Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-51 hingga Ke-53

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-51 hingga Ke-53

480
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran

Tafsir Ayat Ke-51

Inilah kesimpulan agama yang dibawa oleh Nabi Isa عليه السلام.

إِنَّ اللَّهَ رَبّي وَرَبُّكُم فَاعبُدوهُ ۗ هٰذا صِرٰطٌ مُّستَقيمٌ

Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepada-Nya. Inilah jalan yang lurus

إِنَّ اللَّهَ رَبّي وَرَبُّكُم فَاعبُدوهُ

Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepada-Nya sahaja

Nabi Isa عليه السلام pun berkata yang Allah ‎ﷻ adalah rabbnya, jadi kenapa sembah Nabi Isa ‎ﷻ? Nabi Isa عليه السلام mengingatkan umatnya untuk menghambakan diri kepada Allah ‎ﷻ sahaja, beribadat kepada Allah ‎ﷻ sahaja, jangan buat ibadat kepada selain Allah ‎ﷻ.

Ayat ini adalah ayat tauhid. Tauhid dalam ibadat dan seru. Kena cakap kepada Nasara sekarang tentang perkara ini kerana mereka telah keliru tentang agama mereka. Beritahu kepada mereka yang inilah yang Nabi Isa عليه السلام faham dan ajar, bukannya seperti yang diajar kepada mereka sekarang.

هٰذا صِرٰطٌ مُّستَقيمٌ

Inilah jalan yang lurus

Kitalah yang kena beritahu kepada mereka supaya jelas agama ini kepada mereka kerana inilah sahaja jalan yang lurus. Mereka keliru sebab tidak belajar sahaja sebab mereka telah diajar benda yang salah semenjak kecil lagi. Begitu juga orang-orang kita yang tidak belajar agama dengan betul, tidak dipandu oleh kefahaman wahyu.

Oleh itu, jalan yang lurus adalah menghambakan diri hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja, ibadat kepada Allah ‎ﷻ sahaja, seru kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Inilah tafsir bagi maksud ‘Jalan yang Lurus’ yang kita minta dalam Surah Fatihah yang setiap hari kita baca. Kita minta dipandu kepada jalan yang lurus, maka ketahuilah yang jalan yang lurus adalah menghambakan, ibadat dan seru hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Selain dari itu, bukan jalan yang lurus.

Tafsir Ayat Ke-52

Ini adalah jenis Ayat Idmaj. Maksudnya ada kisah panjang lagi sebelum ayat ini (yang perlu ditambah untuk menjelaskan maksud ayat ini).

۞ فَلَمّا أَحَسَّ عيسىٰ مِنهُمُ الكُفرَ قالَ مَن أَنصاري إِلَى اللَّهِ ۖ قالَ الحَوارِيّونَ نَحنُ أَنصارُ اللَّهِ ءآمَنّا بِاللَّهِ وَاشهَد بِأَنّا مُسلِمونَ

Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran daripada mereka (kaum Yahudi), berkatalah dia:” Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?”. Orang-orang “Hawariyyuun” (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: “Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).

فَلَمّا أَحَسَّ عيسىٰ مِنهُمُ الكُفرَ

Maka ketika Nabi Isa merasa akan kekufuran daripada mereka

Apabila Nabi Isa عليه السلام membawakan dakwah tauhid, maka pemuka Yahudi telah menentang baginda kerana mereka telah rasa terancam sampai mereka membuat perancangan untuk membunuh baginda. Namun begitu, mereka tidak boleh menjalankan perancangan itu sendirian kerana puak Yahudi waktu itu berada di bawah takluk kerajaan Rom yang syirik. Maksudnya, bukanlah mereka yang memerintah.

Kerajaan Rom adalah kerajaan yang berfahaman syirik. Bukan kerajaan Rom sahaja yang musyrik kerana mereka waktu itu sendiri adalah Musyrikin kerana mereka memuja Nabi Uzair عليه السلام sebagai anak Allah ‎ﷻ. Mereka puja baginda kerana Nabi Uzair عليه السلام boleh menghafal Kitab Taurat. Kiranya pada waktu itu hebat sangat kalau boleh menghafal Kitab Taurat sampai mereka memuja baginda sebagai anak tuhan. Padahal zaman sekarang orang Islam ramai sahaja yang boleh menghafal 30 juzuk Al-Qur’an.

Maka, kerana bimbangkan pengaruh tauhid yang dibawa oleh Nabi Isa عليه السلام, mereka telah membuat cerita untuk mentohmah Nabi Isa عليه السلام kepada kerajaan Rom. Mereka menuduh Nabi Isa عليه السلام dan pengikut baginda telah merancang untuk menggulingkan kerajaan Rom dan Nabi Isa عليه السلام hendak menjadi raja. Waktu itu hukuman kepada cubaan mengguling kerajaan pada waktu itu adalah dipalang (salib).

قالَ مَن أَنصاري إِلَى اللَّهِ

berkatalah dia:” Siapakah penolong-penolongku kepada Allah?

