Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-73 hingga Ke-76

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-73 hingga Ke-76

267
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran 
Tafsir Ayat Ke-73

Dalam para ketua itu suruh pengikut mereka masuk Islam olok-olok, mereka pesan juga kepada puak dia supaya jangan percaya betul-betul dengan agama Islam. Mereka diingatkan supaya tunjuk beriman secara zahir sahaja.

Ini kerana mereka takut juga mereka kalau orang yang mereka hantar itu beriman betul-betul pula. Kerana ramai yang sudah tengok-tengok agama Islam dan telah masuk terus. Teringat bagaimana ada orang bukan Islam yang mahu tahu tentang agama Islam selepas kejadian pengeboman 9-11 Twin Tower di Amerika Syarikat. Mereka tergerak untuk mengetahui apakah agama Islam yang selalu diperkatakan itu.

Selepas mereka mengkaji, ramai yang masuk Islam kerana mereka nampak kebenaran dalam Islam itu. Oleh itu, rancangan jahat orang kafir untuk memburukkan Islam telah memakan diri mereka, kerana bukannya orang semakin takut kepada Islam, tetapi orang semakin tahu kepada agama Islam dan mereka telah memeluk agama Islam.

وَلَا تُؤْمِنُوا إِلَّا لِمَن تَبِعَ دِينَكُمْ قُلْ إِنَّ الْهُدَىٰ هُدَى اللَّهِ أَن يُؤْتَىٰ أَحَدٌ مِّثْلَ مَا أُوتِيتُمْ أَوْ يُحَاجُّوكُمْ عِندَ رَبِّكُمْ قُلْ إِنَّ الْفَضْلَ بِيَدِ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Dan (mereka berkata lagi): “Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut ugama kamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya petunjuk yang sebenar-benarnya ialah petunjuk Allah”. Bahawa diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi pengetahuanNya.

وَلَا تُؤْمِنُوا إِلَّا لِمَن تَبِعَ دِينَكُمْ

Dan (mereka berkata lagi): “Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut ugama kamu”.

Ini adalah kata-kata ketua agama mereka. Mereka pesan kepada pengikut mereka yang disuruh untuk masuk Islam olok-olok itu, untuk hanya ikut orang yang seperti agama mereka sahaja. Jangan tinggalkan agama asal pula. Takut benar mereka kalau orang-orang muda yang mereka hantar itu akan masuk benar-benar dalam agama Islam. Ini kerana mereka pun sudah goyang.

قُلْ إِنَّ الْهُدَىٰ هُدَى اللَّهِ

Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk yang sebenar benarnya ialah petunjuk Allah”.

Allah suruh Nabi beritahu hidayah yang ada pada orang Islam itu adalah diberi oleh Allah, bukan datang dari tempat lain. Itulah sahaja hidayah yang benar. Dan Allah sahaja yang boleh beri hidayah dan tarik hidayah. Manusia tidak boleh hendak paksa beri orang hidayah.

Dan manusia pun tidak boleh menarik hidayah daripada orang lain. Kalau mereka buat perancangan pun, tetapi Allah tidak benarkan, ia  tidak akan terjadi.

أَن يُؤْتَىٰ أَحَدٌ مِّثْلَ مَا أُوتِيتُمْ

bahawa diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu,

Allah buka pekung golongan jahat itu: Ini semua rancangan mereka ini semua kerana mereka dengki ada orang lain dapat kitab suci daripada Allah juga. Mereka tidak puas hati. Kalau ada penyakit dengki dalam hati, memang akan ada masalah.

أَوْ يُحَاجُّوكُمْ عِندَ رَبِّكُمْ

atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu

Atau kerana mereka bimbang umat Islam yang dapat kitab itu juga berhujah dengan mereka nanti di hadapan Allah dengan dalil dan bukti.

قُلْ إِنَّ الْفَضْلَ بِيَدِ اللَّهِ

Katakanlah: “Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah,

Allah boleh pilih sesiapa sahaja yang hendak diberikan hidayah atau kitab suci. Manusia tidak boleh pertikaikan apa yang Allah lakukan. Ahli kitab tidak boleh hendak pertikaikan kenapa orang bangsa Arab pula yang dapat kitab wahyu.

Dulu memang mereka dapat kelebihan itu. Mereka dulunya pegang agama dan Allah beri ramai Nabi daripada kalangan mereka. Tetapi apabila mereka telah menyalahgunakan kelebihan mereka itu, mereka sudah rosakkan agama, maka Allah tarik balik kelebihan mereka itu. Jadi kesalahan itu pada diri mereka sendiri sebenarnya.

يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ

diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya;

Allah boleh beri apa sahaja yang Allah mahu kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu. Malangnya ada juga yang dengki seperti orang Yahudi tidak dapat terima ada Nabi daripada kalangan Bani Ismail. Maka Allah beritahu dalam ayat ini yang terpulang kepada Allah siapa yang hendak diberinya wahyu dan kenabian.

وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

dan Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi pengetahuan-Nya.

Allah ada banyak kelebihan yang Allah telah berikan dan yang Allah akan berikan. Ianya amat luas.

Dan Allah maha mengetahui siapa yang patut dapat wahyu. Sepatutnya puak Bani Israil kena periksa diri kenapa wilayah kenabian ditarik daripada mereka, bukannya menolak pilihan Allah hendak memberikannya kepada bangsa lain. Mereka kena baiki diri mereka sendiri dulu dan jangan salahkan orang lain.

Tafsir Ayat Ke-74

يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

Allah menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.

يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ مَن يَشَاءُ

Allah menentukan pemberian rahmat-Nya itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya;

Allah beri rahmat secara khusus kepada orang yang tertentu. Pilihan siapa yang dapat itu adalah pilihan Allah sendiri. Allah yang tentukan dan kita tidak ada pilihan untuk mempertikaikan keputusan Allah itu.

Rahmat yang khusus iaitu rahmat yang sampai boleh membawa orang itu masuk syurga. Kita kena ingat yang kita hanya dapat masuk syurga Allah dengan rahmat-Nya sahaja. Bukannya dengan amalan kita.

وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.

Allah ada banyak limpah kurnia yang boleh diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Ia adalah haq Allah sahaja. Dia sahaja yang boleh tentukan siapa yang akan dapat.

Walaupun pangkat kenabian diberikan kepada Bani Ismail, tetapi Nabi Muhammad bukanlah untuk Bani Ismail sahaja, tetapi kepada seluruh dunia. Maka, ia adalah rahmat yang luas daripada Allah. Kalau mereka mahu, mereka masih lagi boleh mendapatnya. Asalkan mahu terima ajaran daripada Nabi Muhammad, iaitu ajaran Tauhid.

Tafsir Ayat Ke-75

Ini adalah ayat jenis Syikayah (rungutan Allah) yang keempat. Ahli Kitab itu kata mereka belajar kitab suci tetapi dalam masa yang sama, mereka khianat dalam harta. Mereka tidak ikut syariat apabila berurusan dengan harta. Pada mereka, asal untung sahaja, mereka akan ambil peluang.

وَمِنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ مَنْ إِن تَأْمَنْهُ بِقِنطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ وَمِنْهُم مَّنْ إِن تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍ لَّا يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ إِلَّا مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَائِمًا ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا لَيْسَ عَلَيْنَا فِي الْأُمِّيِّينَ سَبِيلٌ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, dia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).

وَمِنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ مَنْ إِن تَأْمَنْهُ بِقِنطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ

Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya kepadamu,

Jangan kita pukul rata tentang keseluruhan golongan Ahli Kitab itu. Ramai juga dalam kalangan mereka yang jujur. Maka kita kena ingat yang ada kalangan mereka yang baik. Sebagai contohnya dalam ayat ini, Allah beritahu kita yang kalau kita amanahkan banyak pun harta kepada mereka untuk mereka simpan, mereka akan amanah dan akan pulangkan kembali.

Ini penting untuk disebut kerana Bangsa Arab dan Yahudi banyak melakukan perniagaan dan urusan sesama mereka, maka kadangkala ada benda yang diamanahkan kepada mereka. Ada yang amanah dan jujur yang akan mengembalikan kepada tuannya.

وَمِنْهُم مَّنْ إِن تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍ لَّا يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ إِلَّا مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَائِمًا

dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, dia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau berdiri selalu menuntutnya.

Namun, ada dalam kalangan mereka yang tidak jujur. Kalau beri sedikit wang kepada mereka untuk mereka simpan pun, mereka tidak mahu pulangkan apabila kita minta. Jika hendak dapatkan juga, kena berdiri di hadapan mereka dan minta banyak kali kepada mereka.

Ini sama macam orang buruk yang diberi pinjam duit. Masa hendak pinjam duit, hebatlah mereka berjanji. Tetapi apabila hendak minta balik, kena berkali-kali minta baru dikembalikan. Macam kita pula yang minta tolong daripada dia.

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا لَيْسَ عَلَيْنَا فِي الْأُمِّيِّينَ سَبِيلٌ

Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi

Kenapa mereka sanggup buat begitu? Kerana mereka kata tidak ada dosa atas mereka kalau tipu orang buta huruf daripada bangsa Arab. Kalimah ‘ummi’ bermaksud golongan yang tidak ada kitab wahyu. Dan kalimah سَبِيلٌ itu bermaksud ‘dosa yang ditanggung’. Mereka sangka mereka tidak akan didakwa di hadapan Allah pada pandangan mereka. Mereka sangka tidak berdosa pun.

Kerana pada mereka, yang mereka tipu itu berada pada kedudukan yang rendah, kedudukan mereka yang tidak ada agama. Ini adalah kerana pada mereka, orang-orang Arab yang tidak ada agama ini pun akan masuk neraka juga nanti, jadi mereka tidak boleh hendak dakwa di hadapan Allah.

Orang Islam pun malangnya, ada yang guna hujah ini sampai berani tipu dan curi daripada orang kafir. Ini adalah salah faham kerana tidak faham agama. Tidaklah kita akan sama macam mereka?

وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ

mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah

Mereka kata fahaman mereka itu ada perintah Allah dalam kitab. Mereka kata mereka tidak akan bersalah kerana kononnya mereka ada kelebihan sampai boleh tipu bangsa yang ummi.

Lihatlah teruknya mereka sampai mereka sanggup menipu atas nama Allah. Mereka tuduh perkara itu ada dalam agama padahal tidak ada pun sebagaimana yang mereka katakan itu. Sanggup mereka kata Allah benarkan berlaku zalim kepada orang lain?

وَهُمْ يَعْلَمُونَ

sedang mereka mengetahui

Sedangkan mereka tahu apa yang mereka kata itu adalah tipu belaka.

Lihatlah bagaimana ada orang Yahudi lain yang berhubungan baik dan jujur amanah kepada bangsa Arab seperti yang disebut di awal ayat ini. Maknanya yang mereka kata boleh tipu bangsa yang ummi itu bukanlah benar kerana kalau ia benar, tentulah semua Yahudi akan buat begitu.

Tafsir Ayat Ke-76

Ini yang sepatutnya dipegang. Sama sahaja layanan yang kena diberikan kepada semua orang.

بَلَىٰ مَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ وَاتَّقَىٰ فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ

Bahkan, sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.

بَلَىٰ مَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ

Bahkan, sesiapa yang menyempurnakan janjinya

Kita kena menyempurnakan janji. Ini adalah ringkasan agama Islam. Konsep ini penting kerana dalam kehidupan kita, ada macam-macam janji. Oleh kerana Allah tidak sebut janji apa dalam ayat ini, jadi ia boleh dipakai untuk semua jenis janji.

Bukankah kita selalu ada janji? Sebagai contoh kita ada janji dengan Allah, dengan Nabi, dengan kerajaan, syarikat, sesama manusia, sesiapa sahaja. Asalkan janji, kena dipenuhi. Walaupun kepada orang sesama Islam atau dengan orang kafir.

Maka, kalau kita berjanji dengan orang kafir pun, kita kena tunaikan janji kita. Jangan pula beri alasan yang boleh menipu orang kafir kerana mereka itu kafir. Itu adalah fahaman yang salah.

Kita hidup dalam dunia ini dipegang pada janji kita, tidak kisah dengan siapa sahaja. Kalau janji tidak dijaga, akan kecoh kehidupan dunia ini. Kerana kalau kita memungkiri janji, orang yang dimungkiri akan marah dan boleh sampai menyebabkan permusuhan dan peperangan. Tidaklah kita mahu hidup di dunia yang sebegitu?

وَاتَّقَىٰ

dan bertaqwa,

Dan kena bertaqwa iaitu jaga hukum syariat. Termasuk dalam taqwa itu adalah takut kepada Allah iaitu kita penuhi janji kita kerana takut kepada Allah. Kita tahu yang Allah akan balas kesalahan tidak jaga amanah dan tidak penuhi janji ini di akhirat nanti. Mungkin orang yang kita berjanji itu lemah dan tidak dapat buat apa-apa kalau kita tidak tunaikan janji kita,t etapi yang akan mempersoalkan kita nanti adalah Allah.

Dan memenuhi janji itu amat penting hinggakan Allah mengaitkan memenuhi janji dengan taqwa dalam ayat ini. Maksudnya orang yang tidak memenuhi janjinya, bukan orang yang bertaqwa.

فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ

sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.

Ayat ini menunjukkan yang orang taqwa adalah yang penuhi janji. Allah kasih kepada orang yang bertaqwa. Oleh kerana itu kita hendaklah meningkatkan diri kita hingga menjadi orang yang bertaqwa. Maka jika mahu kasih daripada Allah, maka kenalah penuhi janji kita.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan