Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-147 hingga Ke-151

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-147 hingga Ke-151

287
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran
Tafsir Ayat Ke-147: Apa pula doa mereka?

وَما كانَ قَولَهُم إِلّا أَن قالوا رَبَّنَا اغفِر لَنا ذُنوبَنا وَإِسرافَنا في أَمرِنا وَثَبِّت أَقدامَنا وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.

وَما كانَ قَولَهُم إِلّا أَن قالوا

Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata:

Allah ‎ﷻ ajar kita apakah doa yang mereka lafazkan semasa mereka sedang berjihad. Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang mengajar cara lafaz doa. Doa-doa itulah yang patut kita amalkan (dalam keadaan yang sesuai).

Namun janganlah pula pakai tangkap muat ayat Al-Qur’an dan dijadikan doa. Kena tengok sama ada ayat itu ayat doa ataupun tidak. Orang kita yang jahil dengan wahyu dan konsep doa, suka mengamalkan ayat-ayat tertentu sebagai doa tetapi ayat itu bukan doa pun dan tidak kena mengena dengan hajat mereka. Ini adalah penyalahgunaan ayat-ayat Al-Qur’an sebenarnya.

رَبَّنَا اغفِر لَنا ذُنوبَنا

Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami

Tutuplah dosa-dosa kami dan apa-apa kesalahan yang telah kami lakukan. Manusia memang tidak lari daripada melakukan dosa selagi mereka hidup.

Mereka minta diampunkan dosa walaupun mereka sedang melakukan jihad fisabilillah. Ini adalah kerana dosa adalah perkara yang akan menyebabkan kesusahan kepada kita. Antaranya, kerana dosalah yang akan memasukkan kita ke dalam neraka. Walaupun kita beriman, tetapi kalau kita ada dosa, maka kena dicuci terlebih dahulu dosa itu di neraka. Setelah sekian lama, barulah dimasukkan ke dalam syurga. Takkan kita tidak takut?

Ini juga adalah adab dalam berdoa. Hendaklah kita memohon ampun atas dosa kita dahulu (sebelum minta perkara yang lain) kerana kita pun tahu, kita ini banyak dosa. Janganlah terus minta pelbagai perkara namun dalam masa yang sama, kita sendiri tahu yang dosa kita banyak.

Dosa juga menyebabkan doa tidak diterima oleh Allah ‎ﷻ. Maka, sebelum meminta apa-apa, mintalah Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa kita. Sebanyak mana pun dosa kita, Allah ‎ﷻ masih boleh ampunkan. Kalau kita kurang dosa, maka makin lancarlah doa kita itu.

وَإِسرافَنا في أَمرِنا

dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami,

Tutuplah kesalahan kami yang mana kami telah melampaui batas. Mungkin kita sebagai manusia, ada buat terlebih daripada yang sepatutnya. Mungkin kita sudah buat benda yang baik, tetapi kadang-kadang tanpa kita sedari, kita buat benda yang tidak patut pula.

Dalam konteks peperangan, mungkin ada buat benda yang tidak patut dengan musuh; atau ada cakap benda yang tidak patut. Contohnya, cakap besar, sombong dan sebagainya. Kita minta Allah ‎ﷻ ampun dan tutupkan kes itu semua supaya kita tidak malu di akhirat kelak.

وَثَبِّت أَقدامَنا

dan teguhkanlah tapak pendirian kami

Teguhkanlah kaki-kaki kami dalam peperangan ini. Jangan sampai kami takut sehingga kami lari. Memang peperangan amat menakutkan sesiapa sahaja. namun, kalau seorang itu telah yakin dengan agama dan dengan perjuangan, kaki mereka akan teguh.

Kaki yang lari itu adalah kerana hati mereka sendiri yang tidak teguh. Maka, kita kena kuatkan keyakinan dalam hati dulu dan ini pun memerlukan pertolongan daripada Allah ‎ﷻ untuk menetapkan pendirian kita. Kalau setakat kita hendak kuatkan diri kita, rasanya tidak cukup kuat lagi.

وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.

Mereka meminta pertolongan daripada Allah ‎ﷻ untuk mengalahkan musuh (orang kafir). Ini kerana kalau tanpa bantuan Allah ‎ﷻ, tidaklah akan menang. Kalau bukan daripada bantuan Allah ‎ﷻ, siapa lagi yang boleh kita harapkan? Ini kerana kalau kita ramai, kelengkapan perang pun kuat dan banyak, tetapi kalau Allah ‎ﷻ tidak bantu, adakah akan menang dan berjaya? Tentu tidak! Maka jangan lupa minta pertolongan kepada Allah ‎ﷻ.

Para Mujahid dahulu pun cakap begitu juga. Kita telah dengar doa yang sama dalam Surah Baqarah apabila tentera Talut bertemu dengan tentera Jalut dahulu. Inilah doa yang kita kena ingat.

Tafsir Ayat Ke-148

Apakah balasan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka?

فَـَٔاتَٮٰهُمُ اللَّهُ ثَوابَ الدُّنيا وَحُسنَ ثَوابِ الآخِرَةِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ

Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.

فَـَٔاتَٮٰهُمُ اللَّهُ ثَوابَ الدُّنيا

Oleh itu, Allah memberikan mereka balasan di dunia

Allah ‎ﷻ beri kelebihan kepada mereka kerana doa mereka itu. Begitulah, senjata yang paling hebat adalah doa. Allah ‎ﷻ beri balasan di dunia lagi dengan kepuasan iman. Mereka tidak kaya raya tetapi mereka rasa puas dengan apa yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka dan itulah nikmat yang paling besar.

وَحُسنَ ثَوابِ الآخِرَةِ

dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya

Mereka akan mendapat balasan di akhirat yang lebih baik. Tentulah balasan di akhirat itu jauh tersangat-sangat baik daripada apa yang kita boleh dapat di dunia. Sebab itu kita kena pentingkan akhirat. Dunia jangan dilupakan, cuma kena dilebihkan akhirat.

وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ

Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.

Allah ‎ﷻ amat suka kepada hamba yang memiliki hati yang baik. Allah ‎ﷻ suka mereka yang hati ikhlas. Allah ‎ﷻ suka mereka yang memperbaiki diri mereka. Maka kita kena sematkan dalam diri kita untuk sentiasa melakukan kebaikan.

Tafsir Ayat ke-149

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن تُطيعُوا الَّذينَ كَفَروا يَرُدّوكُم عَلىٰ أَعقٰبِكُم فَتَنقَلِبوا خٰسِرينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya mereka akan menolak kamu kembali kepada kekufuran, lalu menjadilah kamu orang-orang yang rugi.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Allah ‎ﷻ berikan nasihat kepada orang-orang yang mengaku beriman. Dengarlah nasihat ini.

إِن تُطيعُوا الَّذينَ كَفَروا

Jika kamu taat kepada orang-orang yang kafir

Orang kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini termasuk juga golongan munafikin. Luaran mereka nampak Islam, tetapi hati mereka kufur. Allah‎ ﷻ mengingatkan supaya jangan mengikut cadangan mereka yang bercanggah dengan akidah.

يَرُدّوكُم عَلىٰ أَعقٰبِكُم

nescaya mereka akan membalikkan kamu kembali kepada kekufuran,

Ia adalah amat bahaya sebab boleh menyebabkan murtad. Para sahabat yang mukmin telah beriman dengan sebenarnya, tetapi kalau mereka terikut-ikut dengan kata-kata dan cadangan orang-orang Munafik, boleh menyebabkan mereka kembali kufur.

فَتَنقَلِبوا خٰسِرينَ

lalu menjadilah kamu orang-orang yang rugi.

Rugi maksudnya segala usaha kita tidak mendapat bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Mereka rugi kerana ada peluang untuk mendapat kebaikan di akhirat tetapi mereka tidak mengambil peluang itu. Mereka akan menyesal dengan penyesalan yang amat tinggi nanti. Waktu itu tidak boleh hendak berbuat apa-apa lagi.

Tafsir Ayat Ke-150

بَلِ اللَّهُ مَولَٮٰڪُم ۖ وَهُوَ خَيرُ ٱلنَّـٰصِرِينَ

(Janganlah kamu taatkan mereka!) Bahkan (taatlah kepada) Allah Pelindung kamu, dan Dia lah sebaik-baik Penolong.

بَلِ اللَّهُ مَولَٮٰڪُم‌

Bahkan Allah Pelindung kamu,

Yang kita harapkan dan dambakan adalah perlindungan daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang dapat melindungi kita dengan sebenarnya dan kerana Allah ‎ﷻ sahaja pelindung kita, maka kenalah kita jaga syari’at. Janganlah taat dan ikut kepada golongan munafik itu tetapi ikutlah Allah ‎ﷻ. Jagalah syari’at kerana mereka tidak dapat menolong kamu sedikit pun, tetapi Allah ‎ﷻ sahaja yang menjadi penolong kamu nanti.

وَهُوَ خَيرُ ٱلنَّـٰصِرِينَ

dan Dia lah sebaik-baik Penolong.

Tidak ada sesiapa lagi pun yang boleh membantu sebagaimana Allah‎ ﷻ boleh bantu kita. Kalau ada orang hendak bantu, tetapi Allah ‎ﷻ tidak benarkan, tidak akan terjadi juga. Namun kalau Allah ‎ﷻ hendak bantu kita, walaupun semua makhluk menghalang daripada bantuan itu sampai, maka ia tidak akan terjadi.

Allah ‎ﷻ boleh membantu kita dengan cara yang paling baik. Allah‎ ﷻ tahu apa yang kita perlukan dan Dia akan beri yang terbaik untuk kita. Kadang-kadang kita sangka kita mahukan satu perkara terjadi, tetapi Allah ‎ﷻ lebih tahu, maka Dia boleh jadikan perkara lain yang terjadi, dan ia pasti lebih baik untuk kita.

Sebagai contoh, tentulah para sahabat mahukan kemenangan dalam Perang Uhud itu, tetapi Allah ‎ﷻ telah berikan kekalahan kepada mereka. Tentu ada kebaikan dan kelebihan daripada perbuatan Allah ‎ﷻ itu. Allah‎ ﷻ telah menjelaskan banyak sebab kenapa Dia lakukan perkara itu. Yang kita perlu buat adalah percaya dengan tindakan Allah ‎ﷻ. Belajar redha dengan apa yang Allah ‎ﷻ lakukan.

Tafsir Ayat Ke-151

Ini adalah contoh bantuan yang Allah ‎ﷻ beri.

سَنُلقي في قُلوبِ الَّذينَ كَفَرُوا الرُّعبَ بِما أَشرَكوا بِاللَّهِ ما لَم يُنَزِّل بِهِ سُلطَـٰنًا ۖ وَمَأوَٮٰهُمُ النّارُ ۚ وَبِئسَ مَثوَى ٱلظَّـٰلِمِينَ

Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.

سَنُلقي في قُلوبِ الَّذينَ كَفَرُوا الرُّعبَ

Kami akan campakkan ke dalam hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun,

Allah ‎ﷻ akan campakkan rasa takut yang amat sangat ke dalam hati orang-orang kafir, sampai mereka takut kepada umat Islam walaupun bilangan mereka ramai dan tentera Islam itu sedikit sahaja. Ini boleh terjadi kalau tentera Islam itu mengamalkan apa yang sepatutnya (taat Allah ‎ﷻ, taat pemimpin dan sebagainya). Memang ada kisah orang kafir (kemudian masuk Islam) menceritakan yang dahulu mereka takut sangat dengan tentera Muslim.

بِما أَشرَكوا بِاللَّهِ ما لَم يُنَزِّل بِهِ سُلطَـٰنًا‌ۖ

disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya.

Kenapa Allah ‎ﷻ beri mereka perasaan takut kepada orang Islam? Kerana mereka membuat syirik. Apa yang mereka buat itu tidak ada dalil daripada Allah ‎ﷻ. Bila syirik bertemu tauhid, pengamal syirik akan kalah dan mereka akan berasa takut.

Begitulah juga, puak-puak orang Islam yang mengamalkan syirik di negara ini – amalan mereka itu tidak ada dalil daripada Allah ‎ﷻ atau Nabi. Sebagai contoh, banyak amalan-amalan puak tarekat tidak ada dalil. Mereka reka dengan amalan yang mereka dapat daripada ilmu khayalan guru-guru mereka yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Kalau hendak tahu, tanya sahaja manakah dalil daripada amalan mereka itu.

Malangnya orang-orang kita yang jahil agama (terutama sekali jahil dengan wahyu), mudah terikut kerana nampak seperti mudah sahaja untuk mendapat kedudukan tinggi dalam agama, kononnya dapat maqam itu dan ini. Mereka mencari jalan pintas, tetapi itu semua adalah karut sahaja.

Satu lagi masalah besar adalah golongan silat di negara kita. Banyak sangat amalan-amalan untuk kuasa kuat, laju, dapat perlindungan dan sebagainya. Mereka ada mentera-mentera yang mereka baca, tetapi malangnya itu semua adalah untuk memanggil jin belaka.

وَمَأوَٮٰهُمُ النّارُ

tempat kembali mereka ialah neraka,

Puak-puak yang mengamalkan syirik, akan dimasukkan ke dalam neraka. Sama ada puak syirik dalam kalangan orang kafir atau dalam kalangan orang yang mengaku Muslim pun. Amatlah menyedihkan sekali. Mereka bertungkus lumus mengamalkan amalan salah mereka, namun akhirnya masuk neraka. Mereka sangka masuk syurga dengan mudah, tetapi mereka akhirnya masuk neraka.

وَبِئسَ مَثوَى ٱلظَّـٰلِمِينَ

dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.

Orang yang mengamalkan syirik dikatakan orang-orang zalim. Lafaz مَثوَى bermaksud tempat tinggal generasi demi generasi. Maknanya, tempat tinggal yang lama.
Kalimah zalim yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah menzalimi Allah ‎ﷻ iaitu tidak diberikan kedudukan yang sepatutnya kepada Allah ‎ﷻ: itulah dosa besar melakukan syirik.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan