Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-31 hingga Ke-34

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-31 hingga Ke-34

1163
0
Iklan

Tafsir Ali Imran
Tafsir Ayat Ke-31

Ayat ini adalah Ayat Tabshir.

Dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa Dia bersifat رَءوفٌ. Maka selepas kita tahu sifat Allah ‎ﷻ begitu, maka timbullah rasa cinta kita kepada Allah ‎ﷻ.

Cinta memerlukan dua belah pihak saling mencintai, barulah lengkap. Kalau kita kasih kepada Allah ‎ﷻ, tetapi Allah ‎ﷻ murka, tidak ada gunanya. Maka dalam ayat ini Allah ‎ﷻ memberitahu cara bagaimana hendak mendapatkan kasih-Nya.

Cara untuk kasih kepada Allah ‎ﷻ adalah dengan mengikut cara yang Allah ‎ﷻ suruh iaitu kita taat kepada kehendak-Nya. Sebagaimana kita sayang kekasih kita di dunia, tentulah kita akan ikut kehendak dia seboleh mungkin, bukan?

Dalam Tafsir Jalalain, ada disebut bahawa ayat ini tentang segolongan ahli syirik yang kata mereka seru para wali yang mereka seru dengan harapan Allah ‎ﷻ mencintai mereka. Mereka kata yang mereka seru itu bukan makhluk biasa tetapi yang mulia, yang disayangi Allah ‎ﷻ. Jadi mereka sebut-sebut dan puja wali itu supaya pujaan-pujaan itu sebut pula nama mereka di hadapan Allah ‎ﷻ, supaya kemudian Allah ‎ﷻ pula cinta mereka.

Maka Allah ‎ﷻ memperbetulkan pemahaman syirik ini. Fahaman salah ini juga banyak dalam masyarakat kita seperti yang dilakukan oleh golongan Syiah, tarekat dan golongan Habib.

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني يُحبِبكُمُ اللَّهُ وَيَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku,

Kalau benar kasih kepada Allah ‎ﷻ, jangan buat fahaman agama ikut cara sendiri. Jangan pakai cara yang tidak tahu dari mana datangnya (tanpa dalil). Kalau buat cara sendiri, itu adalah kasih ‘sebelah pihak’ sahaja, sedangkan Allah ‎ﷻ murka kepada mereka. Itu maknanya perasan seorang diri sahaja. Cara Nabi ﷺlah yang Allah ‎ﷻ suka. Maka ikutlah cara yang Nabi ﷺ ajar.

Nabi ﷺ suruh kita ittiba‘ kepada baginda. Maksud ittiba’ itu adalah ikut dengan rapat. Macam kalau kita nampak tapak kaki di pantai, kita letak kaki kita letak betul-betul atas bekas tapak kaki itu menyelusuri pantai itu.

Ia berbeza sedikit dengan itaa’ah. Itaa’ah adalah taat atau ikut arahan iaitu, setelah disuruh buat sesuatu, kita lakukan seperti yang disuruh. Paling kurang yang kita lakukan adalah itaa’ah.

Akan tetapi ittiba‘ lebih tinggi lagi daripada itu. Kalau mahu Allah ‎ﷻ cinta kita, kena ittiba’ kepada Nabi ﷺ seperti yang diberitahu dalam ayat ini. Ia berlaku apabila kita tanya bagaimana hendak buat sesuatu (itaa’ah sudah diberi arahan baru buat). Maknanya orang yang ittiba’ itu orang yang ada inisiatif untuk tahu dan ikut.

Keinginan hendak ikut itu adalah kerana ada rasa cinta dan sayang kepada Nabi ﷺ. Maka dia hendak tahu bagaimana cara yang terbaik untuk melakukan sesuatu. Sebagai contoh, selalu apabila seseorang itu sudah mula terima tauhid dengan cara yang betul, sudah belajar tentang kepentingan sunnah, mereka akan cari maklumat bagaimana Nabi ﷺ salat, cara baginda berpakaian, cara baginda makan dan sebagainya. Itulah yang dikatakan ittiba’. Semoga kita ada perasaan ini dalam hati kita.

Apakah kesannya nanti kalau kita ada ittiba’?

يُحبِبكُمُ اللَّهُ

nescaya Allah mengasihi kamu

Sekiranya dapat ikut Nabi ﷺ, maka barulah Allah ‎ﷻ cinta kepada para pelakunya. Ayat ini menunjukkan betapa Allah ‎ﷻ sayangkan Nabi ﷺ sampai kalau kita ikut baginda, Dia akan suka dan akan cinta pula kepada kita.

Yang pertama sekali kita kena ikut adalah dari segi akidah (terutama sekali tauhid). Tinggalkan segala fahaman dan amalan syirik. Syirik itu lebih buruk daripada seorang isteri tidur dengan lelaki lain atas katil yang ada suaminya. Itu adalah perbuatan kurang ajar menduakan suami, tetapi syirik itu lebih buruk lagi kerana menduakan Allah ‎ﷻ!

Itulah bandingan mereka yang sebut nama Allah ‎ﷻ tetapi dalam masa yang sama, sebut dan seru pujaan lain. Malangnya, ilmu tauhid dan syirik ini jarang dipelajari oleh masyarakat kita, sampai menyebabkan banyak kekeliruan dan terdapat amalan syirik yang dilakukan oleh masyarakat Islam kita, kerana mereka tidak tahu.

Kemudian selepas ikut hal tauhid (dan akidah), kena ikut dari segi ibadat dan adat. ‘Ibadat’ adalah hubungan makhluk dengan Allah ‎ﷻ dan ‘adat’ adalah hubungan makhluk dengan makhluk. Tentang dua perkara ini, memang ada yang menjaganya (mereka jaga ibadat dan adat mereka), tetapi ada yang culas dalam hal tauhid. Malangnya kalau hal tauhid tidak dijaga, sia-sia sahaja segala amalan yang dilakukan manusia itu kerana dia akan kekal dalam neraka.

وَيَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم

serta Dia akan mengampunkan dosa-dosa kamu.

Kelebihan kalau kita melakukan segala perkara yang disebut di atas, Allah ‎ﷻ akan tutup dosa kita. Kita manusia yang banyak dosa dan amat memerlukan pengampunan dosa daripada Allah ‎ﷻ.

Malang sekali, ada orang yang mengaku cinta Nabi ﷺ sampai menangis kalau sebut nama Nabi ﷺ tetapi tidak ikut cara baginda, tidak ikut sunnah baginda. Amalan ibadat banyak yang mereka tambah. Itu semua dipanggil bid’ah. Ramai yang rasa ringan sahaja buat amalan bid’ah. Berbagai alasan mereka bagi untuk membenarkan amalan bid’ah mereka.

Ada pula yang sudah menjaga amalan ibadat ikut cara Nabi ﷺ tetapi cara Nabi ﷺ berurusan dengan makhluk, tidak pula mereka ikut. Maksudnya, akhlak Nabi ﷺ, mereka tidak ikut. Mereka tidak jaga hubungan dan ada yang zalim kepada orang lain. Dengan makhluk lain pun mereka tidak jaga (dengan binatang dan tanaman).

Lihatlah apakah maksud ‘akhlak’ itu. ‘Akhlak’ daripada kata dasar yang sama dengan ‘makhluk’. Maksudnya akhlak adalah tentang interaksi kita dengan makhluk Allah ‎ﷻ yang lain. Yang terbaik interaksi mereka dengan makhluk lain, mereka itulah yang ada akhlak yang terbaik. Maka akhlak ada satu perkara yang penting dalam kehidupan kita. Sebagaimana Rasulullah ﷺ jaga akhlak baginda, maka kita pun kenalah ikut juga.

وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita kepada Sifat-Nya yang Maha Pengampun. Ghafara maksudnya Allah ‎ﷻ akan menutup kesalahan dosa yang kita telah lakukan sampai tidak diketahui oleh mana-mana makhluk. Hanya Dia sahaja yang tahu. Kerana malu juga kalau orang lain tahu dosa kita, bukan?

Allah ﷻ sanggup ampunkan dosa kita kerana Allah ﷻ kasih kepada kita. Allah ‎ﷻ amat bersifat kasih kepada makhluk-Nya. Allah ‎ﷻ bukan hendak menyusahkan hamba-Nya. Segala yang Dia lakukan dan arahkan kepada kita, adalah untuk kebaikan kita sebenarnya.

Nota tambahan: ada puak-puak tertentu yang mengajar untuk mengamalkan ayat ini sebagai ‘Ayat Pengasih’. Kononnya kalau dibaca, akan menyebab kita dikasihi. Sebagai contoh, Darul Syifa’ ada mengajar untuk baca ayat ini selepas setiap kali solat lima waktu.

Ini adalah amalan yang bid’ah dan karut. Ia adalah penyalahgunaan ayat Al-Qur’an. Begitulah kalau tidak belajar tafsir, ramai yang akan menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai azimat. Mereka jadikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai sihir untuk mendapatkan sesuatu. Ini hanya dilakukan oleh orang-orang yang jahil sahaja.

Tafsir Ayat Ke-32

قُل أَطيعُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ ۖ فَإِن تَوَلَّوا فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الكٰفِرينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.

قُل أَطيعُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya.

Kali ini Allah ‎ﷻ menggunakan lafaz ‘taat’ pula. Ini adalah paling kurang yang kita kena lakukan.

Maksud literal ‘taat’ adalah ‘sukarela’. Macam perkataan tatawwu‘ dalam salat, bermaksud ‘Salat-salat Sunat’ sebagai salat-salat tambahan selain daripada salat-salat fardhu. Jadi taat dalam agama adalah taat jenis sukarela. Tidak ada paksaan dalam agama. Kita kena rela hendak lakukan. Sebagai contoh, kalau salat kita lakukan tetapi dipaksa, itu bukan ‘taat’ sebenarnya. Pahala pun tiada.

Hendaklah taat kepada Allah ‎ﷻ dan taat kepada rasul yang mengajar cara taat kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ telah pilih Rasul itu untuk tunjuk cara bagaimana menjalani kehidupan kepada kita. Kalau kita cinta seseorang, tentulah kita ikut segala perkataan kekasih itu, bukan? Maka taat itu adalah alamat (tanda) adanya kasih.

Sebelum ini beberapa ayat yang sudah diberikan, Allah ‎ﷻ melarang kita berwalikan kepada selain orang Islam. Dalam ayat-ayat ini pula, Allah ‎ﷻ memberitahu kepada siapakah yang patutnya kita letakkan kasih kita itu.

Namun untuk taat, kenalah tahu apakah yang hendak ditaati. Maka, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an dan hadith serta sunnah untuk tahu apakah yang perlu ditaati. Janganlah pandai sebut taat sahaja, tetapi tidak tahu apakah yang perlu ditaati.

فَإِن تَوَلَّوا فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الكٰفِرينَ

jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.

Mereka dikira kufur kerana ada peluang untuk ikut taat tetapi mereka tidak ikut. Allah ‎ﷻ kata mereka kafir.

Perkara dalam hati orang lain, kita tidak tahu. Oleh itu susah untuk kita mengkafirkan seseorang. Namun begitu, kalau ada yang secara nyata mengatakan sesuatu yang wajib tetapi dia kata tidak wajib, itu adalah kufur dengan nyata dan kita sendiri boleh kata dia kafir kerana dia sudah nyatakan kekafiran dia.

Namun kalau perkara dalam hatinya, Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Maka jangan kita ringan sahaja mulut untuk kata orang itu kafir, orang ini kafir. Kerja kita bukannya untuk mengkafirkan orang lain tetapi berjagalah dengan peringatan Allah ‎ﷻ ini. Mungkin kita katakan seseorang itu kafir, tetapi bagaimana kalau dia bukan kafir di mata Allah ‎ﷻ? Nauzubillahi min dzaalik.

Tafsir Ayat Ke-33

Ini adalah Dalil Aqli yang keempat. Ayat ini hendak menjelaskan kesilapan dalam fahaman Nasara yang menjadikan golongan keluarga Imran sebagai pujaan. Mereka bukanlah pujaan selain Allah ‎ﷻ, walaupun mereka itu manusia yang taat kepada Allah ‎ﷻ. Jadi kalau mereka manusia biasa, kenapa seru mereka?

Sebelum ini telah disebut tentang cinta Allah ‎ﷻ. Untuk mendapatkan cinta Allah ‎ﷻ, kena taat kepada Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ bukanlah Rasul yang pertama, malah banyak lagi sebelum baginda. Rasul-Rasul itulah yang menjadi penyambung kasih antara makhluk dan Allah ‎ﷻ.

۞ إِنَّ اللَّهَ اصطَفىٰ ءآدَمَ وَنوحًا وَءآلَ إِبرٰهيمَ وَءآلَ عِمرٰنَ عَلَى العٰلَمينَ

Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).

إِنَّ اللَّهَ اصطَفىٰ ءآدَمَ وَنوحًا

Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh,

Nabi Adam عليه السلام adalah bapa kita semua. Nabi Nuh عليه السلام pula adalah Rasul yang pertama. Semua makhluk adalah keturunan Nabi Adam عليه السلام dan Nabi Nuh عليه السلام kerana selepas Banjir Besar, semua keturunan adalah daripada keturunan Nabi Nuh عليه السلام, tidak ada zuriat yang lain lagi.

وَءآلَ إِبرٰهيمَ وَءآلَ عِمرٰنَ عَلَى العٰلَمينَ

dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat

Daripada Nabi Ibrahim عليه السلام lahirlah Nabi Ismail عليه السلام dan Nabi Ishak عليه السلام. Kemudian, dari jaluran keturunan Nabi Ishak عليه السلامlah lahirnya keluarga Imran. Di dalam Al-Qur’an disebut dua Imran. Seorang adalah anak Nabi Musa عليه السلام dan seorang lagi adalah bapa kepada Maryam رضي الله عنها, .

Mereka semua telah dipilih untuk jadi rapat dengan Allah ‎ﷻ. Semua yang disebut adalah keturunan Nabi-Nabi dan Allah ‎ﷻ memasukkan sekali dengan Keluarga Imran juga.

Disebut ramai nama Nabi-Nabi kerana Nabi Muhammad ﷺ diajar untuk beritahu yang baginda adalah salah seorang daripada rantaian Nabi yang ramai. Baginda bukannya membawa ajaran akidah yang baru melainkan sama sahaja dengan apa yang dibawa oleh para Nabi yang terdahulu. Mereka semuanya dipilih sendiri oleh Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-34

ذُرِّيَّةً بَعضُها مِن بَعضٍ ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

(Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.

ذُرِّيَّةً بَعضُها مِن بَعضٍ

satu keturunan yang setengahnya berasal daripada setengahnya yang lain.

Allah ‎ﷻ mengingatkan bahawa mereka itu semua bukanlah tuhan, melainkan lahir sebagaimana manusia lain juga. Setengah lahir daripada setengah yang lain. Maknanya mereka itu semua adalah daripada keturunan manusia. Bukan lahir daripada Allah ‎ﷻ.

Oleh kerana mereka adalah manusia biasa, jadi kenapa ingin jadikan mereka sebagai pujaan? Kenapa puja berlebihan pula? Inilah bahaya apabila pujian dilakukan berlebihan. Kerana itu Rasulullah ﷺ larang baginda dipuji melambung tinggi.

وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui sahaja yang layak menjadi Tuhan. Dan itu hanyalah Allah ‎ﷻ sahaja. Tidak ada yang lain dan tidak akan ada selain-Nya yang ada sifat-sifat begitu.

Mereka para Nabi dan Keluarga Imran seperti Maryam رضي الله عنها, Nabi Isa عليه السلام dan lain-lain tidak mempunyai kuasa maha mendengar dan maha mengetahui. Ini adalah kerana mereka itu manusia biasa sahaja.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan