Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-59 hingga Ke-63

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-59 hingga Ke-63

302
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran

Tafsir Ayat Ke-59

Ini sebagai jawapan bagi kemusykilan tentang kejadian Nabi Isa عليه السلام. Memanglah kejadian kelahiran Nabi Isa عليه السلام itu ajaib, dilahirkan tanpa bapa tetapi tidaklah kerana kelahiran ajaib itu boleh dijadikan sebab untuk sembah dan seru kepada Nabi Isa pula عليه السلام.

Tambahan pula, bukanlah Nabi Isa عليه السلام sahaja yang pelik dan ajaib dari segi kelahiran kerana tidaklah kelahiran Nabi Isa عليه السلام itu lebih pelik daripada kejadian Nabi Adam عليه السلام. Nabi Isa عليه السلام dilahirkan tanpa bapa, tetapi Nabi Adam عليه السلام lahir tanpa ibu dan bapa sekali. Itu lebih pelik, bukan? Oleh itu, kenapa tidak sembah Nabi Adam عليه السلام pula?

إِنَّ مَثَلَ عيسىٰ عِندَ اللَّهِ كَمَثَلِ ءآدَمَ ۖ خَلَقَهُ مِن تُرابٍ ثُمَّ قالَ لَهُ كُن فَيَكونُ

Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah dia.

إِنَّ مَثَلَ عيسىٰ عِندَ اللَّهِ كَمَثَلِ ءآدَمَ

Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam.

Pada Allah ﷻ, sama sahaja kejadian Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Adam عليه السلام kerana tidaklah lebih susah Allah menjadikan Nabi Adam عليه السلام daripada Nabi Isa عليه السلام dan daripada kita. Kerana itulah bagi Allah ﷻ, sama sahaja semua kejadian. Namun dalam ayat ini, Allah ﷻ bandingkan penciptaan Nabi Adam عليه السلام dengan Nabi Isa عليه السلام.

خَلَقَهُ مِن تُرابٍ

Allah telah menciptakan Adam dari tanah

Badan Nabi Adam عليه السلام itu yang dijadikan daripada tanah. Kisahnya ada banyak disebut dalam ayat lain dan hadith-hadith. Memang diambil daripada tanah di dunia ini. Di dalam hadith disebut baginda terus dijadikan dalam bentuk baginda setinggi 60 hasta (tidaklah dijadikan seperti bayi dahulu dan membesar kemudian).

ثُمَّ قالَ لَهُ كُن فَيَكونُ

lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah dia.

Daripada tanah itu, Nabi Adam عليه السلام dijadikan manusia dengan lafaz kun fayakun daripada Allah ‎ﷻ, terus baginda terjadi manusia. Nabi Isa عليه السلام juga terjadi daripada lafaz kun fayakun, maka sama sahaja kejadian mereka berdua pada sisi Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-60

الحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلا تَكُن مِّنَ المُمتَرينَ

Perkara yang benar ialah yang datang daripada Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi daripada orang-orang yang ragu-ragu.

الحَقُّ مِن رَّبِّكَ

Kebenaran ialah yang datang dari Tuhanmu.

Kejadian Nabi Isa عليه السلام yang luar biasa itu memang benar daripada Allah ‎ﷻ. Kita tidak dapat menyaksikannya dengan mata kita, tetapi sekarang Allah‎ ﷻ beritahu dalam Al-Qur’an, maka hendaklah kita terima kebenarannya.

Dan benarlah baginda itu adalah makhluk, bukannya tuhan.

فَلا تَكُن مِّنَ المُمتَرينَ

Maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu

Kalau ia benar daripada Allah ‎ﷻ, maka jangan kamu ragu-ragu. Kalau ragu, tidak selamat. Kalimah الْمُمْتَرِينَ adalah apabila sesuatu fakta yang jelas tetapi apabila dengar kata-kata hujah yang panjang lebar untuk menolak sesuatu perkara, kita pula jadi ragu-ragu. Kadangkala kita pun kalau dengar hujah orang lain, mungkin boleh goyang, bukan?

Begitulah, kalau kita berhujah dengan orang Kristian, mereka akan menggunakan berbagai-bagai hujah yang mengarut sebenarnya. Namun apabila iman tidak kuat, ilmu pun ke laut, entah-entah boleh terkeliru pula. Allah ‎ﷻ sudah pesan siap-siap sekarang, jangan ragu-ragu dan terpedaya dengan dakyah mereka.

Tafsir Ayat Ke-61

Ini adalah ayat tentang Mubahalah. Nanti akan disebutkan konsepnya selepas ini. Mubahalah ini adalah doa yang disertai dengan sumpah laknat. Mubahalah ini dibenarkan kalau pihak kafir masih tidak mahu dengar kata juga.

Begitulah yang terjadi kepada Kristian Najran itu, masih lagi tidak mahu beriman dan tidak mahu mengaku kalah walaupun setelah dijelaskan dengan 60 ayat sebelum ini. Maka, Allah ‎ﷻ ajar Nabi ﷺ untuk ajak mereka mubahalah.

فَمَن حاجَّكَ فيهِ مِن بَعدِ ما جاءَكَ مِنَ العِلمِ فَقُل تَعالَوا نَدعُ أَبناءَنا وَأَبناءَكُم وَنِساءَنا وَنِساءَكُم وَأَنفُسَنا وَأَنفُسَكُم ثُمَّ نَبتَهِل فَنَجعَل لَّعنَتَ اللَّهِ عَلَى الكٰذِبينَ

Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta

فَمَن حاجَّكَ فيهِ مِن بَعدِ ما جاءَكَ مِنَ العِلمِ

Kemudian sesiapa yang membantahmu mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar,

Kalau mereka yang menentang masih bantah lagi tentang Nabi Isa عليه السلام setelah berhujah lama dan sesudah dibacakan ayat Al-Qur’an yang jelas kepada mereka. Maka, sekarang Allah ‎ﷻ ajar bagaimana hendak buat dengan mereka. Sudah tidak perlu teruskan lagi hujah dan perdebatan dengan mereka.

فَقُل تَعالَوا نَدعُ أَبناءَنا وَأَبناءَكُم

maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu”

Ini kalimah terakhir bagi mereka. Ajak mereka berhimpun ramai-ramai di padang (tempat awam). Kemudian panggil anak-anak kamu dan kami akan panggil anak-anak kami.

وَنِساءَنا وَنِساءَكُم وَأَنفُسَنا وَأَنفُسَكُم

dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu,

Bukan anak-anak sahaja, panggil sekali dengan isteri-isteri kamu dan kamu sendiri pun kenalah datang juga. Kenapa panggil anak beranak? Kerana manusia itu selalunya gelap hati kerana cinta dunia, antaranya dengan anak isteri. Maka kena bawa anak isteri yang mereka kasihi itu.

Ayat ini menunjukkan kepentingan kaum wanita di mana mereka pun terlibat dalam kegiatan agama. Tidaklah mereka hanya duduk di belakang sahaja.

Malah, kita tahu daripada hadith, bagaimana kaum wanita juga terlibat dalam medan perang semasa zaman Nabi. Maka jangan rendahkan kedudukan wanita jadi kelas kedua pula. Mereka pun ada kepentingan dalam masyarakat dan dalam beragama.

ثُمَّ نَبتَهِل

kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh

Ibtihal maksudnya merayu dengan menangis. Minta kepada Allah ‎ﷻ dengan bersungguh-sungguh. Biarkan Allah ‎ﷻ yang tentukan mana pihak yang benar.

Pernah kedengaran juga mubahalah ini diajak di negara kita. Namun, konsep itu tidak betul kerana hendak dilakukan sesama Muslim. Mubahalah ini hanya dilakukan dengan orang kafir sahaja.

فَنَجعَل لَّعنَتَ اللَّهِ عَلَى الكٰذِبينَ

serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta

Akhir sekali, doa supaya Allah ‎ﷻ laknat siapa yang salah. Biar nampak mana pihak yang salah di hadapan mata kita terus. Biar Allah ‎ﷻ buat sesuatu supaya nampak manakah pihak yang benar. Antaranya, Allah ‎ﷻ akan matikan pihak yang salah itu.

Mubahalah ini tidak terjadi pada zaman Nabi itu. Pihak Kristian dari Najran itu tidak berani dan mereka balik begitu sahaja kerana mereka pun takut juga. Ketua mereka kata, kalau Rasulullah itu benar Nabi, tentu apa sahaja doa baginda akan makbul. Maka mereka mengalah dan pulang ke tempat mereka.

Dalam riwayat ada disebut, sekiranya jadi, Nabi ﷺ akan panggil semua sahabat dan isteri masing-masing ke padang. Ini pasti terjadi kerana mereka sanggup meletakkan nyawa mereka untuk mempertahankan Islam. Mereka yakin dengan kebenaran sedangkan puak Najran itu tidak yakin.

Tafsir Ayat Ke-62

إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْقَصَصُ الْحَقُّ وَمَا مِنْ إِلَٰهٍ إِلَّا اللَّهُ وَإِنَّ اللَّهَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar; dan tiadalah Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah; dan (ingatlah), sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْقَصَصُ الْحَقُّ

Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar;

Segala cerita yang telah disampaikan sebelum ini adalah kisah benar tentang Nabi Isa عليه السلام. Kesimpulan yang boleh diambil adalah: Mereka itu semua hamba Allah ‎ﷻ yang mulia namun tidak layak untuk dipuja sebagai ilah.

وَمَا مِنْ إِلَٰهٍ إِلَّا اللَّهُ

dan tiadalah ilah melainkan Allah

Allah ‎ﷻ tekankan sekali lagi bahawa Ilah hanya Allah‎ ﷻ sahaja. Kenalah faham tentang ilah dahulu barulah boleh kemas dalam beragama.

Maka Nabi Isa عليه السلام bukan ilah, ibunya bukan ilah, Nabi Uzair عليه السلام bukan ilah. Tidak ada selain Allah ‎ﷻ yang boleh menjadi ilah.

وَإِنَّ اللَّهَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ Maha Gagah. Allah ‎ﷻ boleh azab hamba-Nya pada bila-bila masa. Cuma Allah ‎ﷻ juga Maha Bijaksana, menangguhkan azab memberi peluang untuk hamba bertaubat. Jika Allah ‎ﷻ tidak tangguhkan azab, entah tidaklah ada manusia yang masih hidup di dunia ini kerana semuanya berdosa belaka.

Tafsir Ayat Ke-63

فَإِن تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِالْمُفْسِدِينَ

Maka kalau mereka berpaling (enggan menurut), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang berbuat kerosakan.

فَإِن تَوَلَّوْا

Kemudian kalau mereka berpaling

Ini pula jikalau yang menolak kebenaran itu masih berpaling, masih tidak mahu menerima kebenaran walaupun telah diberikan dengan berbagai dalil. Kita telah lakukan usaha untuk menyampaikan kebenaran kepada mereka, tetapi tentu akan ada sahaja yang tetap menentang. Lalu bagaimana kalau begitu?

فَإِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِالْمُفْسِدِينَ

maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang berbuat kerosakan.

Kepada mereka yang berpaling, Allah ‎ﷻ akan bertindak kepada golongan yang buat kerosakan. Mereka sebabkan kerosakan kerana mereka yang sampaikan ajaran yang salah kepada manusia. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia bukan di dalam bidang kuasa kita. Hidayah milik Allah ‎ﷻ dan diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan