Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-109 hingga Ke-112

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-109 hingga Ke-112

477
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran

Tafsir Ayat Ke-109

Ini adalah dalil aqli kelima.

وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ

Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.

وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ

Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi,

Apa sahaja yang ada di alam ini, termasuklah kita, adalah milik Allah. Kita kena rasa diri rendah diri bila baca ayat-ayat seperti ini. Dan bila kita milik Allah, kita tidak ada hak melawan dan buat tidak tahu dengan kehendak-Nya. Kita kena belajar apakah arahan-Nya dan kita kena taat.

وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ

dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.

Semua perkara kembali kepada Allah SWT. Allah SWT yang akan buat keputusan atas segala perkara termasuklah segala amal perbuatan kita. Allah SWT juga yang menentukan apa yang akan terjadi. Oleh itu, kita sebagai makhluk yang hina, yang menjadi hamba-Nya, hendaklah belajar untuk redha dengan apa sahaja yang terjadi. Kerana semua perkara yang terjadi adalah dalam penentuan-Nya, dalam hikmah-Nya. Kita sahaja yang tidak nampak perancangan Allah SWT.

Tafsir Ayat Ke-110

Umat Islam kena jadi umat seperti sahabat Nabi. Dan sekarang disampaikan kepada kita ayat ini yang menceritakan keadaan para sahabat sebagai motivasi kepada kita.

Ayat ini adalah tentang amar makruf nahi mungkar. Kita boleh masuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini kalau kita buat sama seperti apa yang mereka lakukan.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ ءآمَنَ أَهْلُ الْكِتٰبِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفٰسِقُونَ

Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,

Ayat ini ditujukan kepada para sahabat. Kita belum tentu lagi seperti mereka. Sahabat adalah sebaik-baik umat yang boleh dijadikan sebagai contoh. Mereka terbaik dari segi akidah dan amalan. Oleh itu, neraca kita adalah sahabat.

Oleh sebab itu, dalam amalan agama, kita kena selalu tanya, adakah sahabat buat amalan-amalan sebegitu? Kerana mereka belajar sendiri daripada Nabi dan mereka lebih faham agama daripada kita. Oleh itu, ada amalan-amalan yang kita kena periksa. Adakah amalan itu ada dibuat oleh mereka?

Sebagai contoh, adakah mereka melakukan Solat Hajat berjemaah? Adakah mereka buat Majlis Tahlil, Talqin, berdoa di kubur dan sebagainya? Kalau tidak ada, maka ada masalah kalau masyarakat kita ada mengamalkan amalan-amalan sebegitu. Kerana orang yang terbaik dalam agama tidak buat, jadi kenapa kita pula ada buat?

Para sahabat telah diberi kedudukan yang tinggi kerana Allah SWT pilih mereka untuk jadi sahabat. Perkataan ‘dikeluarkan’ dalam ayat ini maksudnya ‘dipilih’. Dalam ramai-ramai manusia dalam alam ini, mereka yang diberi peluang untuk duduk berjuang dan berdakwah bersama dengan Nabi SAW.

Lalu, kalau kedudukan mereka tinggi sebegitu sampai dipuji oleh Allah SWT, bagaimana mungkin ada golongan seperti Syiah yang sanggup untuk mengatakan mereka murtad setelah Nabi SAW wafat? Ini memang amat karut sekali? Tetapi bagaimana puak-puak Syiah ini boleh dapat tempat di negara kita yang kita cintai ini?

Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kelemahan ilmu agama masyarakat kita. Mereka sampai senang ditipu dan diperdaya oleh diayah-diayah golongan sesat sebegitu. Mereka pandai memutar-belitkan fakta agama dan kerana orang kita sendiri tidak ada pengetahuan agama, mereka senang terpedaya. Oleh itu, tingkatkanlah ilmu agama tuan-tuan. Dan ajarlah anak beranak dan sahabat handai supaya tidak senang ditipu.

تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ

kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah

Para sahabat itu sebar agama. Mereka sampai telah mengembara ke serata dunia untuk menyampaikan agama Islam ini kepada umat manusia. Sampaikan ramai sahabat yang mati di negara yang jauh dari Mekah dan Madinah.

Bukan sahaja mereka berdakwah tetapi mereka menegur kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Kita pun kenalah juga buat apa yang mereka lakukan. Kena jalankan amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat kita. Kena tegur kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat sekarang kerana memang banyak yang ada masalah.

Kita tidak boleh biarkan sahaja kerana kalau kita biarkan, mereka sangka apa yang mereka lakukan itu tidaklah salah. Malangnya, ustaz-ustaz di negara kita memang segan hendak tegur anak murid kerana takut mereka lari dari belajar. Mereka jaga sangat hati anak-anak murid.

Memang mereka hendak jaga sensitiviti masyarakat, tetapi kesannya amat bahaya. Bila tidak dijalankan amar makruf nahi mungkar, maka anak murid akan rasa: “takkan salah, kerana kalau salah tentu ustaz aku dah tegur!”

وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

serta kamu pula beriman kepada Allah

Para sahabat itu benar-benar beriman dengan Allah SWT dengan sebenar-benar iman. Iman yang sempurna adalah tidak melakukan syirik atau mempunyai fahaman yang syirik. Ini penting untuk difahami kerana ada orang yang beriman dengan Allah SWT, dengan Rasul dan lengkap Rukun Iman mereka, tetapi dalam masa yang sama, mereka ada kepercayaan kepada fahaman syirik.

Maka kena belajar apakah iman para sahabat, bagaimana mereka faham tentang tauhid, tentang akidah. Janganlah pakai pegangan yang direka lama selepas mereka tidak ada!

وَلَوْ ءآمَنَ أَهْلُ الْكِتٰبِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم

Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah itu baik bagi mereka.

Ini kelebihan bagi Ahli Kitab. Kalau mereka beriman, mereka akan dapat dua ganjaran. Ganjaran pertama kerana mereka percaya kepada Kitab Suci mereka. Dan kedua, ganjaran kerana beriman dengan Nabi Muhammad SAW.

Ini adalah kelebihan mereka, yang tidak ada pada bangsa Arab kerana mereka tidak ada kepercayaan kepada Kitab Suci sebelum itu. Kita pun tidak ada kelebihan itu kerana kita lahir-lahir sudah beragama Islam. Maka ayat ini adalah ayat motivasi hendak memujuk mereka ke arah Islam.

مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ

di antara mereka ada yang beriman

Ada yang baik dalam kalangan mereka yang beriman dengan Nabi Muhammad SAW. Maka, jangan kita terus pukul rata semua Ahli Kitab itu buruk-buruk belaka. Ada juga yang beriman. Antara yang terkenal adalah seorang sahabat yang bernama Ibnu Salam.

وَأَكْثَرُهُمُ الْفٰسِقُونَ

dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

Tetapi majoriti daripada mereka adalah yang fasik. Fasik itu bermaksud tidak taat kepada arahan Allah SWT.

Amar makruf nahi munkar ini kena mulakan dengan diri sendiri, kemudian kepada keluarga kita sendiri. Sebelum kita nasihat kepada orang lain, kena mula dengan diri kita sendiri dulu. Dan kemudian mulakan dengan menasihati ahli keluarga dan sahabat handai (kadang kala inilah yang paling sukar).

Dan kena ingat yang kita nasihat orang lain adalah kerana kita sayang kepada mereka, bukannya kerana kita lebih baik daripada mereka. Jangan ada perasaan tidak elok macam itu. Jangan simpan perasaan kita lebih baik daripada orang lain.

Begitu juga kalau kita sudah terima sunnah – alhamdulillah. Tetapi jangan kutuk orang lain yang belum terima kerana kita dulu pun macam mereka juga, buat syirik, buat bid’ah. Cuma kita dapat hidayah dahulu daripada mereka. Entah-entah mereka kalau terima hidayah, mereka jadi lebih baik daripada kita, lebih pandai daripada kita, lebih warak daripada kita.

Tafsir Ayat Ke-111

لَن يَضُرُّوكُمْ إِلَّا أَذًى وَإِن يُقٰتِلُوكُمْ يُوَلُّوكُمُ الْأَدْبَارَ ثُمَّ لَا يُنصَرُونَ

Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan dibantu.

لَن يَضُرُّوكُمْ إِلَّا أَذًى

Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti

Apabila mereka majoritinya fasik, mereka ada kemungkinan akan buat perkara yang jahat. Kerana yang pasti akan buat perkara yang baik adalah orang beriman sahaja kerana mereka dipandu oleh iman mereka. Kalau fasik, mereka dipandu oleh hati mereka.

Walaupun mereka akan buat jahat kepada kita, Allah SWT hendak beritahu kita dalam ayat ini, jangan takut dan risau kerana mereka tidak akan dapat beri mudharat kepada kita melainkan dari segi kata-kata sahaja. Seperti menyakitkan hati kita, buat propaganda buruk dan sebagainya. Jangan risau kerana Allah SWT janji akan jaga.

Namun, janji itu syaratnya adalah sekiranya ikut cara sahabat. Kalau kita pun porak peranda, agama entah ke mana, wahyu pun tidak kenal, memang tidaklah akan dapat bantuan daripada Allah SWT kerana ayat sebelum ini telah disebut kita kena ikut jalan mereka.

وَإِن يُقٰتِلُوكُمْ يُوَلُّوكُمُ الْأَدْبَارَ

Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu

Mereka tidak akan sanggup memerangi orang mukmin. Kalau mereka ada niat hendak perang pun, mereka sudah akan ada rasa takut dan akan lari. Tetapi sekali lagi, kenalah kita sendiri betul dahulu.

ثُمَّ لَا يُنصَرُونَ

sesudah itu mereka tidak akan dibantu

Mereka tidak dibantu kerana Allah SWT murka dengan mereka. Allah SWT akan hancurkan mereka kalau mereka berani hendak menentang umat Islam (yang kuat imannya).

Ayat ini diturunkan sebelum orang Islam berperang dengan ahli kitab. Allah SWT sudah beritahu siap-siap apa yang akan terjadi. Jadi ayat-ayat sebegini adalah bekal kekuatan bagi para mujahideen.

Tafsir Ayat Ke-112

Ini adalah jenis ayat ta’liliyah (penjelasan sebab sesuatu itu terjadi). Allah memberitahu kenapa Puak Ahli Kitab itu ditimpa kehinaan.

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ الْأَنبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ

Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab daripada Allah dan adanya sebab daripada manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan daripada Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintah-Nya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa melampau (hukum-hukum Allah).

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا

Mereka ditimpakan kehinaan di mana sahaja mereka berada,

Mereka tidak dihormati walau kaya macam mana pun. Mereka dihina walau di mana sahaja mereka berada. Kalau orang nampak macam hormat kepada mereka pun, kerana mereka ada kuasa kekayaan dan terpaksa tunduk kepada kehendak mereka.

إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ اللَّهِ

kecuali dengan adanya sebab tali Allah

Mereka selamat kerana syariat Allah SWT yang tahan mereka dari dibunuh atau diperangi seperti kalau perang dengan mereka, tidak boleh bunuh ahli ibadat mereka. Atau Allah SWT ada tolong mereka sedikit sebanyak.

وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ

dan adanya sebab tali dengan manusia.

Atau kerana mereka ada perjanjian perdamaian sesama manusia. Ada juga yang bantu mereka. Mereka dibantu, tetapi sebenarnya mereka bukan dihormati.

وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ

Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan daripada Allah,

Mereka ini memang layak mendapat kemurkaan daripada Allah SWT. Banyak sekali kesalahan-kesalahan yang mereka telah lakukan dan ini banyak disebut dalam Surah Baqarah sebelum ini. Mereka akan mati dalam kemurkaan daripada Allah SWT kalau mereka tidak terus beriman dengan segera.

وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ

dan mereka ditimpakan kemiskinan

Lafaz الْمَسْكَنَةُ yang dimaksudkan dalam ayat ini, bukanlah kemiskinan dari segi harta, tetapi mereka ditimpa hilang semangat untuk agama. Tidak ada Yahudi dijadikan contoh dalam hal agama.

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ

Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah

Kenapa mereka dikenakan dengan balasan yang buruk-buruk itu? Inilah yang dimaksudkan dengan ayat ta’liliyah itu. Allah SWT hendak memberitahu sebab kerana mereka sentiasa kufur dengan ayat-ayat Allah. Mereka bukan sahaja ingkar dengan ayat daripada Al-Qur’an, tetapi daripada Kitab Suci mereka pun mereka ingkar juga.

وَيَقْتُلُونَ الْأَنبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ

dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar.

Dan kerana mereka bunuh Nabi. Ramai daripada kalangan Nabi mereka yang mereka bunuh. Teruk sekali perbuatan mereka itu. Kalau bunuh orang biasa pun sudah teruk, tambahan pula kalau bunuh Nabi.

ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا

Semuanya itu disebabkan mereka derhaka

Ayat ta’liliyah lagi. Kenapa mereka sampai sanggup bunuh para Nabi? Sebab sebelum itu mereka sudah banyak langgar hukum daripada Allah. Apabila sudah banyak kali langgar, tidak kena balasan terus daripada Allah, maka mereka jadi terbiasa buat dosa yang lebih teruk lagi.

وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ

dan mereka sentiasa melampau

Asal mereka jadi begitu adalah kerana mereka melampau, melanggar batasan dalam agama. Mereka bukannya tidak tahu mana batasan tetapi mereka itu jenis yang amat degil.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan