Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-77 hingga Ke-80

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-77 hingga Ke-80

262
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran
Tafsir Ayat Ke-77

Ini adalah ayat takhwif ukhrawi.

إِنَّ الَّذينَ يَشتَرونَ بِعَهدِ اللَّهِ وَأَيمٰنِهِم ثَمَنًا قَليلًا أُولٰئِكَ لا خَلٰقَ لَهُم فِي الآخِرَةِ وَلا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ وَلا يَنظُرُ إِلَيهِم يَومَ القِيٰمَةِ وَلا يُزَكّيهِم وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

إِنَّ الَّذينَ يَشتَرونَ بِعَهدِ اللَّهِ وَأَيمٰنِهِم ثَمَنًا قَليلًا

Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji dengan Allah dan mencabuli sumpah mereka, untuk keuntungan dunia yang sedikit

Ini adalah tentang mereka yang sanggup tukar fahaman tauhid dengan mengambil fahaman syirik. Mereka jual janji yang telah dibuat dengan Allah untuk mentauhidkan-Nya. Ini termasuk bomoh-bomoh atau guru yang mengajar ajaran yang berlandaskan syirik kepada manusia kerana mereka boleh mendapat upah daripada manusia daripada ajaran mereka itu.

Atau mereka sanggup jual sumpahan mereka dalam berurusan dengan manusia. Sanggup guna sumpah dalam menipu.

Golongan Yahudi ada yang sanggup menipu tentang isi Kitab Taurat dan mereka sanggup bersumpah untuk mengatakan yang mereka tidak menipu.

Ayat ini juga menempelak mereka yang ringan sahaja mulut mereka mengucapkan sumpah dengan nama Allah. Mereka bersumpah dengan nama Allah kerana hendak orang senang percaya kepada mereka maka senanglah mereka menipu. Ini adalah amat buruk sekali kerana kesannya, manusia sudah tidak akan percaya kepada orang lain lagi, kerana murah sumpah atas nama Allah.

Menggunakan nama Allah sebagai sumpah tetapi menipu adalah amat buruk sekali kerana merendahkan nilai nama Allah.

Semua itu sanggup mereka lakukan untuk ambil harta yang sedikit. Walau banyak mana pun keuntungan yang diperoleh hasil daripada sumpah palsu itu, ia masih kecil dan sedikit sekali kalau dibandingkan dengan azab yang mereka akan perolehi di akhirat kelak.

أُولٰئِكَ لا خَلٰقَ لَهُم فِي الآخِرَةِ

mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat,

Tidak dapat apa pun bahagian yang baik di akhirat. Mereka akan dapat dosa sahaja.

وَلا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ

dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka

Allah tidak akan berkata-kata dengan cara baik kepada mereka. Allah hanya akan berkata-kata dalam nada yang amat murka kepada mereka.

وَلا يَنظُرُ إِلَيهِم يَومَ القِيٰمَةِ

dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat,

Allah tidak akan melihat mereka dengan pandangan rahmat. Dan mereka pun akan dibangkitkan dalam keadaan buta. Ini menunjukkan betapa hinanya mereka.

Ini adalah satu hukuman yang amat berat yang Allah sebut di sini. Kerana ada dosa-dosa besar yang lain seperti minum arak dan berzina. Tetapi Allah tidak kata pun yang Dia tidak akan bercakap atau memandang mereka.

وَلا يُزَكّيهِم

dan tidak akan membersihkan mereka

Mereka tidak akan dibersihkan daripada dosa mereka. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan akan diazab atas dosa-dosa mereka itu. Sedangkan orang mukmin, mereka pun mungkin juga ada dosa, tetapi Allah ampunkan dosa mereka.

وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Yang mereka dapat hanyalah azab yang amat pedih daripada Allah. Azab itu tidak berkurangan sedikit pun dari mula mereka masuk sampai bila-bila.

Tafsir Ayat ke-78

Ini adalah ayat syikayah kelima yang ditujukan kepada Ahli Kitab. Bukan harta benda sahaja yang mereka khianat, malah ilmu pun mereka khianat juga.

وَإِنَّ مِنْهُمْ لَفَرِيقًا يَلْوُونَ أَلْسِنَتَهُم بِالْكِتٰبِ لِتَحْسَبُوهُ مِنَ الْكِتٰبِ وَمَا هُوَ مِنَ الْكِتٰبِ وَيَقُولُونَ هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَمَا هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian daripada Kitab Taurat padahal ia bukanlah daripada Kitab itu. Dan mereka pula berkata: “(bahawa) ia adalah (datangnya) daripada sisi Allah”, padahal ia bukanlah daripada sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).

وَإِنَّ مِنْهُمْ لَفَرِيقًا يَلْوُونَ أَلْسِنَتَهُم بِالْكِتٰبِ

Dan sesungguhnya, di antara mereka ada yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab

Mereka memutar belit lidah mereka semasa membacakan kitab. Mereka heret huraian kitab kepada maksud yang mereka hendak ikut nafsu mereka. Maknanya, mereka guna bahasa untuk memusingkan maksud kitab suci.

Mereka memang pandai guna bahasa. Lihatlah bagaimana mereka menggunakan perkataan راعِنا seperti yang disebut dalam ayat [ Baqarah:104 ]. Begitu juga mereka telah ubah lafaz salam kepada Nabi dengan menggunakan lafa ‘sam’ yang bermaksud ‘mati’ dan macam-macam lagi.

لِتَحْسَبُوهُ مِنَ الْكِتٰبِ

supaya kamu menyangkanya sebahagian daripada Kitab

Mereka pandai berhujah kepada pengikut mereka supaya yang dengar itu sangka itu memang benar daripada kitab. Dan memang kebanyakan pengikut tidak dapat menilai kerana ramai yang pakai ikut sahaja apa kata pemimpin mereka.

Tambahan pula mereka tidak dapat melihat keseluruhan kitab Taurat itu. Ini adalah kerana keseluruhan kitab dipegang oleh pemimpin agama sahaja. Masyarakat awam tidak ada naskah penuh (tidak macam kita yang setiap rumah boleh dikatakan ada naskah Al-Qur’an).

وَمَا هُوَ مِنَ الْكِتٰبِ

padahal ia bukanlah daripada Kitab

Sedangkan ia bukan daripada kitab. Atau makna yang sebenar bukanlah seperti yang tertulis dalam kitab wahyu mereka.

Kita telah tahu sebelum ini bagaimana golongan Ahli Kitab itu pandai menggunakan bahasa untuk memesongkan sesuatu maksud. Macam mereka ubah perkataan undzurna kepada raa’ina seperti dalam ayat [ Baqarah:104 ]. Dan kita tahu dari sirah bagaimana mereka beri salam kepada Nabi Muhammad bukan assalamualaikum tetapi assamu’alaikum yang bermaksud ‘matilah kamu’. Jadi mereka itu memang pandai pusing-pusing bahasa.

Maka, pengajaran yang kita boleh ambil daripada ayat ini, janganlah kita pusing-pusing ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith Nabi untuk membenarkan perbuatan kita. Malangnya begitulah yang terjadi. Banyak dalam negara ini yang menggunakan hadith untuk membenarkan amalan bid’ah mereka dengan mereka memusingkan makna ayat Al-Qur’an atau lafaz hadith itu.

Sebagai contoh, sampai ada yang menggunakan hadith Nabi untuk suruh lafaz niat usolli, padahal tidak ada. Sebab tidak ada, mereka pakai sahaja mana yang ada. Mereka ambil hadith Nabi:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

(Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.)

Mereka sanggup gunakan perkataan أُصَلِّي dalam hadith ini sebagai dalil adanya lafaz niat yang dimulai dengan ‘usolli’ itu! Sedangkan kalau kita guna akal yang waras, ini bukan lafaz niat! Ini amatlah tidak bertanggung jawab langsung.

وَيَقُولُونَ هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَمَا هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ

Dan mereka pula berkata: “(bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah”, padahal ia bukanlah dari sisi Allah;

Mereka kata maksud yang mereka sampaikan itu dari Allah padahal tidak pun. Kita tidak salah kalau beri pendapat kita tapi janganlah mengaku ia dari wahyu Allah. Macam ada orang yang beri pendapat sahaja dan beritahu itu pendapat mereka sahaja, supaya yang dengar tidak keliru dan tahu yang itu bukannya nas.

Malangnya ada yang beri dalil daripada ayat Al-Qur’an tetapi diterjemahkan ikut kehendak mereka. Sebagai contoh, ada golongan yang zikir menari dan melompat-lompat. Bila kita minta dalil bagi amalan itu mereka kata ada dalam Al-Qur’an ayat

[ Nisa’:103 ]

فَاذكُرُوا اللَهَ قِيٰمًا وَقُعودًا وَعَلىٰ جُنوبِكُم

hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.

Mereka kata, kejap duduk, kejap baring, kejap berdiri itu macam menarilah! Ini memang alasan amat karut sekali. Mereka pusing ayat Al-Qur’an ikut kehendak mereka. Sedangkan kalau kita baca ayat ini dan tafsirnya, tidaklah ia menyebut amalan zikir sambil menari.

وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ

dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah

Mereka bohong sedangkan mereka tahu itu bohong. Tujuan mereka adalah kerana hendak perangkap mereka yang jahil.

Kalau Allah sebut tentang perkara ini dalam Al-Qur’an, maknanya sekarang pun masih ada lagi perbuatan itu. Kerana perbuatan salah manusia berulang-ulang. Dalam kalangan masyarakat Islam pun ada. Ada yang buat perkara yang sama dengan Al-Qur’an. Mereka bacakan ayat Qur’an dan mereka tafsir ikut kemahuan mereka dan ikut kepada agenda mereka.

Maka yang mendengar telah keliru dan sangka itu sebahagian daripada agama. Begitulah yang banyak terjadi sekarang, sampaikan pecah belah masyarakat – antara yang tahu kebenaran dan antara yang jahil. Yang jahil itu tetap mahu mempertahankan pendapat yang salah.

Maka, mereka pun katalah yang ustaz itu kata boleh buat amalan ini, ulama’ itu kata begini dan begitu. Semua pakai kata-kata manusia sahaja, tetapi tidak disertakan dengan dalil daripada Al-Qur’an atau hadith. Mereka sendiri tidak tahu hendak belajar sampai faham Al-Qur’an, tetapi pakai pendapat manusia sahaja.

Itu tidak termasuk mereka yang dengan beraninya mengatakan sesuatu itu dalam Al-Qur’an. Kadang-kadang kita dapat ‘forward message’ daripada entah siapa yang kata: “ini Allah sudah sebut dalam Qur’an…” padahal kita tengok 30 juzuk Al-Qur’an, tidak ada pun disebut perkara yang mereka kata itu. Memang ini jenis orang pakai petik sahaja dan tidak tahu neraka.

Dan yang lebih sedih, ramai pula yang percaya! Sebab jahil sangat dengan Al-Qur’an. Apa yang ada dan tiada dalam Al-Qur’an pun mereka tidak tahu. Kalaulah golongan pendita itu dapat jumpa para penipu daripada kalangan umat Islam, tentu mereka minta autograph. Sambil mereka puji: “Kami nak tipu masyarakat kami, kami kena sorok kitab wahyu daripada mereka. Tetapi kamu lagi hebat! Kamu tipu masyarakat kamu sedangkan Al-Qur’an depan mata mereka!”

وَهُمْ يَعْلَمُونَ

sedang mereka mengetahui

Ini adalah orang yang paling teruk. Mereka bohong sedangkan mereka tahu itu bohong. Kalau kita sampaikan perkara salah kerana kita jahil tidak tahu (kerana tidak periksa betul-betul), pun sudah salah, apatah lagi kalau terang-terang membohong dalam tahu itu adalah bohongan.

Memang golongan Ahli Kitab itu paling teruk kerana mereka bohong dalam mereka tahu itu kebohongan.

Tafsir Ayat Ke-79

Ayat ini adalah jawapan bagi salah satu kesamaran yang ada pada Ahli Kitab. Banyak perkara yang menyebabkan mereka keliru tentang agama dan ini adalah salah satu darinya.

Mereka kata ada syarah daripada ahli agama mereka yang kata boleh buat amalan yang syirik, boleh tawasul dan sebagainya. Kitab-kitab itu ditulis oleh ulama mereka. Dan tulisan daripada kitab-kitab itu telah memerangkap manusia. Ia berlainan daripada apa yang ditulis dalam wahyu kerana kalau wahyu, akan suruh puja Allah sahaja. Mana boleh hujah pakai kitab untuk tolak wahyu.

Malangnya, masyarakat kita pun, sentiasa mahu pakai alasan dan hujah guna kitab – mereka akan kata kitab sekian kata boleh, kitab lain kata begini, begitu. Mereka tidak lihat lagi kepada wahyu tetapi banyak rujuk kepada kata-kata manusia sahaja dan ini bahaya.

Oleh kerana itu, kita kena hati-hati dengan hujah yang diberikan dalam kitab kerana kebanyakan kitab adalah kata-kata manusia sahaja. Ada hujah yang diberikan dalam kitab itu yang berlawanan dengan ayat Al-Qur’an dan hadith Nabi. Kena sedar yang kitab tulisan manusia bukanlah rujukan utama. Kadang-kadang ada kitab, orang lain yang tulis tetapi letak nama orang lain untuk mengelabui mata manusia. Ada juga masa cetak, telah dimasukkan tulisan bukan daripada pengarang – selit masuk tulisan yang bukan daripada pengarang. Ini boleh terjadi sebab tulisan kitab manusia tidak ada jaminan daripada Allah.

Maka, kerana itu kena ada proses tahqiq kitab – kitab. Ada ulama-ulama yang menjalankan tugas yang penting ini sebagai menjaga iman manusia. Sebagai contoh, kalau kitab berkenaan Mazhab Syafie, akan ada ulama yang mahir dengan usul Mazhab Syafie yang akan kaji dan tahqiq kitab itu sama ada ia bertepatan dengan method Imam Syafie. Jadi kita yang suka membaca ini kenalah hati-hati. Kena pakai kitab yang telah ditahqiq.

Dan yang penting kita kena belajar Al-Qur’an dan Sunnah dahulu. Kerana bila kita sudah tahu, kita sendiri boleh periksa sama ada apa yang disampaikan dalam kitab itu sesuai dengan nas atau tidak. Kalau tulisan manusia yang bercanggah dengan syariat, maka hendaklah ditolak. Buat apa hendak pakai lagi?

Jadi, ayat ini tentang ulama Nasara yang berhujah dengan Nabi Muhammad, guna kitab ulama mereka. Mereka kata ada disebut oleh ulama-ulama mereka. Sebagai balasan kepada hujah itu, inilah jawapan daripada Allah sendiri. Allah hendak beritahu, tidaklah Nabi akan suruh manusia jadi kafir pula.

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتٰبَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبّٰنِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتٰبَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتٰبَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab dan hikmat serta pangkat Nabi,

Iaitu manusia yang dipilih untuk terima wahyu dan telah dilantik menjadi Nabi lagi Rasul. Dan mereka telah diberi dengan Kitab suci pula sebagai ‘dalil naqli’. Dan mereka telah diberikan hikmah juga iaitu ‘dalil aqli’. Mereka itu adalah para Nabi dan Rasul yang ada wahyu dan ada akal yang hebat.

Nubuwwah – maksudnya kefahaman yang sebenar tentang agama. Allah beri fathonah (kebijaksaan) kepada para Nabi kerana orang bodoh tidak boleh jadi Nabi. Oleh kerana itu mereka faham dengan agama dengan mendalam sekali. Maka kita kena ikut ajaran mereka kerana mereka itu memang layak dan telah dipilih dan dilatih oleh Allah sendiri.

ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ

kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”.

Sekarang Allah beri hujah. Setelah mereka dilantik menjadi Nabi untuk seru kepada Allah, tidaklah mereka suruh umat seru mereka untuk seru mereka pula. Tidaklah mereka suruh umat seru mereka untuk sampaikan seruan itu kepada Allah. Yang mereka suruh adalah seru terus kepada Allah. Para Nabi tidak mengajar umatnya untuk mengamalkan tawasul. Mereka tidak pernah mengatakan mereka itu adalah perantara dalam doa. Sebaliknya semua Nabi akan suruh seru terus kepada Allah.

Para Nabi akan ajar perkara yang benar sahaja. Sebelum ini ada disebut tentang memenuhi janji. Para Nabi itu tidak akan memungkiri janji mereka untuk menunaikan tugas mereka seperti yang telah disuruh oleh Allah. Mereka tidak akan ajar buat perkara yang salah.

وَلَٰكِن كُونُوا رَبّٰنِيِّينَ

Tetapi dia berkata: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin

Sebaliknya mereka akan suruh umatnya jadi orang berilmu dan menghambakan diri kepada Allah sahaja. Mereka mengajak manusia menjadi ‘orang Ketuhanan’.

Ramai yang tidak faham maksud rabbani walaupun selalu disebut-sebut. Rabbani adalah mereka yang hanya ada hubungan dengan Allah sahaja dan tidak dengan entiti lain. Iaitu mereka yang kenal rabb dan patuh kepada rabb. Mereka terus kepada Allah supaya jadi ‘orang Tuhan’.

Maka hendaklah kita terus berhubung langsung dengan Allah dalam doa dan pengharapan tanpa menggunakan perantaraan makhluk. Nabi telah ajar cara-cara berdoa supaya selepas itu kita boleh buat sendiri. Yang Nabi ajar: zikir terus kepada Allah, ibadat terus kepada Allah, doa terus kepada Allah – jangan guna perantara pula. Tidak perlu hendak seru Nabi, wali dan malaikat dalam doa.

بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتٰبَ

kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu,

Allah jelaskan lagi maksud rabbani itu. Tidakkah kamu tidak tahu sebab kamu sendiri mengajar kitab suci. Kalau yang mengajar tentu sudah mantap fahaman kamu. Adakah ajaran dalam kitab suci yang suruh seru atau sembah selain Tuhan?

Ini juga memberi isyarat bahawa orang yang Rabbani itu akan mengajarkan kepada orang lain ilmu yang benar. Bukannya dia simpan sendiri, sebaliknya dia akan menyampaikan ilmu wahyu kepada masyarakat.

وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ

dan kerana kamu selalu mempelajarinya

Dan kerana kamu pun selalu belajar, tidakkah kamu tidak tahu? Macam orang kita yang belajar pondok, belajar agama di berbagai institusi. Adakah dalam Al-Qur’an dan hadith Nabi yang suruh kita bertawasul kepada Nabi, wali atau malaikat? Tentu tidak ada disebut dalam wahyu (yang ada hanyalah kata-kata manusia sahaja).

Kamu belajar macam-macam bidang agama, bila lagi kamu hendak mula belajar tafsir dan sunnah dengan cara yang betul? Iaitu cara faham salafussoleh – iaitu mereka yang lebih faham agama daripada orang yang terkemudian. Mereka lebih faham kerana mereka lebih dekat masa mereka dengan Nabi. Kenapa hendak guna hujah daripada manusia tanpa dalil daripada wahyu Al-Qur’an atau daripada hadith Nabi?

Maka, dari sini kita dapat tahu bahawa ada orang berilmu tetapi mereka tidak rabbani. Mereka setakat ada ilmu sahaja. Macam-macam mereka belajar, berbagai kitab mereka baca, akan tetapi mereka tidak ajar untuk manusia terus berhubung kepada Allah.

Ayat ini juga memberi isyarat bahawa orang Rabbani itu akan sentiasa menambah ilmu mereka dengan terus belajar, mengkaji dan tadabbur ilmu yang dia ada. Sampai dia kenal betul dengan Rabb.

Oleh kerana itu, Ibn Abbas mengatakan bahawa Rabbani itu adalah ulama dan hukama’ yang hidupnya belajar dan mengajar.

Tafsir Ayat Ke-80

وَلَا يَأْمُرَكُمْ أَن تَتَّخِذُوا ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةَ وَالنَّبِيِّينَ أَرْبَابًا أَيَأْمُرُكُم بِالْكُفْرِ بَعْدَ إِذْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ

Dan dia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah dia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam?

وَلَا يَأْمُرَكُمْ أَن تَتَّخِذُوا ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةَ وَالنَّبِيِّينَ أَرْبَابًا

Dan ia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan.

Mereka pun tidak pernah suruh jadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai pujaan untuk diseru untuk minta pertolongan, bukan? Lafaz أَرْبَابًا adalah jamak bagi rabb.

Hanya Allah sahaja Rabb yang ada. Hanya sembah Allah sahaja. Hanya seru kepada Allah sahaja.

أَيَأْمُرُكُم بِالْكُفْرِ بَعْدَ إِذْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ

Patutkah dia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam?

Adakah Nabi suruh kamu jadi kufur? Tidaklah begitu begitu. Tidaklah selepas kamu menjadi Muslim, baginda suruh kamu jadi murtad pula?

nota: Ayat-ayat daripada permulaan surah ini hingga ayat ke-80 ini banyak memperkatakan tentang tauhid. Selepas ini akan disentuh tentang Risalah Kenabian pula.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan