Tafsir Surah Aali-Imran
Mukaddimah
Dalam ayat terakhir Surah Al-Fatihah, telah disentuh tentang empat golongan yang sesat: Yahudi, Musyrikin, Nasara dan Munafik. Kisah Yahudi sudah banyak disebut dalam Surah Baqarah. Kisah Nasara pula banyak disebut dalam surah Ali Imran. Maka sekarang kita akan belajar tentang golongan Nasara pula.
Sebenarnya, Yahudi yang mengawal Nasara dari dahulu sampai sekarang. Yang menyesatkan mereka pun asalnya adalah puak Yahudi. Jadi kisah Yahudi pun ada dalam surah ini. Ini adalah kerana mereka ada kaitan yang amat rapat. Dua-dua sifat mereka kita kena belajar.
Kita kena tahu apakah sifat Nasara sebab kita telah minta dijauhkan daripada menjadi seperti mereka (dalam Surah Al-Fatihah). Maka kita kena tahu sifat-sifat mereka supaya kita boleh periksa pada diri kita kerana takut kita sendiri atau kenalan dan keluarga kita pula ada sifat seperti mereka.
Surah An-Nisa pula selepas surah ini akan menerangkan tentang sifat-sifat munafiqin dan akhirnya, surah Al-Maidah akan menyebut tentang ketiga-tiga golongan itu. Ia dijelaskan lagi dalam surah Al-Maidah supaya pemahaman mengenai ketiga-tiga golongan itu menjadi semakin jelas kepada kita.
Kemudian Surah Al-An’am pula menceritakan tentang golongan musyrikin. Ini adalah kerana Surah itu turun di Mekah, maka ia menceritakan tentang sifat-sifat Musyrikin Mekah.
Begitulah surah-surah awal ini diberikan kepada kita untuk menjelaskan golongan-golongan itu. Semua golongan itu sesat tetapi ada kelainan antara mereka, iaitu kesesatan mereka berbeza-beza. Dengan mempelajari tafsir surah-surah ini, maka kita akan semakin faham agama kita ini.
Seperti yang kita telah belajar, surah Al-Baqarah ada menyentuh tentang tauhid, risalah, jihad dan infaq. Surah Ali Imran ini akan mengulangi semula empat perkara ini dengan cara sedikit berbeza iaitu akan ditambah penjelasan tentang kesamaran-kesamaran yang ada dalam hati manusia.
Itulah rumusan kepada surah-surah yang awal yang akan kita belajar nanti kerana apabila surah Al-Baqarah memberitahu tentang hukum-hukum, ada perkara yang menyebabkan manusia keliru kerana ada kesamaran. Maka kesamaran-kesamaran itu dijelaskan dalam surah ini.
Surah Al-Baqarah banyak menyentuh tentang taqwa dan perkara yang berkaitan dengan iman. Sedangkan Surah Ali Imran ini nanti, kita akan lihat banyak memperkatakan tentang Rukun Islam pula.
Surah Ali Imran ini terbahagi kepada dua bahagian:
Ayat 1-92 adalah bahagian pertama dan ia memperkatakan tentang Tauhid dan risalah.
Ayat 93-200 adalah bahagian kedua dan ia mengandungi dalil-dalil Tauhid serta Jihad dan Infak.
Surah Al-Baqarah ada kisah lembu di dalamnya. Antaranya, Allah ﷻ melarang manusia daripada memuja lembu dan sebaliknya Allah ﷻ suruh puja Dia sahaja. Puak Yahudi pula selain daripada puja Allah ﷻ, mereka juga ada memuja lembu. Mereka lakukan begitu kerana mereka lihat ada kepelikan pada lembu. Jadi, walaupun bangsa Yahudi itu cerdik-cerdik belaka, ada juga kebodohan mereka dan akidah mereka punah. Maka memang tepat apabila surah itu dinamakan dengan Al-Baqarah kerana itu yang mereka puja.
Kalau Yahudi puja baqarah (lembu), maka Nasara pula puja Ali Imran (keluarga Imran). Mereka puja ahli keluarga Imran seperti Maryam رضي الله عنها dan Nabi Isa عليه السلام kerana mereka telah jadi keliru dalam hal agama. Kalau Yahudi puja lembu kerana nampak lembu itu pelik, Nasara puja Ali Imran kerana mereka itu ada karamah dan mukjizat. Selain daripada mereka berdua yang dipuja, Nasara juga puja Ruhul Qudus, iaitu Jibril عليه السلام.
Golongan Nasara yang asal tidak begitu. Apabila setelah sekian lama barulah golongan ini menjadi sesat. Macam juga dengan agama Islam, asalnya penganutnya betul di atas landasan kebenaran, tetapi lama kelamaan ada ajaran sesat yang dimasukkan. Ini adalah kerana ramai yang jahil kerana tidak belajar wahyu, maka senang ditipu.
Mereka itu macam juga penganut Nasara yang tidak belajar agama mereka. Maka kena jelaskan kepada orang Islam yang sesat dan Nasara kerana mereka itu sesat kerana jahil sahaja. Oleh kerana jahil, maka ada yang reka dan tambah benda baharu dalam agama. Memang bahaya apabila agama ini ditambah-tambah dengan perkara baru yang bukan datang daripada nas wahyu.
Kerana itu kita ingatkan tentang ajaran sunnah yang menentang bid’ah. Bid’ah akan merosakkan agama. Dan inilah yang terjadi kepada Nasara dan kepada sekarang kepada orang Islam juga. Maka kena sampaikan ajaran sunnah ini kepada manusia dan kalau mereka mahu kepada kebenaran, mereka akan terima ajakan dakwah yang disampaikan.
Jadi lambang pujaan Yahudi dalam Surah Baqarah adalah baqarah (lembu) sementara pujaan golongan Nasara pula adalah Ali Imran (keluarga Imran). Jadi kekeliruan dan kesesatan mereka diperbetulkan dalam surah Ali Imran ini dan memang sudah ramai Kristian yang telah masuk Islam setelah mereka faham Surah Ali Imran ini, ditambah pula kalau mereka dengar dan belajar Surah Maryam.
Ada masalah yang timbul dalam masyarakat kita di mana ramai yang telah masuk agama Kristian kerana mereka jahil dan senang ditipu. Kalau mereka tahu apakah yang benar dengan mempelajari tafsir surah Ali Imran ini, mereka tidak akan masuk Kristian.
Sebelum surah ini turun, ada wakil dari Najran yang datang untuk berdebat dengan Nabi Muhammad ﷺ. Kejadian itu berlaku pada tahun 9 Hijrah iaitu setelah Mekah ditakluki dan negara Islam telah terbentuk di Madinah. Najran adalah daerah penganut Kristian. Mereka dengar tentang Nabi Muhammad ﷺ dan Islam dan mereka marah apabila dikatakan yang penganut Kristian sesat.
Maka mereka datang untuk berdebat dengan Rasulullah ﷺ. Ada lebih kurang seramai 60 orang datang hendak berjumpa Nabi ﷺ di mana 14 daripadanya adalah pemuka agama mereka. Mereka menjadi tetamu umat Islam waktu itu dan mereka ditempatkan di Masjid Nabawi. Umat Islam melayan mereka dengan baik. Walaupun mereka kafir, dan hendak berdebat tentang Islam, namun mereka tetap dilayani dengan baik.
Mereka marah apabila dikatakan yang Nabi Isa عليه السلام itu hanyalah manusia sahaja dan tidak boleh dipuja. Macam orang kita juga, kalau dikatakan yang tok wali tidak boleh dipuja dan tidak boleh bertawasul dengan mereka, ramailah yang melompat marah. Itu memang sudah tanda orang-orang yang jahil dan keliru.
Apabila mereka hendak berhujah dengan Nabi ﷺ, baginda tunggu sahaja. Maka Allah ﷻ turunkan surah ini. Di akhir surah ini nanti ada ajakan mubahalah dengan mereka. Itu adalah sumpah laknat antara orang kafir dan mukmin. Dalam mubahalah ini, kita minta Allah ﷻ tunjuk siapa yang benar. Ini dilakukan kalau telah diberitahu juga kebenaran dalam ayat-ayat daripada surah Ali Imran ini, namun mereka masih juga berdegil.
Mubahalah ini adalah syariat antara Islam dan musyrik sahaja. Maka jangan pula ada orang Islam hendak mubahalah dengan orang Islam lain. Pernah puak Syiah mengajak mubahalah tetapi akhirnya mereka yang tidak muncul. Mubahalah ini adalah senjata terakhir kepada mereka yang degil sangat. Hafiz ibn Hajar رحمه الله pernah bermubahalah dengan ajaran tarekat sesat di Mesir. Ibn Hajar رحمه الله sudah kata ajaran itu sesat kufur. Maka, selepas mubahalah itu, laknat Allah ﷻ telah dikenakan kepada golongan sesat. Pengamal tarekat itu mati dalam tempoh masa tidak sampai tiga hari.
Dalam akhir Surah Al-Baqarah, kita minta bantuan Allah ﷻ ke atas orang kafir. Sifat orang kafir itu akan diterangkan dalam surah ini. Maka kerana itu kita katakan yang Surah Ali Imran ini bersambung daripada Surah Al-Baqarah. Ini dinamakan ‘Robtul Suwar‘ (sambungan/kaitan antara surah).
Apakah kesamaran dalam Surah Baqarah yang akan dijawab dalam Ali Imran?
- Allah ﷻ menggunakan gelaran kepada Nabi Isa عليه السلام yang boleh menyebabkan kesamaran dan kekeliruan kepada manusia terutama penganut Nasara. Ini berlaku terutama bagi mereka yang tidak belajar kitab mereka dengan benar sebab Kalam Allah ﷻ tidak akan menyesatkan manusia.
Kalau tidak belajar dengan benar, maka memang boleh jadi sesat. Macam juga yang berlaku kepada umat Islam sekarang pun. Mereka baca ayat Al-Qur’an dan mereka dapat kefahaman yang salah sebab tidak belajar. Ini banyak terjadi, kerana mereka baca sendiri atau belajar dengan orang yang salah faham juga.
Antara yang disebut dalam Kitab-kitab sebelum Al-Qur’an, Allah ﷻ sebut Nabi Isa عليه السلام itu adalah ‘Anak Allah’ dan ‘Roh Allah’. Maka, keliru habislah penganut Nasara yang tidak belajar.
Kekeliruan ini dijawab dalam Ayat ke-7.
- Mukjizat yang diberikan kepada Nabi Isa عليه السلاه memang hebat. Mukjizat baginda termasuk boleh menghidupkan orang mati, menyembuhkan orang buta asli, pekak asli. Kesemua itu adalah penyembuhan yang dikira luar biasa (zaman sekarang pun masih tidak boleh buat lagi). Baginda juga boleh membuat seekor burung daripada tanah liat kemudian menghidupkannya. Ini tentulah menakjubkan mereka kerana memang mereka umat yang suka kepada bidang kedoktoran/perubatan.
Daripada segi ilmu, baginda juga boleh mengetahui apa yang disimpan dalam rumah. Oleh itu, apabila Nabi Isa عليه السلام boleh buat benda-benda ajaib dan hebat sebegitu, mereka pandang baginda lain macam kerana kelebihan itu semua adalah sifat Tuhan sahaja. Maka mereka telah memuja baginda sebagai tuhan.
Padahal itu adalah mukjizat Nabi Isa عليه السلام. Dan mukjizat itu hanya dengan kuasa Allah ﷻ sahaja. Ini adalah kekeliruan yang jelas tentang mukjizat. Allah ﷻ hendak menunjukkan yang baginda itu adalah benar seorang Nabi dan keajaiban itu bukanlah boleh dibuat sentiasa tetapi hanya terhad kepada waktu itu sahaja.
Kekeliruan ini dijawab dalam Ayat ke-49 hingga ayat ke-51.
- Ada kitab tulisan ulama’ mereka yang kata Nabi Isa عليه السلام itu adalah ‘anak tuhan’ dan mempunyai kuasa. Penganut Nasara memandang tinggi kitab ulama’ mereka itu. Mereka percaya sepenuhnya apa yang dikatakan oleh golongan ulama’ itu. Macam masyarakat kita jugalah, kalau ada dalam kitab, mereka terus anggap macam segalanya adalah benar belaka. Sikit-sikit mereka berhujah dengan kata ada dalam kitab sekian-sekian.
Allah ﷻ hendak beritahu dalam surah Ali Imran ini, yang kalau ada kitab yang ajar akidah yang salah, itu bukan kitab ulama’, tetapi kitab syaitan. Tidak kira siapa yang tulis.
Kesamaran ini dijawab dalam Ayat ke-79.
- Terdapat juga kekeliruan tentang Maryam رضي الله عنها. Beliau bukanlah Nabi tetapi wali. Beliau mendapat rezeki dalam bentuk makanan kerana sifat ketaqwaannya. Kita akan belajar kisah Maryam رضي الله عنها yang hanya duduk di loteng membuat ibadat sahaja. Tidak ada orang lain yang boleh naik untuk berjumpa dengannya. Yang bertanggungjawab menjaga beliau adalah Nabi Zakaria عليه السلام sahaja.
Nabi Zakaria عليه السلام sahaja yang memberinya makan, dan apabila baginda nampak ada makanan lain bersama Maryam رضي الله عنها, baginda amat terkejut. Makanan itu pula adalah makanan yang segar dan buah-buahan yang di luar musim. Apabila ditanya, Maryam رضي الله عنها menjawab yang itu adalah rezeki daripada Allah ﷻ.
Ini adalah balasan kerana ketaqwaan serta sikapnya yang sentiasa menjaga mata dan mulut daripada maksiat. Maka Allah ﷻ memakbulkan doa beliau dan Allah ﷻ menghantar rezeki kepadanya. Perkara ini cukup luar biasa dan kerana itulah penganut Nasara memuja Maryam رضي الله عنها. Mereka lihat beliau sebagai bukan manusia biasa.
Kekeliruan ini dijawab dalam Ayat ke ke-37.
- Terdapat juga kekeliruan mengenai Nabi Zakaria عليه السلام. Baginda juga merupakan ahli keluarga Imran dan terdapat golongan sesat yang memujanya. Ini kerana kelebihan baginda yang mendapat anak dalam usia sangat tua dan isterinya pula yang tidak pernah mengandung dan melahirkan.
Maka mereka memuja dan ada yang meminta berkat atas sebab kelebihannya itu. Sama juga seperti orang kita, ada yang tidak dapat anak maka ada guru sesat yang mengajarkan agar meminta berkat daripada Nabi Zakaria عليه السلام. Sama sahaja akidah mereka ini dengan golongan Nasara.
Allah ﷻ ajar bahawa perkara pelik yang terjadi kepada baginda adalah daripada Allah ﷻ. Nabi Zakaria عليه السلام sendiri pun terkejut apabila baginda diberikan seorang anak dalam usia yang sangat tua. Maknanya, itu bukanlah kuasa baginda. Kalaulah ia kuasa baginda, takkan baginda terkejut pula.
Padahal Nabi Zakaria عليه السلام telah berdoa kepada Allah ﷻ setelah baginda melihat bagaimana Maryam رضي الله عنها boleh mendapat rezeki daripada Allah ﷻ sedangkan Maryam رضي الله عنها bukanlah seorang Nabi. Allah ﷻ yang makbulkan baginda, bukannya baginda ada kuasa pun.
Kekeliruan ini dijawab dalam ayat ke-38.
Kelima-lima syubhat (kesamaran) di atas adalah tentang Tauhid dan Allah ﷻ telah menjawabnya di dalam surah ini.
Syubhat tentang Risalah pula ada tiga.
- Tentang Kiblat. Mereka kata kalau Nabi Muhammad ﷺ itu benar, kenapa tidak ikut nabi-nabi lain? Kenapa tidak ikut kiblat yang di BaitulMaqdis? Kenapa berkiblat ke Mekah pula?
Mereka itu jahil atau lupa yang Mekah itu adalah kiblat pada suatu waktu dahulu. Daripada Nabi Adam عليه السلام sehinggalah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام, Kaabah itulah Kiblat. Cuma bermula Nabi Ishak عليه السلام dan Nabi-nabi عليهم السلام selepasnya sahaja yang bertukar kiblat ke BaitulMaqdis.
Untuk sementara waktu sahaja zaman Nabi Muhammad ﷺ berkiblatkan ke arah BaitulMaqdis dan selepas itu Kiblat telah bertukar semula ke Kaabah iaitu kembali kepada kiblat asal. Kalau mereka kaji, memang tidak salah apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad ﷺ kerana memang Kaabah adalah kiblat juga.
Kalau mereka mengkaji agama mereka sendiri, dalam kitab mereka juga ada diberitahu yang Nabi akhir zaman akan berkiblatkan Kaabah. Jadi kenapa mereka menolaknya? Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana jahil sahaja.
Kekeliruan ini dijawab oleh Allah ﷻ dalam ayat ke-97.
- Kekalahan dalam Perang Uhud. Mereka mempersoalkan: Bagaimana seorang Nabi boleh kalah? Adakah kerana Allah ﷻ tidak menolong Nabi-Nya? Kekeliruan ini Allah ﷻ jawab dalam ayat ke-121 – ke-152. Panjang lebar Allah ﷻ menjawabnya kerana kekalahan itu mempunyai maksud tersendiri.
Allah ﷻ beritahu bahawa bukanlah Dia tidak menolong Nabi-Nya. Allah ﷻ telah tolong umat Islam dalam Perang Badr. Pada peringkat awal Perang Uhud itu sebenarnya Allah ﷻ telah tolong dan memang pihak Muslim sudah menang pun.
Namun malangnya, oleh kerana arahan Nabi ﷺ yang tidak ditaati oleh segelintir kaum muslimin yang berperang waktu itu, maka Allah ﷻ menghentikan pertolongan itu. Akhirnya baru Allah ﷻ menolong mereka semula. Allah ﷻ hendak mengajar, selain daripada tauhid kepada Allah ﷻ, kita juga kena taat kepada Rasul. Maknanya kita kena ikut hukum.
- Tentang makan unta. Dalam syariat Bani Israil, mereka berpegang dengan hukum unta tidak boleh dimakan. Namun Nabi Muhammad ﷺ pula kata unta halal dimakan. Mereka kata halal dan haram ini adalah keputusan Allah ﷻ, bukannya manusia. Mereka tuduh Nabi Muhammad ﷺ ambil kerja Tuhan pula.
Maka Allah ﷻ menjelaskan bahawa unta itu sebenarnya halal. Nabi Yaakob عليه السلام tidak memakan unta kerana dinasihati oleh tabib yang unta tidak sesuai untuk baginda kerana masalah kesihatan baginda. Kerana sebab itulah baginda tidak makan. Bukannya unta itu haram kepada semua orang. Anak cucu baginda yang telah tersilap faham sampai mengharamkan kepada umat Bani Israil keseluruhannya.
Oleh kerana mereka yang berbuat begitu, pandai-pandai pantangkan sendiri, maka Allah ﷻ mengharamkan terus kepada mereka. Ini adalah sebagai hukuman kepada mereka untuk menyusahkan mereka. Kepada umat Nabi Muhammad ﷺ, hukuman telah berbalik kepada asal.
Ini telah dijelaskan dalam ayat ke-93.
Allahu ‘alam.