Allah ‎ﷻ telah memberikan wahyu kepada baginda bahawa terdapat perancangan untuk membunuh baginda. Ataupun Nabi Isa عليه السلام sudah dapat merasa dan itulah maksud perkataan أَحَسَّ itu. Maka Nabi Isa عليه السلام telah bertanya kepada pengikutnya, siapakah yang akan menjadi pembantunya? Siapakah yang mahu menjadi pembela agama yang taat setia?

Dalam ayat ini, Nabi عليه السلام mengajak mereka menjadi pembantu baginda di dalam menegakkan agama Allah ﷻ, iaitu agama yang mentauhidkan Allah ﷻ.

قالَ الحَوارِيّونَ نَحنُ أَنصارُ اللَّهِ

Orang-orang “Hawariyyuun” (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: “Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah.

Ada 12 hawariyyun yang sedia membantu baginda. Perkataan hawari itu ada yang mengatakannya berasal daripada kata yang bermaksud ‘nelayan’ kerana waktu itu di Jerusalem ramai nelayan. Ada juga yang kata ia daripada perkataan ‘basuh’ yang bermaksud mereka itu adalah tukang cuci (tukang dobi) yang kerjanya mengambil upah membasuh pakaian.

Maknanya mereka itu daripada golongan bawahan. Tetapi merekalah yang sanggup untuk menjadi pengikut kepada Nabi Isa عليه السلام dan sanggup membantu baginda menyebarkan agama dan mempertahankan baginda. Memang sudah kebiasaan sunnah, pengikut para Nabi selalunya adalah golongan bawahan.

Ada juga yang mengatakan bilangan hawariyyun itu tidak disebut dalam riwayat Islam. Yang dikatakan 12 orang itu adalah daripada kisah Israeliyat sahaja. Allahu a’lam.

Daripada riwayat, ada disebut yang pemuka Yahudi yang jahatlah yang datang masuk mencari Nabi Isa عليه السلام untuk menangkap baginda. Kerana apabila orang Rom hendak menangkap Nabi Isa عليه السلام (selepas dikatakan baginda hendak menjatuhkan kerajaan Rom) mereka kata mereka tidak mengenali bagaimana rupa Nabi Isa عليه السلام kerana bagi mereka, sama sahaja rupa baginda dan pengikuat-pengikutnya.

Oleh itu, ada seorang yang sanggup menjadi tukang pengecam siapa Nabi Isa عليه السلام. Dia kata dia yang akan masuk dahulu dan dia akan panggil Nabi Isa عليه السلام dan orang Rom waktu itu bolehlah menangkap baginda selepas itu iaitu selepas tahu mana satu baginda. Itu adalah rancangan mereka.

Tetapi pada waktu itu Allah ‎ﷻ telah mengangkat Nabi Isa عليه السلام ke langit. Waktu itulah juga, Allah ‎ﷻ telah menukarkan wajah ketua Yahudi yang jahat itu (yang hendak mengecam baginda) jadi menyerupai wajah Nabi Isa عليه السلام. Pengikut yang lain nampak rupanya memang seperti Nabi Isa عليه السلام, maka mereka memanggil orang itu dengan panggilan Nabi Isa عليه السلام. Maka akhirnya dialah yang ditangkap oleh orang Rom dan kemudian dia pula yang dipalang.

Puak Yahudi yang jahat telah membuat propaganda yang mereka telah membunuh Nabi Isa عليه السلام. Namun terdapat satu kekeliruan, ke manakah hilangnya lelaki yang masuk mencari Nabi Isa عليه السلام itu? Tidak ada dikatakan yang dia dijumpai selepas itu. Tetapi mereka sudah tidak kisah lagi sebab bagi mereka, yang paling penting adalah mereka sudah berjaya menangkap Nabi Isa عليه السلام. Itulah yang mereka canang-canangkan.

Penganut Kristian turut diperbodohkan sampai mereka terima cerita yang Nabi Isa عليه السلام mati disalib dan mereka pegang sehingga ke hari ini. Mereka tambah pula dalam akidah agama mereka, yang Nabi Isa عليه السلام disalib itu untuk menebus dosa keturunan daripada Nabi Adam عليه السلام (Original Sins kerana memakan pokok larangan).

Maknanya mereka itu ikut sahaja kata orang lain tanpa usul periksa. Mereka itu kalau dalam pepatah Arab, dikatakan ‘bodoh macam keldai’. Ini kerana keldai itu hanya ikut sahaja arahan manusia. Itulah bahayanya kalau tidak belajar agama, ikut sahaja tanpa usul periksa. Padahal sepatutnya kita kena ikut dalil. Itulah yang dipanggil ittiba‘ – ikut dengan mengetahui dan memahami dalil.

Kalau ikut tanpa tahu dalil, itu dinamakan taklid. Apabila bertaklid, ia boleh menjadi baik, namun boleh juga menjadi punah, macam-macam boleh jadi. Ini kerana kita tidak tahu sama ada orang yang kita ikut itu benar atau tidak. Jadi kenalah kita ittiba’ iaitu mengikut orang yang boleh memberikan dalil.

Dalil itu pula mestilah wahyu, bukannya hujah manusia dan bukan hujah akal. Dalam Al-Qur’an pun, kalau disuruh kita ikut, perkataan yang digunakan adalah ittiba‘.

Maka kenalah belajar agama untuk mengetahui dalil itu. Bukan payah pun untuk belajar dan untuk faham. Agama ini mudah sahaja sebenarnya. Yang buat payah itu adalah kerana perkara-perkara bid’ah yang ditambah-tambah. Tidak ada alasan untuk tidak belajar Al-Qur’an dan hadith sedangkan benda-benda lain, kita boleh pula belajar sampai ke universiti, sampai ada ke tahap PHD atau sekurang-kurangnya sampai ke darjah enam.

12 hawariyyun itulah yang menegakkan agama Allah‎ ﷻ sepeninggalan Nabi Isa عليه السلام. Mereka menegakkan agama dan menyebarkan agama dengan cara senyap dan tersembunyi sebab takut mereka akan dibunuh. Oleh kerana dakwah dan ajaran agama pada waktu itu dengan cara sembunyi-sembunyi, maka maklumat agama terhalang kepada manusia orang kebanyakan, maka ramai yang tidak tahu.

Disebabkan itulah banyak salah faham terjadi dalam agama Kristian kerana mereka disuapi dengan ajaran agama yang salah. Sedangkan, masih ada syari’at lagi pada waktu itu. Maknanya syari’at pada waktu itu sebelum dinaikkan Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi, adalah kitab Injil. Maka sesiapa yang tidak beriman dengan kitab Injil pada waktu itu, maka dia adalah kufur.

Ketika Nabi Isa عليه السلام dapat tahu ada dalam kalangan halaqah baginda itu yang ingkar dengan ajaran tauhid dan akan membelot, maka baginda meminta tolong sesiapa yang boleh membantu baginda. Jadi kalau sampai perlu untuk meminta tolong, maka jelaslah itu adalah sifat manusia, bukannya sifat ‘anak tuhan’ atau tuhan sendiri. Oleh itu, ini menunjukkan bahawa Nabi Isa عليه السلام hanya seorang Nabi dan Rasul sahaja.

ءآمَنّا بِاللَّهِ وَاشهَد بِأَنّا مُسلِمونَ

Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam

12 Hawariyyun itu telah bersedia untuk membantu baginda. Mereka mengaku beriman dan percaya kepada tauhid. Maknanya mereka sanggup menyerah diri membela agama.

Mereka meminta Nabi Isa عليه السلام menjadi saksi yang mereka menyerahkan diri mereka kepada Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-53

Ayat ini adalah sambungan kepada kisah Hawariyyun yang sanggup membantu Nabi Isa عليه السلام dalam dakwah baginda. Setelah mereka menyatakan kesanggupan mereka, sekarang diberitahu yang mereka bermunajat pula kepada Allah ‎ﷻ.

Oleh itu, ini mengajar kita untuk mula-mula kena sanggup dahulu, dan selepas itu apa yang terjadi, kita kena doa minta tolong kepada Allah ﷻ. Perjuangan memerlukan kesanggupan dan permohonan doa kepada Allah ‎ﷻ. Harapan mesti diletakkan 100% kepada Allah ‎ﷻ kerana tanpa pertolongan Allah ‎ﷻ, maka tidak ada harapan.

رَبَّنا ءآمَنّا بِما أَنزَلتَ وَاتَّبَعنَا الرَّسولَ فَاكتُبنا مَعَ الشّٰهِدينَ

Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)

رَبَّنا ءآمَنّا بِما أَنزَلتَ

Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan

Sebelum ini mereka minta Nabi Isa عليه السلام menjadi saksi namun dalam ayat ini mereka terus mengaku dengan Allah ‎ﷻ yang mereka telah beriman dengan wahyu yang Allah ‎ﷻ turunkan. Memang kita kena terus sahaja cakap dengan Allah ‎ﷻ dan tidak perlu perantaraan.

وَاتَّبَعنَا الرَّسولَ

dan kami mengikut Rasul

Mereka kata mereka telah ikut Nabi Isa عليه السلام. Mereka kata mereka ittiba’ dengan baginda. Maknanya mereka ikut dengan rela, dengan cinta dan ikut dengan tepat. Dan itulah maksud ittiba’. Selain itu juga, tidak menambah-nambah ajaran yang diberikan oleh Nabi.

Inilah yang dikehendaki daripada kita – ikut sahaja dan jangan ditambah-tambah dalam agama. Jangan amalkan amalan bid’ah langsung. Jadi untuk tahu apakah yang bid’ah dan tidak, kena belajar untuk membezakan manakah yang bid’ah dan mana yang sunnah.

Maknanya mereka bersetuju untuk taat kepada arahan Rasul mereka.

فَاكتُبنا مَعَ الشّٰهِدينَ

oleh itu tuliskanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi

Sebelum ini mereka meminta Nabi Isa عليه السلام menjadi saksi yang mereka adalah Muslim, sekarang mereka meminta Allah ‎ﷻ sendiri yang menjadi saksi. Mereka meminta Allah ‎ﷻ tuliskan mereka sebagai orang yang bersaksi sebagai Muslim.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan