Tafsir Surah Ali-Imran
Tafsir Ayat 130
Sekarang kita sudah masuk hal infaq. Ayat ini adalah jenis yang dipanggil Jumlah Mu’taridah (perubahan topik). Kerana ayat-ayat sebelum ini tentang perang dan tiba-tiba masuk kepada ayat tentang riba’ pula. Apakah kaitannya?
Kita hidup sementara dan kita sepatutnya menggunakan masa hidup kita di dunia untuk kumpul pahala sebanyak yang boleh. Maka, kena guna peluang semasa di dunia. Dan infaq adalah salah satu cara untuk boleh dapat pahala. Macam-macam cara boleh infaq. Kita kena ingat bahawa harta yang kita infaq itulah yang jadi harta kita sebenarnya. Kerana kalau kita tidak infaq, harta itu akan diwarisi oleh orang lain, sudah jadi harta orang lain, bukan harta kita lagi.
Tetapi kalau kita infaq, Allah akan simpan harta itu di sisi-Nya dan Allah akan balas dengan kebaikan. Topik infaq telah banyak disebut dalam surah Baqarah dan sekarang disambung dalam surah Ali Imran ini kerana seperti kita telah sebut, ada pertalian antara surah Baqarah dan surah Ali Imran.
Dan infaq disebut selepas disebut tentang Jihad kerana infaq penting dalam menjalankan jihad Fisabilillah. Banyak belanja diperlukan untuk menjalankan Jihad.
Kenapa pula riba’ ada kena mengena dengan infaq? Kerana dalam Al-Qur’an sebut kepentingan infaq, ada pula manusia yang bukan sahaja tidak infaq, tapi sebaliknya cari dan kumpul harta yang banyak dengan cara haram, iaitu dengan cara riba’. Ianya amat berlawanan dengan infaq. Mereka yang mengamalkan riba’ adalah orang yang mementingkan harta sampai sanggup hisap darah orang lain.
Anda rasa adakah orang sebegini akan infaq dan berperang Fisabilillah? Tentu tidak. Maka Allah beri peringatan kepada kita tentang keburukan mengamalkan riba’.
يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَأكُلُوا ٱلرِّبَوٰٓاْ أَضعٰفًا مُّضٰعَفَةً ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba’ dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.
يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَأكُلُوا ٱلرِّبَوٰٓاْ أَضعٰفًا مُّضاعَفَةً
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba’ dengan berlipat-lipat ganda,
Orang yang mengamalkan riba’ adalah orang yang tamak dunia. Dalam kepala otak mereka, mereka cuma ingat hendak kumpul harta sahaja. Mereka akan cari jalan untuk memperbanyakkan harta mereka berlipat kali ganda.
Oleh kerana itu, ada orang yang amalkan riba’ dengan beri pinjam kepada orang lain dengan syarat, kena bayar lebih lagi. Yang lebihan itu selalunya dipanggil ‘bunga’. Dan kalau tidak dapat bayar dalam waktu yang dijanjikan, ‘bunga’ akan meningkat lagi dan lebih menyusahkan orang yang meminjam itu. Kadang-kadang apabila sudah lama, ‘bunga’ itu lebih banyak lagi dari pinjaman pokok yang asal.
وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.
Allah ingatkan kita supaya bertaqwa dengan jaga hukum. Hukum makan riba’ adalah haram. Kita telah tafsir tentang riba’ dalam Surah Baqarah, tentang bagaimana buruk sekali hukum riba’ itu dan apakah ancaman Allah SWT kepada mereka yang memakan harta hasil dari riba’.
Maka, janganlah amalkan riba’, sebaliknya hendaklah bertaqwa kalau kamu mahu menjadi orang yang berjaya di dunia dan di akhirat. Namun, memang zaman sekarang amat susah untuk lari dari riba’. Kalau tidak terlibat secara langsung pun, tentu ada terkena sikit-sikit. Maka alangkah baiknya kalau bahaya sistem riba’ ini diketahui oleh lebih ramai lagi supaya sistem riba’ ini lama kelamaan boleh hilang terus.
Tafsir Ayat Ke-131
Ayat takhwif ukhrawi (penakutan tentang akhirat).
وَاتَّقُوا النّارَ الَّتي أُعِدَّت لِلكٰفِرينَ
Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.
وَاتَّقُوا النّارَ
Dan peliharalah diri kamu dari api neraka,
Ancaman neraka diberikan kepada mereka yang mengamalkan riba’. Amat banyak bahaya riba’ ini dan kesannya yang mendalam kepada ekonomi dunia dan individu. Maka, Allah SWT beri penekanan tentang bahayanya hinggakan neraka dijadikan sebagai galang ganti bagi mereka yang terlibat dengan riba’.
الَّتي أُعِدَّت لِلكٰفِرينَ
yang disediakan bagi orang-orang kafir.
Neraka itu sudah siap ada, sedang menunggu dimasuki oleh orang kafir. Orang kafir ada geran neraka (mereka akan kekal dalam neraka). Orang Islam sepatutnya akan masuk syurga. Tetapi ada juga yang akan masuk neraka dahulu kerana walaupun mereka beriman dan tidak mengamalkan syirik, tetapi mungkin mereka ada dosa yang perlu dibersihkan di neraka.
Tetapi mereka tidak akan kekal di neraka kerana orang mukmin memegang geran di syurga, bukan di neraka. Mereka duduk untuk sekian waktu sahaja di neraka. Istilah bagi mereka ini adalah jahannamiyyun (pernah duduk dalam neraka jahannam).
Kalau kita lihat ayat ini yang diberikan selepas diberikan ayat riba’, ini menunjukkan yang riba’ dikaitkan dengan kufur. Mereka yang mengamalkan riba mengamalkan perbuatan orang kafir. Maka, ini adalah amat berat sekali dan kerana itu kita kenalah berhati-hati.
Tafsir Ayat Ke-132
وَأَطيعُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ لَعَلَّكُم تُرحَمونَ
Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, mudah-mudahan kamu diberi rahmat.
وَأَطيعُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ
Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul
Janganlah amalkan riba’, sebaliknya hendaklah kamu taat kepada Allah ﷻ dan untuk taat kepada Allah ﷻ, hendaklah taat kepada Rasul kerana Rasul itu menyampaikan arahan Allah ﷻ.
Maka, untuk taat kepada Allah ﷻ hendaklah kita belajar tafsir Al-Qur’an, barulah faham apa perkara yang kita hendak taat dan untuk taat kepada Rasul, hendaklah kita belajar sunnah (belajar syarah Hadith). Kalau kita tidak belajar dua perkara itu, bagaimana kita kata kita ‘taat’, sedangkan apa perkara yang perlu taat pun kita tidak tahu?
لَعَلَّكُم تُرحَمونَ
mudah-mudahan kamu diberi rahmat.
Mudah-mudahan dengan kita taat kepada Allah ﷻ dan rasul itu, kita akan mendapat rahmat daripada Allah ﷻ. Rahmat ini adalah penting kerana kita hanya dapat masuk syurga kerana rahmat Allah ﷻ sahaja. Kita tidak akan dapat masuk syurga dengan cara lain; tidak dengan amal ibadat kita, dengan pujuk rayu dan sebagainya, tidak.
Hanya dengan rahmat Allah ﷻ sahaja kita akan dapat masuk syurga, maka kita amat berkehendak kepada rahmat daripada Allah ﷻ ini. Untuk mendapat rahmat daripada Allah ﷻ, hendaklah kita mulakan dengan taat kepada Allah ﷻ dan Rasul. Untuk taat kepada Allah ﷻ dan Rasul, kita tidak boleh tidak, kena belajar tafsir Al-Qur’an dan hadith Nabi yang sahih.
Tafsir Ayat Ke-133
Ayat tabshir ukhrawi.
وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم
Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu
‘Keampunan’ itu maksudnya kita berdoa supaya biar tidak ada dosa langsung. Ini adalah kerana dosa boleh menyebabkan kemurkaan Allah ﷻ. Dosa juga akan menyebabkan kita masuk ke dalam neraka dan kita tidak mahu langsung ke dalam neraka walau sekejap mana pun.
Dalam ayat ini Allah ﷻ menyuruh kita bersegera untuk meminta ampun. Malangnya kita ini kalau hal dunia laju sahaja; hendak pergi kerja, hendakkan kesenangan, hendak jumpa kekasih, hendak mendapatkan subsidi dan sebagainya. Namun dalam bab meminta keampunan, selalunya kita lembab, bukan?
وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ
dan Syurga, yang bidangnya seluas segala langit dan bumi
Bukan hanya bersegera kepada keampunan daripada Allah ﷻ, tetapi bersegeralah untuk mendapatkan syurga.
Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini yang syurga itu sebesar langit dan bumi. Ini adalah tashbih (perbandingan) sahaja. Allah ﷻ membandingkan keluasan syurga itu supaya kita bolehlah untuk agak-agak. Sebab bagi orang Arab, tidak ada yang lebih besar daripada langit dan bumi. Itu sahaja yang mereka nampak. Allah ﷻ hendak memberikan kefahaman kepada mereka.
Namun begitu, tidaklah semestinya syurga itu benar-benar sebesar langit dan bumi. Mungkin lebih besar lagi.
أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
Kalau neraka itu disediakan untuk orang kafir, syurga itu pula disediakan untuk orang yang bertaqwa. Memang setiap kita sudah ada tempat di dalam syurga (tetapi tinggal masuk atau tidak, sahaja).
Taqwa itu maksudnya bebas daripada syirik. Juga sedar tentang Allah ﷻ sentiasa memerhatikan setiap perbuatan kita dan menjaga hukum yang Allah ﷻ telah berikan.
Tafsir Ayat Ke-134
Dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ sebut bahawa syurga itu untuk orang-orang bertaqwa. Sekarang Allah ﷻ beritahu apakah sifat-sifat muttaqin itu.
الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah,
Mereka yang sentiasa infaq dalam keadaan senang dan susah. Infaq adalah lawan kepada riba’. Riba’ adalah perkara paling buruk yang boleh dilakukan dengan harta dan infaq adalah perkara yang paling baik yang boleh dilakukan dengan harta.
Mereka bukan sahaja infaq semasa mereka senang, tetapi semasa susah juga. Mungkin senang hendak infaq semasa senang, tetapi bagaimana kalau kita sendiri pun susah juga? Waktu itu memang menguji iman kita sungguh, bukan? Mereka yang dapat melakukannya tentulah seorang yang hebat sekali.
Maka inilah sifat ihsan: mencari redha Allah ﷻ dalam waktu susah atau pun senang. Mereka tidak kisah keadaan diri mereka. Kesenangan atau kesusahan tidak mengubah iman mereka dan dekatnya mereka kepada Allah ﷻ.
وَالكٰظِمينَ الغَيظَ
dan orang-orang yang menahan kemarahannya,
Mereka yang menelan kemarahan. Memang mereka marah yang amat sangat (الغَيظَ) tetapi mereka tahan kemarahan mereka itu. Kemarahan itu tidak ditunjukkan ke muka pun. Ini kerana ada jenis orang yang marah, tetapi dia merengus atau mukanya masam atau kelat sangat. Yang dimaksudkan dalam ayat ini, di wajahnya pun tidak nampak kemarahan itu, walaupun dia boleh menghukum orang yang menyebabkan kemarahannya itu. Sebagai contoh, ada budak yang cakap tidak elok kepada kita, tentu kita boleh tampar dia kerana dia budak sahaja, tetapi kita tahankan sahaja.
Ini tidak sama dengan kemarahan kepada seseorang yang kita tidak boleh balas kepada orang itu, sebab kita lemah kalau dibandingkan dengan dia. Contohnya, kita tidak boleh buat apa-apa kepada menteri kerana kita lemah jika dibandingkan dengan dia. Ini bukan maksud yang hendak disampaikan dalam ayat ini.
Ayat yang kita sedang baca ini adalah tentang mereka yang boleh buat sesuatu kepada orang yang menyebabkan kemarahannya itu, tetapi dia tahan, dia ‘telan’ kemarahannya. Sebagai contoh, pekerja kita buat kita marah. Tentu kita boleh buang dia daripada kerja, atau kita tengking dia, atau kita potong gaji dia, tetapi kita tidak lakukan. Itulah yang dimaksudkan.
وَالعافينَ عَنِ النّاسِ
dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.
Satu lagi sifat mereka yang disebut dalam ayat ini adalah mereka yang boleh memaafkan kesilapan dan kecuaian orang lain sebab dia fikir kesudahan di akhirat nanti. Dia maafkan sahaja supaya tidak panjang cerita.
Ini kerana kalau hendak mendapatkan keadilan daripada orang itu juga, dia pula hendak tunggu orang itu di Mahsyar untuk perbicaraan dijalankan dan keadilan ditegakkan; dan kalau hendak ditunggu begitu, maka lambat pula dia boleh masuk syurga (kalau dia seorang yang layak masuk syurga dengan awal).
Jadi dia tahu, lebih baik kalau dia terus maafkan, supaya dia pun dapat pahala kerana memaafkan kesalahan orang lain, dan dia pun tidak perlu menunggu lama di Mahsyar nanti, supaya dia boleh terus masuk syurga.
وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Allah suka kepada hamba yang memiliki hati yang baik.
Allah ﷻ beritahu yang Dia suka orang yang memiliki sifat-sifat begini. Memang memaafkan kesalahan orang itu amat berat, tetapi kalau boleh melakukannya, ia tanda orang yang berhati baik dan itu juga tanda-tanda ahli syurga sebagaimana dalam hadith berikut:
حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ حَدَّثَنَا مَعْمَرٌ عَنِ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنِي أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ كُنَّا جُلُوسًا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَطْلُعُ عَلَيْكُمْ الْآنَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَطَلَعَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ تَنْطِفُ لِحْيَتُهُ مِنْ وُضُوئِهِ قَدْ تَعَلَّقَ نَعْلَيْهِ فِي يَدِهِ الشِّمَالِ فَلَمَّا كَانَ الْغَدُ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِثْلَ ذَلِكَ فَطَلَعَ ذَلِكَ الرَّجُلُ مِثْلَ الْمَرَّةِ الْأُولَى فَلَمَّا كَانَ الْيَوْمُ الثَّالِثُ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِثْلَ مَقَالَتِهِ أَيْضًا فَطَلَعَ ذَلِكَ الرَّجُلُ عَلَى مِثْلِ حَالِهِ الْأُولَى فَلَمَّا قَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَبِعَهُ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ فَقَالَ إِنِّي لَاحَيْتُ أَبِي فَأَقْسَمْتُ أَنْ لَا أَدْخُلَ عَلَيْهِ ثَلَاثًا فَإِنْ رَأَيْتَ أَنْ تُؤْوِيَنِي إِلَيْكَ حَتَّى تَمْضِيَ فَعَلْتَ قَالَ نَعَمْ قَالَ أَنَسٌ وَكَانَ عَبْدُ اللَّهِ يُحَدِّثُ أَنَّهُ بَاتَ مَعَهُ تِلْكَ اللَّيَالِي الثَّلَاثَ فَلَمْ يَرَهُ يَقُومُ مِنْ اللَّيْلِ شَيْئًا غَيْرَ أَنَّهُ إِذَا تَعَارَّ وَتَقَلَّبَ عَلَى فِرَاشِهِ ذَكَرَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَكَبَّرَ حَتَّى يَقُومَ لِصَلَاةِ الْفَجْرِ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ غَيْرَ أَنِّي لَمْ أَسْمَعْهُ يَقُولُ إِلَّا خَيْرًا فَلَمَّا مَضَتْ الثَّلَاثُ لَيَالٍ وَكِدْتُ أَنْ أَحْتَقِرَ عَمَلَهُ قُلْتُ يَا عَبْدَ اللَّهِ إِنِّي لَمْ يَكُنْ بَيْنِي وَبَيْنَ أَبِي غَضَبٌ وَلَا هَجْرٌ ثَمَّ وَلَكِنْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَكَ ثَلَاثَ مِرَارٍ يَطْلُعُ عَلَيْكُمْ الْآنَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَطَلَعْتَ أَنْتَ الثَّلَاثَ مِرَارٍ فَأَرَدْتُ أَنْ آوِيَ إِلَيْكَ لِأَنْظُرَ مَا عَمَلُكَ فَأَقْتَدِيَ بِهِ فَلَمْ أَرَكَ تَعْمَلُ كَثِيرَ عَمَلٍ فَمَا الَّذِي بَلَغَ بِكَ مَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَا هُوَ إِلَّا مَا رَأَيْتَ قَالَ فَلَمَّا وَلَّيْتُ دَعَانِي فَقَالَ مَا هُوَ إِلَّا مَا رَأَيْتَ غَيْرَ أَنِّي لَا أَجِدُ فِي نَفْسِي لِأَحَدٍ مِنْ الْمُسْلِمِينَ غِشًّا وَلَا أَحْسُدُ أَحَدًا عَلَى خَيْرٍ أَعْطَاهُ اللَّهُ إِيَّاهُ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ هَذِهِ الَّتِي بَلَغَتْ بِكَ وَهِيَ الَّتِي لَا نُطِيقُ
Telah menceritakan kepada kami Abdurrazaq telah menceritakan kepada kami Ma ‘mar daripada Az-Zuhri berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Anas bin Malik رضي الله عنه berkata, ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah ﷺ, baginda bersabda, “Akan muncul seorang laki-laki penghuni syurga”, lalu muncul seorang laki-laki Ansar yang janggutnya masih bertitisan air sisa wudhu, sambil menggantungkan kedua sandalnya pada tangan kirinya. Esok harinya Nabi ﷺ bersabda seperti itu juga, lalu muncul laki laki itu lagi seperti yang pertama, dan pada hari ketiga Nabi ﷺ bersabda seperti itu juga dan muncul laki laki itu kembali seperti keadaan dia yang pertama. Ketika Nabi ﷺ berdiri, Abdullah bin Amru bin Al-Ash رضي الله عنه mengikuti laki-laki tersebut dengan berkata ” Kawan, saya ini sebenarnya sedang bertengkar dengan ayahku dan saya bersumpah untuk tidak menemuinya selama tiga hari, jika boleh, izinkan saya tinggal di tempatmu sehingga tiga malam”, “Tentu”, jawab laki-laki tersebut. Anas bin Malik رضي الله عنه berkata, Abdullah رضي الله عنه bercerita; aku tinggal bersama laki-laki tersebut selama tiga malam, anehnya tidak pernah aku mendapatinya mengerjakan salat malam sama sekali, hanya jika dia bangun daripada tidurnya dan beranjak dari ranjangnya, lalu berzikir kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan bertakbir sampai dia mendirikan salat fajar, selain itu juga dia tidak pernah mendengar dia berkata kecuali yang baik-baik saja, maka ketika berlalu tiga malam dan hampir hampir saja saya menganggap remeh amalannya, saya berkata, ” Wahai kawan, sebenarnya antara saya dengan ayahku sama sekali tidak ada pertengkaran dan saling mendiamkan seperti yang telah saya katakan, akan tetapi saya mendengar Rasulullah ﷺ bersabda tentang dirimu sebanyak tiga kali, “Akan muncul pada kalian seorang laki-laki penghuni syurga, lalu kamulah yang muncul tiga kali tersebut, maka saya ingin tinggal bersamamu agar dapat melihat apa yang kamu kerjakan hingga saya dapat mengikutinya, namun saya tidak pernah melihatmu mengerjakan amalan yang banyak, lalu amalan apa yang membuat Rasulullah ﷺ sampai mengatakan engkau ahli syurga?”, laki-laki itu menjawab, “Tidak ada amalan yang saya kerjakan melainkan seperti apa yang telah kamu lihat”, maka tatkala aku berpaling laki-laki tersebut memanggilku dan berkata, “Tidak ada amalan yang saya kerjakan melainkan seperti apa yang telah kamu lihat, hanya saya tidak pernah mendapatkan pada diriku, rasa ingin menipu terhadap siapapun daripada kaum muslimin, dan saya juga tidak pernah merasa iri dengki kepada seorang (memaafkan) atas kebaikan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada seseorang”, maka Abdullah رضي الله عنه berkata, “Inilah amalan yang menjadikanmu mencapai darjat yang tidak mampu kami lakukan.” (Riwayat Ahmad No. 12236)
Syarah hadith: Tidak pernah iri dan dengki kepada siapapun adalah buah daripada sikap memaafkan kepada orang lain, kerana realiti kehidupan sering membuat manusia emosi, marah dan benci, terlebih jika dia jauh hubungannya dengan Allah ﷻ, jika dia hanya melihat kehidupan ini daripada kacamata material, kepentingan dan kemaslahatan peribadinya saja, jika selalu membandingkan dan melihat kepada yang dilapangkan dan diluaskan rezekinya oleh Allah ﷻ serta tidak pernah melihat kepada yang diuji dengan kekurangan dan lain-lain lagi.
Allahu a’lam.