Utama Ahli Berdaftar Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-152 hingga Ke-154

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-152 hingga Ke-154

724
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran

Tafsir Ayat Ke-152

Allah‎ ﷻ telah beritahu yang Dia akan bantu orang Islam dengan berikan perasaan takut orang kafir kepada tentera Islam. Allah‎ ﷻ telah berjanji akan membantu orang Islam dalam peperangan tetapi Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa kekalahan orang Islam adalah kerana mereka sendiri yang tidak menjaga syari’at.

وَلَقَد صَدَقَكُمُ اللَّهُ وَعدَهُ إِذ تَحُسّونَهُم بِإِذنِهِ ۖ حَتّىٰ إِذا فَشِلتُم وَتَنَـٰزَعتُم فِي الأَمرِ وَعَصَيتُم مِّن بَعدِ ما أَرَٮٰكُم مّا تُحِبّونَ ۚ مِنكُم مَّن يُريدُ الدُّنيا وَمِنكُم مَّن يُريدُ الآخِرَةَ ۚ ثُمَّ صَرَفَكُم عَنهُم لِيَبتَلِيَكُم ۖ وَلَقَد عَفا عَنكُم ۗ وَاللَّهُ ذو فَضلٍ عَلَى المُؤمِنينَ

Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman.

وَلَقَد صَدَقَكُمُ اللَّهُ وَعدَهُ إِذ تَحُسّونَهُم بِإِذنِهِ

Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janji-Nya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izin-Nya,

Allah ‎ﷻ sekarang menceritakan keadaan semasa permulaan Perang Uhud. Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia telah menunaikan janji yang umat Islam akan mengalahkan orang kafir. Pada peringkat awal, memang tentera Islam telah dapat membunuh tentera Musyrikin Mekah satu persatu. Umat Islam waktu itu sedang berada di atas. Mudah sahaja untuk mereka membunuh orang-orang kafir itu.

حَتّىٰ إِذا فَشِلتُم

sehingga ke masa kamu lemah

Allah ‎ﷻ telah membantu mereka sehingga ada antara orang Islam itu yang lemah dalam semangat untuk taat kepada Rasulullah ﷺ dan ketua mereka waktu itu, iaitu Abdullah bin Jabir رضي الله عنه. Abdullah رضي الله عنه adalah ketua yang ditugaskan untuk mengetuai pasukan pemanah yang sedang berjaga di atas sebuah bukit yang mengawal tempat strategik dalam peperangan itu.

Abdullah bin Jabir رضي الله عنه sudah pun melarang mereka daripada turun dari tempat memanah itu (seperti yang telah diarahkan oleh Rasulullah ﷺ sendiri). Namun mereka berdegil dan hendak turun juga. Nabi Muhammad ﷺ telah menyusun strategi dengan membahagikan tentera kepada tiga pasukan iaitu pasukan kanan dan kiri berhadapan melawan musuh. Manakala pasukan pemanah seramai 50 orang telah ditempatkan di atas bukit Uhud. Semua tentera pemanah tidak dibenarkan meninggalkan tempat masing-masing kecuali dengan arahan baginda sama ada kalah atau menang.

وَتَنَـٰزَعتُم فِي الأَمرِ

dan kamu berbalah dalam urusan

Dan kerana hendak turun juga dari tempat pemanah, mereka telah berselisih pendapat tentang arahan Rasulullah ﷺ. Ini terjadi antara Abdullah رضي الله عنه dan orang bawahan. Ada yang kata kena duduk tunggu di tempat memanah dan ada yang hendak turun.

Mereka yang hendak turun itu kata, kalau kalah sahaja Rasulullah ﷺ larang tinggalkan tempat itu, tetapi sekarang mereka sudah menang, maka bolehlah mereka turun. Ada yang kata, kalah atau menang, selagi Nabi ﷺ tidak benarkan dan beri arahan untuk turun, jangan turun.

وَعَصَيتُم

serta kamu telah menderhaka

Para sahabat ada yang telah menderhakai arahan. Begitulah mereka yang turun dari tempat memanah itu telah derhaka. Mereka melawan ketua yang dilantik oleh Nabi ﷺ. Mereka dikira telah menderhaka kerana sepatutnya kena taat kepada pemimpin yang dipilih oleh khalifah.

Maka kita kena ingat yang ini adalah ajaran penting dalam agama. Kena ikut arahan kepada pemimpin (selagi dalam perkara yang tidak melanggar syari’at). Ini kita telah diajar dan dilatih dalam ibadah seperti dalam salat, kena ikut imam. Kita telah dilatih dalam salat pun untuk taat kepada pemimpin (dan kalau hendak tegur pun, ada cara untuk tegur dan jangan keluar begitu sahaja). Jadi ini adalah salah satu daripada falsafah salat.

مِن بَعدِ ما أَرَٮٰكُم مّا تُحِبّونَ

sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai

Mereka jadi goyang daripada taat kerana Allah‎ ﷻ telah menunjukkan kemenangan yang mereka suka. Mereka sangka mereka sudah menang, musuh sudah lari dan harta rampasan perang sudah ada di depan mata.

Apabila tentera musuh telah nampak mereka akan kalah, maka mereka telah bertempeliaran lari meninggalkan medan pertempuran (dan ditinggalkan barang-barang mereka kerana itu akan melambatkan pergerakan mereka). Pasukan pemanah itu pun telah nampak barang-barang yang telah ditinggalkan oleh tentera musuh itu.

Mereka turun itu pun sebab hendak menolong kumpul harta sahaja. Ini kerana bukan boleh ambil lagi pun, tetapi mereka hendak beri khidmat kepada sahabat yang lain. Harta rampasan perang (ghanimah) mesti dikumpulkan dan selepas itu baharu dibahagikan, tidak boleh terus diambil. Jadi kita kena bersangka baik yang mereka sebenarnya hendak tolong berkhidmat kepada orang lain.

Jadi ini bermaksud, mereka hendakkan dunia tetapi untuk tujuan akhirat. Mereka bukanlah berebut-rebut hendakkan harta rampasan itu untuk diri mereka (jangan fikir begitu). Mereka pun nampak tentera Islam tengah menang, musuh pun sedang lari, jadi apa salahnya, (mereka fikir).

Maka, minda dan emosi mereka sedang berlawanan antara suasana dan arahan. Suasana waktu itu mereka sangka membolehkan mereka meninggalkan tempat mereka. Namun arahan daripada Nabi ﷺ sebelum itu, jangan turun. Malangnya, mereka telah kalah dengan suasana. Begitu jugalah kita yang tahu ada arahan dan larangan daripada Allah ‎ﷻ, tetapi kadangkala kalah dengan suasana.

مِنكُم مَّن يُريدُ الدُّنيا وَمِنكُم مَّن يُريدُ الآخِرَةَ

Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat,

Ada daripada para sahabat yang mahukan dunia dan ada yang mahukan akhirat bersungguh-sungguh. Oleh itu ada yang tetap tunggu di atas bukit walaupun nampak musuh sudah kalah. Mereka taat kepada arahan Nabi ﷺ yang sudah pesan jangan turun. Akan tetapi kerana mereka sudah sedikit, mereka tidak dapat mempertahankan serangan kedua daripada tentera musuh.

ثُمَّ صَرَفَكُم عَنهُم لِيَبتَلِيَكُم

kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji kamu;

Asalnya memang Allah ‎ﷻ telah beri kemenangan kepada Muslim tetapi kemudian Allah ‎ﷻ telah mengalihkan kemenangan yang sedang berada pada pihak Muslimin kepada pihak musuh pula. Tujuannya adalah untuk menguji mereka dan juga ini memberi pengajaran kepada orang Islam supaya lain kali jangan buat begini lagi.

Kesilapan mereka itu memang kesilapan yang besar kerana apabila Khalid al Walid nampak ada pasukan pemanah atas bukit meninggalkan tempat mereka, itu adalah peluang untuk mengambil tempat itu. Ini kerana dia tahu yang tempat itu adalah tempat yang strategik. Dia dan pasukannya telah membunuh sahabat yang masih ada di atas bukit dan mereka pula menyerang tentera Islam dari atas bukit itu.

Sampaikan tentera Islam yang lain pula (yang berada di medan pertempuran) yang kena lari naik ke atas bukit lain untuk menyelamatkan diri. Ini adalah pengajaran yang amat besar. Kekalahan mereka waktu itu adalah kerana tidak taat kepada arahan pemimpin.

وَلَقَد عَفا عَنكُم

dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu,

Dan Allah ‎ﷻ telah memaafkan kesalahan sahabat yang meninggalkan bukit itu. Ini adalah kelebihan sahabat di mana Allah ‎ﷻ telah memaafkan mereka. Dan mereka telah menanggung kesedihan yang amat sangat kerana kesilapan mereka itu. Ini kita kena ingat, yang Allah ‎ﷻ telah maafkan mereka.

Jangan kita kutuk mereka pula. Kesilapan mereka itu menjadi pengajaran bagi kita dan sedikit sebanyak, mereka telah berjasa. Jika kita dalam kedudukan mereka pun entah apa yang kita buat. Jadi kita boleh sahaja belajar daripada ayat ini tanpa mengutuk para sahabat itu.

وَاللَّهُ ذو فَضلٍ عَلَى المُؤمِنينَ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada orang-orang yang beriman.

Allah ‎ﷻ memberi kelebihan khusus kepada mukminin kerana mereka masih tetap dalam akidah mereka. Selagi kita menjaga syari’at dan menjaga apa yang perlu dijaga, maka Allah ‎ﷻ akan beri bantuan kepada kita. Maka kita tidak akan takut kalau kita serahkan diri kita kepada Allah ‎ﷻ. Namun janganlah serahkan kosong sahaja, kenalah ikut tatacara dan syari’at. Oleh itu kena belajar sebanyak mungkin.

Tafsir Ayat Ke-153

Kesan apabila meninggalkan tanggungjawab ikut arahan ketua.

۞ إِذ تُصعِدونَ وَلا تَلوونَ عَلىٰ أَحَدٍ وَالرَّسولُ يَدعوكُم في أُخرَٮٰكُم فَأَثَـٰبَڪُم غَمًّا بِغَمٍّ لِّكَيلا تَحزَنوا عَلىٰ ما فاتَكُم وَلا ما أَصَـٰبَڪُم ۗ وَاللَّهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

(Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya). Oleh sebab itu Allah membalas kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan (kekalahan), dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan (Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.

إِذ تُصعِدونَ وَلا تَلوونَ عَلىٰ أَحَدٍ

(Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun,

Ayat ini merujuk ketika tentera Muslim pula diserang dengan ganas, keadaan telah menjadi kacau bilau sehinggakan tentera Muslim pula yang terpaksa lari ke atas bukit lain untuk menyelamatkan diri (Bukit Uhud telah ditawan).

Mereka tidak berpaling memandang ke arah lain pun kerana takut sangat. Seperti kita kalau takut sangat, sudah tidak nampak orang lain lagi, tahu hendak lari sahaja. Sampaikan Nabi ﷺ panggil mereka pun mereka tidak pandang. Sepatutnya ketakutan itu pada orang kafir, tetapi mereka pula yang menjadi takut.

وَالرَّسولُ يَدعوكُم في أُخرَٮٰكُم

sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu

Sedangkan Nabi ﷺ memanggil mereka untuk kembali meneruskan perjuangan. Rasulullah ﷺ waktu itu masih lagi di medan pertempuran dan tidak melarikan diri tetapi mereka sudah tidak mendengar lagi kerana takut sangat. Jangan kata orang lain panggil, Nabi ﷺ sendiri panggil pun mereka sudah tidak dengar. Walaupun pada waktu itu Nabi ﷺ sedang dikepung oleh musuh. Namun mereka ketika itu hanya teringat untuk selamatkan diri mereka sahaja.

فَأَثَـٰبَڪُم غَمًّا بِغَمٍّ

Oleh sebab itu Allah membalas kamu kesedihan di atas kesedihan

Allah ‎ﷻ telah menimpakan ke atas mereka, kesedihan penyesalan yang bertimpa-timpa. Kesedihan dan penyesalan pertama adalah kerana tidak taat kepada Rasulullah ﷺ dan yang kedua kerana kalah dalam peperangan.

لِّكَيلا تَحزَنوا عَلىٰ ما فاتَكُم وَلا ما أَصَـٰبَڪُم

supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu.

Ada jumlah muqaddar (tidak ditulis dalam teks) di sini; iaitu ia tidak tertera dalam ayat, jadi perlu diberitahu dalam tafsir supaya jelas. Perkara sebegini perlu dijelaskan dengan tafsir. Itulah sebabnya penting belajar tafsir, kerana kalau baca daripada terjemahan sahaja, tidak akan jelas.

Maksud potongan ayat ini, Allah ‎ﷻ telah menceritakan kisah tentang kesalahan mereka dan kemudian memberitahu bahawa Dia telah memaafkan mereka supaya mereka tidak berterusan dalam kesedihan atas kekalahan perang itu dan musibah yang menimpa mereka. Kalaulah tidak ada ayat tentang Allah ‎ﷻ memaafkan mereka, tentulah kesedihan akan terus berpanjangan dan mereka menjadi murung pula sampai tidak boleh buat kerja lain.

Tafsir Ayat Ke-154

ثُمَّ أَنزَلَ عَلَيكُم مِّن بَعدِ الغَمِّ أَمَنَةً نُّعاسًا يَغشىٰ طائِفَةً مِّنكُم ۖ وَطائِفَةٌ قَد أَهَمَّتهُم أَنفُسُهُم يَظُنّونَ بِاللَّهِ غَيرَ الحَقِّ ظَنَّ ٱلجَـٰهِلِيَّةِ‌ ۖ يَقولونَ هَل لَّنا مِنَ الأَمرِ مِن شَيءٍ ۗ قُل إِنَّ الأَمرَ كُلَّهُ لِلَّهِ ۗ يُخفونَ في أَنفُسِهِم مّا لا يُبدونَ لَكَ ۖ يَقولونَ لَو كانَ لَنا مِنَ الأَمرِ شَيءٌ مّا قُتِلنا هَـٰهُنَا‌ ۗ قُل لَّو كُنتُم في بُيوتِكُم لَبَرَزَ الَّذينَ كُتِبَ عَلَيهِمُ القَتلُ إِلىٰ مَضاجِعِهِم ۖ وَلِيَبتَلِيَ اللَّهُ ما في صُدورِكُم وَلِيُمَحِّصَ ما في قُلوبِكُم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan daripada kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka berkata: “Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan yang ditetapkan-Nya)”. Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri): “Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini” katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing”. Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

ثُمَّ أَنزَلَ عَلَيكُم مِّن بَعدِ الغَمِّ أَمَنَةً نُّعاسًا يَغشىٰ طائِفَةً مِّنكُم

Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Dia menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan daripada kamu

Selepas kesedihan dan penyesalan mereka itu, Allah‎ ﷻ tukar perasaan mereka dengan أَمَنَةً – ketenangan. Ini adalah pemberian Allah ‎ﷻ kepada tentera mukmin dalam peperangan.

Perasaan ketenangan itu berbentuk نُعاسًا – rasa mengantuk. نُعاسًا adalah peringkat awal untuk tidur. Waktu itu mata mula hendak terkatup dan badan pun sudah mula lemah. Ini agak pelik kerana waktu itu sedang menghadapi peperangan. Namun dengan cara itu, Allah ‎ﷻ menghilangkan perasaan sedih, perasaan takut daripada hati mereka yang dalam peperangan itu.

Bayangkan, dalam suasana perang yang selalunya kacau bilau, selepas diserang balas dengan teruk oleh tentera musuh, Allah ‎ﷻ bagi rasa tenang seketika, dalam bentuk mengantuk. Kesannya selepas itu, mereka akan rasa segar dan boleh berfikir dengan tajam. Ia boleh dikatakan sebagai “Power Nap”.

Bukan semua orang dapat. طائِفَةً مِنكُم – segolongan daripada kamu sahaja. Hanya orang mukmin sahaja yang dapat perasaan itu.

وَطائِفَةٌ قَد أَهَمَّتهُم أَنفُسُهُم يَظُنّونَ بِاللَّهِ غَيرَ الحَقِّ

sedang segolongan yang lain yang rasa cemas pada diri mereka, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar,

Orang-orang munafik tidak mendapat ketenangan itu. Memang sudah ada golongan munafik yang sudah awal-awal lagi meninggalkan medan perang. Namun masih ada lagi dalam kalangan tentera Islam yang munafik. Mereka tidak pergi balik di awal-awal peperangan itu dan mereka seumpama terperangkap dalam kalangan tentera Mukminin itu.

Oleh kerana mereka ada sifat munafik, mereka tidak mendapat ketenangan yang disebut itu. Mereka sebaliknya dicemaskan dengan perasaan bimbang dan keluh kesah kerana mereka telah membuat kesilapan (dan mereka sedar tentang kesilapan mereka itu). Mereka masih dalam ketakutan kerana takut diserang musuh bertubi-tubi.

ظَنَّ ٱلجَـٰهِلِيَّةِ‌ۖ

seperti sangkaan orang-orang jahiliyah.

Mereka ada sangkaan buruk yang tidak benar kepada Allah ‎ﷻ sebagaimana sangkaan orang jahiliyah. Padahal mereka sepatutnya sudah meninggalkan fahaman jahiliyah mereka kerana mereka sepatutnya sudah kenal Allah ‎ﷻ, ayat-ayat Al-Qur’an pun telah banyak dibacakan kepada mereka.

Hanya mereka yang tidak kenal Allah ‎ﷻ sepertimana yang diajar dari dalam Al-Qur’an sahaja yang akan berkata begitu. Apakah sangkaan jahiliyah mereka itu? Mereka sangka Allah ‎ﷻ tidak bantu orang Islam. Mereka tidak ada pengharapan kepada Allah ‎ﷻ. Ini adalah pemahaman yang amat salah. Kita kena letak pengharapan yang tinggi dengan Allah ‎ﷻ, yakin dengan Allah ‎ﷻ. Inilah yang ada pada golongan mukmin sejati. Yang sangsi dengan Allah ‎ﷻ adalah sifat munafik.

يَقولونَ هَل لَّنا مِنَ الأَمرِ مِن شَيءٍ

Mereka berkata: “Adakah bagi kita sesuatu bahagian daripada perkara ini?

Ini adalah kata-kata golongan munafik itu. Mereka bertanya: adakah hak bagi mereka untuk campur tangan dalam urusan peperangan itu sedikit sebanyak?

Ini merujuk kepada kejadian awal ketika proses cadangan untuk berperang dibentangkan kepada para sahabat. Puak munafik telah memberi cadangan untuk bertahan di Kota Madinah sahaja. Namun ada dalam kalangan golongan muda seperti mendesak Nabi ﷺ untuk berperang di luar. Mereka rasa bersemangat kerana mengenangkan kemenangan tentera Islam di Badr di mana mereka tidak berpeluang menyertainya. Mereka berhujah, jika mereka telah bertahan di kota, kalaulah mereka kalah, nanti akan membahayakan wanita dan kanak-kanak pula.

Sedangkan golongan yang tua seperti Saidina Abu Bakr رضي الله عنه termasuk juga puak munafik berpendapat supaya mereka bertahan di Kota Madinah sahaja (bukanlah bermakna Abu Bakr رضي الله عنه dalam kalangan munafik pula). Cara perang begitu pun tidak salah kerana akan senang untuk mempertahankan tempat kalau dekat dengan kubu sendiri.

Cuma orang munafik mahu mereka bertahan di kota sahaja sebab senanglah mereka hendak curi tulang tidak ikut berperang. Mereka boleh menyorok di rumah, dan kalau ditanya mereka berada di mana semasa peperangan, mereka boleh kata masa tu mereka sedang pertahan dekat tempat sana, tempat sini… Walaupun cadangan mereka dan golongan seperti Abu Bakr رضي الله عنه sama, tetapi niat mereka tidak sama.

Jadi, potongan ayat ini adalah tentang persoalan mereka kepada Nabi ﷺ kerana mereka rasa pendapat mereka tidak didengari. Mereka suarakan balik kepada Nabi ﷺ. Mereka hendak ungkit: “Kalaulah ikut pendapat mereka hari itu……”

قُل إِنَّ الأَمرَ كُلَّهُ لِلَّهِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya perkara itu semuanya ditentukan oleh Allah,

Allah ‎ﷻ jawab bahawa segala urusan peperangan itu ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Semuanya dalam qada’ dan qadar Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang memberi penentuan dan penetapan tentang apa yang akan berlaku. Semua dalam perancangan Allah ‎ﷻ, jadi jangan rasa kalau ikut itu dan ini, akan selamat.

يُخفونَ في أَنفُسِهِم مّا لا يُبدونَ لَكَ

Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu.

Mereka menyembunyikan apa yang dalam hati mereka, iaitu mereka sebenarnya menentang Islam. Mereka bukannya hendak mempertahankan Islam pun. Yang mereka zahirkan, kononnya hendak beri cadangan.

يَقولونَ لَو كانَ لَنا مِنَ الأَمرِ شَيءٌ مّا قُتِلنا هَـٰهُنَا‌ۗ

Mereka berkata: “Kalaulah ada sedikit bahagian kita daripada perkara itu, tentulah kita tidak terbunuh di tempat ini”
Golongan munafik kata, kalaulah cadangan mereka diambil kira dahulu, nescaya mereka tidak akan kalah di medan Uhud kerana mereka kata jika pertahan di Kota Madinah, mereka lebih tahu selok belok kawasan itu. Jadi mereka akan ada kelebihan ke atas pihak musuh.

Ini mengajar kita, kalau keputusan mesyuarat telah dijalankan, dan mesyuarat itu telah dijalankan dengan cara yang sepatutnya, hasil daripada mesyuarat itu tidak boleh diungkit. Selepas keputusan dibuat dan usaha telah dijalankan, yang perlu dilakukan ada tawakal kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau ungkit, itu adalah tanda munafik.

قُل لَّو كُنتُم في بُيوتِكُم لَبَرَزَ الَّذينَ كُتِبَ عَلَيهِمُ القَتلُ إِلىٰ مَضاجِعِهِم

katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun, nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing

Allah ‎ﷻ kata kalau mereka duduk di rumah mereka pun, mereka akan keluar ke tempat mati mereka juga. Maknanya, kalau mereka bertahan di Madinah pun, tentu mereka akan bertemu dengan orang yang telah ditakdirkan untuk membunuh mereka.

Sama ada orang yang ditakdirkan akan bunuh mereka itu datang kepada mereka, atau mereka sendiri akan keluar bertemu dengan orang yang ditakdirkan akan membunuh mereka. Mati akan tetap mati juga mengikut ketetapan Allah ‎ﷻ. Jangan sangka kamu dapat elak kematian dengan usaha kamu sahaja.

وَلِيَبتَلِيَ اللَّهُ ما في صُدورِكُم

untuk Allah menguji apa yang ada dalam dada kamu,

Ada jumlah muqaddar di sini: Allah ‎ﷻ jadikan kejadian yang telah terjadi di Perang Uhud itu kerana banyak sebab untuk diambil pengajaran. Antaranya kerana Allah ‎ﷻ hendak uji apa yang ada dalam hati mereka. Selepas diuji, baru jelas siapa yang mukmin dan siapa yang munafik.

وَلِيُمَحِّصَ ما في قُلوبِكُم

dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu.

Dan supaya Allah ‎ﷻ menghilangkan was-was dalam hati mereka daripada bisikan syaitan. Membersihkan apa yang dalam hati mereka. Golongan yang mukmin akan belajar daripada apa yang berlaku dan akan membersihkan hati mereka.

وَاللَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Dan Allah mengetahui segala yang ada di dalam dada

Allah ‎ﷻ tahu apa yang dalam hati manusia. Sama ada mereka ada sifat nifak atau tidak. Janganlah rasa boleh sembunyikan isi hati kita daripada Allah ‎ﷻ. Ia tidak akan berlaku.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan