اللَّهُ فَلا غالِبَ لَكُم ۖ وَإِن يَخذُلكُم فَمَن ذَا الَّذي يَنصُرُكُم مِّن بَعدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Dia meninggalkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.

إِن يَنصُركُمُ اللَّهُ فَلا غالِبَ لَكُم

Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu;

Orang mukmin sedar yang pertolongan Allah ‎ﷻ akan diberi kepada mukminin yang menjaga syarat (antaranya kena bertaqwa dan taat kepada pemimpin perang).

Dan kita kena sedar yang kita amat memerlukan pertolongan Allah ‎ﷻ. Kalau Allah‎ ﷻ tolong, tidak akan ada kuasa lain yang dapat mengalahkan kita. Kalimah غالِبَ adalah apabila ada kuasa yang lebih kuat daripada kita yang paksa kita melakukan sesuatu. Tidak kira apa yang mereka ada. Bukankah sudah banyak contoh peperangan yang tentera Islam bilangannya sedikit, tetapi mereka tetap menang? Ini kerana Allah ‎ﷻ yang beri kemenangan itu.

وَإِن يَخذُلكُم فَمَن ذَا الَّذي يَنصُرُكُم مِّن بَعدِهِ

dan jika Dia meninggalkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah?

Kalau Allah ‎ﷻ sudah tinggalkan kita, tidak ada sesiapa yang dapat menolong kita langsung, walaupun satu dunia hendak menolong kita.

Perkataan يَخذُلكُم berasal daripada خدل yang bermaksud kawan yang meninggalkan kawannya semasa kawannya itu amat memerlukan pertolongan. Kita memang amat memerlukan pertolongan Allah ‎ﷻ, bukan? Namun bagaimana kalau Allah ‎ﷻ tinggalkan kita? Tentulah amat malang sekali. Maka, hendaklah kita jaga syari’at supaya mendapat pertolongan Allah ‎ﷻ.

Jadi lafaz خدل bermaksud meninggalkan kawan semasa kawan itu memerlukan pertolongan. Inilah yang telah dilakukan oleh puak munafik apabila 300 daripada mereka meninggalkan Nabi ﷺ dan para sahabat di medan Uhud. Sekarang Allah ‎ﷻ kata, kalau Dia tinggalkan kita sewaktu kita memerlukan-Nya, bagaimana? Jika Allah ‎ﷻ biarkan kita kerana akidah kita salah atau kita tidak jaga hukum, tidak ada sesiapa yang akan dapat bantu kita.

وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.

Maka orang yang beriman, kena tawakal kepada Allah ‎ﷻ. Kena jaga hukum Tuhan. Maka itulah sifat orang Mukmin. Maka kita kena sematkan perasaan ini dalam diri kita. Kena usaha untuk dapat tawakal, kena pujuk dan pupuk hati kita. Ia tidak senang kerana sebagai manusia, kita ada sedikit sebanyak rasa kita ada kuasa tetapi kita kena serahkan semua itu kepada Allah ‎ﷻ.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan