Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-35 hingga Ayat Ke-39

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-35 hingga Ayat Ke-39

610
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran
Tafsir Ayat Ke-35

Kita sudah mula masuk kepada kisah Keluarga Imran ini (yang digunakan sebagai nama surah ini) dan kisah mereka dimulakan tentang Maryam رضي الله عنها, ibu kepada Nabi Isa عليه السلام.

إِذ قالَتِ امرَأَتُ عِمرٰنَ رَبِّ إِنّي نَذَرتُ لَكَ ما في بَطني مُحَرَّرًا فَتَقَبَّل مِنّي ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّميعُ العَليمُ

(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:” Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepada-Mu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepada-Mu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

إِذ قالَتِ امرَأَتُ عِمرٰنَ

ketika isteri Imran berkata:

Isteri Imran bernama Hannah. Imran dikatakan bapa kepada Maryam رضي الله عنها. Ada juga khilaf tentang perkara ini kerana ada yang mengatakan bahawa Imran adalah nama keturunan dan bukannya nama bapa kepada Maryam رضي الله عنها. Allahu a’lam.

Sebelum ini Allah ‎ﷻ kata Dia Maha Mendengar. Sekarang Allah ‎ﷻ tunjuk contoh bagaimana Dia dengar doa ibu Maryam رضي الله عنها walaupun beliau berdoa dalam diam di rumah. Beliau pun bukanlah seorang nabi tetapi Allah ‎ﷻ tetap dengar dan makbulkan juga. Menunjukkan Allah ‎ﷻ dengar doa semua makhluk. Maka jangan kita lelah dalam berdoa. Teruskan berdoa dan yakinlah yang Allah ‎ ﷻ dengar doa kita.

رَبِّ إِنّي نَذَرتُ لَكَ ما في بَطني مُحَرَّرًا

Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepada-Mu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas

Ibu Maryam menazarkan kandungan bayi di dalam perutnya itu untuk menjadikan anaknya itu khusus buat ibadat dan berkhidmat kepada Allah ‎ﷻ. Maksudnya beliau ingin menyerahkan anaknya itu menjadi khadam BaitulMaqdis sebagaimana tok siak kalau di negara kita.

Kalimah “Muharraran” membawa maksud ‘bebas daripada jagaanku’ – seratus peratus (100%) berkhidmat untuk agama. Bebas daripada kehidupan dunia, maknanya duduk berkhidmat di Masjidil Aqsa sahaja tanpa kerja yang lain.

Syari’at dahulu boleh nazar begitu. Tidak ada dalam syari’at kita sebegitu. Janganlah pula ada yang baca ayat ini tanpa belajar, terus hendak nazarkan anak dalam perut menjadi tok siak masjid pula. Tidak perlu begitu.

فَتَقَبَّل مِنّي

maka terimalah nazarku

Maknanya kalau ibunya berdoa begitu, Maryam رضي الله عنها itu adalah anak biasa. Untuk mendapatkan Maryam رضي الله عنها pun setelah sekian lama beliau berdoa kepada Allah ‎ﷻ.

Maka, apabila beliau mengandung, beliau menjadi terlalu gembira sehinggakan beliau menazarkan anaknya itu. Beliau sangka anaknya itu adalah lelaki kerana syari’at agama ketika itu pun, hanya budak lelaki yang menjadi khadam di masjid. Maka beliau berharap sangat yang anaknya itu akan lahir sebagai lelaki.

Lihatlah bagaimana ibu Maryam berharap supaya Allah ‎ﷻ menerima nazarnya, bukanlah beliau berdoa supaya Allah ‎ﷻ menerima anaknya itu. Maknanya, pemberian anak itu adalah sebagai salah satu ibadat daripada dirinya sendiri dan beliau mengharapkan pahala daripada nazarnya itu.

إِنَّكَ أَنتَ السَّميعُ العَليمُ

sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui

Sekali lagi diulang yang Allah ‎ﷻ sahaja Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Ibu Maryam pun tahu perkara ini kerana inilah aqidah dari dahulu lagi.

Ibu Maryam pun tidak mendengar sama ada Allah ‎ﷻ terima doanya ataupun tidak. Ibu Maryam juga tidak mengetahui apakah kandungan dalam perutnya itu adalah anak lelaki atau tidak. Jadi, kalau Allah ‎ﷻ sahaja yang ada sifat Maha Mendengar dan Mengetahui, kenapa hendak sembah selain Allah ‎ﷻ? Kenapa hendak puja dan seru selain Allah ‎ﷻ?

Tafsir Ayat Ke-36

فَلَمّا وَضَعَتها قالَت رَبِّ إِنّي وَضَعتُها أُنثىٰ وَاللَّهُ أَعلَمُ بِما وَضَعَت وَلَيسَ الذَّكَرُ كَالأُنثىٰ ۖ وَإِنّي سَمَّيتُها مَريَمَ وَإِنّي أُعيذُها بِكَ وَذُرِّيَّتَها مِنَ الشَّيطٰنِ الرَّجيمِ

Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaan-Mu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)

فَلَمّا وَضَعَتها قالَت رَبِّ إِنّي وَضَعتُها أُنثىٰ

Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan

Ibu Maryam berharap supaya anak yang dilahirkannya itu anak lelaki tetapi rupanya yang keluar adalah anak perempuan. Daripada lafaz katanya ini, kita dapat rasa bahawa beliau sedih kerana anaknya itu perempuan. Memang beliau tidak sangka sama sekali. Maknanya ibu Maryam tidak tahu perkara ghaib.

وَاللَّهُ أَعلَمُ بِما وَضَعَت

dan Allah memang lebih mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu

Allah ‎ﷻ lebih tahu apakah jantina anak yang akan dilahirkan. Semuanya dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Memang Allah ‎ﷻ mahukan anak yang dilahirkan itu anak perempuan kerana Allah ‎ﷻ hendak anak itu menjadi ibu kepada seorang Nabi, maka kenalah yang dilahirkan oleh Hannah itu seorang perempuan.

وَلَيسَ الذَّكَرُ كَالأُنثىٰ

dan memanglah tidak sama lelaki dengan perempuan;

Tidak sama dari banyak segi antara lelaki dan perempuan. Ada persamaan dan ada juga perbezaan antara jantina. Kadang-kadang ada perkara yang perempuan lebih lagi daripada lelaki.

Dalam kes ini, untuk menjadi ibu kepada Nabi Isa عليه السلام, hanya orang perempuan sahaja yang boleh ambil tugas itu. Maka, Allah ‎ﷻ telah memilih Maryam رضي الله عنها untuk menjadi ibu kepada seorang Nabi. Walaupun beliau sendiri bukan Nabi (kerana Nabi mesti seorang lelaki) tetapi beliau adalah seorang ibu kepada Nabi. Tidak ada lelaki boleh mencapai kedudukan ini.

وَإِنّي سَمَّيتُها مَريَمَ

bahawasanya aku telah menamakannya Maryam

Ini adalah nama yang dipilih oleh ibu Maryam. Maryam dalam bahasanya bermaksud hamba yang sering beribadah kepada Allah ‎ﷻ. Ia nama yang indah dan bolehlah digunakan sebagai nama anak perempuan kita juga.

وَإِنّي أُعيذُها بِكَ وَذُرِّيَّتَها مِنَ الشَّيطٰنِ الرَّجيمِ

dan aku melindungi dia dengan peliharaan-Mu, demikian juga zuriat keturunannya, daripada godaan syaitan yang kena rejam

Hannah mohon perlindungan untuk anaknya kepada Allah daripada syaitan. Bukan sahaja anaknya sahaja, tetapi keturunan anaknya itu juga. Maknanya, ibu Maryam ini sudah memandang ke hadapan. Doanya pun amat bagus sekali.

Tafsir Ayat Ke-37

فَتَقَبَّلَها رَبُّها بِقَبولٍ حَسَنٍ وَأَنبَتَها نَباتًا حَسَنًا وَكَفَّلَها زَكَرِيّا ۖ كُلَّما دَخَلَ عَلَيها زَكَرِيَّا المِحرابَ وَجَدَ عِندَها رِزقًا ۖ قالَ يٰمَريَمُ أَنّىٰ لَكِ هٰذا ۖ قالَت هُوَ مِن عِندِ اللَّهِ ۖ إِنَّ اللَّهَ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

Maka dia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ia dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira

فَتَقَبَّلَها رَبُّها بِقَبولٍ حَسَنٍ

Maka dia diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik,

Allah ‎ﷻ menerima Maryam sebagai nazar ibunya; atau boleh bermaksud Allah ‎ﷻ menerima doa ibu‎ Maryam itu.

وَأَنبَتَها نَباتًا حَسَنًا

dan dibesarkannya dengan didikan yang baik,

Maryam telah dibesarkan dengan baik. Allah ‎ﷻ sendiri yang menjadikannya sebegitu. Ini kerana kalau anak kita, memang kita hendak dia jadi baik, kita beri didikan yang terbaik, tetapi tidak semestinya anak itu menjadi baik.

Lihatlah bagaimana anak-anak Nabi Yaakub, walaupun bapanya seorang Nabi, tetapi tidak semua anaknya menjadi. Namun Allah ‎ﷻ memastikan yang Maryam dibesarkan dengan didikan yang baik.

وَكَفَّلَها زَكَرِيّا

serta diserahkan-Nya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria.

Nabi Zakaria telah dilantik oleh Allah ‎ﷻ sebagai penjaga Maryam. Ramai yang berpakat hendak menjaga Maryam رضي الله عنها kerana Imran telah meninggal. Ramai sangat yang hendak menjaga Maryam sampaikan terpaksa dilakukan undian.

Cara undian dilakukan adalah bagi setiap mereka yang mahu menjaga Maryam رضي الله عنها, perlu mencampak qalam (pen) mereka ke dalam sungai. Qalam yang timbul sahaja akan dipilih sebagai penjaga Maryam رضي الله عنها. Dengan kuasa Allah ‎ﷻ, hanya qalam Nabi Zakaria عليه السلام sahaja yang timbul.

Maka Allah ‎ﷻ sendiri yang pilih penjaga Maryam, seorang Nabi dan Rasul. Siang baginda akan bawa Maryam رضي الله عنها ke masjid BaitulMaqdis dan malam dibawa Maryam رضي الله عنها pulang untuk tidur dengan keluarga baginda.

كُلَّما دَخَلَ عَلَيها زَكَرِيَّا المِحرابَ وَجَدَ عِندَها رِزقًا

Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki di sisinya.

Setiap kali Nabi Zakaria عليه السلام menemui Maryam رضي الله عنها di Mihrab, baginda dapati yang Maryam رضي الله عنها sentiasa ada rezeki bersamanya. Dikatakan bahawa rezeki itu dalam bentuk buah-buahan yang luar musim. Ini amat menghairankan kerana bukannya ada peti ais pun zaman itu.

Kalimah المِحرابَ adalah tempat yang dijadikan sebagai tempat pertapaan untuk umat Islam zaman itu. Ia berasal daripada perkataan حرب yang bermaksud ‘perang’. Ini adalah kerana tempat itu dijadikan sebagai tempat untuk bersendiri untuk berperang dengan nafsu dan syaitan yang mengganggu iman manusia.

Kalau zaman sekarang, ia adalah tempat yang ada lengkuk yang digunakan sebagai tempat imam salat berdiri semasa menjadi imam. Jadi penggunaan kalimah ini sudah berubah.

قالَ يٰمَريَمُ أَنّىٰ لَكِ هٰذا

Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati ini?”

Makanan yang ada di sisi Maryam itu amat menghairankan Nabi Zakaria عليه السلام kerana baginda yang menjaga Maryam رضي الله عنها dan makanan disediakan olehnya. Dari mana pula datangnya buah-buahan itu?

قالَت هُوَ مِن عِندِ اللَّهِ

Maryam menjawab; “Ianya dari Allah,

Maryam رضي الله عنها menjawab yang semua rezeki itu adalah daripada Allah ‎ﷻ yang didapati tanpa ikhtiar daripada dirinya.

Dalam ayat ini Maryam رضي الله عنها menggunakan lafaz هُوَ (ia) dan tidak menggunakan هٰذا (ini) walaupun itulah lafaz yang digunakan oleh Nabi Zakaria عليه السلام. Ini adalah kerana apabila menggunakan lafaz هُوَ ia merangkumi semua perkara yang didapati oleh Maryam رضي الله عنها, dan bukan hanya merujuk kepada makanan itu sahaja.

إِنَّ اللَّهَ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira

Allah ‎ﷻ boleh memberi apa-apa sahaja kepada hamba-Nya dengan cara tanpa boleh difikir dengan akal. Allah tidak kira pun pemberian apa yang diberi-Nya kerana Dia boleh beri apa sahaja.

Apa yang diberi kepada Maryam رضي الله عنها itu adalah satu jenis ‘Karamah’. Memang karamah boleh diberi untuk orang soleh. Ia diberikan kepada Maryam رضي الله عنها kerana taqwa yang ada pada dirinya. Beliau seorang yang takut sangat dengan Allah ‎ﷻ dan amat menjaga dirinya.

Tafsir Ayat Ke-38

هُنالِكَ دَعا زَكَرِيّا رَبَّهُ ۖ قالَ رَبِّ هَب لي مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَميعُ الدُّعاءِ

Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan

هُنالِكَ دَعا زَكَرِيّا رَبَّهُ

Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya,

Apabila melihat karamah yang diberikan kepada Maryam رضي الله عنها, memberi keazaman baru kepada Nabi Zakaria عليه السلام. Baginda berfikir, kalau Maryam رضي الله عنها boleh diberikan oleh Allah ‎ﷻ sebegitu rupa, tentu Allah ‎ﷻ boleh beri kepadanya seorang anak. Ini kerana baginda telah lama teringinkan anak untuk menyambung tugas baginda mengajar kepada umatnya.

Begitulah, apabila kita tengok kejadian Qudrat Allah ‎ﷻ kepada orang lain, ia lebih terkesan di hati kita dan menjadikan doa kita lebih mantap. Kerana pengharapan kita waktu itu paling tinggi. Seorang Nabi pun boleh dapat peringatan daripada orang lain. Bukannya Nabi Zakaria عليه السلام tidak percaya kepada Allah ‎ﷻ boleh memakbulkan doanya, tetapi kejadian yang terjadi kepada Maryam رضي الله عنها itu benar-benar memberi kesan mendalam kepada baginda.

Daripada bahasa yang digunakan, Nabi Zakaria عليه السلام terus berdoa di situ juga. Baginda tidak bertangguh dalam doa baginda. Begitulah, ini mengajar kita adab dan cara berdoa. Apabila kita nampak sesuatu yang memberi kesan kepada jiwa kita, teruslah berdoa. Dalam berdoa, kena pandai cari suasana yang kita rasa kita akan bersungguh-sungguh doa. Ini kerana kita memang selalu berdoa tetapi selalunya ia dalam keadaan sambil lewa.

قالَ رَبِّ هَب لي مِن لَدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً

katanya:” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik;

Baginda terus berdoa meminta Allah ‎ﷻ mengurniakan anak kepada baginda. Dalam Surah Maryam, doa ini lebih panjang lagi. Baginda bukan sahaja meminta diberikan dengan seorang anak, tetapi baginda minta anak yang baik, yang soleh, yang boleh menyambung tugasnya mengajar umat dengan ilmu agama.

Sebenarnya baginda meminta supaya anak itu menjadi Nabi yang akan menggantikannya selepas baginda tiada nanti. Ini telah diceritakan dengan lebih panjang lagi dalam Surah Maryam.

إِنَّكَ سَميعُ الدُّعاءِ

sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar doa permohonan

Allah ‎ﷻ Maha Mendengar dan boleh memberikan apa sahaja yang diminta oleh makhluk. Tidak sama dengan kita. Kita dengar juga doa orang namun kita tidak boleh berbuat apa-apa.

Maka kalau kita sedar ayat ini, kita lebih berharap dalam doa kita. Kerana kita sedar yang apa sahaja yang kita minta kepada-Nya, Dia sedang mendengar. Cuma terpulang kepada-Nya sama ada hendak memberikan atau tidak.

Tafsir Ayat Ke-39

فَنادَتهُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَهُوَ قائِمٌ يُصَلّي فِي المِحرابِ أَنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحيىٰ مُصَدِّقًا بِكَلِمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَسَيِّدًا وَحَصورًا وَنَبِيًّا مِّنَ الصّٰلِحينَ

Lalu dia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): “Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh

فَنادَتهُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَهُوَ قائِمٌ يُصَلّي فِي المِحرابِ

Lalu dia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab,

Malaikat terus sampaikan berita gembira (selepas menerima arahan daripada Allah) bahawa doa baginda dimakbulkan semasa baginda sedang salat. Oleh kerana ada huruf ف dalam perkataan فَنادَتهُ, menunjukkan bahawa jawapan itu terus diberi tanpa lengah. Seumpama, Nabi Zakaria عليه السلام minta, dan terus dijawab.

Nabi Zakaria عليه السلام mendapat jawapan itu semasa baginda sedang salat. Kenapa dimasukkan maklumat yang baginda sedang salat? Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak beritahu bahawa doa dalam salat adalah yang paling baik.

Selalu orang kita hanya doa di luar salat, panjang-panjang doanya. Sedangkan Nabi banyak mengajar sahabat untuk berdoa semasa di dalam salat lagi. Doa itu boleh dilakukan sama ada semasa sujud ataupun di dalam tahiyyat akhir.

أَنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحيىٰ

Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan seorang anak lelaki bernama Yahya,

Berita gembira itu adalah Nabi Zakaria عليه السلام akan diberikan dengan seorang anak lelaki yang bernama Yahya (bermaksud: yang hidup). Namanya berkaitan dengan kehidupan.

Nama pun Allah ‎ﷻ telah siap-siap berikan. Nabi Yahya عليه السلام itu tua enam bulan daripada Nabi Isa عليه السلام. Baginda yang akan membantu Nabi Isa عليه السلام dalam dakwah baginda nanti.

مُصَدِّقًا بِكَلِمَةٍ مِّنَ اللَّهِ

yang akan membenarkan Kalimat daripada Allah,

Maksudnya baginda akan membenarkan ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa عليه السلام. Ini kerana ‘Kalimat daripada Allah’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi Isa عليه السلام.

Nabi Yahya عليه السلام juga akan beriman dengan Nabi Isa عليه السلام juga. Tugasnya adalah untuk membantu Nabi Isa عليه السلام dalam dakwah menegakkan Islam. Sampaikan akhirnya baginda dibunuh dalam dakwah baginda.

وَسَيِّدًا وَحَصورًا

dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri,

Maksudnya baginda akan menjadi pemimpin. Maksudnya, orang akan mengenalinya kerana kehebatan yang ada pada diri baginda.

Perkataan حَصورًا bermaksud ‘boleh jaga nafsu’. Maknanya baginda tidak berminat langsung kepada wanita. Kalau kita manusia biasa, alim dan warak macam mana pun, kalau ada perempuan yang lalu di hadapan kita, kita akan lihat juga, bukan? Kerana ini adalah naluri seorang lelaki.

Namun Nabi Yahya عليه السلام tidak pandang pun. Baginda dikatakan tidak berkahwin pun. Ini adalah kelebihan yang diberikan kepada Nabi Yahya عليه السلام. Tetapi tidaklah kita perlu ikut sunnah ini pula. Kerana kita memang Allah ﷻ telah berikan nafsu yang sihat, jadi tidak perlu hendak tahan-tahan pula.

وَنَبِيًّا مِّنَ الصّٰلِحينَ

dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh

Nabi Zakaria عليه السلام diberitahu yang anaknya itu akan menjadi Nabi dan baginda akan menjadi anak yang soleh (tetapi soleh kategori Nabi), bukan soleh manusia biasa.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan