Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Aali-Imran: Tafsir Ayat Ke-5 hingga ke-7

Tafsir Surah Aali-Imran: Tafsir Ayat Ke-5 hingga ke-7

450
0
Iklan

Tafsir Surah Aali-Imran

Tafsir Ayat Ke-5

Ini adalah penyempurnaan kepada dalil yang telah disampaikan sebelum ini. Dalil-dalil ini diberi untuk menguatkan hujah bahawa Allah ﷻ itulah sahaja ilah.

إِنَّ اللَّهَ لا يَخفىٰ عَلَيهِ شَيءٌ فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ

Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepada-Nya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.

إِنَّ اللَّهَ لا يَخفىٰ عَلَيهِ شَيءٌ

Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepada-Nya sesuatu pun

Hanya kepada Allah ﷻ sahaja yang tidak tersembunyi segala perkara kepada-Nya. Nabi Isa عليه السلام dan Maryam itu banyak benda mereka tidak tahu, maka mereka bukanlah ilah yang boleh disembah.

فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ

yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.

Allah ﷻ Maha Tahu apa yang terjadi di bumi dan juga di langit. Manusia langsung tidak tahu apa yang terjadi di langit pun. Pengembaraan manusia ke langit itu hanya pada peringkat langit pertama sahaja dan itu pun hanya sedikit sahaja yang kita tahu.

Tafsir Ayat Ke-6

هُوَ الَّذي يُصَوِّرُكُم فِي الأَرحامِ كَيفَ يَشاءُ ۚ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

هُوَ الَّذي يُصَوِّرُكُم فِي الأَرحامِ كَيفَ يَشاءُ

Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim sebagaimana yang dikehendaki-Nya.

Allah ﷻ sahaja yang boleh memberikan rupa paras dan menentukan bagaimana bentuk manusia, bukan Nabi Isa عليه السلام dan Maryam. Lihatlah bagaimana semua dalil-dalil yang diberikan boleh dibandingkan kepada Nabi Isa dan Maryam kerana hendak membezakan Allah ﷻ dengan Nabi Isa عليه السلام dan Maryam yang bukan Tuhan. Kita kena ingat yang ayat-ayat ini turun untuk Nasara yang datang dari Najran.

Allah ﷻ sahaja yang menentukan bagaimana rupa kita, tinggi rendah dan sebagainya, semuanya dalam ketentuan Allah ﷻ . Maka jangan kita teringin hendak jadi macam orang lain. Jangan kita marah kalau rupa kita tidak cantik atau sebagainya kerana yang menentukannya adalah Allah ﷻ. Kalau kita tidak suka dengan rupa kita, maknanya kita marah kepada Allah ﷻ yang telah menjadikannya begitu.

Entah berapa banyak manusia yang telah dilahirkan daripada Nabi Adam عليه السلام sampailah nanti ke hari Kiamat. Tidak ada seorang pun yang sama rupa paras dan keadaan mereka. Allah ﷻ telah beritahu dalam ayat yang lain, cap jari setiap manusia itu pun berbeza juga. Semua ini terjadi kerana Allah ﷻ itu Maha Berkuasa dan Dia mampu untuk menjadikan manusia itu berlainan semenjak janin lagi.

لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Tiada ilah melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ ulang sekali lagi Dakwa Surah iaitu hanya Dia sahaja ilah.

Kalimah al-Aziz maksudnya Allah Maha Berkuasa untuk buat apa sahaja. Allah ﷻ berkuasa dan mampu untuk menyeksa dan memberi azab kepada makhluk-Nya yang ingkar. Kalau Allah ﷻ hendak buat, tidak ada sesiapa yang boleh menghalang.

Kalimah al-Hakim maksudnya Allah Maha Bijaksana dalam menangguh untuk beri hukum. Allah ﷻ boleh sahaja mengazab terus makhluk-Nya yang ingkar, tetapi Dia tidak buat. Semuanya dalam kebijaksanaan Allah ﷻ kerana dengan Allah ﷻ menangguh azab-Nya kepada kita, maka masih ada lagi peluang untuk kita bertaubat dan memperbaiki diri kita.

Allah ﷻ juga Maha Bijaksana dalam menentukan bagaimana rupa kita. Maka, jangan persoalkan apa yang Allah ﷻ telah lakukan. Bersyukurlah dengan rupa paras yang Allah ﷻ telah berikan.

Tafsir Ayat Ke-7

Ayat ini untuk memperjelaskan tentang kesamaran-kesamaran seperti yang telah disebut dalam pengenalan Surah Ali Imran ini. Antara kesamaran yang ada dalam Kitab Injil, telah disebut Nabi Isa عليه السلام adalah ‘Anak Allah’, ‘Roh Allah’ dan lain-lain lagi. Itu adalah lafaz-lafaz yang samar yang menyebabkan kekeliruan manusia tentang Nabi Isa عليه السلام.

Dalam Al-Qur’an juga ada ayat-ayat yang samar-samar yang boleh menyebabkan orang Islam salah faham. Maka perkara ini perlu diperjelaskan.

هُوَ الَّذي أَنزَلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ مِنهُ ءَايَـٰتٌ مُّحكَمَـٰتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلكِتَـٰبِ وَأُخَرُ مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ ۖ فَأَمَّا الَّذينَ في قُلوبِهِم زَيغٌ فَيَتَّبِعونَ ما تَشَـٰبَهَ مِنهُ ابتِغاءَ الفِتنَةِ وَابتِغاءَ تَأويلِهِ ۗ وَما يَعلَمُ تَأويلَهُ إِلَّا اللَّهُ ۗ وَٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ يَقولونَ ءَامَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّن عِندِ رَبِّنا ۗ وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو ٱلأَلبَـٰبِ

Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Qur’an. Sebahagian besar dari Al-Qur’an itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Qur’an. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Qur’an untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya daripada sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

هُوَ الَّذي أَنزَلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ

Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Qur’an.

Allah ﷻ memulakan ayat ini dengan mengingatkan kita bahawa Dialah yang menurunkan Al-Qur’an ini kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk disampaikan kepada kita.

مِنهُ ءَايَـٰتٌ مُّحكَمَـٰتٌ

Sebahagian besar daripada Al-Qur’an itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat”

Majoriti dalam Al-Qur’an itu ada ayat-ayat yang jelas tentang tauhid dan akidah. Tidak ada ruang untuk kekeliruan dalam ayat-ayat Muhkamat. Ia adalah ayat-ayat yang kita akan mudah faham kalau kita belajar tafsir sebab itulah kita sentiasa tekankan kepentingan belajar tafsir Al-Qur’an supaya manusia boleh faham apakah yang hendak disampaikan.

Ayat-ayat Muhkamat itu juga mengandungi hukum untuk dijadikan panduan oleh makhluk yang dipertanggungjawabkan dengan syariat – manusia dan jin. Maka, ini pun kita kena belajar juga kerana kita kena taat. Kalau kita tidak belajar, bagaimana kita hendak taat?

Cuma, ayat Al-Qur’an akan memberikan hukum secara ringkas dan cara praktiknya akan diajar oleh Nabi ﷺ dalam hadith. Maksud hadith itu pula akan dijelaskan oleh ulama’. Maknanya, kena belajar dengan ulama’ juga, tidak boleh faham sendiri kerana kalau baca sendiri, kita tidak faham.

Sebagai contoh, dalam Al-Qur’an Allah ﷻ suruh kita mendirikan salat tetapi tidak disebut bagaimanakah cara mendirikan salat itu. Maka perincian cara-cara untuk melakukan salat itu diajar oleh Nabi ﷺ melalui hadith baginda dan kita tidak dapat lihat bagaimana cara Nabi ﷺ solat, maka kita kena belajar dengan ulama’ dan guru untuk mendapatkan cara yang betul untuk mendirikan salat itu.

هُنَّ أُمُّ ٱلكِتَـٰبِ

ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu isi Al-Qur’an

‘Umm’ bermaksud ibu atau induk. Ayat-ayat Muhkamat itu disebut sebagai Ummul Kitab kerana ia adalah ‘asal kitab’ untuk dijadikan neraca untuk membezakan yang benar dan yang tidak. Ia adalah perdu atau pati kepada Al-Qur’an.

Oleh itu, ayat-ayat Muhkamat ini kita kena tahu, kena faham dan kena ikut. Janganlah lagi jadi orang yang jahil, tidak tahu apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an ini. Janganlah hanya belajar agama tanpa belajar tafsir dahulu.

وَأُخَرُ مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ

Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat”

Cuma selain daripada ayat-ayat Muhkamat yang jelas itu, kitab Allah ﷻ juga mengandungi ayat-ayat yang kurang jelas yang dinamakan Mutasyabihat. Daripada segi bahasa, mutasyabih bermaksud yang serupa, boleh jadi macam-macam makna, tidak tepat kepada satu erti sahaja, tetapi boleh jadi macam-macam makna.

Ia menyentuh perkara yang selain daripada hukum kerana ayat hukum memang kena jelas, tidak boleh samar-samar kerana kalau samar, susah manusia hendak ikut. Ayat-ayat yang samar-samar ini dinamakan ayat-ayat Mutayhabihat dan ia sukar difahami kalau dibaca sepintas lalu sahaja tanpa belajar.

Antara yang termasuk dalam jenis ayat-ayat Mutasyabihat ini adalah ayat-ayat yang kita tidak faham maksudnya, seperti ayat pertama surah ini – alif lam mim dan banyak lagi ayat-ayat muqatta’ah yang lain; termasuk juga dalam jenis ayat-ayat mutasyabihat adalah penerangan tentang Allah ﷻ – Allah ﷻ mempunyai tangan, Allah ﷻ bersemayam di Arasy, Allah ﷻ ada mata, dan sebagainya.

Walaupun samar-samar, tetapi ia masih boleh dijelaskan lagi supaya ada kefahaman setakat yang kita perlu tahu sahaja. Kalau baca sendiri dan sepintas lalu, tentu tidak faham. Takut kalau cuba untuk faham sendiri, akan menyebabkan salah faham dan sesat.

Maka kenalah belajar tafsir dengan mereka yang mahir untuk memahaminya. Janganlah pula tanya dengan guru-guru yang tidak tahu seperti guru tarekat atau guru yang tidak belajar tafsir pula kerana mereka akan pusing ayat-ayat itu sampai manusia keliru kerana mereka pun keliru juga.

Ada ayat-ayat Al-Qur’an yang tidak perlu dihuraikan pun kerana Nabi ﷺ sendiri tidak huraikan. Kalau Nabi sendiri ﷺ tidak huraikan, itu bermaksud kita tidak perlu sibuk hendak cari maksudnya. Ini kerana tugas Nabi ﷺ adalah menyampaikan syariat dan kalau ada ayat-ayat yang boleh menyebabkan kekeliruan, maka baginda pasti sudah menjelaskannya. Nabi ﷺ telah selesai menjalankan tugas baginda dalam menyampaikan agama ini kepada umatnya. Maka, ringkasnya, kalau Nabi ﷺ tidak huraikan, maknanya kita tidak perlu tahu. Tidak perlu pening-pening memikirkannya.

Selain daripada itu, kalau hendak menghuraikan ayat-ayat yang samar itu, kenalah bandingkan dan baca bersama dengan ayat-ayat muhkamat supaya pemahaman itu tidak lari daripada apa yang disampaikan dalam ayat-ayat Muhkamat. Harus diingatkan bahawa ayat Muhkamat adalah ayat asal dan induk kepada agama.

Memang ada banyak perkara yang kita tidak akan dapat tahu dengan mendalam. Sebagai contoh, tentang roh. Puak Yahudi Madinah pernah menyuruh Musyrikin Mekah tanyakan tentang roh kepada Nabi ﷺ. Mereka pesan kepada Musyrikin Mekah itu, kalau Nabi Muhammad ﷺ boleh beritahu tentang roh, maknanya baginda bukan seorang Nabi sebab dalam kitab mereka telah diberitahu yang jawapannya adalah ‘tidak tahu’.

Memang bila ditanya, jawapan yang diberikan oleh Nabi Muhammad ﷺ (setelah diberitahu oleh Allah ﷻ) adalah roh itu adalah urusan Tuhan. Memang kita manusia tidak diberikan dengan ilmu menyeluruh tentangnya. Yang kita tahu, Roh itu ada dan ia adalah urusan Allah ﷻ. Maka kena beriman sahaja setakat yang kita tahu. Allah ﷻ sahaja yang tahu secara keseluruhan dan Nabi ﷺ pun tidak huraikan sedangkan kalau ia perkara yang perlu diketahui, sudah tentu Nabi ﷺ telah huraikan.

Namun malangnya, dalam masyarakat kita, ada yang apabila membicarakan ayat-ayat mutasyabihat, mereka boleh pula menghuraikannya panjang-panjang sedangkan maklumat daripada nas tidak ada. Ini amatlah menghairankan.

Sebagai contoh, Imam Razi kata sampai ada seribu pendapat yang berbeza tentang roh. Padahal ia adalah perkara yang tidak perlu dihuraikan. Benda yang patut dihuraikan dan dijelaskan tidak pula dihuraikan, tetapi sibuk tentang perkara yang tidak perlu.

فَأَمَّا الَّذينَ في قُلوبِهِم زَيغٌ

adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan,

Ingatlah, hati yang sudah ada kecondongan kepada syirik dan kesesatan, akan mudah mengikut ayat-ayat mutasyabihah yang boleh membawa makna lain daripada ayat-ayat Muhkamat. Hati yang telah punah akan bawa kepada pemahaman makna ayat Al-Qur’an yang punah. Ini amat bahaya.

Sepatutnya pemahaman ayat-ayat Mutasyabihat itu mesti difahami mengikut ayat Muhkamat. Namun, mereka yang hati telah punah itu akan takwil ayat-ayat mutasyabihah itu mengikut kehendak hati mereka. Ini kerana mereka hendak bawakan juga fahaman yang tidak sesuai dengan fahaman tauhid.

Ini pun ada banyak terjadi dalam masyarakat kita kerana ramai yang belajar dengan mereka yang tidak tahu. Maka punahlah masyarakat kita macam juga penganut Nasara yang takwil ikut suka hati mereka.

فَيَتَّبِعونَ ما تَشٰبَهَ مِنهُ

maka mereka menurut apa yang samar-samar daripadanya

Ramai yang dalam kalangan orang kita yang suka benar berbincang tentang ayat-ayat mustasyabihat ini. Mereka rasa macam hebat sahaja, membincangkan tentang apa maksud ‘nur’, tentang arasy Allah ﷻ , maksud Alif Lam Mim dan lain-lain lagi. Sedangkan banyak ayat-ayat tentang hukum, mereka tidak belajar dan amalkan pun lagi.

Oleh itu kita boleh lihat mereka yang banyak membincangkan ayat-ayat mutasyabihat ini adalah orang yang kurang pandai dalam agama tetapi mereka rasa mereka pandai kerana boleh cakap banyak dan mereka sangka mereka boleh berbincang tentang perkara yang manusia lain tidak tahu. Itu sangkaan mereka sahaja.

Bukanlah ayat-ayat mutasyabihat itu tidak ada makna. Ini kerana apabila Allah ﷻ meletakkannya dalam Al-Qur’an, tentu ada makna. Cuma kita sebagai manusia tidak dapat memahaminya dan kita tidak perlu tahu pun, kerana dalilnya, Nabi ﷺ sendiri tidak beritahu kita.

ابتِغاءَ الفِتنَةِ

untuk mencari fitnah

Perbincangan tentang benda yang memang tidak boleh difahami akan menyebabkan fitnah dalam masyarakat Islam sahaja sebab akan ada banyak pendapat yang berbeza dan ada yang rasa pendapat dia yang benar dan menyalahkan pendapat lain. Maka hasilnya pecah belah dalam masyarakat sampai ada yang kafir mengkafir.

Lebih malang lagi jika daripada penerangan tentang ayat-ayat mutasyabihat itu boleh menyebabkan salah faham tentang Allah ﷻ sampaikan boleh membawa kepada syirik. Ini amat bahaya.

وَابتِغاءَ تَأويلِهِ

dan mencari-cari takwilnya

Mereka sengaja membuang masa hendak mencari dan hendak tahu apakah maksud (takwil) ayat-ayat mutasyabihaat itu. Padahal ia bukanlah perkara yang perlu diketahui. Mereka telah disibukkan dengan perkara yang tidak perlu.

وَما يَعلَمُ تَأويلَهُ إِلَّا اللَّهُ

Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah.

Sedangkan Allah ﷻ sahaja yang tahu takwil kepada ayat-ayat mutasyabihat itu. Manusia tidak ada kelebihan itu. Awal-awal surah ini lagi telah diletakkan alif lam mim yang kita sendiri tidak tahu apakah maksudnya. Memang kalau kita pecah kepala fikir pun, tidak akan dapat tahu.

وَالرّٰسِخونَ فِي العِلمِ

Dan orang-orang yang mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama,

Iaitu mereka yang dalam, luas dan sudah kukuh ilmu mereka. Mereka telah belajar habis tentang agama, luar dan dalam. Mereka telah belajar sampai ke kemuncak ilmu yang boleh dicapai oleh manusia. Merekalah yang banyak menulis kitab-kitab tafsir yang muktabar.

يَقولونَ ءآمَنّا بِهِ كُلٌّ مِن عِندِ رَبِّنا

mereka berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami”

Mereka kata mereka beriman dengan ayat-ayat mutasyabihat itu sebagai ayat daripada Allah ﷻ. Mereka terima dengan seadanya, tanpa perlu tahu dan fikir secara mendalam sangat kerana dalam mencari ilmu agama, yang paling penting kita kena pastikan adalah sama ada ia adalah wahyu atau tidak. Kalau wahyu, maka kita terima dan beriman dengannya sama ada kita faham ataupun tidak.

Tidak ada malunya kalau kita terima ada perkara yang kita tidak akan dapat tahu. Ini kerana kita hanyalah manusia biasa. Sedangkan mereka yang amat-amat alim jauh lebih daripada kita pun cakap begitu, apatah lagi kita?

Ayat-ayat Mutasyabihat itu tidak banyak dalam Al-Qur’an, tidak sampai seratus ayatnya. Jadi, tidak mengganggu agama kita kalau kita tidak faham apakah maksud ayat-ayat mutasyabihat itu.

وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبٰبِ

Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

Tidak ramai yang boleh mengambil pengajaran ini melainkan mereka yang ada akal yang waras. Akal yang waras akan terima yang ia hanya diketahui oleh Allah ﷻ. Semua Imam mazhab empat tidak menghuraikan ayat-ayat mutasyabihat. Begitu juga sahabat yang belajar terus dengan Nabi ﷺ. Sedangkan kalau yang tahu, tentulah mereka yang lebih tahu.

Tabi’in pun begitu juga kerana mereka belajar terus dengan para sahabat. Imam-Imam Mujtahid pun tidak menghuraikannya juga. Namun yang menghairankan, kenapa ulama’ kampung pula yang mahu menghuraikannya? Kalau dibaca tafsir ayat-ayat mutasyabihat, panjang berjela mereka hurai, tetapi akhirnya mereka akan kata itu adalah pandangan mereka sahaja dan Allah ﷻ lebih tahu. Itu adalah buang masa, namanya.

Ulul Albab adalah mereka yang menggunakan akal yang suci daripada emosi seperti marah, dengki, cinta dan sebagainya. Ini kerana emosi-emosi boleh mengganggu akal. Contohnya, kalau kita sudah cintakan sesuatu, keputusan yang kita buat akan condong kepada sesuatu perkara; kalau sedang marah pula, kita tidak dapat berfikir dengan baik.

Dengan akal yang suci, golongan ulul albab akan dapat memikirkan dengan mendalam sesuatu perkara itu. Minda mereka tidak bercampur dengan benda-benda yang buang masa, yang lagha.

Begitupun, selepas mereka fikir dengan mendalam, mereka tidak menghuraikan ayat-ayat mutasyabihat itu. Mereka beriman sahaja dan hati mereka redha dengan iman itu. Hati mereka tenang walaupun tidak tahu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan