Tafsir Surah Ali-Imran
Tafsir Ayat Ke-104
Apabila umat Islam sudah bersatu, dan supaya kekal bersatu, kena ada sifat-sifat yang akan disebutkan:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak
Ada dua tafsir kepada potongan ayat ini:
1. Semua kita umat Islam kena ada sifat-sifat ini. Setelah kita belajar tafsir Al-Qur’an dan tauhid, tahu apa yang perlu dilakukan, maka kita hendaklah menjadi seperti sifat-sifat yang disebut dalam ayat ini.
2. Kena ada satu umat yang mempunyai sifat-sifat ini. Maknanya bukanlah semua umat Islam.
Kalimah أُمَّةٌ bermaksud satu kumpulan yang tidak dibatasi oleh bangsa, bahasa dan negara. Tidak asabiyyah (sifat kepuakan). Dan yang menyatukan mereka adalah kalimah tauhid.
يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ
yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan
Sifat mereka adalah mereka mengajak (dakwah) sesiapa sahaja ke arah kebenaran Islam. Mereka mencari peluang di mana sahaja untuk berdakwah kepada manusia.
Mereka mengajak kepada apa? إِلَى الْخَيْرِ (ke arah kebaikan). ‘Kebaikan’ adalah apa-apa yang tsabit datang dari wahyu. Banyaklah perkara yang termasuk dalam perkara ini. Perkara ini kena belajar. Seorang yang hendak mencari kebenaran dalam agama, kenalah melazimi majlis ilmu dan belajar segala perkara yang perlu diketahui oleh seorang Muslim. Kalau diri sendiri tidak belajar, maka kepada apa yang kita hendak ajak manusia?
وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ
dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik,
Makruf adalah sesuatu yang telah diketahui secara umum. Tidak payah ajar pun orang sudah tahu. Cuma hendak kena ingatkan sahaja. Maknanya ini adalah kebaikan universal – contohnya seperti adab, cakap benar, tolong menolong, jangan ganggu orang lain dan sebagainya.
Kena ajak dengan cara baik. Ini adalah cara dakwah. Dan dakwah kena dijalankan dengan cara yang baik. Kalau kita ajak orang lain, tetapi dengan cara yang mereka tidak suka, ianya tidak berjaya. Ini pun kena belajar dan kena sabar dalam menjalankannya kerana bukanlah semua yang kita ajak akan terima. Kena ada cara-caranya.
وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ
serta melarang daripada segala yang salah
Dan mereka menghalang orang lain dari melakukan perkara mungkar. Mungkar adalah lawan kepada makruf. Benda yang semua orang tahu sebagai tidak baik. Asal bahasa, ia bermaksud ‘asing’.
Hendak nasihat orang yang buat salah pun kena berhemah juga. Kalau kita terus kata mereka teruk, tentulah mereka akan marah dan tidak mahu ikut nasihat kita lagi. Untuk orang terima nasihat kita, hendaklah ada pertalian antara yang memberi nasihat dan yang diberi nasihat itu. Kalau tidak, susah untuk yang dinasihati untuk terima. Orang akan selalu percaya dan terima cakap orang yang mereka selesa.
Oleh itu, amar makruf adalah Jihad menggunakan lisan. Jangan berat mulut untuk beri nasihat dan tegur orang lain.
Nahi mungkar pula boleh sampai naik pedang untuk menegakkannya iaitu kepada mereka yang masih tetap berdegil dan sampai melakukan kezaliman kepada orang lain, kenalah kita berkeras sampai kadang-kadang kena hunuskan pedang. Namun, jihad dengan pedang ini, hanya kepada sesiapa yang ada kemampuan. Tidak semua orang boleh buat.
وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Maksud الْمُفْلِحُونَ adalah mereka yang berjaya setelah melakukan usaha, bukannya dengan goyang kaki sahaja. Memang menjalankan amar makruf dan nahi mungkar memerlukan usaha.
Tafsir Ayat Ke-105
Bani Israil tidak ada buat amar makruf nahi mungkar, maka kerana itu agama mereka rosak.
وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنٰتُ وَأُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.
وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan
Mereka bermusuh dari segi fizikal (تَفَرَّقُوا) dan berselisih dalam fahaman agama (وَاخْتَلَفُوا). Mereka berbalah hal agama sampai ke tahap berperang sesama mereka. Mereka berbalah itu selepas mereka berpecah belah.
Sebenarnya tidak salah kalau ada perbezaan pendapat tetapi angan kerana hanya mahu pertahan kumpulan mereka sahaja. Yang penting adalah kebenaran (walaupun tidak berpihak kepada puak kita). Yang bahayanya, kalau sudah mula berpecah belah dan berbeza pendapat hingga memudharatkan diri. Ada yang sudah tidak kisah mana benar dan tidak, mereka hanya hendak pertahankan kedudukan kumpulan mereka sahaja.
مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنٰتُ
sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata
Perpecahan itu terjadi selepas mereka jelas tentang agama. Mereka telah tahu kebenaran dari nas-nas agama tetapi mereka masih tetap lagi berpecah belah. Malangnya, inilah yang terjadi dalam masyarakat Islam sekarang. Kita sedang menuju kepada apa yang dilakukan oleh Yahudi dan Nasara dahulu.
Saban hari kita dapat melihat perpecahan dan perdebatan dalam kalangan orang kita. Malangnya, kadang-kadang kita lihat perkara ini berlaku dalm kalangan agamawan juga. Sampai pening orang awam hendak pilih mana satu.
وَأُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.
Inilah ancaman Allah SWT, tentang apa yang boleh terjadi kerana tiada amar makruf nahi mungkar. Apabila tiada amar makruf nahi mungkar, akan terjadi perpecahan dan perbalahan akhirnya membawa kepada azab Allah.
Tafsir Ayat Ke-106
Allah SWT beritahu kepada kita terdapat dua jenis manusia di akhirat nanti.
يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ فَأَمَّا الَّذِينَ اسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ أَكَفَرْتُم بَعْدَ إِيمٰنِكُمْ فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ
(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): “Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu”.
يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ
hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam.
Di akhirat nanti, manusia boleh cam mana ahli syurga dan ahli neraka. Ahli syurga akan berwarna putih cerah wajahnya dan ahli neraka akan hitam legam wajah mereka.
فَأَمَّا الَّذِينَ اسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ
Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya,
Muka ahli neraka akan hitam legam. Semua orang akan tahu yang mereka itu adalah bakal ahli neraka.
أَكَفَرْتُم بَعْدَ إِيمٰنِكُمْ
“Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman?
Dikatakan kepada mereka oleh malaikat: kenapa kamu murtad setelah kamu beriman?
Termasuk dalam mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang-orang munafik dan ahli bid’ah. Mereka itu dikira murtad kerana telah tolak syariat. Inilah bahayanya melakukan amalan bid’ah kerana amalan bid’ah itu melawan sunnah.
Ingatlah yang bid’ah itu hasil dari penipuan syaitan (talbis iblis). Syaitan mulanya akan suruh buat perkara bid’ah dulu, tetapi sebenarnya dia hendak kita murtad, sebenarnya. Kalau bid’ah tidak dibendung dan dibiarkan berleluasa, maka kita akan menuju ke arah kesesatan. Mungkin bid’ah nampak tidak bahaya pada awalnya kerana kecil sahaja, tetapi kesannya dalam jangka panjang adalah sesat.
فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ
Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu
Kalau kufur, manusia akan menerima azab yang menyebabkan mereka akan kekal dalam neraka. Semoga kita diselamatkan dari termasuk ke dalam golongan ini.
Tafsir Ayat 107
وَأَمَّا الَّذِينَ ابْيَضَّتْ وُجُوهُهُمْ فَفِي رَحْمَةِ اللَّهِ هُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ
Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya.
وَأَمَّا الَّذِينَ ابْيَضَّتْ وُجُوهُهُمْ
Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya,
Nasib kepada mereka yang putih wajahnya kerana iman mereka, tidaklah sama. Mereka ini akan mendapat kebaikan. Maka kita apabila baca ayat ini, hendaklah hati kita berdoa supaya termasuk dalam golongan ini.
فَفِي رَحْمَةِ اللَّهِ
maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah
Rahmat yang dimaksudkan itu adalah syurga. Kerana kita kena ingat yang kita hanya dapat masuk syurga dengan rahmat Allah SWT, bukan dengan usaha dan amalan kita. Tetapi ramai juga yang salah faham dengan maksud ini. Mereka bertanya: apa pula kena beramal ibadat?
Jawapannya, untuk mendapat rahmat Allah SWT, bukanlah dengan goyang kaki. Tetap juga kena beramal ibadat. Kerana untuk mendapat rahmat Allah SWT, tentulah dengan iman dan amal ibadat, bukan? Tidaklah berharap kosong sahaja?
هُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ
mereka kekal di dalamnya.
Kalau sekejap sahaja tinggal di syurga, itu tidaklah hebat mana, kerana kita tidak akan dapat merasai nikmat itu sepenuhnya kerana kita tahu yang kita akan keluar dari tempat itu akhirnya. Jadi, Allah SWT beritahu yang penghuni syurga akan kekal di dalam syurga selama-lamanya.
Inilah rahmat yang terbesar. Kita manusia memang hendak tempat tinggal yang tetap. Di dunia lagi kita suka kalau rumah yang kita tinggal itu kita punya. Maka, ramai yang beli rumah supaya rumah itu kekal, bukan disewa sahaja. Maka Allah SWT penuhi naluri manusia dengan memberikan rumah yang kekal abadi dalam syurga.
Bayangkan betapa pemurahnya Allah SWT Tuhan kita. Kita beramal bukannya lama pun namun balasan yang diberikan kekal sampai bila-bila.
Tafsir Ayat Ke-108
تِلْكَ ءآيٰتُ اللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِالْحَقِّ وَمَا اللَّهُ يُرِيدُ ظُلْمًا لِّلْعٰلَمِينَ
Itulah ayat-ayat keterangan Allah, Kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar. Dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhluk-Nya.
تِلْكَ ءآيٰتُ اللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِالْحَقِّ
Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan haq.
Inilah ayat-ayat Allah SWT yang kita hendaklah beri perhatian. Allah SWT hendak menegaskan bahawa ada sebab ayat-ayat ini dikhabarkan. Ia dijelaskan untuk menceritakan kebenaran. Kalau kita tidak belajar, bagaimana kita hendak tahu kebenaran? Takkan kita hendak agak-agak sahaja?
وَمَا اللَّهُ يُرِيدُ ظُلْمًا لِّلْعٰلَمِينَ
Dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhlukNya.
Sebelum ini telah disebut tentang Allah SWT memasukkan manusia yang degil ke dalam neraka. Allah SWT tidaklah berlaku zalim dalam hal ini. Mungkin ada manusia yang terfikir “eh zalimnya Tuhan kau…”. Ingatlah yang Allah tidak zalim. Kerana memang mereka yang dimasukkan ke dalam neraka itu kerana kesalahan mereka sendiri. Mereka telah diberikan peluang tapi mereka telah mensia-siakan peluang itu.
Tidaklah Allah SWT pernah mahu kezaliman kepada hamba-Nya. Allah tidak pernah zalim dan tidak akan berlaku zalim. Ini kita kena pegang dan ingat. Jangan kita ada salah sangka dengan Allah SWT tetapi yang mahukan begitu adalah syaitan. Sebab ada perkataan مَا di situ. Maksudnya, ada yang hendak melakukan kezaliman kepada manusia (tetapi bukan Allah SWT).
Allahu a’lam.