Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-125 hingga Ke-129

Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-125 hingga Ke-129

575
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran

Tafsir Ayat Ke-125

بَلىٰ ۚ إِن تَصبِروا وَتَتَّقوا وَيَأتوكُم مِّن فَورِهِم هٰذا يُمدِدكُم رَبُّكُم بِخَمسَةِ ءآلٰفٍ مِّنَ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ مُسَوِّمينَ

Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.

بَلىٰ

Bahkan

Mengapa tidak? Ada juga pendapat yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ yang sebut tentang bilangan tentera malaikat seramai 3 ribu itu (sebelum Allah ‎ﷻ sebut para malaikat akan diturunkan), dan Allah ‎ﷻ mengiyakan dalam ayat ini. Allahu a’lam.

إِن تَصبِروا وَتَتَّقوا

jika kamu bersabar dan bertaqwa,

Allah ‎ﷻ akan bantu sekiranya tentera Islam itu bersabar dalam taat dan ikut syari’at. Inilah dua syarat yang Allah ‎ﷻ letakkan untuk mendapatkan bantuan-Nya. Allah ‎ﷻ mengingatkan tentang taqwa sentiasa dan tentunya dalam peperangan memerlukan kesabaran yang amat-amat tinggi.

وَيَأتوكُم مِن فَورِهِم هٰذا

dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta,

Dan kalaulah musuh menyerang kamu, jangan takut.

nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.

Jangan takut kerana Allah ‎ﷻ boleh menghantar malaikat yang boleh datang dengan serta merta untuk membantu. Para malaikat menunggu sahaja arahan daripada Allah ‎ﷻ. Bukanlah perlu Allah ‎ﷻ memanggil malaikat yang tengah ada kerja lain. Itulah tentera langit.

Allah ‎ﷻ boleh datangkan lima ribu malaikat yang semuanya berseragam cukup dengan kelengkapan perang. Mereka juga datang dengan kuda bertanda (مُسَوِّمينَ). Allahu a’lam bagaimana rupanya.

Memang Allah ‎ﷻ ada menghantar tentera dalam kalangan malaikat. Sebagai contoh, apabila dilihat tentera kafir yang mati di Badr, tidak kelihatan kesan luka pada badan mereka tetapi kesan terbakar. Maknanya mereka mati bukan kerana dibunuh manusia.

Tafsir Ayat Ke-126:

وَما جَعَلَهُ اللَّهُ إِلّا بُشرىٰ لَكُم وَلِتَطمَئِنَّ قُلوبُكُم بِهِ ۗ وَمَا النَّصرُ إِلّا مِن عِندِ اللَّهِ العَزيزِ الحَكيمِ

Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya daripada Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.

وَما جَعَلَهُ اللَّهُ إِلّا بُشرىٰ لَكُم

Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu,

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia akan hantar malaikat itu sebab menjadi berita gembira sahaja kepada tentera Muslimin. Ia untuk memberi semangat kepada mereka. Apabila mereka rasa ada bantuan daripada malaikat, tentu mereka akan rasa lebih kuat. Ia hanya salah satu sahaja cara Allah ﷻ membantu hamba-Nya yang soleh.

وَلِتَطمَئِنَّ قُلوبُكُم بِهِ

dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu

Allah ﷻ hendak senangkan hati umat Islam sahaja kerana jiwa manusia, kalau tahu mereka dalam bilangan yang ramai, baru mereka akan berasa lega dan aman serta yakin akan menang.

وَمَا النَّصرُ إِلّا مِن عِندِ اللَّهِ العَزيزِ الحَكيمِ

Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya daripada Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ mengingatkan bahawa pertolongan yang sebenarnya adalah daripada Allah ﷻ. Mereka akan tetap menang walaupun tanpa bantuan malaikat itu kerana kemenangan adalah ketetapan daripada Allah ‎ﷻ, bukannya dengan adanya malaikat yang membantu. Kalau Allah ‎ﷻ bantu, tentera Islam akan tetap menang, asalkan memenuhi syarat-syarat yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

Allah ‎ﷻ Maha Gagah Perkasa boleh mengalahkan mana-mana musuh. Tidak ada sesiapa yang dapat mengalahkan Allah ﷻ.

Allah ‎ﷻ Maha Bijaksana dalam mengurus. Kadang-kadang Dia beri malaikat dan kadang-kadang diberi bantuan dengan cara lain. Allah ‎ﷻ sahaja yang tentukan dan cara Allah ‎ﷻ itu cara yang paling tepat.

Tafsir Ayat Ke-127

لِيَقطَعَ طَرَفًا مِّنَ الَّذينَ كَفَروا أَو يَكبِتَهُم فَيَنقَلِبوا خائِبينَ

kerana Allah hendak membinasakan satu golongan dari orang-orang kafir atau menghina mereka (dengan kekalahan), supaya mereka kembali dengan hampa kecewa.

لِيَقطَعَ طَرَفًا مِّنَ الَّذينَ كَفَروا

kerana Allah hendak membinasakan satu golongan daripada orang-orang kafir

Tujuan Perang Badr Allah ﷻ takdirkan untuk menghapuskan satu puak daripada orang kafir yang menjadi ketua mereka. 70 orang yang mati daripada kumpulan kafir Musyrikin Mekah itu adalah mereka yang paling kuat menentang Nabi ﷺ. Nanti apabila sudah tiada  ketua yang kuat menentang, maka yang tinggal nanti adalah pengikut-pengikut sahaja.

أَو يَكبِتَهُم

atau menghina mereka

Atau Allah ‎ﷻ hendak mengalahkan mereka walau mereka bilangan ramai. Allah ‎ﷻ hendak memalukan mereka. Bayangkan tentera ramai, tetapi masih tetap kalah juga.

فَيَنقَلِبوا خائِبينَ

supaya mereka kembali dengan hampa kecewa.

Supaya mereka kembali ke Mekah dengan perasaan yang amat kecewa. Supaya mereka tidak boleh berbangga dengan bangsa Arab yang lain yang mereka berjaya kalahkan Islam.

Sampai sini sahaja kisah Perang Badr. Selepas ini adalah tentang kisah Perang Uhud.

Tafsir Ayat Ke-128

Sekarang kita kembali kepada kisah Perang Uhud. Nabi ﷺ dan sahabat diuji menang pada peringkat awal tetapi kalah di pertengahan. Waktu sedang kalah itu Nabi ﷺ menyatakan kesedihan baginda. Allah‎ ﷻ jawab di dalam ayat ini.

لَيسَ لَكَ مِنَ الأَمرِ شَيءٌ أَو يَتوبَ عَلَيهِم أَو يُعَذِّبَهُم فَإِنَّهُم ظٰلِمونَ

Engkau tidak berhak sedikit pun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah), sama ada Dia menerima taubat mereka ataupun Dia menyeksa mereka; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.

لَيسَ لَكَ مِنَ الأَمرِ شَيءٌ

Engkau tidak berhak dalam urusan sedikit pun,

Allah ‎ﷻ beritahu Nabi ﷺ bahawa baginda tidak ada hak dalam urusan menang kalah, kafir atau memberi hidayah, sedikit pun. Semuanya di tangan Allah ﷻ.

أَو يَتوبَ عَلَيهِم

sama ada Dia menerima taubat mereka

Sama ada Allah ‎ﷻ akan memberi ampun kepada mereka dan mereka masuk Islam atau menghancurkan mereka, itu hak Allah ‎ﷻ. Lihatlah bagaimana dua ketua perang Musyrikin Mekah waktu itu, Abu Sufyan dan Khalid al Walid telah masuk Islam kerana Allah ‎ﷻ telah menerima taubat mereka.

أَو يُعَذِّبَهُم فَإِنَّهُم ظٰلِمونَ

ataupun Dia menyeksa mereka; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.

Atau Allah ‎ﷻ hendak kekalkan mereka dalam kufur dan kemudian Allah ‎ﷻ azab mereka di akhirat kelak dengan seburuk-buruk azab. Dan mereka memang layak diazab kerana mereka zalim.

Oleh itu, Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa bukan urusan Nabi ﷺ siapa yang dapat hidayah dan iman. Nabi ﷺ hanya perlu menjalankan tugas baginda sahaja untuk menyampaikan dakwah, memerangi mereka dalam menyampaikan dakwah. Sama ada manusia terima atau tidak, itu hak Allah ‎ﷻ.

Begitu juga dengan kita: kadang-kadang banyak usaha kita lakukan untuk sampaikan dakwah kepada manusia, kita buat tulisan, kita nasihat orang, kita beri ajaran dan sebagainya. Namun sama ada manusia terima atau tidak, itu terpulang kepada Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat ini, nampaknya Allah ‎ﷻ telah menegur Nabi ﷺ. Kita kena ingat, Allah ‎ﷻ sahaja yang layak menegur Nabi ﷺ kerana kedudukan Allah ‎ﷻ. Namun, kita kena jaga adab kita. Jangan kita pula hendak kata Nabi Muhammad ﷺ salah dan membuat dosa pula kerana kedudukan kita lebih rendah daripada kedudukan Nabi ﷺ.

Tafsir Ayat Ke-129

Kenapa begitu? Kerana Dia Allah ‎ﷻ. Maka Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia mahu.

وَلِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۚ يَغفِرُ لِمَن يَشاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dia mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

وَلِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.

Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki kerana alam ini adalah kepunyaan Dia. Siapa kita hendak mempersoalkan apa yang Allah ‎ﷻ lakukan? Bukan sahaja alam, tapi kita ini pun adalah kepunyaan Allah ﷻ juga, bukan? Maka sepertimana kita buat apa sahaja yang kita hendak dengan barang kita, maka begitu jugalah Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia hendak.

يَغفِرُ لِمَن يَشاءُ

Dia mengampunkan sesiapa yang dikehendaki-Nya,

Allah ‎ﷻ boleh masukkan perasaan hendak meminta ampun kepada sesiapa sahaja. Allah ﷻ juga boleh menggerakkan hati sesiapa sahaja ke dalam Islam dan mengampuni mereka.

Maka kalau kita rasa kita bersalah dan hati kita melakukan istighfar kepada Allah ﷻ, itu adalah satu nikmat yang amat besar. Maknanya Allah ﷻ telah jentik hati kita untuk rasa bersalah dan rasa lembut hati untuk meminta ampun. Maka kalau ada perasaan begitu, maka hendaklah kita cepat-cepat istighfar.

وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ

dan Dia menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Atau Allah ‎ﷻ boleh kekalkan mereka dalam kufur dan kemudian Allah akan azab mereka. Terpulang kepada Allah ﷻ. Dan kita tidak boleh hendak persoalkan Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ hendak masukkan semua makhluk ke dalam neraka pun, kita tidak dapat persoalkan.

Tentulah Allah ﷻ tidak begitu, tetapi kalaulah Allah ﷻ hendak buat begitu, kita pun tidak dapat mempersoalkannya. Kita kena sedar kedudukan kita dan Allah ﷻ.

وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah mengingatkan Sifat-Nya yang maha pengampun dalam ayat ini untuk beri isyarat bahawa Allah ampunkan kesilapan Nabi itu. Bukan sahaja kesilapan Nabi Muhammad, kalau kesilapan dan dosa kita pun Allah ﷻ boleh ampunkan.

Allah ﷻ boleh ampunkan kerana sifa-Nya yang Raheem. Allah ﷻ amat sayang kepada makhluk-Nya. Oleh kerana sayang sangat, maka Allah ﷻ mudah untuk ampunkan. Begitu jugalah kalau ada kalangan sahabat atau ahli keluarga kita yang kita sayang, kita mudah untuk maafkan kesilapan mereka terhadap kita, bukan?

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan