Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-117 hingga Ke-119

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-117 hingga Ke-119

333
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran

Tafsir Ayat Ke-117

Mereka sesat dengan mengorbankan harta mereka untuk menentang Islam. Infaq mereka itu akan memberi musibah kepada mereka.

مَثَلُ مَا يُنفِقُونَ فِي هَٰذِهِ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنْيَا كَمَثَلِ رِيحٍ فِيهَا صِرٌّ أَصَابَتْ حَرْثَ قَوْمٍ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ فَأَهْلَكَتْهُ وَمَا ظَلَمَهُمُ اللَّهُ وَلَٰكِنْ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini (sekalipun untuk amal-amal yang baik), samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya; dan (ingatlah), Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

مَثَلُ مَا يُنفِقُونَ فِي هَٰذِهِ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini

Dalam kitab tafsir disebut infaq dalam ayat ini adalah apabila orang bawahan bayar kepada orang atasan iaitu anak murid bayar kepada guru ulama’ su’ mereka. Sebagai contoh, kalau dalam kumpulan tarekat, anak-anak murid akan beri banyak duit kepada guru mereka kerana mengharapkan guru mereka itu akan menyelamatkan mereka.

Memang begitulah keadaan kalau ajaran sesat. Kita boleh lihat ada guru-guru tarekat kaya raya tetapi anak murid miskin sahaja. Ini kerana proses pengambilan duit daripada anak murid. Anak murid punyalah berkhidmat dengan tok guru mereka tetapi amalan yang diajar adalah ajaran sesat.

Kalau dalam ajaran Syiah pula, pengikut kena bayar 1/5 dari pendapatan mereka kepada ketua agama mereka. Ini dipanggil ‘khumus’. Khumus memang ada dalam Islam tetapi tidaklah seperti yang mereka pesongkan. Begitulah kalau anak murid yang jahil, mereka terus terima sahaja ajaran tok guru yang sesat. Mereka sendiri yang akan rugi.

Atau ia juga boleh dikatakan tentang Musyrikin Mekah yang mengumpul duit untuk menyerang kembali umat Islam selepas mereka kalah di Badr. Mereka ramai-ramai mengumpul duit keuntungan mereka tahun itu untuk membiayai peperangan menentang umat Islam di Madinah. Mereka infaq tetapi infaq itu akan menjerumuskan mereka ke dalam neraka.

Jadi, ini mengajar kita bahawa infaq yang diterima hanyalah infaq dalam perkara yang baik. Kita pun selalu keluarkan duit juga, tetapi persoalannya, ke manakah kita infaq duit kita itu? Adakah ke tempat hiburan? Buat majlis bid’ah? Itu semua tidak akan memberi pulangan baik kepada diri kita.

كَمَثَلِ رِيحٍ فِيهَا صِرٌّ أَصَابَتْ حَرْثَ قَوْمٍ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ فَأَهْلَكَتْهُ

samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya;

Seperti angin yang sangat kuat, di dalamnya ada udara yang sangat sejuk. Angin dan udara itu sampai membinasakan tanaman.

Lafaz حَرْثَ bermaksud tanaman yang sudah sedia untuk dituai. Kalau tanaman yang sudah boleh dituai, tentunya amat bernilai sekali, dan tuan punya tanaman itu mengharapkan kepada tuaian itu. Namun ia dibinasakan. Maka amatlah malang sekali. Bayangkan perasaan tuan tanaman itu apabila melihat tanaman yang dijaganya setelah sekian lama, dibaja, dipelihara, tetapi musnah begitu sahaja.

Sudah tentu dia sedih. Dia akan lebih menyesal lagi apabila melihat bagaimana infaqnya yang diberi kepada tempat yang tidak patut, akan menjadi sia-sia sahaja. Begitulah nanti perasaan orang-orang sesat apabila melihat ‘hasil’ dari infaq mereka yang salah itu.

وَمَا ظَلَمَهُمُ اللَّهُ وَلَٰكِنْ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

Allah tidak menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri sendiri.

Bukanlah Allah ‎ﷻ zalim tetapi mereka dikenakan dengan balasan itu kerana mereka mengabaikan arahan Allah ‎ﷻ. Kita kena ingat yang Allah ‎ﷻ tidak pernah zalim. Segala perbuatan Allah ‎ﷻ tidak pernah dan tidak akan zalim.

Tafsir Ayat Ke-118

Untuk mengelakkan Yahudi Nasara membinasakan umat Islam, kita mesti bersatu dalam dakwah kepada makruf dan nahi mungkar. Barulah kita dapat menjaga agama kita. Ini satu lagi nasihat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita supaya kita jaga betul-betul.

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوٰهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيٰتِ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dalam kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam”

Jangan ambil bukan orang Islam sebagai teman rapat kita. Maksudnya, jangan jadikan mereka teman rapat, penasihat, setiausaha kita dan sebagainya. Maksudnya, jangan jadikan mereka sebagai orang yang dipercayai.

Ini kerana kalimah بِطَانَةً ada kena mengena dengan ‘perut’ kerana بَطنٌ adalah perut. Ia adalah istilah dalam bahasa Arab mengenai kawan yang boleh simpan rahsia kita dalam perut. Itulah tempat kita mengadu dan kita ceritakan kepada mereka rahsia yang kita tidak cerita kepada orang biasa. Allah ‎ﷻ mengingatkan umat Islam supaya jangan beritahu rahsia tentang Islam kepada orang bukan Islam.

Kita kena faham bahawa Arab Madinah mempunyai ramai kawan-kawan dalam kalangan Yahudi dan Nasara yang mereka telah kenal lama, sebelum masuk Islam lagi. Mereka berkongsi kehidupan, berkongsi cerita dan berkongsi rahsia sebelum itu. Namun apabila mereka sudah masuk Islam, persahabatan dengan mereka tidak sama lagi kerana sudah berlainan agama.

Jangan salah anggap pula. Masih boleh lagi berkawan dengan mereka, tetapi berkawan biasa sahajalah. Jangan sampai menceritakan berita-berita rahsia dalam perancangan Islam. Lebih-lebih lagi waktu-waktu peperangan kerana rahsia peperangan adalah rahsia yang amat besar. Kita tidak tahu kalau kita beritahu kepada orang luar Islam, kepada siapakah lagi yang mereka akan beritahu. Entah-entah mereka akan sampaikan kepada musuh kita pula. Maka, Allah ‎ﷻ beri peringatan kepada orang Islam dalam ayat ini.

Kita mungkin sangka mereka itu masih rapat dan baik lagi dengan kita, tetapi perbezaan agama bukanlah perkara mudah. Sebagai satu kisah, ada yang masih ingat lagi bagaimana kehidupan di Palestin sebelum Israel mengambil alih. Orang Islam, orang Kristian dan Yahudi hidup bersama-sama dan bercampur gaul.

Dulunya mereka duduk berjiran dan boleh bergelak ketawa, anak-anak mereka main bersama-sama, membesar bersama-sama. Namun, sebaik sahaja Israel mengambil alih Palestin, mereka tiba-tiba sudah menjadi lain. Mereka tutup pintu rumah mereka, tidak bertegur sapa malah mengambil alih tanah kawan-kawan mereka yang Muslim.

لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا

Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu.

Orang kafir yang jahat hati itu tidak putus-putus hendak menimbulkan kesusahan kepada kamu umat Islam. Mereka sentiasa berusaha untuk menjatuhkan Islam dari luar atau dari dalam. Mereka akan buat pelbagai cara untuk menyusahkan umat Islam. Kita mungkin tidak tahu apa yang ada dalam hati mereka, tetapi sekarang Allah ‎ﷻ beritahu kita.

وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ

Mereka suka apa yang menyusahkan kamu.

Mereka suka kalau kita ditimpa bencana. Sebab mereka memang benci kepada kita. Dalam hati mereka berkeinginan hendak menyusahkan kita, baik dunia atau akhirat. Jadi jangan ambil mereka rapat dengan kita.

Sebagai contoh, orang-orang Syiah memang diajar untuk berbuat khianat kepada ahlus sunnah. Pernah sampai cerita kepada kita bagaimana mereka jamu makan di rumah mereka, tetapi mereka letak najis dalam makanan.

Maka kena berhati-hati dengan orang kafir. Bukan tidak berkawan langsung, tetapi jangan kongsi rahsia dengan mereka kerana kita diajar untuk berbaik dengan semua orang, jangan caci maki orang lain walaupun berlainan agama. Kita diajar untuk hidup harmoni dengan semua agama. Namun kita kena tahu batas-batas kita.

قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوٰهِهِمْ

Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya,

Dengan lidah mereka telah menzahirkan kebencian mereka. Lihatlah di media massa sekarang, bagaimana mereka kata kita adalah agama yang menyebabkan teroris, agama yang menekan orang perempuan, ada yang suruh bakar Al-Qur’an, mereka ada yang tidak suka orang Islam tinggal di negara mereka sampaikan mereka ingin menghalau orang Islam, ada yang mengharamkan pakai tudung kepada orang perempuan, dan banyak lagi. Ini baru yang kita dengar di media massa.

Kalau kita tidak mengamalkan Islam, mereka tidak kisah kepada kita, tidak kacau kita, malah mereka suka kalau ada orang Islam yang tidak mengamalkan agama Islam. Namun kalau kita mengamalkan agama Islam seperti yang sepatutnya, mereka akan benci kita. Dalam percakapan mereka pun mereka sudah zahirkan. Daripada kata mereka pun kita sudah dapat agak.

وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ

dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi.

Apa yang dalam hati mereka lagi teruk dari apa yang mereka luahkan di dunia nyata. Selalunya orang tidak akan keluarkan apa yang dalam hati mereka di khalayak ramai. Namun bayangkan kalau sudah terkeluar di media massa, tentu dalam hati mereka lebih teruk lagi kerana apa yang mereka keluarkan di media tentulah mereka tidak meluahkan sepenuhnya, mereka tidak keluarkan semua kerana mereka segan juga dengan masyarakat dunia.

Kita memang tidak tahu apa yang ada dalam hati manusia. Namun begitu, Allah ‎ﷻ beritahu kita, dalam hati mereka lebih teruk lagi benci mereka kepada kita. Kalau boleh mereka hendak bunuh kita dan lenyapkan kita dan agama Islam dari dunia.

قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيٰتِ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ

Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.

Alamat kebencian mereka kepada kita, Allah ‎ﷻ sudah tunjukkan dalam ayat-ayat ini. Maka kitalah kena fikir-fikirkan sendiri. Allah ‎ﷻ suruh kita gunakan akal kita.

Tafsir Ayat ke-119

هَـٰٓأَنتُم أُولَاءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتٰبِ كُلِّهِ وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوا ءآمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ الْغَيْظِ قُلْ مُوتُوا بِغَيْظِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Qur’an). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

 

هَـٰٓأَنتُم أُولَاءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ

Kamu ini adalah orang-orang, kamu sahajalah yang suka mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu.

Allah ‎ﷻ menegur kita dalam ayat ini. Kamu sahaja yang kasih kepada mereka (penentang Islam) tetapi mereka tidak kasih pun kepada kamu. Kamu sahaja yang tergila-gilakan kepada mereka, tiru cara hidup mereka, cara pakaian mereka, cara pemikiran mereka dan sebagainya. Namun mereka bencikan kamu.

وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتٰبِ كُلِّهِ

kamu beriman kepada segala Kitab Allah

Kamu beriman kepada semua kitab suci, asalkan daripada Allah ‎ﷻ kamu pasti terima, tetapi mereka menggunakan kitab mereka sahaja dan yang lain mereka tolak. Yahudi terima Taurat dan tolak Injil dan Nasara terima Taurat dan Injil, tetapi tolak Al-Qur’an.

Antara lain, sebab kita beriman kepada semua kitablah yang mereka benci kita. Mereka tidak beriman dengan ikhlas. Mereka beriman dengan perkara yang akan memenangkan mereka sahaja.

وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوا ءآمَنَّا

Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”,

Cuma mereka itu pandai berkawan dan berhelah. Bila dengan kita, mereka kata mereka suka agama Islam, agama Islam ada persamaan dengan mereka, agama Islam dan agama mereka lebih kurang sahaja, sama-sama mengajak kepada kebaikan, dan banyak lagi mereka kata supaya kita lembut kepada mereka. Mulut mereka manis sahaja kalau di hadapan kita.

وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ الْغَيْظِ

tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah

Namun kalau sesama mereka, mereka akan kutuk kita. Entah apalah mereka akan katakan dan gelakkan tentang kita, kita pun tidak tahu. Kadang-kadang kita terdengar juga sebab mereka sangka kita tidak dengar apa yang mereka kata. Mereka tengok kita dengan geram sahaja. ‘Gigit hujung jari’ itu adalah perumpamaan marah sangat dengan kita.

قُلْ مُوتُوا بِغَيْظِكُمْ

katakanlah: “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”.

Kita disuruh cakap kepada mereka begini: Kamu semua pergi matilah dengan kebencian kamu itu.

Keras sekali apa yang Allah ‎ﷻ katakan ini.

إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

Allah ‎ﷻ tahu apa yang dalam hati mereka, dan sekarang Allah ‎ﷻ telah beritahu kita. Begitu juga, Allah ﷻ tahu apa yang dalam hati kita. Jadi kalau kita ada simpan kasih sayang lagi kepada mereka, itu sudah salah.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan